Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Sunday, August 10, 2008

BN sedia kempen 'khas' pilihan raya kecil?

BUTTERWORTH - Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan mengumumkan calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil kawasan Parlimen Permatang Pauh apabila beliau bersedia, kata Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Presiden akan memutuskannya apabila beliau bersedia," katanya selepas mengadakan pertemuan dengan anggota jentera pilihan raya Umno Permatang Pauh di sini, semalam.
Najib yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata pemilihan calon masih belum dibincangkan dan menurutnya sebaliknya tumpuan kini diberikan kepada mengembleng tenaga anggota jentera pilihan raya BN bagi mendapatkan sokongan pengundi di Permatang Pauh.
Ditanya adakah tindakan tidak mengumumkan nama calon itu dalam masa terdekat akan menjejas persiapan jentera pilihan raya BN, beliau berkata: "Ia tidak akan menjejaskan (persiapan jentera pilihan raya)."
Mengenai Umno Bahagian Permatang Pauh yang mencadangkan ketua bahagian itu Datuk Abdul Jalil Abdul Majid sebagai calon pada pilihan raya kecil itu, Najib berkata:

"Kami tidak membincangkan mengenai calon kerana calon merupakan keputusan presiden."
Timbalan Perdana Menteri juga berkata BN telah merangka bentuk kempen yang sesuai bagi pilihan raya kecil itu.

Beliau berkata, BN tidak gentar menghadapi parti lawan dan bersedia menjawab apaapa isu yang dibangkit oleh mereka.
"Kita akan jawab apa-apa isu yang akan dibangkitkan oleh pembangkang," katanya yang enggan mendedahkan bentuk kempen yang akan dilaksanakan itu.

Menjawab dakwaan beberapa pihak yang BN sebagai "underdog" pada pilihan raya kecil itu, Najib berkata: "Tak apa lah semua orang kata kita underdog, saya lebih suka kita masuk sebagai underdog."
Pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh diadakan berikutan peletakan jawatan oleh penyandangnya yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pada 31 Julai lepas bagi memberi laluan kepada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Penasihat PKR, bertanding di kerusi itu.

Penamaan calon ditetapkan 16 Ogos manakala pengundian pada 26 Ogos jika terdapat pertandingan.

Muhd Taib : Tumpu kepada jentera parti, henti buat spekulasi

BUTTERWORTH - Ketua Penerangan Umno Tan Sri Muhammad Muhamad Taib mahu semua pihak berhenti daripada membuat spekulasi mengenai calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding pada pilihan raya kecil kawasan Parlimen Permatang Pauh.

Beliau berkata sebaliknya tumpuan BN sepatutnya diberikan kepada aspek memperkukuhkan jentera pilihan raya.
"Peringkat awal ini bukan lagi masa kita bercakap tentang calon. Tumpuan kita sekarang adalah terhadap jentera parti dan kita harap seluruh jentera beri sokongan," katanya kepada pemberita selepas sesi taklimat bersama Jabatan Kemajuan Masyarakat Pulau Pinang di sini, pada Jumaat lepas.
Beliau berkata kebiasaannya senarai calon akan diteliti oleh jawatankuasa yang diketuai Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
"Keputusan mengenai calon itu hanya akan diumumkan selepas perbincangan dengan Umno Bahagian Permatang Pauh dan akhirnya presiden yang akan buat keputusan," katanya.
Muhammad yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah berkata BN bersedia menjawab segala isu yang dibangkitkan oleh calon PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menjangkakan penasihat PKR itu akan melibatkan rakyat dalam isu peribadinya iaitu kes melibatkan tuduhan liwat terhadapnya, pada pilihan raya tersebut.
"Kita tahu ini kubu dia. Apa pun kita sudah bersedia menjawab apa juga isu yang akan dibangkitkan. Harap rakyat akan terima penjelasan kita sebelum membuat keputusan," katanya.
Pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh itu diadakan berikutan peletakan jawatan penyandangnya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga presiden PKR pada 31 Julai lepas bagi memberi laluan kepada suaminya yang juga Penasihat parti bertanding kerusi berkenaan.

Suruhanjaya Pilhan raya (SPR) telah menetapkan hari penamaan calon bagi kerusi itu ditetapkan pada 16 Ogos manakala hari pengundian pada 26 Ogos.
JanaWangRapid.com

Forum Majlis Peguam tukar kecoh, dihentikan

Forum "Memeluk Islam" anjuran Majlis Peguam yang diadakan di sebalik demonstrasi kira-kira 500 orang di ibu negara pagi semalam bertukar kecoh dan dihentikan sejam kemudian.

Ekoran bantahan dan usaha untuk merempuh bangunan Majlis Peguam, terpaksa dihentikan kira-kira pukul 10.02 pagi - selepas berlangsung selama sejam.

Ia diumumkan oleh Setiausaha Pekida Malaysia, Shahril Aziz yang menyatakan bahawa forum 'ditutup' pada pukul 10 pagi.

Wartawan melaporkan ada pertengkaran dan suasana tegang antara wakil beberapa NGO dan penganjur semasa perundingan diadakan untuk mengakhiri forum berkenaan.

Pasukan FRU juga diletakkan di luar bangunan Majlis Peguam untuk menghalang mana-mana pihak memasuki premis berkenaan.

Forum dimulakan kira-kira pukul 9 pagi di bangunan Majlis Peguam yang terletak di Jalan Tun Perak di sini.

Kira-kira pukul 9.30 pagi, Ketua Polis Daerah Dang Wangi memasuki pejabat Majlis Peguam untuk berunding meminta forum itu dihentikan demi faktor keselamatan.

Beliau disertain wakil NGO kira-kira 15 minit.

Difahamkan pihak polis mahu forum ditamatkan pada pukul 10 pagi.

Tiada kecederaan dan tangkapan dibuat, kata polis.

Ahli Dewan Undangan Negeri Kulim, Zulkifli Nordin pula berkata, pihaknya telah berjaya menghentikan forum tanpa unsur politik.
"Kita telah memberi amaran yang jelas kepada mereka dan tidak mahu forum seperti ini diadakan lagi.

"Kita telah bertindak secara aman dan bertamadun," katanya kepada pemberita semalam.
Mereka yang membantah forum itu turut merempuh bangunan Majlis Peguam ketika beberapa wakil NGO dan Ketua Polis Daerah Dang Wangi mengadakan perundingan dengan penganjur meminta forum dihentikan pada pukul 10 pagi.

Terdahulu kira-kira pukul 7.50 pagi, Presiden Majlis Peguam Datuk Ambiga Sreenevasan berkata, pihaknya akan meneruskan forum berkenaan.
"Ini hak kami dan kami mengalu-alukan sesiapa untuk menyertai forum," kata beliau kepada pemberita.
Kumpulan yang membantah forum berkenaan, bertambah hingga kira-kira 500 orang menjelang pukul 9.30 pagi.

Demonstrasi diiringi laungan "hentikan forum" disertai ahli dna penyokong 29 pertubuhan bukan kerajaan. Antaranya ialah Perkim, Persatuan Pengguna Islam, Pekida dan Kelab Umno Luar Negara.

Pemimpin PAS juga menyertai perhimpunan bantahan itu.

Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayob berkata, forum itu tidak seharusnya mempertikaikan Artikel 121(A).

Semalam. Naib Presidennya Ragunath Kesavan berkata forum itu tidak akan mempertikaikan Fasal 121 (1A) atau mempersoalkan agama Islam dan statusnya seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Kebimbangan pihak tertentu termasuk beberapa menteri Kabinet seperti Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan PAS diberi perhatian," katanya pada sidang akhbar di pejabat Majlis Peguam di sini semalam.
Ragunath berkata objektif Majlis Peguam ialah untuk menyelesaikan isu mengenai konflik undang-undang yang dihadapi keluarga yang terperangkap antara pemisahan bidang kuasa mahkamah sivil dan mahkamah Syariah.

Panel penceramah terdiri daripada Pengarah Pusat Syariah Undang-Undang dan Sains Politik/Fellow Kanan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Dr Wan Azhar Wan Ahmad dan tiga pengamal undang-undang, Ravi Nekoo, K. Shanmuga dan Mohamed Haniff Khatri Abdulla.

Seorang penceramah telah menarik diri iaitu Pendakwa Syarie, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan yang juga bekas Hakim Syarie, Dr Haji Naim Haji Mokhtar.
Click here!

Umno Bahagian Permatang Pauh Mahu Ketuanya Bertanding Pilihan Raya Kecil

BUKIT MERTAJAM - Umno Bahagian Permatang Pauh mencadangkan ketuanya Datuk Abdul Jalil Abdul Majid sebagai calon Barisan Nasional untuk menentang Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh.

Keputusan itu dibut pada satu mesyuarat khas jawatankuasa bahagian itu di sini pada malam Isnin lepas, kata setiausaha bahagian Ahmad Sahar Shuib pada mesyuarat jentera pilihan raya Umno yang dihadiri ketua-ketua cawangan dalam bahagian itu di sini malam tadi yang turut dihadiri Abdul Jalil.

Dalam sidang akhbar kemudiannya, Abdul Jalil menjelaskan bahawa terpulang kepada pucuk pimpinan parti untuk membuat keputusan.
"Kita akan akur dengan keputusan pucuk pimpinan parti dan kami bersedia membantu mana-mana calon yang ditentukan kelak," katanya.
Abdul Jalil berkata alasan di sebalik ketetapan itu ialah kerana tempoh berkempen adalah tidak lama dan Barisan Nasional perlu menggunakan setiap peluang dan masa yang ada untuk menjelaskan isu-isu yang dibangkitkan pembangkang.
"Dengan memilih anak tempatan yang sudah dikenali pengundi sebagai calon, mudah kita untuk mendekati mereka dan tidak perlu membuang masa untuk memperkenalkan calon berkenaan," katanya.
Kerusi itu dikosongkan oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bagi memberi laluan kepada suaminya, Anwar, bertanding semula.

Mengenai persiapan bagi menghadapi pilihan raya kecil itu, Abdul Jalil berkata Umno Bahagian Permatang Pauh menubuhkan 22 biro termasuk unit siber bagi menjamin jentera parti berjalan lancar.

Beliau berkata unit siber akan dipertanggungjawabkan memberi penjelasan mengenai sebarang isu semasa kepada golongan muda melalui blog dan sebagainya.
"Kita faham bahawa pengundi muda banyak mendapatkan maklumat melalui internet dan laman blog dan kita akan bagi peluang kepada mereka untuk bertanya atau mendapatkan sebarang penjelasan melalui cara itu," katanya.
Terdapat kira-kira 10,000 pengundi baru terdiri generasi muda di kawasan Parlimen itu pada waktu ini.

Abdul Jalil juga berkata mesyuarat agung 48 cawangan dalam bahagian Permatang Pauh yang dijadualkan berlangsung selepas 10 Ogos ini akan ditangguhkan sehingga selepas pilihan raya kecil itu.

Katanya Pengurusan Umno Pulau Pinang semalam membuat keputusan itu bagi membolehkan tumpuan diberi kepada pengendalian pilihan raya kecil itu.
"Mana-mana cawangan yang telah mengeluarkan notis untuk mengadakan mesyuarat sehingga 10 Ogos ini, kita benar ia diteruskan tetapi yang bercadang bermesyuarat selepas tarikh itu, kita minta ia ditangguhkan sehingga pilihanraya selesai," katanya.
Umno Permatang Pauh mempunyai 92 cawangan.