Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Monday, October 6, 2008

PM tunai janji sebelum berundur - Malaysiakini

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berjanji beliau akan menunaikan semua janjinya selama ini sebelum berundur daripada kerajaan.

Perdana Menteri berkata, reformasi badan kehakiman umpamanya akan tetap diteruskan walaupun bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim telah meletakkan jawatan.

"Ada perkara yang perlu dibuat dan saya akan pastikan ia disiapkan," katanya di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Panel Penasihat Antarabangsa (IAP) BioMalaysia 2008 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Siapa lagi nak tanding jawatan Ketua Puteri Umno.? - Malaysiakini

Setiausaha Pergerakan Puteri Umno, Bibi Sharliza Mohd Khalid, hari ini menawarkan diri untuk bertanding merebut jawatan Ketua Puteri Umno pada pemilihan parti, Disember ini.

Bibi Sharliza, 38, berkata dengan pengumuman ini beliau berharap untuk mendapat kepercayaan bagi menerajui kepemimpinan pergerakan itu.
“Saya memohon agar saya diberi peluang untuk menerajui kepimpinan Puteri Umno Malaysia selaras dengan wawasan saya iaitu seorang Ketua Puteri mestilah tegas, komited dan menyatukan semua kepimpinan sama ada di peringkat pusat, negeri dan juga bahagian,” katanya pada sidang akhbar di Seremban, hari ini.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paroi itu berkata, sebagai seorang yang terbabit dalam penubuhan Puteri Umno, beliau berpeluang berkhidmat dalam pucuk pimpinan pergerakan itu.
“Sepanjang tempoh tujuh tahun dalam Puteri Umno saya dapat menjalinkan hubungan yang baik terutamanya dengan kepimpinan Umno dan Puteri Umno di peringkat pusat, negeri dan juga bahagian," katanya.
Sebelum ini tiga orang menawarkan diri bertanding merebut jawatan Ketua Puteri Umno iaitu Naib Ketua Puteri, Rosnah Abdul Rashid, Ketua Penerangan Puteri, Datuk Shahaniza Shamsuddin dan Exco Puteri, Datin Ismalina Ismail.

Pak Lah umum esok atau lusa keputusan pertahan jawatan Presiden Umno - Malaysiakini

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini berkata beliau akan membuat pengumuman sama ada esok atau lusa mengenai keputusan mempertahankan jawatan Presiden Umno.

Perdana Menteri berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) dalam taklimat khas Dewan Tertinggi BN, pada Rabu.

Bercakap kepadap pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Panel Penasihat Antarabangsa (IAP)Bioteknologi 2008, di Kuala Lumpur, Abdullah berkata saingan untuk jawatan Timbalan Presiden Umno juga mungkin akan ditandingi satu atau dua calon saja, manakala yang lain akan berundur.

Cadangan Wujudkan Satu Parti Dalam BN Sukar Dilaksanakan - Malaysiakini

Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin berkata cadangan mewujudkan satu parti dalam Barisan Nasional (BN) sukar untuk dilaksanakan.

Ini kerana jelasnya masih banyak lagi isu yang melibatkan kaum perlu diselesaikan terlebih dahulu.

Justeru beliau berpendapat jika cadangan itu ingin direalisasikan maka ia perlu dimulakan dengan parti-parti komponen yang memiliki ahli pelbagai kaum sebelum ia boleh dilaksanakan secara menyeluruh.
"Saya fikir cadangan untuk satu parti dalam BN ada kelebihannya daripada segi minat kepada sesetengah segmen masyarakat", katanya yang mengadakan majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Balai Raya Kampung Gadong di Rembau, semalam.
Namun ujar beliau lagi kalau boleh pihaknya ingin melihat parti-parti komponen yang mempunyai konsep kepelbagaian kaum seperti PPP dan Gerakan memulakannya.

Adakan debat terbuka bagi calon jawatan Timbalan Presiden UMNO - Malaysiakini

Senator Datuk Wira Syed Ali Alhabshee hari ini mencadangkan supaya satu debat terbuka di adakan membabitkan calon-calon yang berhasrat merebut jawatan Timbalan Presiden UMNO, pada pemilihan parti Mac ini.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Cheras berkata, langkah tersebut bertujuan memberi peluang kepada ahli-ahli parti menilai sejauhmana kewibawaan, ketokohan dan wawasan calon berkenaan.

Menurutnya, debat terbuka elok diadakan kerana banyak calon yang semakin ghairah menawarkan diri merebut jawatan nombor dua terpenting dalam kepimpinan UMNO.
“Bagi menjayakan debat terbuka sepertimana yang diamalkan di antara calon Republikan dan Demokrat di Amerika Syarikat, maka saya cadangkan Datuk Johon Jaafar dan Datuk Anuar Zaini sebagai moderatornya,” tambah beliau.

“Banyak calon berminat memegang jawatan Timbalan Presiden UMNO pada pemilihan Mac ini, maka wajarlah calon-calon berkenaan tonjolkan kehebatan mereka untuk diadili oleh ahli-ahli parti khususnya para perwakilan,” tegasnya.
Syed Ali bagaimanapun mengingatkan, pertandingan beberapa jawatan penting di dalam UMNO bukan gelanggang untuk memberi kesempatan kepada mana-mana calon menguji populariti dan mencari pengaruh.

Sebaliknya kata beliau, seseorang calon itu perlu menilai kemampuan diri dari segi tanggungjawab untuk memperkasakan halatuju perjuangan UMNO.
“Kita sebagai ahli-ahli UMNO sebenarnya memikul tanggungjawab untuk memilih pemimpin yang benar-benar berkalibar, berwawasan, berani, berkarisma dan ikhlas memartabatkan bangsa Melayu dan membawa negara ke tahap yang lebih cemerlang,” tegasnya.
Beliau berpendapat, apabila terlalu ramai yang berhasrat untuk bertanding jawatan penting di dalam UMNO, ianya akan turut memberi kesan kepada masa depan parti.
“Saya bimbang kelak rakyat akan melihat UMNO semakin tidak relevan bilamana terlalu ramai yang berebut-rebut mengejar jawatan penting di dalam parti,” jelasnya.
Sehubungan itu kata Syed Ali, mana-mana calon yang berhasrat menawarkan diri bertanding beberapa jawatan pernting menjelang Mac ini supaya bermuhasabah diri dan tidak terlalu ghairah.
“Apabila terlalu ghairah untuk bertanding jawatan penting sama ada Timbalan Presiden atau Majlis Tertinggi, kita mungkin menjadi lupa kepada tanggungjawabn kepada parti,” tegasnya.
Beliau mengingatkan pertandingan jawatan dalam parti adalah perkara serius kerana ia adalah penyambung perjuangan yang diamanahkan oleh ahli-ahli parti di peringkat akar umbi.

Sekarang boleh nampak, gelojohnya mereka - Malaysiakini

Ketika masing-masing membawa cerita perlu segerakan peralihan kuasa, kononnya atas kehendak ‘grassroot’ – rupa-rupanya mereka menunjukkan kegelojohan! Gelojoh untuk bertanding jawatan tinggi, iaitu jawatan nombor dua dalam parti, iaitu Timbalan Presiden Umno.

Tanpa menyebut nama-nama mereka, kerana saban hari akan bertambah calon-calon yang menunjukkan minat (baca: gelojoh), sebenarnya Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak mempunyai ’sahabat sejati’ dalam parti.

Apa tidaknya, ketika rancangan awal, mahu peralihan kuasa dilaksanakan Jun 2010, tidak Nampak sesiapa yang berebut-rebut mengeluarkan kenyataan supaya semua peringkat (baca: grassroot) akur dengan keputusan yang dibuat pucuk pimpinan, tetapi apabila ada ‘ura-ura’ Presiden Umno tidak akan mempertahankan jawatannya, mereka ini… dengan gelojoh membuat kenyataan inginkan jawatan nombor dua dengan membuat telahan, Datuk Seri Mohd Najib akan menjadi Perdana Menteri dan Presiden Umno.

Mereka ini, termasuk yang diramalkan akan bertanding jawatan Timbalan Presiden, tidak pernah menyibukkan diri mereka menyusun program, turun ke bawah, berjumpa pelbagai peringkat pimpinan Umno, menerangkan betapa pentingnya masing-masing, merapatkan saf kepimpinan dengan menyokong Pelan Peralihan Kuasa 2010 itu.

Dengan jawatan kabinet masing-masing (baca: termasuk Ketua Menteri), mereka sebenarnya boleh bergerak ke mana sahaja mereka pergi, tanpa menggunakan sesen pun wang saku mereka, untuk mengadakan perjumpaan di semua peringkat kepimpinan Umno, memujuk mereka (baca: mendekati mereka dari hati ke hati) supaya akur dan sokong keputusan itu, demi memulihkan semula Umno yang dikatakan tergugat selepas keputusan PRU 12, 8 Mac 2008 yang lalu.

Malahan, jika masing-masing ikhlas… jika di zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri, mereka tidak menjamah kerusi Menteri, balaslah budi Pak Lah sekarang dengan ‘bekerja kuat untuk Pak Lah’ walaupun itu bukan kehendak Pak Lah.

Slogan yang Pak Lah perkenalkan ‘usah bekerja untuk saya tetapi bekerjalah bersama saya’ sebenarnya tidak diterjemahkan oleh mereka yang gelojoh ini. Mereka rupa-rupanya betul-betul tidak bekerja untuk Pak Lah, sebaliknya bekerja untuk ‘kepentingan diri sendiri’ sahaja. Bila sokongan terhadap BN merosot, mereka menyalahkan Pak Lah seorang, seolah-olah, mereka tidak langsung menyumbang ke arah kemerosotan itu.

Bukankah pasukan Umno (baca: Majlis Tertinggi) adalah merupakan satu pasukan? Bukankah kabinet adalah satu pasukan. Bukankah Umno dan kabinet merupakan ’satu pertanggungjawaban bersama’. Jika rakyat (baca: grassroot) tahu semua ini, mereka tidak perlu melayan ‘kehendak’ orang-orang ini, kononnya mahu menawarkan diri bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno, jawatan nombor dua yang lazimnya akan menjadi Timbalan Perdana Menteri. Ada juga Timbalan Presiden Umno tidak menjadi Timbalan Perdana Menteri seperti dalam kes Tun Musa Hitam, sebelum tewas di tangan Tun Ghafar Baba dalam pemilihan parti 1987 dulu.

Pak Lah rugi mempunyai ‘pasukan’ yang sebegini rupa kerana ‘kejujuran’ Pak Lah diperlekehkan oleh orang-orang yang berjaya ‘menghitamkan’ segela kebaikkan yang Pak Lah ada. Pak Lah berjaya digambarkan oleh mereka ini, sebagai lemah dan tidak lagi berkemampuan sedangkan hakikatnya, Pak Lah mempunyai sikap keterbukaan dan bertolak ansur.

Malang bagi Pak Lah, sikap bertolak ansurnya itu, menyebabkan beliau ditolak ‘beransur-ansur’ oleh mereka yang gelojoh, dengan menggunakan alasan kononnya ‘grassroot’ tidak mahukan Pak Lah lagi. Ketika ‘grassroot’ meminta ’sistem quota’ dihapuskan, tidak pula mereka ini, bermati-matian mengusahakan supaya ’sistem quota’ yang disifatkan sebagai tidak demokratik dihapuskan.

Kerana apa?

Mungkin kerana mereka merasakan, jika mereka menjalankan kerja-kerja ini, ia tidak member apa-apa kedudukan kepada diri mereka. Tetapi, jika mengumumkan hasrat bertanding jawatan dalam Umno, ia akan ‘menguntungkan diri mereka’.

Itulah sebabnya, apabila berlaku kekosongan jawatan Ketua Pergerakan Pemuda Umno, sepatutnya orang nombor dua dalam Pergerakan itu yang patut membuat pengumuman dahulu sama ada mahu bertanding atau tidak.

Malangnya, jawatan itu, yang secara tradisinya memang diisi dari kalangan Pemuda juga (Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein datangnya dari kedudukan Naib Ketua Pergerakan Pemuda. Begitu juga dengan Najib, adalah Naib Ketua Pemuda sebelum menang jawatan Ketua Pemuda) digilai oleh mereka yang tidak berada di kalangan Pemuda.

Dari empat calon yang menawarkan diri, kesemua mereka adalah bukan Ketua Pemuda Umno Bahagian kecuali Khairy Jamaluddin Abu Bakar. Dan Khairy juga adalah Naib Ketua Pemuda, yang terbukti berkemampuan untuk menggantikan Hishammuddin, berdasarkan rekod dan pencapaiannya selama empat tahun sebagai Exco Pemuda dan empat tahun sebagai Naib Ketua Pemuda.

Bukankah elok jika bekas MB Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo yang popular dengan cerita penyapu, mempertahankan kerusi MT yang dimenanginya dengan undi terbanyak (tahun 2004) atau, bertanding kerusi Naib Presiden?

Begitu juga dengan Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir. Walaupun dia merupakan Exco Pergerakan Pemuda Umno, tetapi di peringkat bahagian, dia tidak berada di kalangan Pemuda. Mengapa tidak, tenaga dan kemampuan yang dia ada, digunakan untuk membawa ayahandanya kembali ke pangkuan Umno, sebelum dia mahu memimpin Pergerakan Pemuda?

Datuk Zahidi Zainol Abidin sebenarnya bukan ’saingan’ dalam pertandingan kali ini tetapi sebagai Ketua Umno Bahagian Padang Besar yang digugurkan dari senarai calon dalam PRU 12, lebih wajar mencari tempat untuk dirinya dahulu, sebelum memasang cita-cita yang terlalu besar dalam politik peringkat nasional.

Apakah Zahidi tidak ‘mengukur baju di badan sendiri’ sebelum mengeluarkan kenyataan mengatakan hasratnya mahu menawarkan diri? Sejarah membuktikan, tokoh-tokoh dari Perlis seperti Tan Sri Dr. Abd Hamid Pawanteh, Datuk Seri Shahidan Kassim, Datuk Seri Azmi Khalid dan Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad cukup sukar mendapat ‘tempat’ dalam saingan di peringkat nasional.

Berbalik kisah kegelojohan beberapa pemimpin ini, jika Pak Lah mempunyai seorang dua ‘panglima jihad’ dalam Umno dan kabinet, hari ini, Pak Lah mungkin tidak menghadapi masalah untuk ‘mengembalikan kekuatan Umno’ kerana idea dan kehendak Pak Lah boleh diterjemahkan sehingga ke peringkat paling bawah.

Maaf cakap, apa yang Ketua Pemuda, Ketua Wanita dan Ketua Puteri buat untuk ‘menterjemahkan’ hasrat Pak Lah di peringkat bawah? Repot kad (kad laporan) sepatutnya diteliti, apakah yang mereka lakukan selepas PRU 12, untuk mengembalikan semula kekuatan Umno yang tergugat ekoran putar belit pembangkang?

Jika jarum jam boleh dipusingkan ke belakang, Pak Lah sebenarnya boleh ‘menilai semula’ mereka ini tetapi mungkin masa sudah terlambat. Cuma, kekecewahan Pak Lah akan dibalas oleh ahli-ahli Umno yang akan ‘mengajar’ mereka yang gelojoh mahukan jawatan ini.

Angin sedang bertiup ke mana? - Malaysiakini

Makin hari makin banyak perkembangan menarik timbul diketika semua orang sedang menanti pengumuman rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai kedudukan beliau sebagai Presiden UMNO sebelum 191 UMNO Bahagian di seluruh negara mula bersidang selama sebulan hujung minggu ini.

Paling mengejutkan tentulah kenyataan Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed Ahad menawarkan diri untuk jawatan Timbalan Presiden UMNO.

Soalan yang terus berlegar apakah anak kepada bekas Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Mohamed Rahmat ini yang berusia 42 tahun ini benar benar serius atau ia sekadar satu kenyataan simbolik untuk gambarkan hasratnya tentang perlunya parti itu meremajakan dirinya selari dengan tuntutan politik semasa.

Nur Jazlan yang juga Ahli Parlimen Pulai diketahui umum adalah salah seorang pemimpin muda yang paling vokal bersuara tentang peralihan kuasa perlu disegerakan.

Bunyi kenyataannya memang serius sekalipun sebagai lightweight beliau mungkin berdepan dengan rintangan besar untuk mendapat 38 pencalonan untuk melayakan diri secara rasmi bertanding jawatan nombor dua parti itu.

Sebagai orang muda Nur Jazlan melihat perlunya perubahan approach UMNO untuk memastikan ia terus relevan.
"Kita selalu fikir apa yang kita boleh buat dalam parti dan kita jarang fikir mengenai apakah sikap dan pandangan pengundi atau orang luar yang bukan ahli UMNO.

"Ini jadi punca kesilapan kita kerana setiap tindakan akan akhirnya mengetepikan kepentingan mereka dan menolak mereka.

"Untuk terus relevan, kita perlu memikir pandangan mereka. Inilah perjuangan yang saya nak bawa sebagai simbol perubahan parti," katanya.
Bapanya sendiri tidak melihat kenyataan anaknya itu sebagai pelik.Menurut Mohamed Rahmat sesiapa saja ahli parti ada hak untuk bertanding apa jua jawatan.

Mungkin secara kebetulan ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Shahrir Abdul Samad pada hari yang sama berkata beliau tidak akan turut serta dalam perlumbaan merebut jawatan tertinggi parti kerana merasa pada usia 59 tahun, beliau sudah agak terlambat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu berpendapat UMNO tidak boleh terperangkap dalam keadaan birokrasi yang lahir akibat daripada perbuatan mementingkan senioriti atau hierarki yang akan menghalang usaha meremajakan bakti parti kepada rakyat sehingga menyebabkan hilangnya sokongan khasnya daripada golongan muda.

Menurutnya UMNO memerlukan perubahan yang meremajakannya semula bagi menarik sokongan golongan muda.

Kata Shahrir kepada para wartawan rumah terbuka Aidilfitri beliau di Dewan Raya Kampung Melayu Majidee di Johor Bharu sekiranya mendapat sokongan daripada akar umbi, beliau akan tawar diri untuk jawatan Majlis Tertinggi UMNO yang disandangnya sekarang.

Menurutnya seseorang itu dapat menyumbangkan khidmatnya terhadap parti dan kerajaan tanpa mengira jawatan yang dipegangnya.

Di Kota Bharu Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim dalam satu interbiu dengan TV3 menyatakan sokongan terbuka kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Zahid Hamidi untuk bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden UMNO.

Bekas Menteri Besar Perlis itu yang menawarkan diri untuk jawatan Naib Presiden UMNO juga menyatakan kesediaan untuk membantu memastikan kemenangan Zahid yang dianggapnya paling layak dalam membawa perubahan di dalam UMNO.

Zahid dan Ketua Menteri Melaka Datuk Mohd Ali Rustam setakat ini sudah buat pengumuman menawar diri untuk jawatan Timbalan Presiden UMNO.

Seorang lagi yang memang sudah pasti akan tawar diri untuk jawatan itu ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Muhyidin Yassin.

Beliau dan Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Muhammad Muhamad Taib hanya akan buat pengumuman selepas Perdana Menteri buat pengumumannya pada 9 Oktober.

Soalnya apakah kenyataan yang setakat ini dibuat oleh Nur Jazlan,Shahrir dan Shahidan itu dapat menjadi angin yang boleh mempengaruhi trend pemilihan jawatan Timbalan Presiden UMNO yang boleh memberi advantage kepada Zahid ?.

Calon yang dilihat paling heavyweight untuk jawatan itu buat masa ini tentulah Muhyiddin berbekalkan kedudukannya sebagai Naib Presiden paling senior dan mengetuai sebuah kementerian yang high profile .

Buat masa ini ada kalangan pemerhati politik masih meletakkan rating beliau di depan dalam menghadapi saingan dari Zahid,Ali Rustam dan Muhd Taib.

Namun mereka mengakui dalam keadaan politik yang penuh dengan serba kemungkinan perubahan angin boleh berlaku menjelang pemilihan parti pada bulan Mac tahun depan yang boleh memberi advantage pada mana mana calon.

Banyak faktor dikira akan menjadi perharian para perwakilan kelak.Apa yang dikatakan paling mempengaruhi suasana mestilah siapa yang kelak akan menjadi regu Datuk Seri Najib Tun Razak.

Jawatan Timbalan Presiden UMNO ialah lesen untuk jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Apakah Najib akan mengambil pendirian terbuka dalam soal regu?.Pasti ramai yang akan mengintai beliau condong kemana.

Jawatan Timbalan Presiden UMNO tidak ditandingi sejak tahun 1987 bila Team A Tun Dr Mahathir Mohamad berentap dengan Team B Tengku Razaleigh Hamzah.

Dalam pemilihan itu Allahyarham Tun Ghafar Baba menewaskan Tun Musa Hitam.

Pada tahun 2003 bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menewaskan Ghafar secara technical knockout apabila Allahyarham tidak dapat cukup kuota pencalonan untuk bertanding.

Pada awal tahun 1980han Tengku Razaleigh berentap dengan Musa untuk jawatan itu.

Sejak dulu ia memang dikenali pertarungan golongan senior parti dan kemasukan calon calon muda seperti Zahid dan Nur Jazlan untuk jawatan Timbalan Presiden adalah satu trend baru yang seperti kata Shahrir meletakan UMNO dipersimpangan untuk membuat pilihan yang terbaik untuk parti itu.

Perpecahan akan berlaku jika pemimpin UMNO ghairah rebut jawatan - Malaysiakini

Pak Lah belum lagi membuat keputusan dan belum lagi membuat sebarang pengumuman namun ramai yang telah membuat keputusan untuk beliau dan begitu yakin bahawa Pak Lah tidak akan mempertahankan kerusi presiden UMNO. Jangan terlalu yakin kerana dalam politik apa juga kemungkinan boleh berlaku.

Antara mereka yang telah menawarkan diri untuk bertanding kerusi timbalan presiden ialah Datuk Zahid Hamidi calon yg memenangi undi terbanyak dalam pemilihan MT yang lalu. Datuk Wira Ali Rustam. Naib Presiden UMNO dan Datuk Jazlan , ketua bahagian Pulai Johor.

Tun Dr Mahathir juga telah membuat keputusan untuk Pak Lah. Beliau menyatakan bahawa ramai yang akan bertanding dan berharap mereka akan bertanding dengan cara yang sihat. Namun ini adalah nasihat ritorik pemimpin dan Tun sendiri tidak mengamalkan kempen yang sihat apabila berkempen untuk Mukhriz.

Beliau juga menyatakan jika berlaku pertandingan yang tidak sihat akan mengakibatkan UMNO akan berpecah apabila yang tewas tidak akan bekerjasama dengan yang menang. Sekarangpun Mukhriz yang belum menang ketua pemuda sudah tidak bekerjasama dengan Presiden. Tun tidak pula menegur perbuatan anak beliau.

Pasti akan berlaku satu perpecahan lagi. Dalam UMNO sekiranya keghairahan pertandingan tidak terkawal apabila pemimpin UMNO terlalu ghairah merebut jawatan. Yang buruknya mereka akan melakukan apa saja untuk menang. UMNO perlu melakukan sesuatu untuk mengelakan perkara seperti ini berlaku.

Pulihkan Umno-Gerakan - Malaysiakini

Umno Pulau Pinang berharap Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berusaha memulihkan semula hubungan dengan parti itu yang terjejas susulan kenyataan yang dianggap perkauman oleh seorang ketua bahagian.

Timbalan Pengerusi Umno negeri Datuk Seri Abdul Rashid Abdullah berkata usaha itu perlu dibuat memandangkan sebelum ini parti itu telah mengeluarkan pelbagai kenyataan yang boleh mengeruhkan keadaan.

Beliau mengulas hubungan antara dua parti komponen BN itu berikutan pengumuman Dr Koh bulan lalu bahawa partinya memutuskan hubungan dengan Umno negeri berkaitan isu bekas ketua bahagian Umno Bukit Bendera Datuk Ahmad Ismail.
"Saya rasa kita perlu cari jalan untuk memastikan masyarakat Melayu, Cina dan India terus bersatu di bawah Barisan Nasional," katanya semalam.

Khairy bertanding atas kekuatan sendiri - Malaysiakini

Keyakinan dan keinginan berbakti kepada pemuda UMNO Malaysia jelas apabila beliau telah menyatakan keinginan beliau terus keputusan beliau yang telah menawarkan diri untuk bertanding dalam perebutan kerusi Ketua Pemuda UMNO yang akan dikosongkan oleh Datuk Seri Hishamuddin pada bulan March ini.

Berikutan desas - desus yang kuat dimainkan sekarang , bahawa Presiden UMNO tidak akan mempertahankan kerusi presiden UMNO , Khairy dengan tegasnya menyatakan bahawa beliau akan meneruskan niat beliau walauapa sekali keputusan yang diambil oleh presiden UMNO Oktober ini.

Beliau telah menjelaskan pendirian beliau ketika sidang akhbar di rumah terbuka Parlimen Rembau semalam. Ini membuktikan bahawa Khairy bulan bertanding merebut kerusi Ketua Pemuda hanya bergantung atas kekuatan Presiden Parti. Beliau bertanding atas kekuatan sendiri hasil kerja sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO yang disandang oleh beliau.

Selaku wakil parlimen Rembau, Ketua Pemuda UMNO dan juga Naib Ketua Pemuda UMNO , Khairy kini berada di landasan yang baik untuk merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO bagi meneruskan kesenimbungan yang akan ditinggalkan oleh Hishamuddin dan bagi beliau meneruskan usaha yang telah diusahakan sebagai naib ketua pemuda UMNO Malaysia.

Kerusi ketua pemuda UMNO dijangka alan ditandingi oleh Datuk Mukhriz , Datuk Seri Khir Toyo , Zahidi dan Datuk Shaziman.