Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Friday, July 18, 2008

Debat makin diterima...RTM sedia siar debat pemilihan UMNO

Agendadaily - DEBAT… Pelbagai pihak mula merasakan program debat merupakan sesuatu yang perlu diteruskan kerana ia merupakan satu wadah untuk membentuk pemikiran rakyat secara fakta dan tidak mudah dipesongkan oleh persepsi semata-mata.

Ekoran kejayaan Siri Debat Agendadaily yang mempertemukan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek dengan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, wujud cadangan agar debat seumpamanya dianjurkan bagi mereka yang ingin bertanding jawatan penting dalam UMNO.

Malah Ahmad Shabery ketika ditanya mengenai perkembangan itu berkata, Kementerian Penerangan bersedia memberi ruang kepada calon yang menawarkan diri bertanding Naib Presiden dan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO untuk berdebat secara langsung menerusi RTM.

Katanya, perdebatan itu boleh memberikan ruang untuk perbincangan sihat, sekali gus memberi peluang kepada orang ramai menilai sendiri pemimpin UMNO sedia ada. -->>lanjut

Muzakarah: BBPM sedia jadi orang tengah

Malaysiakini - Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM) hari ini menyatakan kesediaan mereka untuk menjadi 'orang tengah' bagi menjayakan muzakarah antara Umno dan PAS dalam membincangkan soal perpaduan Melayu dan umat Islam.

Ketua Umum BBPM Osman Abu Bakar berkata, BBPM sedia menjadi orang tengah demi perpaduan parti politik ini. -->>lanjut
Click here!

Ku Li memasang angan yang terlalu tinggi

Isu turun harga minyak merupakan umpan bagi mereka yang ingin menjadi Perdana Menteri. Selepas Anwar, Tengku Razaleigh pula menggunakan isu minyak untuk memujuk perwakilan UMNO untuk memilih beliau sebagai Presiden Parti UMNO dalam pemilihan Disember ini.

Bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah mempunyai ‘formula’ untuk menurunkan harga petroleum di negara ini walaupun harga bahan api itu di pasaran dunia terus melonjak. Beliau yang juga bekas Pengerusi Petronas berkata, secara asasnya, harga bahan petroleum yang dijual negara ini oleh syarikat minyak ditentukan oleh kerajaan yang boleh dipertimbangkan semula mengikut keperluan semasa.

Katanya lagi , ”Tuhan telah berikan kita otak, gunakanlah sebaik mungkin, lagipun terdapat ramai cerdik pandai di negara ini yang boleh digunakan untuk memberikan idea bernas bagi membantu kerajaan,”

Apakah mungkin jika Tengku Razaleigh dipilih untuk menjadi Presiden UMNO harga minyak akan turun dengan formulanya dan UMNIO akan pulih dari menghadapi kemelut sekarang. Mengapa selama ini Ku Li tidak pernah memberikan idea-idea beliau yang bernas untuk membangunkan kerajaan Malaysia dan kenapa baru sekarang Ku Li punya banyak idea dan punya idea menurunkan harga minyak sedangkan dunia sedang mengalami kemelut krisis minyak.

Apakah idea dan formula Ku Li sama dengan formula Anwar yang hanya pada dasarnya hanyalah penghias kata untuk memancing rakyat menyokong beliau. Hairan … Hanya Ku Li sahaja yang menilaikan dirinya baik dan layak unutk menjadi Perdana Menteri dan beliau bagaikan syok sendiri sedangkan sokongan terhadap beliau amat menyedihkan dan kemungkinan beliau akan gagal dan kempunan lagi amat besar sekali. Sebenarnya, nama Ku Li bukanlah keutamaan untuk dinobatkan sebagai Perdana Menteri dan silap -silap beliau gagal untuk mendapat sebarang pencalonan.

Ku Li tak perlulah memasang angan-angan yang terlalu tinggi.

MT tetapkan Presiden, timbalan tidak ditandingi

Keputusan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan telah diputuskan oleh ahli-ahli Majlis Tertinggi (MT) parti itu dan keputusan tersebut sepatutnya dihormati semua pihak.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, walaupun perlembagaan parti menyebut semua jawatan adalah terbuka untuk dipertandingkan tetapi keputusan MT itu telah dibuat pada mesyuarat minggu lalu.
‘‘Memang dalam perlembagaan (parti) semua jawatan adalah terbuka (untuk dipertandingkan), tetapi MT putuskan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.

‘‘Lagipun Perdana Menteri sudah mengumumkan transisi yang akan dibuat beliau. Jadi saya harap semua pihak termasuk bahagian UMNO di seluruh negara dapat memberi sokongan,” katanya.
Mohd. Ali berkata demikian ketika diminta mengulas pandangan beberapa pihak yang mahukan kedua-dua jawatan tersebut dipertandingkan pada pemilihan pucuk pimpinan parti itu Disember ini.

Semalam, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dilaporkan berkata, jawatan Presiden dan Timbalan Presiden boleh dipertandingkan pada pemilihan UMNO Disember ini kerana ia termaktub dalam perlembagaan parti.

Beliau berkata, walaupun peralihan kuasa antara Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak telah dimuktamadkan, ia isu yang berbeza dengan pertandingan dalam parti.

Menyerahkan

Kelmarin, Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyuarakan pandangan bahawa jawatan tertinggi parti perlu dipertandingkan sungguhpun jangka masa peralihan kuasa antara Abdullah dan Najib sudah diumumkan.

Mohd. Ali yang juga Ketua Menteri Melaka berkata, langkah yang diambil oleh Perdana Menteri untuk mempertahankan kerusi Presiden dan akan menyerahkan kerusi tersebut kepada Najib pada 2010 boleh memperkuatkan parti.
‘‘Langkah ini diambil bagi memperkuatkan parti, kuatkan UMNO dan Barisan Nasional. Jadi saya harap ia disokong oleh semua bahagian di seluruh negara,” kata beliau.
Mengenai jawatan Naib Presiden yang kini menyaksikan ramai menawarkan diri untuk bertanding, beliau berkata, ia suatu perkembangan yang sihat dan perkara biasa dalam UMNO.
‘‘Ini bukan perkara luar biasa. Ini menunjukkan UMNO tidak kurang pemimpin untuk bertanding dan berbakti kepada parti. Itu adalah satu perkembangan yang baik,” katanya yang akan mempertahankan jawatannya itu Disember ini.
Antara pemimpin lain yang telah menyatakan hasrat untuk bertanding jawatan itu ialah Tan Sri Mohd. Isa Samad, Muhyiddin Yassin, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib dan Hishammuddin Tun Hussein.

Turut melahirkan minat untuk mendapatkan pencalonan jawatan itu ialah Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal, Datuk Seri Mohamad Hasan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim, Datuk Seri Shahidan Kassim, Datuk Seri Adnan Yaakob, Datuk Abdul Ghani Othman, Datuk Mustapa Mohamed dan Datuk Seri Syed Hamid Albar.

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik juga menyatakan hasrat masing-masing untuk merebut salah satu daripada tiga kerusi Naib Presiden berkenaan.