Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Tuesday, September 16, 2008

PM minta Anwar tunjuk senarai MP - Malaysiakini

Perdana menteri berkata Datuk Seri Anwar Ibrahim mesti menunjukkan jika beliau benar-benar mempunyai senarai 31 ahli parlimen Barisan Nasional yang menyertai Pakatan Rakyat.
"Kalau dia (Anwar) ada (senarai 31 ahli Parlimen), dia boleh beritahu, biar semua rakyat tahu, biar semua pengundi tahu apa yang telah dia lakukan kepada calon-calon mereka (pengundi)," kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Abdullah berkata beliau tidak akan mengadakan pertemuan dengan Anwar untuk berbincang kerana "kalau dia jumpa saya pun nanti, mungkin dia buat cerita yang lain."

"Nanti dia kata, saya telah setuju tentang itu, tentang ini. Itu adalah tujuan dia mempopularkan diri dia.

"Saya tidak perlu jumpa dia," kata dalam sidang akhbar di majlis penyampaian dermasiswa dan sumbangan Hari Raya Aidilfitri di Kepala Batas hari ini.


Menurut perdana menteri, surat yang diterimanya dari Anwar yang juga ketua pembangkang semalam, bukannya berhubung peralihan kuasa, demikian menurut laporan Bernama.

Katanya, surat itu berkaitan dengan situasi dalam negara dan perkara-perkara umum.
"Tidak ada satu surat pun yang dihantar yang berkaitan dengan pemindahan kuasa. Dia (Anwar) hantar surat tentang hal-hal umum yang berkaitan dengan situasi dalam negara," katanya.
Di Kuala Lumpur, Anwar hari ini mendakwa telah menghantar surat kepada perdana menteri semalam untuk mengadakan pertemuan bagi membincangkan proses peralihan kuasa secara aman setelah Pakatan Rakyat mempunyai cukup bilangan ahli parlimen untuk membentuk kerajaan baru.

Abdullah meminta semua pihak memberi perhatian kepada perkara yang berkaitan dengan urusan dan tanggungjawab seharian, dan bukannya sibuk dengan urusan yang memperlihatkan ketidakstabilan politik negara.
"Lebih baik beri perhatian kepada hal-hal yang berkaitan dengan pekerjaan, perniagaan dan tanggungjawab kita yang dilaksanakan sama ada di sektor awam mahupun swasta," katanya.
Anwar ketika ditanya pemberita mengenai rancangannya untuk mengambil alih pentadbiran negara hari ini (16 September) seperti yang digembar-gemburkannya, beliau mendakwa kelewatan itu kerana beliau mahu berbincang dengan perdana menteri terlebih dahulu.

Anwar Ibrahim: hari lain…cerita sama - Malaysiakini

Oleh: ROSLAN BIAN DAN LUKMAN ABDULLAH
Hampir 100 orang wartawan dan jurugambar hadir.Biasanya kehadiran sebesar itu pada sesuatu sidang akhbar awal-awal mencetuskan andaian adalah berita besar bakal meletup.

Apa tidaknya ini hari istimewa…16 September. Suasana gairah itu jelas terpancar pada wajah mereka ketika mereka bersesak di ibupejabat PKR dekat Petaling Jaya awal petang Selasa untuk mendengar ‘ berita besar’ semasa menghadiri sidang Datuk seri Anwar Ibrahim di situ.

Selain para wartawan dan jurugambar kira-kira 100 orang penyokong PKR berkumpul di luar bangunan ibupejabat itu.

Namun akhirnya ia seperti apa yang disimpukan oleh seorang wartawan sebuah akhbar berbahasa Inggeris , “ different day…but same story”.

Banyak lagi komen-komen ‘ menyumpah’ yang kedengaran dikalangan para wartawan yang hadir.Ada yang kata rasa macam ‘ kena main’ oleh Penasihat PKR itu.

Jangan kata berita besar kalau nak kira sempena dengan hari yang penentuan yang Anwar gembar gemburkan selama ini habuk pun tak ada yang baru.

Ini lebih-lebih kagi mengenangkan pada kenyataan Ketua Penerangan PKR Tian Chua Isnin bahawa Anwar akan umum nama 32 orang Ahli Parlimen Barisan Nasional yang nak melompat semasa sidang akhbar itu.

itulah sebenarnya yang semua orang nak dengar.Adakah 32 orang itu dan siapa mereka?

Anwar bukan saja tak umum nama sesiapapun tetapi membawa para wartawan ‘ pusing keliling’ bila berkali-kali ditanya mengenainya.

Beliau sebaliknya dengan bijak menyusun ayat untuk mengambarkan seolah semua mereka sudah set nak melompat dan kerajaan mungkin akan aniaya mereka bila tahu siapa mereka.

Bila diminta angka yang betul,Anwar berkata setakat ini angka sudah lebih 31 orang yang diperlukan.

Diminta pula sebut nama mereka semua beliau berkata , “kalau umum mereka akan ditangkap sertamerta.”

Menurut Anwar beliau hanya akan dedah senarai nama mereka itu dalam perjumpaan dengan Perdana Menteri untuk merundingkan penyerahan kuasa secara aman dan teratur.

Untuk memberi gambaran seolah semua on track tetapi kemungkinan ada sekatan tertentu ,Ketua Pembangkang itu meminta kerajaan tidak guna ISA tahan mana-mana Ahli Parlimen yang lompat parti.

Katanya kerajaan juga tidak harus guna kuasa darurat, guna kuasa polis atau gantung perlembagaan mahupun bubar parlimen dalam usaha halang cita-cita pembangkang berkuasa.

Ditanya sekiranya beliau gagal jumpa Perdana Menteri ,Anwar kata beliau bincang dengan barisan pembangkang mengenai pilihan lain untuk ambilalih kerajaan.

Peliknya dalam sidang media kali ini yang sepatutnya ‘ hari besar’ tiada tokoh-tokoh besar pembangkang yang hadir.

PAS diwakili oleh Setiausaha Agung Datuk Kamaruddin Jaafar dan Bendahari Agung Dr Hatta Ramli yang diketahui umum memang pro Anwar.

DAP hanya diwakili oleh Ahli Parlimen Cheras Tan Kok Wai.

Nampaknya semakin hari Anwar semakin hilang tarikh bila nak amblihalih kuasa.

Muktamad: Zaid letak jawatan - Malaysiakini

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim tetap dengan keputusannya untuk meletak jawatan selepas gagal meyakinkan kerajaan untuk melaksanakan pembaharuan dalam sistem undang-undang.

zaid ibrahim and isa internal security act 150908

Tetapi, katanya, keputusan kerajaan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk menahan tiga individu Jumaat lalu, merupakan tindakan yang tidak boleh diterimanya langsung.

“Saya tidak letih. Saya hanya kecewa. Keputusan saya kekal. Saya akan letak jawatan,” katanya dalam satu sidang akhbar di pejabatnya di Putrajaya pagi tadi.

Zaid berkata, beliau gagal untuk meyakinkan mereka yang berkuasa untuk melaksanakan perubahan tentang bagaimana kerajaan perlu melangkah ke hadapan.

Menurutnya lagi, beliau tidak membuat sebarang keputusan untuk meninggalkan Umno dan menyertai PKR.

Zaid berkata, beliau mahu bersikap terbuka mengenainya.

Beliau telah menghantar surat peletakan jawatannya semalam, sehari selepas beliau membidas kerajaan kerana menahan tiga individu di bawah ISA.

Mereka ialah ahli Parlimen DAP, Teresa Kok; pemblog Raja Petra Kamarudin dan wartawan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng atas dakwaan mengancam keselamatan negara, Jumaat lalu.

Bagaimanapun, semalam, Perdana Menteri, Datu Seri Abdullah Ahmad Badawi telah meminta Zaid supaya bercuti dua minggu dan memikirkan semula keputusannya itu.

Bekas ahli parlimen Kota Bharu itu telah dilantik sebagai senator dan dilantik sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri yang dipertanggungjawab menjaga hal ehwal undang-undang dalam rombakan kabinet selepas pilihanraya umum Mac lalu.

Pelantikan beliau disambut baik oleh banyak pihak yang melihatnya sebagai satu usaha perdana menteri untuk melaksanakan pembaharuan dalam bidang kehakiman.

Bagaimanapun, Zaid kesal kerana penahanan di bawah ISA itu telah memberi tamparan kepada usaha-usahanya sejak enam bulan lalu untuk memulihkan bidang kehakiman.

Beliau juga mengakui bahawa pandangannya mengenai perkara-perkara tertentu tidak dapat diterima oleh rakan-rakannya dalam kabinet.

Nazrin minta pemimpin henti bersengketa - Malaysiakini

Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah hari ini menyeru barisan kepimpinan negara supaya berhenti bersengketa sesama mereka dan sebaliknya menumpukan kepada usaha membangunkan sumber negara bagi kesejahteraan rakyat.

raja nazrin perak regentBaginda bertitah, dunia sedang menghadapi iklim ekonomi yang suram dengan kenaikan harga minyak dan makanan yang memerlukan kerajaan memastikan bekalan makanan terjamin, meningkatkan produktiviti, menyakinkan pelabur dan mewujudkan pekerjaan baru untuk meringankan tanggungan rakyat.
"Ia merupakan cabaran besar kepada mana-mana kerajaan sekalipun. Ia tidak akan dicapai melalui retorik politik semata-mata.

"Ia tidak akan dicapai jika di kalangan barisan kepimpinan, baik yang berada di dalam atau di luar kerajaan terus bersengketa," titah baginda di Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP) ke-162 di Kompleks Islam Darul Ridzuan di Ipoh hari ini, demikian menurut laporan Bernama.
Raja Dr Nazrin bertitah suasana muram ekonomi dunia memerlukan para pemimpin mentafsirkannya sebagai cabaran terhadap negara dan bangsa yang memerlukan mereka bersama-sama menumpukan fikiran dan usaha untuk melaksanakan kerja yang produktif.
"Jika cabaran berat ini gagal ditangani, dibimbangi kestabilan dan ketenteraman negara akan terjejas; segala kejayaan yang telah dicapai sejak 51 tahun merdeka akan turut hilang dan pupus," titah baginda.
Titah Raja Dr Nazrin, semangat Ramadan sebagai asas membina akhlak mulia, disusuli semangat Syawal membina persaudaraan, hendaklah diterjemahkan dalam urusan harian berkeluarga, bermasyarakat, berkerajaan dan bernegara.

Hishamuddin Persoal Penggunaan ISA - Malaysiakini

Putrajaya - Ketua Pergerakan Pemuda Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata beliau akan membangkitkan isu penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bagi menahan wartawan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng, Jumaat lalu, dalam mesyuarat Kabinet akan datang.

Hishammuddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata beliau secara peribadi tidak bersetuju dengan penggunaan ISA dengan tujuan menyelamatkan atau memberi perlindungan kepada mana-mana individu, sebagaimana alasan bagi penahanan wartawan itu.

Beliau bersetuju penggunaan ISA adalah bagi menjaga keselamatan negara.
"Bagi dua kes lain, (pengendali portal berita Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin dan Exco Selangor Teresa Kok) saya rasa pihak berkuasa lebih mengetahui apa risiko dan apa yang mereka lakukan, dan saya tidak ada maklumat mengenainya untuk saya nyatakan sama ada ia patut atau tidak.

"Tapi dalam konteks wartawan itu, menteri berkenaan (Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar) telahpun menyatakan sebabnya dan secara peribadi saya rasa ISA tidak boleh digunakan untuk sebab yang disuarakan oleh menteri berkenaan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku 'Malaysia: From Traditional to Smart Schools - The Malaysian Education Odyssey' di sini semalam.
Raja Petra, Kok dan Tan ditahan mengikut ISA pada Jumaat lepas dalam satu operasi polis terhadap beberapa individu yang terbabit mencetuskan isu perkauman dan persengketaan agama. Tan, bagaimanapun, dibebaskan pada pukul 2.30 petang keesokan harinya.

Berbeza dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim kelmarin yang menolak penggunaan ISA terhadap kes selain membabitkan anasir komunis dan pengganas, Hishammuddin berkata dalam negara berbilang kaum seperti negara ini, ancaman terhadap keselamatan negara berhubung isu perkauman dan agama perlu diambil kira.

Anwar mahu temui PM isu tukar k'jaan - Malaysiakini

Pakatan Rakyat yang dikepalai Datuk Seri Anwar Ibrahim masih yakin rancangannya untuk membentuk kerajaan baru akan berjaya hari ini atau esok.

Bagaimanapun Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan rancangan ketua pembangkang itu sebagai "sesuatu perkara yang karut".

Bercakap di depan lebih 10,000 penyokong pembangkang di stadium Kelana Jaya malam ini, Anwar berkata Pakatan Rakyat telah menghantar surat semalam untuk bertemu Abdullah bagi membincangkan isu pembentukan kerajaan baru.
"Petang tadi (semalam), (ahli parlimen DAP) Anthony Loke, (ahli parlimen PKR) Johari (Abdul) telah pergi ke Putrjaya, hantar surat untuk berjumpa segera dengan perdana menteri sebab kita mahukan perubahan aman dan tenteram," kata Anwar.

"Kita sudah ada jumlah (wakil BN yang akan melompat kepada Pakatan), dan kita telah bersedia. Hari ini 16 September, esok 17 September, kita bersedia membentuk kerajaan."

Anwar, yang juga penasihat PKR, meyakinkan para penyokongnya bahawa rancangannya untuk menubuhkan kerajaan dengan cara memujuk lebih 30 wakil rakyat BN meninggalkan parti itu "masih seperti dirancang."
"Apabila kita kata 'on track' (masih seperti dirancang), maksudnya 'on track'.

"Hendak jadi macam mana (perubahan kerajaan pada 16 September), mereka bawa (ahli-ahli parlimen BN) ke Taipei," katanya, merujuk lebih 50 wakil rakyat BN yang secara mendadak dibawa melawat Taiwan beberapa hari lalu.

"Tetapi kita ada cukup jumlah untuk mengalahkan BN. Bukan hendak paksa, pergi Putrajaya hendak heret, ambil alih (kuasa kerajaan pusat) bukan mengikut hukum rimba, yang lalu tetap berlalu.

"Esok kita akan umumkan pendirian kita."
Sementara di Kuala Terengganu, lapor Bernama, sambil menempelak tentang hasrat itu, Abdullah berkata pertukaran kerajaan baru tidak akan berlaku.
"Orang kita cepat sangat terkejut, tergempar, cepat sangat kelam-kabut tentang soal pertukaran kerajaan. Ketepikan semua perkara begini.

"Beri perhatian kepada perkara yang mendatangkan manfaat serta kebaikan dan bukan sembang kosong yang tidak beri manfaat.

"Kita suka sangat berhujah dan bersembang tentang perkara ini (pertukaran kerajaan). Perkara ini tidak akan berlaku," katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa bersama pemimpin dan rakyat di Masjid Abidin malam tadi.
Menurut agensi berita itu lagi, Abdullah meminta umat Islam meningkatkan ibadat bersempena bulan Ramadan dan tidak terlalu ghairah memperkatakan isu pertukaran kerajaan.
"Pembohongan ini menyebabkan keadaan menjadi kelam-kabut sehingga selepas berbuka dan Tarawih, bukan nak buat Taddarus tetapi yang dibincangkan ada hubung kait dengan pertukaran kerajaan.

"Sepatutnya kita guna bulan Ramadan ini untuk tingkatkan ibadah untuk kemuliaan di sisi Allah dan tidak digunakan bersembang perkara yang tidak akan berlaku," katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai peletakan jawatan Datuk Zaid Ibrahim sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Anwar membayangkan wujud perbincangan antara pihaknya dengan bekas ketua bahagian Umno Kota Bharu itu.
"Terima kasih kepada Zaid. Dalam beberapa hari lagi akan ada berita baik daripada Zaid. Ada orang kata kita beli (Zaid). Bukan beli, tetapi dia benci penahanan (bawah) ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri)," kata bekas timbalan perdana menteri.
Anwar bagaimanapun tidak menjelas lanjut berhubung perkara itu.

Zaid semalam menyerahkan surat peletakan jawatan, namun perdana menteri memintanya bercuti sebelum mengambil keputusan muktamad tentang perkara tersebut.

ISA : Ramainya yang masih tidak faham - Malaysiakini

Oleh : Ahmad Yusof
APABILA kerajaan bertindak menggunakan ISA, ramai yang ‘bangkit’ seolah-olah baru tersedar dari tidur. Jika ditanya, tiada siapa yang sukakan ISA tetapi, ini bukan soal suka atau pun tidak. Negara ini perlu dijaga. Yang menjaganya faham apa itu ISA. Kalau ada yang masih tidak faham, eloklah… kalau berjawatan, berhenti!

ISA bukan undang-undang baru, dibuat kerana mahu ‘menahan’ Raja Petra Kamaruddin dan Teresa Kok (termasuk wartawan Tan Hoon Cheng yang sudah dibebaskan). Ia dibuat selepas peristiwa 13 Mei 1969. Sudah banyak kali, ISA berjaya ‘mencegah’ kekecohan dalam negara kita. Biasalah, mereka yang hidup aman damai sekarang, merasakan keamanan itu datang dengan sendiri.

Teringat saya kata-kata seorang kenalan, ketika menziarahi seorang kenalan lain, yang baru dipotong kaki kanannya kerana kencing manis. Kenalan yang kehilangan sebahagian kakinya mengeluh, “Habislah saya. Hidup tak lama mana lagi. Ndak ke mana-mana, sudah semakin terhad,”

Kenalan yang mengajak saya menziarahi kenalannya itu menjawab,” Kau baru aje hilang kaki dua hari. Umur kau sekarang dah 60 tahun. Selama 60 tahun ini, kau tidak pernah bercakap dengan aku terima kasih Tuhan kerana memberikan kau kaki.”

Tersenyum kambing kenalan yang berbalut paras lutut kesan kaki dipotong. Dia tidak menjawab apa-apa tetapi senyumannya penuh makna. Saya yang berdiri di sebelah katilnya, juga tersenyum. Saya kaitkan kisah ini dengan kisah penahan ISA yang baru berlaku baru-baru ini.

Jika ada kesempatan, saya akan ulas satu-persatu ulasan dan komentar mereka yang berkait dengan suasana ini sekarang, khususnya Presiden Persatuan Wartawan (NUJ), Norila Daud yang seolah-olah bertindak mewakili persatuan wartawan asing. Bila Tan Hoon Cheng kena tahan, bukan main pantas dia bersuara seolah-olah dia pun mewakili parti politik, yang memerlukan populariti.

Saya juga wartawan. Saya pernah menjadi Editor dan pernah menjadi Ketua Pemberita. Malahan, saya juga pernah menjadi Penerbit. Berkali-kali saya berpesan kepada wartawan (pemberita) di bawah saya, ‘jika tangan berani mencincang, bahu mesti sanggup memikul’. Walaupun menjalankan tugas, kita kenalah ada tanggungjawab.

Penting apa melaporkan ucapan Datuk Ahmad Ismail, (ketika itu Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera) jika saudari tidak mempunyai niat ‘tertentu’ terhadap ‘isu perkauman’ yang memang agak sensitive di negara ini? Isu kononnya wartawan perlu diberikan kebebasan adalah kenyataan ‘budak-budak’ yang merasakan mereka perlu diberikan masa bermain lebih lama dari masa belajar.

Jika ibu bapa tidak ‘menyekat’ kebebasan yang diinginkan ‘kanak-kanak ini’, maka bukan sahaja kanak-kanak ini akan ketinggalan dalam pelajaran, risiko diculik dan tidak pulang ke rumah cukup besar. Apakah Norila Daud mahukan situasi ini?

Surat khabar Cina hanya dibaca pembaca Cina. Surat khabar Melayu dibaca semua orang, Melayu, Cina, India, Benggali dan bangsa-bangsa lain termasuk Bangladesh yang sudah lebih tiga tahun menetap di Malaysia.

Norila boleh membela wartawan, samalah seperti Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabbery Chik membelanya. Yang agak terlajak membela, Datuk Zaid Ibrahim, bersama-sama Kit Siang, Anwar Ibrahim, Koh Tsu Koon dan Abdul Rahman Dahlan.

Jika ISA digunakan untuk menangkap dan menahan 1,000 wartawan, bolehlah Norila bangkit dari ‘lena yang panjang’ tetapi apabila seorang pemberita, yang melaporkan ucapan yang kononnya berbaur perkauman, dibela sampai sanggup menghantar memorandum kepada Menteri Dalam Negeri dan Perdana Menteri, dapatlah kita kenali ‘rendah mana pemikiran Presiden NUJ ini’.

Usah bimbang, Norila boleh menang semula sebagai Presiden NUJ. Kebetulan, jawatan itu bukan ada apa-apa pun, selain dari ‘ego’ wartawan. Jika wartawan sedar, mereka menumpang hidup di negara ini, dengan keamanan yang dijamin, mereka (wartawan) tidak perlu menulis ikut suka hati, tanpa ada perasaan tanggungjawab!

Perkataan menumpang, bukan bermaksud wartawan itu ‘penumpang’ tetapi hidup kita di dunia ini hanya sementara. Kita hanya penumpang sahaja. Tidak kira siapa, kita adalah penumpang, termasuklah Norila Daud dan rakan-rakan yang sewaktu dengannya, termasuk juga Menteri Dalam Negeri dan Perdana Menteri dan semua yang hidup ini.

Kita bukan hidup selama-lamanya. Itulah sebabnya, sementara kita hidup, sementara kita masih dibenarkan ‘menumpang’ di bumi Allah ini, carilah jalan bagaimana mahu mendamaikan dan bukan mencari jalan menimbulkan ketegangan.

Dalam hal ini, saya tabik kepada YB Datuk Shahrir Abdul Samad. Katanya dalam Utusan Malaysia, Isnin 15 September 2008, “ISA masih relevan.”

Apa yang saya paling sedih, ada menteri yang mengangap ISA bukan undang-undang. Bukan main banyak beruk dan monyet di hutan turut ketawa. Bukan ketawa sedikit, terbahak-bahak. ISA adalah undang-undang negara ini. ISA telah banyak kali menyelamatkan negara ini dari pergaduhan kaum dan pertumpahan darah.

Tan Hoon Cheng memang bukan ‘pengganas’ tetapi akibat dari laporanya, suasana jadi tegang. Ahmad Ismail sudah membuat penjelasan, tetapi Tan Hoon Cheng berkali-kali akan ‘mempertahankan’ apa yang ditulisnya. Untuk apa? Bijakkah dia jika dengan tulisannya itu akan menyebabkan hubungan Umno-Gerakan menjadi masalah? Hebatkah dia jika dengan tulisannya itu menjadi Melayu dan Cina berbalah?

Gerakan ada sumbangan kepada Umno. Umno juga ada sumbangan kepada MCA. MCA dan Gerakan bermasalah, Umnolah selama ini menjadi orang tengah. Berbanggalah dengan suasana seperti ini dan janganlah cuba mahu menjadi ‘orang tengah’ yang menyebabkan Gerakan kembali bermasalah dengan Umno dan MCA juga sudah semakin tidak menyenangi UMNO.

DAP tentunya suka dengan suasana ini kerana ‘mereka untung’ tetapi Hoon Cheng jangan jadi alat kepada DAP hanya kerana mahu ‘dianggap sebagai heroin’ dalam filem yang tidak mendatangkan sebarang faedah kepada perpaduan kaum di Malaysia.

Maka, ISA hendaklah dikenali sebagai undang-undang pencegahan! Kalau masih tidak faham, masuklah TADIKA semula.

MUHYIDDIN SUDAH WAJAR DIPECAT DARI JAWATAN MENTERI - Malaysiakini

Oleh : Mahfir Sabtu
Memang sudah patut sangatlah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tan Sri Muhyiddin Yassin di tahap ini letak jawatan atau Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menggunakan haknya memecat beliau dari memegang sebarang jawatan dalam kerajaan.

Cadangan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zahid Ibrahim seumpama itu amat tepat sekali dan sepatutnya mendapat perhatian perdana menteri daripada membendung seorang menteri yang telah menolak rancangan peralhihan kuasa kepada timbalannya, Datuk Seri Najib Razak pada bulan Jun 2010.

Alasan Muhyiddin amat nyata tidak mempunyai sifat sabar apabila beliau terus mengulangi menyatakan beliau tidak setuju dengan rancangan peralhihan itu kerana ia memakan masa terlalu lama yang kononnya beliau mempunyai tongkat sakti untuk memulihkan keadaan politik negara dan UMNO.

Kenyataannya itu bukan sahaja mengejutkan perdana menteri, tetapi juga orang ramai yang turut sama menyatakan tindakan Muhyiddin yang mengeluarkan kenyataan itu di Singapura baru-baru ini sebagai tidak berethika sedangkan beliau berada dalam kabinet ketuanya yang masih Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Tidak kurang yang menyebut bahawa Muhyiddin memang sudah lama bersikap tidak sopan sebagai pemimpin Melayu.

Apabila Abdullah membuat teguran dan menyatkan terkejut, Muhyiddin dengan angkuh berkata tidak akan takut menghadapi risiko atau dipanggil untuk memberi keterangan. Pada beliau, apa yang hendak ditakutkan kerana sudah sememangnya beliau sepatutnya sudah lama dipecat. Tetapi Abdullah tidak ambil hati atau rasa terkilan dan cuba juga berbaik-baik dengannya. Namun begitu, Muhyiddin sudah tidak lagi senada dengan Pak Lah atas hanya kerana beliau tidak sanggup menunggu peluang merasa jadi timbalan perdana menteri sekurang-kurangnya.

Atas sikapnya yang bagaikan tidak 'geti bahasa' itu telah mengubah gambaran ahli UMNO seluruhnya dan ia juga menyebabkan parti dan negara sentiasa berkocak dan tidak dapat berlayar dengan tenang sepertimana sepatutnya berlaku. Ia memperlihatkan politik di negara ini sentiasa bergolak dengan aktiviti politik yang tidak sihat.

Sejak sekian lama, UMNO yang mengetuai Kerajaan Barisan Nasional berdepan dengan kocakan dalaman yang terus menerus hinggakan Perdana Menteri terpaksa menyatakan seorang menteri seperti Muhyiddin terlalu sibuk dengan percaturan peribadinya hingga lupa akan tugasnya kepada kementeriannya yang memerlukan pembersihan dan peningkatan terutamanya kementeriannya terlibat secara langsung memupuk hubungan baik dengan pedagang tempatan dan luar negara.

Muhyiddin yang dikatakan baru-baru ini bersekongkol dengan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah untuk beregu menentang pucuk pimpinan UMNO untuk merebut jawatan Presiden dan Timbalan Presiden atas pakatan bersama dengan bekas perdana menteri Tun Mahathir, menunjukkan Muhyiddin sentiasa sibuk mencari lubang mana hendak ditonjol untuk mempercepatkan cita-citanya turut sama mahu menjadi perdana menteri.

Daripada cara beliau menyampaikan hasrat Tun Mahathir mahu masuk UMNO juga menunjukkan beliau sudah mula merasakan dirinya sudah cukup penting untuk mengenengahkan hasrat Mahathir yang menyesal sendiri atas tindakannya keluar daripada UMNO sebelum ini.

Dalam pada itu, ada pula pihak yang membandingkan Ezam Mohd Nor dengan Mahathir di mana apabila Ezam Mohd Nor boleh terus diterima tanpa melalui Majlis Tertinggi sedangkan Mahathir terpaksa melalui Majlis Tertinggi. Keadaan kedua-dua insan ini sebenarnya berbeza walaupun yang mengesahkan akhirnya diterima memasuki UMNO tetap melalui Majlis Tertinggi juga.

Ezam menyertai UMNO bukan kerana beliau dipecat atau melucutkan keahliannya sendiri. Beliau atas sifat insaf kerana terheret ke dalam PKR kerana pada ketika itu beliau bekerja dengan Anwar. Tetapi keadaan Mahathir pula adalah kerana beliau menyambut cabaran dari ahli sahaja kerana beliau tidak habis-habis menghasak perdana menteri supaya letak jawatan. Malah katanya beliau tidak akan kembali kepada UMNO selagi Pak Lah masih Presiden UMNO dan perdana menteri.

Begitu juga dengan Najib Tun Razak yang dari mula Pak Lah lantik beliau jadi timbalan perdana menteri, beliau telah berkali-kali menyatakan beliau tidak akan lawan Pak Lah. Dia akan setia dan sedia menunggu masanya sampai pada 2010 untuk menerima jawatan yang akan diberi kepada beliau.

Tetapi baru-baru ini dalam satu sidang akhbar bersama Muhyiddin, beliau sudah menunjukkan bunga-bunga yang pelan peralihan itu hendaklah dirujuk semula kepada Bahagian-Bahagian UMNO untuk membuat cadangan supaya tarikh peralihan kuasa berlangsung pada Disember ini.

Ini bererti, Najib sudah termakan pujukan Muhyiddin yang mengekori Najib yang sebelum ini dicemburui dipilih sebagai timbalan perdana menteri untuk bersama mengungkit semula supaya peralihan kuasa dipercepatkan ke Disember 2008. Semua sudah jadi karut belaka.

Itulah rupa pemimpin yang tidak boleh bercakap tak serupa bikin, mulut tak serupa hati. Pantang dijolok sedikit tanpa memeriksa siapa yang ajak bersama itu sama ada ikhlas atau mempunyai agenda tersembunyi. Harap-harap Najib tidak terperangkap dengan kelicikan orang-orang yang tidak sabar untuk memegang jawatan dalam parti seperti Muhyiddin.

Mahkamah tolak petisyen pilihan raya kawasan Api-Api - Malaysiakini

KOTA KINABALU - Mahkamah Pilihan Raya semalam menolak dengan kos, petisyen yang mencabar pemilihan Menteri Sumber Manusia dan Teknologi Maklumat Sabah, Datuk Dr Yee Moh Chai sebagai ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Api-Api pada pilihan raya umum lalu.

Ketika menolak petisyen itu, Hakim Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim berkata tiada bukti menunjukkan bahawa Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Dr Yee telah mencetak, menerbitkan atau mengedar risalah seperti yang didakwa dalam petisyen berkenaan.

Kata beliau lagi, bukti yang menyokong dakwaan itu kononnya risalah berkenaan berasal dari Airport View Hotel - yang dikatakan digunakan oleh PBS dan Dr Yee sebagai bilik opersi mini - hanya merupakan keterangan dengar cakap.
"Apa yang dimaklumkan kepada saksi ialah risalah itu berasal dari Airport View Hotel. Ia tidak mempunyai sebarang nilai sebagai bukti bahawa risalah itu memang berasal dari Airport View Hotel," kata beliau dalam penghakiman setebal 65 muka surat.
Abdul Aziz berkata selain itu, pempetisyen Audrey Karen Barry, pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri Api-Api, telah gagal membuktikan bahawa melalui risalah berkenaan, Dr Yee telah mengenakan pengaruh yang tidak sewajarnya dalam pilihan raya di kawasan itu bagi memberi kesan terhadap keputusannya.
"Tidak terdapat bukti tentang wujudnya laporan atau tercetusnya pergaduhan kaum sebelum, semasa dan selepas pilihan raya di kawasan itu.

"Oleh itu, saya mengisytiharkan bahawa Datuk Yee Moh Chai dikekalkan sebagai calon yang dipilih bagi kawasan Dewan Undangan Negeri kawasan Api-Api," katanya.
Audrey, yang diwakili peguam Ansari Abdullah dan Christina Liew, memfailkan petisyen itu pada 29 April dan menamakan Dr Yee, pegawai pengurus pilihan raya dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), masing-masing sebagai responden pertama, kedua dan ketiga.

Bagaimanapun, pada 3 Julai, Mahkamah Pilihan Raya mengetepikan pegawai pengurus pilihan raya dan SPR sebagai responden kedua dan ketiga atas persetujuan kedua-dua pihak.

Abdul Aziz berkata pempetisyen memberi beberapa alasan bagi mengetepikan keputusan pilihan raya berkenaan.