Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Wednesday, December 3, 2008

PRK : SPR terima notis, mesyuarat khas Jumaat ini - Malaysiakini

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada Jumaat ini untuk menentukan tarikh pilihan raya kecil Kuala Terengganu.
"Mesyuarat khas ini akan menetapkan tarikh mengendalikan pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu yang kosong," kata Pemangku Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar ketika dihubungi wartawan, semalam.

Ketika ditanya sama ada pilihan raya kecil tersebut akan diadakan pada tahun ini juga, Wan Ahmad berkata: "Biar kami putuskan pada mesyuarat itu nanti."
Terdahulu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika ditemui di lobi Parlimen, di Petaling Jaya memberitahu notis kekosongan bagi kerusi Parlimen tersebut telah pun dihantar ke SPR.
"Ia (notis) telah pun dihantar sebentar tadi," katanya ringkas.
Kerusi Parlimen Kuala Terengganu kosong setelah penyandangnya, Datuk Razali Ismail meninggal dunia pada Jumaat lalu kerana serangan jantung ketika bermain badminton di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands.

Pada pilihan raya umum lepas Mac lalu, Razali berjaya mempertahankan kerusi berkenaan yang dimenanginya sebelum itu pada 2004, dengan mengalahkan calon PAS, Mohamad Sabu, dengan majoriti 628 undi.

Pertandingan itu merupakan tiga penjuru yang turut membabitkan seorang calon bebas Maimun Yusof, 89, yang hilang wang pertaruhan selepas hanya memperoleh 685 undi.

Media memang seronok lihat kami bergaduh - Malaysiakini

Oleh : NOOR HASILAH ISMAIL
Apabila mendapat khabar bahawa mesyuarat Wanita BN akan diadakan Selasa, ramai wartawan berpusu-pusu ke tingkat 38 Menara Dato’ Onn di PWTC dimana terletaknya ibupejabat UMNO.

Ini kerana semua nak tahu apa cerita terbaru Tan Sri Rafidah Aziz dan Datuk Sri Shahrizat setelah ‘ perang kenyataan’ menerusi media antara para penyokong mereka sudah reda sikit beberapa hari kebelakangan ini.

Mesyuarat ini agak menarik kerana kedua-dua Ketua Pergerakan Wanita UMNO itu dan Naibnya hadir.

Kedua-dua mereka duduk sebelah menyebelah semasa sidang akhbar diadakan selepas mesyuarat berkenaan.

Ini adalah kali pertama mereka duduk semeja sejak Shahrizat umum hasrat nak bertanding jawatan Ketua Wanita UMNO.

Namun sebaik selesai membuat kenyataan mengenai hal yang dibincangkan dalam mesyuarat itu semasa sidang akhbar, Rafidah sudah dapat membaca apa yang berada dalam benak fikiran para wartawan yang hadir dan dalam seloroh memberikan “warning”.
“Media memang seronok melihat kami bergaduh. Alangkah bagus kalau anda (media) biarkan kami. Mesyuarat hari ini bukan membincangkan soal Datuk Sri Shahrizat dan saya, tetapi mengenai peranan Wanita BN dalam menghadapi pilihanraya umum akan datang."
Serentak dengan itu Rafidah berkata pertandingan dalam Wanita UMNO tidak akan menjejaskan persiapan untuk pilihanraya kecil Kuala Terengganu.

Katanya soal pertandingan adalah perkara terakhir dalam pemikirannya dan tidak sedar Shahrizat yang duduk sebelahnya adalah orang yang akan bertanding dengannya nanti.
Katanya, “apabila kita bercakap mengenai isu kebangsaan, kita kena ketepikan hal-hal lain, termasuk peribadi. Seseorang pemimpin atau individu boleh datang dan pergi, tetapi BN akan kekal selama-lamanya.

“Saya nak pesan kepada ahli Wanita supaya berhati-hati bila bercakap kerana ada kalanya apa yang diperkatakan boleh disalahertikan. Itulah kadangkala saya lebih suka berdiam diri daripada membuat ulasan. Lagi baik tidak bercakap langsung. Jika ada masalah parti, ia seharusnya dibawa ke mesyuarat, bukannya mendedahkan kepada media.

“Hal ehwal parti harus diselesaikan di dalam parti. Jangan gunakan media untuk meluahkan rasa tidak puashati terhadap parti atau parti komponen. Hal parti ibarat hal keluarga dan orang luar tak perlu tahu. Bak kata pepatah, Sedangkan Lidah Lagi Tergigit.”

“Saya kecewa melihat sesetengah individu dalam BN yang secara sedar atau tidak, begitu gemar “menimbulkan provokasi”. Sepatutnya sebarang masalah harus dibincangkan secara tertutup,” katanya.

Apabila diajukan soalan mengenai isu ketuanan Melayu, Rafidah dengan cepat memintas: “Bangsa dan agama adalah dua perkara yang tidak seharusnya dibincangkan secara terbuka kerana ia tidak bagus untuk parti dan boleh memecahbelahkan rakyat.”
Pada awal sidang sidang akhbar , Rafidah mengumumkan mesyuarat itu membincangkan langkah membantu BN memenangi pilihanraya umum ke-13 dan konsep perpaduan “One Malaysia”.

Beliau berkata, untuk mencapai tujuan itu, mesyuarat telah bersetuju menubuhkan lima biro, iaitu biro latihan dan kepepimpinan yang akan diketuai oleh Wanita UMNO, biro perpaduan (diketuai oleh Wanita PPP), perundangan (Wanita MIC), ekonomi (Wanita MCA) serta pendidikan dan modal insan (Wanita Gerakan).
“Biro ini akan menjalankan tugas secara bergilir-gilir mengikut penggal supaya ia aktif sepanjang tahun. Menerusi biro ini kami akan berusaha mendekatkan diri dengan wanita professional dan golongan muda yang bakal menentukan masa depan negara,” katanya.
Rafidah berkata mesyuarat turut membincangkan isu semasa yang dirasai oleh semua parti komponen dan akan mengumpulkan semua isu untuk dibawa kepada pucuk pimpinan untuk dibincangkan.
“Wanita BN sedar apa yang dibangkitkan oleh akar umbi dan apa yang digunakan oleh pembangkang sebagai modal untuk pilihanraya akan datang."

Dua Senator dilantik semula - Malaysiakini

Dua senator yang dilantik semula sebagai anggota Dewan Negara bagi satu penggal lagi, hari ini mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Abdul Hamid Pawanteh.

Mereka ialah Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri Sarawak yang juga seorang peguam, Datuk Idris Buang dan Exco Wanita Umno Wan Hazani Wan Mohd Nor.

Ketika mengalu-alukan pelantikan semula dua senator itu, Abdul Hamid berharap mereka dapat meneruskan perkhidmatan dengan bertanggungjawab dan jujur dalam memelihara dan mempertahankan perlembagaan negara.

Wan Hazani, 57, adalah juga Ketua Wanita Umno Kelantan.

Idris, 54, pula adalah seorang peguam berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dari Universiti Buckingham, England.

Zaid Ibrahim dipecat …Ariff Shah nak kekal - Malaysiakini

Agendadaily - Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim dilihat sengaja cari pasal untuk dikenakan tindakan oleh UMNO bila menghadiri majlis perasmian Kongres Nasional Tahunan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Shah Alam Sabtu lalu. -->>lanjut

Saluran khas sidang Parlimen di RTM? - Malaysiakini

Kementerian Penerangan sedia menimbangkan menyediakan satu saluran khusus di RTM untuk menyiarkan perjalanan persidangan Parlimen, kata Menterinya, Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Bagaimanapun, katanya RTM akan menilai kebaikan dan keburukan saluran siaran langsung seumpama itu yang kini dilaksanakan di negara lain seperti Amerika Syarikat dan Brazil.
"Ada negara seperti Amerika (Syarikat) mempunyai saluran tersendiri yang menyiarkan perbahasan atau perkara-perkara yang berlaku di Kongres atau Senat negara tersebut dan sewaktu Kongres atau Senat tidak ada, saluran tersebut dianggap sebagai saluran politik untuk membincangkan perkara-perkara politik secara khususnya," katanya di Dewan Rakyat hari ini. -->>lanjut