Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Saturday, July 26, 2008

Najib Harap Kepimpinannya Nanti Dapat Sokongan Pemimpin Baru Dan Lama

KUALA TERENGGANU - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau berharap proses peralihan kuasa pada 2010 nanti akan berjalan lancar, dengan pentadbiran baru negara mendapat sokongan semua pihak, termasuk pemimpin baru dan lama.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata sekiranya Umno tidak disokong oleh pemimpin baru dan lama, parti itu akan rebah.
Beliau berkata sokongan semua pihak, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Presiden Umno, adalah penting selepas peralihan berlaku supaya beliau dapat memimpin negara dengan baik dan meneruskan agenda untuk pembangunan rakyat.

"Saya harap Pak Lah akan sokong saya apabila (beliau) tidak ada jawatan nanti, saya harap Pak Lah dan penyokong-penyokongnya menyokong kepimpinan baru apabila sampai masanya," katanya ketika berucap pada majlis makan malam dan perasmian Perhimpunan Agung Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Malaysia di Hotel Primula di sini, malam Jumaat.

Turut hadir pada majlis itu ialah isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said dan Pemangku Presiden Mubarak Tan Sri Abu Zahar Ujang. Najib yang juga Timbalan Presiden Umno seterusnya berkata beliau berharap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang keluar daripada Umno juga akan kembali menyertai parti itu apabila kepimpinan negara bertukar nanti.

"Saya mahukan siapa yang jauh hati, bawa hati, dan makan hati, kembali semula dalam lipatan keluarga Umno untuk meneruskan perjuangan. Kalau ini jadi kenyataan, gabungan (pemimpin) baru dan lama bersama dalam satu keluarga, Ummo akan bertambah kukuh dan kuat bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 akan datang," katanya.

Beliau berkata Umno dan Barisan Nasional (BN) sebenarnya tidak membuat silap dalam membangunkan negara, tetapi pemimpin perlu bermuhasabah diri dan memahami aspirasi rakyat supaya terus mendapat sokongan pada pilihan raya umum akan datang. Najib berkata pemimpin Umno juga perlu menyesuaikan diri dan menampilkan imej yang disenangi rakyat kerana jika sebaliknya, pilihan raya akan datang bakal menjadi muka surat terakhir dalam buku riwayat perjuangan parti itu.

"Pemimpin Umno perlu mengikis persepsi rakyat bahawa parti ini sebuah parti cari makan, dan mereka perlu kembali kepada perkara asas perjuangan iaitu mengutamakan keikhlasan. Kalau tunjuk imej ini, rakyat akan sokong," katanya.
Click here!

Abdullah Harap Hormati Kedaulatan Malaysia Berhubung Dakwaan Kes Liwat Anwar

Perdana Menteri berkata Malaysia akan memastikan apa juga yang dilakukannya adalah konsisten dengan undang-undang.

"Kita sebuah negara berdaulat. Kita mempunyai peruntukan undang-undang sendiri. Apa juga yang kita lakukan, kita akan berusaha memastikan ia konsisten dengan undang-undang yang kita ada di Malaysia.

"Itulah yang kita lakukan dan saya harap semua pihak akan hormati kita. Itulah saja yang saya ingin katakan dan tiada yang lain," katanya selepas merasmikan Majlis Anugerah Akademik Negara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini semalam.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas diminta mengulas kenyataan bersama oleh tiga bekas pemimpin antarabangsa yang menggesa Malaysia menggugurkan pertuduhan liwat terhadap Anwar dan kenyataan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Condoleezza Rice yang AS akan terus mengeluarkan kenyataan atau bercakap mengenai kes perundangan termasuk kes melibatkan Anwar.

Tiga bekas pemimpin dunia itu ialah bekas Perdana Menteri Kanada Paul Martin, bekas presiden Bank Dunia James Wolfensohn dan bekas presiden Tabung Kewangan Antarabangsa Michel Camdessus.

Anwar ditahan pada 16 Julai selepas bekas pembantunya yang berumur 23 tahun, Mohd Saiful Bukhari Azlan, mendakwa Anwar meliwatnya. Anwar dibebaskan dengan jaminan polis selepas ditahan semalaman.

Ditanya sama ada pihak berkuasa akan menyiarkan rakaman video semasa Anwar ditahan pada 16 Julai bagi menyangkal dakwaan Anwar yang beliau diberi layanan buruk, Abdullah berkata siasatan terhadap tuduhan itu masih berjalan.

"Saya tidak mahu cakap apa yang mereka perlu lakukan atau apa yang mereka perlu siasat. P enyiasatan adalah di bawah tanggungjawab mereka (polis). Mereka patut tahu apa yang perlu dibuat," katanya.

Akhbar Internet "Malaysian Insider" melaporkan Kementerian Dalam Negeri mempertimbangkan untuk menyiarkan rakaman itu bagi menepis tuduhan yang polis melayan Anwar dengan buruk semasa ditahan semalaman dalam lokap.

Berhubung tindakan Singapura menuntut kawasan perairan wilayah dan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) di sekitar Batu Puteh, Abdullah berkata Malaysia dan Singapura telah bersetuju jawatankuasa teknikal Malaysia-Singapura akan menyelesaikan apa juga perkara yang berbangkit ekoran keputusan Mahkamah Keadilan Dunia (ICJ) yang memberikan hak kedaulatan Batu Puteh kepada republik itu.

Beliau berkata tidak perlu perkara itu dibangkitkan dan dihujahkan dalam media.

ICJ dalam penghakimannya pada 23 Mei tahun ini, memutuskan Singapura mempunyai hak kedaulatan terhadap Batu Puteh (dikenali di Singapura sebagai Pedra Branca) dan Malaysia bagi Terumbu Karang Tengah manakala Terumbu Karang Selatan, milik negara di mana perairan wilayah itu terletak.