Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Saturday, September 20, 2008

Kajian Semula ISA Boleh Dibuat Tetapi Dengan Cermat, Kata Rais - Malaysiakini

Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim berpendapat kajian semula mengenai Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) boleh dibuat tetapi perlu dilakukan dengan cermat.

Oleh itu, beliau berkata gesaan sesetengah pihak supaya ISA dihapuskan merupakan pandangan politik yang tidak harus disuarakan.
"ISA itu bukanlah sempurna 100 peratus...kita boleh lihat aspek-aspeknya yang didakwa tidak begitu memenuhi syarat-syarat kemanusiaan. Ini saya bersetuju, malah prinsip ini memang kita pegang selama ini," katanya kepada pemberita di Kuala Klawang, hari ini.
Beliau berkata sedangkan negara lain juga ada tindakan sama seperti ISA dan kenapa mereka tidak menyentuh mengenai perkara itu.

Rais yang juga anggota Parlimen Jelebu berkata kajian mengenai ISA pernah dimulakan dulu tetapi memakan masa sebab keadaan di negara ini yang sentiasa berubah dalam konteks keselamatan dan kepentingan awam.
"Kalau sudah sampai masanya nanti, harus dijalankan kajian itu dan ia tidak menyalahi mana-mana undang-undang," katanya.

Suara Keadilan belum jawab surat tunjuk sebab - Malaysiakini

Akhbar Parti Keadilan Rakyat ‘Suara Keadilan’ yang diberi surat tunjuk sebab oleh Kementerian Dalam Negeri kerana laporannya yang memetik sumber-sumber yang mendakwa Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan lumpuh setelah menjalani pembedahan pintasan jantung beliau memberi sebarang jawapan setakat ini. Sebaliknya dua akhbar lain Sin Chew Daily dan The Sun telahpun memberikan jawapan.

Ketua Setiausaha kementerian Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof memberitahu para wartawan selepas satu majlis di Putrajaya Jumaat tetapi jika mereka gagal kemukakan surat itu, maka kementerian itu akan mengambil tindakan yang sewajarnya.Kementerian itu telah memberi memberi tempoh seminggu kepada akhbar-akhbar berkenaan untuk menjawab.

Mengikut undang-undang, Menteri Dalam Negeri mempunyai budi bicara untuk menggantung atau membatalkan permit penerbitan jika akhbar-akhbar itu gagal memberi penjelasan memuaskan.

Bursa tempatan pulih semula - Malaysiakini

BURSA saham tempatan pulih semula semalam dengan Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) ditutup kukuh di atas paras psikologi 1,000 mata, sejajar pemulihan pasaran saham global dan disokong aktiviti membeli saham murah.

Pemulihan pasaran global susulan pengumuman rancangan kerajaan Amerika Syarikat (AS) yang bertekad untuk mengukuhkan pasaran kewangannya, sekali gus meredakan kebimbangan pelabur terhadap kesan jangkitan krisis gadai janji Amerika ke pasaran dan ekonomi global.

KLCI dibuka tinggi pada 1,003.82 mata pagi semalam, naik 12.16 mata atau 1.23 peratus, sebelum terus melonjak untuk ditutup pada 1,025.70 mata, meningkat 34.04 mata atau 3.43 peratus.

Kenaikan di bursa tempatan juga sejajar pantulan pasaran Wall Street semalaman apabila Indeks Perusahaan Dow Jones melonjak 410.03 mata atau 3.86 peratus kepada 11,019.69 mata.

Pada peringkat serantau, kenaikan tertinggi indeks didahului oleh Indeks Hang Seng, Hong Kong yang melonjak 1,695.27 mata atau 9.61 peratus kepada 19,327.73 mata.

Ia diikuti Indeks Komposit Shanghai, China naik 179.25 mata atau 9.46 peratus kepada 2,075.09; Indeks TSEC Taiwan (+328.43 mata atau 5.82 peratus kepada 5,970.38); Indeks Komposit Jakarta (+104.06 atau 5.82 peratus kepada 1,891.73); Indeks Straits Times Singapura (+139.86 mata atau 5.78 peratus kepada 2,559.07 mata); dan Indeks Kospi Korea (+63.36 mata atau 4.55 peratus kepada 1,455.78).

Pengurus Pelaburan Kanan TA Investment Bhd, Alsetdek Ali, berkata kenaikan pasaran saham tempatan semalam diterajui kaunter sektor perbankan, pembinaan serta perkhidmatan dan perdagangan.

Katanya, aktiviti memburu saham murah selepas berlaku jualan panik semalam (kelmarin), melonjakkan pasaran tempatan.
"Pelabur institusi tempatan menerajui belian hari ini (semalam) dengan tumpuan terhadap kaunter perbankan, pembinaan dan perkhidmatan selepas kejatuhan teruk harga," katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau menambah, pasaran tempatan susut kira-kira lapan peratus bulan ini susulan tekanan krisis kewangan global dan ketidaktentuan politik tempatan.

Aseambankers dalam laporan penyelidikan hariannya, berkata bank pelaburan itu mengekalkan sasaran KLCI pada paras 1,130 menjelang hujung tahun ini.
"Pasaran global masih belum pulih sepenuhnya. Pasaran ekuiti AS dijangka meneruskan aliran menurun selepas pantulan semasa susulan kedudukan ekonominya yang semakin lemah.

"Bagi pasaran tempatan, kami menjangka KLCI akan terus menjejaki pergerakan bursa utama global dengan kenaikan dijangka berlaku pada suku keempat tahun ini, jika keadaan politik tempatan tidak bertambah buruk," kata laporan itu.
OSK Investment Research pula berkata, pertumbuhan ekonomi global yang perlahan, krisis kewangan dan ketidaktentuan politik domestik, menyebabkan unjuran jangka pendek KLCI kekal lemah.
"Kami menyaran pelabur untuk menumpukan kepada saham kukuh bersifat defensif buat sementara waktu sehingga tekanan jualan berakhir, sebelum beralih membeli saham pertumbuhan nilai," katanya.
OSK mensasarkan paras KLCI pada 1,128 mata pada hujung tahun susulan ketidaktentuan politik dan kenaikan harga komoditi.

Najib perjelas penangguhan lawatan ke Arab Saudi - Malaysiakini

najib finance ministerDatuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan bahawa beliau menangguhkan lawatannya ke Arab Saudi yang sepatutnya bermula semalam sehingga Ahad ini disebabkan beliau perlu menyusun semula jadualnya bagi membolehkannya memulakan tugas sebagai menteri kewangan Isnin ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata penangguhan itu tidak ada kena mengena dengan senario politik dalam negara.
"Lawatan saya tidak dibatalkan, cuma saya menyusun jadual saya supaya saya dapat masuk ke Kementerian Kewangan Isnin ini dan memulakan tugas saya terutama sekali dalam keadaan di mana ekonomi dunia dan pasaran saham dunia yang tidak menentu.

"Kemungkinan ada perkembangan tertentu di peringkat dunia atau global yang memberi kesan kepada ekonomi negara dan bursa saham negara kita," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian zakat bagi Parlimen Pekan semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penangguhan lawatannya ke Arab Saudi yang sepatutnya bermula hari ini yang antara lain atur caranya itu ialah merasmikan hotel apartment dan restoran milik Felda di Mekah, demikian dilaporkan oleh Bernama.

Najib berkata beliau perlu mendapatkan maklumat terkini daripada Kementerian Kewangan, Suruhanjaya Sekuriti, Bursa Saham Malaysia dan Bank Negara Isnin ini bagi menentukan sebarang keputusan mengenai keadaan ekonomi negara.
"Saya perlu mendengar perkembangan terkini daripada Kementerian Kewanagan termasuk Suruhanjaya Sekuriti, Bursa Saham Malaysia dan Bank Negara dan untuk menentukan apa-apa keputusan yang perlu dibuat untuk meredakan keadaan semasa," kata Najib.
Rabu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyerahkan jawatan menteri kewangan kepada Najib, manakala Abdullah mengambil alih portfolio menteri pertahanan daripada timbalannya itu.

Bagaimanapun Najib berkata program beliau ke New York dan Washington bagi menghadiri Perhimpunan Bangsa Bersatu (PBB) akan diteruskan.
"(Program ke Arab Saudi) ditangguhkan, tapi saya terus ke New York dan Washington, dalam perjalanan balik saya akan buat umrah dan buka (rasmi) restoran Felda di Mekah," kata Najib.

Ditanya perancangannya sebagai menteri kewangan bagi menghadapi krisis ekonomi dunia ketika ini, Najib berkata: "Elok saya buat (kenyataan) pada Isnin nanti selepas dengar taklimat lebih khusus lagi," katanya.
Bagaimanapun Najib berkata apa yang dibentangkan Abdullah semasa Bajet 2009 yang berkaitan dengan kepentingan rakyat akan tetap diteruskan dan apa-apa perakuan yang dibuat dalam Belanjawan Negara yang berkaitan kepentingan rakyat akan dilaksanakan.

Pemimpin Pemuda Berjiwa Rakyat - Malaysiakini

Tidak Dilupakan… Sempena Bulan Ramadhan Al-Mubarak, Lebih 50 Anak Yatim Serta Fakir Miskin Menerima Sumbangan Daripada Pemuda UMNO Menerusi Sumbangan Ehsan Pergerakan Itu Yang Disampaikan Oleh Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia,Yb Khairy Jamaluddin Di Masjid Pulau Sebang, Melaka, Petang semalam.

Sumbangan Berkenaan Merupakan Tanda Ingatan Terhadap Golongan Yang Kurang Bernasib Baik bagi Menyambut Kedatangan Aidilfitri Yang Bakal Menjelang Tiba. Selain Menghulurkan Bantuan Berkenaan, Khairy Jamaluddin Serta Pimpinan Pemuda UMNO Yang Lain Turut Berbuka Puasa Dan Solat Maghrib Bersama Golongan Terbabit Dan Penduduk Setempat.

Pelantikan Najib Dapat Teguh Ekonomi Negara kata Samy Vellu - Malaysiakini

Pertukaran portfolio pertahanan dan kewangan antara Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat dapat memperkukuh sistem keselamatan dan aktiviti ekonomi negara.

Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu berkata pelantikan Najib adalah bertepatan memandangkan beliau adalah tokoh yang mempunyai kewibawaan dari sudut pandangan pelabur dan peniaga khususnya dari luar negara.

Samy Vellu berkata beliau yakin kesemua projek di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) akan dapat disiapkan mengikut jadual di bawah kepimpinan Najib di Kementerian Kewangan.
"Saya memuji tindakan Abdullah untuk melantik Najib sebagai Menteri Kewangan dan beliau mengambil alih jawatan Menteri Pertahanan.

"Sebagai Menteri Pertahanan, saya yakin beliau (Abdullah) akan terus memastikan keselamatan dan ketenteraman negara terus dipelihara," kata Samy Vellu, kelmarin.
Abdullah dan Najib hari ini bertukar portfolio pertahanan dan kewangan sebagai sebahagian daripada proses penyerahan kuasa daripada Perdana Menteri kepada timbalannya itu pada Jun 2010.

Anwar tidak boleh paksa Parlimen bersidang, itu kuasa Yang di-Pertuan Agong atas nasihat PM - Malaysiakini

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, kelmarin menolak tuntutan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, agar Parlimen mengadakan sidang tergempar Selasa ini untuk membahaskan usul tidak percaya terhadap kerajaan.
"Saya tidak nampak keperluannya kerana Parlimen akan bersidang selepas Ramadan," Kata Abdullah kepada pemberita selepas mempengerusikan satu mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di PWTC kelmarin.
Parlimen dijadual bersidang semula pada 13 Oktober ini.

Abdullah juga berkata beliau tidak ada rancangan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 'terhadap Anwar atau sesiapa pun'.

Sebelum itu, Anwar berkata beliau telah menghantar surat kepada Abdullah supaya mengadakan sidang tergempar Parlimen bagi membahaskan usul tidak percaya terhadap kepimpinannya, selewat-lewatnya 23 September ini.

Seorang peguam dan pakar perlembagaan berkata Anwar tidak boleh memaksa Parlimen bersidang.
"Itu kuasa Yang di-Pertuan Agong, atas nasihat Perdana Menteri," kata Shad Saleem Faruqi kepada agensi berita Reuters.