Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Saturday, November 22, 2008

'No hal', jom berentap - Malaysiakini

Pertarungan kalah mati jawatan ketua, Kamilia menang 'free' jawatan naib ketua
Ketua Wanita Umno Tan Sri Rafidah Aziz hari ini mengumumkan beliau akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti Mac depan.

Kenyataan tersebut di buat selepas 24 jam, Naibnya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengumumkan beliau akan bertanding mencabarnya.

Terdahulu, Shahrizat, bekas anggota Kabinet dan bekas Ahli Parlimen Lembah Pantai, melalui kenyataan dua perenggan mengesahkan beliau menerima pencalonan dan sokongan untuk bertanding jawatan itu.
"Wanita Umno mesti bersatu dalam mengukuhkan parti serta berani membawa perubahan dan pembaharuan," katanya dalam kenyataan tersebut kelmarin.
Keputusan beliau itu sekali gus melenyapkan pelan peralihan kuasa yang dirancang oleh Rafidah untuk menyerahkan kepimpinan pergerakan itu pada Shahrizat Jun depan.

Dengan keputusan itu juga bermakna Shahrizat akan memberi laluan kepada satu-satunya saingan beliau bagi jawatan Naib Ketua iaitu Datuk Kamilia Ibrahim untuk menang tanpa bertanding pada pemilihan akan datang.

Dalam pada itu, pengumuman Shahrizat untuk bertanding jawatan Ketua Wanita Umno mendapat sokongan terbuka daripada beberapa ketua wanita bahagian.

Wanita UMNO diminta bersatu semula selepas pertandingan - Malaysiakini

Pertandingan jawatan Ketua Wanita UMNO Malaysia memang sudah sah….ini kerana Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang kini berada di Peru dalam komennya mengenai perkara itu sudah pun bercakap soal minta Wanita UMNO Malaysia bersatu selepas pertandingan.

Berdasarkan komen yang diberikan oleh Najib, beliau seolah-olah sudah menjangka dan menerima bahawa pertandingan jawatan Ketua Wanita UMNO Malaysia pasti akan berlaku.

Dalam reaksinya mengenai keputusan Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang akan bertanding jawatan Ketua Wanita UMNO Malaysia, Najib berharap Wanita UMNO merapatkan semula perpaduan pergerakan itu selepas selesainya pemilihan antara Shahrizat dan Tan Sri Rafidah Aziz.
“Saya sudah menyatakan, pertamanya ada dua pilihan pada wanita iaitu menyelesaikan soal kepimpinan melalui rundingan dan persefahaman. Nampak gayanya pendekatan itu tidak dapat dicapai dan berhasil. Pertandingan akan berlaku bagi mengisi jawatan Ketua Wanita, saya hendak tegaskan bahawa penting sekali proses pemilihan itu berjalan dengan mencerminkan kematangan demokrasi dalam parti,” katanya.
Sementara itu, di Kuala Lumpur hari Jumaat, Rafidah dijangka akan keluarkan kenyataan berhubung dengan pendiriannya mengenai pertandingan jawatan Ketua Wanita UMNO Malaysia pada pemilihan parti itu Mac tahun depan.

Difahamkan, Rafidah akan tetap mempertahankan jawatan Ketua Wanita UMNO Malaysia ekoran pendirian Shahrizat yang menerima pencalonan bagi beliau bertanding jawatan Ketua Wanita dan sekaligus pelan peralihan kuasa Ketua Wanita yang diputuskan pada Jun 2009 sebelum ini tiadk akan menjadi kenyataan.