Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Thursday, September 18, 2008

KETUA PUTERI SETIAWAGSA : PERTEMBUNGAN SERI WANI vs SITI FATIMAH MENCURI TUMPUAN ; SIAPA " SMART" DIA MENANG ? - Malaysiakini

Penampilan Setiaasaha Puteri UMNO Setiawangsa Siti Fatimah bagi merebut jawatan Ketua Puteri Setiawangsa menentang Seri Wani Sabtu bukan sahaja telah memeriahkan suasana pertandingan di sayap puteri telah malah menjadikan Puteri Setiawangsa juga menjadi kawasan "Tumpuan" ketika ini.

Difahamkan Seri Wani sebagai Penyandang Naib Ketua Puteri sudah melancarkan gerakan berkempenya secara holistik dan halus manakala Siti Fatimah pula dikatakan mengunakan pendekatan secara terbuka.

Siti Fatimah yang juga merupakan Ketua Puteri Cawangan Pusat Bandar Setiawangsa dikatakan tekah melancarkan blognya baru-baru ini, atas nama Puteri Setiawangsa untuk mendekati ahli - ahlinya. Malah baru - baru ini juga beliau telah menganjurkan satu program - Kem Kasih Ramadan bersama lebih 500 orang anak- anak yatim seluruh di Kem Kemensah yang dirasmikan oleh Naib Ketua Puteri UMNO Wilayah Persekutuan Datin Ismalina Ismail.

Sementara itu, Ketua Puteri Setiawangsa Roziana Osman yang terpaksa melepaskan jawatanya atas faktor umur dengan pakatan Seri Wani akan menganjurkan Konvoi Tautan Kasih bersama mereka yang dianjurkan oleh Briged Kebajikan Puteri Setiawangsa pada Sabtu ini di Pusat Khidmat Wakil Rakyat Parlimen Setiawangsa.

Masing - masing dikatakan telah mengerakkan jentera masing- masing yang menggunakan pendekatan " ala cafe" ( minum sambil bersembang) . Mengikut berita terkini yang diterima dari kem Setiawangsa ~ kedua - dua calon dikatakan mempunyai peluang yang sama rata tetapi kemungkinan sentuhan daripada pihak - pihak tertentu boleh menentukan juara Puteri Setiawangsa yang baru. Siapakah mereka ?

Khairy kata SAPP Ibarat Duri Dalam Daging - Malaysiakini

Alor Gajah - Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin menyifatkan adalah lebih baik Parti Maju Sabah (SAPP) keluar Barisan Nasional (BN) daripada menjadi duri dalam daging atau gunting dalam lipatan.

Malah katanya tindakan SAPP itu sudah dijangka kerana parti itu sudah lama menyimpan hasrat berbuat demikian.
"Sepanjang berada dalam BN, parti itu sering kali mengugut kepimpinan BN.

"Harus diingat bukan semua pemimpin SAPP bersetuju untuk keluar dari BN. Buktinya, Ketua Pemudanya (Au Kam Wah) masih setia sehingga sanggup keluar daripada SAPP," katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis Nur-Ramadan dan berbuka puasa bersama anak yatim anjuran Biro Agama, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia di Pulau Sebang di sini, Rabu petang.

Khairy yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, langkah Kam Wah yang menentang arus dengan tindakan pucuk pimpinan partinya itu menunjukkan bahawa kesetiakawanan peringkat Pemuda BN masih lagi utuh.
"Malahan tindakan SAPP ini tidak menjejaskan kekuatan BN termasuk di peringkat negeri Sabah," ujarnya,

PM kata sidang khas Dewan Rakyat tidak perlu - Malaysiakini

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, sidang khas Dewan Rakyat tidak perlu diadakan.

Kerajaan juga jelas beliau, tiada perancangan untuk menahan Penasihat Parti Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO hari ini.

Anwar tuntut Parlimen adakan sidang tergempar - Malasiakini

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata beliau telah menghantar surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menuntut beliau mengadakan sidang tergempar Dewan Rakyat bagi membahaskan usul tergempar terhadap kerajaan pimpinannya.

anwar ibrahim pc call for emergency parliament meeting 180908 02"Saya telah membuat permohonan rasmi supaya Parlimen mengadakan sidang tergempar untuk membahaskan usul tidak percaya terhadap kepimpinan Barisan Nasional, selewat-lewatnya pada 23 September.

"Ini mengikut Peraturan 11 (3) Parliament sebagai respons segera terhadap politik hari ini," katanya.

Bercakap dalam satu sidang akhbar, pemimpin Pakatan Rakyat itu berkata, pakatan pembangkang mahu membahaskan usul tidak percaya terhadap Abdullah.

Anwar mahu sidang tergempar itu diadakan selewat-lewatnya Selasa depan.

bm version parliament standing orders section 11 3"Jika permintaan tersebut ditolak, kami pemimpin Pakatan akan berbincang segera untuk mengambil pilihan lain.

"Kamu tidak boleh melengah-lengahkan sidang tergempar tersebut kerana majoriti ahli Parlimen sudah bersama kami.

"Kamu lihat dalam sidang Parlimen nanti jika tidak percaya," katanya.

Anwar juga menolak dakwaan Abdullah bahawa beliau menjadi faktor kemerosotan ekonomi negara dan keselamatan negara.

Katanya, penganalisis ekonomi serantau tidak menyebut Anwar sebagai faktor kejatuhan harga saham dan ekonomi.

Sebaliknya, kata beliau saham merudum selepas pengumuman menteri kewangan yang baru dan faktor global.

"Dasar yang ditekan oleh Pakatan ialah kebebasan media dan jenayah telah menyebabkan negara hilang daya saing," katanya.

Anwar berkata, surat permohonan untuk bertemu perdana menteri yang dihantar sebelum ini, telah ditolak dengan kasar.

Laporan Bursa Saham Hari Ini - Malaysiakini

Harga saham di Bursa Malaysia terus mengalami kerugian sehingga tengahari tadi, di tengah-tengah kegiatan jualan besar-besaran di seluruh dunia berikutan peningkatan kebimbangan mengenai kesan tempias kegawatan kredit AS dan banyak ketidaktentuan makroekonomi khusus yang ditambah beberapa ketidaktentuan politik domestik, kata para peniaga.

Sentimen keseluruhan kekal lemah dan ditambah dengan jualan besar-besaran saham perladangan dan kewangan, kata mereka.

Jualan besar-besaran oleh pelabur asing ke atas saham berwajaran tinggi terpilih telah menarik turun Indeks Komposit Kuala Lumpur sebanyak 3.74 peratus atau 37.53 mata untuk ditutup sesi pagi kepada 965.46, paras terendahnya sejak Jun 2005. KLCI dibuka 9.78 mata lebih rendah kepada 993.46.

Menurut Bernama, indeks Persahaan turun 40.73 mata kepada 2,120.87, Indeks Kewangan turun 332.06 mata kepada 7,827.65 dan Indeks Perladangan turun 237.31 mata kepada 4,604.91.

Sementara itu, FBMEmas turun 241.48 mata kepada 6,407.27, FBM30 turun 237.02 mata kepada 6,186.59, FBM-MDQ turun 166.17 mata kepada 3,843.26 dan FBM2BRD
turun 159.45 mata kepada 4,830.74.

Kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 631 kepada 32 manakala 106 kaunter tidak berubah, 577 kaunter tidak diniagakan dan 23 kaunter digantung.

Volum dicatatkan 241.835 juta saham bernilai RM527.042 juta.

Bank Pembangunan Asia hari ini memberi amaran bahawa kegawatan yang melanda bank-bank utama di Barat boleh melanda badan peminjam utama Asia dan menyeru para pengawal selia dan bank pusat rantau ini untuk menyelaraskan tindakan bagi mengekalkan kestabilan.

Bursa-bursa tempatan menghadapi tekanan jualan berikutan jualan besar-besaran semalaman di Wall Street semasa Rezab Persekutuan AS membelanjakan AS$85 bilion untuk menyelamatkan badan korporat AIG gagal menenangkan para pelabur.

"Kebimbangan timbunan kerugian kredit telah mencetuskan jualan ketakutan di bursa di seluruh dunia," kata salah seorang peniaga itu.
Di antara saham berkaitan perladangan, Kuala Lumpur Kepong turun 90 sen kepada RM8.60, IOI Corp turun 18 sen kepada RM3.78 dan PPB Group turun 50 sen kepada RM7.90.

Antara kaunter kewangan, Bumiputra-Commerce turun 50 sen kepada RM6.90, Maybank turun 20 sen kepada RM6.70 dan Public Bank turun 30 sen kepada RM9.50.

Mendahului senarai aktif, UEM Builder turun satu sen kepada RM1.38, AirAsia turun dua sen kepada RM1.18, KNM Group turun enam sen kepada RM1.09 dan Sime Darby tidak berubah di paras RM5.95.

Tenaga Nasional turun 40 sen kepada RM6.40 dan Telekom Malaysia turun 18 sen kepada RM3.32.

Bagaimanapun, apabila urusniaga disambung selepas makan tengahari pada jam 2 petang tadi, kedudukan indeks mulai pulih.

Ia melonjak kembali kepada 983.63 pada jam 4 petang, tetapi masih kerugian sebanyak 19.63 mata. Pasaran akan ditutup jam 5 petang.

Polis: Jangan buat spekulasi ambil alih kuasa - Malaysiakini

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar hari ini memberi amaran keras kepada mereka yang membuat spekulasi dan menyebarkan khabar angin mengenai peralihan kuasa dalam kerajaan.

Beliau berkata, spekulasi tersebut telah mengakibatkan ketidakstabilan dalam negara.

Ismail memberi amaran tersebut ketika bercakap kepada wartawan dalam satu sidang akhbar di Bukit Aman petang ini.

Kini. usaha Pakatan Rakyat pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengambil alih kuasa menjadi perbualan hangat di negara ini.

Pemilihan bahagian Gopeng sengit - Malaysiakini

Pemilihan pucuk pimpinan bagi bahagian Gopeng pada 26 Oktober depan bakal menyaksikan pertandingan bagi semua jawatan utamanya.

Bagi bahagian Gopeng, jawatan ketua menyaksikan pertandingan tiga penjuru.

Seorang daripada calonnya ialah timbalan ketua bahagian sekarang, Hamzah Mohd Kasim yang mendapat 32 pencalonan.

Dua lagi calon yang layak bertanding ialah mantan ketua bahagian, Mustapha Kamal Nawi dan ahli jawatankuasanya, Rustam Affendi Abd Aziz.

Mustapha Kamal mendapat 26 pencalonan manakala Rustam Affendi pula memperolehi 20 calon.

Menurut sumber, penyandang jawatan ketua bahagian, Datuk Abd Aziz Shamsuddin tidak mempertahankan jawatannya untuk memberi laluan kepada muka baru.

Semua 83 cawangan dalam bahagian Gopeng telah selesai mengadakan mesyuarat masing-masing sebelum bulan Ramadhan.

Pertandingan bagi jawatan timbalan ketua pula akan menyaksikan perebutan tiga penjuru.

Pertembungan sengit

Tiga calonnya ialah ahli jawatankuasa bahagian, Mejar (B) Roslan Zakaria, setiausaha bahagian, Ahmad Zairun Yang Razali dan ketua pemuda, Hang Tuah Din.

Roslan mendapat 31 pencalonan, Ahmad Zairun (26) dan Hang Tuah Din pula memperolehi 25 pencalonan.

Menurut sumber itu lagi, Hang Tuah tidak mempertahankan jawatan ketua pemuda kerana melepasi had umur.

Perebutan bagi jawatan naib ketua pula akan menyaksikan pertembungan sengit tiga penjuru.

Mereka ialah bekas naib ketua, Mukhti Abdul Rahman; bekas ketua pemuda, Anuar Baharuddin dan ahli jawatan kuasa bahagian, Salehuddin Abdul Hamid.

Mukhti memperolehi 39 pencalonan, Anuar (17) dan Salehuddin mendapat 16 pencalonan.

Menurut sumber itu lagi, ketiga-tiga calon layak untuk bertanding setelah melepasi kelayakan minimum lapan pencalonan.

Pertandingan bagi jawatan ketua pemuda pula akan turut menyaksikan pertandingan satu lawan satu, antara naib ketua pemudanya, Aflizan Abdul Rahman dan Adli Tahiruddin yang juga ahli jawatankuasa bahagian.

Biar SAPP keluar, BN akan terus memajukan negara - Malaysiakini

Barisan Nasional (BN) akan terus memajukan negara walaupun Parti Maju Sabah (SAPP) telah keluar daripada campuran Barisan Nasional (BN), kata naib presiden kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Douglas Uggah Embas.
“Bagi BN, kita akan meneruskan, melaksanakan program pembangunan kita. Itu pilihan (mereka (SAPP) jika mereka mahu keluar. Seperti Perdana Menteri kata, BN akan meneruskan program pembangunan kita untuk membawa kemajuan kepada orang ramai,” katanya.
Uggah Embas yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Pusat Kecemerlangan untuk Undang-undang Biodiversiti (CEBLAW) di Universiti Malaya Kuala Lumpur, hari ini.

SAPP keluar daripada campuran BN semalam setelah lebih 13 tahun dalam BN dengan alasan BN telah hilang “Semangat BNnya”.

Calon Ketua Pemuda Lebih ramai...lebih meriah kata Dr Khir - Malaysiakini

Pengumuman rasmi Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin bertanding jawatan Ketua Pemuda tidak dianggap penghalang atau masalah kepada Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo yang turut bertanding jawatan sama.

Seperti dijangka oleh ahli Majlis Tertinggi UMNO itu, dengan kehadiran Khairy, pertandingan empat pejuru pada pemilihan parti hujung tahun ini adalah satu perkara yang baik.

Mantan Menteri Besar Selangor itu berkata, semua calon yang menawarkan diri mempunyai kelebihan masing-masing.

Selain Dr Khir dan Khairy yang juga ahli parlimen Rembau, dua tokoh lain yang sudah menawarkan diri untuk bertanding ialah Exco Pemuda, Datuk Mukhriz Mahathir dan timbalan pengerusi badan perhubungan UMNO Perlis, Datuk Zahidi Zainol Abidin.
“Kita harap dapat berkempen secara baik dan tidak buruk memburukkan satu sama lain atau jangan ada emosi saling. Kita perbincangkan tentang visi, cadangan serta perubahan yang patut dilakukan dalam Pemuda UMNO,” katanya.
Dr Mohamad Khir mengulas pengumuman Khairy yang turut sama masuk gelanggang pemilihan Ketua Pemuda UMNO selepas penyandang Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berhasrat mengosongkan kerusi yang sudah didudukinya lebih 10 tahun.

Beliau ditemui di majlis perbuka puasa anjuran Pemuda UMNO Selangor di Shah Alam, Rabu malam.

Menurutnya, UMNO kini menuntut perubahan dan perubahan ini perlu bermula dengan Pemuda.
“Saya akan menggunakan konsep ‘Pemuda Berani’. Berani menyuarakan kehendak rakyat, berani mendesak kerajaan menunaikan janji-janji kepada rakyat dan berani mengambil risiko apabila masalah bangsa dicabar pihak tertentu,” ujarnya lagi..
Beliau berhasrat mengembalikan kegemilangan kepimpinan Pemuda terdahulu ketika zaman Datuk Harun Idris selain UMNO memang memerlukan seorang ketua yang berani berdepan cabaran yang semakin besar dalam parti, orang Melayu dan negara.

Beliau tidak nampak dengan jumlah calon yang ramai bagi jawatan itu menyukarkan ahli-ahli membuat pemilihan.
“Kita akan nampak calon-calon yang berwibawa dengan jelas nanti. Pemuda dapat tentukan siapa layak memimpin dan meneruskan perjuangan Pemuda dalam UMNO,” katanya.
Sementara itu, mengulas rombakan kecil portfolio antara Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau yakin tugas Menteri Kewangan yang diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri itu bakal membawa perubahan baik.
“Saya percaya Najib dapat menyakinkan dan menarik semula pelabur selepas negara kita dimomokkan dengan cerita peralihan kuasa oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim,”

“Sebenarnya, keyakinan pelaburan semakin berkurang sejak perkara peralihan kuasa itu ditimbulkan dan mungkin ada diantara pelabur sudah keluar,” katanya.
Katanya, selain dapat mengurus dengan baik, pertukaran ini menunjuk keseriusan Perdana Menteri bagi memastikan keadaan negara bertambah stabil.

Dalam rombakan kecil Kabinet itu, Abdullah mengambil alih tugas Menteri Pertahanan daripada Najib manakala Datuk Seri Nazri Aziz akan menjaga hal ehwal undang-undang dan kehakiman menggantikan Datuk Zaid Ibrahim yang meletak jawatan.

Sementata itu, Dr Mohamad Khir turut meminta kerajaan meneliti tindakan undang-undang yang wajar dikenakan terhadap Anwar di bawah Akta Hasutan kerana tindak tanduknya menyebabkan imej tidak baik kepada negara dan rakyat dalam situasi tidak menentu.
“Harap Peguam Negara teliti perkara ini dan jangan berlalu begitu sahaja. Nanti orang lain akan buat perkara sama. Beliau (Anwar) tidak jujur terhadap negara, parti dan penyokong-penyokongnya,” tegasnya.
Beliau berharap tindakan terhadap Anwar beri pengajaran kepada rakyat Malaysia bahawa mengambil kerajaan melalui pintu belakang perlu dielak bahkan perbuatan tidak bermoral.
“Jika ia boleh menyebabkan huru hara dalam negara, tindakan tersebut wajar. Ini bagi meredakan masalah yang berlaku dan rakyat kembali menjalankan tugas masing-masing,” katanya.

Rais : Bukan untuk kepentingan Perdana Menteri - Malaysiakini

Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim percaya pengambilalihan portfolio Menteri Pertahanan oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam bukan bertujuan membolehkan Perdana Menteri menggunakan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk kepentingan sendiri.

Beliau berkata, ATM merupakan satu entiti yang kukuh tahap profesionalismenya sebagai benteng pertahanan negara yang paling utama.
''Saya berpendapat Abdullah akan mempunyai masa yang lebih luas untuk memikirkan perkara-perkara yang penting khususnya di saat-saat kerajaan dan parti pemerintah diuji pelbagai isu kritikal.

''Lagipun, ATM adalah satu entiti yang sudah kukuh strukturnya berbanding keperluan fiskal dan kewangan negara yang sering berubah-ubah ekoran ketidaktentuan ekonomi dunia hari ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menandatangani Suratcara Ratifikasi Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Pencegahan Rasuah (UNCAC) di Putrajaya semalam.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), Datuk Seri Ahmad Said Hamdan.

Semalam, Abdullah menyerahkan jawatan Menteri Kewangan kepada timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak berkuat kuasa serta-merta sebagai sebahagian proses peralihan kuasa yang dipersetujui pada 2010.

Berkuat kuasa serta-merta juga, beliau mengambil alih jawatan Menteri Pertahanan daripada Najib.

Rais menyambut baik keputusan Abdullah menyerahkan portfolio Menteri Kewangan kepada Najib kerana ia kena pada masanya.
''Ia bukan hanya kerana Najib mempunyai latar belakang ekonomi tetapi beliau (Najib) merupakan seorang pembantu yang cekap dalam menjayakan program kewangan dan fiskal negara selama ini.

''Dalam masa yang sama, Najib juga mempengerusikan lebih 12 jawatankuasa kecil yang sebahagian besarnya melibatkan aspek kewangan," katanya.

Mubarak mahu peralihan kuasa sebelum Disember - Malaysiakini

Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) berpendapat proses peralihan kuasa perlu diadakan secepat mungkin, selewat-lewatnya sebelum perhimpunan agung Umno pada 16 Disember ini bagi mengelakkan pergolakan dalam parti.

Presidennya Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata keputusan tersebut dicapai sebulat selepas mendengar pandangan dan rumusan 34 daripada 36 anggota Majlis Tertingginya dalam mesyuarat yang diadakan semalam. Dua lagi anggotanya tidak dapat hadir.

abdullah ahmad badawi and najibKeputusan itu berbeza dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai peralihan kuasa yang dipersetujui kedua-dua mereka diadakan pada Jun 2010.

Menurut Bernama, Abdullah dan Najib hari ini mengulangi komitmen mereka dengan tempoh peralihan kuasa seperti yang ditetapkan sebelum ini.

Kedua-dua mereka juga akan mempertahankan jawatan masing-masing sebagai presiden dan timbalan presiden Umno Disember ini.

Abu Zahar berkata peralihan kuasa yang telahpun dipersetujui itu adalah satu persefahaman tetapi ia perlu dirujuk kepada perhimpunan agung Umno Disember ini.
"Pemimpin mestilah patuh dan hormati perlembagaan parti Umno di mana semua hak ahli-ahli tidak boleh diketepikan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat itu di ibunegara semalam.

Ku Li bersendirian rebut jawatan Presiden UMNO - Malaysiakini

Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mengambil keputusan untuk bersendirian dalam menghadapi saingan merebut jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti itu Disember ini.

Beliau berkata, terdapat cadangan supaya Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin bertanding jawatan Timbalan Presiden dan bekerjasama dengannya untuk menghadapi persaingan tersebut.
“Memang ada cadangan supaya Muhyiddin bertanding jawatan Timbalan Presiden dan saya Presiden, itu cadangan Tun Dr. Mahathir Mohamad tetapi saya rasa tidak perlu bergabung dengan sesiapa.

“Memang penyertaan semula Dr. Mahathir dalam UMNO memberi kelebihan kepada saya untuk bertanding. Saya ucap terima kasih dan terima siapa saja yang hendak sokong saya,” katanya pada sidang akhbar semalam.

Komen Mufti Perlis tentang ISA - Malaysiakini

MUFTI Perlis, Dr Muhd Asri Zainul Abidin, kelmarin mengkritik penahanan tiga orang di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sambil berkata orang yang tertuduh harus diberi peluang menjelaskan kesalahan mereka.

Beliau berkata Islam tidak memerlukan ISA untuk mempertahankan kemurnian agama itu, sambil menambah bahawa Al-Quran dan hadis harus digunakan sebagai panduan untuk menyiasat jika seseorang didakwa menghina Islam.
"Jadi tidak ada alasan menahan orang dengan tidak memberi peluang membela diri. Ini adalah satu tindakan yang salah. Sekiranya orang itu bersalah dari segi hukum agama, buktikan dari segi dalil-dalil agama," kata Dr Asri.

"Cara kita tangkap orang guna ISA atas kesalahan agama tidak akan menghilangkan salahfaham terhadap Islam. Seharusnya diperjelaskan dulu apa kesalahan itu.

Kalau misalnya orang itu menghina Islam atau menyeleweng, buktikan dulu berdasarkan Quran dan hadis," jelasnya lagi.
Menurutnya, Islam 'bukan agama yang bacul' tetapi tindakan ISA itu atas kesalahan yang berkaitan dengan agama tersebut 'seolah-olah menggambarkan orang Islam tidak mampu berhujah, terus tangkap orang'.

Sambil mengingatkan bahayanya tindakan ISA itu, Dr Asri berkata adalah 'kejam' menahan seseorang selama dua tahun tanpa menjalani proses kehakiman terdahulu dan menggesa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memainkan peranan lebih aktif dalam memberi penjelasan mengenai Islam.

Siapa pengganti Zaid.? - Malaysiakini

Datuk Seri Nazri Aziz akan isi portfolio undang-undang berikutan perletakan jawatan Datuk Zaid Ibrahim kelmarin.

Nazri sebelum ini cuma pegang portfolio Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang jaga urusan Parlimen Malaysia.

Sejurus pengumuman dibuat oleh Perdana Menteri itu Nazri berkata beliau akan meneruskan usaha pembaharuan sistem perundangan negara.

Katanya reformasi itu adalah idea Perdana Menteri bukan Zaid.

Beliau juga tidak merasa satu beban kena pegang dua portfolio serentak.

Terus kukuhkan parti, lupakan soal Anwar, kata Mukhriz - Malaysiakini

Ahli Exco Pemuda Umno, Datuk Mukhriz Tun Mahathir hari ini melahirkan rasa kecewa apabila tumpuan parti itu lebih banyak diberikan kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga mengganggu proses pemilihan parti.

Mukhriz yang juga Ahli Parlimen Jerlun berkata dalam usaha untuk mengukuh dan memperkasakan parti, satu mekanisme baru harus diwujud bagi memastikan Barisan Nasional (BN) khususnya Umno terus relevan di mata rakyat.
“Kita ada krisis keyakinan dalam parti dan sudah tentu kita perlu mempunyai pendekatan yang mantap untuk menyelesaikan masalah dalaman. Saya percaya orang tidak sokong sangat dengan Anwar tetapi sebab kecewa dengan Umno dan BN. Oleh sebab itu kita tak perlu melatah dan beri tumpuan pada pemilihan Umno kali ini.

“16 September sudah terbukti kerajaan BN masih tidak tumbang dan dia (Anwar) memberi alasan tunggu lagi sehingga 48 jam dan itu pun masih lagi ada orang yang percaya. Saya yakin kerajaan BN tetap berkuasa dan kita tak perlu pedulikan sangat kerenah Anwar itu dan memberikan tumpuan dalam pemilihan parti,” katanya kepada pemberita semalam.
Beliau berkata demikian bagi mengulas perjalanan mesyuarat peringkat cawangan yang telah pun berakhir pada 14 September lalu dan peringkat bahagian yang dijadual berlangsung pada Oktober ini. Katanya perebutan jawatan yang dipertandingkan pada pemilihan parti pada Disember ini akan menyaksikan persaingan sengit.

Dalam pada itu, beliau juga mencabar mana-mana individu yang berkelayakan untuk bertanding pada pemilihan parti yang didakwanya mampu “meremajakan” semula Umno.
“Dengan penolakan golongan muda pada pilihan raya umum lalu (8 Mac) melalui saluran tiga, empat dan lima, maksudnya kita kena meremajakan Umno bukan setakat Pemuda tapi Umno itu sendiri tidak harus dilihat sebagai parti untuk orang lama dan pendekatan tidak trendy.

“Sudah sampai masa pemimpin di peringkat akar umbi tawarkan diri untuk bertanding Majlis Tertinggi. Apa salahnya. Saya nak mencabar orang muda kalau sayangkan Umno dan sanggup memperkuatkan parti sepenuh masa, orang seperti ini kita alu-alukan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Mukhriz berkata sistem kuota yang diguna pakai pada pemilihan parti harus dihapuskan kerana ia menggalakkan lagi politik wang.

Katanya dengan sekatan-sekatan tertentu, orang-orang berkepentingan berpeluang menyekat pencalonan bagi individu yang menawarkan diri untuk bertanding.
“Amalan demokrasi akan terencat apabila ia disekat dan kalau sepatutnya mengundi tetapi tak sampai ke peringkat mengundi. Jadi calon itu sendiri gagal dalam pemilihan itu kerana tidak cukup kuota.

“Ada juga yang pernah saya dengar, pencalonan ini susah sikit tapi undi insya-Allah. Perkara ini yang berbahaya. Kalau kita balik kepada cara dulu satu pencadang dan satu penyokong saja, saya ingat apa salahnya. Saya fikir elok sistem kuota dihapuskan,” katanya.
Beliau juga menegaskan bahawa Pemuda Umno harus menjadi pendesak.

Katanya mendesak bukan bermakna menentang prinsip parti sebaliknya memberi kekuatan pemimpin bagi memastikan parti untuk terus kukuh dan perkasa.
“Kita kena balik kepada pendekatan asal iaitu kita kena jadi Pemuda pendesak. Kalau kita tak jadi pendesak, kita akan jadi tidak relevan dan akan menyakitkan hati rakyat. Bukan senang untuk jadi pendesak. Kita mendesak untuk suara akar umbi dan bukan bertujuan menentang atau melemahkan pemimpin dan parti.

“Bila kita sampaikan desakan kita secara berhemah, Presiden parti pasti akan fahami usul yang dikemukakan oleh perwakilan termasuk Pemuda untuk dibincangkan dengan jemaah menteri,” katanya.
Beliau juga mengharapkan Perhimpunan Agung Umno yang bakal berlangsung pada Disember ini berjalan lancar tanpa ada sebarang usul yang ditolak tanpa dibahas.
“Saya mengharapkan agar tiada usul yang ditolak tanpa dibahas. Bila dah bahas, nak tolak, tolak lah sebab membawa usul dari akar umbi ini terlalu lama iaitu bermula dari mesyuarat cawangan, bahagian kemudian Perhimpunan Agung.

Kalau ditolak tanpa dibahas, rakyat akan kecewa kerana suara mereka tidak didengar,” katanya.

TB - Pemuda Umno bukan hanya perlu menjadi pendesak, tetapi perlu diingat bahawa Pemuda Umno juga seharusnya menjadi benteng pertahanan kepada parti apabila menghadapi serangan dari luar.