Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Friday, September 26, 2008

Kerajaan Pakatan Rakyat mungkir janji Roboh Kuil, kata Samy Vellu - Malaysiakini

Arahan merobohkan kuil Sri Maha Kaliamman dibuat oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di luar pengetahuan kerajaan Selangor, kata exco kerajaan tempatan Dr Xavier Jayakumar. Apakah ini alasan yang diberikan oleh kerajaan Negeri Selangor kerana kuasa dan pemerantahan dalam negeri Selangor adalah kuasa pembangkang. Bagaimana sebuah kerajaan negeri yang berkuasa tidak tahu apa yang dilakukan oleh badan kerajaan berkenaan.

Sementara ahli parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin menjelaskan, tindakan merobohkan kuil itu “berpunca daripada salah faham” antara pihak MPAJ dengan pengurusan kuil.Beliau, yang juga ketua wanita PKR berkata, salah faham itu melibatkan hal-hal pengubahsuaian bangunan, dokumentasi dan prosedur pengurusan.

Semalam Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu berkata, kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat melanggar janji pilihanrayanya yang menjamin tidak akan merobohkan rumah ibadat bukan Islam.

Beliau menyifatkan tindakan merobohkan kuil itu sebagai kecuaian PBT yang bertindak sedemikian tanpa terlebih mengalihkan kuil tersebut.

Jangan jadi Tun Perak tapi perangai macam Si Kitul - Malaysiakini

Lama sudah tidak kedengaran ungkapan nama-nama seperti Tun Perak atau Si Kitul dalam cerita-cerita politik tanah air. Munkin kerana situasi yang berlaku tidak boleh disamakan dengan watak-watak tersebut atau orang sudah mula lupa watak-watak tersebut sebenarnya hidup subur dalam politik kepartian negara ini.

Terbaru, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Abdul Latif Ahmad memberikan analogi tersebut bagi memberikan ingatan terhadap sesetengah pihak yang menurutnya mula menjalankan agenda mereka untuk pemilihan parti.

Beliau memberikan ingatan itu agar pihak-pihak tertentu yang kini bergerak aktif mengganggu UMNO Bahagian agar mengikuti ’skrip’ pemilihan yang kononnya telah ditetapkan dan mendapat restu.
“Dalam semangat Syawal, bulan kemenangan, biarlah ahli tentukan soal kepimpinan dan jangan ada pihak pula cuba ugut mereka. Berilah ahli peluang untuk melaksanakan hak mereka,“ katanya merujuk kepada tarikh pemulaan mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian pada 9 Oktober depan bersamaan dengan 9 Syawal.
Beliau memberikan ulasan itu kerana mendapat rungutan dan maklumat daripada pimpinan UMNO Bahagian-Bahagian sudah ada pihak yang mengganggu mereka untuk mempengaruhi pencalonan Bahagian khususnya untuk pemilihan peringkat Majlis Tertinggi dan pucuk pimpinan parti.

Menurut beliau, tindakan kumpulan ini sebenarnya tidak sihat dan boleh menyebabkan parti menjadi lemah kerana ahli-ahli dinafikan hak mereka sesuai dengan Perlembagaan UMNO untuk memilih dan dipilih.
“Jika kita mahu parti kita kukuh dan terus relevan dan sesuai dengan asas UMNO sebagai parti akar umbi, suara mereka jangan cuba dinafikan,“ katanya.
Ditanya apa kena mengena watak Tun Perak dan Si Kitul dalam ingatan beliau itu, Dr. Abdul Latif berkata, Tun Perak adalah watak yang sering dikaitkan dengan soal penentuan kedudukan Raja.
“Watak ini akan sentiasa hidup tidak kira siapa jadi pemimpin tetapi malangnya kini watak itu perangainya macam Si Kitul yang akan buat sesuatu untuk kepentingan diri.

“Maknanya, watak ini akan berusaha untuk menjadi penentu kepada Raja tetapi pada masa yang sama menggunakan alasan demi kepentingan Raja, beliau akan mengaut keuntungan daripada itu. Sebab itu saya kata jangan jadi Tun Perak tapi perangai macam Si Kitul,“ ujar beliau.

Keputusan MT 'ada muslihat'..? - Malaysiakini

Ketua bahagian Padang Besar, Datuk Zahidi Zainol Abidin tidak bersetuju dengan keputusan menunda mesyuarat agung tahunan Umno ke tahun depan dan menyifatkan langkah itu "bermuslihat."

Keputusan itu dilaporkan bertujuan menyegerakan pelan peralihan kuasa Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada timbalannya Datuk Seri Najib Razak.

Tiada tarikh baru bagaimanapun diumumkan selepas mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi (MT) pagi ini. Pelan awal peralihan kuasa dirancang pertengahan 2010.

zahidi zainol abidinZahidi, yang juga timbalan ketua perhubungan Perlis, menambah beliau tidak faham kenapa penangguhan itu dibuat kerana masa antara mesyuarat bahagian dan mesyuarat agung terlalu jauh.
"Sepatutnya kalau nak tunda, tunda dengan (mesyuarat) bahagian sekali. Saya tak faham kenapa buat begitu.

"Seolah-olah ada muslihat tertentu," kata Zahidi.
Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut maksud muslihat tersebut.

shahidan kassimSementara ketua perhubungannya Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, perubahan pucuk pimpinan dalam Umno tidak menjamin parti akan menjadi kuat.

Beliau berkata, ahli Umno tidak boleh duduk diam tetapi harus bekerja kuat untuk parti.

Katanya, penangguhan tersebut tidak memberi kesan kerana jika sesuatu bahagian tidak mencalonkan seseorang pemimpin tertentu, sudah tentu pemimpin itu tidak boleh bertanding.
"Ahli parti tidak bising apa-apa, hanya orang luar (pembangkang) yang sibuk buat bising," katanya.

Laporan polis terhadap pegawai Umno - Malaysiakini

Seorang ketua cawangan Umno bahagian Tanah Merah, Kelantan membuat laporan polis terhadap setiausaha bahagian sistem maklumat ibu pejabat Umno, Datuk Ismail Mohamed.

Dalam laporannya, Ismail didakwa mengaku ditawar untuk membeli kereta dengan harga murah oleh seorang pemimpin yang mahu bertanding jawatan ketua bahagian tersebut.

Ketua cawangan Simpang Tiga Seri Mahligai, Bukit Mas, Amran Abdul Rahman membuat laporan tersebut di balai polis Tanah Merah jam 1.33 tengahari semalam.

Dalam laporan tersebut, Amaran mendakwa, Ismail memberitahu perkara itu dalam satu perjumpaan pada 7 Ogos lalu - di antara jam 12 hingga 1 tengah hari - di ruang menunggu tingkat 20 bahagian sistem maklumat ibu pejabat Umno, Kuala Lumpur.

Menurutnya, perjumpaan itu diadakan berhubung permasalahan keahlian yang menyebabkan cawangan dalam bahagian Tanah Merah masih gagal bermesyuarat walaupun tempoh yang ditetapkan oleh Majlis Tertinggi Umno telah berakhir.

Beliau mendakwa, turut hadir dalam perjumpaan tersebut ialah ketua Pemuda bahagian, Jusoh Deraman; penolong setiausaha, Muhammad Yuswadi Yaacob dan ketua penerangan Umno bahagian, Bahari Mohamad Nor.

Dalam laporan polis tersebut, Amran turut mengemukakan akuan bersumpah oleh Jusoh, Yuswadi dan Bahari.

Amran berkata, perjumpaan tersebut berkaitan masalah ahli dan status cawangan yang tidak membayar yuran keahlian. -->>lanjut

"Saya tak pernah lompat" Abdullah - Malaysiakini

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menafikan bahawa beliau akan mengambil cuti berikutan keputusannya untuk mengawalkan peralihan tampuk kepimpinan parti dan kerajaan.
"Saya akan bercutikah? Macam mana anda tahu?

"Tidak. Saya tidak akan bercuti. Saya ada banyak kerja untuk dibuat," kata beliau selepas mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Tertinggi Umno pagi tadi.
Mesyuarat itu juga memutuskan untuk menangguhkan Perhimpunan Agung Tahunan Umno dan pemilihan Disember ini sehingga Mac depan.

Abdullah dilantik sebagai Perdana Menteri dan memangku jawatan Presiden Umno pada Oktober 2003.

Beliau turut ditanya sama ada bersedia melakukan pengorbanan demi kebaikan dan kepentingan parti dengan melepaskan jawatan yang disandangnya.

Abdullah berkata, dalam sejarah perjuangannya, beliau tidak pernah mengambil apa juga tindakan yang bertentangan dengan parti kerana beliau menyayangi Umno.
"Bagi saya, saya sayangkan parti sungguhpun ketika melalui waktu yang sukar. Saya tidak pernah meninggalkan Umno. Saya tidak menyertai Umno 46 (Semangat 46), saya tidak menyertai parti lain.

"Saya tidak pernah berada pada platform manamana parti pembangkang demi kepentingan peribadi menentang Umno. Tidak ada rekod saya menentang parti langsung pada bilabila masa pun," katanya.
Abdullah juga ditanya sama ada Umno mempunyai cadangan untuk mengehadkan tempoh jawatan presiden selama tiga penggal seperti yang diamalkan MCA ketika ini.

Menurut Perdana Menteri, Umno tidak mempunyai sebarang rancangan untuk berbuat demikian.
"Kita tak buat sebarang keputusan mengenainya dan belum ada dasar yang berkaitan mengenainya," katanya.
Perdana Menteri turut menyifatkan semua ucapan dan pandangan yang dibuat oleh anggota MT sebagai menyambut baik keputusan untuk menunda tarikh Perhimpunan Agung parti ke bulan Mac depan.

Ditanya mengenai pertemuan beliau dengan Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu yang meminta agar lima pemimpin Hindraf yang kini ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dibebaskan, Abdullah berkata, perkara itu terletak di bawah Kementerian Dalam Negeri.
"Itu adalah perkara yang di bawah Kementerian Dalam Negeri dan saya telah pun menyerahkan surat (mengenainya) kepada menteri yang berkenaan," katanya tanpa menjelaskan kandungan surat itu.

Najib sifatkan penerusan pemilihan bahagian UMNO keputusan hormati pandangan akar umbi parti - Malaysiakini

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO hari ini berhubung penangguhan Perhimpunan Agung UMNO sehingga Mac tahun depan dan mengekalkan tarikh pemilihan bahagian-bahagian mulai 9 Oktober sebagai keputusan yang bijaksana.

Beliau memberitahu pemberita selepas mesyuarat MT UMNO di sini bahawa “ia dibuat dengan penuh bijaksana selepas mendengar pandangan pemimpin dan ahli akar umbi.”

Abdullah akan umum keputusan pertahankan jawatan Presiden UMNO sebelum 9 Oktober - Malaysiakini

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, beliau akan mengumumkan sama ada akan mempertahankan jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti itu sebelum persidangan perwakilan bahagian bermula pada 9 Oktober ini.

Perdana Menteri bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Tertinggi UMNO hari ini.

Pemilihan Umno ditangguh hingga Mac - Malaysiakini

Majlis Tertinggi Umno memutuskan hari ini untuk menangguhkan perhimpunan agung serta pemilihan parti dari Disember ke Mac tahun depan.

Penundaan ini bertujuan memastikan proses peralihan kuasa berjalan lebih awal.

Ia dilihat sebagai usaha mendesak Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyerahkan kuasa kepada Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak lebih awal.

Sebelum, Abdullah - dalam pelan peralihan kuasanya - bersetuju untuk menyerah kuasa kepada Najib pada pertengahan 2010.

Bagaimanapun, pemimpin akar umbi Umno tidak sekata mengenai tarikh tersebut dan ramai yang mendesak supaya tarikh itu dipercepatkan lagi.

Abdullah yang juga presiden Umno bagaimanapun enggan mengulas lanjut tentang peralihan kuasa.
"Apa juga yang diperlukan, peraturan-peraturan, apa yang hendak saya laksanakan nanti, apa juga, akan diputuskan (bersama) antara saya dan (timbalan presiden) Datuk Seri Najib (Razak),” katanya.
Pemilihan pucuk pimpinan Umno sebelum ini dijadualkan pada 16 hingga 21 Disember depan.

Abdullah turut menafikan mendapat tekanan suapaya peralihan kuasa itu disegerakan, sebaliknya perkara itu, menurutnya, “berkaitan dengan kerjanya” sebagai presiden Umno. -->>lanjut

Lagi Berita Berkaitan:
Najib anggap penangguhan keputusan bijaksana
Muhyiddin: Tidak jejas wibawa PM
Muhd Taib: Penangguhan untuk redakan Umno

Peralihan kuasa dalam UMNO perlukan masa - Malaysiakini

Para pemimpin UMNO perlu memahami bahawa peralihan kepimpinan yang akan berlaku dalam UMNO perlu mengambil masa dan bukannya mendadak. Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, perubahan yang berlaku terlalu mendadak dalam UMNO boleh membawa kesan negatif.
"Perubahan kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi secara mendadak tidak akan menjamin kekuatan UMNO.

"Apa yang patut berlaku ialah Datuk Seri Najib Tun Razak mewarisi kepimpinan UMNO dan menjadi Perdana Menteri ketika UMNO bersatu dan kukuh seperti mana Abdullah mewarisi kepimpinan Tun Mahathir Mohamad dulu," katanya.
Azalina berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan iklan Lembaga Penggalakkan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) di Jalan Ampang, semalam.

Beliau berkata, isu yang ditimbulkan oleh segelintir pemimpin UMNO sejak kebelakangan ini agak keterlaluan dan tidak bertanggungjawab.
"Senario ini adalah biasa setiap kali musim pemilihan parti. Ia berlaku dari zaman Tunku Abdul Rahman hinggalah Tun Mahathir.

"Tindakan ini seolah-olah membeli insurans sebelum menghadapi sebarang kemungkinan pada masa akan datang," katanya.
Jelas Azalina, biarpun apa yang dibangkitkan oleh pihak tertentu dikatakan suara akar umbi, namun ia akan terima jika perkara berkenaan dibincangkan dengan baik. Beliau turut menyelar tindakan ahli MT yang membocorkan maklumat dalam mana-mana mesyuarat.
"Tindakan ini dilakukan dengan agenda tertentu dan niat mengeruhkan keadaan dalam UMNO.

"Mereka sebenarnya pembangkang yang bertopengkan UMNO atau musuh dalam selimut," jelas beliau.
Azalina menambah, pemimpin UMNO harus berhati-hati dalam mengejar jawatan dalam parti supaya rakyat tidak terabai dan UMNO tidak hilang pengaruh di kalangan generasi muda.
"Ahli UMNO cuma tiga juta, tetapi rakyat Malaysia yang memerlukan khidmat pemimpin lebih daripada 20 juta.

"Setiap tahun, terdapat dua juta pengundi baru yang merupakan generasi muda dan mereka ini tidak mempunyai semangat nasionalisme terhadap UMNO," katanya sambil menambah tindakan yang negatif itu boleh membuatkan golongan berkenaan menjauhi UMNO.

PM tidak halang ahli UMNO bertanding - Malaysiakini

TANJONG KARANG - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak menghalang ahli UMNO daripada bertanding pada pemilihan parti tahun ini selaras dengan amalan demokrasi yang diamalkan parti itu.Bagaimanapun, pada masa yang sama, Presiden UMNO itu mengingatkan semua ahli yang menawarkan diri agar bertanding dalam semangat persaudaraan bagi memastikan tidak berlaku perpecahan dalam parti.

Menurutnya, walaupun amalan demokrasi membuka pintu untuk bertanding dan bersaing, semangat persaudaraan seharusnya perlu terus dipelihara.
“Jangan rosakkan parti kerana kalau bertanding kita berbalah dan berpisah, ini tanda kita akan menjadi bertambah lemah sedangkan kelemahan ini tidak memberi kebaikan.

“Kita perlu merancang untuk mengukuhkan perpaduan dengan meningkatkan kerjasama bagi menjayakan setiap pendekatan yang mendapat sokongan rakyat,” katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa Perdana Menteri bersama rakyat di Masjid Ar-Raudah di sini malam semalam.
Abdullah menyedari sememangnya akan berlaku pertandingan di peringkat bahagian dan semua ahli UMNO yang menawarkan diri sememangnya mahu memperoleh kemenangan selaras dengan amalan demokrasi.

Dalam pada itu, beliau menegaskan UMNO tidak boleh lemah, sebaliknya perlu menjadi sebuah parti yang kuat sebagai tunjang kepada kekukuhan Barisan Nasional (BN).
“Selama ini kekuatan kita datang daripada komitmen kita untuk bersama menjayakan kerajaan. Saya memahami, bagi Selangor waktu ini menyedihkan kerana negeri ini bukan diperintah kerajaan BN.

“Tetapi apa yang berlaku eloklah dijadikan pengajaran yang tidak boleh dilupakan. Ini memberikan kita peluang untuk membuat apa jua perubahan dari segi pendekatan supaya kita dapat mengemaskan lagi kerja dan khidmat kita kepada rakyat agar lebih baik,” katanya.
Abdullah berkata, semangat persaudaraan dalam UMNO tidak terhad kepada masa tertentu tetapi mesti sentiasa ada di kalangan ahli UMNO bagi memperjuangkan agama, bangsa dan negara.

Oleh itu, katanya, setiap ahli UMNO perlu meneguhkan persaudaraan dan perpaduan untuk menjadi sebuah parti yang kuat.
“Jangan habiskan masa dengan tindakan lain yang boleh memecahbelahkan sesama kita. Ini tidak sepatutnya berlaku kerana ia boleh melemahkan kita. Kita tidak boleh menghabiskan masa dengan bersaing sesama sendiri,” ujar beliau.
Dalam pada itu, beliau terus mengulangi keyakinan yang BN akan kekal memerintah negara walaupun ada pihak terus menyebarkan dakyah akan berlaku peralihan kuasa.
“Ia tidak akan berlaku, sebaliknya kerajaan tetap kuat,” kata beliau.

Khairy Juga Disabotaj Supaya Ahli Umno Tidak Bertemunya - Malaysiakini

Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin turut tidak terlepas daripada dirinya disabotaj oleh pihak tertentu yang menyekat anggota parti bertemu dengannya.

Anggota Parlimen Rembau itu, yang menawarkan diri bertanding Ketua Pemuda UMNO, berkata beliau mempunyai bukti di setengah tempat pada majlis yang dihadirinya wujudnya pihak meminta anggota Umno tidak pergi ke majlis berkenaan.
"Saya ada bukti ada yang cuba menyekat anggota Umno daripada mengenali pemimpin mereka. Bagi saya semua anggota parti berhak untuk mengenali pemimpin mereka dan mendekati saya jadi tidak perlu adanya sekatan begini," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa dan pemberian wang zakat kepada anak yatim dan warga emas di Sekolah Menengah Kebangsaan Ketereh di Kota Baharu, semalam.
Beliau mengulas kenyataan Anggota Parlimen Jerlun Datuk Mukhriz Mahathir yang menawarkan diri bertanding Ketua Pemuda UMNO meminta tindakan menyekat anggota parti bertemu dengan pemimpin atau calon-calon dihentikan dengan segera.

Jawatan Ketua Pemuda setakat ini akan menyaksikan pertandingan lima penjuru antara Mukhriz, Khairy, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis Datuk Zahidi Zainul Abidin, Anggota Majlis Tertinggi yang juga bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo; dan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Datuk Shaziman Abu Mansor.