Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Wednesday, February 18, 2009

Khairy akui ambil masa kikis persepsi liabiliti - Malaysiakini

CALON Ketua Pemuda Umno, (dari kiri) Datuk Mukhriz Mahathir, Khairy Jamaluddin dan Datuk Seri Khir Toyo sebelum ditemubual dalam rancangan Hujah yang disiarkan secara langsung dari Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, malam tadi.
Khairy Jamaluddin mengaku bahawa beliau yang dilabel sebagai liabiliti sehingga membawa kemerosotan prestasi Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum lalu, terpaksa melalui proses yang panjang untuk mengikis persepsi untuk menghadapi pemilihan bulan depan.

Naib Ketua Pemuda Umno itu yang bertanding jawatan Ketua Pemuda berkata, beliau terpaksa bekerja keras untuk mencerminkan personalitinya di kalangan perwakilan untuk mereka mengetahui siapa beliau yang sebenarnya.
"Saya mengambil proses yang lama supaya perwakilan mengenali saya yang sebenar dengan saya menerangkan pelbagai isu kepada mereka.

"Akhirnya, sama ada pemimpin itu liabiliti atau aset, kita serahkan kepada parti dan perwakilan untuk tentukan," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau ketika ditemu bual dalam rancangan Hujah siaran stesen TV9 malam tadi.
Khairy, menantu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, beliau percaya, perjuangan yang dibawanya adalah suara orang muda daripada akar umbi.
"Dengan usaha dan masa yang diberikan kepada saya, saya percaya dapat merungkai isu yang menjadi imej dan persepsi terhadap saya," katanya.
Program itu disertai Khairy dan dua calon lain yang turut bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno iaitu bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohd. Khir Toyo dan Exco Pemuda Umno, Datuk Mukhriz Mahathir.

Ketiga-tiga mereka percaya mempunyai kekuatan masing-masing dalam menghadapi persepsi terhadap mereka.

KHIR TOYO
Sementara itu, Dr. Khir menjelaskan walaupun beliau dilihat membawa kekalahan kepada BN di Selangor pada pilihan raya umum 8 Mac lalu, tetapi berpendapat fenomena tersebut tidak semestinya berterusan.

Katanya, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri juga pernah tewas sebelum ini dalam pemilihan parti namun kini mereka berjaya.
"Saya mula daripada bawah sebagai anak seorang petani miskin dan kemudian menjadi Menteri Besar.

"Saya kemudiannya jatuh, dihalau oleh Pakatan Rakyat malam-malam... saya bawa anak saya dan dibaling botol mineral tetapi saya tetap di sini dengan semangat saya," katanya.
ULASAN MUKHRIZ
Sementara itu, Mukhriz yang merupakan anak kepada Dr. Mahathir yang dikenali sebagai bapa pembangunan negara mempunyai tanggungjawab untuk membawa pendekatan yang berbeza dalam perjuangan supaya tidak dibayangi bapanya.
"Saya berbangga dengan kejayaan yang dibawa oleh ayah saya selama 22 tahun beliau menjadi Perdana Menteri.

"Bagaimanapun pada masa yang sama, saya mempunyai peranan yang harus dimainkan untuk memenuhi hasrat orang muda yang mendahagakan integriti.

"Saya lihat dari persepsi dan imej, entah kenapa orang muda nampak agak bosan dengan Pemuda dan Umno kerana masalah integriti dan ini yang harus diperbetulkan melalui kepimpinan yang berwibawa, berwawasan dan mesra kepada rakyat," katanya.
PERUBAHAN UMNO
Ketiga-tiga mereka sepakat berhubung keperluan Umno untuk melakukan perubahan supaya menjadi parti yang terus relevan kepada rakyat.

Dr. Khir berkata, Umno perlu kembali kepada paksi sebenar iaitu untuk memperjuangkan agama Islam dan bangsa Melayu.
"Rata-rata dalam Pemuda Umno memerlukan pertarbiyahan yang harus dimulakan di bandar dan kampung supaya dapat memberi manfaat kepada parti," katanya.
Mukhriz berkata, jika Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang bakal mengambil alih jawatan Perdana Menteri Mac depan mampu mengolah formula baru untuk menarik sokongan, beliau percaya Umno dan BN akan terus relevan.

Bagi Khairy, Umno perlu mengembalikan harapan rakyat yang diterjemahkan melalui pilihan raya umum 2004.
"Atas dasar harapan itu, kita berpaksikan kepada nasib rakyat. Kita cungkil kembali harapan mereka dan laksanakan. Mungkin kita tidak berjaya menguruskan kejayaan besar dalam pilihan raya umum 2004 yang membawa kemerosotan pada 2008," katanya.
Bagaimanapun jelas Khairy, peralihan kuasa bukanlah penyelesaian kepada masalah yang dihadapi Umno dan BN.
"Kita perlu kembali kepada batu asas untuk membina semula kekuatan. Kalau kita tidak bawa apa yang dijanjikan, maka perubahan itu tidak ada gunanya," katanya.
ROMBAKAN KEPIMPINAN
Sementara itu, Mukhriz berkata, rombakan kepimpinan di peringkat tertinggi sememangnya diperlukan memandangkan perjuangan Umno pada ketika ini dilihat sudah sedikit terpesong daripada perjuangan asal.
"Ini yang menyebabkan sokongan rakyat merudum melalui keputusan pilihan raya tahun 2004 dan 2008 yang jauh berbeza bagai langit dan bumi.

"Kita perlu kembali kepada momentum yang tegas dan berwawasan yang dimulakan sejak dulu lagi.

"Kepimpinan perlu tegas. Bila kita biarkan demonstrasi dan tidak menggunakan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) untuk mengawal, akhirnya keputusan pilihan raya tidak berpihak kepada kita," katanya.
Selain itu, beberapa isu turut disentuh dalam forum selama sejam itu termasuk Pengajaran dan Pembelajaran dalam Bahasa Inggeris, Dasar Ekonomi Baru dan isu ekonomi termasuk harga minyak dan kenaikan harga barang. - mStar

No comments: