Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Wednesday, October 8, 2008

Mahathir terperanjat.? - Malaysiakini

Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, beliau gembira apabila jangkaannya bahawa Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak akan berundur sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri, adalah silap.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau terperanjat apabila mendengar pengumuman Abdullah hari ini bahawa beliau tidak akan mempertahankan jawatan Presiden UMNO dan akan melepaskan teraju kepimpinan negara.
"Saya gembira kerana UMNO akan dapat dibina semula," katanya kepada pemberita di Putrajaya hari ini.
Dr. Mahathir, yang selama ini begitu lantang meminta Abdullah berundur sejak pilihan raya umum 8 Mac lepas, berkata beliau berharap Abdullah tidak akan mengenakan sebarang sekatan dan halangan dalam tempoh peralihan kepimpinan itu.

Menjawab soalan sama ada beliau akan kembali menganggotai UMNO selepas Mac tahun depan, Dr Mahathir berkata, beliau akan berbuat demikian dengan syarat mereka yang meninggalkan parti itu bersama beliau, turut diterima semula.

Ditanya apakah yang perlu dilakukan oleh Abdullah mulai sekarang hingga Mac tahun depan, Dr Mahathir berkata: "Diam."

Diminta mengulas tentang Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai pemimpin yang berkemungkinan menjadi Perdana Menteri selepas ini, Dr Mahathir berkata beliau tidak tertarik dengan prestasi Najib sebagai Timbalan Perdana Menteri sekarang.

Beliau menyifatkan Najib sebagai Timbalan Perdana Menteri yang tidak cekap kerana tidak mempunyai pendirian sendiri dan sering mengikut nasihat Abdullah dan oleh itu, Najib perlu membuat perubahan apabila mengambil alih teraju kepimpinan negara kelak.

Mengenai orang yang berkemungkinan menjadi timbalan Najib, Dr Mahathir berkata, ia sepatutnya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pesaing lain yang ada sekarang bagi mengisi jawatan Timbalan Presiden UMNO hanyalah "pak lawak" semata mata.

Bukan disekat tapi kurang sokongan kata Khir - Malaysiakini

Malaysiakini | Bekas menteri besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, yang berhasrat bertanding ketua Pemuda Umno, berkata beliau tidak pernah disekat untuk bertemu mana-mana ahli parti sepanjang berkempen walaupun dua bakal calon lain mendakwa menghadapi masalah itu.

Beliau berkata kenyataan ahli Parlimen Jerlun Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir dan ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin kononnya terdapat sekatan bagi mereka untuk bertemu ahli parti adalah andaian semata-mata.
"Mungkin apa yang mereka maksudkan sekatan itu ialah apabila ramai ahli Pemuda tidak hadir pada majlis tertentu.

"Kehadiran mereka sebenarnya mencerminkan sokongan, dan jika tidak hadir, itu terjemahan (juga)," katanya dalam laporan Bernama.
Beliau memberitahu demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Aidilfitri di rumah pemangku Ketua Pemuda Umno Bachok Mohd Zaidi Sidik di Kota Bharu malam tadi.

Mengenai agendanya, Mohamad Khir berkata jika beliau menang, perkara yang akan dilakukan adalah membantu kerajaan menangani kemiskinan tegar sepenuhnya pada 2010.

Selain itu, katanya, beliau juga akan memastikan Selangor akan kembali ke tangan Barisan Nasional dalam pilihanraya umum akan datang.

Sudah semakin ramai yang gila sekarang ni - Malaysiakini

Oleh : Zainal Yusof
Ketika semua orang tertunggu-tunggu apakah pengumuman yang bakal dibuat Presiden Umno yang juga Pengerusi Barisan nasional (BN), Datukl Seri Abdullah Ahmad Badawi, dalam tempoh terdekat, cukup ramai yang mendoakan supaya Umno dapat diselamatkan dari mereka yang gila kuasa dan gila bayang.Menggunakan perkataan ‘gila’, dipinjam dari kata-kata Datuk Seri Adnan Yaakob, Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Pahang, kerana ramai juga yang percaya, kerisauan yang dirasai Menteri Besar Pahang itu, turut dikongsi oleh ramai orang.

Tentunya mereka yang ingin menggantikan Pak lah dan ‘naik pangkat’ mengharapkan Pak Lah berundur tetapi apakah mereka merasakan bahawa ‘hanya mereka sahaja’ yang mampu menguatkan kembali Umno dan BN?

Apakah ketika mereka bercakap dalam era Pak Lah Negeri Selangor terlepas ke tangan pembangkang, mereka lupa bahawa Negeri Johor kekal di tangan BN juga dalam era Pak Lah?

Masing-masing marahklan Pak Lah kerana Pulau Pinang jatuh ke tangan DAP, tetapi mereka tidak nampak pula Sabah masih dalam BN? Kenapa hanya mahu menceritakan negeri-negeri yang kalah tetapi menyembunyikan negeri-negeri yang menang? Kalau kalah kerana Pak Lah, apakah yang menang kerana ’si anu si anu’ yang kepingin hendak jadi Presiden Umno dan kepingin nak jadi Timbalan Presiden Umno?

Selepas Umno mencapai usia 62 tahun, para pemimpin mereka nampaknya bercakaran. Bila mereka kalah sedikit, mereka salah menyalah. Mereka menuding jari, menyalahkan Pak Lah. Mereka tidak pula mahu mengatakan ‘ini adalah tanggungjawab bersama’ sebagai satu pasukan yang menang besar dalam tahun 2004.

Bila ramai yang mengumumkan hasrat mahu menawarkan diri bertanding jawatan timbalan presiden, mereka sebenarnya menggunakan alasan demokrasi masih segar dalam Umno, padahal, semua lakonan dan adegan itu menjadi bahan tertawa orang lain, termasuk orang Melayu yang sudah semakin meluat dengan tingkah laku para pemimpin Umno yang sedemikian rupa.

Dalam Pergerakan Pemuda Umno sendiri, apabila ketuanya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengumumkan hasratnya meninggalkan kerusi itu, ada beberapa nama secara gelojoh mengumumkan hasrat mereka untuk turut bertanding. Kenapa mereka tidak ‘tahu menghormati’ Naib Ketua yang masih ada?

Apakah apabila ia dikenali sebagai demokrasi, kita boleh melanggar segala tradisi? Di mana letaknya adat dan adap? Kita tentunya suka orang menghormati kita, tetapi kenapa kita tidak tahu menghormati orang?

Tentunya, bila tulisan ini berbentuk begini, akan ada pembaca yang mengatakan penulis ingin membela Khairy Jamaluddin (KJ) yang merupakan Naib Ketua Pemuda Umno. Hakikatnya, ia secara kebetulan. Jika Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo di situ, tulisan ini juga begini bentuknya.

KJ sebenarnya tidak perlu dibela. Kebolehannya, sudah dibuktikan dalam banyak kegiatan. Pilihan raya kecil adalah tempat di mana gerakerjanya menjadi kebanggaan pucuk pimpinan parti, khususnya Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak yang selalunya merupakan pengarah pilihan raya kecil BN.

Ada suara-suara budak-budak PKR yang ‘benci sangat’ dengan KJ. Sebenarnya mereka benci bukan kerana KJ buat tidak betul kepada bangsa Melayu dan rakyat Malaysia, tetapi disebabkan mereka gagal mengalahkan KJ dalam PRU 12 yang lalu di Parlimen Rembau, walaupun pelbagai tindakan agresif dan fitnah dilakukan.

Malahan, sanggup mereka menipu wartawan kononnya ada pengiraan semula undi di Rembau kerana ‘mereka sedaya upaya mahu memberi gambaran’ kononnya KJ tidak menang kecuali dengan undi pos atau ‘undi tipu’.

Masih ingat sebuah laman web yang terkenal, memohon maaf kepada KJ walaupun berita permohonan maaf itu hanya disiarkan seketika.

Dr. Mohamad Khir Toyo, terpaksa meletakkan jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Selangor kerana kekalahan BN di Selangor. Dalam masa yang sama, sepatutnya dia tidaklah membuat keputusan bertanding jawatan Ketua Pergerakan Pemuda kerana ‘jika gagal di Selangor’ macama mana dia hendak ‘memimpin Pemuda’ seluruh negara?

Begitu juga dengan Datuk Mukhriz anak kepada bekas Perdana Menteri yang sibuk memperjuangkan ‘jambatan bengkok’. Ketika dia mahu menjadi Ketua Pergerakan Pemuda Umno di Bahagian Kubang Pasu, pemuda-pemuda di cawangan menolaknya. Apakah ketika Pemuda Kubang Pasu sendiri tidak mahukan Mukhriz, Pemuda-Pemuda dari seluruh Malaysia patut menerimanya?

Seorang lagi calon, Datuk Zahidi Zainol Abidin. Cuba sesiapa bertanya kepada calon yang seorang ini, apakah dia mempunyai visi? Dari mulutnya penuh dengan fitnah dan kata-kata memburuk-burukkan KJ dan Pak Lah. Padahal, dia pernah dilantik menjadi Setiausaha Politik Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis (JJ), tetapi selepas berhenti, dia maki hamun JJ.

Dia juga pernah dilantik menjadi Setiausaha Politik Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim. Malah, pernah juga dilantik menjadi Exco Kerajaan Negeri Perlis ketika Shahidan menjadi MB Perlis, malangnya, dari mulutnya, seolah-olah Shahidan tidak ‘berguna langsung’ kepada dirinya, negeri Perlis dan orang-orang Melayu.

Umno perlu diselamatkan. Diselamatkan dari mereka yang gila kuasa. Ketika BN menang besar dalam tahun 2004, Pak Lah dianggap ’saudara mereka sendiri’ tetapi ketika BN menghadapi zaman gelap dalam PRU 12 yang lalu, mereka mengatakan Pak Lah punca semua kekalahan ini. Betullah kata MB Pahang, sudah semakin ramai yang gila kini.

Najib beri reaksi esok - Malaysiakini

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau akan memberi reaksi berhubung pengumuman Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk tidak mempertahankan jawatannya di Terengganu esok.

"Esok...esok," katanya ringkas kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) di Kuala Lumpur hari ini.

Najib akan mengadakan lawatan kerja ke Terengganu pagi esok.

Pak Lah Tidak Pertahankan Jawatan Presiden Umno - Malaysiakini

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak akan mempertahankan jawatan Presiden Umno pada perhimpunan agung parti Mac tahun depan dan kemudiannya akan melepaskan jawatan Perdana Menteri dan Pengerusi Barisan Nasional.

Bercakap dalam sidang akhbar selepas mesyuarat tersebut, Abdullah berkata beliau tidak akan mempertahankan jawatan presiden kerana tidak mahu Umno dan BN berpecah.
“Umno dan BN perlu bersatu untuk menghadapi cabaran global yang lebih besar,” katanya dalam sidang akhbar yang penuh sesak itu.
Menurut Abdullah, tempoh tamat jawatannya sebagai presiden Umno ialah Mac tahun depan.

Abdullah berkata, beliau akan menyerahkan jawatan perdana menteri selepas Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi presiden Umno.

Perdana menteri juga menegaskan bahawa keputusannya itu adalah muktamad.
“Saya ingin serahkan kepada Datuk Najib supaya Malaysia boleh menghadapi cabaran global, kerana ini bukan masa untuk berbalah sesama sendiri tetapi adalah masa untuk perpaduan, dengan mengutamakan kepentingan negara,” katanya.

Ramai ketua bahagian jumpa Abdullah supaya pertahan jawatan presiden parti Mac ini. - Malaysiakini

Lebih 20 ketua UMNO bahagian dari Pulau Pinang, Perak dan Kedah menemui Perdana Menteri malam ini dipercayai bagi memberi sokongan kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk mempertahankan jawatan presiden parti pada pemilihan Mac depan.

Pemimpin-pemimpin UMNO dari tiga negeri tersebut kelihatan mula memasuki kediaman rasmi Perdana Menteri, Seri Perdana pada pukul 8 malam dan masih berada di sana sehingga tengah malam tadi.

Antara yang kelihatan ialah Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Abdul Rashid Abdullah dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas, Datuk Hilmi Abdul Rashid.

Khairy mampu tewaskan Mukhriz dan calon lain - Malaysiakini

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad percaya Khairy Jamaluddin, yang dijangka berhadapan dengan saingan anaknya, Datuk Mukhriz dan beberapa calon lain, akan menang pemilihan Ketua Pemuda Umno Mac depan.
"Meskipun anak saya akan bertanding (jawatan Ketua Pemuda), saya tidak ragu-ragu bahawa Khairy akan memperoleh kemenangan," kata bekas Presiden Umno itu dalam tulisan terbaru blognya semalam.
Dr. Mahathir yang telah banyak mengkritik kepimpinan penggantinya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan menantunya, Khairy menambah:
"Saya tidak tahu sama ada orang ramai ada mendengar pencuri yang mengatakan "pencuri!"," kata beliau yang bersara Oktober 2003 dan kepimpinan Umno dan kerajaan Barisan Nasional oleh Abdullah.
Bagaimanapun pencuri berkenaan berjaya melepaskan diri sebab orang ramai mengejarnya dari arah bertentangan.
"Pencuri yang berpendidikan tinggi berjaya melepaskan diri bersama hasil rompakan," katanya lagi.
Bagaimanapun Dr. Mahathir tidak ketinggalan mengucapkan "semoga berjaya" kepada Khairy yang kini merupakan Naib Ketua Pemuda Umno, kedudukannya yang dimenangi tanpa dicabar empat tahun lalu.

Selain Khairy dan Mukhriz yang masing-masing merupakan anggota Dewan Rakyat akan berhadapan dengan cabaran dua pemimpin yang lain termasuk bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Khir Toyo.
"Anda (Khairy) seorang yang pintar dan layak untuk dianggap sebagai graduan pintar daripada institusi agung, Oxford University dari Great Britain," katanya.
Malah dalam tulisannya Dr. Mahathir berkata, beliau turut kongsi sedih dengan nasib Khairy yang mengatakan beliau dihalang daripada menemui ahli-ahli Pemuda.

Perkembangan itu kemungkinan akan menyebabkan beliau kehilangan peluang bersaing jawatan yang diingini, katanya.