Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Tuesday, July 22, 2008

DAP Memonopoli Kerusi Ahli Majlis Daerah Kuala Selangor

Oleh : taminsari
DAP mengambil peluang untuk memberi hadiah kepada sekutu dan kroninya dengan mengorbankan hak pembayar cukai tempatan. Prinsip asas berkerajaan tempatan diketepikan dengan mudah. Malah, unsur kronisma mula terserlah.

DAP sudah mula bermain api. Manakala MB Selangor tidak kisah dan membiarkan api itu marak menyala.

Dalam pilihanraya umum yang lalu, Parlimen Kuala Selangor menawarkan 3 kerusi DUN. Satu memihak kepada Barisan Nasional di Jeram, manakala Bukit Melawati dan Ijok memihak kepada PKR dan PAS mengungguli Parlimen Kuala Selangor.

Apabila Selangor jatuh ke tangan PR, di Kuala Selangor, seperti ribut bekas ahli-ahli MCA menubuhkan cawangan DAP terutamanya Pasir Penambang dan Jeram.

Pengamat politik daerah ini tahu benar siapa sebenarnya yang benar-benar DAP dan siapa sebenarnya sesumpah. Dengan anggaran awal DAP akan mendapat 3 atau 4 kerusi Ahli Majlis di anggap memadai dan bersesuaian dengan kehadirannya yang kecil.

Kejutan demi kejutan berlaku. Kini DAP mendapat 7 kerusi. PKR 6 kerusi dan PAS 6 kerusi, selebihnya diisi dari NGO dan profesional. Terdapat sedikit pertukaran saat akhir dimana Azmi Ahmad ditukar menggantikan Dr Idris manakala Hj Kudus digantikan dengan En Zainal dari Permatang.

Hanya 2 wakil DAP anak tempatan ia itu Low Tan dan Tan Hon Li, manakala Kwi Ai Mei juga dikenal pasti mewakili DAP tetapi diletakkan atas tiket NGO. Ketika pertemuan menerima watikah, Kwi Ai Mei tersasul menyatakan ia wakil DAP.

Kalangan DAP tempatan sendiri sukar mempercayai Kwi Ai Mei boleh terpilih.

Selain mengisi kouta nya dengan memberi laluan kepada Khairul Anwar Ahmad Nor, Ang Boon Teck, Ahmad Bongsu Hamid Tuah, Selvandran Ponglidian semuanya adalah dari luar. Ang Boon Teck diberitakan seorang sepupu YB Sekinchan Ng Sue Lim (kronisma).

Ini bermakna DAP mendapat 7 kerusi kesemua melalui manipulasi NGO.

Ahmad Bongsu pernah bertanding dalam Pilihanraya atas tiket DAP, Khairil Anwar adalah anak kepada bekas pengerusi DAP Ahmad Nor. Jelas sekali DAP mahu membalas jasa pemimpin lama mereka dengan mengorbankan hak pembayar cukai Kuala Selangor.

Adalah amat mengelirukan mengapa DAP mengambil tindakan ini dan tidak menghormati pembayar cukai Kuala Selangor.

Tindakan ini akan mencalarkan perasaan PKR dan PAS. Tindakan ini adalah permulaan kepada kehancuran Pakatan Rakyat. Sudah nampak kegelisahan beberapa pihak. Ada juga pendapat yang mahukan PAS tarik ‘hand brake’ untuk menghentikan gelagat lucu DAP dan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. - Selangortoday.

Raja Bukan Sekadar Pelengkap Adat, Titah Raja Nazrin

KUALA LUMPUR - Raja-raja merasakan peranan mereka dalam urusan negara bukan sekadar pelengkap kepada adat negara beraja kerana "mereka bukannya daripada kalangan insan yang buta penglihatan, pekak pendengaran dan bisu pertuturan", titah Raja Dr Nazrin Shah.
Pandangan berterus-terang Raja-raja dalam perkara-perkara berkaitan perpaduan warga, peranan agama, kebebasan kehakiman serta rasuah dan penyalahgunaan kuasa adalah berdasarkan hasrat untuk memastikan bahawa negara terus kukuh dan aman, dan warga terus sejahtera dan makmur, titah baginda.

"Segala perkara yang berlaku adalah dalam ruang penglihatan, pendengaran dan pertuturan mereka," titah Raja Nazrin dalam pidato bertajuk "Institusi Beraja" di Intan di sini, Isnin.

Baginda bertitah bahawa setelah 50 tahun kemerdekaan negara, Raja-raja telah mencapai satu tahap kematangan dengan memahami peranan terutamanya ketika negara menghadapi krisis.

Bagaimanapun, demi memastikan takhta kekal dihormati, Raja-raja harus bersifat berkecuali dan memisahkan diri daripada terlibat dalam sebarang kancah pertelingkahan politik kepartian serta menjauhkan diri daripada dijadikan instrumen oleh mana-mana pihak dalam persaingan mendapatkan kuasa politik, titah Raja Muda Perak.

"Selaras dengan semangat Raja Berpelembagaan yang biasa diamalkan, peranan Raja adalah memerintah dan bukan mentadbir. Raja hendaklah berada di atas segala urusan politik dan urusan pentadbiran harian yang melibatkan banyak kerenah dan pelbagai kontroversi.

"Dengan berada di takhta yang lebih tinggi, Raja hanya terlibat pada waktu dan ketika yang diperlukan," titah Raja Nazrin. Perlembagaan negara, menurut baginda, memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja memiliki budi bicara yang boleh digunakan menurut prerogatif Raja Pemerintah tertakluk kepada batasan tertentu.

"Budi bicara Raja Pemerintah merangkumi kuasa melantik Perdana Menteri di peringkat Persekutuan dan melantik Menteri Besar di peringkat negeri, hak tidak memberi perkenan membubarkan Parlimen di peringkat Persekutuan dan Dewan Undangan Negeri di peringkat negeri.

"Dalam urusan lantikan Perdana Menteri demikian juga Menteri Besar, budi bicara Raja Pemerintah tidaklah mutlak. Baginda berada dalam kedudukan berhak memastikan siapakah yang telah mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri.

Budi bicara Raja menjadi sangat penting apabila berlaku keadaan tergantung disebabkan tidak ada parti yang menguasai majoriti keanggotaan Dewan Rakyat ataupun Dewan Undangan Negeri atau apabila kerajaan campuran mahu ditubuhkan," titah baginda.

Dalam suasana demikian, titah Raja Nazrin, Raja Pemerintah boleh bertindak atas budi bicara Baginda menentukan tokoh yang difikirkan mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Dewan yang berkaitan, dan kegagalan menggunakan budi bicara tersebut secara bijaksana, akan ditafsirkan oleh rakyat sebagai satu kegagalan Raja Pemerintah melaksanakan tanggungjawab paling asas secara adil lagi saksama.

Baginda bertitah, keputusan pilihan raya umum Mac lalu telah meletakkan tanggungjawab besar kepada Istana Perak, di mana berasaskan keputusan, pihak yang mendakwa mendapat sokongan majoriti kelihatan kabur.

Pada pilihan raya itu, Barisan Nasional menenangi 28 daripada 59 kerusi Dewan Undangan Negeri yang dipertandingkan di Perak, manakala DAP menguasai 18 kerusi, Parti Keadilan Rakyat (PKR), tujuh kerusi dan PAS enam kerusi.

Rangkaian DAP, PKR dan PAS menguasai 31 kerusi, namun, menurut Raja Nazrin, mereka perlu secara sahih mencapai kata sepakat untuk memilih calon yang dapat menyakinkan Raja Pemerintah bahawa beliau mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Dewan.

"Mereka melalui proses yang panjang sebelum Menteri Besar dapat mengangkat sumpah jawatan dan diperkenan dengan tauliah lantikan," titah baginda.

Baginda juga menyebut contoh di Selangor, di mana BN menguasai 20 kerusi, PKR 15, DAP 13 dan PAS lapan.

"Meskipun rangkaian DAP-PKR-PAS memperlihatkan majoriti yang nyata, namun Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor masih perlu memastikan bahawa calon yang baginda berikan perkenan diterima oleh ketiga-tiga parti yang berhasrat menubuhkan kerajaan campuran," titah Raja Nazrin.

Titah baginda, krisis Menteri Besar turut berlaku dalam senario BN memperoleh kemenangan ketara seperti di Perlis di mana BN menguasai 14 daripada 15 kerusi yang dipertandingkan.

Raja Nazrin bertitah walaupun Datuk Seri Shahidan Kassim merupakan calon yang direstui oleh pimpinan pusat untuk mengekalkan jawatannya sebagai Menteri Besar negeri itu, namun timbul senario "parti dalam parti" apabila calon pilihan pengerusi BN (Perdana Menteri) di peringkat pusat tidak mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Undangan Negeri BN di peringkat negeri.

"Datuk Seri Shahidan Kassim dilaporkan tidak dapat memenuhi titah Duli Yang Maha Mulia Raja Perlis untuk membawa menghadap majoriti ahli-ahli Dewan Undangan Negeri yang memberi sokongan terhadap beliau.

Baginda lalu melantik calon yang Baginda yakin mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Dewan," titah Raja Nazrin.

Senario di Terengganu pula "menguji hubungan institusi Raja dengan institusi rakyat," titah baginda.

Titah baginda, calon yang dinamakan oleh pengerusi BN untuk mengisi jawatan Menteri Besar tidak mendapat perkenan Istana.

Menurut baginda, terdapat perselisihan sesama ahli-ahli Dewan Undangan Negeri BN dan juga dalam kalangan pimpinan Umno peringkat negeri.

"Kedua-dua pihak mempunyai pandangan perundangan atas nasihat pakar undang-undang masing-masing. Rundingan yang berlarutan berlaku di belakang tabir," titah baginda.

Raja Nazrin bertitah Majlis Penasihat Pemangku Raja (di Terengganu) tidak berganjak dengan pendirian, bersandarkan prinsip bahawa hak melantik Menteri Besar adalah di bawah budi bicara Raja Pemerintah negeri.

"Tidak dapat dinafikan, dalam setiap krisis ada saat-saat genting, namun kematangan berkerajaan dan bernegara dan kesediaan individu memberi laluan demi kepentingan negara dan warga telah membantu meredakan krisis, lalu hubungan harmoni kembali terjalin dan pada akhirnya kerajaan berfungsi," titah Raja Nazrin.

Menurut baginda, peranan Raja dalam urusan lantikan Menteri Besar di empat negeri berkenaan adalah dalam ruang kuasa budi bicara Raja Pemerintah selaras dengan bidang kuasa yang diperuntukkan oleh Perlembagaan.

Raja Nazrin juga bertitah arahan pertukaran serta merta Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, oleh kerajaan DAP-PKR-PAS juga bersifat melanggar sempadan kuasa Raja Pemerintah kerana agama Islam dan urusan yang berkaitan dengannya adalah di bawah prerogatif Raja Pemerintah.

Raja Nazrin menjelaskan bahawa berdasarkan enakmen Pentadbiran Agama Islam Perak, Pengarah Jabatan Agama Islam adalah juga Setiausaha kepada Majlis Agama dan Adat Melayu Perak, dan lantikan Setiausaha Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak adalah dengan perkenan Sultan Perak.

"Oleh itu bercanggah jika pertukaran beliau dilakukan atas arahan pentadbiran negeri tanpa terlebih dahulu disembah maklum untuk mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan," titah baginda.

Raja Nazrin bertitah ia juga bercanggah dengan prinsip keadilan apabila pegawai berkenaan yang dituduh melakukan kesalahan tidak langsung diberi peluang untuk membela diri.

"Oleh sebab itu, kerajaan negeri telah dititahkan untuk menarik balik arahan pertukaran yang dikenakan ke atas beliau," titah baginda.

Raja Nazrin juga bertitah walaupun Majlis Raja-raja adalah suatu institusi penting negara "sayang sekali kefahaman terhadapnya begitu terbatas."

Titahnya baginda, Raja Pemerintah mempunyai tanggungjawab yang luas dalam memastikan bahawa semangat perlembagaan, falsafah di sebalik setiap undang-undang serta kepentingan lebih besar negara dan rakyat perlu senantiasa difahami dan dilindungi.

"Dalam mendukung semangat demikian, Majlis Raja-raja dijadikan forum untuk Raja-raja menyuarakan pandangan dan menentukan pendirian berhubung calon-calon untuk dilantik sebagai hakim, sebagai Ketua Audit Negara dan sebagai ahli-ahli suruhanjaya yang berkaitan.

Dalam suasana tertutup satu perimbangan dan persefahaman akhirnya terjalin antara kerajaan dan Raja-raja.

"Yang penting diawasi dan ditegaskan ialah Raja-raja tidak seharusnya menyalah gunakan kuasa budi bicara hingga bercanggah dengan semangat perlembagaan dan undang-undang.

Yang kedua, Raja-raja adalah sebahagian dari institusi negara yang dapat berperanan positif memperkukuhkan sistem demokrasi dengan melaksanakan tanggungjawab semak dan imbang demi memelihara kepentingan dan kebajikan warga," titah Raja Nazrin.

Raja Muda Perak bertitah sistem Raja Berperlembagaan perlu ditafsir sebagai perkongsian kuasa antara Raja dan rakyat di mana Raja menjadi sumber rujukan ketika berlakunya krisis dalam kalangan rakyat.

Raja Nazrin bertitah Raja perlu memastikan berlakunya secara adil mekanisme semak dan imbang antara cabang-cabang perundangan, eksekutif dan kehakiman, sekali gus memperkukuhkan institusi demokrasi dalam negara.

"Secara umum Raja bertindak berasaskan nasihat pimpinan kerajaan pilihan rakyat. Namun Raja tidak harus sama sekali merasa tertekan dan tidak semestinya memberi perkenan, jika nasihat yang disembah bercanggah dengan semangat perlembagaan, bertentengan dengan keluhuran undang-undang serta melanggar prinsip keadilan sejagat.

"Raja sama sekali tidak boleh memihak kepada perbuatan yang tidak melambangkan keadilan atau merestui tindakan yang tidak mencerminkan kebenaran," titah Raja Nazrin.

Baginda juga bertitah kekuatan dan kelemahan seseorang Raja juga dipengaruhi oleh kekuatan atau kelemahan mereka yang diberi amanah menjadi pembesar dan penasihat Raja dan untuk Raja bertindak secara arif, bijak dan saksama, adalah menjadi keperluan bagi Raja untuk mempunyai barisan pembesar dan penasihat daripada kalangan mereka yang arif lagi ilmuwan, daripada kalangan mereka yang tidak mempunyai muslihat, dan daripada kalangan mereka yang tidak berkepentingan terselindung, supaya Raja disembah nasihat dengan maklumat yang tepat agar Raja tidak terpesong kerana "berpagarkan sokong yang rebah."

"Hubungan Raja, pembesar, pemimpin dan rakyat perlu dibina secara sihat, disuburkan melalui saluran komunikasi yang berkesan.

"Barisan yang diberi kepercayaan dan tanggungjawab menasihati Raja, wajib bersifat ikhlas, arif lagi berilmu, berkata benar betapa pahit sekalipun, supaya Raja tidak dibuai dalam khayalan, tidak diulit gurindam pujian.

"Jika jambatan komunikasi yang kukuh dapat dibina, persefahaman dapat diluaskan, hubungan harmonis dapat diakrabkan, Insya-Allah, Raja akan selamat bertakhta, penuh berdaulat, dikasihi rakyat," titah Raja Nazrin.

Muhammad tawar diri bertanding Naib Presiden

Tan Sri Muhammad Muhd Taib dijangka akan membuat pengumuman bagi bertanding jawatan Naib Presiden UMNO Malaysia hari ini.

Beliau dijangka akan membuat pengumuman tersebut di bangunan UMNO Selangor jan 10 pagi hari ini.

Beliau merasa terpanggil untuk bertanding kejawatan yang pernah disandangnya demi untuk perpaduan didalam UMNO. Beliau akan menggunakan sepenuhnya jawatan tersebut bagi menyatukan semula ahli UMNO yang sekarang ini nampak goyah selepas keputusan pilihanraya ke 12 yang tidak begitu memberansangkan.
Click here!