Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Tuesday, July 29, 2008

PINJAMAN MUDAH SESUAI UNTUK KAKITANGAN HAMPIR BERSARA

Pekerja lama punyai pendapatan lebih
stabil untuk bayar balik pembiayaan - Cuepacs

Oleh : Khairul Azran Hussin
KUALA LUMPUR - Cuepacs yang menyambut baik keputusan kerajaan untuk memberikan pinjaman mudah sebanyak RM50,000 kepada kakitangan awam yang ingin memulakan perniagaan, bagaimanapun mahu kesempatan itu diambil kakitangan kerajaan yang ingin bersara dan bukan mereka yang baru bekerja.

Presidennya, Omar Osman, berkata, pihaknya hanya menggalakkan kakitangan kerajaan yang ingin bersara saja memohon pinjaman tanpa penjamin atau cagaran daripada kerajaan itu bagi memastikan kakitangan kerajaan yang baru bekerja tidak akan dibebani oleh hutang akibat membuat pinjaman itu.

"Cuepacs risau kakitangan kerajaan akan dibebani hutang. Sebagai contoh pendapatan bersih kakitangan kerajaan paling rendah ialah RM750, jadi bayangkan berapa gaji yang tinggal jika dipotong lagi.

"Sebab itu Cuepacs hanya menggalakkan kakitangan yang akan bersara dalam tempoh 10 tahun lagi memohon pinjaman ini kerana mereka lebih stabil, selain ia persediaan selepas bersara," katanya ketika dihubungi semalam.

Kelmarin, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar, berkata kakitangan awam yang layak digalakkan memohon pinjaman mudah itu menerusi Tekun Nasional, Mara, Bank Rakyat, Bank SME atau Perbadanan Nasional Bhd (PNS) untuk berniaga dan menambah pendapatan.

Langkah itu adalah susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 22 Jun lalu bahawa kerajaan akan menambah permit peniaga kecil dan penjaja bagi meringankan beban golongan berpendapatan rendah, termasuk kakitangan awam untuk menggalakkan mereka bekerja sambilan untuk menghadapi kenaikan harga.

Omar berkata, pihaknya dimaklumkan ramai kakitangan awam yang berminat terhadap tawaran pinjaman mudah itu.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan perlu menjelaskan secara terperinci mekanisme pinjaman itu bagi mengelakkan kekeliruan, selain mengelakkan kakitangan awam dibebani oleh hutang pada masa depan.

"Cuepacs juga mencadangkan agar kakitangan awam yang ingin berniaga menjalani temu duga terlebih dulu bagi mengetahui jenis perniagaan yang ingin dijalankan dan bagi memastikan produktiviti pekerja tidak terjejas," katanya.

Ezam Sedia Cabar Anwar

Bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamad Ezam Mohd. Nor bersedia bertanding melawan Penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pilihan raya kecil Parlimen Bandar Tun Razak.

Ezam berkata, beliau tidak gentar untuk menghadapi bekas Timbalan Perdana Menteri itu sekiranya dipilih oleh pucuk pimpinan tertinggi BN untuk bertanding.

UMNO Perlukan Pasukan Kerja Yang Ikhlas Berjuang Untuk Kepentingan Parti Dan Masa Depan Bangsa

Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Muhammad Muhd Taib yakin bahawa misi kepimpinan UMNO hari ini iaitu untuk memperkukuh perpaduan bangsa Melayu di setiap peringkat dengan memastikan ekonomi dan politik Melayu kembali kuat akan dapat dicapai melalui pasukan kerja dari semua peringkat yang benar-benar ikhlas berjuang.

Menurut beliau, hasrat untuk mengembalikan UMNO sebagai satu-satunya parti politik yang menjadi tunjang perjuangan rakyat Malaysia akan menjadi realiti berlandaskan kepada kesungguhan kepimpinan dalam jaminan demi kedudukan bangsa di masa hadapan.
“Kepimpinan UMNO hari ini memerlukan pasukan kerja yang benar-benar ikhlas dalam perjuangan serta tidak melaksanakan kerja untuk kepentingan peribadi sebaliknya demi kepentingan parti dan masa depan orang Melayu,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah berkata, masa depan UMNO adalah bergantung kepada kepimpinan hari ini yang akan melaksanakan misi dan visi parti untuk terus memperkasakan UMNO.

Dalam masa yang sama beliau turut menyatakan berkaitan pemilihan dalam mesyuarat peringkat cawangan yang sedang berlangsung di samping bahagian dan pusat yang akan diadakan.
“Pertandingan dalam parti harus dilihat dari sudut yang lebih positif. Pertandingan yang sihat akan mampu menguat dan memperkasakan parti,” katanya.
Beliau yang turut menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Presiden pada pemilihan parti akan datang juga melihat bahawa penyertaannya akan memberi peluang kepada para perwakilan lain lebih banyak pilihan pemimpin untuk menduduki jawatan.
“Sememangnya, pertandingan juga adalah satu proses memilih pemimpin dan ‘menyegarkan’ kembali perjuangan UMNO.”
Dalam masa yang sama, beliau turut menegaskan bahawa kekuatan bangsa akan hadir melalui kerjasama dan seterusnya menjamin kedudukan pada masa hadapan.

Pemilihan UMNO di peringkat cawangan berlangsung pada 17 Julai hingga 24 Ogos, manakala bahagian dari 9 Oktober hingga 9 November dan peringkat Pusat yang melibatkan pertandingan jawatan tertinggi dalam parti akan bermula dari 16 hingga 21 Disember.
Click here!

Usahawan Yang Ingin Memohon Pinjaman Dengan Agensi Di Bawah MeCD Wajib Hadir Kursus Insken

KUALA LUMPUR - Mulai tahun depan para usahawan yang ingin memohon pinjaman dengan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi diwajibkan menghadiri kursus Institut Keusahawanan Negara (Insken).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Noh Omar berkata tindakan ini dibuat berikutan aduan yang diterimanya bahawa terdapat usahawan yang telah menghadiri pelbagai kursus yang dikendalikan oleh pelbagai agensi di bawah kementerian itu masih gagal mendapat sebarang kelulusan pinjaman daripada kerajaan.

Untuk itu, kementerian itu kini sedang menyusun kursus yang bakal dikendalikan oleh Insken berdasarkan tahap perniagaan yang diingin diceburi oleh usahawan terbabit agar sesuai dengan pinjaman yang mereka ingin pohon, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Gerak Usahawan di sini hari Sabtu.

Beliau berkata tindakan itu juga bertujuan memperkasakan lagi peranan Insken sebagai institut yang bertanggungjawab melahirkan usahawan berkualiti.

Pada majlis itu, Noh turut menyampaikan pinjaman berjumlah RM4.05 juta kepada lebih 20 usahawan kawasan parlimen Selayang yang telah memohon dengan agensi di bawah kementerian itu.

Umno Perak ajak Pas bentuk kerajaan

Permulaan ke arah perpaduan orang Melayu - Tajol Rosli
PERJELAS: Mohd Tajol Rosli pada sidang media mengenai kerjasama Umno-Pas di Ipoh, semalam.
IPOH - Umno Perak semalam mengajak Pas bergabung bagi membentuk kerajaan negeri yang lebih kukuh dengan wakil Pas akan terus menjadi Menteri Besar.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali, berkata tawaran itu adalah permulaan ke arah merealisasikan saranan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya kedua-dua parti dibubarkan bagi menubuhkan parti baru.

"Kalau nak mula kerjasama, gabungan ini boleh dimulakan di Perak. Umno Perak sedia bekerjasama dengan Pas menubuhkan kerajaan yang lebih kukuh kerana kita ada 28 kerusi (27 Umno dan satu MCA) dan Pas enam menjadi 34 kerusi," katanya pada sidang media di Bangunan Umno di sini.

Beliau yang juga Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Perak mengulas saranan Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan, supaya Umno dan Pas membubarkan parti masing-masing dan sebuah parti baru ditubuhkan bagi menyatupadukan semua orang Melayu.

Ketika ini, kerajaan Pakatan Rakyat di Perak mempunyai 31 kerusi iaitu enam Pas, 18 DAP dan tujuh Parti Keadilan Rakyat.

Tajol Rosli berkata, Umno Perak sedia membenarkan wakil Pas terus menjadi Menteri Besar, manakala keanggotaan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) diagihkan mengikut kesesuaian antara parti gabungan.

"Saya sanggup terima Pas menjadi Menteri Besar dan saya sendiri tidak akan duduk dalam kerajaan negeri. Ini kerana kalau saya duduk dalam kerajaan, akan dikatakan saya sebagai Exco yang menguasai kerajaan Perak.

"Saya akan menjadi Adun biasa. Pada saya menjadi Adun biasa dalam kerajaan lebih baik daripada Adun biasa dalam pembangkang," katanya.

Tajol Rosli juga berkata, walaupun bersetuju dengan pandangan Nik Abdul Aziz, beliau berharap Pas bukan saja menerima orang Melayu Islam, malah kaum Bumiputera lain di negara ini.

"Jika kerjasama membentuk kerajaan Perak antara Pas-Umno ini berlaku, kita juga sedia menerima Adun dari parti lain untuk bergabung termasuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahu pun DAP," katanya.

Mengenai kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang mahu keanggotaan Pas dalam Pakatan Rakyat dikaji semula, Tajol Rosli berkata, jika itu berlaku ia akan membuka ruang lebih luas untuk kerjasama Umno-Pas.