Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Wednesday, March 25, 2009

Khairy, Shahrizat dahului pencabar - Malaysiakini

Khairy Jamaluddin dan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil sedang mendahului calon-calon lain, masing-masing bagi jawatan ketua Pemuda dan Wanita dalam pengiraan awal petang ini.

Pengiraan undi bagi jawatan-jawatan utama Pemuda, Wanita dan Puteri masih berlangsung. Difahamkan proses pengiraan berjalan lancar.

Pengundian bermula kira-kira jam 11.45 pagi dan selesai kira-kira dua jam kemudiannya.

Ramai menjangka Khairy dan Shahrizat terpilih dengan majoriti yang selesa.

Naib ketua Pemuda Umno itu bersaing dengan exconya Datuk Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo.

Manakala Shahrizat mencabar penyandang pergerakan Wanita, Tan Sri Rafidah Aziz.

Jawatan ketua Puteri dipertandingkan enam penjuru antara Datuk Shahaniza Shamsuddin, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Ismalina Ismail, Bibi Sharliza Mohd Khalid, Ida Rahayu Md Noor dan Saarah Ali Bashah.

Turut dipertandingkan, jawatan-jawatan naib ketua, exco, pengerusi tetap dan timbalan pengerusi tetap ketiga-tiga sayap berkenaan.

Seramai 796 perwakilan Wanita, Pemuda (791 orang) dan Puteri
(789 orang) membuang undi.

Berdasarkan proses pengundian yang berjalan lancar pagi tadi, ramai yang beranggapan bahawa para perwakilan sudah tekad memilih calon masing-masing.

Proses pengiraan undi dijangka selesai lebih awal dan keputusannya juga akan diketahui lebih cepat bagi ketiga-tiga pergerakan tersebut.
Menurut jadual, keputusan rasmi persaingan sengit dalam sayap Pemuda, Wanita dan Puteri akan diketahui jam 9 malam ini. - Malaysiakini

No comments: