Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Wednesday, July 9, 2008

Muhamad Muhd Taib mohon Bahagian cari Formula Pelan Damai Sempena Pemilahan

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor YB. Tan Seri Muhamad Muhd Taib mencadangkan UMNO Bahagian-Bahagian mencari Formula Pelan Damai sempena Pemilihan peringkat Cawangan dan Bahagian yang akan datang.
Oleh : Abas Dalip
PENGERUSI Badan Perhubungan UMNO Selangor YB. Tan Seri Muhammad Muhd Taib mencadangkan UMNO Bahagian-Bahagian di Negeri Selangor agar mencari Formula Pelan Damai sempena pemilihan parti di peringkat Cawangan dan Bahagian yang akan datang ini.

Katanya: " Saya mencadangkan Bahagian-Bahagian mencari formula bagi menghadapi pemilihan di peringkat cawangan dan bahagian.Adalah lebih baik mencari permuafakatan dan persefahaman agar proses peralihan kuasa dapat dijalankan dengan lancar tanpa menggugat kekuatan parti".

Ini menurutnya bagi mengelakkan perebutan yang dikhuatiri akan menggugat kestabilan dan kekuatan parti sedangkan fokus utama parti ialah untuk menawan semula Selangor dari kerajaan Pakatan Rakyat.

Tan Seri Muhammad yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah mengingatkan demikian semasa mengadakan pertemuan dengan AJK UMNO Bahagian-Bahagian di Pejabat UMNO Selangor baru-baru ini.

Bahagian-Bahagian yang telah beliau temui ialah UMNO Bahagian -Bahagian Ampang, Kuala Langat, Klang dan Hulu Langat.Adalah dijangkakan beberapa siri pertemuan akan diadakan dengan beberapa Bahagian yang dijangkakan akan menghadapi perebutan jawatan-jawatan utama kepimpinan Bahagian.

Selain memaklumkan hala tuju UMNO Selangor, Tan Seri Muhammad yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia turut menjelaskan isu-isu semasa termasuk kenaikan harga minyak.

Kes dakwaan liwat Anwar ikut undang-undang 'qazaf'

PETALING JAYA : Kes dakwaan liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dibicarakan di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) mengikut undang-undang peruntukan 'qazaf' dibawah Seksyen 41 ‘Qazaf’ Akta 559 Kesalahan Jenayah Syariah 1997.
Oleh : Ulek xxx
Petaling Jaya - Kes dakwaan liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dibicarakan di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) mengikut undang-undang peruntukan 'qazaf' dibawah Seksyen 41 ‘Qazaf’ Akta 559 Kesalahan Jenayah Syariah 1997.

'Qazaf' ialah tuduhan palsu terhadap zina dan jika sabit boleh dihukum tiga tahun penjara atau denda RM5,000 dan ianya merupakan kesalahan dalam hukum hudud di mana seorang penuduh yang terbukti bersalah boleh dikenakan 80 kali sebatan.

Seksyen 41 ‘Qazaf’ secara spesifik menyentuh persoalan tuduhan zina, dan menurut hukum syarak, Saiful menghadapi penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi lima ribu ringgit, atau kedua-duanya, sekiranya gagal mengemukakan empat orang saksi lelaki atau iqrar tertuduh.

Bahagian penguatkuasaan JAWI akan melakukan siasatan segera ke atas isu fitnah yang dilemparkan ke atas Anwar itu.

Demikian dinyatakan oleh peguam Kamar Ainiah Kamaruzzaman, salah seorang peguam yang mewakili Anwar ke pejabat JAWI pagi tadi. Seorang lagi peguam beliau ialah Ahmad Shabrimi Mohamed Sidek.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu telah hadir membuat aduan pagi tadi dan ditemani oleh isteri beliau yang juga Presiden KeADILan, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail beserta dua orang peguamnya.

"Saya telah membuat aduan kepada bahagian penguatkuasaan untuk membersihkan nama saya dan keluarga daripada fitnah jahat dan mengaibkan ini," kata Anwar sejurus selepas itu.

Menurut Anwar, beliau telah dinasihatkan ulamak dna peguam, beliau telah membawa kes ini mengikut undang-undang peruntukan 'qazaf'.

Berhubung isu bermubahalah (sumpah laknat) yang heboh dibangkitkan demi membersih tuduhan terhadapnya, Anwar menyatakan ulama melarangnya berbuat demikian.

Katanya lagi, sumpah menjunjung Al-Quran tidak ada nas atau dalilnya dalam Islam dan beliau akur dengan nasihat yang diberi oleh ulama yang melarangnya bersumpah dengan Al-Quran.

"Ini isu jenayah. Kalau siapa buat tuduhan, dia kena jawab," kata Anwar.

Ezam ada pendedahan baru jatuhkan Pakatan Rakyat?

Oleh : Kamaluddin


Petaling Jaya - Mohamad Ezam Mohd. Nor mungkin mengetengahkan pendedahan-pendedahan terbaru?

Bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) ini, yang kembali ke pangkuan Umno lima bulan lalu, tidak menolak kemungkinan ke arah itu -bakal mendedahkan lebih banyak kes salah guna dan rasuah membabitkan Pakatan Rakyat.

Kerjasama Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan PAS diberi nama Pakatan Rakyat selepas pilihan raya umum ke-12 Mac lalu.

Kata Ezam, beliau mempunyai beberapa kes untuk diumumkan tetapi ia akan dilakukan secara teratur sebaik sahaja mendapat bukti-bukti yang kukuh.

"Saya seorang yang serius dengan fakta (bukti). Ya (akan didedahkan), bergantung pada bukti, kita akan mendedahkannya," kata beliau dalam temu bual khas di sini hari ini.

Selepas kembali Umno, baru-baru ini Ezam mendakwa PKR Selangor telah menyalahgunakan kuasa dengan menggunakan lambang Pejabat Menteri Besar pada kepala surat untuk mendapatkan sumbangan daripada syarikat swasta bagi meraikan sambutan 100 hari pentadbiran kerajaan campuran negeri itu.

Sebahagian sumbangan itu kemudian disalurkan ke dalam akaun PKR.

Malah penghujung bulan lalu beliau juga mendedahkan pelantikan adik Anwar Ibrahim, Rusli sebagai penasihat syarikat Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB).

Ezam memberitahu, pendedahan buat peringkat ini akan ditumpukan ke atas Selangor semata-mata.
Ketika ditanya sejauh mana Pakatan Rakyat akan dapat bertahan, Ezam berkata, beliau bukan tukang meramal nasib dalam soal itu tetapi mengambil kira perkembangan semasa adalah "sukar bagi Pakatan Rakyat" untuk bertahan.

Kata beliau, kedudukan Pakatan Rakyat juga kemungkinan menjadi tanda tanya selepas tarikh sasaran 16 September yang ditetapkan oleh Anwar untuk membentuk kerajaan persekutuan yang baru.

Beliau juga tidak yakin bahawa Anwar dan Pakatan Rakyat akan mencapai sasaran tersebut.

Anwar kini berhadapan dengan isu dakwaan meliwat bekas pembantu khasnya.

Ketika ditanya apakah mesej yang akan disampaikan jika bertemu Anwar pada bila-bila masa mulai sekarang, Ezam memberitahu: "Saya akan minta beliau menjadi seorang negarawan, menjadi negarawan, dan memiliki sifat-sifat sebagai seorang negarawan."

Kata beliau: "Kita memerlukan seorang pemimpin yang kuat, seorang pemimpin Melayu yang berpengaruh untuk negara ini."

Justeru, tambah Ezam, beliau tidak akan meluangkan masa dan tenaganya untuk mempromosikan Anwar sebagai pemimpin negara ini.

Baru-baru ini beliau menyifatkan Anwar tidak berpeluang untuk menjadi Perdana Menteri.

Mengenai isteri Anwar, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pula, Ezam memberitahu, Presiden PKR itu tidak relevan dalam soal kepercayaan kepimpinan.

"Teras ini berkaitan dengan Keadilan dan Anwar Ibrahim," katanya lagi.

Ezam berkhidmat dengan Anwar sejak 1991 dan dilantik sebagai Setiausaha Politiknya lima tahun kemudian.

Beliau dipecat daripada Umno pada 1998 bersama Anwar.
Click here!