Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Wednesday, August 13, 2008

TPM umum calon BN malam ini



BUTTERWORTH - Datuk Seri Najib Razak akan mengumumkan calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Permatang Pauh, malam ini.
Click here!

Rafidah perlu sedia 'dilanggar'

KT - Ketua Pergerakan Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz perlu bersedia dicabar oleh Naibnya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, untuk jawatan tertinggi sayap itu pada pemilihan parti Disember ini walaupun pelan peralihan kuasa antara kedua-duanya telah dipersetujui.

Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata dalam proses pemilihan jawatan parti, ahli yang berhak menentukan pemimpin yang mereka mahu dan jika Datuk Seri Shahrizat menerima terlalu banyak pencalonan, beliau percaya Datuk Seri Shahrizat tidak boleh menolak kehendak ahli untuk bertanding.
"Bukan saya suruh bertanding. Maksud saya memang dalam situasi mana sekalipun, bukan saja Wanita, Pemuda, Puteri atau bahagian, hak ahli adalah hak ahli (pencalonan).

"Pemimpin boleh kata peralihan kuasa tetapi kalau ahli beri pandangan lain, siapa pun tidak boleh halang.

"Sama ada mereka sudah muafakat saya pun tidak pasti, saya cuma baca dalam media. Formula ini kita terima tetapi kalau ahli tidak terima adakah kita boleh sekat? Mungkin ahli lebih tahu pemimpin yang mereka mahu," katanya pada Ahad lepas.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas rasional pelan peralihan kuasa daripada Tan Sri Rafidah kepada Datuk Seri Shahrizat yang dijadualkan selewat-lewatnya pada Jun tahun depan.

Menurut Tan Sri Muhyiddin, hak menentukan kepimpinan sesebuah pergerakan dan parti bukan terletak di tangan pemimpin itu sendiri.

Sebaliknya, sebagai sebuah organisasi yang mengamalkan proses demokrasi ahli yang mempunyai kuasa untuk membuat pemilihan.

MENGINDUSTRIKAN LUAR BANDAR - PM

g5.jpg

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kerajaan akan mewujudkan lebih banyak peluang berkualiti di luar bandar bagi melahirkan lebih ramai usahawan serta profesional Melayu untuk mengimbangi kerancakan pembangunan di bandar. Perdana Menteri berkata, menerusi pembangunan koridor ekonomi, orang Melayu yang lebih banyak bertumpu di luar bandar akan mendapat manfaat besar bagi mengembangkan bidang pertanian dengan terbabit sama dalam industri asas tani. Abdullah berkata, kerajaan sedar pembangunan dan peluang perniagaan, perdagangan dan pendidikan lebih tertumpu di bandar yang majoriti penduduknya bukan Melayu dan sektor diceburi mereka dalam bidang pembuatan dan perkhidmatan sudah menjadi penggerak utama ekonomi.

g7.jpg

"Kerajaan mengambil langkah mengimbangi jurang pembangunan bandar dan luar bandar menerusi pembangunan keupayaan, terutama dengan mengembangkan aspek modal insan dan memastikan sistem pengagihan berasaskan ekuiti secara adil dan saksama.

"Jadi pengagihan tidak hanya dari segi wang atau pendapatan... mereka (orang Melayu) juga mesti mendapat pengagihan peluang yang bermutu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Ekonomi Bumiputera 2008 (KEB 08) anjuran Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) di sini, semalam. Hadir sama, Pengerusi Gabem, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik.

Konvensyen dua hari bertemakan 'Melonjakkan Ekonomi Bumiputera' adalah anjuran bersama Gabem dan Pemuda Umno. Mengulas lanjut, Abdullah berkata, kerajaan mahu mengindustrikan luar bandar dengan tumpuan dalam bidang pertanian, terutama yang membabitkan perusahaan getah serta kelapa sawit. Katanya, selaras usaha mengindustrikan sektor pertanian, orang Melayu tidak seharusnya mengehadkan pembabitan mereka hanya dalam kegiatan menanam saja, sebaliknya hendaklah turut terbabit dalam pemprosesan dan pengeluaran benih serta hasil pertanian. Perdana Menteri berkata, berikutan banyaknya peluang bermutu di bandar, kebanyakan orang Melayu yang berjaya adalah di kawasan bandar walaupun majoriti kaum itu tinggal di kawasan luar bandar.

Abdullah berkata, berikutan keadaan itu maka timbul rasa tidak puas hati di kalangan orang Melayu kerana ia menghalang mereka mencapai matlamat penguasaan ekonomi 30 peratus yang digariskan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Sehubungan itu, Abdullah berkata orang Melayu perlu membina keupayaan dan kebolehan serta mesti memiliki ilmu baru bagi memajukan diri.

KP Tourism Malaysia mengaku tidak bersalah terima rasuah rawatan gigi RM13,000

MIRZA Mohammad Taiyab (tengah) dengan diiringi pegawai Badan Pencegah Rasuah keluar dari ibu pejabat agensi itu di Putrajaya untuk menghadapi tuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi tadi. Mirza tiba di agensi itu pukul 7.45 pagi.
KUALA LUMPUR - Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Mirza Mohammad Taiyab mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap tuduhan menerima rasuah berbentuk rawatan pergigian bernilai RM13,860 pada 2005.

Mirza didakwa menerima suapan itu daripada Zulhisyam Ayob, 48, pengarah syarikat Perunding Pakar Media Sdn Bhd, sebuah syarikat perunding pengiklanan di mana syarikat itu telah membiayai rawatan tertuduh di Clinical Practise Prosthodontic Sdn Bhd ketika beliau memegang jawatan timbalan ketua pengarah lembaga berkenaan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di klinik itu di No. 15, Ground Floor, Jalan 2/71 Off Jalan Tun Mohd Fuad, Taman Tun Dr. Ismail, di antara 17 Jan hingga 26 Julai 2005.

Mirza menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang jika disabitkan boleh dipenjara sehingga dua tahun, atau dengan denda, atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asnawi Abu Hanipah daripada Badan Pencegah Rasuah (BPR) meminta mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin.

Beliau berkata, jumlah itu adalah munasabah setelah pihak pendakwaan mengambil kira jumlah suapan yang terlibat serta kedudukan Mirza sebagai pegawai kanan kerajaan.

Peguam Mirza, Manmohan Kang meminta mahkamah agar anak guamnya dibebaskan dengan jaminan peribadi memandangkan beliau telah berkhidmat dengan lembaga berkenaan selama hampir 23 tahun dan tidak akan melarikan diri daripada menghadapi pertuduhan.

Hakim Fathiyah Idris menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan perbicaraan kes diadakan selama tiga hari bermula 16 Februari tahun depan.
JanaWangRapid.com

Tiga ciri calon untuk saingi Anwar di Permatang Pauh

BUKIT MERTAJAM - Seorang bekas pemimpin Umno Bahagian Permatang Pauh menyenaraikan tiga ciri utama yang harus ada pada calon Barisan Nasional untuk menyaingi Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh 26 Ogos ini.

Pertamanya calon BN itu mestilah mampu meredah semua kawasan dan tempat tumpuan anakanak muda di Permatang Pauh kerana kebanyakan mereka ini adalah pengundi atas pagar.

Keduanya, calon BN itu mestilah orang yang berpengaruh dan tahu semua rahsia dan strategi politik Anwar.

Ketiganya, calon BN itu mestilah mempunyai rekod yang baik dan tidak mempunyai masalah dengan kawan dan lawan di Permatang Pauh.
"Di Permatang Pauh ini masih ramai pengundi atas pagar, dan mereka akan memilih calon, bukannya parti," kata bekas pemimpin bahagian itu, yang enggan namanya disiarkan.
Katanya daripada 58,459 pemilih berdaftar di Permatang Pauh, 40 peratus berusia 40 tahun ke bawah dan kebanyakan mereka bukan anggota manamana parti politik.
"Jika kita memilih calon yang tepat, Umno mempunyai peluang 50-50 menewaskan Anwar," katanya.
Penamaan calon ialah pada Jumaat ini.
Click here!

Usah main politik wang - Pak Lah

Presiden Umno bimbang gejala rasuah jejas perjuangan, rugikan parti
JADI TUMPUAN - Abdullah dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed bersama pemenang pertandingan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2008 di Serdang, semalam.
Oleh Azman Zakaria, Nurul Farina Nazlan dan Misiah Taib
SERDANG - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengingatkan ahli Umno tidak terbabit dalam politik wang dan meminta yang melakukannya segera menghentikan perbuatan berkenaan.

Perdana Menteri yang juga Presiden Umno turut mengingatkan ahli tidak tersilap memilih pemimpin yang menggunakan politik wang kerana ia akhirnya akan merugikan diri sendiri dan perjuangan parti.

Beliau berkata, tiada makna sokongan dan kemenangan yang diperoleh menggunakan politik wang.
“Tidak tulen jika seseorang itu mendapat sokongan dan kemenangan kerana menggunakan politik wang.

“Duit bukan ukuran, kalau guna politik wang akhirnya kita kerugian. Lain kali masa depan kalau main politik wang, orang kaya saja yang boleh pegang jawatan.

“Orang yang tak kaya dan tak ada wang bukan tak boleh (jadi pemimpin), seolah-olah dia tak boleh jadi pemimpin, bukan kerana dia tak boleh jadi pemimpin tapi kerana dia tak gunakan wang.

“Ini perkara yang perlu kita ingat,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (Maha) 2008, di sini semalam.
Katanya, pemimpin mesti dipilih berasaskan kemampuan, kebolehan dan jasa membantu perjuangan parti yang akan memberi pemimpin itu harapan terus maju dan berjaya dalam perjuangan, kedudukan dalam parti serta kerajaan.

Ditanya dakwaan hukuman terhadap pesalah politik wang oleh Lembaga Disiplin parti tidak membawa makna kerana mereka yang tamat menjalani hukuman boleh bertanding semula, beliau berkata, setiap hukuman ada had masa dan selepas itu bebas bergerak seperti sebelumnya.

Abdullah juga berkata Badan Pencegah Rasuah (BPR) boleh melakukan siasatan dakwaan politik wang dalam Umno bergantung kepada kes yang memerlukan pembabitan badan berkenaan.

Ditanya mengenai laporan rasuah dan salah guna kuasa yang didakwa membabitkan beliau dan timbalannya, Datuk Seri Najib Razak, Abdullah percaya dakwaan itu membabitkan pelan peralihan kepemimpinan kepada Najib.

Katanya, pelan peralihan itu diputuskan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti yang mahu ia diumumkan.

Sementara itu di KUCHING, Abdullah mengingatkan wakil rakyat dan isteri mereka supaya tidak hanya berkhidmat apabila ada jawatan atau ketika menikmati pelbagai kemudahan.

Beliau berkata, mereka perlu bersedia meneruskan berkhidmat sepanjang masa.
"Keadaan tentulah lebih sukar (bagi isteri wakil rakyat) jika sekiranya suami tidak lagi berjawatan dalam kerajaan dan kemudahan yang dulu menyenangkan sudah tiada lagi.

"Dalam situasi ini, saya memuji kesungguhan sahabat kita dari negeri yang diperintah pembangkang, Pulau Pinang, Kedah, Perak, Kelantan dan Selangor, yang komited untuk terus berbakti.

“Ini melambangkan semangat jiwa murni untuk terus berkhidmat kepada rakyat," katanya ketika berucap di jamuan perdana Program Tahunan Isteri Wakil Rakyat Barisan Nasional Se-Malaysia (PTIWRBNSM) 2008 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Petra Jaya di sini, malam tadi.
Hadir sama isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah yang juga Yang Dipertua Bakti; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri, Puan Sri Laila Taib.

BANK USAH BEBAN USAHAWAN : NAJIB

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Razak meminta bank supaya tidak bertindak keterlaluan, termasuk menarik balik dan mengurangkan kemudahan pinjaman sehingga menjejaskan perniagaan usahawan tempatan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, bank mungkin terpaksa mengambil langkah berhemah ketika ekonomi dunia tidak menentu, tetapi jangan terlalu drastik sehingga usahawan Bumiputera dan bukan Bumiputera menghadapi tekanan yang amat sukar.
“Bank memang memainkan peranan dan kita berharap dalam keadaan ekonomi yang tak menentu, bank tidak keterlaluan mengurangkan atau menarik balik kemudahan overdraf, pinjaman kepada pengusaha,” katanya pada sidang media selepas menutup Konvensyen Ekonomi Bumiputera anjuran Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, petang semalam.
Hadir sama Pengerusi Gabem, Tan Sri Rahim Tamby Chik dan Pengarah konvensyen, Datuk Mohamed Dahan Abdul Latiff. Konvensyen dua hari itu dihadiri kira-kira 1,000 peserta. Selain itu, Najib berkata, kerajaan mahu pembabitan sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang lebih aktif dan bersungguh-sungguh serta lebih luas bagi melonjakkan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat daripada 19 peratus kepada 30 peratus menjelang 2020.
“Kita harap ada kemaraan sebab kita tak tentukan tempoh, sebaik-baiknya mencapai 30 peratus menjelang 2020. Swasta dan GLC perlu membantu usahawan dan bukan menyerahkan sepenuhnya kepada kerajaan.

“Perkara ini mesti menjadi kesedaran dan sebab itulah saya nyatakan pentingnya mengubah minda supaya hati mereka ada kesungguhan untuk membantu usahawan Bumiputera dalam perniagaan,” katanya.

“Kita lihat masalahnya bahawa kedudukan ekuiti orang Melayu terlekat pada 18 dan 19 peratus. Saya ajukan bagaimana kita boleh memperkenalkan beberapa model bisnes baru untuk bantu peningkatan dan kemaraan orang Melayu termasuk mengurangkan risiko iaitu menjalin usaha sama dengan bukan Bumiputera tapi penyertaan itu kena serius dan sebagai rakan niaga yang aktif,” katanya.
Najib berkata, konsep ‘Malaysian Kitchen’ umpamanya menawarkan pinjaman bank supaya lebih ramai usahawan Bumiputera menjadi pengusaha global dengan membuka restoran makanan Malaysia di luar negara.

Sementara itu, beliau berkata, salah satu tugas utama Gabem ialah menyarankan kepada kerajaan bagaimana merangka strategi baru untuk mencapai peningkatan dari segi ekuiti Bumiputera dan penjanaan kekayaan kaum itu.
“Ini bukan saja dalam aspek ekuiti tapi hak milik tanah dan ukuran kriteria kekayaan yang lain termasuk harta intelek. Saya setuju konvensyen ini dibuat setiap tahun dan ada penilaian dan pengukuran pencapaian kita, itu boleh menjadi satu peringatan yang amat baik kepada kerajaan,” katanya.

20 SAR kini Sekolah Agama Bantuan Kerajaan

KOTA BHARU - Pendaftaran Sekolah Agama Rakyat (SAR) di Kelantan sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan melalui perjanjian persefahaman (MoU) yang dimeterai semalam dapat mencetuskan semangat kesepakatan antara kerajaan negeri dan Pusat demi kepentingan ummah.

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyifatkannya suatu lakaran sejarah yang amat bermakna bagi meningkatkan persefahaman terutama bagi masa depan SAR dan warganya di samping mengangkat martabat SAR.
Hishammuddin Tun Hussein memimpin tangan Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kota Bharu, semalam.
''Majlis ini perlu dilihat sebagai pencetus kepada semangat untuk kita bergerak seia dan sekata, senada dan seirama, sebagai satu ummah yang bersatu sehingga berjaya mengangkat imej sekolah agama setanding dengan sekolah terbaik di dalam negara dan di luar negara," ujarnya.

Beliau berucap pada majlis menandatangani MoU Pendaftaran Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK)) antara Kerajaan Persekutuan dengan Yayasan Islam Kelantan di Kompleks Balai Islam Lundang, semalam.

Melalui MoU itu, buat permulaan sebanyak 20 buah SAR di negeri ini didaftarkan sebagai SABK dan akan disusuli dengan sejumlah sekolah lagi sekiranya pelaksanaannya berjalan lancar.

Hishammuddin menambah Kementerian Pelajaran memperuntukkan hampir RM400 juta kepada 134 SAR dan Sekolah Agama Negeri (SAN) di seluruh negara di bawah program pendaftaran sebagai SABK sejak diperkenalkan pada 2005.

Katanya, program itu adalah kemuncak kepada usaha mengangkat imej sekolah agama dan kualiti pendidikannya setanding dengan sekolah lain di peringkat negara dan global.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat gembira apabila 20 buah SAR di negeri ini didaftarkan sebagai SABK di bawah Kementerian Pelajaran.

Beliau berkata, pendaftaran sekolah terbabit juga secara tidak langsung membetul kan semula proses demokrasi yang disifat kannya telah dipesongkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Kejayaan kita menandatangani penye rahan sebahagian daripada sekolah keraja an negeri terlalu besar ertinya dan amat menggembirakan hati saya,'' katanya.
JanaWangRapid.com

BN MAMPU ATASI ANWAR

BUKIT MERTAJAM - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam yakin Barisan Nasional (BN) mampu memberi tentangan hebat kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh berdasarkan kepada semangat perpaduan yang ditunjukkan oleh ahli UMNO bahagian berkenaan.

Menurut beliau, dengan adanya semangat perpaduan itu, BN mampu mengatasi Anwar dan merampas kembali Parlimen Permatang Pauh yang sebelum ini menjadi milik parti tersebut.

Malah, katanya, tiga orang yang bersaing untuk jawatan Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh juga telah melupakan persaingan itu untuk sementara waktu dengan berikrar memberikan kerjasama penuh bagi membantu kemenangan BN.
''Ketua UMNO Permatang Pauh, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid dan dua lagi calon yang akan bertanding merebut jawatan tersebut iaitu Datuk Pirdaus Ismail serta Datuk Ariff Shah Omar Shah telah duduk semeja dalam hal ini.

''Abdul Jalil juga telah dilantik menjadi pengarah jentera pilihan raya, Ariff menjadi timbalannya manakala Pirdaus pula dilantik sebagai pengerusi jentera bahagian protokol," katanya selepas menghadiri perjumpaan dengan ahli UMNO kawasan berkenaan di Dewan Orang Ramai di Mengkuang Titi semalam.
Mohd. Ali berkata, ketiga-tiga mereka juga telah menyatakan sokongan dan akan menyokong sesiapa juga yang dilantik sebagai calon untuk menentang Anwar pada pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh pada 26 Ogos ini.

Mengenai Anwar, Mohd. Ali yang dilantik sebagai bapa angkat untuk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, iaitu salah satu DUN di bawah Parlimen Permatang Pauh berkata, penasihat PKR itu seolah-olah kehilangan arah selepas didakwa dengan tuduhan liwat.

Kata beliau, sepatutnya Anwar menyelesaikan isu berkenaan di mahkamah dan bukannya melibatkan rakyat dengan meminta isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh.
''Kes liwat itu adalah isu peribadi antara Anwar dengan pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, bukannya dengan kerajaan justeru kenapa rakyat dianiaya dan buang masa serta kewangan.

''Rakyat menjadi mangsa, jadi mereka perlu menolak politik seperti ini kerana walaupun pilihan raya kecil ini berakhir, Anwar masih perlu berhadapan dengan kesnya yang akan disebut di mahkamah bulan depan," katanya.
Anwar, ujar beliau, sepatutnya bertanggungjawab di atas isu sendiri dan perlu menyelesaikannya tanpa melibatkan kerajaan, orang ramai, polis dan pengundi.
Click here!

GAMBAR SEKITAR KEMPEN PILIHAN RAYA KECIL PERMATANG PAUH


Perang banner bermula: Parti-parti bertanding, PKR dan BN mula menggantung banner masing-masing di sepanjang Jalan Tanah Liat di Permatang Pauh, Pulau Pinang.

Seorang anak muda sedang memasang sepanduk parti BN di Permatang Pauh.

Wanita BN boleh, demikian laungan Naib Presiden Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bersama wanita BN di Permatang Pauh.

BPR boleh siasat UMNO

Oleh : NIZAM YATIM
SERDANG – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, Badan Pencegah Rasuah (BPR) dibenarkan untuk menyiasat kes-kes tertentu membabitkan politik wang pada pemilihan UMNO sekarang.

Bagaimanapun, Presiden UMNO berkata, ia hanya membabitkan kes yang memerlukan campur tangan badan itu dan bukan kesemua aduan membabitkan politik wang.
‘‘Ibu pejabat UMNO sudah membuat ketentuan untuk membenarkan BPR masuk dan ini bergantung kepada kes tertentu yang boleh menyebabkan badan ini bertindak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2008 dan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2008 semalam.

Perdana Menteri mengulas laporan akhbar semalam bahawa seorang ketua UMNO bahagian bergelar datuk dan setiausaha bahagian itu di Sabah disoal siasat BPR berhubung dakwaan menyogok beberapa pemimpin cawangan sebanyak RM1,500 seorang bagi mendapatkan pencalonan menjelang pemilihan bahagian itu.

Pada 2 Ogos lalu, BPR juga telah menahan Naib Ketua UMNO Bahagian Seremban, Mohd. Nor Awang kerana disyaki memberi sogokan wang RM500 kepada seorang ahli parti untuk mengundinya pada mesyuarat cawangan.

Mesyuarat Agung cawangan akan berlangsung sehingga 24 Ogos, manakala peringkat bahagian bermula 9 Oktober hingga 9 November sebelum Perhimpunan Agung UMNO diadakan pada 16 hingga 20 Disember ini.

Abdullah berkata, beliau tidak dimaklumkan siapa yang terlibat dalam kes sogokan terbaru di Sabah tetapi yakin tentu ada aspek tertentu yang melibatkan BPR sehingga membolehkan siasatan dilakukan.

Beliau yang mengakui berlaku gejala politik wang pada pemilihan parti kali ini, berharap mereka yang terlibat dengan kegiatan itu supaya menghentikannya.
‘‘Saya pun ada dengar juga, banyak cerita berkaitan dengan perkara ini. Tentu ada betulnya, kalau tidak, takkan cerita begitu meluas.

‘‘Tak ada ertinya mencari populariti dengan menggunakan politik wang. Tidak tulen jika seseorang itu mendapat sokongan dan kemenangan menggunakan cara ini. Ia hanya akan menyebabkan orang kaya sahaja boleh memegang jawatan. Orang yang tak ada wang banyak tak boleh,” ujarnya.
Menurut beliau, gejala politik wang itu tidak selaras dengan matlamat parti untuk memastikan pemimpin yang mendapat sokongan adalah terdiri daripada mereka yang berkemampuan, berjasa menolong rakyat dan terbukti membantu perjuangan parti.

Liwat: Saiful buat persiapan buat sumpah minggu ini?

Oleh : NURUL AIN HUSSAIN
PETALING JAYA - Bekas pembantu peribadi kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Mohd Saiful Bukhari Azlan (gambar) sedang menjalankan persiapan terakhir untuk mengadakan upacara angkat sumpah mengikut cara Islam, dijangka minggu ini.

Perkara itu dinyatakan oleh peguamnya, Zamri Idrus ketika dihubungi.

Pada 31 Julai lalu, Saiful menyatakan beliau bersedia untuk bersumpah dengan al-Quran sejurus siasatan polis terhadap kes tersebut selesai.

Menurut Zamri, persiapan tersebut perlu diatur secara rapi dan mengikut lunas-lunas Islam yang sebenar.
“Bukan mudah untuk melaksanakan perkara sebegini. Apa yang boleh dikatakan kami sedang megadakan persiapan terakhir ke arahnya,” katanya.
Tambah Zamri, beliau tidak mahu anak guamnya itu berasa tertekan ketika ditanya bila upacara tersebut akan berlangsung.
“Saya akan umumkan bila tiba masanya. Jangan risau. Buat masa ini saya tidak boleh beritahu. Saya tidak mahu Saiful berasa tertekan jika semua orang terus mendesaknya,” katanya.
Pada 28 Jun lalu Saiful menggemparkan negara apabila membuat laporan polis mendakwa dirinya diliwat beberapa kali oleh majikannya dengan kali terakhir, dua hari sebelum tarikh tersebut, di sebuah kondominium mewah di Bukit Damansara.

Anwar, 60, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khamis lalu terhadap pertuduhan meliwat bekas pembantunya Mohamad Saiful Bukhari Azlan, 23, di sebuah kondominium di sini pada 26 Jun lepas dan dibebaskan dengan jaminan bon peribadi RM20,000 tanpa penjamin.

Mahkamah menetapkan 10 September untuk sebutan kes itu.

Anwar telah mengumumkan untuk bertanding dalam pilihan raya kecil kerusi Parlimen Permatang Pauh, yang penamaan calon akan diadakan hujung minggu ini.
JanaWangRapid.com

MB Selangor tetap mahu buka UiTM kepada Pelajar bangsa asing

Oleh : Amran Saad
Menteri Besar Selangor Khalid Ibrahim ingin bertemu dengan wakil pelajar UiTM selepas pilihanraya kecil Permatang Pauh bagi menerangkan kepada mereka kenapa beliau mahu memberikan quota sebanyak 10 peratus kepada bangsa asing. Beliau berkata bahawa pelajar UiTM tersalah anggap akan niat murni beliau yang mahukan ada persaingan dan akan meningkatkan kualiti pendidikan di UiTM. Beliau menyampaikan hasrat beliau apabila hampir 500 pelajar UiTM telah berarak dihadapan pejabat SUK Selangor petang semalam.

Apakah selama ini UiTM tidak mengeluarkan pelajar-pelajar Melayu yang berkualiti dimana ramai dikalangan pelajar UiTM telah keluar dan berjaya dan menajdi pekerja yang terlatih disektor swasata mahupun kerajaan malahan ramai yang telah berjaya dalam perniagaan dan menjadi tenaga profesional. UiTM adalah lambang kebangaan orang-orang Melayu dan inilah keistimewaan hak Melayu yang ada kepada pelajar-pelajar Melayu.

Menteri Besar Selangor ini seolah-olah memperkecilkan graduan -graduan yang lahir dari UiTM seolah-olah mereka adalah graduan yang tidak berkualiti. MB Selangor ini masih tetap dengan pendirian beliau untuk membenarkan Quota bukan melayu dibuka untuk kaum asing seperti mana beliau pernah berkeras untuk meneruskan ladang babi di Sepang. Apakah hak Melayu lagi yang akan dikorbankan oleh MB Selangor ini. Apakah beliau terus mahu merobek perasaan orang-orang Melayu yang telah memberikan mandat kepada PKR pada PRU yang lalu.

Seharusnya beliau melupakan mengenai membuka quota UiTM kepada bangsa asing dan menumpukan perhatian untuk melakukan kerja-kerja lain untuk mebangunkan negeri Selangor dan membantu menaikan taraf kehidupan orang-orang Melayu di Selangor. Beliau tidak perlu menjadi MB yang popular dikalangan bangsa asing kerana jika orang Melayu tidak memberikan undi kepada PKR, nescaya kerajaan PKR akan tersungkur pada pilihanraya yang akan datang.
Click here!