Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Thursday, September 25, 2008

Tarikh Peralihan Kuasa Lebih Awal? - Malaysiakini

Adakah mesyuarat khas Majlis Tertinggi (MT) Umno esok akan memutuskan tarikh peralihan kuasa lebih awal antara Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak atau membincangkan kaedah lebih berkesan untuk mengukuhkan parti?

Isu peralihan kuasa kini menjadi persoalan utama di kalangan ahli politik dan pemerhati politik dalam masa terdekat sebaik sahaja diumumkan bahawa Umno akan mengadakan mesyuarat MT pada pukul 10 pagi di ibu pejabat parti itu.

Dalam tempoh dua hari lepas, cakap-cakap politik jelas kedengaran, dengan spekulasi bahawa dua pemimpin tertinggi negara terlibat dalam "perbincangan" tarikh asal peralihan kuasa yang pada asalnya ditetapkan pada Jun 2010, yang dikatakan telah menimbulkan rasa tidak puas hati anggota Umno yang memihak pemimpin tertentu.

Kedua-dua pemimpin sebelum ini bersetuju bahawa Abdullah menyerahkan kuasa kepada Najib pada Jun 2010, tetapi ini dilihat oleh beberapa pihak di dalam Umno suatu tempoh yang terlalu lama, khususnya apabila parti politik terbesar itu mengadakan pemilihan parti pada Disember tahun ini.

Tanda-tanda perbezaan pendapat semakin ketara setelah Abdullah pada 17 Sept mengumumkan bahawa beliau tidak menolak kemungkinan peralihan kuasa akan berlaku lebih awal ekoran pertukaran portfolionya sebagai Menteri Kewangan kepada Najib dan beliau sendiri menjadi Menteri Pertahanan.

Pemerhati politik menterjemahkan pertukaran portfolio itu sebagai tanda penyerahan kuasa yang akan berlaku lebih awal sebelum 2010, dengan sebilangan mereka meramalkan ia mungkin berlaku seawal Disember tahun ini.

Spekulasi semakin hangat petang semalam apabila Pejabat Timbalan Perdana Menteri dalam satu kenyataan menyatakan bahawa Najib telah membatalkan lawatannya ke New York bagi menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mulai hari ini sehingga I Okt.

Ini diikuti dengan beberapa siri pertemuan "rahsia" antara kedua-dua pemimpin dan penyokong mereka, dan spekulasi tersebar luas bahawa satu persetujuan mengenai peralihan kuasa telah dicapai malam semalam dengan kedua-dua pihak bersetuju akan tarikh akhir bagi peralihan kuasa.

Pada tengah malam semalam, panggilan dan khidmat pesanan ringkas (SMS) banyak bertali arus meramalkan bahawa tarikh awal peralihan kuasa telah ditetapkan dan ia kemungkinannya berlaku setahun lebih awal dari tarikh asal Jun 2010.

Spekulasi semakin hangat apabila berita mengenai Abdullah dan Najib mengadakan perbincangan di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya pagi ini, yang tidak pun dinafikan atau disahkan oleh Najib apabila ditemui wartawan pada satu majlis pada sebelah petang, sebaliknya hanya menyatakan "saya selalu bertemu Perdana Menteri."

Terdapat juga spekulasi bahawa pemilihan parti akan ditunda sehingga Jun 2009 bagi melancarkan proses peralihan kuasa dan meminimumkan politik dalaman.
"Kami mengharapkan sesuatu yang positif daripada mesyuarat MT esok, kata sumber dalam parti itu kepada Bernama.

"Ia merupakan satu situasi yang menguntungkan semua pihak, kepada mereka yang mahukan peralihan kuasa segera diadakan dan mereka yang mahu kekal dengan tarikh asal (Jun 2010)," katanya.
Beliau turut mengutarakan bahawa kedua-dua pemimpin utama itu tidak mahu mengumumkan keputusan sebelum mereka mendapat persetujuan dan pengesahan daripada MT, badan tertinggi yang membuat keputusan parti itu.

Mereka tidak mahu mengulangi kesilapan sama... kali terakhir mereka mencapai persetujuan, timbul pula rungutan dan sepatutnya MT dan anggotanya yang memutuskan tarikh penyerahan kuasa dan bukannya kedua-dua pemimpin itu. Mereka hanya boleh mencadangkan tetapi MT mesti menyetujuinya dan para anggota mesti menerimanya," kata sumber parti itu.

Cadangan terbaru yang hangat diperkatakan ini, jika diterima oleh MT, akan mengelakkan perebutan kuasa di dalam parti, di mana Umno, yang menjadi tunjang parti pemerintah Barisan Nasional, tidak boleh memilikinya terutama selepas parti gabungan itu mencatatkan prestasi paling buruk pada pilihan raya umum 8 Mac lepas.

Satu lagi petunjuk bahawa sesuatu "yang besar" sedang menjadi percaturan adalah keengganan Najib untuk menjawab sebarang soalan mengenai politik pada satu sidang akhbar di Kementerian Kewangan petang ini.

Beliau hanya mengesahkan bahawa satu mesyuarat khas MT Umno akan diadakan esok di Menara Dato' Onn.
"Apa-apa soalan politik hanya akan dijawab esok," katanya menjawab satu soalan mengenai cakap-cakap tentang pemilihan parti akan ditunda sehingga tahun depan.
Isu sedia ada jelas amat sensitif sehinggakan pemimpin utama Umno yang dihubungi Bernama enggan mendedahkan sebarang maklumat mengenai pelan peralihan kuasa terkini parti itu.

Sementara rakyat negara ini menanti jangkaan dengan penuh debaran dalam tempoh 24 jam ini, apa yang pasti adalah kedua-dua pemimpin tertinggi ini akan melakukan sesuatu yang betul demi Malaysia dan rakyatnya.

Saya hanya jalankan tugas Timbalan Menteri, kata Murugiah - Malaysiakini

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator T Murugiah hari ini menjelaskan beliau hanya menjalankan tugasnya sebagai seorang timbalan menteri dan tidak berniat mencampuri urusan kementerian lain.
“Saya hanya menjalankan tugas yang diberikan kepada saya selaku timbalan menteri yang bertanggungjawab menjaga portfolio Biro Pengaduan Awam (BPA) dan tidak berniat mencampuri urusan kementerian lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Murugiah berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar yang menyifatkan tindakan beliau (Murugiah) mengarahkan pegawai BPA mendapatkan maklumat terperinci mengenai menu dan peruntukan makanan bagi seseorang tahanan dalam lokap dalam sehari, seolah-olah mencampuri urusan kementerian lain.

Sebelum itu, Murugiah mengadakan pertemuan dengan Ahli Exco Kerajaan Negeri Selangor, Teresa Kok berhubung dakwaan anggota pembangkang itu yang hanya diberikan dua biji telur rebus, timun dan kuah semasa ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Murugiah berkata menjadi tanggungjawab BPA menjalankan siasatan serta menyelesaikan apa-apa tuduhan yang dilemparkan terhadap mana-mana pihak, termasuk kerajaan.

Menurut statistik BPA, sehingga Ogos biro itu menerima aduan paling banyak daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) berbanding dengan 28 kementerian lain.

Shahrizat umum pertahan jawatan Naib Ketua Wanita UMNO - Malaysiakini

Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil hari ini mengumumkan akan mempertahankan jawatan yang disandangnya sekarang dan meminta peringkat bahagian tidak mencalonkan beliau untuk bertanding ketua pergerakan itu.

"Saya menerima cadangan pelan peralihan kuasa oleh ketua saya (Tan Sri Rafidah Aziz) sebelum dan dengan ini menawarkan diri untuk mempertahankan jawatan yang saya pegang sekarang," katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat khas Wanita UMNO hari ini.

Pertandingan menjurus pada perpecahan - Malaysiakini

Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib berkata cadangan untuk mempertandingkan dua jawatan tertinggi dalam parti perlu dibuat dengan berhati-hati mengikut perlembagaan dengan mengambil kira amalan kemasyarakatan.

muhammad muhd taibKatanya, berdasarkan kepada contoh-contoh besar yang lepas iaitu pada tahun 1981, 1987, 1997 dan 1998, apabila berlaku pertandingan, ia lebih menjurus kepada perpecahan.

Persaingan tersebut telah meninggalkan kesan mendalam terhadap dan ekoran itu jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dibenar dipertandingkan.

Menurut laporan Umno, Pemilihan tahun 1981 menyaksi pertembungan antara Tun Musa Hitam dan Tengku Razaleigh Hamzah bagi jawatan timbalan presiden.

Manakala pada 1987, Tengku Razaleigh mencabar Tun Dr Mahathir Mohamad bagi jawatan presiden.

Berikutan itu, Tengku Razaleigh menubuhkan parti Semangat 46 yang kemudiannya dibubarkan dan mereka kembali semula ke pangkuan Umno pada 1996.

Pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada jawatan timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno pada 1998 pula menyaksikan Anwar menubuhkan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
"Jadi kita juga berhati-hati. Bukan semua perlembagaan elok dari segi amalan kemasyarakatan. Perlembagaan adalah 'guideline', kemasyarakatan adalah satu yang lain," kata Muhd Taib kepada pemberita di Bangi hari ini.

"Sama ada masyarakat sudah bersedia, masyarakat boleh menerima dan bertaut balik.

"Oleh itu, kita kena memikir dengan masak-masak apabila kita membuat cadangan," katanya.
Beliau menegaskan demikian ketika tanya mengenai cadangan Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim supaya Umno kembali kepada cara lama di mana jawatan presiden dan timbalan presiden dipertandingkan bagi memperkukuhkan proses demokrasi dalam parti.

Bagaimanapun, Muhammad berkata, cadangan yang dikemukakan oleh Rais yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno, adalah baik dan mengikut amalan sejak zaman pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Cadangan Rais itu molek dari segi perlembagaan tapi kadangkala tak berapa molek dari segi kemasyarakatan dan pelaksanaan. Kalau satu-satu jawatan itu kosong, maka ia berbuka untuk pencalonan," katanya.

Samakan habuan seks dengan sedekah: Zul Hassan disaran bertaubat - Malaysiakini

Anggota Majlis Daerah Perak Tengah, Zul Hassan, yang menyamakan habuan seks dengan sedekah setelah mendakwa dirinya diperangkap oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) melakukan perbuatan itu dengan seorang wanita dari China, disaran supaya bertaubat.

Anggota Dewan Undangan Negeri Perak kawasan Sungai Manik, Zainol Fadzi Paharuddin, yang terkejut dan kesal dengan kenyataan itu berkata, sebagai orang Islam, Zul seharusnya faham dan sedar ungkapan yang digunakan itu secara terang telah memalukan umat Islam.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau juga meminta ulama khususnya daripada Pas memberikan nasihat dan mentarbiyyah Zul.

“Janganlah pula selepas ini ulama-ulama Pas mencari dalil dan alasan untuk menutup perkara berkenaan,” katanya.

Zul, seorang anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR), membuat kenyataan itu selepas mengadakan pertemuan dengan Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) untuk meminta jabatan itu menyiasat dan mengambil tindakan terhadap orang tertentu yang kononnya telah memfitnah, menghina dan menganiaya beliau kerana mendakwa dia terlibat dalam skandal seks membabitkan wanita dari China itu.

Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria sebelum ini berkata bahawa kenyataan Zul itu biasanya dikeluarkan oleh orang yang jahil tentang hukum agama selain merupakan satu tindakan yang cukup bodoh jika kenyataan itu bertujuan mempertahankan diri daripada kesalahan yang telah dilakukan.

Muhyiddin tak pasti perhimpunan agung akan ditunda - Malaysiakini

Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata beliau tidak pasti sama ada Perhimpunan Agung parti itu yang dijadualkan Disember ini akan ditunda ke tahun depan.
"Saya tidak begitu tahu tentang cadangan (tunda) itu, tapi yang jelasnya, ini satu perkara penting. Jadi saya tak dapat nak komen pada masa ini," katanya selepas melancarkan Forum CEO Malaysia-India 2008 di Kuala Lumpur.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai desas-desus kononnya pucuk pimpinan Umno bercadang menunda Perhimpunan Agung itu ke Jun tahun depan.

Perhimpunan agung kali ini membabitkan pemilihan jawatan peringkat Majlis Tertinggi (MT).

Muhyiddin menafikan bahawa terdapat perebutan kuasa dalam Umno sehingga melemahkan parti itu.

Katanya pelan peralihan kuasa daripada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada Datuk Seri Najib Razak yang dijadualkan pada Jun 2010 dijangka berjalan lancar.

Beliau berkata mesyuarat Majlis Tertinggi Umno baru-baru ini telah memutuskan untuk menyerahkan kepada Abdullah dan Najib untuk menentukan tarikh peralihan kuasa itu.

Mengenai pertandingan yang dijangka berlaku bagi merebut jawatan tertinggi Umno, Muhyiddin berkata sebagai sebuah parti yang mengamalkan sistem demokrasi, semua jawatan dalam parti boleh ditandingi.
Ketika ditanya sama beliau sedia bertanding jawatan Presiden atau Timbalan Presiden jika dicalonkan, beliau berkata : "Bila sampai masanya saya akan umumkan. Adalah terlalu awal untuk menyebut saya akan bertanding untuk jawatan apa."
Muhyiddin sebelum ini mengumumkan hasratnya untuk mempertahankan jawatan Naib Presiden.

Hampir Separuh Jawatan Ketua Pemuda Bahagian Di Johor Menang Tanpa Bertanding - Malaysiakini

Oleh : Indera Ahmad

Johor Bahru - Seramai 11 Ketua Pemuda daripada 26 Bahagian negeri ini telah memenangi jawatan masing-masing tanpa bertanding setelah selesai mesyuarat di peringkat cawangan di negeri itu baru-baru ini.

Bahagian yang tidak ada pertandingan bagi jawatan Ketua Pemuda ialah Muar (YB Razali Ibrahim), Ledang (Zaidi Majid), Pagoh (Ismail Mohamad), Ayer Hitam (Mohd Fadhil Maskun), Mersing (Mohd Youzaimi Yusof), Tebrau (Shahrin Jamaluddin), Tenggara (Abd Halim Abd Jalil), Pengerang, (Mohd Amin Amidon), Batu Pahat (Azizul Kamal), Parit Sulong (Zulkarnain Kamisan) dan Simpang Renggam (Zakaria Dullah).

Menurut Setiausaha Pemuda UMNO Johor, Hj Mohd Fuad Tukirin baki daripada bahagian tersebut akan menyaksikan pertandingan di peringkat tertinggi Pemuda bahagian.
"Manakala untuk jawatan lain seperti Naib Ketua Pemuda terdapat beberapa bahagian yang tidak ada pertandingan.

"Secara keseluruhan perjalanan mesyuarat di seluruh cawangan berjalan lancar walaupun terdapat juga bantahan tetapi ia dapat diselesaikan secara baik", katanya.
Fuad yang akan turut dicabar pada pemilihan Pemuda UMNO kali ini di Bakri seterusnya berharap agar semua calon yang bakal bertanding di peringkat bahagian nanti dapat berkempen secara sihat dalam semangat kekeluargaan.
"Kita tidak nafikan sememangnya pertandingan di bahagian-bahagian terbabit sengit. Namun ini sebenarnya membuktikan proses demokrasi dalam UMNO terus subur.

"Malah pada masa yang sama ini menunjukkan kita tidak kekurangan pemimpin pelapis bagi menerajui parti ini pada masa hadapan", ujarnya.

Akhirnya ada wartawan tanya kenapa Anwar menipu... - Malaysiakini

Oleh : ROSLAN BIAN
Bagi kebanyakkan wartawan yang sering hadir sidang media Datuk Seri Anwar Ibrahim, mereka sudah jemu dengan cerita Ketua Pembangkang itu untuk ambil alih negara selepas pelan 16 September terbukti omong kosong.

Ada juga merungut kerana tiada cerita baru untuk ditonjolkan selain dolak dalih Anwar yang kononnya hendak penyerahan kuasa dilakukan secara aman dan teratur oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Ini macam cerita pencuri suruh tuan rumah buka pintu kerana hendak menyamun. Mana ada tuan rumah nak buat begitu kalau tahu pencuri suruh berbuat demikian.

Akhirnya, barangkali kerana sudah bosan dengan jawapan Anwar yang terus ‘pusing-pusing’ tentang tarikh baru pembangkang nak kuasa negara, seorang wartawan menempelak Anwar gara-garanya kerap berdolak dalih dalam isu itu.

Kejadian itu berlaku ketika Anwar menjawab soalan para wartawan selepas menghadiri prosiding kes liwat terhadapnya di Mahkamah Sesyen Jalan Duta di Kuala Lumpur, pagi Rabu.

Selepas Anwar mengulangi jawaban mengenai tuntutan meminta PM berjumpanya atau mengadakan sidang khas Parlimen bagi usul undi tidak percaya kepada Abdullah, sudah cukup bilangan ahli parlimen BN yang akan ;lompat’, wartawan wanita itu mencelah.
“Mereka kata Datuk Seri penipu, apa Datuk Seri fikir pasal itu (penipu)?,”katanya.
Anwar yang nampak agak tergamam dengan soalan itu, mahu tak mahu terpaksa menjawab.
“Mereka panggil macam-macam sebelum ini. Yang utama, jika mereka (kerajaan) fikir saya penipu, buatlah cara betul dan saya akan kemuka di Parlimen,” katanya.
Jawapan Anwar itu merujuk kepada permohonan pembangkang supaya Perdana Menteri mengadakan sidang parlimen khas bagi mereka membuktikan sudah ada cukup bilangan ahli parlimen untuk ambil alih kerajaan.

Ketika bercakap dengan media di depan lif lobi Kompleks Mahkamah Jalan Duta itu, Anwar tidak menjawab pertanyaan bila tarikh baru serta rancangan pembangkang merealisasikan impian tersebut.

Namun beliau terus dengan ayat lamanya mendakwa ada cukup Ahli Parlimen BN yang nak melompat.
"Saya ada bilangan majoriti. Pasal deadline (tarikh untuk menubuh kerajaan baru) bukanlah satu isu," katanya.
Apapun beliau juga masih enggan menyatakan jumlah dan senarai ahli parlimen BN yang setuju menyertai pembangkang.

Kini pemimpin pembangkang serta penyokong terpaksalah tunggu macam tunggu buah tak jatuh sama ada cerita peralihan kuasa ini jadi atau tidak.

Namun, yang jelas tiada pemimpin utama PKR, DAP dan PAS menemani Anwar di mahkamah, Rabu berbanding kehadirannya untuk prosiding pada 9 September lalu.

Malah, bilangan penyokongnya yang hadir boleh dibilang dengan jari.

Mungkinkah ini tanda-tanda, penyokong Anwar sudah bosan kena ‘kelentong’, begitu juga sebahagian wartawan yang ‘terpaksa’ kerja dan berdepan cerita sama tetapi berbeza hari.

Mesyuarat tergempar MT esok - Malaysiakini

najib abdullah umno 100408Mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi (MT) Umno akan diadakan jam 10 pagi esok, dipercayai untuk membincangkan penangguhan pemilihan parti, yang dijadual Disember ini, ke tahun depan.

Ketua penerangan Tan Sri Muhammad Muhd Taib mengesahkan pertemuan tersebut hari ini.

Beliau bagaimanapun mendakwa tidak mengetahui agenda yang akan dibincangkan.

Mesyuarat di bangunan parti itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu juga dijangka membahaskan saranan untuk menyegerakan peralihan kuasa Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada timbalannya setahun lebih awal.

Pada asalnya, Abdullah dan Datuk Seri Najib Razak merancang pelan peralihan kuasa itu akan berlangsung pada pertengahan 2010.

Menurut laporan media, ahli-ahli MT Umno dihubungi pagi ini untuk menghadiri mesyuarat mengejut itu selepas pertemuan dua tokoh tertinggi negara hari ini.

Bercakap kepada pemberita di Kementerian Kewangan petang ini, Najib juga mengesahkan mesyuarat MT akan diadakan esok tetapi enggan menjawab sebarang soalan mengenai perkembangan politik.

Najib semalam membatalkan secara mengejut lawatan kerjanya ke Amerika Syarikat, yang sepatutnya bermula hari ini, untuk menghadiri sidang ke-63 perhimpunan agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Beliau digantikan oleh Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim sebagai ketua delegasi Malaysia untuk menyampaikan ucapannya di PBB, New York, Ahad ini.

Selangor sokong peralihan kuasa jika MT sepakat - Malaysiakini

Ketua-ketua bahagian Umno di Selangor telah memberitahu Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam satu perjumpaan malam tadi, bahawa mereka boleh menyokong pelan peralihan 2010 dengan syarat ia juga diterima sebulat suara oleh kesemua ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno.

Perjumpaan tersebut berlangsung selama lebih sejam di pejabat Umno bahagian Tanjung Karang selepas majllis berbuka puasa dan sembahyang Terawih malam tadi.

Menurut sumber yang layak dipercayai, ketua-ketua bahagian mengambil peluang tersebut untuk mendapat penjelasan mengenai pelan peralihan parti dari Abdullah kepada Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya, dalam penjelasannya, Abdullah meminta ketua-ketua bahagian menyokong pelan peralihan tersebut "dalam menghadapi cabaran besar yang dihadapi oleh Umno sekarang".

Abdullah juga, katanya, berkata semua ahli Umno perlu bersatu dalam satu pasukan dan kerana itu mereka perlu menyokong formula peralihan kuasa 2010.

Bagaimanapun, katanya, ketua-ketua yang bangun bercakap memberitahu Abdullah bahawa mereka boleh menerimanya dengan syarat, ia dibuat secara ikhlas dan disokong sebulat suara oleh ahli MT.

Sebelum itu, Abdullah menghadiri majlis berbuka puasa bersama perdana menteri di di Masjid Al-Raudah, Tanjung Karang, anjuran badan perhubungan Umno Selangor.

Dalam ucapannya di majlis tersebut, perdana menteri mengingatkan ahli Umno yang berhasrat bertanding dalam pemilihan parti peringkat bahagian bulan depan agar bertanding dengan semangat persaudaraan.

"Dalam mesyuarat peringkat bahagian nanti tentu ada ramai yang hendak bertanding jawatan, bertandinglah dengan semangat persaudaraan," katanya.

Turut hadir ialah pengerusi Umno Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Noh Omar yang juga ahli parlimen Tanjung Karang.

Mesyuarat Umno peringkat bahagian akan bermula dari 9 Oktober hingga 9 November.

Abdullah yang juga Presiden Umno berkata semangat persaudaraan itu perlu dijaga dan jangan dirosakkan bagi mengelakkan perpecahan pada parti.

"Kalau kerana bertanding, kita berbalah dan berpisah, itu tanda-tanda kita akan jadi lemah dan ini tidak akan beri kebaikan kepada kita," katanya.

BERITA KERKAITAN
Selangor: Shah Alam, PJU calon Najib-Muhyiddin
Shafie sokong semua jawatan dipertandingkan
Bahagian di T'ganu berbelah bagi

Tun Mahathir : Ketua Pemuda UMNO lebih satu calon - Malaysiakini

Dalam banyak -banyak perebutan jawatan dalam pemilihan UMNO , nampaknya perebutan jawatan Ketua Pemuda UMNO yang paling panas di mana 5 calon telah menawarkan diri , Mereka adalah Khairy Jamaluddin (Naib Ketua Pemuda UMNO) Mukhriz Tun Mahahthir (Exco Pemuda UMNO) Khir Toyo (Ketua Pembangkang Selangor) , Datuk Zahidi Zainul Abidin,Ketua UMNO Bahagian Padang Besar dan Datuk Saziman .

Kesemua calon-calon kini sedang sibuk berkempen untuk meraih undi dan banyak program - program Ramdahan juga telah diatur untuk menemui akar umbi pemuda, dalam pada itu Ketua UMNO Bahagian padang Besar telah memilih Razali yang bertanding kerusi naib Ketua sebagai gandingan beliau. Dalam tinjaun yang dibuat ada juga yang berkata sebenarnya yang bertanding Ketua Pemuda ini telah berkempen secara solo dan telah menerangkan visi masing-masing jika terpilih sebagai ketua Pemuda UMNO. Yang beruntung ialah Mukhriz Tun Mahathir kerana beliau bukan bertanding sendirian , beliau dibayangi oleh Tun Mahathir Mohammad membantu beliau untuk berkempen bagi memastikan cita-cita anak nya akan tercapai untuk menduduki kerusi ketua poemuda UMNO.

Tun memainkan peranan memerangi calon yang beliau anggap yang akan memberikan tentangan hebat kepada anak beliau,Beliau juga adalah kempen manager dan master mind kepada Mukhriz. Ada juga yang berkata Tun juga bertanding sebagai Ketua Pemuda UMNO. jika Mukhriz kalah bererti Tun juga kalah. Sekiranya Mukhriz berjaya memenangi kerusi ketua pemuda UMNO bererti Tun juga akan menajdi Ketua Pemuda UMNO, Kemenangan ini amat penting bagi Mukhriz kerana kekalahan beliau akan memberikan tamparan hebat kepada Tun . Tewasnya Mukhriz sama seperti tewasnya Tun.Amat menarik sekali sekiranya Mukhriz menang kerusi Ketua Pemuda UMNO kerana Pemuda UMNO akan mempunyai Ketua yang masih duduk di bawah ketiak bapanya dan setiap keputusan dan perancangan Pemuda UMNO akan di buat oleh bapanya.Seandainya Qada dan Qadar menentukan Tun tidak berdaya lagi membantu Mukhriz maka Pemuda akan menyaksiakn bagaimana Ketua mereka menangis kerana tidak boleh berdiri atas kaki sendiri tanpa ayahnya.

Teresa Kok Cuba Raih Simpati, Kata Noraini - Malaysiakini

Isu makanan ketika ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dibangkitkan oleh Anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok bertujuan untuk menyalahkan kerajaan dan meraih simpati masyarakat, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Noraini Ahmad.

Ketua Puteri Umno itu berkata sebenarnya perkara remeh itu tidak perlu dibangkitkan dan Teresa perlu insaf di samping berhenti memainkan isu berkenaan.

Katanya kekuatan dan kesejahteraan serta perpaduan antara kaum adalah perkara yang lebih penting yang perlu dipelihara, daripada membuat kenyataan sedemikian.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri dan Anugerah Sri Cemerlang Kelab Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), di Masjid Salahuddin Al Ayubi Taman Melati.

Penerima sumbangan itu terdiri daripada 200 orang kalangan mahasiswa dan saudara baru Muslim, dan majlis itu merupakan anjuran PERKIM dengan kerjasama EON Cap Islamic Bank Berhad.

Sementara itu Pergerakan Pemuda UMNO Seputeh yang menganggap Teresa seperti sengaja memperbesarkan isu berkenaan, membuat laporan polis berhubung kenyataan Aggota Parlimen Seputeh itu.

Naib Ketuanya Alawi Dahalin berkata kenyataan Teresa berhubung perkara itu boleh dianggap sebagai sebagai satu penghinaan yang terbuka kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) selain golongan berpendapatan rendah.
"Makanan seperti telur yang dihidangkan kepada beliau sudah memadai dan sama seperti pesalah yang lain, malah makanan seperti itu jugalah yang menjadi ruji harian kepada golongan yang kurang berkemampuan," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, semalam.

"Kami menyeru pihak berkuasa agar memandang serius dan mengambil tindakan, supaya pada masa akan datang tiada lagi pihak-pihak yang mempersoalkan mengenai perkara itu. Sebagai Yang Berhormat dan dipilih rakyat, isu sedemikian tidak sepatutnya diperbesarkan," tambahnya.

Ramadan bererti negara selamat? - Malaysiakini

Dari - Puteri UMNO Lembah Pantai
Berikutan penahanan Raja Petra Kamaruddin, RPK, selama dua tahun di bawah ISA, ramai blogger yang menyuarakan bantahan.

Ada yang jelas meluahkan hati secara picisan tanpa memikir sedalam-dalamnya rentetan peristiwa, perlakuan dan keengganan bertindak di pihak RPK sendiri sebelum ditahan.

Ada juga blogger yang mencelah mengatakan tindakan ke atas RPK sesuatu yang zalim dan tidak sepaptutnya berlaku di bulan Ramadan. Tidak boleh? Mengapa? Alasannya kerana ini bulan yang keramat dan mulia.

Memang betul ini bulan keramat, mulia dan penuh dengan segala keberkatan, tetapi apa pula jika manusia tidak mempedulikan hakikat ini dan terus melakukan pelbagai perbuatan yang berpotensi menggugat kestabilan masyarakat?

Ramadan bulan mulia yang sentiasa tiba tepat pada waktunya setiap tahun.

RPK menghadapi tindakan dipertengahan Ramadan, tetapi apa pula cerita dengan perlakuannya pada awal Ramadan?

Pada bulan Rejab, antara lain, RPK juga pernah menulis dan menyiarkan artikel dan 'pendedahan' yang mengundang pelbagai komen pembaca. Segala komen-komen itu jelas menyakitkan hati masyarakat Melayu selain cuba memalukan agama Islam.

Pada saya persoalannya bukan apa yang didakwa dilakukan oleh RPK, tetapi apa yang TIDAK dilakukan oleh RPK.

Malaysia-Today yang dikendalikan oleh RPK berupa satu portal online yang memapar dan mengupas dakwaan terhadap pelbagai pihak, termasuk kerajaan, orang Melayu dan agama Islam.

Paparan segala artikel dan analisis yang begitu berat sebelah hanya satu aspek ketidakmatangan dan kebiadaban pihak 'sidang pengarang'. Di penjuru lain pula yang lebih buruk ialah kerana RPK membiarkan para penyumbang memberi komen kepada artikel dan analisis yang tersiar tanpa penapisan.

Komen-komen yang dikemukakan hampir kesemuanya berunsur 'ganas' dan tidak berlapik hinggakan kebanyakannya begitu berani mempersendakan agama Islam dan sensitiviti orang Melayu.

Di sinilah letaknya kesalahan RPK. Apa yang tidak dilakukannya boleh diertikan sebagai satu 'omission' yang menyumbang terus kepada interpretasi ancaman kestabilan masyarakat dan seterusnya, negara.

Ini tidak boleh dinafikan kerana ia begitu ketara. Layarilah Malaysia-Today dan lihat segala komen yang tersiar. Jika sebahagian besar masyarakat Melayu di luar bandar mampu membaca dan memahami segala kandungan jijik mengenai agama Islam dan orang Melayu dalam laman itu, entahlah apa yang boleh berlaku...

Oleh itu, penahanan RPK tidak boleh dilihat dengan sebelah mata. Ia perlu dilihat dengan pemikiran terbuka dan bukan hati yang buta semata-mata.

RPK sememangnya tahu apa yang bakal diterimanya bersabit segala yang dilakukan atau yang TIDAK dilakukan.

Mengapa Peralihan Kuasa 2010 Pilihan Terbaik Untuk UMNO - Malaysiakini

Desas desus politik kini seakan-akan mengikut rentak lautan yang bergelora di musim tengkujuh. Tiada tujuan, tiada destinasi. Di dalam era komunikasi alaf baru ini, begitu banyak sumber yang menggambarkan situasi sama dengan nada yang begitu berbeda. Bermacam-macam jenis analisis yang diberikan selepas penukaran portfolio Menteri Kewangan – Menteri Pertahanan dan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO.

Namun, jika kita ikut norma-norma lazim, lantas memisahkan emosi politik, hanya satu hakikat yang boleh digunapakai oleh UMNO. Penetapan peralihan kuasa 2010 dan bukannya ‘peralihan kuasa paksa’ yang diuar-uarkan oleh mereka yang dahagakan kuasa.

Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi membuktikan beliau akur dengan suara akar umbi dan demi survival UMNO telahpun mengumumkan pelan peralihan kuasa pada tahun 2010 yang dipersetujui oleh Timbalannya dan telah mendapat persetujuan Majlis Tertinggi UMNO. Entah semena-mena, suara-suara yang berhasrat melanggar perjanjian pelan peralihan kuasa ini demi kepentingan peribadi mula mengorak langkah politik mereka.

Hakikatnya, demi UMNO dan nasib anak bangsa, Dato’ Seri Abdullah perlu melakukan beberapa perubahan peri sukar sebelum beliau dapat mewariskan tampuk pemerintahan kepada Dato Sri Najib. Jika Dato’ Sri Najib melakukan perubahan ini, beliau akan kehilangan banyak dana politiknya. Disebabkan ini, Dato’ Seri Abdullah memerlukan tempoh sehingga 2010. Malahan beliau telah mengatakan bahawa jika kerjanya selesai, beliau sanggup melepaskan jawatannya kepada Timbalannya sebelum 2010.

Niat sebenar Dato Seri Abdullah terbukti dengan pemindahan portfolio Kewangan. Jelas beliau mahu memberi Dato Sri Najib persiapan yang terbaik untuk menjadi pemimpin Malaysia dan UMNO setelah pemergiannya dari tampuk pemerintahan kelak.

Dari segi politik UMNO, kaedah memaksa Dato’ Seri Abdullah untuk pergi sebelum pencalonan bulan Oktober hanya akan menguntungkan segelintir pihak. Jika dilihat dengan kanta politik, pihak tersebut bukanlah Dato Sri’ Najib. Untuk UMNO kekal kuat, pucuk pimpinannya mestilah dapat bekerjasama. Jika ‘pelan peralihan kuasa paksa’ yang dicanangkan oleh Tan Sri Muhyiddin ini menjadi, maka dialah yang akan menjadi Timbalan Presiden UMNO.

Semua di dalam UMNO tahu Dato Sri Najib kurang selesa dengan corak kepimpinan Tan Sri Muhyiddin. Tambahan pula, dengan menunjukkan taringnya baru-baru ini, ternyatalah bahawa kesetiaan kepada pemimpin bukanlah kekuatan Tan Sri Muhyiddin. Sejarah persaingan mereka berdua sudah lama diketahui oleh warga UMNO. Tidak mungkin mereka akan dapat bekerjasama demi kepentingan UMNO. Dato’ Seri Najb akan dipaksa melihat gerak geri Timbalannya yang sudah pasti mengidamkan jawatannya selaku Perdana Menteri. Bagi menghadapi cabaran politik dari Pakatan Rakyat yang semakin meruncing ini, Dato’ Sri Najib memerlukan Timbalan yang setia dan mampu bekerjasama dengan kepimpinannya.

Suara akar umbi sebenarnya sudah menetapkan Barisan kepimpinan Naib Presiden yang mampu memastikan UMNO terus releven. Nama Tan Sri Muhyiddin tidak terkandung di dalam barisan kepimpinan ini. Nama-nama Naib Presiden yang disebut-sebut ialah Dato’ Zahid Hamidi, Dato’ Shafie Apdal dan wakil dari Johor pula samaada Dato’ Khaled Nordin ataupun Dato’ Seri Hishammuddin.

Ramai penganalisa politik berpendapat bahawa pilihan sebenar Dato Sri Najib untuk menjadi Timbalannya ialah bekas Setiausaha Politiknya, Dato’ Zahid Hamidi. Antara nama-nama lain yang dipercayai oleh Dato Sri Najib ialah Dato’ Seri Hishammuddin, Dato’ Shafie Apdal dan Dato’ Khaled Nordin.

Jadi terang lagi bersuluh, taktik ‘peralihan kuasa paksa’ ini merupakan taktik terakhir yang dapat dijana oleh Tan Sri Muhyiddin untuk menentukan survival politiknya.

Dari segi politik negara pula, Dato Sri Najib memerlukan peralihan kuasa 2010, kerana beliau sedar bayangan Anwar Ibrahim akan sentiasa menghantuinya. Sejak pembebasannya dari tahanan, Anwar Ibrahim meletakkan Dato Sri Najib sebagai musuh utama Pakatan Rakyat. Dari Ijok hingga ke Permatang Pauh, nama Dato’ Sri Najib yang selalu disebut oleh Anwar Ibrahim.

Namun, jika Anwar disabit kesalahan di dalam kes liwat pada tahun depan, ataupun dakwaan Anwar yang menjanjikan perubahan Kerajaan Pusat tidak menjadi kenyataan ketika Dato Seri Abdullah masih kekal Perdana Menteri, maka Dato Sri Najib akan terlindung dari sebarang dakwaan konspirasi politik yang sudah pasti akan dilontar oleh Anwar Ibrahim dan konco-konconya.

Justeru, untuk UMNO dan Malaysia, peralihan kuasa 2010 merupakan pilihan yang terbaik kerana ia peralihan yang mementingkan kesemua ahli UMNO dan bukannya segelintir pihak yang rakus kuasa.