Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Wednesday, November 5, 2008

PM harap Obama bawa perubahan positif situasi negara teluk - Malaysiakini

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengucapkan tahniah kepada Barack Obama atas pemilihan beliau sebagai presiden Amerika Syarikat, dan berkata beliau patut memberikan perhatian segera untuk menyelesaikan isu untuk membawa perubahan positif terhadap situasi di Iraq, Afghanistan, Iran dan Palestin.

“Semua ini adalah isu penting yang telah bersama kita untuk tempoh yang begitu lama dan kita lihat seolah-olah tiada sebarang penyelesaian langsung.

Saya yakin presiden AS mempunyai pengaruh besar dan saya berharap Obama akan menggunakan pengaruh positif ini untuk memastikan isu ini diselesaikan secepat mungkin,” katanya pada sidang akhbar di Bangunan Parlimen hari ini.

Obama, 47, senator parti Demokrat dari Illinois, menewaskan lawannya dari parti Republikan, Senator John McCain dari Arizona, untuk menjadi presiden ke-44 Amerika Syarikat hari ini.

Abdullah berkata beliau pasti Obama akan mendapat sokongan masyarakat global yang sememangnya sentiasa menunggu isu itu diselesaikan sepenuhnya.
“Saya tahu ianya sukar untuk dilakukan tetapi saya fikir usaha baik akan dilakukan oleh Obama,” katanya dan menambah beliau berharap Obama juga akan menangani masalah daripada segi sikap dan pendekatan terhadap usaha menyelesaikan beberapa masalah yang dihadapi dunia sekarang.
Abdullah berkata masyarakat dunia juga berharap Obama, presiden warga Amerika berketurunan Afrika pertama Amerika Syarikat, akan bersikap adil dalam berurusan dengan pelbagai kumpulan termasuk orang Islam dan dunia Islam.
“Saya fikir ini amat penting. Saya pasti beliau tidak mahu bersikap berat sebelah kerana ini akan memberikan imej yang negatif terhadap beliau dan tidak akan membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi dunia sekarang. Mereka yang terlibat dalam mengusahakan perdamaian perlu bersikap adil dan tidak hanya menyokong satu pihak,” katanya.
Abdullah berkata beliau juga berharap Obama akan membawa perubahan positif dalam hal ehwal dunia kerana Amerika Syarikat mempunyai pengaruh besar dalam isu antarabangsa dan tatalaku hubungan antarabangsa.

Mengenai hubungan dua hala, Abdullah berkata beliau mengharapkan era baru bagi hubungan yang lebih mesra antara Malaysia dan Amerika Syarikat kerana Amerika Syarikat penting kepada Malaysia daripada banyak aspek.
“Tetapi juga menjadi harapan kita yang hubungan sedia ada dikekalkan dengan asas saling menghormati antara negara berdaulat dan semua aspek berkaitan hubungan ditingkatkan lagi demi faedah bersama.
Ketika ditanya sama ada Malaysia akan turut melahirkan pemimpin negara tanpa mengira kaum seperti yang berlaku di Amerika Syarikat, Abdullah berkata ia boleh terjadi di mana-mana sahaja.
“Ia bergantung kepada rakyat yang akan menentukannya. Apa yang berlaku di Amerika Syarikat bukan ditentukan oleh Washington atau mana-mana kumpulan tetapi ditentukan rakyat Amerika sendiri dengan membuat pemilihan mengikut proses demokrasi dan amalan pemilihan yang telah wujud di Amerika dengan begitu lama,” katanya.

Langkah tambahan Bajet 2009 tidak langgar peraturan, kata Pandikar - Malaysiakini

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia memutuskan langkah tambahan dalam Bajet 2009 termasuk suntikan perbelanjaan RM7 bilion yang diumumkan Datuk Seri Najib Razak, semalam, tidak ada unsur perlanggaran mesyuarat.

Beliau berkata, bajet diumumkan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan adalah bajet sama yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, pada 29 Ogos lalu.

Katanya, tidak wujud kekeliruan berhubung perkara itu sehingga menimbulkan pertikaian di kalangan Ahli Parlimen pembangkang yang bertindak keluar dewan dan mendesak persidangan Dewan Rakyat ditangguhkan hari ini.

Calon tawar wang telah kenal pasti - Malaysiakini

Pasukan pemantau yang diwujudkan oleh Lembaga Displin Umno telah mengenal pasti calon yang menawarkan diri bagi merebut jawatan dalam pemilihan parti Mac depan yang mengamalkan politik wang dan penyalahgunaan kuasa.

Pengerusi lembaga itu Tengku Tan Sri Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail berkata pihaknya sedang dalam proses menganalisis dan penyiasat secara serius dan terperinci, untuk mengumpulkan segala bahan bukti dan saksi bagi tujuan mengambil tindakan tegas terhadap mereka tanpa mengira sesiapapun.
"Jika sekiranya mereka yang terlibat ini akhirnya didapati bersalah, mereka akan hilang hak untuk bertanding atau sekiranya menang, kemenangan mereka boleh dibatalkan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut laporan Bernama, beliau berkata kebelakangan ini, khususnya di peringkat pencalonan timbalan presiden dan naib presiden, pihaknya mendapati calon-calon yang menawarkan diri telah menggunakan ramai pengurus, perayu dan pelobi untuk mendapatkan pencalonan.
"Dengan adanya ramai pemantau yang kami wujudkan sekarang di seluruh negara, pihak kami telahpun mengenal pasti calon-calon yang menyalahgunakan kuasa dan mengamalkan rasuah politik wang yang begitu hebat dan keterlaluan," katanya.
Beliau yang sedih dan kecewa tentang gejala amalan politik wang yang berlaku dalam tempoh pemilihan bahagian Umno yang sedang berlangsung mengingatkan semua calon serta pihak terlibat supaya segera memberhentikan perbuatan itu.
"Memandangkan masih ada berbaki 49 bahagian yang akan bersidang pada akhir minggu ini, saya ingin memberi peringatan tegas kepada semua calon dan pihak terlibat supaya menghentikan gejala yang tidak baik dan terkutuk ini agar dapat kita bersama-sama memperkuatkan Umno, demi kesejahteraan dan kebahagiaan kita dan generasi akan datang," katanya.
Proses pemilihan bagi 191 bahagian Umno yang bermula sejak 9 Oktober lepas dijadual berakhir Ahad ini.