Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Friday, July 4, 2008

Perhimpunan Besar-Besaran Bantah Campurtangan Kuasa Luar

Oleh : S.A Najmuddin
Kuala Lumpur - Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, pergerakan itu akan menganjurkan satu perhimpunan besar-besaran sebagai mesej bantahan terhadap campurtangan kuasa asing khususnya Amerika Syarikat (AS) dalam hal ehwal perundangan negara.

Menurut beliau perhimpunan itu juga merupakan mesej terhadap usaha Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang cuba meraih simpati negara-negara luar berhubug kes beliau.
''Pemuda sama sekali tidak akan berkompromi dan sekali lagi mengulangi bantahan di atas kenyataan Jurucakap Jabatan AS, Tom Casey yang menentang sebarang penyiasatan atau pendakwaan bermotifkan politik terhadap Anwar.

”Justeru satu tindakan tegas perlu diambil untuk menyatakan amaran serta bantahan kita terhadap pihak ketiga agar jangan sekali-kali mencampuri urusan Malaysia,'' katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Hishammuddin sebelum ini menyifatkan kenyataan Casey itu sebagai satu usaha yang bermotifkan politik.
Casey dilaporkan berkata: ''Sudah pasti (kita) akan menentang sebarang penguatkuasaan undang-undang atau prosedur kehakiman atau apa juga yang tidak mengikut undang-undang.

''Perkara utama bagi kami adalah kedaulatan undang-undang mengatasi politik.''
Pentadbiran AS memberikan reaksi itu selepas seorang pembantu bekas Timbalan Perdana Menteri itu, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 23, menuduh Anwar, 60, meliwatnya beberapa kali, satu tuduhan yang dinafikan oleh Anwar.

Dalam perkembangan sama, Hishammuddin yang juga Pengerusi Pemuda Barisan nasional (BN) seterusnya menegaskan pergerakan itu turut menentang keras tindakan kerajaan Turki yang memberikan perlindungan kepada Anwar.

Malah katanya pergerakan itu turut memandang serius tindakan akhbar tabloid Singapura yang sengaja mahu mengaibkan isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
''Semua yang berlaku ini merupakan perkembangan tidak sihat yang mana kuasa-kuasa asing dilihat cuba mencampuri urusan Malaysia,'' katanya.

Apa istimewa Pak Lah?

Oleh : Malek Saiful Muda
TAJUK di atas dipilih kerana penulis terbaca satu artikel pendek tulisan Sobri Sudin (bekas Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kedah yang kini merupakan Felo Unit Ekonomi, Yayasan Sumber Maklumat) bertajuk “Apa istimewa Anwar?” Dalam Utusan Malaysia Jumaat, 4 Julai 2008.Jika di Malaysia, media massa arus perdana dikatakan dikongkong kerajaan, sewajarnya artikel-artikel lain, selain daripada yang memuji-muja kepimpinan yang ada sepatutnya tidak perlu disiarkan. Tetapi di Malaysia, di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi atau Pak Lah, kebebasan media massa termasuk yang dimiliki parti-parti pembangkang kelihatan amat bebas hingga ada yang sudah terbabas dari landasan penulisan.


Pun begitu masih ada yang mengatakan kerajaan mengawal kebebasan media sehingga mereka tidak dapat bersuara bebas. Jika di era kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohammad, media pembangkang(PAS) Harakah disekat pengedarannya daripada dua kali seminggu kepada hanya dua kali sebulan. Namun kini, Pak Lah telah membenarkan Harakah diberikan hak pengedaran dua kali seminggu kembali.

Ini hanya satu contoh keistimewaan Pak Lah. Beliau seolah-olah memberi ’senjata’ kepada pembangkang untuk membuat serangan. Begitu juga dengan rakan-rakannya di dalam hieraki kepimpinan Umno hari ini. Dibenarkan olehnya bersuara sehingga ada yang sanggup bercakap ’soal peralihan kuasa kerana kepimpinan Pak Lah sudah dianggap lemah dan lembab’.

Bukan orang luar yang menyusun strategi untuk menentang Pak Lah sebagai Presiden Umno. Begitu juga dengan jawatan-jawatan lain termasuk Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden, Ketua Pergerakan Pemuda, Puteri dan Wanita, semuanya memperlihatkan kegelojohan calon-calon yang ingin bertanding. Berbeza dengan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob yang menolak perlawaan Pergerakan Pemuda Umno Negeri Pahang untuk mencalonkannya sebagai seorang calon Ketua Pergerakan itu. Katanya melalui sms dengan kawan-kawan; “tiada beban batu digalas”. Beliau sebenarnya boleh menawarkan diri untuk jawatan Naib Presiden yang sudah pun ditandinginya pada tahun 2004,akan tetapi cubaan itu tewas. Ketika ditanya kawan-kawan, Adnan yang mesra dengan panggilan Long Nan menjawab ringkas; “untuk apa saya bertanding, saya menang tetapi parti lemah. Parti kalah dalam pilihanraya.” Jawapan ini adalah jawapan biasa tetapi, jauh di sudut hati Long Nan, beliau mahukan semua orang dalam Umno, dari Timbalan, Naib-Naib Presiden, Ketua Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri, termasuk Ahli-Ahli MT, Ketua-Ketua bahagian, Ketua-Ketua Pemuda, Wanita dan Puteri Bahagian termasuk di cawangan-cawangan, menumpukan atau fokus kepada usaha memperkuatkan parti.

Beliau tidak suka semua orang Umno bercakap, bekerja dan membuang masa bercerita mengenai pertandingan merebut jawatan ketika parti ini sebenarnya memerlukan suntikan dan rawatan akibat ‘kepenatan’ ketika menghadapi PRU 12 yang lalu. Ketika pelbagai pihak menyerang Datuk Seri Najib Tun Razak dengan mengaitkannya terlibat dalam kes pembunuhan wanita Monggolia, Altantunya Shariibuu, Pak Lah dengan tenang menjawab, “Datuk Seri Najib akan mendapatkan pandangan AG untuk menjelaskan kedudukan sebenar.”

Ketika tohmahan datang mengaitkan isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Paduka Seri (gelaran ini digunakan oleh Pejabat Timbalan Perdana Menteri) Rosmah Mansor dengan kes pembunuhan wanita Monggolia yang sama, Pak Lah menjawab; “Saya tidak pernah dilaporkan adanya isteri orang kenamaan terlibat dengan kes ini,” sebagai satu usaha menutup mulut tukang tabur fitnah. Ketika banyak pihak bercakap soal kelemahan dan kepimpinan Pak Lah yang perlukan perubahan, Pak Lah tidak pula mengambil kesempatan dari situasi sekarang untuk mempertahankan dirinya dan ‘diskredit’ lawannya. Pak Lah masih mampu bertenang dan Pak Lah masih dilihat jujur kepada dirinya dan diri rakan-rakannya (baca: anak-anak buahnya). Masihkah niat orang-orang tertentu untuk menentang Pak Lah mahu diteruskan? Dalam artikel ini, saya tidak perlu menyebut siapakah ‘calon-calon yang layak’ untuk dinamakan kerana semua orang sudah diberitahu melalui sms bahawa si anu dan si anu sedang berpakat untuk memberikan cabaran kepada Pak Lah.

Apakah orang-orang ini, selepas diserang dengan pelbagai isu yang berupa skandal, walaupun belum boleh disahkan betul atau sebaliknya, masih mahu menawarkan diri bertanding jawatan nombor satu dan nombor dua dalam parti terbesar orang-orang Melayu, Umno? Ketika, sepatutnya semua orang-orang di bawah Pak Lah, sibuk ‘bersilat dan berkungfu’ mempertahankan Pak Lah dari serangan dalam dan luar Barisan Nasional (BN), apa yang dilihat (baca: kelihatan) Pak Lah pula yang terpaksa ‘bertaici’ mempertahankan mereka ini dengan kata-kata yang cukup berhemah dan membuktikan beliau seorang pemimpin yang bersih jiwa dan hatinya.

Pak Lah sebenarnya boleh mengarahkan ‘orang yang dikaitkan dengan pelbagai’ pengakuan bersumpah ini bercuti untuk memudahkan mereka menyelesaikan masalah yang mereka dikaitkan melalui sudut undang-undang, tetapi Pak Lah tidak bertindak sedemikian. Hati Pak Lah bukan hati ‘orang-orang tu’ yang dengan mudah termakan punjukan dan bisikan angin sendu yang menjanjikan jawatan-jawatan besar kepada diri masing-masing. Kononnya, orang-orang ini akan menjadi penyelamat Umno yang dilihat hampir berkubur. Kononnya orang-orang ini cukup berani ‘berkata benar di hadapan seorang pemimpin yang sedang berkuasa’. Dan banyak lagi kononnya…kononnya!

Inilah sebenarnya (ke)istimewa(an) Pak Lah. Hatinya bersih. Hatinya lembut. Jiwanya tegas. Fikirannya matang. Malahan, dalam suasana yang penuh dengan liku dan duri, beliau terus mengadu kepada Allah swt,untuk mendapatkan Rahmat dan Hidayah. Orang lain, sibuk berkempen, menyusun strategi, bermesyuarat dan menghimpun penyokong dengan taburan wang ringgit, tetapi Pak Lah, terus mengemudikan parti dan negara dengan ketenangan. Pak Lah tidak panik. Yang panik, orang-orang yang berhajat nak merampas tempatnya. Disebabkan teringin sangat dengan ‘kerusi’ Presiden Umno itu, mereka lupa bahawa Allah yang meletakkan seseorang di situ. Mana mungkin, tanpa izin Allah, seseorang boleh sampai di situ?

Hari ini, jika dilihat yang teringin sangat hendak menjadi Perdana Menteri, sudah dikaitkan dengan satu laporan polis terhadap kejadian liwat.

Orang yang memasang angan-angan secara diam, didatangi pula tohmahan yang mungkin tidak memudahkannya untuk dilihat bersih dan layak menggantikan Pak Lah. Kenapa semua tohmahan ini tidak datang kepada Pak Lah? Jawapannya kerana Allah sentiasa melindungi orang yang bersih, jujur dan ikhlas. Semua ‘penyakit’ ini datang sekarang ketika semua orang seronok mendengar pelbagai permainan politik parti pembangkang dan parti-parti komponen BN yang kepingin mahu menjadi pembangkang. Cerita undi tidak percaya, cerita peralihan kuasa dan surat terbuka (berbentuk surat layang) yang ditujukan kepada Pak Lah, tidak sedikit pun berjaya mengalih fokus Pak Lah kepada soal-soal pembelaan rakyat bawahan yang mungkin terkesan akibat kenaikan harga komoditi minyak.

Ketika Harakah boleh terbit dua kali seminggu, akhbar Keadilan sudah diberikan permit penerbitan (PP) dan banyak lagi bahan bacaan ‘haram’ beredar dipasaran terbuka, Pak Lah bukan sahaja tidak menerima ucapan terima kasih dan penghargaan sebaliknya terus diserang dengan pelbagai ’senjata’ yang akhirnya rakyat akan melihat Pak Lah memang cukup istimewa sebagai seorang pemimpin.

Balasubramaniam tarik aduan bersumpah

Penyiasat persendirian, P Balasubramaniam membuat kejutan lagi apabila menarik balik akuan berkanunnya yang mengaitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Altantuya Shaariibuu. Dalam akuan berkanunnya itu, Balasubramaniam mendakwa Najib mempunya hubungan seksual dengan Altantuya. Najib juga didakwa memperkenalkan Altantuya kepada Abdul Razak Baginda.

Balasubramaniam berkata, beliau telah dipaksa membuat akuan berkanun tersebut. Dalam satu sidang akhbar di sebuah hotel di Kuala Lumpur pagi ini, Balasubramaniam membuat akuan berkanun yang baru.

Balasubramaniam juga mempunyai peguam yang baru. Peguam Americk Sidhu, yang bersamanya semalam, juga tidak tahu apa yang sedang berlaku. Sidang akhbar Balasubramaniam masih berjalan.

Semalam, Balasubramaniam membuat pendedahan yang menggemparkan bahawa beliau telah mendengar dari Abdul Razak mengenai hubungan Najib dengan Altantuya.

Tetapi hari ini beliau berkata, beliau mahu menarik balik akuan berkanunnya pertama, yang difailnya pada 1 Julai, dan menggantikannya dengan yang baru, yang diumumkannya hari ini.

“Saya mahu menarik balik akuan berkanun yang pertama,” katanya sambil menambah, beliau dipaksa membuat akuan berkanun tersebut.

Balasubramaniam telah diupah oleh Abdul Razak untuk menguruskan Altantuya pada 2006 yang mengganggu Abdul Razak, yang juga rapat dengan Najib.

Akuan bersumpah yang baru itu menyatakan:

“Saya ingin menyatakan bahawa tidak pernah pada bila-bila masa (Abdul) Razak (Abdullah) Baginda memberitahu saya yang beliau diperkenalkan kepada Altantuya Shaaribu oleh seorang VIP dan pada bila-bila masa Razak Baginda ada memberitahu saya bahawa Datuk Seri Najib telah mengadakan hubungan seks dengan Altantuya Shaaribu dan beliau (Altantuya) sanggup mengadakan hubungan seks luar tabii.

“Tidak pernah pada bila-bila masa Razak Baginda ada memberitahu saya yang Datuk Seri Najib mengarahkan Razak Baginda untuk menjaga Altantuya Shaaribu kerana beliau tidak mahu dia (Altantuya) menganggunya kerana beliau ialah Timbalan Perdana Menteri.

“Tidak pernah pada bila-bila masa Razak Baginda dan atau Altantuya Shaaribu ada memberitahu saya yang Datuk Seri Najib Tun Razak, bersama-sama dengan Razak Baginda dan Altantuya Shaaribu telah berjumpa dan bersama-sama makan malam di Paris;

“Tidak pernah pada bila-bila masa Altantuya Shaaribu ada memberitahu saya yang beliau meminta wang sebanyak US$500,000 sebagai komisen bagi bantuannya dalam urusan pembelian kapal selam di Paris;

“Tidak pernah pada bila-bila masa pun Razak Baginda dan/atau Altantuya Shaaribu memberitahu saya yang Datuk Seri Najib Tun Razak berjumpa dengan Altantuya Shaaribu di Singapura;

“Tidak pernah pada bila-bila masa pun Altantuya Shaaribu ada memberitahu saya yang beliau mahu saya mengaturkan untuk beliau berjumpa dengan Datuk Seri Najib Tun Razak;

“Tidak pernah pada bila-bila masa saya ada memberitahu polis semasa penyiasatan mereka mengenai sebarang perhubungan antara Datuk Seri Najib Tun Razak dan Altantuya Shaaribu kerana perhubungan itu tidak pernah wujud, pada pengetahuan saya. Oleh yang demikian, kenyataan yang saya tandatangani di hadapan polis sudah selesai;

“Tidak pernah pada bila-bila masa Razak Baginda ada memberitahu saya yang beliau telah menghantar SMS kepada Datuk Seri Najib pada malam beliau ditahan; dan

“Tidak pernah pada bila-bila masa Razak Baginda ada memberitahu saya yang Datuk Seri Najib Tun Razak telah menghantar SMS kepadanya pada hari beliau ditahan yang menyatakan beliau (Najib) akan berjumpa dengan KPN (Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan) pada hari berkenaan dan masalah itu akan diselesaikan dan meminta Razak Baginda supaya terus tenang.”

Sementara itu, peguam Americk Singh Sidhu, yang menemani Balasubramaniam ketika dia membuat pendedahan menggemparkan itu dalam satu sidang berakhir bersama Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, “tidak tahu langsung” mengenai perkembangan terbaru itu.

Americk memberitahu Malaysiakini bahawa Balasubramaniam menerima satu panggilan dari pihak polis, sejurus selepas sidang akhbar tersebut, memintanya hadir di balai polis Brickfields.

“Saya telah menasihatkannya, sebagai seorang rakyat yang patuh kepada undang-undang, dia harus melihat menemui mereka (polis). Saya membawanya ke balai polis Brickfields pada jam 4.45 petang semalam dan sejak itu tidak mendengar apa-apa daripadanya,” katanya sambil menegaskan bahawa Balasubramaniam tidak dapat dihubungi sejak pendedahan semalam.

Akuan berkanun Balasubramanian itu diperakukan di hadapan Pesuruhjaya Sumpah Zainal Abidin Muhayat, yang mempunyai alamat firma guaman Zul Rafique & Partner- firma guaman milik Zulkifly Rafique, yang merupakan saudara lelaki Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Zulhasnan Rafique.

Sementara itu, Bernama melaporkan, dalam sidang akhbarnya pagi tadi,Balasubramaniam menerusi M. Arulampalam, seorang peguam yang menemaninya dalam sidang akhbarnya pagi ini, berkata, semua tuduhan dalam akuan bersumpah itu adalah tidak tepat dan tidak benar.

“Dengan ini, saya menarik balik seluruh isi kandungan dalam akuan bersumpah saya yang bertarikh 1 Julai 2008. Saya membuat akuan bersumpah itu dalam keadaan tertekan,” kata Balasubramaniam dalam akuan bersumpahnya yang baru bertarikh hari ini.