Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Thursday, August 7, 2008

Permatang Pauh cadang Abdul Jalil

Datuk Abdul Jalil Abdul Majid

BUKIT MERTAJAM - Umno Permatang Pauh mencadangkan Ketua Umno bahagiannya, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid (gambar) dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk bertanding pilihan raya kecil 26 Ogos ini.

Ketetapan itu dicapai pada mesyuarat khas jawatankuasa Umno bahagian berkenaan, Isnin lalu.

Pengumuman itu dibuat Setiausaha Umno bahagian, Ahmad Sahar Shuib pada mesyuarat jentera pilihan raya Umno Bahagian Permatang Pauh, malam kelmarin.

Abdul Jalil, 54, adalah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Penanti sejak 1994 tetapi gagal mempertahankan kerusi itu pada pilihan raya umum lalu apabila tewas kepada calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohammad Fairus Khairuddin.

Pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh akan diadakan selepas penyandangnya, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail melepaskan jawatan bagi memberi laluan kepada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada sidang media selepas mesyuarat itu, Abdul Jalil berkata, Umno bahagian berpendapat dengan memilih anak tempatan, ia akan memudahkan jentera pilihan raya bertugas.

Debat Koh Tsu Koon dan Lim Guan Eng pada 20 Ogos

Satu lagi debat menarik dijangka dijalankan di Pulau Pinang atau di Kuala Lumpur antara Pemangku Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkenaan isu-isu semasa pada 20 Ogos ini.

Jurucakap parti Gerakan memberitahu Bernama Rabu malam bahawa debat anjuran portal berita, Agenda Daily yang dijangka dipanaskan dengan menyentuh isu-isu semasa terutama Pulau Pinang, merupakan kali kedua antara Koh dan Lim.

Ia pernah diadakan 10 tahun lalu ketika kedua-dua mereka merupakan pemimpin pemuda parti masing-masing.

Katanya portal berita itu sedang menyediakan format, lokasi dan tema debat, yang telah diperkatakan sejak minggu lepas.
"Beliau (Koh) telah memutuskan sebentar tadi untuk mengadakan debat itu. Beliau sangat teruja untuk berhadapan dengan Lim, yang juga merupakan Setiausaha Agung DAP," katanya.
Katanya tarikh itu telah disahkan, tetapi belum lagi diketahui sama ada ditetapkan sebarang syarat lain.
"Lim telah bercakap kepada media terlalu banyak dan telah mengelirukan rakyat. Sekarang, ini peluang Gerakan itu bertindakbalas terhadap propaganda DAP," katanya, sambil menambah bahawa anggota-anggota Gerakan juga teruja dan memberi sokongan kepada sepenuhnya tindakan Koh untuk berdebat dengan Lim.

"Kami akan membiarkan orang ramai untuk memutuskan sama ada Lim hanyalah tin kosong yang sekadar membuat bunyi bising," katanya.
Baru-baru ini, Koh, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, mencabar Lim untuk berdebat mengenai dakwaan isu penyelewengan tanah jika Lim membuat cabaran secara rasmi.

Pada masa yang sama, Koh berkata beliau mahu debat itu diadakan secara adil dan diadakan selepas mahkamah selesai mendengar kes itu.

Koh juga meminta semua fail dan dokumen mengenai kes itu yang disimpan di pejabat Ketua Menteri dan jabatan kerajaan negeri diubah status dan diberikan kepadanya untuk beliau bersedia menghadapi debat itu.

Bagaimanapun, dengan perkembangan terkini hari ini, semua syarat seperti telah diketepikan untuk debat diadakan tidak lama lagi.

Sementara itu, Lim ketika dihubungi Rabu malam berharap Koh tidak akan meletakkan sebarang syarat untuk debat pada 20 Ogos itu, dan berkata ia sepatutnya berkenaan isu penyelewengan tanah di Pulau Pinang.
"Apa yang rakyat mahu tahu adalah berkenaan penyelewengan tanah. Jika anda mahu berdebat mengenai isu-isu lain, ia tidak mencapai matlamatnya," katanya.
Bulan lepas Agenda Daily menganjurkan debat terbuka antara Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan isu minyak di Dewan Bahasa dan Pustaka.

Zahid tanding naib presiden

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan malam tadi untuk bertanding merebut jawatan naib presiden Umno Disember ini.

Dalam kenyataannya kepada pemberita, beliau berkata keputusan itu dibuat setelah mengambil kira pendapat, pandangan dan sokongan di kalangan rakan-rakan beliau.
"Mereka menyeru saya mencuba nasib bagi jawatan berkenaan. Selebihnya saya serahkan kepada keadaan, perwakilan dan takdir untuk menentukan.

"Saya menghormati naib-naib presiden yang sedia ada, namun mungkin masih ada sedikit ruang kosong untuk calon baru seperti saya bagi turut menyumbang bakti serta membariskan diri dalam kepimpinan Umno di lapisan ketiga," katanya.
Beliau berkata, semoga pengumuman itu akan menamatkan keresahan rakan-rakan di peringkat akar umbi yang meminta beliau mengesahkan untuk pencalonan bagi jawatan berkenaan.
"Mudah-mudahan saya akan diberi kesempatan untuk terus memperkukuhkan parti bersama-sama dengan presiden dan timbalan presiden serta staf kepimpinan yang lain dalam pemilihan pada 16 Disember nanti," katanya.
JanaWangRapid.com

Dr Osman tetap dengan laporannya

saiful bukhari pusrawi hospitalMalaysiakini - [..] Dr Mohamed Osman yang memeriksa Saiful beberapa jam sebelum dia (Saiful) membuat laporan polis, berkata beliau tetap berpegang dengan hasil pemeriksaannya itu.

Pada 28 Jun lalu, Saiful membuat pemeriksaan kesihatan di Hospital Pusrawi dan kemudiannya di Hospital Kuala Lumpur, sebelum membuat laporan polis, mendakwa dia diliwat oleh ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. -->>lanjut
Click here!

Abdullah Nafi Dakwaan Anwar

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini menafikan bahawa beliau mengarahkan supaya penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim dihadapkan ke mahkamah Khamis.

"Bagaimana saya boleh berkeras supaya dia didakwa. Jika tiada bukti, polis bukan bodoh hanya kerana si polan itu atau si polan ini mungkin berkata dakwa. Dan saya bukanlah orangnya yang meminta orang itu didakwa.
"Ini adalah isu undang-undang, seseorang itu yang berasa perlu keadilan, dia membuat laporan polis. Oleh itu, polis bertanggungjawab untuk menjalankan siasatan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional di sini, Rabu.

"Apa yang saya kata adalah jika anda mempunyai sesuatu untuk mendakwa, jika mempunyai bukti untuk mendakwa, kamu dakwa. Jika tiada, gugurkan (dakwaan). Itu yang saya kata", katanya.
Abdullah berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Anwar bahawa keputusan kerajaan mendakwa dia di mahkamah adalah satu usaha untuk mengalih tumpuan ramai daripada krisis keyakinan yang dihadapi Perdana Menteri.

Abdullah berkata polis berhak untuk menyiasat dan ia terpulang kepada mereka untuk memutuskan bentuk tindakan berdasarkan daripada siasatan yang dijalankan.
"Jika mereka fikir mereka mempunyai cukup bukti untuk mendakwa, mereka perlu mendakwa kerana jangan lupa orang lain yang nampaknya dilupakan, Saiful. Anda fikir Anwar itu lebih penting," katanya.
Abdullah berkata jika polis tidak mempunyai bukti, baru mereka perlu menggugurkan dakwaan dan keseluruhan siasatan itu.
"Jika mereka mempunyai bukti untuk mendakwa, anda tidak boleh menghalang mereka daripada berbuat demikian," katanya.
Menyentuh tindakan pihak polis mendakwa Anwar sebaik sahaja Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh pilihan raya kecil Permatang Pauh hari ini sebagai satu unsur sabotaj untuk menghalang Anwar bertanding pada pilihan raya kecil itu, Abdullah berkata perkara terbabit adalah dua perkara yang berbeza.

Beliau berkata sekiranya tarikh pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh tidak diumumkan oleh SPR hari ini, pelbagai persoalan juga tetap akan timbul mengenai dakwaan kes terbabit.

Katanya, siasatan tuduhan liwat Anwar telah dilakukan lebih awal daripada tarikh perletakan jawatan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Anggota Parlimen Permatang Pauh.
"Ada orang kata mungkin perletakan jawatan Wan Azizah sebagai satu helah supaya mudah-mudahan Anwar tidak dibawa ke mahkamah. Ada juga yang bercakap macam tu.

"Cerita-cerita begini tak pernah satu versi. Cerita ini sekurang-kurangnya dua versi. Kadang-kadang tiga, empat, lima, sepuluh versi. Begitulah selalunya ditambah dengan ratusan cakap-cakap yang keluar daripada blog dan khabar angin," katanya.

Anwar Mengaku Tidak Bersalah Liwat Saiful

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohamad Saiful Bukhari Azlan.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.

Hakim S. M. Komathi Suppiah membenarkan Anwar, yang akan menyambut hari jadinya ke-61 Ahad ini, dibebaskan dengan jaminan bon peribadi sebanyak RM20,000 tanpa penjamin.

Hakim menetapkan 10 Sept untuk sebutan semula kes itu di mahkamah yang sama.

Anwar, penasihat Parti Keadilan Rakyat yang bakal bertanding pada pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh 26 Ogos ini, didakwa melakukan perbuatan itu antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun lepas di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini.

Beliau dituduh melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii tanpa kerelaan terhadap Mohamad Saiful, 23 tahun.

Selepas jurubahasa Mahkamah Sesyen membacakan pertuduhan terhadapnya dan bertanya sama ada beliau (Anwar) mengaku bersalah atau tidak, Anwar berkata: "Itu jahat dan khianat. Saya tidak bersalah."

Pihak pendakwaan diketuai Peguam Cara Negara Datuk Idrus Harun manakala pihak pembelaan yang dibarisi sembilan peguam diketuai Sulaiman Abdullah.

Ini adalah kali kedua Anwar menghadapi tuduhan liwat. Dalam kes pertama pada 2000, beliau dituduh meliwat Azizan Abu Bakar, pemandu isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi terhadap pertuduhan tersebut tetapi dibebaskan pada September 2004 selepas hampir enam tahun dipenjarakan, setelah Mahkamah Persekutuan, dalam keputusan 2-1, mengetepikan sabit liwat dan hukuman penjara yang dikenakan terhadapnya. - Bernama

Pilihanraya Permatang Pauh 26 Ogos

Pilihanraya kecil Permatang Pauh akan diadakan pada 26hb Ogos 2008 (Selasa) dan hari penamaan calon akan diadakan pada 16 Ogos 2008 (Sabtu). Pengumuman ini telah di buat oleh SPR (Suruhanjaya Pilihanraya) pagi tadi. SPR juga menyatakan bahawa 57,969 pengundi berdaftar akan mengundi dan pengundi pos adalah sebanyak 490 pengundi. Pilihanraya kecil ini diadakan berikut perletakan jawatan wakil Parlimen Permatang Pauh Dr Wan Azizah dan memberikan laluan kepada suami beliau untuk bertanding dikerusi berkenaan.

Kerusi ini dikosongkan dan diumumkan pada hari pihak polis selesai siasatan terhadap kes tuduhan liwat Anwar dan telah menghantar kepada Peguam Negara. Ramai yang berpendapat bahawa Anwar Ibrahim mahu menggunakan perisai politik bagi menyelamatkan diri dari didakwa atau ditahan oleh Pihak Berkuasa berikut laporan bekas Pegawai politiknya bahawa dia telah diliwat oleh Anwar.

Saiful Bukhari bekas Pegawai Khas Politik Anwar dalam blognya telah menyatakan bahawa beliau telah bersama Anwar dibeberapa tempat diluar negara. Walaupun beliau baru tiga bulan berkerja dengan Anwar tapi hubungan mereka intim dan mesra sehingga kan beliau diberikan kepercayaan oleh Anwar dan telah membawa beliau mengikuti rombongan Anwar ke luar negara. Menurut sumber yang boleh dipercayai , pernah berlaku pertengkaran dianatar Wan Azizah dan Anwar ketika mengetahui Saiful mengikuti Anwar di Singapore.

Pilihanraya kecil ini menjawab teka - teki yang dimainkan oleh Anwar selama ini yang telah menyebut beberapa tempat yang akan ditandinginya seperti Bandar Baru Kulim dan juga Bandar Tun Razak. Menurut calon PKR BBK keputusan ini dibuat tergesa-gesa dan secara mendadak kerana takut Anwar akan didakwa dan tangkap setelah kertas siasatan siap diebntangkan kepada Peguam Negara.
JanaWangRapid.com