Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Tuesday, July 15, 2008

Altantuya: Najib bersumpah depan pimpinan UMNO seluruh negara

‘ Wallahi Wabilahi Watallahi’ ... Begitulah lafaz sumpah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa menafikan beliau pernah bertemu dan mengenali wanita Mongolia Altantuya Shariibu.
Beliau melafazkannya di depan Ketua UMNO Bahagian, Exco Pemuda, Wanita dan Puteri dari 191 bahagian UMNO di seluruh negara yang menghadiri taklimat khas Presiden UMNO di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra,Kuala Lumpur petang Khamis.

Beberapa orang yang menghadiri taklimat itu memberitahu Agendadaily bahawa Najib melafazkannya secara spontan semasa giliran beliau berucap.Sebelum itu Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyampaikan amanatnya.

Ia terus sambut dengan tepukan gemuruh pada hadirin.Dalam taklimat berkenaan Abdullah telah memberi penerangan tentang proses peralihan kuasa antara beliau dan Najib.

Mereka yang ditemui selepas taklimat berkenaan berkata lafaz sumpah Najib itu menghilangkan langsung keraguan terhadap berbagai fitnah dan dakwaan yang cuba mengaitkan Timbalan Perdana Menteri dengan Altantuya.

Ini termasuk akuan bersumpah penyiasat persendirian, P Balasubramanian semasa sidang akhbar bersama Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim Khamis lalu yang kemudiannya ditarik balik pada pagi Jumaat.

“Apa lagi yang perlu kita ragu…kalau tidak …tak mungkin Datuk Seri Najib berani bersumpah begitu,”kata salah seorang dari mereka.

Selasa lalu semasa ditemui Agendadaily di bangunan Parlimen Najib berkata beliau telah melafazkan "demi Allah" tidak pernah jumpa Altantuya dan menyifatkan itu adalah pengakuan terbuka bagi menjawab segala fitnah ke atas dirinya.

Beliau kata demikian ketika ditanya desakan beberapa pihak agar beliau bersumpah bagi menjawab segala fitnah ke atas dirinya.

Semasa berucap pada satu majlis di Pekan Sabtu lalu Timbalan Perdana Menteri berkata beliau tidak gentar atau takut untuk menghadapi fitnah terhadap dirinya kerana yakin kebenaran akan terbukti kelak.

Katanya hanya Allah yang akan menentukan kebenarannya kelak terhadap segala fitnah yang dilemparkan kepadanya. 10/7/2008

-----------------------------

Saya dah lafaz demi Allah tak pernah jumpa Altantuya - Najib

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata, beliau telah melafazkan "demi Allah" tidak pernah jumpa Altantuya dan menyifatkan itu adalah pengakuan terbuka bagi menjawab segala fitnah ke atas dirinya.

Beliau kata demikian kepada Agendadaily di bangunan Parlimen ketika ditanya desakan beberapa pihak agar beliau bersumpah bagi menjawab segala fitnah ke atas dirinya.

Najib menjadi sasaran fitnah yang dilemparkan oleh pembangkang dengan mengaitkannya dengan kes pembunuhan Altantuya. Malah bukan Najib sahaja yang difitnah tetapi isterinya Datin Seri Rosmah Mansor turut dikaitkan kes berkenaan.- 8/7/2008

----------------------------

Allah akan tentukan kebenarannya - Najib

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau tidak gentar atau takut untuk menghadapi fitnah terhadap dirinya kerana yakin kebenaran akan terbukti kelak.

Timbalan Perdana Menteri berkata hanya Allah yang akan menentukan kebenarannya kelak terhadap segala fitnah yang dilemparkan kepadanya.

"Allah yang akan menentukan yang benar, Allah yang akan membalas di Akhirat, silap-silap di dunia pun dah dapat balasannya nanti," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Persidangan Berkelompok Tahunan Umno bahagian Pekan , Sabtu.

"Saya tidak gentar, tidak takut untuk hadapi fitnah, kebenaran akan terbukti, saya dan isteri (Datin Seri Rosmah Mansor) akan hadapi segala-galanya dan yakin kebenaran akan timbul," katanya.

"Sejarah sendiri akan menilai atau menghukum apa yang kita buat (jika kita bersalah)," katanya.

Bernama melaporkan Kenyataan beliau dipercayai merujuk kepada laporan mengenai kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Kepada Umno anggota bahagian Pekan, Najib secara berseloroh berkata: "Janganlah buat saya rungsing hati dan kepala untuk serabut fikir hal di (bahagian Umno) Pekan. Dah banyak cabaran sehari dua ini, jangan ada kerenah pula di Pekan ini," kata Najib sambil tersenyum.

Najib yang juga Anggota Parlimen Pekan turut berharap mesyuarat Umno peringkat cawangan bahagian itu pada Julai ini akan berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

"Kita bawalah nilai baru, semangat baru, terus berjuang dengan semangat baru dan jadiakan Umno parti yang segar, dinamik, anggun dan menarik kepada masyarakat," katanya.

Sebanyak 139 cawangan Umno di Pekan akan mula bermesyuarat pada 17 Julai ini dan bahagian Pekan merupakan bahagian Umno paling ramai keanggotaannya di Pahang iaitu seramai 32,087 ahli.

Najib berkata kemenangan besar Parlimen Pekan pada pilihan raya umum lepas perlu dipertahankan bagi memastikan Pekan dan Pahang terus menjadi kubu kuat Barisan Nasional.

Sementara itu Timbalan Ketua Umno bahagaian Pekan Datuk Ishak Muhamad berkata Umno Pekan akan terus berdiri teguh di bawah kepimpinan Najib bagi menghadapi sebarang fitnah yang dilemparkan pihak pembangkang terhadapnya.- 5/7/2008

------------------------------

Dari laporan polis ke akuan bersumpah...

Ibarat kita sedang memandu – pastikan pakai tali pinggang keledar.Mungkin banyak yang tidak diduga bakal ditempohi sepanjang perjalanan nanti.

Begitulah halnya untuk mengharungi senario politik semasa yang diwarnai oleh dakwaan itu ini yang ‘meletup-letup’.

Laporan polis yang dibuat petang Sabtu lalu oleh Saiful Bukhari Azlan bekas pembantu Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Penasihat Parti Keadilan Rakyat itu meliwatnya sudah cukup sensasi.

Ini diikuti oleh drama Anwar lari ke Kedutaan Turki dan dakwa wujudnya konspirasi kenakan beliau.

Pada waktu orangramai ternanti-nanti untuk tahu apa ceritanya kes itu,jam 11.30 pagi Khamis Anwar adakan sidang akhbar untuk lepas ‘ bom’ terhadap Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau mengunakan akuan bersumpah pasal kes Altantuya oleh seorang bekas penyiasat persendirian, P. Balasubramaniam yang diupah oleh penganalisis politik Abdul Razak Baginda.

Betul ke tak betul dakwaan yang terkandong dalam akuan bersumpah setebal 16 muka surat.. itu lain cerita.Bunyinya memang sensasi.

Antara yang didakwanya ialah maklumat penting mengenai hubungan antara Najib dan wanita Altantuya yang pernah diberikannya pada polis dua tahun lalu tidak dimasukan dalam perbicaraan mahkamah kes wanita Mongolia itu yang sudah masuk hari ke 124.

Balasubramaniam mendakwa Najib yang memperkenalkan Altantuya kepada Razak Baginda, yang ketika itu Pengarah Eksekutif Pusat Kajian Strategik Malaysia (MRSC) pada satu pameran berlian di Singapura,

Selain itu, Altantuya juga telah dijanjikan komisyen AS$500,000 atas khidmat sokongannya dalam urusan pembelian kapal selam.

Anwar mendesak agar sebuah suruhanjaya diraja di tubuhkan untuk menyiasat dakwaan-dakwaan itu.

Ada juga pemerhati yang andaikannya sebagai bom asap Anwar untuk kaburi perhatian keatas kes dakwaan liwat keatasnya.

Ada juga yang menilai senarionya sudah macam ‘ perang ‘ antara Anwar dan Najib.Ini membuatkan para wartawan dan jurugambar berkampong di bangunan Parlimen pula.

Jam 6.40 petang Najib pula berdepan dengan para wartawan di pejabatnya di situ untuk menjawab dakwaan yang nyata sekali boleh conteng arang pada imejnya.

Di satu arina lain macam-macam khabar angin bertiup.Ini hal biasa dalam senario politik sebegini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berpendapat fitnah kini bermaharajalela dalam negara kerana terlalu banyak khabar angin yang menyusahkan hati rakyat.

"Banyak sangat khabar angin. Buat cerita, tabur fitnah itu ini..tak habis-habis. Seolah-olah fitnah bermaharajalela.

“Ini menyebabkan rakyat tak pernah senang. Dengar cerita yang bukan-bukan dan mudah sangat percaya.

"Mereka jadi kelam kabut dan tambah-tambah lagi (cerita) dan jadi makin teruk, bukan makin baik,” katanya menjawab soalan para wartawab dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) di pejabatnya di bangunan Parlimen.

Abdullah berkata, sepanjang 35 tahun terbabit dalam dunia politik, beliau tidak pernah melihat terlalu banyak perkara yang berlaku termasuk khabar-khabar angin yang membimbangkan rakyat.

Perdana Menteri enggan mengulas mengenai tuduhan terbaru yang yang dibuat Anwar terhadap Najib kerana menyifatkannya subjudis memandangkan ia masih dalam perbicaraan mahkamah.

"Beliau (Najib) ada memberitahu saya tadi tapi kami tidak membincangkannya,"katanya.

Dengan nada kesal Abdullah juga kata terbaru beliau diberitahu oleh pegawainya bahawa terdapat khabar angin yang mendakwa Saiful mempunyai kaitan dengan keluarga menantu perempuannya.

"Ada yang kata, Saiful adalah anak angkat kepada keluarga menantu perempuan saya. Apa itu... tak pasal-pasal.

"Belum tahu lagi betul atau tidak tapi orang dah tanya," katanya.

Apapun kata Perdana Menteri keadaan negara adalah aman dan selamat, dan rakyat tidak perlu bimbang dan percaya dengan khabar angin yang mendakwa negara kini dalam keadaan darurat.

Abdullah berkata, keadaan ekonomi dan keselamatan negara juga dalam keadaan terkawal dan rakyat tidak sepatutnya terlampau teruja dengan apa yang berlaku di negara pada masa ini.

"Negara tidak berada dalam keadaan darurat. Kerajaan ini sebuah kerajaan yang stabil, percayalah.

"Keselamatan negara ini masih terkawal dan berada dalam keadaan mengawal semua (perkara).

"Kita tahu apa yang sedang berlaku dan negara ini akan aman dan selamat dan pada hari ini pun (selamat)," katanya bila ditanya tentang andaian kononnya latihan bersama yang diadakan antara Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera menunjukkan negara menghadapi darurat.

"Rakyat tidak perlu bimbang. Mereka boleh mengadakan latihan bersama jika mereka mahu. Mereka mahu berkoordinasi. Ini tidak patut dianggap atau diandaikan sebagai sesuatu yang kita perlu bimbangkan," katanya.

Kata beliau, kerajaan akan bertindak jika terdapat sebarang masalah.

'PROTES' yang diprotes

Artis tanggal seluar semasa perhimpunan 06/07/08

KENAPA NAK ‘BERMUSUH’ DENGAN PAK LAH?

Oleh: Mohammad Ansar Saifudin
BUAT pertama kali, saya ‘ter’ layari laman anotherbrickinwall dan terbaca satu tulisan di bawah satu ayat ringkas berbunyi ‘Konspirasi yang melekakan’. Kuranglah pasti bagi saya, sama ada penulis ini, menulis selepas atau sebelum pengumuman Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai pelan peralihan kuasa, antaranya dengan timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak, menjelang pertengahan 2010.

Apa yang menyebabkan saya menyebut ‘alamat penuh’ laman portal ini kerana, saya ingin menjemput semua pembaca, melayari laman ini, untuk mengetahui isi kandungan laman ini, yang entah bila ia dimulakan, apakah boleh kita berkongsi ilmu atau, sahaja sebagai satu lagi laman portal yang turut menyentuh isu-isu politik terkini.

Dari kandungan tulisan yang panjang lebar itu, saya terbaca satu ayat berbunyi, antara lain; ‘Pak Lah mahu memerangkap potensi saingannya’. Jika dihalusi ayat ini, ia cukup ringkas tetapi terlalu dalam maksud dan niatnya, untuk menghina Perdana Menteri.

Entah apa sebab penulis ini menulis ayat ini, samada dia sedar atau tidak, samada dia merancang atau tidak, bermaksud, Pak Lah adalah seorang yang tidak jujur dan tidak luhur keperibadiannya. Kalaulah penulis ini seorang Melayu, keturunannya Melayu dan agamanya Islam, mungkin dia lupa bahawa ‘musuhnya’ bukan Pak Lah. Begitu juga Pak Lah, musuhnya yang dikatakan mahu diperangkapnya, bukan Najib kerana Najib sudah pun Pak Lah namakan sebagai bakal Perdana Menteri, menjelang pertengahan 2010.

Apakah Pak Lah yang berkonspirasi? Konspirasi apa? Kenapa jika ada konspirasi ia tidak didedahkan? Pak Lah mahu menjatuhkan siapa?

Jika kita ambil kira logika politik semasa, bukan Pak Lah yang mahu menjatuhkan sesiapa tetapi ’sesiapa’ yang mahu menjatuhkan Pak Lah! Faham betul-betul ayat ini. Pak Lah sudah menjadi Perdana Menteri. Mana mungkin Pak Lah masih bercita-cita mahu menjatuhkan ‘mana-mana Perdana Menteri’ supaya melayakkan beliau mengambil tempat itu?

Pak Lah sudah menjadi Presiden Umno. Mustahil Pak Lah masih memasang cita-cita mahu menjatuhkan mana-mana ‘Presiden’ untuk melayakkannya mengambil tempat tersebut. Malahan, pencapaian politik Pak Lah, yang dianggap sebagai ‘musuh’ oleh sesetengah pihak, cukup membanggakan. Beliau sudah sampai ke tempat paling atas dalam hirerki politik negara, tanpa ‘berlawan dan bergauh’ dengan sesiapa.

Bukankah selama ini Pak Lah dikatakan lemah, lembik dan lembab. Mengapa orang yang lemah, lembik dan lembab juga mengundang seteru. Sepatutnya orang yang kuat, keras dan lajulah yang mengundang musuh kerana orang lain tidak boleh memintasnya, tidak mampu melawannya dan tidak cukup bertenaga menandinginya.

Bukan semua orang boleh menulis. Bukan juga semua orang boleh bercakap. Menulis ada etikanya. Bercakap juga ada etikanya. Kata orang-orang tua, bercakap mengikut adap, tengok dengan siapa kita bercakap dan jangan menyalahi hukum. Begitu juga dengan menulis. Menulis bukan untuk suka-suka. Penulis kenalah bertanggungjawab dengan apa yang ditulisnya. Ia akan kekal dalam khazanah penulisan. Mana mungkin ia dipadam.

Jika penulis itu orang Pas, musuh politik Pas ialah PKR dan DAP sebenarnya. Musuh politik Pas bukan Umno. Dalam Umno, hampir 100 peratus Islam dan cara mereka makan, sembahyang dan menyempurnakan jenazah adalah sama dengan orang Pas.

Jika penulis itu orang Umno, musuhnya bukan Pak Lah. Musuh Umno ialah kawan-kawan sendiri yang ‘duduk dalam selimut’ dan ‘menjadi gunting dalam lipatan’. Susahlah kalau kita tidak kenal musuh kita dan kita menyerang ‘pemimpin kita sendiri’ sedangkan musuh kita, kita biarkan mereka merosakkan segala-galanya.

Jika dia orang DAP atau PKR, dia bukan bermusuh dengan Pak Lah. Dia juga bukan bermusuh dengan Perdana Menteri, tetapi musuh mereka ialah Mohamad Saiful Bukhari Azlan, yang membuat laporan polis, Datuk Seri Anwar Ibrahim meliwatnya.

Kenapa PKR dan DAP mempunyai musuh yang sama? Ini kerana PKR dan DAP lebih kurang sama. Mereka berjuang untuk hak sama rata dan sama rasa. Anwar boleh menjelaskan semua ini kepada penyokong PKR dan DAP yang kemaruk ingin menjatuhkan Umno dan BN dari tampok pemerintahan. Tidak hairanlah, Apabila bekas MB Bukit Bintang, Wee Choo Keong keluar meninggalkan DAP, parti pilihannya ialah PKR. Kini dia kembali menjadi MP bagi kawasan Wangsa Maju atas tiket PKR.

Jika penulis ini tidak menganggotai mana-mana parti, marilah menyertai Umno. Jika usia penulis ini masih muda, gunakanlah tenaga dan masa mudanya untuk mewarisi wadah perjuangan yang ditinggalkan pemimpin-pemimpin ulung negara, melalui Umno. Mungkin dia tidak suka kepada Umno, kerana cerita-cerita orang yang ‘cerdik’ sekarang ini tetapi, percayalah Umno membawa obor suci perjuangan Melayu dan Islam.

Kalau dia tahu sejarah politik Anwar Ibrahim, pasti dia akan kagum dengan Umno. Anwar yang didakwa pernah menghina Umno, tetapi di dalam Umno, Anwar pernah menjadi timbalan Menteri di JPM, kemudiannya Menteri Belia dan Sukan, Menteri Pertanian, Menteri Pelajaran, Menteri Kewangan dan timbalan Perdana Menteri.

Kalau dia dalam parti Pas, dia tidak akan dapat menjamah semua itu. Jika dia dalam DAP, dia juga tidak mungkin merasai nikmat yang pernah dia rasai selama ini. Jika dia di dalam PKR, semuanya jauh panggang dari api kerana PKR adalah sebuah parti jalanan, yang menuntut pancutan air dari trak-trak FRU.

Kehadiran PKR, sebenarnya menghilangkan ‘kerusi’ Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia daripada mereka. Lim Kit Siang dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebenarnya masih inginkan jawatan itu. Tetapi disebabkan PKR menang 31 kerusi, mengatasi kerusi DAP dan PAS, maka kerusi nombor satu oposisi di Malaysia menjadi milik PKR. Apakah DAP dan PAS suka situasi ini? Jawapannya tidak! Mereka sepatutnya tidak boleh melepaskan jawatan itu kepada PKR. PKR parti baru. PAS dan DAP adalah parti yang sudah lama berjuang. Sudah banyak kali menyertai pilihan raya umum di Negara ini. Mana mungkin PKR yang hanya ditubuhkan setahun dua, menguasai mereka yang sudah lebih dulu makan garam?

Oleh yang demikian, saya tidak berhasrat mengajak penulis ini menukar prinsip perjuangannya tetapi saya mahu mengajak penulis ini menjadi penulis yang tahu ‘menyerang musuh’ dan jangan silap serang, kerana ia merugikan. Bukan sahaja merugikan dia sebagai penulis tetapi merugikan masa pembaca yang ‘ter’ layari laman dan ‘ter’ baca artikel tulisannya.

Kalau dia menyerang Pak Lah dengan alasan Pak Lah memang patut diserang, dia silap. Musuh kita ialah musuh yang mengancam kita. Apakah Pak Lah mengancam negara ini? Jawapannya tidak walaupun Anwar Ibrahim melalui isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mahu memberi gambaran bahawa Pak Lah bahaya buat negara. Sebenarnya, ‘budaya fitnah’ yang diperkenalkan oleh parti-parti pembangkang sekarang ini yang lebih bahaya kepada negara.

Jika penulis itu menulis kerana keyakinannya terhadap kata-kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang sibuk menyerang Pak Lah, dia juga silap kerana dia cuba diajak mengalihkan perhatiannya kepada ‘cerita orang lain’ daripada menilaikan semula kerosakan demi kerosakan yang dibuat oleh Dr. Mahathir selama dia menjadi Perdana Menteri.

Tengku Razaleigh Hamzah pernah mengecam dasar-dasar Dr. Mahathir. Tun Musa Hitam juga pernah berbuat demikian. Kemudiannya Anwar Ibrahim. Pemimpin-pemimpin Pas, DAP dan ramai lagi pemimpin pembangkang yang membuat kecaman terhadap era kepimpinan Dr. Mahathir kerana dianggap membazir.

Tidak ingat bagaimana pemimpin Pas ‘mahu melelong Putrajaya’ jika berjaya memerintah Malaysia? Tragedi Memali dalam zaman siapa? Perdana Menteri yang ‘berkrisis’ dengan tiga timbalannya siapa? Kelantan dirampas PAS zaman siapa? Terengganu dimenangi PAS (1999-2004) zaman siapa? PBS keluar meninggalkann BN zaman siapa? Presiden Umno ditentang satu lawan satu dan hampir-hampir tewas, siapa? Kenapa kita semua menjadi ‘manusia yang mudah lupa?
Click here!

Hishamuddin mahu Anwar hentikan sandiwara

Oleh: Azman Omar
Anwar semakin merapu bagi menutup kes liwat beliau dengan menggunakan penyokong beliau untuk mengadakan demonstarsi di bangunan parlimen esok. Anwar nampak makin celaru dan kali ini Anwar betul-betul bagaikan orang yang hilang arah untuk mengalih pandangan rakyat terhadap kes liwat yang dihadapi beliau. Sementara itu parti PAS mahukan Anwar menyelesaikan kes liwat secara peribadi dan jangan melibatkan pakatan rakyat.

Anwar dalam kelam kabut dan merapu baru-baru ini telah membuat laporan bahawa Ketua Polis Negara membuat laporan palsu terhadap kes beliau dicederakan, malangnya kes ini memakan diri apabila Musa Hassan menyaman Anwar sebanyak 4 juta ringgit kerana telah membuat aduan tanpa asas. Ketua Pemuda UMNO Hishamuddin pula dalam kenyataan beliau menyatakan bahawa Pergerakan Pemuda UMNO menggesa Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya tidak menjadikan demonstrasi jalanan yang cuba digerakkannya sebagai helah besar untuk mengalih tumpuan rakyat daripada kes liwat yang membabitkan pemimpin PKR itu. Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein meminta Anwar dan penyokongnya berhenti memperalatkan rakyat yang tidak berdosa bagi memenuhi agenda peribadi beliau.

“Sikap Anwar itu jelas menunjukkan seseorang yang hilang pertimbangan kewarasan, sanggup mengorbankan prinsip demokrasi, keamanan dan kesejahteraan semata-mata untuk memenuhi impian peribadi dan mengalih perhatian ramai,” katanya dalam satu kenyataan semalam. Hishammuddin mengulas rancangan pakatan pembangkang untuk mengadakan perhimpunan besar-besaran di bangunan Parlimen, hari ini. Semalam, Ketua Polis Daerah Sentul, Assisten Komisioner Ahmad Sofian Yassin berjaya mendapatkan perintah mahkamah bagi melarang Anwar dan para penyokongnya mengadakan perhimpunan besar-besaran di situ.

Hishammuddin yakin rakyat semakin meluat dan menyampah dengan sikap Anwar yang memualkan. "Saya menyeru kepadanya…cukuplah dengan semua sandiwara ini,” katanya. Pemuda UMNO, tegas Hishammuddin, mahu budaya liar asing iaitu demonstrasi jalanan dikekang sebelum ia menular sehingga mencetuskan suasana huru-hara yang menjejaskan ekonomi dan imej negara.”Pemuda UMNO sepakat dalam perkara ini dan hasil daripada beberapa perbincangan exco-exco mengenainya, kita bersatu padu menggerakkan ahli-ahli di semua peringkat, termasuk di akar umbi, bagi mengekang perkara ini,” katanya.

Beliau berkata, Pemuda Barisan Nasional (BN) juga memberikan sokongan padu dan bersama-sama Pemuda UMNO dalam mengekang demonstrasi jalanan.

Ada apa-apa ke di sebalik pujian Dr. M terhadap Najib?

Oleh : Mohamad Ansar Saifuddin
APABILA bekas Perdana Menteri (PM), Tun Dr. Mahathir Mohamad memuji Timbalan Perdana Menteri (TPM), Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak sebagai terbaik Umno, seperti ada ‘udang di sebalik batu’ dalam situasi politik sekarang.Pertamanya, Najib adalah salah satu tokoh yang paling teruk diserang bekas TPM, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kebetulan pula, Dr. Mahathir dilihat tidak dapat ‘bersama’ Anwar dalam banyak hal. Maka, untuk berada dalam zon selamat, Dr. Mahathir terpaksa ‘tidak bersetuju’ dengan Anwar, memintas Anwar dengan ‘mempertahankan’ Najib.

Kedua, orang yang patut Dr. Mahathir puji sekarang ini ialah ‘tangan yang di atas lebih mulia dari tangan yang di bawah’. Dalam suasana politik hari ini, PM Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dilihat sebagai tangan yang di atas dan Najib pula sebagai tangan yang di bawah. Jika Pak Lah tidak mahu mengundurkan diri, apa yang boleh Najib perkatakan, selain dari ‘bertindak menentang’.

Bila bertindak menentang, ada dua kemungkinan. Pertama, menang dan kedua, kalah. Maknanya belum tentu selamat. Terkelu lidah Dr. Mahathir untuk memuji Pak Lah. Tidak pula disebutnya ayat yang berbunyi; “semasa saya menjadi Perdana Menteri dahulu, saya jarang mendengar aduan mengenai salah laku Pak Lah.”

Bila tidak ada sebarang aduan mengenai salah laku Najib, bukanlah bermakna Najib tidak melakukan kesalahan.

Mungkin juga Najib berjaya membendung sebarang aduan. Dr. Mahathir juga tentunya mendapat banyak laporan mengenai salah laku Datuk Seri Rafidah Aziz, kalau surat-surat aduan yang ditujukan kepadanya tidak ‘disembunyikan’ setiausaha-setiausahanya kerana di keliling Dr. Mahathir ketika dia menjadi PM, ada setiausaha yang merupakan ‘budak Rafidah, bukan Anwar, budak Pak Lah dan budak-budak’.

Dr. Mahathir mungkin tahu hal ini, dan mungkin juga tidak tahu. Dr. Mahathir boleh menyiasat dakwaan ini dan boleh juga tidak perlu menjalankan siasatan kerana semua sudah berlalu dan tiada apa yang perlu dikenang lagi. Cuma, di bawah, di kalangan orang-orang Umno tahu siapa ‘budak Rafidah, siapa budak Anwar, siapa budak Pak Lah dan siapa budak-budak’.

Dr. Mahathir seterusnya menyebut; “Najib adalah bintang yang menyinar dalam kalangan pemimpin Umno tetapi kini Najib malap sedikit.” Bekas PM ini berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Bersama Mantan Perdana Menteri yang dianjurkan Kelab Alumni SMK Bukit Saujana di Port Dickson.

Hakikatnya, jika betul-betul Dr. Mahathir jujur dengan apa yang dikatakannya itu, dia sepatutnya menamakan Najib sebagai timbalannya, bukan Pak Lah. Pertama, Najib ‘terbaik’, kedua, Najib anak kepada Allahyarham Tun Razak, PM yang bertanggungjawab bawa Dr. Mahathir kembali ke pangkuan Umno, atas cadangan Allahyarham Datuk Harun Idris. Ketiga, Najib Naib Presiden ‘kanan’ sedangkan Pak Lah ‘hanya Naib Presiden kedua’ selepas Najib.

Bukan sahaja Dr. Mahathir, sesiapa juga sekarang ini, jika ingin menyaksikan peralihan kuasa berjalan dengan lancar dan baik, bukan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang membolehkan keadaan menjadi semakin keruh. Pak Lah sebenarnya boleh melakukan apa sahaja jika beliau enggan berundur. Kenapa beliau harus berundur? Kerana keputusan PRU 12 yang tidak cemerlang?

Apakah Najib dan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin (dan juga yang lain-lain) tidak ada langsung sumbangannnya ke arah keputusan yang kurang cemerlang itu? Apakah Najib lakukan sebelum PRU 12 untuk menjamin keputusan cemerlang? Apa yang Muhyiddin lakukan supaya BN terus menang besar? Bukankah semuanya ‘duduk goyang kaki’ dan menyangka akan menang besar dan BN kononnya tidak menghadapi apa-apa masalah?

Sepatutnya jika Najib dan Muhyiddin ‘nampak awal’ yang Pak Lah tidak mampu mengetuai BN dalam PRU 12 yang lalu, sebelum PRU 12 bermula, mereka boleh ‘menyatakan tentangan’ terhadap Pak Lah dan bukan selepas sesuatu hal buruk berlaku.

Dr. Mahathir juga banyak menyumbang ke arah kemunduran keputusan terhadap BN. Memang dia suka dengan apa yang berlaku kerana akan ‘menyebabkan dia boleh mengaku dia betul’ apabila rakyat tidak mengundi BN tetapi dalam masa yang sama, dia tidak dipersalahkan kononnya kerana ‘dia dah cakap dulu’ tetapi Pak Lah tak mahu dengar.

Sebenarnya, puji-pujian tidak boleh dihalakan kepada TPM, Najib sebaliknya puji-pujian, sewajarnya ditujukan kepada Pak Lah. Mungkin Pak Lah bukan orang yang sukakan puji-pujian tetapi jika puji-pujian itu memang haknya, mengapa perlu malu mengatakan bahawa Pak Lah sebenarnya seorang pemimpin yang jujur dan luhur.

Malahan, jika Dr. Mahathir menjadi PM, ada puji-pujian yang sedikit lebih dihalakan kepada timbalannya, tunggulah masa… timbalannya itu akan ‘menemui ajal politiknya’ kerana mana mungkin ‘timbalan’ lebih cemerlang dari dia.

Itulah sebabnya, slogan 2M dahulu ‘hancur’ kerana ramai yang menganggap bahawa antara Dr. Mahathir dan Tun Musa ’setaraf’. Berbeza dengan Pak Lah, berkali-kali beliau mengatakan Najib adalah timbalannya yang baik dan mengakui persahabatan mereka cukup rapat. Pujian ikhlas itu bukan sekali diucapkan tetapi sekali kita hendak mendengar pujian Najib kepada Pak Lah, macamlah kita ingin mencari ‘dayang senandung’ di kalangan wanita-wanita Bandung.

Hingga saat-saat akhir, setelah Pak Lah mengumumkan bahawa beliau akan melepaskan jawatannya bulan Jun, 2010, pun kedengaran ada lagi yang mahu mengatakan Najib tidak akan dapat menggantikan Pak Lah kerana ‘ini hanya mainan’ yang akan memerangkap Najib. Sebenarnya kejujuran dan keluhuran Pak Lah bermain politik tidak perlu disangsikan sebaliknya jika Najib tidak sampai ke ‘klimak’ nya, bukan salah Pak Lah sebaliknya salah dirinya sendiri (baca: dan salah isterinya).

Anggapan-anggapan Dr. Mahathir sekarang ini, selepas bergelar bekas ahli Umno kerana bertindak keluar dari parti itu, penuh dengan peril dan sindiran. Jangan ambik kisah sangat. Dia sudah menjadi PM Malaysia 22 tahun. Banyak kerosakan yang sudah dia lakukan. Sekarang dia terus merosakan lagi dengan kenyataan demi kenyataan yang dia keluarkan selain, ke hulu ke hilir, membelasah kepimpinan Umno dan negara, tanpa segan silu.

Siapa audiennya, dia sudah tidak kisah. Jika ada cawangan Umno yang menjemputnya, dia datang kerana dia memang ‘ketagih berucap’ di khalayak ramai dengan hasrat hendak menunjukkan dia lebih pandai dari orang lain. Apakah audien serupa dapat berjumpa dengannya ketika dia masih menjadi PM? Siapa yang ditemuinya selama 22 tahun menjadi PM? Tan Sri Vincent Tan, Tan Sri Tajuddin Ramli, Tan Sri Ananda Krishnan, Tan Sri YTL dan beberapa Tan Sri lagi yang kaya-raya. Betul tak…?

Hari ini, isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali juga sering ke rumah Najib kerana hubungannya yang cukup mesra dengan Datin Paduka Seri (gelaran ini digunakan secara rasmi) Rosmah Mansor kerana selepas setiap majlis, ada tarian untuk ‘isteri-isteri monopous’. Rosmah, kaki menyanyi karaoke akan turut ‘menari’ dengan isteri-isteri ‘menteri tertentu’ yang dipilihnya untuk diundang ke majlis tersebut.

Kalau ada yang bertanya; “ada apa-apa ke di sebalik puji-pujian Dr. Mahathir terhadap Najib”, jawapannya ada di dalam tulisan ini!