Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Monday, September 29, 2008

Rumah Terbuka PM di PWTC pada raya pertama - Malaysiakini

Jamuan Perdana Hari Raya Aidilfitri bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan isteri, Datin Seri Jeanne Abdullah serta menteri-menteri kabinet akan diadakan di PWTC di sini pada hari pertama Aidilfitri.

Ketua Pegawai Eksekutif PWTC, Datuk Yaakob Mohammad berkata, lebih 100,000 pengunjung dijangka hadir.

Tempoh pukul 11.30 pagi hingga 12.30 tengah hari adalah untuk tetamu jemputan manakala waktu kunjungan bagi orang ramai ialah dari pukul 12.30 tengah hari hingga 4.30 petang.

Kesetiaan MIC akan terus bersama BN - Malaysiakini

MIC akan terus kekal sebagai satu-satunya parti yang mewakili masyarakat India dalam Barisan Nasional (BN), kata presidennya Datuk Seri S. Samy Vellu hari ini.

Beliau berkata, rekod MIC dalam memberi khidmat kepada masyarakat India sejak negara mencapai kemerdekaan ke-51 lepas, membuktikan kekuatan yang dimilikinya, walaupun parti itu mencatat prestasi buruk pada pilihan raya umum lepas.
“Sejak Perikatan (kini Barisan Nasional) ditubuhkan hingga sekarang, MIC sentiasa memperjuangkan hak serta kepentingan masyarakat India dan kami akan terus berbuat demikian melalui Barisan Nasional,” katanya.

Salam Aidilfitri daripada Tun Mahathir dan isteri - Malaysiakini

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua rakyat Malaysia khususnya kepada yang beragama Islam.
“Alhamdulillah, sekali lagi dapat kita bersama-sama meraikan hari kebesaran ini setelah sebulan menjalankan ibadah puasa”, katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama di Kuala Lumpur hari ini.
Beliau menyeru rakyat Malaysia di samping bergembira menyambut hari lebaran bersama keluarga agar turut meneruskan tradisi kunjung-mengunjung ke rumah-rumah terbuka bagi mengeratkan silaturrahim sesama rakyat berbilang kaum.
“Semoga di hari yang gembira ini, hubungan kita sebagai rakyat berbilang kaum dan agama di negara tercinta ini akan bertambah erat,” katanya.
Bagi mereka yang pulang ke kampung, Dr. Mahathir menasihati supaya berhati-hati ketika memandu dan selamat di dalam perjalanan pulang ke kampung halaman masing-masing.

Beliau akan mengadakan majlis rumah terbuka pada hari Ahad, 5 Oktober di kediaman beliau beralamat di 58, Jalan Kuda Emas, The Mines Resort City, Seri Kembangan dari pukul 10 pagi hingga 1 tengah hari dan pukul 2.30 petang hingga 5 petang.

Azalina Mahu Persepsi Melayu ‘FOC’ Dikikis - Malaysiakini

Air Tawar 1 - Bertempat di perkarangan Masjid Felda Air Tawar 1, satu majlis yang dinamakan ‘Rahmat Ramadhan’ telah diadakan bagi memberikan sedikit sumbangan kepada warga Felda berupa ‘duit raya’ dan sumbangan ‘hamper’. Majlis yang dianjurkan oleh Felda dan kerjasama Pejabat Parlimen itu adalah bertujuan menghargai jasa peneroka dan penerokawati yang banyak membatu sektor pertanian di negara ini.

Majlis pada petang semalam, telah dirasmikan oleh YB Dato’ Sri Azalina Othman Said, Ahli Parlimen Pengerang merangkap Meteri Pelancongan Malaysia. Sebelum majlis perasmian dimulakan satu ceramah agama telah disampaikan sesuai dengan bulan Ramadhan, bulan yang penuh dengan keberkatan.

Azalina ketika menyampikan ucapan perasmiannya telah menekan peri pentingnya Melayu di negara ini terus bersama dengan kerajaan.
“Bangsa Melayu (Islam) di negara ini seharusnya bersyukur kepada Allah S.W.T kerana dilahirkan di negara ini. Berbanding dengan Melayu di negara lain, boleh dikatakan langsung tiada keistimewaan yang berikan kepad mereka.Sebagai contoh Melayu di Singapura, Indonesia, Thailand, Filiphina dan sebagainya.

“…hantar anak ke sekolah - FOC, permohonan tanah - FOC, atap rumah tercabut - FOC, lembu hilang - FOC…….

“Sekiranya sebelum bangsa lain mengelarkan Melayu sebagai bangsa subsidi, namun kini ia lebih sesuai di kenali sebagai bangsa ‘FOC’ (Free Of Charge). Ini kerana tabiat yang suka meminta-minta lama kelamaan boleh mengakibatkan kemusnahan bangsa itu sendiri.” Katanya.
Azalina mengesa golongan peneroka Felda supaya memikirkan semasak-masaknya sebelum memilih pembangkang.

Beliau yang menyelarkan cadangan pembangkang (Melayu) terutamanya mereka yang berada di dalam Pas dan PKR kerana mencadangkan untuk memansuhkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) seandainya berjaya membentuk kerajaan. Ini kerana kewujudan Felda di negara ini adalah hasil dari kewujudan DEB di negara ini.

Seandainya DEB dimansuhkan, adalah tidak mustahil Felda juga bakal terkubur kerana hak keistimewaan orang Melayu akan hilang sama sekali. Oleh yang demikian Felda yang diwujudkan atas dasar untuk membantu masyarakat Melayu luar bandar seharusnya dipertahankan.

Gerakan pertimbang keluar BN.? - Malaysiakini

Gerakan menimbang untuk meninggalkan Barisan Nasional dan menyertai Pakatan Rakyat, kata pemangku Presiden Tan Sri Dr Koh Tsu Koon semalam.

Dua lagi pilihan dalam pertimbangan parti itu termasuklah kekal bersama BN atau keluar dan menjadi sebuah parti bebas tanpa sebarang pakatan, katanya seperti dilaporkan laman web The Star.

Tambahnya, kemungkinan meninggalkan BN dan menyertai Pakatan tergantung pada situasi politik saat ini.
"Kita tidak menutup sebarang kemungkinan," Koh dipetik sebagai berkata selepas merasmikan konvensyen tahunan Gerakan Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur.
Beliau berkata, sentimen 60 peratus ahli-ahli mahukan Gerakan meninggalkan BN, bagaimanapun keputusan itu harus mengambil kira pelbagai faktor dan bukan sentimen semata-mata.

Mengulas 20 anggota Gerakan Wilayah Persekutuan termasuk bekas ketua penerangannya Gan Kok Keng dan bekas ketua bahagian Setiawangsa Li Tiam Chai yang menyertai PKR, Koh berkata beliau terperanjat dengan keputusan mendadak itu.

Minggu lepas, tambah tambahnya, Li masih tidak menunjukkan sebarang tanda tidak senang dengan Gerakan.

Di sidang media yang sama, Koh menawarkan diri untuk jawatan presiden apabila parti itu mengadakan pemilihan kebangsaan bulan depan tetapi akan berkhidmat tidak lebih dari dua penggal sekiranya dipilih, lapor Bernama.
"Saya menetapkan tempoh masa untuk diri saya, iaitu saya berkemungkinan tidak akan melewati dua penggal, mungkin lebih pendek," katanya.
Baru-baru ini Parti Maju Sabah (SAPP) membuat keputusan keluar BN selepas beberapa bulan berusaha mengusulkan undi tidak percaya terhadap perdana menteri, yang juga pengerusi BN, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

PERUTUSAN KETUA PEMUDA SEMPENA MESYUARAT AGUNG PEMUDA UMNO BAHAGIAN - Malaysiakini

Bismilahi Rahmani Rahim,

Assalammu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Alhamdulilah, setinggi-tinggi kesyukuran saya panjatkan ke hadrat Allah SWT, sesungguhnya dengan izin, limpah dan kurnia Nya, kita dapat terus mengecapi nikmat keamanan dan kemakmuran berkat kesatuan dan semangat perpaduan di kalangan kita.

Saya amat bersyukur kerana sepanjang diberikan amanah besar menerajui Pergerakan Pemuda, Allah SWT sentiasa memberikan petunjuk, hidayah, keberanian dan kekuatan kepada saya dan rakan-rakan seperjuangan di dalam melalui pasang surut, pahit getir dan cabaran perjuangan.

Walaupun ada ketikanya kita diuji hingga ke satu sudut, diejek, dimaki, diperlekehkan dan diminta membuat pilihan, namun dengan petunjuk dan hidayah Allah SWT, kita kembali pada landasan perjuangan sebenar dan berpegang teguh dengannya, tanpa meletakkan kepentingan-kepentingan lain.

Hanya demi masa depan anak bangsa; demi kemakmuran negara; dan demi kesucian syiar agama. Alhamdulillah Pergerakan Pemuda terus kukuh dan kuat berkat kesepakatan dan sokongan di akar umbi.

Kita berjaya menempuhi cabaran dan tidak mudah dirapuhkan oleh sebarang kegoyahan atau leka.

Terima kasih, atas segala sokongan padu, kematangan dan kerjasama setiap peringkat Pemuda, dari akar umbi hingga kepimpinan bahagian dan negeri, banyak agenda bangsa dapat diperjuangkan, banyak sejarah telah dicipta oleh Pemuda sama ada di peringkat Pusat, Negeri, Bahagian dan Cawangan.

Kini Pemuda sudah berada pada tahap yang cukup mantap. Justeru saya telah umumkan, bahawa saya tidak akan mempertahankan jawatan ini.

Saya berharap kepimpinan baru dengan kepimpinan yang lebih muda akan lebih memahami golongan muda dan terus membuat perubahan. Sesungguhnya usaha untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap UMNO begitu penting.

Semangat setia kawan, Pemuda berani dan sifat berani berubah akan menjadi elemen dan pemangkin dalam gerakan memperkukuh Pemuda pada masa hadapan.

Insya Allah selagi kita berpegang kepada asas dan prinsip perjuangan; memahami realiti di akar umbi; meletakkan kepentingan Parti lebih utama dari segala-galanya; maka saya akan berbangga untuk melihat Pemuda akan lebih kuat dari zaman saya.

Pemuda yang bakal menjadi pemacu kepada kejayaan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum Ke-13 yang akan datang, insya Allah.

Akhirnya, saya dan seluruh Barisan Kepimpinan Pemuda UMNO Malaysia mengucapkan Selamat Bersidang kepada seluruh warga Pemuda. Semoga perjalanan mesyuarat saudara berjalan dengan lancar dan Parti kita akan terus kuat dan relevan.

Salam Perjuangan dan Selamat Bersidang.
Selamat Hari Raya Aidilfitri.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, walilahilhamd.

BERSATU – BERSETIA – BERKHIDMAT

DATO’ SERI HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN

Penangguhan Tak jejas calon berkempen - Malaysiakini

Calon yang bertanding pada pemilihan Umno akan datang berpendapat keputusan Majlis Tertinggi (MT) menunda tarikh perhimpunan agung kepada Mac tahun depan tidak akan merumitkan kempen mereka.

Ahli MT yang menawarkan diri bertanding jawatan Naib Presiden, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata isu itu tidak berbangkit kerana kesan penangguhannya dialami semua calon dan bukan menguntungkan pihak tertentu saja.
"Pada saya, ia (penangguhan perhimpunan agung dan pemilihan Umno) tidak menjadi hal kerana kehidupan tetap berjalan seperti biasa. Sebagai ahli politik, setiap hari saya berkempen iaitu bekerja keras dan komited terhadap usaha membawa keyakinan rakyat kepada parti dan juga kerajaan," katanya, kelmarin.

Henti spekulasi tentang keputusan MT - Malaysiakini

Puteri Umno meminta anggota-anggota akar umbi parti menghentikan segala bentuk spekulasi tentang keputusan Majlis Tertinggi (MT) Umno menangguhkan pemilihan jawatan tertingginya ke Mac tahun depan. Ketuanya, Datuk Noraini Ahmad berkata, beliau yakin keputusan pada mesyuarat khas MT dua hari lepas itu tidak akan menyebabkan ketidakstabilan dalam parti.

"Saya yakin keputusan itu tidak akan menyebabkan ketidakstabilan di dalam parti kerana ia bertujuan untuk memperkemas dan memperkuatkan institusi Umno dan Barisan Nasional (BN)".


"Keputusan tersebut telah diterima secara menyeluruh oleh anggota-anggota MT dan saya harap segala spekulasi tentangnya di peringkat anggota akar umbi dapat dihentikan," kata Timbalan Menteri Sumber Manusia itu selepas menghadiri majlis penutup program Kembara Ramadan Puteri Umno Johor di Kluang, malam semalam.