Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Sunday, September 21, 2008

Razali tawar diri bertanding jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO - Malaysiakini

Ahli Parlimen Muar, Razali Ibrahim, 38, hari ini menawarkan diri bertanding jawatan Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO pada pemilihan parti Disember ini.

Pengumuman itu dibuat Razali yang juga Ketua Pemuda UMNO Johor selepas mempengerusikan mesyuarat pergerakan itu di Pejabat Badan Perhubungan UMNO Johor di Jalan Yahya Awal, petang tadi.

Jawatan nombor dua Pemuda UMNO kosong setelah penyandangnya, Khairy Jamaluddin yang juga Ahli Parlimen Rembau menyatakan hasrat bertanding jawatan ketua pergerakan itu baru-baru ini.

Najib bincang tambatan ringgit esok - Malaysiakini

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan menghadiri taklimat 'luar biasa' di Kementerian Kewangan esok, yang akan turut membincangkan sama ada sistem tambatan ringgit akan dilaksanakan semula bagi mengurangkan impak kejatuhan nilai dolar Amerika Syarikat (AS) terhadap mata wang negara, kata Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.
"Pelbagai perkara akan dibincangkan termasuk sistem tambatan ringgit dan kita juga akan memberi berita-berita tentang kedudukan terkini bagi memboleh Datuk Seri Najib membuat keputusan berhubung perkara-perkara yang sepatutnya," katanya.
Hari ini, akhbar melaporkan Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan supaya sistem tambatan ringgit dilaksanakan semula bagi mengurangkan impak kejatuhan nilai dolar AS terhadap mata wang negara.

Mantan perdana menteri itu berkata, nilai mata wang AS yang semakin menyusut akhir-akhir ini, akan memberikan kesan buruk kepada ekonomi negara, demikian dilaporkan Bernama.

Pada 1997, kerajaan pernah melaksanakan sistem tambatan ringgit dengan menetapkan kadar tukaran ringgit pada RM3.80 bagi setiap dolar AS, sebagai langkah mengawal tukaran asing berpilih bagi mengelakkan ekonomi negara terus meleset.

Bagaimanapun, pada 21 Julai 2005, kerajaan memutuskan untuk memansuhkan tambatan ringgit dan nilainya kemudian ditentukan dengan mengapungkannya secara terurus berbanding sekumpulan mata wang asing terpilih.

Nor Mohamed berkata Kementerian Kewangan akan mengadakan taklimat luar biasa kepada Najib berhubung keadaan ekonomi dan kewangan negara serta situasi global di kementerian itu esok.