Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Thursday, October 9, 2008

Siapa patut diam - Tun atau Andullah ? - Malaysiakini

Pak Lah masih Perdana Menteri Malaysia sehingga Mac dan apa juga kemungkinan boleh berlaku dalam politik, jangan terlalu pasti Pak Lah bukan lagi Perdana Menteri selepas Mac ini.

Tun Mahathir sepatutnya diam kerana beliau bukanlah Perdana Menteri dan bukan Presiden UMNO malahan bukan juga ahli UMNO. Sebagai Mantan Perdana Menteri yang telah bersara Tun tidak perlu mencampuri urusan UMNO, biar ahli dan pemimpin UMNO yang menentukan jalan cerita UMNO. Tun yang bertanding kerusi Ketua Pemuda UMNO eloklah tumpukan kepada pertandingan ini dan memastikan boneka Tun berjaya melepasi pencalonan kerana angin-angin akar umbi telah memberi isyarat bahawa boneka Tun tidak akan lepas pencalonan Ketua Pemuda UMNO.

Tun telah banyak merosakkan UMNO kerana dendam terhadap Abdullah, sekarang Abdullah telah mengumumkan untuk tidak mempertahanakan kerusi Presiden UMNO, apa lagi yang Tun mahu kerana Abdullah yang dianggap musuh no 1 beliau tidak akan pertahankan jawatan. Apa lagi yang Tun mahu…. Diamlah………. jangan ganggu UMNO lagi.

Najib tawar diri untuk Presiden UMNO - Malaysiakini

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohhd Najib Tun Razak, hari ini mengumumkan beliau akan bertanding jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti itu Mac 2009.
“Dengan rendah diri, saya menawarkan diri untuk bertanding jawatan presiden parti,” katanya.
Beliau membuat pengumuman tersebut di Kuala Terengganu bagi menghadiri majlis mesra Aidilfitri anjuran Badan Perhubungan UMNO Terengganu.

Serentak dengan pengumumannya itu, Najib turut menyifatkan keputusan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak mempertahankan jawatan Presiden UMNO sebagai mencerminkan keikhlasan Perdana Menteri yang meletakkan kepentingan rakyat, parti dan negara mengatasi segala-galanya.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Seri Abdullah di atas keyakinan dan kepercayaan beliau terhadap keupayaan saya untuk mengambil alih tampuk kepimpinan parti dan kerajaan," katanya.

Khairy dapat pencalonan pertama - Malaysiakini

khairy jamaluddinMalaysiakini | Khairy Jamaluddin mendapat pencalonan pertama untuk bertanding jawatan ketua Pemuda Umno Malaysia.

Beliau yang juga naib ketua pergerakan tersebut, mendapat pencalonan pertamanya daripada bahagian Machang di Kelantan.

Pergerakan Pemuda Umno Machang mencalonkan Khairy yang juga ahli Parlimen Rembau, sebagai ketua ketua Pemuda dalam mesyuaratnya hari ini.

Mesyuarat tersebut berlangsung di Sekolah Menengah Sains, Labok dekat sini hari ini.

Selain Khairy, tiga orang lagi telah menawarkan diri untuk bertanding jawatan tersebut.

Mereka ialah ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir; bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo dan timbalan pengerusi Umno Perlis, Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Sementara itu, Bernama melaporkan, dalam persidangan perwakilan Pemuda Machang hari ini, dihadiri oleh 337 ahli daripada 125 cawangan.

Dalam pengundian yang dijalankan, Khairy mendapat 96 undi dan Mukhriz memperolehi 78 undi manakala ahli perwakilan lain tidak mengundi.

Bahagian itu mencalonkan Ketua Pemuda Umno Bahagian Kapar di Selangor, Faizal Abdullah, untuk jawatan naib ketua.
"Kami merasakan Khairy mampu menggalas tanggungjawab besar dalam usaha memperkasakan Pemuda dan seterusnya memperkuatkan Umno," kata Eriandi Ismail.
Sebelum itu, Eriandi menang tanpa bertanding jawatan ketua Pemuda bahagian Machang menggantikan Datuk Sazmi Miah yang melepaskan jawatan kerana faktor umur.

Umno Bahagian Machang akan mengadakan mesyuarat perwakilannya esok.

Wanita Umno bahagian itu, yang juga mengadakan mesyuaratnya hari ini, mencalonkan Tan Sri Rafidah Aziz dan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bagi mempertahankan jawatan ketua dan naib ketua Wanita Umno.

Rakyat Digesa Tolak Pihak Yang Tidak Hormati Pemimpin Negara - Malaysiakini

Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa rakyat negara ini supaya menolak sebarang kelakuan kurang ajar dan tidak sopan yang dilakukan pihak tertentu terhadap pemimpin negara.

Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan tidak mahu sikap seumpama itu menjadi amalan kerana jika dibiarkan, ia boleh menjejaskan perpaduan dan kestabilan negara.

Memberi contoh insiden kekecohan semasa rumah terbuka Hari Raya anjuran Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan anggota Kabinet beragama Islam di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Rabu lepas, Najib berkata tindakan seumpama itu hanya merugikan negara.
“Jika ada pihak-pihak tertentu yang ada tujuan lain, tidak faham budaya bersopan-santun, kurang ajar dan tidak menghormati pemimpin, rakyat perlu menolak. Tindakan ini tidak boleh menjadi amalan,” katanya.
Beliau yang ditemani isteri, Datin Seri Rosmah Mansor sempena lawatan kerja sehari ke Terengganu, berkata demikian ketika berucap melancarkan kiraan detik Kejohanan Kuda Lasak Fei-World Endurance (WEC) 2008 di Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak dekat sini pada Khamis.

Turut hadir Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said serta Menteri Belia dan Sukan Datuk Ismail Sabri Yaakob.

Rabu lepas, sekumpulan penyokong Hindu Rights Action Force (Hindraf) menimbulkan kekecohan pada majlis rumah terbuka Hari Raya itu.

Tanpa mempedulikan peraturan, mereka bertindak mendahului barisan pengunjung lain yang sudah pun beratur untuk memasuki dewan sejak pukul 10 pagi.

Menurut saksi yang melihat tindak-tanduk mereka, kumpulan itu mula memotong barisan orang ramai menjelang tengah hari untuk menyerahkan patung beruang dan kad Hari Raya yang mereka dakwa mengandungi 300 tandatangan bagi mendesak pembebasan pemimpin Hindraf yang sedang menjalani tahanan.

Najib berkata tujuan kerajaan mengadakan rumah terbuka berkenaan adalah bagi membolehkan rakyat berjumpa dan berjabat tangan dengan pemimpin negara tanpa sebarang protokol.

Timbalan Perdana Menteri berkata amalan mengadakan rumah terbuka itu adalah budaya unik yang tidak pernah diadakan di mana-mana negara di dunia dan ia menunjukkan keamanan yang dikecapi rakyat di negara ini.
“Tidak pernah di negara lain, rakyat boleh berjumpa dengan pemimpin dengan begitu mudah. (Tetapi) nilai keamanan ini akan rosak, jika ada pihak tertentu yang ada tujuan lain. Nilai keamanan ini tidak boleh diketepikan,” katanya.
Beliau berkata jika tindakan pihak tertentu itu terus dibiarkan, konsep rumah terbuka seumpama itu, mungkin tidak dapat diadakan pada masa hadapan dan ia sudah tentu merugikan.

Najib berkata sikap sopan-santun rakyat negara ini tidak boleh dibeli dengan wang ringgit dan ia tidak boleh sengaja diada-adakan.
“Sikap ini merupakan satu warisan dan legasi masyarakat Malaysia,” katanya, sambil menambah bahawa imej dan budaya sopan-santun itu perlu dipaparkan kepada orang luar semasa berlangsungnya WEC 2008.
WEC 2008 yang dijangka melibatkan 150 penunggang dari 34 buah negara, akan berlangsung dari 6 hingga 9 Nov depan di Terengganu International Endurance Park (TIEP) di Lembah Bidong, Setiu.
*** Bukan hanya Hindraf, dalam UMNO juga ada ramai pemimpin yang patut kita tolak yang tidak menghormati pemimpin Negara. Baik yang muda mahu pun yang telah berumur. Fikirlah sendiri.

Muhammad Muhd Taib tawar diri tanding Timbalan Presiden UMNO - Malaysiakini

Ketua Penerangan UMNO Malaysia Tan Sri Muhammad Muhd Taib secara rasmi hari ini menawarkan dirinya untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO. Dalam sidang media yang dihadiri lebih 150 orang pimpinan UMNO Bahagian Selangor di Shah Alam, Muhammad berkata, beliau menawarkan dirinya berdasarkan rekod kesetiaan dan perkhidmatannya kepada parti selama ini. Beliau juga memberitahu mendapat sokongan semua UMNO Bahagian negeri Selangor untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO. Selain itu beliau juga maklumkan, UMNO negeri itu menyokong pencalonan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak bagi jawatan Presiden UMNO Malaysia.

KEHADIRAN KHIR DALAM BARISAN CALON KETUA PEMUDA CACATKAN GAMBARAN SEBENAR - Malaysiakini

Oleh : Ainul Sabirin
Apa cerita Mohd Khir Toyo ni sibuk-sibuk nak campur anak-anak muda seperti Khairy Jamaluddin, Mukhriz Mahathir dan Zahidi Zainul Abidin nak bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO ni? Membariskan mereka berempat, memang jelas nampaknya Khir mungkin ada maksud lain daripada mahu berjuang dalam Pemuda rasanya.

Sepatutnya, sebelum Khir menawar diri untuk jadi Ketua Pemuda, dia harus susun gambar ke empat-empat calon yang tawar diri termasuk dirinya sendiri dan renung betul-betul. Khir nampak tak secerah wajah yang lain. Walaupun wajahnya sudah dimudakan dengan botok ala tempe, dia tetap tidak kelihatan seperti wajah Khairy, Mukhriz dan Zahidi.

Sungguhpun untuk mengetuai Pemuda tidak semestinya muda betul, tetapi rasanya satu kesilapan besar apabila Khir muncul dicelah yang berpotensi untuk memegang jawatan tersebut. Sudahlah berwajah tidak ori, nampaknya mewah sangat menabur umpan dengan cara yang bukan lagi menajdi rahsia. Khir harus ingat, umpan tu walaupun tidak berbukti, tetapi mulut tempayan boleh tutup, mulut orang payah nak tutup.

Kalau nak ikut demokrasi, memang la demokrasi. Siapa pun boleh bertanding. Memang tidak salah. Tapi melihatkan jawatan Ketua Pemuda yang Hishamuddin tinggalkan itu, tiba-tiba sahaja Khir menaruh minat dilihat tidak sepadan minat Mukhriz dan Zahidi selain Khairy yang kebetulan sudah duduk di kerusi Naib Ketua sekarang.

Rebutan jawatan Ketua Pemuda antara Khairy, Mukhriz dan Zahidi sudah cukup cantik. Tetapi apabila Khir yang telah gagal besar terlepasnya Negeri Selangor ke tangan PKR, pertandingan jawatan penting Ketua Pemuda itu menjadi cacat dengan kehadirannya. Khir seperti orang keciciran mengejar bas yang sudah penuh.

Kalaulah saya jadi Khir (selisih malaikat 44), setelah hilang jawatan Menteri Besar dan orang kutuk wajah botok yang membawa suwe kepada Negeri Selangor dan sumpah sial penyapu yang melanda dirinya itu, cukuplah setakat itu. Berehatlah dan buatlah amal jariah dari apa yang telah tersimpan kepada mana-mana orang miskin yang memerlukan bantuan.

Kalau malu nak balik ke klinik gigi sendiri, bukalah klinik biro pengaduan untuk orang Melayu yang bermasalah seperti orang Micheal Chong buat. Itu lebih baik. Gitu gini pun orang dah kenal Khir. Mahu terkenal sangat pun nak buat apa. Nanti ‘make-up’ tu luntur esok-esok, orang lagi kenal.

Saya bukanlah iri hati atau cemburu dengan cita-cita Khir untuk jadi Ketua Pemuda, tetapi saya pelik dengan nafsunya yang dahsyat nampaknya. Bukan sekadar saya seorang yang rasa pelik, kawan-kawan yang dari semua peringkat umur dan dari kalangan bukan Melayu pun tidak habis-habis menceritakan keadaan pelik itu.

Khir nampak macam orang takut hilang nama, takut hilang pengaruh untuk menghadapi hidup selepas tercampak keluar dari pintu Kerajaan Selangor. Memang kita semua faham betapa malunya beliau dengan kehilangan kuasa dengan secara tiba-tiba. Tak sewel pun dah mujur. Tetapi Khir sendiri pun perlu juga faham bahawa kuasa yang tuhan beri itu ada hadnya.

Bila dah lebur di Selangor, itulah hadnya. Cukuplah dari apa yang telah dipergunakan sebelum ini. Tidak perlulah toleh ke gelanggang orang yang lain pula mencuba nasib. Anak-anak muda sekarang ini bukan nak tengok muka-muka yang membawa bendera gagal menjadi pemimpin mereka. Mereka lebih suka mencuba pemimpin yang belum teruji lagi untuk kelainan. Benih kepimpinan Khir sudah lapuk.

Khir pemimpin lama. Pulak tu dah terlepas kapal namanya. Jadinya, cocoklah dengan muka Khairy, Mukhriz dan Zahidi tunjuk kehebatan mereka pula yang mungkin lebih hebat daripada pemikiran Khir yang sudah dikongkong dengan saki-baki ego bekas seorang Menteri Besar. Sudah banyak contoh bekas-bekas pemimpin yang hebat-hebat, apabila turun ke bawah masih terbawa-bawa tabiat dan amalannya semasa dia menjadi pemerintah.

Kalau ditakdirkan Khir jadilah juga Ketua Pemuda nanti, ramai yang bimbang bagaimana pemuda dari komponen BN mahu menerima Khir yang sudah diketahui umum bukan seorang yang begitu muhibbah tanpa kepentingan. Khir harus ingat bahawa walaupun yang memilih Ketua Pemuda adalah dari kalangan ahli pemuda, tetapi peranan Ketua Pemuda UMNO adalah lebih besar skopnya.

Ramai melihat Khir sesuai menjadi pemimpin satu kelompok kaum sahaja dan tidak menjangkau ke kaum-kaum lain yang turut sama melihat dan meneliti corak kepimpinan yang sudah mempunyai sejarah kekalahan yang memalukan seluruh anggota parti komponen BN dalam pilihan raya umum lalu.
Sebagai abang kepada pemuda, nasihat saya kepada Khir, biarkanlah jaguh yang lebih berhak untuk merebut kerusi Ketua Pemuda itu seperti Khairy, Mukhriz dan Zahidi. Mereka bertiga dilihat cukup padan dengan apa yang mereka rebut dengan keadaan dan kedudukan .

KENYATAAN MEDIA DATUK SERI ABDULLAH - Malaysiakini

Saya telah berkhidmat kepada negara lebih dari 45 tahun. Saya telah berkhidmat sebagai penjawat awam dan juga sebagai seorang wakil rakyat. Saya telah bertugas sebagai ahli pentadbiran sehingga, Alhamdulillah, saya berpeluang untuk memegang jawatan yang tertinggi di dalam kerajaan. Saya telah melihat Malaysia melangkah maju dari sebuah negara yang miskin kepada sebuah negara yang moden dan disegani.

Walaupun prestasi pencapaian negara adalah membanggakan, saya percaya bahawa negara kita berada di sebuah persimpangan. Kita perlu berani membuat perubahan, kita perlu mempercepatkan evolusi dan proses pematangan. Sekiranya kita gagal membuat perubahan tersebut, segala pencapaian kita selama lebih 50 tahun mungkin tergadai.. Dalam menghadapi perubahan dan transformasi ini, rakyat perlu berdiri teguh dan bersatu hati.

Sepanjang tempoh perkhidmatan saya, saya sentiasa mengutamakan kepentingan negara dan rakyat.

Oleh itu, saya tidak akan mempertahankan jawatan Presiden Umno dalam Perhimpunan Agung yang akan datang. Saya tidak mahu melihat UMNO dan Barisan Nasional berpecah belah. UMNO dan Barisan Nasional perlu bersatu dan kukuh bagi menangani cabaran-cabaran global, agar kita berjaya menjadi sebuah negara yang maju – sebuah negara yang menjamin kesejahteraan dan keadilan untuk semua.

Tempoh saya sebagai Presiden UMNO akan tamat pada bulan Mac 2009. Namun, ada beberapa inisiatif yang saya ingin laksanakan sebelum saya menyerahkan tugas dan tanggungjawab kepada bakal pengganti saya. Inisiatif-inisiatif ini adalah penting untuk membolehkan negara kita terus melangkah maju. Inisiatif-inisiatif ini akan memperbaiki daya saing negara dan membolehkan Malaysia mengharungi cabaran-cabaran luaran yang pasti mendatang. Saya menyeru seluruh rakyat agar bersatu bersama saya untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih baik.

Pertama, institusi negara perlu diperkukuhkan:-

Badan kehakiman perlu memperkukuhkan kedudukan dan kredibilitinya di mata rakyat. Saya akan membawa rang undang-undang ke Parlimen bagi menubuhkan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman. Suruhanjaya ini akan diberi mandat untuk mencadangkan pelantikan para hakim dengan cara yang telus.

Negara juga memerlukan sebuah institusi yang dapat memerangi gejala rasuah dengan efektif. Oleh itu, saya juga akan membawa rang undang-undang ke parlimen untuk menubuhkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, yang akan mempunyai kuasa penyelidikan dan penguatkuasaan yang lebih besar berbanding kuasa yang sedia ada pada Badan Pencegah Rasuah.· Saya juga akan menubuhkan sebuah Suruhanjaya Aduan Khas bagi memperkukuhkan integriti dan keberkesanan agensi penguatkuasaan.

Kedua, saya telah begitu kerap dan sering menegaskan bahawa kekayaan dan hasil kemakmuran Negara perlu diagihkan secara lebih adil ke serata Negara. Ketika membentangkan Bajet 2009 yang lalu,saya telah menjelaskan tentang komitmen Kerajaan untuk memperkukuh dan memperluaskan Jaringan Keselamatan Sosial. Kita akan meningkatkan usaha bagi memastikan perlaksanaan inisiatif ini dapat disegerakan bagi membantu rakyat Malaysia yang miskin dan memerlukan, tanpa mengira latar belakang, kaum atau agama. Saya juga akan bekerja keras untuk memastikan manfaat yang jelas akan dapat mula dinikmati di Iskandar, dan juga koridor-koridor pembangunan yang lain di serata Negara.

Ketiga, saya ingin melihat Kerajaan dan Barisan Nasional memperbaharui komitmen mereka terhadap usaha mewujudkan sebuah Negara yang bersatu dan harmoni. Hakikatnya, kita telah sama-sama melihat bahawa keharmonian hubungan antara kaum dan agama semakin merosot dan terhakis. Pelbagai isu telah dibangkitkan yang berupaya meretak dan menghancurkan perpaduan yang telah kita jalin sekian lama, yang kita banggakan selama ini. Isu-isu ini perlu kita depani dengan bijak dan matang, melalui dialog; tangani isu-isu ini secara konstruktif dan adil; bagi memastikan rakyat dapat memahami isu-isu ini dengan jelas, tanpa sebarang keraguan; dan berikan fokus kepada aspek-aspek yang menyatukan kita dan bukannya aspek-aspek yang makin memecah-belahkan kita semua. Bagi tujuan ini, saya akan mengadakan Konvensyen Barisan Nasional pada awal tahun depan. Ini sememangnya satu usaha jangka panjang yang saya harap dapat saya mulakan dan akan terus saya berikan sumbangan bagi memastikan kejayaannya.

Saya serius dan komited untuk mencapai segala misi yang saya gagaskan, dan saya yakin bakal pengganti saya akan meneruskan usaha-usaha ini. Saya ingin menyerahkan kepada bakal pengganti saya, Malaysia sebagai sebuah negara yang mampu untuk berhadapan dengan sebarang cabaran ekonomi global; Malaysia yang tidak mengira atau memandang miskin atau kaya, tua atau muda, di bandar atau di desa, utara atau selatan, apatah lagi kaum atau agama; melainkan peraduan dan keharmonian. Ini bukan masanya untuk kita berbalah sesama sendiri atau untuk kita berpolitik secara sempit. Ini adalah masa untuk memperkukuhkan peraduan dan kerjasama antara kita Ini adalah masa untuk kita meletakkan kepentingan negara di hadapan, mengatasi segalanya.

Reaksi pemimpin komponen BN - Malaysiakini

Pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) menghormati keputusan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk tidak mempertahankan jawatannya sebagai Presiden Umno dan seterusnya berundur sebagai Perdana Menteri, Mac depan.

Pada masa sama, mereka turut melahirkan rasa terharu dengan komitmen Perdana Menteri untuk terus melaksanakan beberapa inisiatif bagi memperbaiki daya saing negara, walaupun sudah mempunyai pelan peralihan kuasa.

Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting menyifatkan perjumpaan Abdullah dengan pemimpin komponen BN hari ini sebagai sesuatu yang bersejarah kerana parti-parti komponen diberi peluang menyertai perbincangan dan dimaklumkan terlebih dahulu sebelum Perdana Menteri mengumumkan keputusan dan pendiriannya itu semalam.
"Semua pemimpin parti komponen telah memberi pandangan bahawa Barisan Nasional akan membawa perubahan yang boleh meyakinkan rakyat.

"Kami juga memberi penghargaan kepada Perdana Menteri atas segala usaha beliau memimpin BN. Beliau akan bekerja sampai Mac," katanya.
Sementara itu, Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu berkata Perdana Menteri telah membuat satu keputusan yang baik.
"Beliau berkata ia demi kepentingan perpaduan Umno dan BN yang menyebabkan beliau tidak bertanding dalam pemilihan parti akan datang dan beliau bersedia menyerahkan kuasa kepada Datuk Seri Najib Razak. Saya rasa ia satu keputusan akhir yang sangat baik.

" Kami berharap kedua-dua mereka akan bekerjasama sehingga Mac tahun depan.

"Kita akan mendapat kelebihan untuk memperkukuhkan negara. Kita akan memberi sokongan penuh kepada kedua-dua pemimpin," katanya.
Pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata beliau terharu dan menghormati keputusan Abdullah dan menyifatkan ia sebagai satu penghargaan kepada BN dan parti komponen lain.
"Apa yang lebih penting lagi beliau juga membuat komitmen supaya dalam tempoh sebelum beliau bersara beliau akan melaksanakan pembaharuan yang telah dijanjikan iaitu dalam institusi kehakiman dengan mewujudkan satu suruhanjaya yang bebas untuk mencegah rasuah dan satu suruhanjaya lagi untuk memantau agensi-agensi penguatkuasaan termasuk pihak polis.

"Semua ini amat penting untuk meletakkan institusi penting negara ke satu paras yang lebih kukuh dan berintegriti, oleh itu Gerakan memang menghormati keputusan beliau dan menghormati komitmen beliau dalam melaksanakan perubahan ini," katanya.

Cabaran besar Najib - Malaysiakini

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata cabaran berat yang bakal dipikul Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak apabila mengambil alih tampuk pemerintahan negara ialah mengembalikan keyakinan rakyat terhadap Umno dan Barisan Nasional (BN) bagi mencapai kemenangan lebih besar pada pilihan raya umum akan datang.
“Cabaran besar ialah bagaimana untuk beliau mengembalikan semula keyakinan rakyat kepada BN agar BN dapat terus memerintah dan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat khas Dewan Tertinggi BN di Kuala Lumpur semalam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi smalam telah mengumumkan beliau tidak akan mempertahankan jawatan Presiden Umno pada Perhimpunan Agung Umno Mac depan dan menamakan Najib sebagai penggantinya.

Mohd Ali berharap agar pemimpin Umno terdahulu seperti Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah serta veteran Umno yang lain agar menyokong Najib sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri selepas mengambil alih kuasa itu daripada Abdullah.
“Saya berpendapat kepemimpinan Umno di semua peringkat perlu kembali bersama menyokong pucuk pimpinan Perdana Menteri kita dan Presiden parti yang baru iaitu Najib selepas Perhimpunan Agung Umno.

“Pemimpin yang lepas harap sokong Najib seperti Tun Mahathir, Ku Li (Tengku Razaleigh) dan orang lama-lama yang lain akan beri sokongan padu kepada Najib sebagai Presiden Umno yang baru,” katanya.
Mohd Ali berkata anggota Umno di semua peringkat perlu menguatkan parti untuk bersama menghadapi cabaran yang lebih besar demi menyatu padukan parti.