Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Tuesday, September 30, 2008

UMNO Bahagian Cheras ambil langkah pertama.? - Malaysiakini

UMNO Bahagian Cheras di Wilayah Persekutuan Ahad malam mengambil langkah pertama kearah peralihan kepimpinan yang ditetapkan pada bulan Mac tahun depan dengan mengistiharkan akan calonkan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Presiden UMNO dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden dalam mesyuarat UMNO Bahagian itu pada 12 Oktober ini.

UMNO Bahagian Titiwangsa sejurus itu mengikut jejak UMNO Bahagian Cheras dengan mengumumkan keputusan yang sama.

Ketua UMNO Bahagian Cheras Datuk Syed Ali Alhabshee dan Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa Datuk Sulaimen Mohamad mengumumkan demikian dalam ucapan mereka di Majlis Berbuka Puasa bersama Ibu Tunggal dan Golongan Orang Kurang Upaya di dewan UMNO Bahagian Cheras di Jalan Peel Kuala Lumpur.

Hadir sama pada majlis itu ialah Muhyiddin,Menteri Kebudayaan,Kesenian,Warisan dan Perpaduan Datuk Shafie Afdal,Ketua UMNO Bahagian Batu Datuk Yusof Hamid,Pemangku Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju Datuk Zainal Nazeri serta sebilangan pemimpin berbagai peringkat beberapa UMNO Bahagian di Wilayah Persekutuan.

Syed Ali memberitahu UMNO bahagian itu berpendapat langkah Majlis Tertinggi UMNO pagi Jumaat lalu menunda pemilihan parti dari Disember ini ke bulan Mac tahun depan bererti peralihan kuasa pasti terjadi.

Maka katanya pada sebelah petang Ahad jawatankuasa UMNO bahagian itu telah mengadakan mesyuarat dan sebulat suara bersetuju untuk mencalonkan Najib dan Muhyiddin sebagai Presiden dan Timbalan Presiden.

Katanya UMNO bahagian Cheras merasa mereka tidak perlu lagi menunggu pengumuman yang bakal dibuat oleh Perdana Menteri menjelang 9 Oktober ini sebelum UMNO Bahagian di seluruh negara mula bermesyuarat untuk menyatakan siapa yang hendak dicalonkannya.
Ditemui selepas majlis itu Syed Ali berkata, “ dengan keputusan Majlis Tertinggi tunda lima bulan dari tarikh mesyuarat bahagian it goes without saying bahawa peralihan kuasa pasti berlaku.Keputusan kami ada selaras dengan keputusan Majlis Tertinggi walaupun Pak Lah belum buat pengumuman beliau.

“Kami rasa tak perlu lagi nanti hingga pengumuman itu kerana senarionya sudah amat jelas,”katanya.

Ditanya tentang kemungkinan Abdullah membuat keputusan yang sebaliknya nak mempertahankan jawatan Presiden,Syed Ali kata beliau tidak fikir begitu.” Mana mungkin macam tu…tentu keadaan jadi rumit dan kecoh dalam UMNO,”ujarnya.


Beliau berpendapat jika Perdana Menteri nak mempertahankan jawatannya sudah pasti pemilihan jawatan Disember ini tidak akan ditunda. “ Soalnya nak tunda buat apa sampai lima bulan…saya tidak nampak kemungkinan itu langsung,”katanya.

Sulaiman dalam ucapannya memberitahu pendirian UMNO Bahagian Titiwangsa mahukan gandingan Najib dan Muhyiddin telah dirumuskan dalam mesyuarat jawatankuasanya baru-baru ini.

Beliau berharap soal ketuanan Melayu harus diperteguhkan oleh barisan yang mengambilalih kepimpinan nanti.

UMNO Bahagian Titiwangsa akan bermesyuarat pada 18 Oktober ini.

Sementara itu difahamkan bahagian UMNO yang pertama akan bermesyuarat ialah Besut pada 11 Oktober ini.

Pada 12 Oktober selain dari Cheras, bahagian-bahagian lain yang akan bermesyuarat pada hari itu ialah Machang,Pontian,Pagoh,Batu Pahat,Kuantan,Shah Alam,Subang dan Bukit Gelugor.

Pencalonan bahagian-bahagian yang awal mengadakan mesyuarat dijangka akan menarik perhatian ramai.

Sementara itu ketika bercakap kepada para wartawan Muhyiddin menjelaskan penangguhan mesyuarat dan Perhimpunan Agung UMNO ke Mac tahun depan tidak melanggar mana-mana peraturan perlembagaan parti.

Beliau berkata Majlis Tertinggi (MT) UMNO berhak menetapkan tarikh Perhimpunan Agung.
"Kalau ikut perlembagaan Umno, kuasa tertinggi adalah Majlis Tertinggi selain Perhimpunan Agung dan Majlis Tertinggi berhak untuk menetapkan tarikh mesyuarat-mesyuarat termasuk Perhimpunan Agung dan yang terkini, Majlis Tertinggi telah membuat keputusan menangguhkannya maka saya tidak nampak bagaimana ia melanggar perlembagaan," katanya.
Beliau berkata semua pihak perlu melihat penangguhan berkenaan dalam konteks yang lebih besar iaitu untuk menyelesaikan masalah peralihan kepimpinan dan atas dasar persefahaman kepimpinan, MT memutuskan tarikh berkenaan dan dianggap sesuai dan tidak perlu dipertikaikan lagi.

Diminta mengulas mengenai hasrat bekas Naib Presiden UMNO Tengku Razaleigh Hamzah untuk bertanding jawatan Presiden, beliau berkata hasrat Tengku Razaleigh sudah lama disuarakan dan bukan sesuatu yang baru.
"Itu hak dia, kita menghormati hasrat dia hendak bertanding bagi jawatan Presiden, terserah kepada ahli-ahli perwakilan di bahagian sama ada untuk mencalonkan beliau atau tidak," kata Muhyiddin.

Saya tak ada kuasa sekat sesiapa… - Malaysiakini

Bagi Datuk Mukhriz Mahathir buka ruang seluasnya kepada semua calon jumpa para perwakilan di seluruh negara... selesai masalah tentang isu sekat menyekat yang didakwa berlaku.

Diminta mengulas kenyataan Khairy Jamaluddin Khamis lalu bahawa beliau juga turut kena sekat,Mukhriz berkata, “ saya tidak dapat sahkan apa yang Khairy kata tetapi sudah tentu saya tak ada kuasa untuk sekat mana-mana pihak dan daya minta agar peluang (bertemu perwakilan) diberi kepada semua calon tak kira siapa.”

Mukhriz yang menawarkan diri untuk jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia menjawab soalan para waratwan dalam sidang akhbar selepas majlis berbuka puasa bersama media di Menara Kuala Lumpur Ahad malam.

Katanya beliau mengalakkan mana-mana pihak yang menganjur pertemuannya dengan para perwakilan agar memanggil sama calon-calon lain.

Mukhriz menjelaskan beliau sebelum ini mendakwa ada sekatan keatasnya berdasarkan pengalalam yang dilaluinya sendiri seperti di Johor, Terengganu,Pahang dan Sabah baru-baru ini.

“Ia berlaku pada saya bila ahli Pemuda yang sepatutnya hadir di majlis dimana saya ada menerima sms dan panggilan telefon tidak galakan mereka hadir dalam perjumpaan saya,”katanya.

Katanya, tindakan menyekat calon yang bertanding daripada berjumpa dengan perwakilan tidak sewajarnya berlaku.

Menurutnya semua perwakilan harus diberi peluang untuk menilai calon yang menawarkan diri nak bertanding apa jua jawatan.

Ahli Parlimen Jerlun itu menegaskan aduan harus dibuat kepada Majlis Tertinggi UMNO sekiranya tindakan menyekat jumpa perwakilan ini berterusan.

UPKO nak keluar BN.?

Bila presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee mengumumkan keputusan parti keluar dari gabungan Barisan Nasional (BN) pada 17 Sept, ini tidak memeranjatkan ramai orang kerana ia sesuatu yang memang diduga.

Ini kerana tiga bulan sebelum itu, SAPP telah menyatakan niatnya.

Tetapi bila Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) mengancam akan mengkaji kedudukannya dalam BN, ini mengejutkan dan kelihatan serupa dengan langkah politik SAPP.

UPKO dengan itu menjadi parti komponen kedua BN yang membuat "kenyataan keras" terhadap BN selepas SAPP.

Sementara SAPP mendedahkan isu-isu berkaitan Sabah sebagai "senjata" politiknya, UPKO nampaknya kurang senang dengan cara Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menangani nasib seorang wanita Cina-Kadazan berusia 78 tahun Yong Lee Hua, yang diberikan kad pengenalan (IC) merah dengan status pemastautin tetap bila beliau memohon menggantikan IC birunya yang hilang di sebuah supermarket di Penampang tahun lepas.

Terkejut dengan penurunan taraf itu, timbalan presiden UPKO Datuk Wilfred Bumburing disebut sebagai berkata semalam bahawa merampas kewarganegaraan dari seorang bumiputera dan memaksanya menerima status pemastautin tetap cukup memeranjatkan tentang bagaimana tidak cekapnya sebuah jabatan yang dipenuhi kontroversi, termasuk pengeluaran IC yang meragukan kepada imigran haram menerusi Deklarasi Berkanun palsu.
"Tindakan ini oleh JPN melanggar hak asasi warga Malaysia di Sabah dan jika ia tidak diperbetulkan, UPKO mesti mengkaji dengan serius kedudukannya dalam Barisan," kata Bumburing, anggota Parlimen Tuaran.
Apakah UPKO akan mengikut jejak langkah SAPP kerana tidak puas hati dengan BN?.

Penganalisis tempatan, Iskandar Martin Gayo, percaya UPKO mungkin tidak mempunyai rancangan untuk keluar dari BN buat masa ini sekalipun parti berpangkalan di Sabah itu agak lantang akhir-akhir ini dalam menyuarakan rungutan rakyat Sabah.
"Saya fikir apa yang UPKO mahu ialah bagi kerajaan membetulkan "kesilapan" sebuah jabatan persekutuan dan itu bukan kata dua. Tidak ada salahnya. Ini kerana UPKO berjuang demi kebaikan rakyat tempatan Sabah.

"Sudah menjadi rahsia umum yang Sabah dibebani masalah imigran haram dan sesetengah mereka malah berjaya mendapatkan MyKad menerusi cara meragukan, yang akhirnya melayakkan mereka mendapatkan kerakyatan.

"Bagaimana orang-orang ini boleh dengan mudah mendapatkan kerakyatan sedangkan orang kita sendiri bertungkus lumus hendak mendapatkannya?" tanya beliau.
Beliau menggesa kerajaan persekutuan membenarkan rakyat Sabah mengetuai JPN dan Jabatan Imigresen di Sabah oleh kerana mereka lebih memahami masalah yang melibatkan penduduk tempatan.

Iskandar berkata kerajaan negeri di bawah Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman memang bekerja keras, bersama kerajaan persekutuan, menangani masalah imigran haram.

Masalah ini, kata beliau tidak harus timbul lagi oleh kerana kerajaan negeri dan pusat begitu serius untuk menyelesaikannya buat selamanya dengan melancarkan operasi besar-besaran membanteras pendatang haram di Sabah baru-baru ini.
"Operasi baru-baru ini berjaya menghantar balik beribu-ribu imigran haram ke negara asal mereka. Penduduk tempatan hendaklah memberi peluang kepada kerajaan menyelesaikan tugas besar ini dan ini tidak mungkin dapat dicapai dalam tempoh singkat," kata beliau.
Iskandar berharap kes membabitkan Yong Lee Hua yang ditonjolkan oleh UPKO adalah kes terpencil dan tanpa memerlukannya untuk memikirkan tentang statusnya dalam BN.

Beliau berkata presiden UPKO dan MP Penampang Tan Sri Bernard Dompok malah pernah menafikan sebelum ini yang parti itu akan meninggalkan BN.

Sebaliknya, pemimpin-pemimpin UPKO akan terus setia kepada pengerusi BN dan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, katanya.

UPKO mempunyai empat MP - Dompok, Bumburing, Datuk Dr Marcus Majigoh (MP Putatan) dan Datuk Siringan Gubat (Ranau).

MIC serah memorandum bantah MAPJ roboh kuil - Malaysiakini

T. MOHAN menyerahkan dokumen kepada Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Kira-kira 300 anggota MIC dan badan bukan kerajaan (NGO) hari ini mengadakan perhimpunan aman di hadapan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) di sini bagi membantah tindakan kerajaan negeri merobohkan Kuil Sri Mahakaliaman di Ampang, di Shah Alam, semalam.

Kumpulan itu yang diketuai Ketua Pemuda MIC, T. Mohan berkumpul kira-kira pukul 11.30 pagi sebelum berarak sambil memegang sepanduk dan berhimpun di depan bangunan SUK yang menempatkan pejabat Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Pada sepanduk itu tertera perkataan "Pandai Konfius Rakyat (PKR)", "Masyarakat India kena tipu" dan "Anwar pembelot".

Perhimpunan itu berakhir kirakira pukul 12 tengah hari selepas Mohan menyerahkan memorandum bantahan berhubung perkara itu kepada Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad untuk disampaikan kepada Abdul Khalid.

Mohan ketika ditemui pemberita berkata, memorandum itu antara lain menuntut kerajaan negeri membina semula kuil berkenaan yang telah dirobohkan serta memberikan tapak khas untuk pembinaan kuil itu berserta dokumen yang lengkap.

Beliau berkata, memorandum itu turut menuntut agar kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat mengotakan janji yang dibuat pada pilihan raya umum lepas iaitu apabila mereka mengambil alih kerajaan daripada Barisan Nasional (BN) mereka akan mempastikan bahawa tiada lagi kuil akan dirobohkan.
"Kita sedar banyak kuil di Malaysia tiada permit dan kena memohon tanah kalau nak bina kuil tetapi itu tidak bermakna boleh robohkan kuil sesuka hati tanpa prosedur yang betul," katanya.
Mohan menjelaskan pada 2002 dan 2007 kuil Sri Mahakaliaman pernah dirobohkan semasa pemerintahan kerajaan BN dan selepas MIC mengemukakan bantahan, ia dibina semula di tapak yang sama.

10 ahli UMNO dikenakan tindakan disiplin - Malaysiakini

BEKAS Ketua Bahagian Umno Rantau Panjang, Datuk Mohd Zain Ismail (tengah) ditemu ramah wartawan berhubung tindakan yang dikenakan terhadap dirinya oleh Lembaga Disiplin Parti ketika tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Baharu semalam. Mohd Zain menganggap keputusan untuk menggantungkannya sebagai keterlaluan kerana beliau menyifatkan perbicaraan terhadapnya adalah kurang adil dan terdapat elemen sabotaj oleh pengadu untuk mendapatkan jawatannya berikutan mesyuarat pemilihan Umno bahagian akan berlangsung mulai 9 Oktober ini di seluruh negara.
Lembaga Disiplin Umno memutuskan seramai 10 ahli parti itu bersalah kerana terbabit dengan rasuah politik dan sabotaj parti.

Seorang daripada yang tertuduh diberi amaran manakala sembilan anggota lain dikenakan hukuman digantung keanggotaan selama tiga tahun atau satu penggal pemilihan bermula 22 September lalu.

Tertuduh yang terbabit terdiri daripada ahli Umno Bahagian Kota Tinggi, Rantau Panjang dan Tanah Merah.

Ia diumumkan oleh Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail semalam.
Senarai ahli diputuskan hukuman
* A. Malek Daing A. Rahaman (Kota Tinggi) - Perkara 5.1.2, 5.3 & 5.5 Kesalahan (Tataetika ahli)
* Mohamadon Abu Bakar (Kota Tinggi) - Perkara 5.1.2 & 5.5 Kesalahan (Tataetika ahli)
* Musa Ngaman (Kota Tinggi) - Perkara 5.1.2 & 5.5 Kesalahan (Tataetika ahli)
* Muszaide Makmor (Kota Tinggi) - Perkara 5.1.2 & 5.5 Kesalahan (Tataetika ahli)
* Mohammad Taha Madon (Kota Tinggi) - Perkara 5.3 & 5.5 Kesalahan (Tataetika ahli)
* Datuk Mohd Zain Ismail (Rantau Panjang) - Fasal 20.8(B) dan (C) Perlembagaan Umno dibaca bersama dengan Perkara 3.1.2 & 3.1.4 Tataetika Ahli Umno
* Ghazali Ismail (Rantau Panjang) - Fasal 20.8(B) dan (C) Perlembagaan Umno dibaca bersama dengan Perkara 3.1.2 & 3.1.4 Tataetika Ahli Umno
* Fauzi Omar (Rantau Panjang) - Fasal 20.8(B) dan (C) Perlembagaan Umno dibaca bersama dengan Perkara 3.1.2 & 3.1.4 Tataetika Ahli Umno
* Pauziah Che Wook (Rantau Panjang) - Fasal 20.8(B) dan (C) Perlembagaan Umno dibaca bersama dengan Perkara 3.1.2 & 3.1.4 Tataetika Ahli Umno
* Datuk Ismail Hassan (Tanah Merah) - Perkara 5.1.2 & 5.5, dan Fasal 20.8(B) dan (C) Perlembagaan Umno dibaca bersama dengan Perkara 3.1.2 & 3.1.4 Tataetika Ahli Umno
A. Malek merupakan individu yang mencabar Datuk Seri Syed Hamid Albar bagi merebut jawatan Ketua Umno Bahagian Kota Tinggi.

Kecuali Mohammad Taha, tertuduh yang lain dikenakan hukuman digantung keahlian selama tiga tahun.

Kes sabotaj parti iaitu melanggar peruntukan Fasal 20.8 Perlembagaan Umno dibaca dengan Perkara 3 Tataetika Ahli Umno dan rasuah politik pula diputuskan mengikut Perkara 5 Tataetika Ahli Umno.

Ahmad Rithauddeen berkata, keputusan itu adalah hasil daripada persidangan Lembaga Disiplin pada 22 hingga 24 September lalu.

Tahun 2008 merupakan tahun pemilihan parti.

Cawangan-cawangan Umno telah mengadakan mesyuarat tahunan dan pemilihan Julai hingga Ogos manakala persidangan perwakilan bahagian akan bermula 9 Oktober ini.

Berdasarkan siasatan atau pendengaran pertuduhan, statistik aduan yang diterima secara keseluruhannya adalah sebanyak 475.

Berikut adalah butiran statistik aduan diterima dan diambil tindakan
Jumlah keseluruhan aduan: (475)
Jumlah aduan telah disiasat (Panel Penyiasatan): 115
Jumlah aduan belum dimulakan siasatan: (49)
Jumlah aduan perlu dokumen tambahan (Borang A): (38)
Jumlah aduan kategori tiada tindakan lanjut (NFA): (85)
Jumlah aduan bukan di bawah bidang kuasa Lembaga Disiplin: (74)
Jumlah aduan baru: (110)
Disimpan untuk perhatian: (4)
Jumlah aduan telah disiasat (Panel Penyiasatan) dan didapati tiada kes prima facie: (22)
Jumlah kes telah didengar (tribunal Lembaga Disiplin): (10)