Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Tuesday, October 7, 2008

Berakhirnya sebuah teka teki… - Malaysiakini

Menjelang pengumuman penting Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi esok nampaknya teka teki bagaikan sudah berakhir.

Semua indikasi sejak mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada pagi 26 September memutuskan hendak menangguh pemilihan parti ke bulan Mac tahun depan jelas menunjukkan Perdana Menteri tidak akan mempertahankan jawatannya sebagai Presiden UMNO.

Cuma apa yang semua orang nantikan sekarang ialah kenyataan rasmi Abdullah yang dijangka akan dibuat selepas beliau mengadakan pertemuan dengan para pemimpin parti komponen Barisan Nasional jam 3.30 petang esok.

Ia dikatakan platform yang paling sesuai bagi Perdana Menteri melabuhkan tirai itu.

Walaupun kedengaran desas desus mengenai gerak politik belakang tabir untuk meminta Abdullah tetap mempertahankan jawatannya namun difahamkan beliau sudah set dengan keputusannya.

Hakikat disebalik ini hampir semua para pemerhati politik sekata bahawa UMNO tidak mungkin dapat bertahan jika kekuatan yang masih ada dikoyak rabak menerusi satu pertandingan jawatan yang sengit apalagi diperingkat Presiden UNMO.

Perdana Menteri sendiri dikatakan tahu realiti ground report yang mahukan satu peralihan kuasa segera untuk memberi masa secukupnya kepada penganti beliau,Datuk Seri Najib Tun Razak memacu UMNO khususnya BN keluar dari debu debu tsunami politik pilihanraya 8 Mac.

Fokus selepas ini tentulah pada pencalonan-pencalonan 191 UMNO Bahagian di seluruh negara yang akan mula bermesyuarat selama sebulan hujung minggu ini.

Malah Timbalan Perdana Menteri sendiri akan berdepan dengan ujian diperingkat pencalonan kerana adanya Tengku Razaleigh Hamzah yang turut menawarkan diri untuk jawatan Presiden UMNO.

Sebanyak 58 pencalonan diperlukan untuk melayakan diri bertanding jawatan nombor satu itu.

Apapun buat masa ini tumpuan lebih kepada pemilihan jawatan Timbalan Presiden dimana Tan Sri Muhyiddin Yassin akan berdepan dengan bebebera calon yang sudah mengumumkan hasrat nak tawar diri iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan kemungkinan Tan Sri Muhammad Muhd Taib.

Saingan untuk jawatan Naib Presiden masih tidak kurang hebatnya yang jika tiada perubahan dijangka melibatkan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein,Datuk Seri Shahidan Kassim,Tan Sri Isa Samad,Datuk Shafie Afdal,Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin,Tan Sri Rahim Thamby Chik,Datuk Seri Syed Hamid Albar dan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Juga antara tandatanya paling menarik ialah siapa kelak yang menjadi pilihan Pemuda UMNO dalam senario peralihan kuasa ini.Samada Khairy Jamaluddin,Datuk Mukhriz Mahathir,Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo atau Datuk Zahidi Zainol Abidin.

Begitu juga barisan kepimpinan Puteri UMNO yang menyaksikan empat calon menawarkan diri iaitu Bibi Sharliza Mohd Khalid, Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Shaniza Samsudin dan Datin Ismalina Ismail.

Barisan Majlis Tertinggi UMNO pula dijangka melihat kemunculan ramai ‘ calon swasta’ yakni yang tidak berjawatan dalam kerajaan seperti Datuk Syed Ali Albahshee,Ketua UMNO Bahagian Cheras.

Kebelakangan ini pertandingan jawatan Majlis Tertinggi terus dimonopoli oleh mereka yang berjawatan baik Menteri,Timbalan Menteri dan Menteri Besar.

Ada pandangan yang merasakan tempat harus diberikan kepada ‘ calon swasta’ untuk mewujudkan perseimbangan dalam badan pengubal dasar parti itu agar suara orang bawah dapat disalurkan menerusi mereka.

Walaupun kebiasaannya jumlah pencalonan dikira belum kata putus perwakilan yang akan mengundi di Perhimpunan Agung UMNO Mac depan namun kali ini ia dikatakan agak lain.

Kini ia dikaitkan dengan peralihan kuasa dimana setiap pencalonan itu dikatakan sangat besar ertinya bagi setiap calon yang menawar diri.

Siapa suruh Zahid bertanding? - Malaysiakini

Oleh Mohd Sayuti Omar
PENGUMUMAN yang dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi untuk bertanding Timbalan Presiden Umno mengejutkan banyak pihak. Pengumuman itu tak ubah seperti pokok yang bergoyang kuat tanpa ada angin meniupnya. Merujakan permerhatian umum!

Tidak kedengaran sebelum ini yang ahli Parlimen Bagan Datoh itu bercadang untuk menandingi jawatan itu. Jadi apabila beliau tiba-tiba mengumumkannya ia menyebabkan timbul sedikit tanda tanya.

Sebelum ini apa yang kendengaran ialah Zahid akan mencuba untuk kerusi Naib Presiden Umno. Desas desus itu tidak pelik kerana jawatan itu sangat sesuai dengan beliau dan beliau juga paling layak mengisikannya. Usia dan kematangannya dalam politik menjadikan jawatan itu amat padan dengannya.

Dengan kedudukannya selaku menteri dan pengalaman luasnya dalam politik yang pernah memegang jawatan Ketua Pemuda Umno dan menduduki MT diherarki top ten wajar kalau beliau menajak ke atas. Masanya sudah tepat sekali.

Naib Presiden jawatan yang dikira mudah untuk digapai oleh Zahid. Jika dibandingkan nama-nama yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan itu jelas kedudukan Zahid mengatasi mereka. Hishamuddin Hussein, Khalid Nordin, Shafei Afdal dan lain-lain tidak mampu mengatasi populariti Zahid.

Kemesaraan dan stail politik Zahid yang baik dengan semua orang dan boleh pejam mata dengan seteru politiknya bila berjumpa, adalah aset dan modal peribadi Zahid yang jarang dimiliki oleh orang politik.

Zahid juga seorang yang mesra dengan sesiapa saja. Kelebihan ini adalah sebahagian kehebatan Zahid.

Perwatakan, ketokohan dan idealiisme Islamnya juga menyebabkan beliau mulai dilihat sebagai tokoh agama dan Islam terulung dalam Umno.

Kehadiranya boleh mengganti tempat tokoh-tokoh agam dalam parti berkenaan seperti Wan Mokhtar Ahmad, Yusuf Noor atau Abdul Hamid Othman.

Malahan pembawaan Islam Zahid lebih dinamik dan progresif daripada tokoh-tokoh itu ini menyebabkan Islam seperti terjamin ditangan Zahid berbanding dengan mereka yang bergelar ustaz atau kiyai Umno.

Potensi ini jelas bila mana Zahid memberi reaksi yang diharapkan apabila setiap kali timbul isu mengenai agama Islam dan juga isu ketuanan Melayu.

Beliau sangat vokal dalam menangnai isu-isu ini. Semangat Islam dan Melayu yang tumbuh menyubur dalam jiwa Zahid menyempurnakan beliau sebagai seorang pemimpin parti Melayu seperti Umno.

Kekayaan dan kemewahan hidupnya juga memungkinkan untuk beliau melakukan persiapan bertarung merebut jawatan itu seadanya.

Zahid sudah ada pengalaman bagaimana hendak memikat hati perwakilan Umno semasa bertanding merebut jawatan ketua Pemuda tahun 1996. Justeru itu beliau dilihat mudah akan menduduki salah satu daripada kerusi berkenaan.

Sewaktu terserempak di Makkah dua minggu lalu saya ada mengatakan kepadanya, yang beliau akan (InsyaAllah) menang untuk kerusi Naib Presiden.

Apa yang beliau perlu kejar ialah mendapat tempat undi tertinggi kerana kemenangan seperti sadah di tangan. Zahid hanya ketawa mersa dan meminta saya berdoa. “Berkat doa ustaz,”katanya kepada saya seperti selalu yang dipamerkan.

Bila balik dari menunaikan umrah alih-alih beliau mengumumkan untuk bertanding kerusi timbalan presiden. Ini mengejutkan sedikit. Apakah gerangan maka beliau berminat kerusi berkenaan.

Apakah doa atau istiqarahnya di Makkah memberikan ilham kepadanya untuk bertanding kerusi nombor dua itu dan bukan kerusi nombor tiga! Apakah tahun depan nombor dua membawa tuah kepada anak Jawa Bagan Datoh itu.

Kalau ilham itu diperolehi menerusi istiqarakah apa boleh buat lagi, Zahid kena akur saja kalau tidak beliau akan ketulahan. Peluang dalam politik jarang menjelma dua kali biasanya sekali saja untuk seorang individu.

Pertunjuk di Makkah biasanya baik dan benar seperti mana yang beliau lakukan semasa hendak tanding Ketua Pemuda Umno tahun 1996 dulu. Di Makkahlah beliau buat keputusan itu dan kebetulan saya ada sama ketika itu.

Menurut Zahid ketetapan itu kerana berlaku kekosongan pada jawatan itu apabila ianya bakal ditinggalkan oleh Mohd Najib Razak.

Katanya lagi keputusan beliau itu juga kerana ada tanda-tanda akar umbi mendesak beliau berbuat begitu. Bagaimana pun keputusan itu juga tidak bermakna beliau ingin mendahului mana-mana pemimpin dan ianya dibuat berdasarkan telahan (firasat) beliau Najib akan meninggalkan kerusi berkenaan.

Memahami kata-kata Zahid itu ia memberi berbagai pengertian. Dan keputusan itu juga mempunyai strategi dan politik tersendiri.

Yang jelasnya, maksud Zahid itu seakan ingin menghalang hajat penyandang jawatan Naib Presiden Umno, Muhyiddin Yassin yang awal-awal lagi kemaruk untuk menduduki jawatan nombor dua itu.

Muhyiddinlah yang melakukan kerja untuk menolak Najib ke atas bagi membolehkan beliau mengisi tempat Najib itu. Seperti mana dugaan awal saya pelan peralihan kuasa dalam Umno adalah idea Muhyiddin yang dibuat kononnya untuk kepentingan parti walhal hakikinya untuk kepentingan dirinya.

Apakah Zahid mempunyai niat sedemikian? Kalaulah benar begitu ia tidak menjadi kesalahan malah cara Zahid itu tepat sekali.

Seharusnya ada yang berani untuk menegur atau pun menghalang menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu kerana kelancangannya dalam menegeluarkan kata-kata dan ideanya sehingga menyebabkan Abdullah Ahmad Badawi tidak senang duduk.

Dalam pada ini tindakan Zahid itu lebih kepada cuba membela Abdullah. Mungkin beliau merasakan tindakan Muhyiddin itu tidak patut.

Dari sudut lain saya merasakan tindakan Zahid itu seperti ada orang yang memberi dorongan kepadanya agar membuat kenyataan itu. Pasti sudah ada green light dari atas kalau tidak Zahid mungkin tidak bersedia untuk membuat kenyataan demikian.

Sebab jawatan yang paling afdal untuk Zahid ialah Naib Presiden Umno. Kalaupun beliau berjaya menduduki salah satu dari tiga kerusi itu ia merupakan kedudukan tertinggi bagi Zahid dan merupakan satu prestasi terbaik dalam kerjaya politiknya.

Apakah dalam soal ini Najib yang mengajar Zahid berbuat demikian? Ada desas desus mengatakan Najib tidak begitu sebulu dengan Muhyiddin. Muhyiddin bukannya regu atau kawan politik Najib.

Namun kalau dilihat kepada kerja Muhyuddin menghambat Abdullah itu menguntungkan Najib, tidak mungkin Najib tidak suka dengan kerja Muhyiddin itu. Bahkan Muhyiddin dikatakan akan bergabung dengan Najib menjatuhkan Abdullah?

Yang pastinya tentu ada orang memberi aspirasi dan sokongan kepada Zahid. Apakah orang itu Abdullah sendiri? Tidak mustahil.

Ada sebab kalau Abdullah memberi ilham kepada Zahid untuk mencuba jawatan itu dan sekaligus menganggu emosi Muhyiddin.

Sudah tidak menjadi rahsia lagi hubungan Abdullah dengan Muhyiddin akhir-akhir ini tidak begitu 'lendik'. Malahan jika dilihat secara zahir mereka berdua seperti ada masalah besar. Kalau tidak masakan Muhyiddin secara terbuka meminta Abdullah berundur! Jadi mungkin Abdullah menghantar Zahid untuk mengekang Muhyiddin.

Bagi Zahid pula tidak ada masalah untuknya berhadapan dengan Muhyiddin. Apa lagi kalau mendapat sokongan daripada presiden sendiri. Tentu Zahid merasakan bahawa beliau dijadikan anak emas oleh Abdullah.

Kalau tertakdir Zahaid berhadapan seorang sama seorang dengan Muhyiddin untuk jawatan itu, kemenangan berpihak kepada Zahid. Pengaruh Zahid juga bukan kecil anak.

Lagipun pengaruh Muhyiddin dalam Umno tidak konsisten. Beliau pernah menang dengan mendapat undi terbanyak untuk jawatan Naib Presiden tetapi undinya merosot kemudian meletakkan beliau sebagai Naib Presiden yang tercorot.

Dengan Muhyiddin bermasalah dengan Abdullah ini memberi kesempatan baik kepada Muhyiddin.

Lagipun sekiranya Najib bertanding kerusi presiden dan menang, Zahid tidak ada masalah untuk berada bersama Najib. Najib adalah bekas bosnya.

Zahid penah menjadi Setiausaha Politik, Timbalan Perdana Menteri itu dan beliaulah yang mengajarkan Najib dengan istilah Islam dan juga mengajar menyebut al Fatihah secara betul.

Untuk memantap ilmu agamanya dan memastikan Islam terus bersinar dalam Umno, Najib memerlukan orang seperti Zahidi sekiranya beliau menjadi PM kelak. Dengan latar belakang dan ilmu serta akhlak muslim yang baik Zahid boleh membantu dan membimbing Najib sekaligus.

Berdasarkan senario itu Zahid berada dalam keadaan di kiri untung di kanan laba kalau beliau mencuba nasib di kerusi nombor dua. Beliau boleh berkerja dengan sesiapa saja.

Dengan Abdullah samatelahlah. Abdullah yang memberi kepercayaan kepada Zahid untuk menjadi menteri setelah bekas ketua pemuda itu dinafikan haknya bertahun-tahun oleh bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad.

Begitu juga sekiranya Zahid sedia berdepan dengan Muhyuddin untuk kerusi nombor dua itu atas hajat untuk membela Abdullah ia dikira kena dan tepat sekali.

Tidak salah bagi Zahid sambil untuk memperbaiki kedudukan dirinya dalam hirerki politik Umno ianya juga untuk membela orang yang berbudi kepadanya.

Sebagai orang berlatar belakang Islam yang tahu mana halal dan haram, Zahid tentu pandai menghormati mana orang yang baik dan berjasa kepadanya.

Kita berharap Zahid istiqamah dengan keputusannya itu. Kemenangan Zahid kelak juga boleh menebus segala malu dan aibnya kepada Hishamuddin Hussein selama ini.

Hishamuddin yang menjadi pembantunya diberikan keistimewaan melampau di zaman Mahathir dimana ia dirasakan satu kezaliman kepada Zahid.

Mungkin kali ini giliran Zahid pula mengatasi atau mendapat kedudukan lebih tinggi dan lebih baik dari Hishamuddin. Kepada Zahid selamat mencuba namun harus juga waspada!

Blog beliau boleh dilayari di msomelayu.blogspot.com

Jawatan Ketua di 94 Bahagian UMNO jadi rebutan - Malaysiakini

Biarpun Perhimpunan Agung Umno ditunda dari Disember ini ke Mac tahun depan, bahangnya tetap terasa menjelang persidangan perwakilan bahagian yang bermula Khamis ini, lebih-lebih lagi kerana urusan pemilihan menjadi agenda utamanya.

Perkembangan ini bukan sahaja menarik minat 3.3 juta anggota Umno, malah dalam tempoh sebulan yang ditetapkan bagi bahagian mengadakan mesyuarat masing-masing, rakyat keseluruhan akan turut mengikuti pertandingan jawatan ketua di 94 bahagian daripada keseluruhan 191 bahaguan Umno di seluruh negara.

Paling menarik minat semua pihak tentulah pencalonan bagi jawatan presiden, timbalan presiden dan naib presiden Umno, yang akan diputuskan pada persidangan perwakilan bahagian.

Ini kerana sistem kuota yang digunakan dalam pemilihan untuk jawatan-jawatan tertinggi dalam parti itu mensyaratkan bahawa seseorang anggota hanya layak bertanding jawatan presiden jika mendapat sekurang-kurangnya 58 pencalonan, bagi jawatan timbalan presiden sekurang-kurangnya 38 pencalonan dan bagi jawatan naib presiden sekurang-kurangnya 19 pencalonan.

Menurut Bernama, daripada mesyuarat agung tahunan lebih 20,000 cawangan Umno dari 17 Julai hingga 14 September lalu, 97 Ketua Umno Bahagian tidak akan dicabar.

Dalam urusan pemilihan bagi jawatan ketua bahagian di Wilayah Persekutuan kali ini, tujuh bahagian bakal menyaksikan saingan sengit di Segambut, Wangsa Maju, Batu, Seputeh, Lembah Pantai, Labuan dan Bandar Tun Razak.

Enam lagi bahagian di Wilayah Persekutuan menyaksikan ketua bahagiannya tidak dicabar Pengerusi Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan Datuk Seri Zulhasnan Rafique, yang juga Menteri Wilayah Persekutuan.

Turut menang tanpa bertanding ialah Ketua Umno Bahagian Cheras Datuk Syed Ali Al Habshee, Ketua Umno Bahagian Kepong Senator Datuk Ridhuan Hamid, Ketua Umno Bahagian Bukit Bintang Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, Ketua Umno Bahagian Titiwangsa Datuk Seri Dr Suleiman Mohamad dan Ketua Umno Bahagian Putrajaya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Di Pulau Pinang pula, sembilan bahagian bakal menyaksikan pertandingan iaitu di Tasek Gelugor, Bagan, Permatang Pauh, Bukit Mertajam, Batu Kawan, Nibong Tebal, Tanjong, Bayan Baru dan Balik Pulau.

Hanya empat daripada 13 ketua Umno bahagian Pulau Pinang termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menang tanpa bertanding setelah semua cawangan selesai mengadakan mesyuarat masing-masing.

Abdullah yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang tidak dicabar di Kepala Batas, selain Datuk Musa Sheikh Fadzir (Bukit Mertajam); Senator Datuk Omar Faudzar (Bukit Gelugor) dan Ketua Penaja Umno Bahagian Jelutong, Abdul Razak Abdul Rahman.

Di Selangor, 10 daripada 22 ketua bahagian Umno Selangor menang tanpa bertanding.

Mereka ialah Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib selaku Ketua Umno Bahagian Kelana Jaya; Ketua Penerangan Umno negeri, Datuk Abdul Rahman Palil (Kapar), bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo (Sungai Besar); Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Noh Omar (Tanjung Karang) dan Menteri Kerja Raya, Datuk Mohd Zin Mohamed (Sepang).

Lima lagi yang menang tanpa bertanding ialah bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Anggerik, Datuk Nawawi M. Zin di Shah Alam; Datuk Mohamad Satim Diman (Serdang); Kapt (B) Datuk Zahar Hashim (Petaling Jaya Selatan); Datuk Mohamed Idris Abu Bakar (Hulu Selangor) dan Datuk Amiruddin Setro (Kuala Selangor).

Di Perak, 11 ketua daripada 24 ketua bahagian menang tanpa bertanding.

Mereka termasuk dua Menteri di Jabatan Perdana Menteri — Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz (Bahagian Padang Rengas) dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (Bagan Datoh) —, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Husni Hanadzlah (Tambun) dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali (Gerik).

Turut menang tanpa bertanding ialah Datuk Samsuddin Abu Hassan, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, Datuk Abdul Raman Suliman, Datuk Azian Osman, Datuk Tajuddin Abdul Rahman dan Datuk Yusof Kassim masing-masing mengekalkan jawatan bagi bahagian Tapah, Tanjung Malim, Parit Buntar, Ipoh Timur, Pasir Salak dan Batu Gajah.

Bahagian Lumut pula menyaksikan Datuk Dr Zambry Abdul Kadir mengekalkan jawatan ketua bahagian itu selepas memperoleh 38 pencalonan manakala pencabarnya Datuk Mohd Wajidi Mohd Ishak hanya mendapat lima pencalonan, dan gagal melepasi kuota pencalonan untuk bertanding.

Sebanyak lapan bahagian Umno di Perak yang bakal menyaksikan pertandingan satu lawan satu ialah Bagan Serai, Sungai Siput, Taiping, Ipoh Barat, Kuala Kangsar, Bukit Gantang, Parit dan Beruas manakala Bahagian Gopeng dan Larut akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru.

Di Terengganu, Menteri Besar, Datuk Ahmad Said (Kemaman), bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh (Besut) dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh (Kuala Terengganu) adalah antara tiga Ketua Umno Bahagian di Terengganu, mengekalkan jawatan masing-masing tanpa ditandingi.

Pertandingan satu lawan satu bagi merebut jawatan ketua bahagian akan berlaku di Marang manakala Setiu bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru.

Menjelang Perhimpunan Agung kali ini yang akan membabitkan pemilihan pucuk pimpinan parti, budaya politik wang paling dikhuatiri berleluasa, dan oleh itu Umno telah memutuskan untuk bekerjasama dengan Badan Pencegah Rasuah (BPR) bagi memastikan tiada elemen rasuah wujud.

Yang lebih penting ialah semua pihak berharap cogan kata Umno ’Bersatu-Bersetia-Berkhidmat’ akan menjadi teras kepada setiap anggotanya untuk meletakkan kepentingan parti melebihi segala-galanya sepanjang berlangsungnya persidangan perwakilan bahagian dan perhimpunan agung parti nanti.

Bila Muhyiddin nak umum.? - Malaysiakini

Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengumumkan pendirian bertanding jawatan Timbalan Presiden selepas Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan pendirian masing-masing.
"Kalau mungkin Pak Lah buat pengumuman sama ada hari ini atau esok, saya jangka Najib akan nyatakan pendirian untuk jawatan Presiden kemudiannya.

"Kalau ada ruang terbuka saya akan buat kenyataan yang tertentu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Ke-14 Jawatankuasa Bersama Perdagangan Malaysia-Australia di Kuala Lumpur hari ini.

Jawatan Presiden dan Timbalan tidak dipertandingkan ? - Malaysiakini

Inilah akibatnya apabila kerusi Presiden dibenarkan dipertandingkan sedangkan kerusi ini tidak pernah dipertandingkan sekian lama ketika Tun Mahathir menjadi Presiden dahulu. Perkara ini pernah disuarakan oleh Datuk Seri Azalina othman suatu ketika dahulu , jika kedua kerusi ini dipertandingkan maka akan jadi lah satu pertandingan caca marba dimana semua ahli UMNO yang layak akan cuba merebut kerusi tertinggi ini. Apa salah mahu mencuba nasib. Kini sudah ada tiga pemimpin UMNO yang menyuarakan hasrat mereka mahu bertanding merebut kerusi Timbalan Presiden , mereka ialah Datuk Zahid Hamidi , Datuk Wira Ali Rustam, Datuk Nur Jazlan Mohamad Rahmat dan hari ini Ketua UMNO Cawangan Kampung Ubai, Pekan, Mohammad Hanapi Salleh mengumumkan hasrat bertanding jawatan Naib Presiden pada pemilihan parti Mac tahun depan, sekiranya mendapat pencalonan.

UMNO kini dilihat sebagai sebuah parti yang kelam kabut dan seharusnya Presiden dan Timbalan Presiden membuat satu keputusan yang tegas untuk menyekat UMNO dari menjadi sebuah parti di mana pemimpinnya terlalu ghiarah dan mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan pengukuhan parti.

Rais Yatim berkata, Individu yang menawarkan diri bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO diingatkan supaya jangan memperjudikan masa depan negara dengan melakukan eksperimen bersaing untuk merebut jawatan penting tersebut.Sambil melahirkan rasa terkejut dengan minat mendadak ahli-ahli parti terhadap jawatan nombor dua itu, ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, mereka seharusnya tahu ‘mengukur baju di badan sendiri’.Tegasnya, mereka yang ingin bersaing merebut jawatan Presiden dan Timbalan Presiden sekurang-kurangnya perlu melepasi kriteria penting termasuk telah teruji kepimpinan dan keintelektualan diri. Beliau ketawa besar apabila mendengar Datuk Nur Jazlan menawarkan diri sebagai Timbalan Presiden kerana beliau hanyalah Ketua Bahagian dan juga DUN Pulai.

Yang lebih menarik lagi , apabila Mohammad Hanapi, 53, yang memegang jawatan Ketua UMNO cawangan itu sejak 32 tahun lepas berkata, pertandingan dalam parti mencerminkan demokrasi masih hidup di dalam UMNO dan ia merupakan satu perkembangan positif.
”Setiap ahli berhak bertanding bagi mana-mana jawatan jika mempunyai kelayakan dan sokongan mencukupi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob yang kecewa dengan sikap ahli-ahli UMNO berlumba-lumba menawarkan diri untuk bertanding pada pemilihan parti Mac depan, menyifatkan tindakan mereka itu sebagai ‘gila jawatan’.Sambil melahirkan rasa kesal dengan apa yang berlaku, katanya, trend seumpama itu hanya akan membawa kemudaratan kepada masa depan parti dan orang Melayu.
”Ramai orang kata, ini satu perkembangan sihat, ramai boleh menawarkan diri dan perwakilan boleh memilih daripada kumpulan yang ramai calon terbaik.

”Tetapi bagi saya, ini satu trend yang tidak begitu sihat, seolah-olah UMNO menjadi satu tempat untuk memperjuangkan kepentingan diri masing-masing,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Adalah lebih baik sekiranya kita tidak mahu UMNO menjadi lebih kelam kabut dan terus karam dalam kegilaan perebutan jawatan , kerusi Presiden dan Timbalan Presiden dikekalkan tidak ada pertandingan dan Perdana Menteri akan membuat peralihan kuasa setelah keadaan kegilaan ini terkawal. Pertandingan akan menjadi bagaikan tidak berkualiti apabila mereka yang tidak sampai tahap kelayakan akan turut serta bertanding walaupun perlembagaan tidak menghalang mereka untuk bertanding. Itu yang telah berani membuka mulut dan masih ramai yang tunggu dan lihat apakah keputusan presiden Parti yang akan di umumkan dalam masa sehari dua ini.

Zaid ubah fikiran, bakal keluar Umno? - Malaysiakini

"Saya habiskan 20 tahun untuk Umno dan saya berdepan dengan banyak kesukaran disebabkan pendapat saya"
Datuk Zaid Ibrahim, yang meletak jawatan sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri bulan lepas, mungkin mengubah fikiran berhubung rancangan tidak akan keluar dari Umno.

Alasannya ialah beliau tidak nampak masa depan baginya dalam Umno.
'Saya menghabiskan masa selama 20 tahun dalam politik (untuk Umno) dan saya berdepan dengan banyak kesukaran disebabkan pendapat saya.

'Ini bukan kerana saya tidak setia,' kata beliau seperti yang dipetik oleh akhbar Sunday Star kelmarin.

'Saya digantung daripada parti tanpa sebab dan sekarang dilarang bertanding bagi pemilihan bahagian (Kota Bharu).

'Jadi, apa yang hendak anda lakukan jika anda berada dalam kedudukan saya?' tanya Datuk Zaid, ketika diwawancara di rumahnya di Pasir Hor Ahad.
Beliau meletak jawatan pada pertengahan September kerana tidak setuju tindakan kerajaan menahan pemimpin pembangkang di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Tetapi beliau berkata tidak akan keluar dari Umno.

Mengulas laporan bahawa beliau bertemu dengan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, di kediaman Menteri Besar Ahad lepas dan penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau berkata ia hanya pertemuan biasa.

Tun Mahathir tidak yakin Pak Lah lepas jawatan presiden Umno - Malaysiakini

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengalu-alukan tindakan ramai pemimpin Umno yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden selaras dengan amalan demokrasi yang dipraktikkan parti.

Bagaimanapun katanya, pertandingan itu perlulah berlangsung secara sihat tanpa sebarang taktik kotor.
"Baguslah... bertandinglah... kita demokrasi. Jangan main kotor sudahlah.

"Jangan bayar duit, jangan sogok. Kita tunjuk kebolehan kita, insya-Allah, orang akan pilih kita.

"Tapi kalau guna tekanan, kilas tangan orang, tarik balik kontrak, ini bukan demokrasilah," kata beliau ketika pada majlis rumah terbukanya sempena Aidilfitri di kediamannya The Mines Resort City di Kuala Lumpur, semalam.
Beliau berkata, dalam pemilihan akan datang, tidak perlu wujud istilah pasukan kerana jika sesebuah pasukan itu kalah, mereka akan sukar bekerjasama dengan pasukan yang menang.
"Ini bukanlah Amerika Syarikat. Tak perlulah ada pasukan. Kalau kita menang, pasukan kita menang, nak bekerjasama dengan orang yang lawan kita itu susah.

"Kita boleh masing-masing bertanding jawatan masing-masing, dan kita harus sanggup bekerjasama dengan sesiapa saja yang menang," katanya.
Ditanya andaiannya sama ada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan mengumumkan bertanding atau tidak jawatan Presiden sebelum 9 Oktober ini, Dr. Mahathir berkata, beliau tidak percaya selagi Abdullah belum membuat sebarang pengumuman.
"Saya dapati Pak Lah ini suka berdolak-dalih. Selagi beliau belum buat pengumuman, saya tak percaya.

"Macam-macam beliau janji, semuanya beliau tak tunaikan janji," katanya.
Berhubung sama ada Umno memerlukan kesinambungan pemimpin lama dan baru seperti yang berlaku dalam parti MCA dan Gerakan pada masa ini, Dr. Mahathir berkata, pemimpin-pemimpin perlu mencontohi Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting yang mengundurkan dirinya pada pemilihan parti akan datang ekoran prestasi kurang memberangsangkan dalam pilihan raya umum yang lalu.
"Tapi ada sesetengah pemimpin, dah kalah teruk pun, masih kata menang... tak mahu tarik diri.

"Dulu zaman Tunku (Abdul Rahman), bila orang tak suka kat dia, dia tarik diri. Zaman Datuk Onn (Jaafar), bila orang tak setuju dengan dia, dia pun tarik diri. Ini saya dengar, orang tak cakap lain... itu saja, tapi tak mahu tarik diri," katanya.
Berhubung keputusan beliau untuk menyertai semula Umno, Dr. Mahathir berkata, beliau sudah lama membuat keputusan itu iaitu sejak beliau keluar daripada Umno lagi tetapi ia bersyarat.
"Saya kata saya akan menyertai semula Umno tapi ada syarat... syarat tu kamu pun tahu.

"Tapi rupa-rupanya ramai yang keluar Umno setelah saya keluar. Jadi kalau saya masuk, orang-orang ini tak dapat masuk, tak adillah. Masa keluar, mereka ikut... saya masuk, mereka tak boleh ikut.

"Kita jangan lupa mereka ini punya kuasa undi. Kalau mereka berada di luar Umno dan mengundi parti lawan, Umno mungkin akan kalah," katanya.
Dr. Mahathir berkata, kehadiran tetamu kira-kira 10,000 orang pada rumah terbukanya tahun ini agak luar biasa dan ia mungkin disebabkan beliau menguar-uarkan tentang hal itu dalam laman blognya.

Hormat pemimpin - Malaysiakini

Pemimpin UMNO yang berhasrat menawarkan diri bertanding jawatan nombor dua parti, seharusnya menunggu pengumuman Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sama ada mahu mempertahankan jawatan Presiden atau sebaliknya pada pemilihan Mac tahun depan.

Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Onn Ismail berkata, walaupun parti itu mengamalkan demokrasi yang membenarkan ahli bertanding sebarang jawatan, namun tradisi menghormati pemimpin perlu diteruskan.
“Semua boleh tawarkan diri bertanding, cuma jangan mendahului, tunggu Presiden umum dahulu, kalau Pak Lah sudah umum tidak mahu bertanding, itu tidak mengapa,” katanya kepada pemberita di Shah Alam, kelmarin.