Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Friday, September 12, 2008

Raja Petra ditahan bawah ISA - Malaysiakini

Blogger Raja Petra Kamaruddin telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Negeri (ISA), kata isterinya Marina Lee Abdullah.

Menurutnya, 10 anggota polis datang ke rumah mereka di Sungai Buluh pada kira-kira jam 1.10 tengahari tadi untuk menahannya.

Raja Petra kemudiannya dibawa polis dari rumahnya pada jam 1.50 tengahari ke lokasi yang tidak diketahui.

Pada 6 September lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar telah memberi amaran bahawa editor lamanweb Malaysia Today itu mungkin dikenakan ISA kerana menyiarkan komen yang didakwa menghina Islam dan Nabi Muhammad.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), telah membuat laporan polis terhadap Raja Petra berhubung perkara itu.

Mereka mendakwa komen beliau dalam artikel yang bertajuk "I Promise to be a good, non-hypocritical Muslim" didakwa menggunakan ayat-ayat yang menghina orang Islam.

Lamanweb Malaysia Today telah disekat sejak minggu lalu, tetapi sekatan itu telah ditarik balik semalam.

Raja Petra, yang popular dengan panggilan RPK, juga didakwa telah membenarkan komen-komen disiarkan dalam lamanwebnya yang menghina Islam dan Nabi Muhammad, dalam artikel bertajuk "Not all Arabs are descendants of the Prophet".

Sementara itu, Marina berkata, mereka masih belum melantik peguam untuk mengendalikan perkara itu.

Ini adalah kali kedua Raja Petra ditahan di bawah ISA, yang membenarkan tahanan tanpa bicara.

Sebelum ini, Raja Petra telah dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan menghasut dan memfitnah selepas mengaitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya dengan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

Abdul Razak Baginda, rakan rapat Najib, didakwa bersubahat membunuh wanita Mongolia yang berusia 28 tahun itu, di mana mayatnya telah diletupkan.

Dua anggota polis, yang tugas mereka termasuk mengawal keselamatan timbalan perdana menteri, menghadapi tuduhan membunuh Altantuya.

syed hamid albar 170608 talkingSementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar mengesahkan bahawa Raja Petra ditahan mengikut ISA tengahari ini.

Katanya, tindakan itu terpaksa dilakukan setelah diyakini Raja Petra boleh mengganggu dan mengancam keselamatan dan ketenteraman awam.
"Raja Petra ditahan di rumahnya pukul 1.10 tengah hari di bawah Seksyen 731 Akta Keselamatan Dalam Negeri," katanya ketika dihubung pemberita hari ini
Syed Hamid berkata tindakan itu diambil setelah pelbagai kenyataan dibuat oleh Raja Petra dalam laman blog Malaysia Today termasuk yang terbaru yang didakwa menghina Islam dan Nabi Muhammad (SAW).
"Kita telah banyak kali memanggil dan menasihatkan beliau berikutan kenyataannya namun beliau masih terus menulis hingga boleh menimbulkan ancaman," katanya.