Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Thursday, November 20, 2008

Masalah kepimpinan Wanita UMNO perlu selesai cepat - Malaysiakini

Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) mahu isu kepimpinan Wanita Umno diselesaikan dengan aman dan damai agar tidak menimbulkan masalah besar kepada sayap penting Umno itu.

Presiden Mubarak Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata kedua-dua pemimpin yang terlibat, Tan Sri Rafidah Aziz dan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, perlu membuat keputusan yang bijaksana supaya tidak menimbulkan kesan negatif kepada pergerakan itu pada masa akan datang.
“Pemimpin datang dan pergi. Sebagai sebuah parti yang mana wanita merupakan satu sayap yang amat penting, maka kita harus memastikan Wanita Umno kekal menjadi sokongan kuat kepada Umno khususnya dan kerajaan Malaysia secara amnya,” katanya selepas melancarkan majlis Hari Kualiti Lembaga Pertubuhan Peladang 2008 di Kuala Lumpur hari ini.

Harga petrol nak turun lagi.? - Malaysiakini

Kerajaan akan memutuskan sama ada menurunkan lagi harga petrol semasa mesyuarat Majlis Ekonomi Negara pada 1 Disember ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad hari ini.

Beliau berkata terdapat kemungkinan harga petrol diturunkan lagi selepas mesyuarat itu dan isu utama yang akan dibincangkan ialah sama ada mengadakan harga apungan terurus atau harga lantai untuk petrol.
“Pada masa ini, kita menyelaraskan harga setiap dua minggu mengikut harga pasaran,” katanya kepada pemberita di lobi Parliamen.
Beliau berkata sejak bulan ini, kerajaan menghentikan subsidi harga petrol di stesen minyak.
“Harga petrol semasa pada RM2 seliter lebih tinggi berbanding harga pasaran,” katanya.
Shahrir berkata pada Ogos, September dan Oktober, harga runcit petrol di pam di stesen minyak lebih rendah berbanding harga pasaran.
“Pada Ogos, harga petrol di pam pada RM2.55 seliter manakala harga pasaran pada RM2.83. Pada September, harga petrol di pam pada RM2.45 seliter manakala harga pasaran RM2.77 dan Oktober, harga petrol di pam pada RM2.15 seliter manakala harga pasaran RM2.26,” katanya.
Mengenai pengusaha stesen minyak, Shahrir berkata antara syaratnya ialah mereka perlu warga negara Malaysia.

Bagi kawalan harga barangan, beliau berkata kerajaan mempunyai kuasa untuk mengawal harga melalui pengeluaran lesen kepada pembekal.

Shahrizat sah cabar Rafidah - Malaysiakini

Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil hari ini mengumumkan akan bertanding jawatan ketua Wanita Umno.

shahrizat abdul jalil official media notice on umno wanita chief post challenge 201108Beliau mengumumkan demikian dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan petang ini.

Menurutnya, beliau menerima pencalonan dan sokongan untuk bertanding jawatan ketua Wanita Mac depan.

Shahrizat merupakan naib ketua Wanita dan penasihat hal ehwal pembangunan wanita dan sosial kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau akan berdepan dengan Tan Sri Rafidah Aziz, tokoh ketua Wanita yang paling berkhidmat selama 21 tahun, sekiranya ahli parlimen Kuala Kangsar itu tetap mahu mempertahankan jawatan tersebut.

Pengumuman Shahrizat itu menjawab teka-teki selama ini sama ada beliau akan menerima pencalonan untuk bertanding jawatan tersebut.

Najib tak kenal dan tak pernah jumpa Altantuya - Malaysiakini

Setelah batalkan pada saat-saat akhir sidang akhbarnya yang dijadual pada 6 November lalu…jam 9.30 pagi ini Abdul Razak Baginda bersemuka buat pertama kali dengan para wartawan sejak dibebaskan dari tuduhan bersubahat bunuh wanita Mongolia oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 31 Oktober.

Lebih dari 50 wartawan dan jurugambar menghadiri sidang akhbar penganalisis politik itu yang diadakan disebuah hotel di Jalan Ampang,Kuala Lumpur.

Menjawab berbagai soalan yang ditujukan Razak antara lain menegaskan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor tidak terlibat langsung dalam kesnya.

Beliau meminta supaya jangan lagi fitnah mereka.

Katanya Najib tidak tidak kenal dan tidak pernah bersua dengan Altantuya.

Menurut Razak tidak wujud sebarang gambar mereka bertiga bersama seperti yang digembar gembur oleh sesetengah pihak.

Beliau menyalahkan para blogger kerana memberi gambaran negatif pada kes berkenaan.

Menjawab satu soalan Razak berkata sewaktu ditahan dan dibebaskan beliau tidak pernah berhubung dengan Timbalan Perdana Menteri.

Beliau enggan menjawab soalan mengenai hubungannya dengan Altantuya kerana kes itu masih dibicarakan di mahkamah.

Kepada soalan lain katanya terpulanglah kepada keluarga Altantuya untuk bawa kes itu ke mahkamah antarabangsa dan beliau akan menjalani kehidupan seperti biasa.

Menurut Razak beliau akan melanjutkan pelajaran ke Universiti Oxford di United Kingdom dalam sedikit masa lagi.

Sidang akhbar berkenaan dihadiri oleh bapa Razak dan peguamnya.

Isteri dan anak Razak tidak hadir.

Shahrizat umum Khamis ini? - Malaysiakini

Pertembungan bagi jawatan Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, nampaknya sudah tidak boleh dielakkan.

Sumber-sumber yang layak dipercayai dan rapat dengan Exco Wanita UMNO Malaysia memberitahu sehingga masa ini, belum ada lagi titik temu dalam soal pelan peralihan kuasa Ketua Wanita UMNO Malaysia.

Malah berdasarkan sentimen kedua-dua pihak yang menyokong pelan peralihan kuasa dikekalkan pada Jun 2009 dan yang mahu ia dipercepatkan kepada Mac 2009, semakin jelas mahukan penyelesaian kepada kemelut tersebut diselesaikan melalui pertandingan.

Sementara itu Bernama dalam satu laporannya petang Selasa menyebut, Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil akan mengumumkan keputusannya bertanding jawatan Ketua Wanita UMNO Malaysia, Khamis ini.

Dilaporkan keputusan yang akan diumum oleh Shahrizat itu adalah yang terbaik baginya memandangkan Rafidah tetap bertegas untuk melepaskan jawatan Ketua Wanita UMNO hanya pada Jun 2009 dan menolak desakan dari banyak pihak dalam parti supaya peralihan kuasa Wanita UMNO diselaraskan dengan pelan peralihan UMNO Pusat pada Mac.

Menurut laporan itu lagi, keputusan Shahrizat itu juga didorong oleh pendirian Exco Wanita UMNO, Datuk Kamilia Ibrahim untuk bertanding jawatan Naib Ketua yang disandang Shahrizat sekarang.

Sementara itu menurut laporan Bernama juga, Rafidah yang kini bercuti di Hong Kong, ketika dihubungi berkata beliau akan hanya mengulas mengenai perkara itu sekembalinya daripada cuti.

Mudahnya bangsa asing mengherdik Melayu - Malaysiakini

Oleh : Hassan Md Hussein
Saya cukup tertarik membaca tulisan Sdr Roslan Latif (Presiden Alumni Melayu Amerika Utara (ALMA)) dalam ruangan Surat & E-Mel, Berita Harian, Sabtu 15 November 2008 bertajuk ‘Sifat pemurah Melayu tak dihargai’.

Harapan saya, semoga tulisan itu dibaca, dihayati dan difahami oleh Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Prof Dr. P. Ramasamy (selepas ini ditulis sebagai Rama), kerana dia sebagai TKM Pulau Pinang, nampaknya cukup bodoh, mengeluarkan kenyataan rasis mengenai perkauman khususnya Melayu dan Umno.

Mudah-mudahan, para Exco Pergerakan Pemuda Umno, turut membaca tulisan itu. Sengaja saya petik tulisan itu di sini, supaya ia boleh ditatapi semula, tersimpan sebagai khazanah bangsa Melayu, agar orang-orang Melayu yang semakin teruk diherdik orang-orang seperti Rama ini, sedar bahawa ‘kita ni terlalu pemurah’.

Kelmarin Timbalan Ketua Menteri 11 Pulau Pinang, Prof Dr. P. Ramasamy dilaporkan kecewa kerana tidak ramai bukan Melayu dalam perkhidmatan awam.

Beliau memberi statistic sehingga 30 September lalu bahawa Melayu meliputi 82 peratus, 13 peratus India dan hanya lima peratus Cina.

Soalnya siapa yang sekat bukan Melayu bekerja dengan kerajaan?

Mungkinkah bukan Melayu tidak suka jawatan bergaji rendah?

Apabila polis, tentera, bomba membuka peluang pekerjaan baru, tidak Nampak orang Cina dan India memohon.

Lupakah Ramasamy selama lebih 150 tahun sejak datuk dia berhijrah dari Tamil Nadu, Andra Pradesh kaum India yang menguasai tenaga, telekom, pelabuhan, majlis tempatan dan Keretapi Tanah Melayu (KTM). Orang Melayu ketika itu tidak merungut.

Malah, seawall 1816 lagi, kaum India dan Cina belajar di sekolah apabila Penang Free School dibuka. Anglo-Tamil School menumpang di Penang Free School.

Tahun yang sama sekolah Cina dibuka di Melaka. Sekolah Melayu pertama dibuka pada 1856, iaitu Sekolah Melayu Telok Air Tawar, Pulau Pinang dan Telok Belanga di Singapura, selepas 40 tahun bukan Melayu bersekolah.

Itupun sapai darjah lima sedangkan India dan Cina sampai Senior Cambridge sebelum melanjutkan pelajaran ke Raffles College, King Edward Medical College, Australia dan United Kingdom. Mereka pulang menjadi peguam, doctor, jurutera dan profesional lain.

Ketika itu kebanyakkan Melayu menjadi petani dan bekerja di kampong.

Baiknya orang Melayu, walau pun India hanya meliputi tujuh peratus penduduk negara ini, Ramasamy boleh jadi Timbalan Ketua Menteri. Malah, ketika pilihan raya 1955, Melayu 90 peratus daripada pengundi tetapi daripada 55 kerusi, 15 disedekah kepada bukan Melayu atas dasar tolak ansur.

Ramai yang dilantik Menteri dan Timbalan Menteri.Malah, sebahagian besar daripada 20 kerusi MCA, Gerakan, MIC menang di kawasan majoriti Melayu. Kalau Ramasamy ingat kembali ucapan Tun V T Sambanthan di Dewan Rakyat pada 1 Jun 1965 – “Tahun 1955, kita menang pilihan raya dengan majoriti besar. Dua tahun kemudian kita Merdeka di mana kita bincang kerakyatan dan perkara lain. Sekarang apa yang orang Melayu buat – memandangkan kita bercakap mengenai isu kaum – apa pemimpin Melayu buat? Mereka ada 88 peratus dari pengundi, tapi apa yang mereka buat dengan kerakyatan? Kalau kita perhatikan di Asia Timur, kaum saya, kaum India tidak diterima di Ceylon dan tidak diterima di Burma.
“Lihat abang saya, kaum Cina, tidak diterima di Thailand, Vietnam, Kemboja dan tempat lain.

“Apa bantuan yang mereka dapat dari segi kerakyatan di negara ini?

“Di Burma, mereka dihalau balik, di Ceylon kerakyatan mereka disekat. Kamu semua tahu, saya pun tahu.

“Di sini, kita dapati pemimpin Melayu berkata: “Kita akan menerima mereka sebagai saudara kita, kita akan berikan sepenuh peluang sebagai rakyat Tanah Melayu.

“Terbukti pada 1957, syarat bahasa dikecualikan di mana berpuluh-puluh ribu kaum India, Cina, Ceylon dan lain-lain menjadi warga Negara. Seperti apa yang saya katakana, saya begitu bertuah lahir di sini. Di mana lagi dapat dicari orang yang paling pemurah, berhemah tinggi dan bangsa yang beradab selain bangsa Melayu?

“Di mana lagi dapat kita cari layanan sebaik mungkin dari segi politik bagi kaum pendatang?

“Saya ingin bertanya kepada tuan dan puan. Ini adalah hakikat. Siapa lagi yang akan menjaga kesejahteraan kita. Kaum saya hanya 10 peratus, kaum minoriti. Tetapi saya berbangga berada di sini.”
Kalaulah Ramasamy, bekas pensyarah university menghayati ucapan Tun Sambanthan, tak mungkin dia sanggup menuduh Umno yang begitu berjasa mempertahankan hak kaum lain, tidak seperti sesetengah negara yang mereka menjadi kasta kelas dua, jauh sekali bermimpi menjadi menteri, bebas mengherdik orang Melayu, bebas menuduh mereka dipinggir dan kaum mereka ditindas walau pun dalam bidang tertentu seperti perubatan dan guaman di mana peratus mereka mengatasi pribumi.

Kenapa Ramasamy tidak melihat keadaan di firma swasta dan syarikat multi nasional?

Mengikut kajian Universityi Sains Malaysia (USM) pada 2002, hanya 14 peratus Melayu capai tahap pengurusan tertinggi 60 peratus di pengurusan terendah berbanding 73 peratus pada pengurusan tertinggi dan hanya 20 peratus dalam pengurusan terendah bagi kaum Cina.

Polar guna tenaga bumiputera dalam firma swasta pada 2005, hanya 20 peratus ketua pehgawai eksekutif bumiputera berbanding 80 peratus bukan bumiputera dan hanya 40 peratus pada peringkat pengurusan berbanding 52 peratus bukan bumiputera. Kalaulah Ramasamy tinjau ke bank seperti Hong Leong, Public Bank, OCBC, EON, Standard Chartered, HSBC berbanding peratus kakitangan pengurusan di CIMB, Maybank, RHB beliau dapat bandingkan siapa yang lebih pemurah.

Tak payahlah nak kira bangunan, pusat beli belah, kondominium, rumah mewah Melayu di Pulau Pinang, terlalu hiba untuk dibuat perbandingan.

Saya betul-betul berharap, ada lagi penulis dan pemikir yang dapat menulis artikel seperti ini untuk menyedarkan orang-orang India yang berfikiran seperti Ramasamy dan orang-orang Cina, yang berfikiran seperti Ong Tee Kiat dan orang-orang Melayu yang berfikiran seperti Anwar Ibrahim dan Azmin Ali.

Singkir pemimpin terbabit politik wang, kata Mahathir - Malaysiakini

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menyarankan Umno segera mengambil tindakan drastik bagi 'membersih' dan menyingkirkan pemimpin parti yang terbabit dalam politik wang.

Beliau berkata, usaha itu perlu dibuat sekarang kerana bimbang Umno yang juga parti terbesar dalam komponen Barisan Nasional (BN) akan kalah teruk pada pilihan raya umum akan datang jika pemimpin yang terbabit dalam politik wang tidak dibuang.
"Ini adalah nasib yang menunggu Umno jika tidak ada usaha dibuat untuk membersihkan Umno dari sekarang dan mereka yang terbabit dalam politik wang mesti disingkir, dituduh dalam mahkamah dan dihukum.

"Jika tidak ada tindakan menyeluruh diambil terhadap mereka, maka rakyat tidak akan percaya pada Umno. Kita tidak boleh benarkan mereka menjadi pemimpin dalam Umno," katanya pada majlis dialog mengenai perkembangan isu semasa di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, semalam.
Dr Mahathir berkata, rakyat tidak akan sokong Umno dan BN jika pemimpinnya yang terbabit dalam politik wang.
"Apabila guna wang, pandangan pengundi kepada mereka amat buruk...mereka pandang jijik kepada orang macam ini dan pada pilihan raya akan datang sudah tentu yang akan dapat jadi calon ialah mereka yang cekap memberi wang kepada pihak tertentu supaya dapat jadi calon," katanya.