Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Monday, July 28, 2008

PENGERUSI TETAP CAWANGAN SESAK NAFAS

Sejak 17 Julai lalu, Persidangan Agung UMNO Cawangan kini saban minggu berlangsung sehingga 24 Ogos ini. Walaupun tidak sehebat Persidangan UMNO Bahagian dan Perhimpunan Agung UMNO ia tidak boleh dipandang remeh.

Selain berupaya menentukan corak kepimpinan, suara akar umbi yang kedengaran di cawangan tidak boleh dinafikan untuk dibahaskan di peringkat bahagian dan seterusnya dibawa ke peringkat Majlis Tertinggi dan Perhimpunan Agung.

Antaranya mereka mahu perubahan dalam kepimpinan UMNO, walaupun akur dengan pelan peralihan kuasa yang diumumkan Presiden parti.

Turut kedengaran, mereka mahu kuota pemilihan semua peringkat kepimpinan dimansuhkan. Manakala peringkat cawangan diberikan lebih kuasa untuk memilih pucuk pimpinan.

Usul itu pernah dibawa ke peringkat majlis tertinggi tetapi tidak mendapat pertimbangan. Kini setelah situasi politik UMNO dalam keadaan kurang selesa, beberapa isu lama dibangkitkan semula di peringkat cawangan.

Suara-suara di cawangan juga mahu pemimpin di peringkat bahagian dan seterusnya di peringkat atas menjenguk turun ke bawah. Mereka bukannya dahagakan duit poket atau duit kopi, tetapi sekadar mahu bersalam dan beramah mesra dengan pemimpin sekerap mungkin. Namun, jangan tunjuk kemewahan kepada mereka.

Apapun yang paling sibuk dan menjadi lebih penting daripada Ketua Cawangan sekarang ialah Pengerusi Tetap Cawangan, lebih-lebih lagi pada musim pemilihan ini.

Walaupun hanya bertugas setahun sekali, peranan mereka penting bagi memastikan kelancaran mesyuarat. Tetapi rata-rata Pengerusi Tetap terpaksa dipandu oleh Wakil Bahagian (AJK Bahagian) dalam pengendalian tugas mereka, terutama mereka yang berumur melebihi 60 tahun.

Yang menyebabkan Pengerusi Tetap Cawangan sesak nafas bila diberi tanggungjawab untuk mengendalikan serentak persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri cawangan.
Click here!

Caturan bentuk regu menjelang pemilihan MCA

KUALA LUMPUR - Sejak mengumumkan hasratnya bertanding bagi jawatan presiden MCA, naib presiden parti itu, yang juga Menteri Pengangkutan, Datuk Ong Tee Keat, kekal dengan pendirian untuk tidak membentuk sebarang pasukan bagi menghadapi pencabar beliau.

Walaupun anggota MCA dan beberapa pemerhati meramalkan bahawa pemilihan parti itu, yang dijadualkan berlangsung Oktober ini, mencerminkan perebutan jawatan antara
Team A dan Team B semasa yang wujud ketika krisis kepimpinan parti itu pada 2003, namun persoalannya sekarang ialah sejauh manakah peluang bagi Tee Keat untuk memenangi jawatan berkenaan dengan bertanding secara solo.

Seorang anggota lama parti dan beberapa anggota MCA lain berpendapat Tee Keat perlu mempunyai kumpulan dan bertanding secara solo tidak memberi banyak harapan bagi beliau kerana ranjau yang perlu dihadapi amat menyeksakan.

Pencabar beliau dikatakan telah menghimpunkan "sekumpulan calon hebat", yang disokong beberapa pemimpin berpengaruh, termasuk bekas Presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik.

Ling bagaimanapun menafikan beliau membentuk sebuah pasukan bagi menghadapi pemilihan itu, tetapi mengaku beliau ada berbincang dengan beberapa pemimpin parti yang beliau sifatkan sebagai "hanya satu perbualan biasa".

Kumpulan itu dikatakan dianggotai saki baki anggota Team A sewaktu krisis kepimpinan MCA dulu, yang memaksa Ling mengundurkan diri daripada politik melalui pelan damai yang disyorkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Antara tokoh yang dikatakan menganggotai pasukan itu ialah bekas Naib Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek; Naib-naib Presiden, Datuk Donald Lim dan Datuk Seri Dr. Fong Chan Onn; Ketua Wanita MCA, Datuk Dr. Ng Yen Yen dan dua anak lelaki, Dr. Ling Datuk Ling Hee Leong dan Ling Hee Keat.
"Nampaknya Soi Lek akan berentap dengan Tee Keat, dengan mendapat sokongan penuh daripada pasukan itu.

"Jika ini terjadi, macam mana Tee Keat nak bertanding jika beliau tidak ada kumpulan," kata seorang pemimpin peringkat akar umbi.
Semasa bercakap dengan Bernama baru-baru ini, Dr. Chua tidak menafikan wujudnya kumpulan itu dan berkata, beliau bercadang untuk kembali semula serta mempunyai pasukan yang akan membantunya dalam pertandingan itu nanti.
"Mungkin saya telah bersara secara diam-diam daripada politik kalaulah bukan kerana keadaan yang berlaku selepas saya mengaku bahawa sayalah orang dalam VCD berkenaan. Mereka layan saya macam pariah.

"Kalaulah mereka layan secara lebih beradab, mungkin saya telah bersara secara terhormat dan tidak lagi berhasrat untuk kembali aktif dalam politik," katanya.
Walaupun Dr. Chua tetap membisu tentang jawatan yang akan beliau tandingi, namun pemimpin ini tidak menafikan bahawa beberapa pemimpin MCA serta ahli politik senior dan veteran parti itu akan memberi sokongan jika beliau membuat keputusan untuk bertanding bagi jawatan tertinggi parti.
"Sesetengah orang masih berpendapat saya mempunyai pengalaman. Saya ahli politik yang berterus terang. Mereka berpendapat saya memiliki keberanian bagi menyuarakan isu yang melibatkan mereka," katanya.
Anggota dan orang dalam MCA meramalkan Dr. Chua akan bertanding bagi jawatan Presiden dengan memilih Donald Lim sebagai regunya bagi merebut jawatan Timbalan Presiden dan Fong serta Dr Ng sebagai regu bagi merebut jawatan Naib Presiden.

Beberapa penyokong Tee Keat berkata, mereka tidak nampak wujud sebarang masalah sekiranya Menteri Pengangkutan itu ingin bertanding secara solo.
"Kenapa tidak? Selama ini pun, apa yang dipanggil `cai tan' (senarai calon), lebih bertujuan bagi menampilkan kepentingan sesuatu pasukan... ia bukan kerjasama secara berpasukan dalam erti kata sebenar.

"Demi kebaikan masyarakat Cina, kenapa tidak? Kalau seseorang itu bekerja atas dasar kerjasama berpasukan dalam erti kata sebenarnya, ia tak jadi masalah," kata bekas senator Tan Boon Yu.
Bagaimanapun, penyokong lain agak cemas apabila berdepan dengan keputusan Tee Keat untuk bertanding secara solo dengan berkata dalam politik sebenar, pendekatan "ala lone ranger" tidak wajar diamalkan.

Mereka menjadi lebih gusar apabila memikirkan tentang kemungkinan Tee Keat akan berdepan dengan sebuah pasukan kuat, yang memiliki kehebatan daripada segi politik dan sumber kewangan.
"Saya telah menasihati beliau supaya mengkaji semula pendekatan itu. Sekurang-kurangnya, beliau perlu mempunyai sekumpulan penyokong untuk membantu beliau," kata pengerusi MCA Bahagian Pandan Eric Ong, penyokong kuat Tee Keat.
Seorang individu yang merupakan orang dalam MCA berkata, Tee Keat perlu melihat kembali keputusan pemilihan parti pada 2005.
"Pada 2005, Tee Keat menduduki tempat ketiga dalam pertandingan bagi jawatan Naib Presiden, di belakang Fong dan Dr. Chua. Itu pun setelah mendapat sokongan daripada Pergerakan Pemuda.

"Memanglah, apabila beliau bertanding bagi jawatan Ketua Pemuda MCA pada 1999, beliau melakukannya secara solo dan menang. Tapi sekarang, beliau perlu berfikir dengan mendalam jika ingin bertanding bagi jawatan Presiden," katanya.
Bekas Naib Presiden MCA, Tan Sri Lee Kim Sai, yang pernah menjadi mentor politik Tee Keat, meragui hasrat Tee Keat untuk bertanding secara solo bagi merebut jawatan presiden MCA.

Beliau berkata, bertanding secara solo hanya merupakan cara Tee Keat untuk menyatakan bahawa beliau tidak mahu mewujudkan kumpulan dalam MCA.
"Kadang-kadang, orang tak perlu beritahu anda bahawa anda adalah rakannya. Ada masanya, bahasa tubuh mereka akan menerangkan perkara itu kepada anda.

"Mempunyai pasukan bukan perkara yang tidak baik. Apa yang kami tak mahu lihat ialah wujudnya keadaan berpuak-puak. Saya tidak fikir beliau (Tee Keat) akan berjuang secara berseorangan dan memberitahu orang lain supaya jangan menghalangnya, kerana jika anda buat begitu, anda sebenarnya menuju ke lubang kubur.

"Kalau ada orang memberi sokongan, beliau akan cuba mengelak wujudnya andaian bahawa beliau membentuk suatu puak. Itu memang gaya beliau," kata Lee kepada Bernama.
Tee Keat pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Politik Lee ketika beliau menyandang jawatan Menteri Kesihatan pada 1990an.

Tetapi, sekiranya Tee Keat membuat keputusan untuk mempunyai regu, soalan seterusnya ialah siapakah yang akan beliau pilih?

Ketua Pemuda MCA, yang juga Menteri Kesihatan Datuk Liow Tiong Lai seolah-olah menjawab soalan ini apabila beliau mengumumkan bahawa beliau tidak bertanding bagi jawatan nombor satu parti, sebaliknya akan menyokong Tee Keat merebut jawatan Presiden.
"Saya mengagak beliaulah yang menjadi regu Tee Keat berdasarkan manifesto pemilihan," kata seorang anggota MCA yang enggan dikenali.

"Bagaimanapun, langkah paling selamat bagi Liow ialah bertanding bagi jawatan Naib Presiden. Tapi, siapa lagi yang akan menjadi regu Tee Keat kalau bukan Liow?" tanya seorang pemimpin bahagian.
Sesetengah anggota MCA percaya Liow mengambil langkah yang berisko tinggi sekiranya beliau bertanding bagi jawatan Naib Presiden kerana terdapat "pihak berkepentingan" yang ingin mengalahkan beliau bagi mengambil alih jawatan menteri yang beliau sandang.

Seorang pemimpin peringkat akar umbi dari Perak berkata, beliau percaya Tee Keat tidak mungkin memilih Datuk Ong Ka Chuan, abang kepada Presiden MCA Datuk Seri
Ong Ka Ting sebagai regunya kerana penyokong tegarnya dikatakan menasihati beliau supaya tidak berbuat demikian.

Ketika Tee Keat bergelut dengan persoalan siapakah yang patut beliau pilih sebagai regunya sekiranya beliau ingin berbuat demikian, pemerhati politik sudah menemui jawapan tentang ke manakah arah tuju seorang lagi bekas Naib Presiden, MCA Datuk Chua Jui Meng.
"Kedua-dua pihak sedang mencari siapakah yang akan menjadi regu masing-masing sekiranya mereka berjaya mempertahankan jawatan pengerusi bahagian," kata seorang pemimpin peringkat akar umbi.

Barisan Nasional

BARISAN NASIONAL MERUPAKAN SALAH SEBUAH PARTI POLITIK PAKATAN YANG PALING BERJAYA DI RANTAU INI. SEJAK KEMERDEKAAN NEGARA PADA TAHUN 1975, PARTI INI TELAH DIBERI MANDAT OLEH RAKYAT UNTUK MEMERINTAH NEGARA INI TANPA DIGANTI.

Kata-kata oleh Pengerusi Barisan Nasional

"SASARAN YANG DITETAPKAN OLEH BARISAN NASIONAL EMPAT TAHUN YANG LALU TELAH BERJAYA DICAPAI WALAUPUN BERDEPAN DENGAN PELBAGAI CABARAN DAN HALANGAN."

Ketua Pemuda : Perlu jaguh antara kerajaan dan Rakyat

DALAM pada semakin ramai menyuarakan mahu bertanding jawatan Naib Presiden UMNO akan datang, jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO pun sudah bertambah seorang lagi menyatakan kesediaan untuk menyertai senarai calon Ketua Pemuda yang kini terdiri daripada Khairy Jamaluddin, Datuk Seri Mohd Khir Toyo, Datuk Mukhriz Mahathir, Datuk Zahidi Zainul Abidin dan yang terbaharu ahli UMNO Bahagian Teluk Intan, Perak, Mohd Ramlan Yunus.

Entah-entah, tidak lama lagi, adalah seorang dua atau tiga empat orang lagi akan mengumumkan kesediaan mereka menyertai kumpulan merebut jawatan yang bakal ditinggalkan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein kerana beliau sudah pun menyatakan mahu merebut kerusi panas Naib Presiden nanti.

Tidak tahulah Ramlan regu siapa tetapi yang nyata masing-masing nampaknya mempunyai matlamat yang paling utama akan memperjuangkan hak Melayu dan akan mempertahankan matlamat asal parti serta berjanji membawa perubahan yang sudah lama ahli inginkan. Bagaimanapun beliau tidak menyatakan apa yang ahli inginkan sebenarnya. Bab ini samar-samar.

Nampaknya ruang untuk Khairy melangkah anak tangga ke jawatan Ketua Pemuda sudah semakin sempit apabila semakin ramai yang meminati jawatan Ketua Pemuda dengan misi masing-masing. Namun ramai menjangkakan antara Khairy dan Mohd Khir, akan berlaku ‘tough fight’ sementara Mukhriz, Zahidi dan Ramlan hanya suka berhimpit-himpit mencuba nasib kalau-kalau menjadi. Kalau tak menjadi pun sekurang-kurangnya nama mereka akan tercatat dalam sejarah pemuda yang mereka pernah menawarkan diri. Lebih lagi kalau mendapat pencalonan yang cukup.

Pastinya membandingkan antara empat orang ini, Ramlan paling tidak dikenali lagi. Pastinya wajahnya wajah original tidak diubah kerana mahu bertanding, dia mungkin dikenali ramai di sebelah Perak terutama di tempatnya di Teluk Intan dan mungkin sudah cukup bersedia untuk menjelajah menemui perwakilan pemuda di seluruh Malaysia di musim ini.

Tidak keterlaluan kalau diteka pengumuman Ramlan ini sudah direstui kawan-kawan yang memberi jaminan beliau boleh mencelah mencuba nasib yang sekurang-kurangnya dapat memecah undi kalau berjaya di peringkat diberi pencalonan nanti. Untuk menang, boleh diramalkan Ramlan perlu banyak masa lagi walaupun pengumuman ini satu persediaan awal untuk beliau dikenali mengatur tapak dari sekarang untuk berada dalam politik yang lebih serius di masa akan datang.

Tidak dinafikan juga Ramlan mungkin sudah mempunyai pengaruhnya sendiri selain sementara yang lain sudah dikenali ramai tentang kebolehan, kecerdasan, kelulusan dan telah mendedahkan visi masing-masing untuk tujuan ditimbang oleh perwakilan nanti.

Mukhriz walaupun pada mulanya begitu agresif dan mempunyai platform yang setahap dengan Khairy sebagai Ahli Parlimen, tetapi bermirip pembangkang dalam banyak perkara apabila beliau berduet dengan ayahandanya Tun Mahathir dalam isu mendesak Perdana Menteri letak jawatan seolah-olah beliau mempunyai imuniti memperkatakan apa saja yang terlintas di fikirannya. Itu pun nasib baik tidak dipecat. Akhir bulan ini, kalau Pak Lah masih Perdana Menteri, Mukhriz kena keluar dari UMNO kalau mengikut ‘sumpah janji’nya sebelum ini.

Pastinya kalau tidak kerana beliau anak Mahathir, Mukhriz hari ini bukan di tempatnya sekarang. Beliau mungkin menjadi peniaga korporat biasa dalam bidang perkapalan. Sekurang-kurangnya menjadi saudagar kapal buruk kepada mana-mana syarikat perkapalan di seluruh dunia atas bantuan ayahandanya. MISC dah tak mahu beli kapal buruk lagi dah.

Khabarnya dari kawan-kawan pemuda, kehadiran Mukhriz ditakuti Ketua Pemuda Negeri yang membayangkan Mukhriz itu adalah wakil pembangkang dalam parti sendiri. Untuk menerima sokongan di peringkat negeri, beliau dapat, tetapi tidak seikhlas mana kerana memang siapa pun akan berada dalam keadaan serba salah berdepan dengan Mukhriz yang sepatutnya menjadi aset penting dalam pergerakan pemuda.

Tetapi malangnya telah dirosakkan dengan hatinya yang tidak seimbang dengan perjuangan parti yang sepatutnya bersatu, bersetia dan berkhidmat menjadi teras dalam dirinya untuk menjadi pemimpin parti Melayu.

Seperti Zahidi pula, beliau perlu cari tempat di mana sempat. Beliau perlu sangat ke hadapan walaupun popularitinya agak terhad di peringkat nasional. Tidak salah bagi beliau menyertai gelanggang perebutan jawatan Ketua Pemuda ini kerana beliau juga tidak asing bagi calon berpotensi lain.

Walaupun tidak ramai pemuda yang nampak Zahidi belum cukup layak lagi menduduki kerusi ketua pemuda, tetapi sangat menghormati keberanian dan kesungguhannya untuk merealisasikan jalan yang terbaik untuk beliau memulakan sesuatu sebagai pelapis sama-sama mengejar platform yang mana beliau layak berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan calon-calon lain di masa akan datang.

Sebagai seorang yang cepat mesra, kelihatan rajin dan tidak sombong, beliau juga bersedia untuk menerima kekalahan mahupun tidak cukup pencalonan akhirnya nanti apabila sampai masanya. Penerimaan inilah yang memberi markah bahawa Zahidi seorang yang berjiwa pemimpin berpotensi kalau tidak sekarang, mungkin di musim akan datang.

Mohd Khir pula walaupun begitu popular dan semua orang kenal nama beliau dan pada suatu masa dulu, orang kenal nama tetapi keliru dengan wajahnya yang berubah dengan tiba-tiba, beliau terlalu menampakkan sangat sedang sibuk menonjol diri. Beliau kelihatan seperti orang yang terlalu mahukan jawatan Ketua Pemuda itu seolah-olah mahu menebus ‘kehilangan’ besar apabila tercampak keluar menjadi pembangkang di negerinya sendiri.

Banyak perkara tempelak dan ungkit-mengungkit berlaku apabila pembangkang ambil alih Selangor yang beliau nampak sangat lambat mahu menjawab sesuatu tuduhan kerana menahan malu. Semua orang tahu bahawa Mohd Khir menderhaka dengan rakyat Selangor. Sial penyapu memberi impak cukup kuat pada kejatuhannya kerana semua kaum jelak dengan kisah penyapu itu tersebar luas.

Khairy pula sentiasa mendapat tohmahan sama ada dari kesemua calon ketua pemuda lain terutama Mohd Khir dan Mukhriz yang beliau menantu Perdana Menteri, tetapi dialah yang tidak mempunyai rekod nyata atau bukti kukuh beliau menggunakan nama bapa mertuanya untuk kepentingan politik. Memang dari dulu lagi beliau sudah berada di sebelah Tun Mahathir yang mengenalinya lebih awal yang Khairy bukan baru dalam politik negara ini.

Beliau lebih dulu membaca perjalanan politik dalam UMNO sebelum diberi tempat naib ketua pemuda melalui proses demokrasi biasa. Ketika itu pemuda lebih yakin beliau daripada Hishamuddin kerana pergerakan Hishamuddin amat terhad sebagai seorang menteri. Begitu juga Hishamuddin bagaikan terpaksa mengharapkan Khairy untuk menggerakkan pemuda supaya jangan sampai dilihat tidak bergerak langsung.

Sekarang ini, Khairy seorang Ahli Parlimen. Penampilannya di Parlimen menyerlah dalam membawa isu-isu besar negara. Dalam orang lain marah kerajaan kerana menaikkan harga minyak, beliau mendesak kerajaan supaya harga tol diturunkan dan tidak berhenti di situ sahaja. Beliau terus menerus mencari dan meluahkan cara-cara kerajaan boleh membantu rakyat yang tertekan dengan kenaikan harga minyak. Calon ketua pemuda lain terutama Mohd Khir Toyo dan Mukhris sibuk berkempen untuk mendapatkan tempat penting itu dulu baru nak bercakap pasal rakyat.

Jadi, melihatkan perkembangan di peringkat ini terhadap barisan pemuda yang sepatutnya menjadi tiang negara dan menjadi sayap penting dalam membantu kerajaan, tidak nampak yang Khairy macam terdesak mahukan jawatan yang orang lain sibuk-sibukkan. Walaupun nama Khairy tersenarai dalam merebut jawatan ketua pemuda, orang lain pula yang nampak lebih sibuk kononnya mahu membetulkan pemuda yang tidak rosak, sibuk mahu menukar haluan pemuda kononnya ke arah yang betul seolah-olah di bawah kepimpinan Hishamuddin pemuda telah terpesong.

Pemuda harus memberi pilihan adil kepada yang lain seperti antara Khairy atau Zahidi,Ramlan, Mohd Khir Toyo dan Mukhriz ataupun adakah antara mereka ini sudah patut dikategorikan dalam senarai ahli UMNO lusuh yang tidak akan memberi apa-apa keuntungan pada pergerakan pemuda yang sepatutnya menjadi jaguh antara kerajaan dan rakyat.
Click here!

Mencari kepimpinan UMNO

SEMAKIN hebat dan semakin banyak SMS terbang melayang-layang. Apa tidaknya, semakin ramai yang sedang membuat spekulasi mengenai pertandingan merebut jawatan dalam UMNO. Semakin ramai yang menawarkan diri. Ada yang sebenarnya memang layak, ada yang rasa layak dan ada yang tidak sedar diri mahu melayakkan diri. Namun semua ini terpulang kepada kebijaksanaan ahli UMNO nanti. Mereka akan memilih dan mencalonkan. Mereka akan menilai – tidak kiranya cara mana mereka menilainya.

Namun dalam persoalan ini – UMNO kena sedar satu perkara, pertandingan kali ini adalah untuk memilih kepimpinan yang akan mengemudi UMNO untuk terus membentuk kerajaan dan memperjuangkan relevansi UMNO. Pemilihan kali ini harus menilai kepimpinan yang dapat membawa semula UMNO melalui jalan kemelesetan yang ada untuk menegakkan kembali perjuangan UMNO agar Melayu khususnya dapat menerima semula UMNO sebagai wadah perjuangan.

Kepimpinan kali ini harus dipilih dari kalangan mereka yang telah nampak kuat memperjuangkan agenda Melayu – agenda rakyat dan dari kalangan mereka yang bukan sahaja kelihatan bersih tetapi memang tinggi keperibadiannya.

Ini bukan soal bersalah atau tidak bersalah – ada kes mahkamah atau tidak – ini soal nampak dan memang bersih untuk mengemudi UMNO – keluar dari kekusutan, keluar dari kemelesetan dan keluar dari kegawatan dan krisis kepimpinan yang ada.

Ahli UMNO kena memilih mereka yang jelas dan teruji perjuangan mereka untuk rakyat. Mereka yang pernah tewas dan tidak sedar akan sebab-sebab ketewasan tidak seharusnya dibenarkan menjawat kepimpinan. Mereka ada kontroversi, pernah disoal siasat, ada kes pukul memukul, budaya samseng dan tidak panjang akal sepatutnya ditinggalkan.

Kita boleh kaji dan lihat sedikit sebanyak perangai mereka dalam mahkamah. Kalau hanya tahu terpekik terlolong – memanggil orang itu dan ini dengan nama – buat lawak dan tidak konklusif maka itu sepatutnya kita tinggalkan. Kita mahukan kepimpinan UMNO yang jitu berani dan sanggup untuk melakukan lebih dari apa yang sepatutnya untuk Melayu.

Kita perlu ukur dan kaji idealisme mereka dan tidak hanya memilih kerana mereka sedang memimpin atau mereka sedang menjawat jawatan menteri.

Kita sepatutnya sedar bahawa pemilihan kali ini perlu dibuat dengan teliti kerana UMNO sedang mengalami kemerosotan dari segi sokongan. Kalau dipilih mereka yang tidak ada kredibiliti maka UMNO akan terus tersorok dan terus ke belakang.

Kita mahu kepimpinan dan bukan mereka yang retorik memimpin. Kita harus memilih kalangan mereka yang terbaik memimpin bukan mereka yang terbaik membayar dan membeli.

Kita harus sedar bahawa keadaan kita menuntut perubahan dan perubahan ini perlu agar mereka yang dipilih dapat menyempurnakan tanggungjawab dengan baik dan berkesan. Mereka yang dah kira lupus dan pupus seharus tidak dipilih lagi. Bersaralah bagi peluang generasi baru untuk memimpin dan memulakan sesuatu yang baru dalam kepimpinan kita.

Kita kena mula mengkaji dan melihat idealisme mereka, pandangan mereka dan tugas yang telah dilaksanakan agar yang di pilih benar-benar terbaik dari kalangan kita. Kita pastikan Presiden , Timbalan Presiden , Naib Presiden dan Majlis Tertinggi UMNO dipenuhi dengan mereka yang hanya tahu satu perkara – memperjuangkan Melayu – tidak tersekat suara – tidak retorik dan mereka yang sanggup melangkah ke hadapan, berdiri dibarisan depan – berkorban untuk Melayu dan UMNO.

Bagi mereka yang hanya tahu mengumpul harta, kumpul duit dan hanya tahu menggunakan wang untuk membeli sokongan – mereka yang berjaya menjadikan UMNO pembangkang pada PRU 13 nanti. Kita mulakan pencarian kita untuk kepimpinan UMNO.

Komen Dato' Shahrir Samad tentang Anwar

Siri 1
Click here!

Siri 2

Kerajaan pantau harga minyak global

Kerajaan sedang memantau perkembangan naik turun harga minyak mentah global, tetapi tidak membincangkan atau memutuskan sama ada untuk menurunkan harga minyak di pasaran domestik, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad semalam.

Beliau berkata, walaupun harga minyak mentah di pasaran antarabangsa kini turun di bawah AS$125 setong, harga itu perlu kekal stabil atau lebih rendah lagi sebelum kerajaan boleh mengambil langkah menurunkan harga petrol dan diesel.
"Kita berharap harga akan kekal atau turun lagi. Kita akan dapat menjimatkan subsidi. Semasa kita menguatkuasakan harga baru minyak pada Jun, hargnya lebih tinggi daripada AS$125 setong sekarang. Kami berharap harga di pasaran dunia akan stabil dan turun lagi," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Hari Pengguna peringkat kebangsaan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.
Katanya, sebelum ini kerajaan bercadang menyemak harga semasa petrol dan diesel menjelang akhir tahun tetapi jika harga di pasaran global mencatatkan penurunan drastik, dengan itu semakan harga minyak domestik boleh dilakukan lebih awal.
"Kita perlu memantau perkembangannya...awalnya kami mahu membuat semakan harga pada akhir tahun ini tetapi keputusan untuk semakan itu dibuat ketika harga minyak dunia mengalami trend meningkat. Malahan penurunan harga ini hanya berlaku dalam masa tiga hari lepas...kita akan tunggu dan lihat," katanya.

Hishammuddin – "Ada Perkara Yang Dipolitikkan Boleh Timbulkan Syak Wasangka"

Oleh : S.A Najmuddin
Putrajaya - Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Hussein meminta semua pihak termasuk ahli politik memahami dalam konteks masyarakat majmuk di negara ini bahawa ada perkara yang dipolitikkan boleh menimbulkan syak wasangka.

Dengan merujuk pemasangan papan tanda nama jalan dalam bahasa Cina oleh sekumpulan anggota Parti Gerakan di Pulau Pinang baru-baru ini, beliau berkata sebagai negara berbilang kaum adalah sukar untuk memenuhi kehendak semua pihak.

"Kalau nak memenuhi kehendak semua pihak, saya rasa papan tanda sebesar bangunan Kementerian Pelajaran ini pun tak cukup kalau nak ambil kira tuntutan kaum Kadazan dan sebagainya.

"Tetapi itu kadang-kadang membelenggukan perkara yang lebih penting iaitu persefahaman... bagaimana anak-anak kita dapat dididik, bagaimana masyarakat dapat disatukan untuk berdepan dengan cabaran, bagaimana kita dapat memelihara agama kita supaya ia tidak tercemar dengan ledakan maklumat yang menular melalui teknologi canggih," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan majalah remaja berbahasa Inggeris, Best Buds, di Kementerian Pelajaran di sini, pada 25 Julai 2008.

Isu papan tanda ini tercetus ekoran tindakan Ahli Jawatankuasa Pemuda Gerakan, Dr Thor Teong Ghee memasang papan tanda dalam bahasa Cina di enam lokasi, iaitu Lebuh Pantai, Jalan Burmah, Jalan Macalister, Lebuh Carnavon, Lebuh Chulia dan Jalan C Y Choy.

Dalam isu yang sama, Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang, Datuk Abdul Salim Bari pula berpendapat Gerakan seharusnya akur bahawa bahasa rasmi negara adalah bahasa Malaysia dan semua pihak seharusnya berbangga dengan bahasa rasmi tersebut.

"Tidak perlu diletakkan bahasa lain pada nama jalan kerana ianya tidak praktikal.

"Politik sempit yang dipercaturkan oleh Gerakan akan memerangkap parti itu sendiri kerana perkara ini tidak pernah mereka lakukan sebelum ini dan apa untungkan mereka berbuat demikian sekarang", soalnya.

Justeru beliau berpandangan Gerakan haruslah sekali lagi membuat reformasi dalaman kenapa mereka kalah teruk semasa pilihanraya lalu serta tidak menuding jari menyalahkan orang lain.

"Kita juga percaya DAP akan mengambil kesempatan politik dalam hal ini dan akhirnya parti Gerakan sendiri yang rugi yang sekaligus membabitkan BN", ujarnya.

UMNO-PAS : Karpal Singh ‘melompat’

Agendadaily - Salahkah orang Melayu nak bercakap tentang perpaduan dan bersatu atas hal-hal kepentingan bersama tanpa mengambilkira idelogi politik?

Sebenarnya ramai dikalangan the silent majority yang bimbang melihat berbagai perkembangan melibatkan kepentingan orang Melayu secara keseluruhan ekoran dari keputusan pilihanraya 8 Mac yang lalu.

Diketika Parti Keadilan Rakyat dilihat oleh sesetengah pihak lebih condong kepada konsep Malaysian Malaysia ,harapan kini diletakan ada PAS untuk berganding dengan UMNO bagi membendung benteng pertahanan orang Melayu dari semakin terhakis.

Bagi Pengerusi Kebangsaan DAP Karpal Singh beliau lebih mengambilkira sudut kepentingan politik pembangkang semata-mata bila melihat dengan penuh curiga perkembangan muzakarah UMNO-PAS.
-->>lanjut
Click here!