Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Tuesday, February 17, 2009

Retorik…Pemuda kena faham apa maknanya tu - Malaysiakini

Oleh : Zainal Yusof
TERGAMAM saya membaca wawancara wartawan Berita Minggu (BM- Ahad 15 Feb 2009 muka surat 34-35) dengan Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar (KJ) apabila beliau menyebut;
“Jika tidak, kita hanya retorik apabila menyebut mengenai peremajaan Umno dan tidak memberi peluang kepada generasi muda mengambil tampuk kepemimpinan berkenaan.”
Kamus Dewan Edisi Ketiga – retorik bererti seni menggunakan atau memakai bahasa yang indah dan menarik untuk memujuk atau mempengaruhi pemikiran pendengar.

Perkataan retorik itu digunakan KJ apabila wartawan itu menyoalnya; “Mengapa YB membuat keputusan bertanding jawatan ketua Pemuda?
Maka jawab KJ; “Saya percaya Pemuda perlukan calon yang membawa suara orang muda di akar umbi. Berbanding calon lain, saya paling muda.

“Saya masih lagi umur Pemuda dan tidak melangkaui umur Umno dewasa. Maka pendekatan, aspirasi, isa hati, memahami kebimbangan orang muda itu, saya rasa ada sedikit kelebihan kerana dapat merasai peralihan genarasi yang sedang berlaku.

“Apabila kita melihat Umno induk sendiri ada peralihan generasi daripada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, maka saya nampak di dalam Pergerakan Pemuda kita perlukan peralihan itu.

“Jika tidak kita hanya retorik…”
Memang betul, KJ memang mampu membawa suara akar umbi ke atas jika beliau diberi peluang menjadi ketua Pemuda. Malahan, dengan kelulusan, pengalaman dan usia mudanya beliau benar-benar mampu memahami kebimbangan orang muda, yang selama ini memang dituntut oleh orang-orang muda supaya ‘harapan dan cita-cita mereka didengari’.

Kebetulan, KJ tidak bercakap kosong. Beliau masih merupakan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Rembau, Negeri Sembilan – satu-satunya calon ketua Pemuda yang berada di gelanggang sendiri, jika dibandingkan dengan dua lagi calon lain yang sudah meninggalkan gelanggang itu.

Mereka berdua, Datuk Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo meninggalkan gelanggang Pemuda bahagian, kerana Mukhriz kalah dalam pemilihan ketua Pemuda bahagian di Kubang Pasu dalam tahun 2004 manakala Dr. Khir pula, mengetuai bahagian baru, Sungai Besar kerana ketika itu beliau menjadi Menteri Besar.

Malahan, suatu ketika Dr. Khir pernah menang kerusi Exco Pemuda Umno, tetapi dia enggan aktif ketika itu kerana sudah menjadi Menteri Besar Selangor dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Selangor. Seolah-olah kerusi Exco Pemuda terlalu kecil baginya.

Mukhriz pula, mendahului pencalonan bagi merebut pencalonan jawatan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Kubang Pasu. Ada dakwaan mengatakan ‘ada unsur politik wang ketika itu’ tetapi tiada pula apa-apa dakwaan dikenakan tetapi apabila perwakilan Pemuda cawangan-cawangan mengundi, mereka mengajar Mukhriz, dengan mengalahkannya.

Maka, kalau hari ini ketua-ketua Pemuda dan perwakilan Pemuda yang akan membuat pilihan Mac ini, mereka perlu memahami maksud ‘peralihan generasi’ supaya ia bukanlah suatu retorik.

Amatlah malang Pemuda Umno, jika perwakilan yang dipilih oleh perwakilan bahagian masing-masing, tidak tahu menterjemahkan ‘peralihan generasi’ dari Datuk Seri Hishammuddin kepada KJ sama seperti dari Pak Lah kepada Najib.
Tepat seperti kata KJ dalam wawancara tersebut; “Dulu, tidak mengapa jika ketua Pemuda berada di dalam kelompok usia dewasa. Mungkin kerana ada ketandusan pemimpin muda.

“Tetapi kini, Akta Belia pun sudah dipinda dan menyatakan Pengerusi dan pemimpin persatuan belia berada di bawah umur 40, maka dalam Pergerakan Pemuda ini perlu dipraktikkan.”
Sebenarnya KJ benar-benar mahu bergelumang dengan Pemuda yang menjadi ahli kepada parti Umno berjumlah 750,000 tetapi sebenarnya generasi muda yang menjadi pengundi ialah tujuh juta orang.

Itulah sebabnya, wawasan dan visinya jelas, mahu merapatkan kembali orang-orang muda dengan Umno yang sebelum ini kelihatan terpengaruh dengan pembangkang kerana mereka tertarik dengan retorik pemimpin pembangkang yang cukup pandai menyusun kata-kata.

Apa yang penting, dalam usia 33 tahun, KJ telah membuktikan kebolehan dan kemampuannya. Malahan, kedengaran di sebelah pimpinan parti-parti pembangkang, sukar untuk menumpaskan KJ kalau berhujah. Kebolehannya, cukup luar biasa.

Ketika pimpinan pembangkang kerisauan dengan kemampuan KJ, di kalangan sama-sama sendiri dalam Umno, sebaliknya. Mereka sibuk memfitnah. Kalau ada kapalterbang meletup, itu mungkin angkara KJ. Jika ada syarikat baru muncul di BSKL, itu mungkin kepunyaan KJ, jika ada tanah runtuh di mana-mana lereng bukit, mungkin KJ ada rumah di sekitar kawasan itu dan jika ada korosakan keretapi, mungkin ia juga perbuatan KJ.

Kenapa Melayu begini? Walaupun ia bukan semua Melayu bersikap sedemikian, tetapi sedikit sebanyak ia berjaya mempengaruhi orang ramai.

Mereka tidak pernah mahu mengakui bahawa KJ mempunyai pendekatan berkesan, aspirasi orang-orang muda, tahu isi hati rakan sebaya malahan, memahami kebimbangan orang muda.

Perwakilan Pemuda sebenarnya menempuh satu ujian besar kali ini. Jika mereka tersilap memilih, hanya kerana terpesona dengan jam tangan mahal yang dipakai salah seorang saingan KJ itu atau, kerana terpegun dengan anak Tun Dr. Mahathir Mohamad yang sudah pun mengisytiharkan keluar dari Umno, yang ruginya Umno dan Pemuda Umno itu sendiri.

Umno memerlukan KJ dengan jawatannya sebagai Ketua Pergerakan Pemuda Umno. Itulah sebabnya, slogan yang diperkenalkan ’setia kawan’ sebenarnya cukup mendalam ertinya jika Pergerakan Pemuda mahu berkongsi idealisme dengannya.

Belum pernah ada seorang calon Ketua Pemuda yang mampu bercakap corak dan nada sebegini kerana mereka berjuang untuk mendapatkan jawatan bukan berjuang untuk membela parti dan anak bangsa mereka.

Apa yang mereka boleh janjikan, mungkin ‘bintang dan bulan’ kerana mereka tahu mereka kalau menang, bukan mahu duduk lama di situ, kecuali seketika untuk melangkah ke tempat lain.

Berbeza dengan KJ, dengan usia mudanya, beliau berazam untuk lama duduk di situ dengan misi dan visi untuk memperkuatkan Umno dan membantu Datuk Seri Najib mengembalikan semula kekuatan Umno dan BN yang dilanda tsunami tahun lalu.

Ramai yang yakin, KJ mempunyai pakej lengkap, bukan sahaja sebagai seorang yang lantang, berpendidikan, bervisi malahan, kebolehan agamanya tidak pernah dijadikan modal murahan untuk menarik sokongan. - KPMU

No comments: