Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Wednesday, February 11, 2009

Pemuda Kedah : Calon UMNO Atau MIC, Yang Penting BN Menang - Malaysiakini

Oleh : Haris Razali
Alor Star - Pemuda UMNO negeri ini pada dasarnya bersetuju cadangan UMNO Bahagian Merbok yang mengesyorkan calon daripada parti itu dipilih untuk bertanding pada pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Bukit Selambau.

Walau bagaimanapaun menurut Ketua Pemudanya, Yb Mohd Rawi Abd Hamid, ianya terserah kepada budi bicara pucuk pimpinan untuk menentukan sebarang keputusan khususnya mendapat persetujuan bersama dengan parti komponen yang lain.

Menurut beliau cadangan tersebut perlu diberikan pertimbangan sewajarnya oleh pucuk pimpinan BN agar parti berkenaan mendapat kejayaan sekaligus merampas kembali kawasan tersebut pada pilihan raya kecil nanti.
"Bagi Pemuda Kedah, sebarang cadangan atau syor yang boleh memberikan kemenangan kepada BN akan diterima dan disokong supaya BN terus mendapat kepercayaan daripada penduduk setempat.

"Ini yang penting dan bukannya menidakkan hak mana-mana parti lain di dalam parti komponen BN. Kita tahu itu adalah kerusi yang ditandingi oleh MIC sebelum ini.

"Namun jika berdasarkan kepada faktor tertentu yang oleh memberikan kemenangan kepada parti, apa salahnya kerusi berkenaan ditandingi oleh calon daripada parti UMNO", katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan UMNO Merbok yang mengesyorkan calon daripada UMNO diletakkan pada pilihan raya kecil DUN BUkit Selambau nanti.

Ketua UMNO Merbok, Datuk Tajul Urus Md Zain dilaporkan berkata kerusi DUN Bukit Selambau pernah diwakili oleh UMNO sebelum ia diberikan kepada MIC selama empat penggal.

Menurut beliau setelah empat penggal, MIC kini tidak lagi mempunyai pengaruh di kawasan itu dan pihaknya telah menerima maklum balas daripada pengundi di peringkat akar umbi yang mahukan wakil daripada UMNO untuk bertanding.

Bukit Selambau merupakan sebuah pekan kecil yang terletak dalam kawasan Parlimen Merbok dan kawasan DUN itu dikosongkan ekoran peletakan jawatan wakil rakyatnya, V. Arumugam pada Isnin lepas.

Arumugam yang menang atas tiket Bebas pada pilihan raya umum tahun lalu kemudiannya menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan dilantik sebagai Anggota Exco Kerajaan Negeri sebelum meletakan kedua-dua jawatan itu atas alasan tidak tahan dengan ugutan pihak tertentu.

Ketika ditanya mengenai persiapan Pemuda negeri untuk berdepan dengan pilihan raya kecil tersebut, Rawi yang juga ADUN Ayer Hangat seterusnya berkata pihaknya sudahpun bergerak di semua peringkat.
"Kesemua Pemuda cawangan telah digerakkan untuk proses pemantauan tempat strategik serta kaedah tertentu untuk mengenalpasti kumpulan pengundi muda. Begitu juga dalam soal logistik", ujarnya.
Pada pilihan raya umum lepas, kawasan DUN itu mencatatkan jumlah pengundi seramai 34,977 orang dan daripada jumlah itu, seramai 17,607 pengundi adalah Melayu, 9,688 pengundi kaum India, 7,386 pengundi Cina dan 296 pengundi keturunan lain.

Arumugam memperoleh 13,225 undi dan mengalahkan calon BN daripada MIC S. Krishnan yang memperolehi 10,863 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat Jumaat ini untuk menentukan tarikh bagi pilihan raya kecul DUN terbabit.

No comments: