Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Wednesday, July 23, 2008

Mahkamah tolak notis usul Karpal panggil semula Bala

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menolak notis usul peguam pemerhati kepada keluarga Altantuya Shaariibuu, Karpal Singh, untuk memanggil semula penyiasat persendirian P Balasubramaniam bagi memberi keterangan di mahkamah pada perbicaraan kes bunuh wanita Mongolia itu.

Selain Balasubramaniam, notis usul itu turut meminta mahkamah memanggil Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; Pegawai Pengiring, Deputi Superintendan Musa Safri; Ketua Siasatan Jenayah Balai Polis Brickfields, Deputi Superintendan Idris dan peguam, Dhiren Rene Norendra, supaya hadir sebagai saksi.

Penolakan notis usul oleh Karpal itu diputuskan Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin. Mahkamah kemudian meneruskan perbicaraan bagi mendengar hujahan akhir pihak pendakwaan.

Notis usul itu difailkan Karpal di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi, Isnin lalu, mengikut Seksyen 425 Kanun Acara Jenayah.

Karpal sebelum ini berkata, mahkamah perlu memanggil semula Balasubramaniam untuk memberi keterangan pendakwaan dan memerintahkan Najib serta tiga lagi hadir sebagai saksi untuk memastikan perbicaraan kes itu berjalan secara adil.

Apa yang menarik di Agendadaily

Tanpa kuota saya menang – Ku Li
Oleh: BADRUL HISHAM ABDUL AZIZ DAN LUKMAN ABDULLAH
Bunuh atau dibunuh
Oleh: HANAFIAH MAN
Mana ada parut di muka saya…
Oleh: ROSLI ISMAIL DAN ROSLAN BIAN

Batu Puteh: S'pura tuntut perairan wilayah

Singapura menuntut kawasan perairan wilayah dan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) di sekitar Batu Puteh, yang diputuskan diberikan kepada republik itu oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) Mei lalu, dalam menyelesaikan satu pertikaian hak milik dengan Malaysia.

Menteri kanan republik itu Balaji Sadasivan berkata Singapura mempunyai kawasan perairan wilayah sehingga maksimum 12 batu nautika dan EEZ yang konsisten dengan Konvensyen Pertubuhan Bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS) pada 10 Dis 1982, di mana Singapura adalah sebuah pihak berkenaan.

Penyelaras perairan wilayah Singapura dan EEZ akan diumumkan jika tiba masanya, katanya menjawab soalan di Parlimen semalam, demikian menurut laporan Bernama.

Transkrip sesi soalan dan jawapan dikeluarkan kepada media oleh Kementerian Hal Ehwal Luar Singapura.

Balaji berkata jika had perairan wilayah atau EEZ bertindih dengan tuntutan negara-negara jiran, Singapura akan berunding dengan negara-negara itu untuk mencapai persetujuan bagi menetapkan had atau batasan mengikut undang-undang antarabangsa.

ICJ memutuskan bahawa Singapura mempunyai hak kedaulatan terhadap Batu Puteh dan Malaysia bagi Terembu Karang Tengah dan Terumbu Karang Selatan, milik negara itu di perairan wilayah tersebut di mana ia terletak.

Malaysia telah menegaskan bahawa ia akan terus mencari bukti lagi mengenai kes Batu Puteh dengan pandangan untuk mendapatkan satu semakan penghakiman ICJ bahawa batuan itu milik Singapura.

Dalam rujukan ini, Balaji berkata di bawah statut ICJ, sesebuah pihak boleh memohon untuk satu kajian penghakiman ICJ jika "ia berdasarkan penemuan sesetengah fakta seperti ini menjadi satu faktor muktamad, yang pada hakikatnya semasa penghakiman diberikan, yang tidak diketahui oleh Mahkamah itu dan juga kepada parti yang menuntut semakan, sentiasa menyediakan bahawa kejahilan seperti itu bukan disebabkan kecuaian".
Balaji berkata bahawa dengan penyelesaian pertikaian ini melalui penghukuman pihak ketiga, kedua-dua negara telah menunjukkan hormat mereka terhadap undang-undang antarabangsa dan komitmennya untuk menyelesaikan pertikaian ini dalam cara aman.

Kes ini memberikan contoh mengenai penggunaan mekanisme penyelesaian pertikaian pihak ketiga dan boleh menjadi satu contoh untuk menyelesaikan pertikaian dua hala lain, tambah beliau.
Click here!

Pinjam mudah RM50,000

Skim bantu kakitangan awam berniaga,
tambah pendapatan

KUALA LUMPUR - Kakitangan awam yang ingin menjalankan perniagaan kecil secara sambilan bagi menambah pendapatan kini boleh mendapatkan pinjaman mudah sehingga RM50,000 tanpa penjamin atau cagaran daripada kerajaan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar, berkata pinjaman beberapa agensi kementerian sejajar usaha menggalak rakyat, termasuk kakitangan awam berniaga sambilan untuk pendapatan tambahan.

Katanya, kakitangan awam yang layak digalakkan memohon pinjaman mudah itu menerusi Tekun Nasional, Mara, Bank Rakyat, Bank SME atau Perbadanan Nasional Bhd (PNS) untuk berniaga dan menambah pendapatan.
"Bagaimanapun, setiap pemohon perlu mendapat kebenaran ketua jabatan masing-masing untuk berniaga sambilan," katanya.
Pada 22 Jun lalu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan kerajaan menambah permit peniaga kecil dan penjaja bagi meringankan beban golongan berpendapatan rendah, termasuk kakitangan awam untuk menggalakkan mereka bekerja sambilan untuk menghadapi kenaikan harga.

Perdana Menteri berkata, langkah itu sebahagian usaha jangka panjang kerajaan untuk membantu rakyat, terutama berpendapatan rendah menghadapi kenaikan kos sara hidup.

Noh berkata, kakitangan awam yang berminat boleh memohon di pejabat Mara, Tekun, Bank Rakyat, Bank SME dan PNS untuk maklumat lanjut mengenai skim pinjaman itu.
"Sebelum ini kakitangan kerajaan sukar mendapatkan pinjaman perniagaan. Jadi, kerajaan lakukan ini bagi memastikan kumpulan itu dapat dibantu untuk mengurangkan beban mereka menghadapi peningkatan kos sara hidup.

"Seperti juga usahawan lain, segala urusan pinjaman akan dibantu serta dipermudahkan. Semua agensi di bawah kementerian juga disyaratkan memberi alasan kukuh jika menolak sebarang permohonan," katanya.
Noh meminta kakitangan awam merebut peluang itu bagi membaiki taraf hidup dan mengelak terlalu bergantung pada gaji.
"Keputusan kerajaan memberi kelonggaran kepada kakitangan awam untuk berniaga itu sedikit sebanyak membantu merealisasikan hasrat mewujudkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, katanya, agensi kementerian memberi kelulusan pinjaman berjumlah RM642.47 juta kepada 5,208 peminjam mulai Januari hingga Mac lalu.
"Daripada jumlah itu, masing-masing RM92.03 juta diluluskan oleh Mara, RM29.53 juta (Tekun), RM517.97 juta (Bank SME) dan RM2.94 juta (PNS)," katanya.

Tindakan Jika Akuan Sumpah Dipermainkan, Kata Syed Hamid

Katanya kerajaan tidak berhasrat untuk menghalang sesiapa pun untuk membuat akuan bersumpah walaupun terdapat kritikan terhadap tindakan penyiasat persendirian, P Balasubramaniam, yang membuat dua perakuan bersumpah bercanggah dalam tempoh 24 jam baru-baru ini.
"Saya harap rakyat faham bahawa bila kita buat akuan sumpah, ia adalah serius, dan kalau palsu, kita boleh ambil tindakan terhadap mereka," katanya ketika menggulung perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan bagi kementerian itu di Dewan Negara semalam.
Mengenai aduan Penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau tidak menerima salinan laporan polis mengenai dakwaan liwat yang dibuat terhadapnya oleh bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, Syed Hamid berkata salinan hanya diberikan jika ada pertuduhan.
"Di bawah peruntukan Seksyen 51A, Kanun Tatacara Jenayah, salinan laporan hanya dibekalkan sekiranya ada pertuduhan, dan jika dibekalkan juga akan menyusahkan pihak yang buat aduan," katanya.
Mengenai satu perkara lain, Syed Hamid berkata kerajaan akan memperbaiki nisbah anggota polis dan kakitangan awam daripada 1:280 ketika ini kepada 1:250 atau 12 peratus lebih tinggi seperti disarankan oleh Interpol.
"Polis Diraja Malaysia mmpunyai tujuh jabatan dan kakitangan seramai 97,710 orang dan daripada jumlah itu 84 peratus terbabit dengan tugas kepolisian," katanya.

BUANG SIKAP CURIGA TERHADAP MUZAKARAH

Ketika usaha-usaha mengadakan muzakarah antara UMNO dan Pas berhubung pelbagai isu membabitkan orang Melayu dan Islam di negara ini semakin hampir menjadi kenyataan, jangan perselisihan pendapat membantutkannya.

Muzakarah antara kedua-dua parti Melayu itu sesuatu yang baik dan digalakkan oleh Islam.

Memang Pas pernah menyertai Barisan Nasional (BN) pada 1974 hingga 1978.

Kebimbangan pengalaman lalu mungkin berulang sepatutnya tidak menjadi halangan utama untuk kedua-dua pihak duduk berbincang.

Muzakarah ini adalah satu usaha demi kebaikan orang Melayu dan Islam serta negara pada amnya.

Kebimbangan bahawa muzakarah itu akan menyebabkan perpecahan dalam kalangan ahli-ahli Pas dan keretakan hubungan dengan Pakatan Rakyat bergantung kepada matlamat politik masing-masing.

Dalam soal ini, semua pihak perlu realistik dan menerima perubahan semasa. Kita tidak perlu takut dalam memperjuangkan soal perpaduan Melayu dan umat Islam. Soal-soal politik walaupun penting, perlu diketepikan buat sementara waktu.

Kita juga tidak boleh terlampau berprasangka terhadap perkara-perkara yang baik. Elakkan tafsiran-tafsiran negatif mengenai niat baik ini.

Kita bimbang, jika banyak tafsiran, akan berlaku kekeliruan dan akhirnya menimbulkan fitnah.

Sehubungan itu, halangan-halangan untuk menuju ‘jalan yang lurus’ perlu dibuang jauh-jauh. Umat Melayu dan Islam di negara ini tidak mampu lagi untuk terus berpecah dan bermusuhan.

Dalam hal ini, yang penting ialah keikhlasan di hati pemimpin-pemimpin kedua-dua parti ini. Cakaplah apa sahaja mengenainya tetapi matlamat pertemuan perpaduan Melayu itu perlu menjadi keutamaan.

Satu titik penyelesaian masalah kerapuhan perpaduan yang menghantui bangsa Melayu ini perlu segera dicari.

Buang seketika pertimbangan-pertimbangan kepartian ketika membicarakan tentang perpaduan Melayu/Islam ini. Fokus harus kepada kepentingan bangsa dan agama, tidak yang lain.

Tidak ada lagi pihak lain yang boleh diletakkan harapan untuk perpaduan Melayu dan agama Islam ini kecuali UMNO, sebuah parti bertunjangkan Melayu dan Pas, yang penubuhannya bertujuan memperjuangkan Islam.

Kedua-dua perkara utama itu amat relevan dalam keadaan sekarang. Apabila Melayu semakin goyah, maka dengan sendirinya Islam akan turut menerima tempiasnya. Dengan perkataan lain, jika Melayu lemah, Islam tercabar.

Sehubungan itu, sekali lagi ditekankan bahawa, muzakarah yang dicadangkan itu perlu diteruskan demi kepentingan bukan sahaja orang Melayu tetapi juga seluruh rakyat negara ini.

Lagipun, isu perpaduan Melayu bukan perkara baru, malah telah berlarutan sejak sekian lama. Ia perlu diselesaikan segera. Jangan nanti kita diketawakan kerana semangat ‘hangat-hangat tahi ayam.’
Click here!