Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Thursday, June 26, 2008

Satu penipuan – Najib ‘Akuan sumpah Raja Petra bertujuan cemar imej politik saya

Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan akuan bersumpah yang mengaitkan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dengan pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu sebagai satu penipuan yang bertujuan mencemarkan imej politik beliau.

Timbalan Perdana Menteri berkata, isterinya telah memberi keterangan kepada pihak polis yang membuat siasatan mengenai akuan bersumpah penulis blog Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin.

Beliau sendiri bersedia untuk memberi kenyataan kepada polis berhubung siasatan perakuan tersebut yang diumpamakannya sebagai ‘akuan sumpah sampah’.
“Saya mengalu-alukan siasatan polis serta berharap siasatan itu dapat disiapkan dengan cepat.

“Saya percaya semua yang terlibat akan memberi kenyataan kepada pihak berkuasa termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di bangunan Parlimen semalam.
Raja Petra, 58, yang pernah mengendalikan laman web menyokong Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah memfailkan akuan bersumpah di Mahkamah Tinggi pada 18 Jun lalu yang menamakan tiga individu termasuk Rosmah sebagai orang yang berada di tempat kejadian Altantuya dibunuh pada 2006.

Akuan itu turut menyebut Perdana Menteri menerima laporan daripada perisikan tentera mengenai apa yang didedahkan Raja Petra tentang kes Altantuya.

Bagaimanapun semalam, Abdullah menafikan beliau ada menerima laporan bertulis daripada perisikan tentera mengenai mereka yang terlibat dalam kes pembunuhan itu.

Sambil menjelaskan apa yang dilakukan oleh Raja Petra itu tidak betul, Abdullah menegaskan: “Perbuatan itu tidak boleh diterima.”

Pada Mei lalu, pengendali dan editor laman blog Malaysia Today itu dituduh di bawah Akta Hasutan 1948 di Mahkamah Sesyen di Petaling Jaya kerana menerbitkan artikel berkaitan pembunuhan Altantuya.

Perbicaraan kes bunuh wanita Mongolia itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam baru selesai di peringkat pendakwaan Isnin lalu selepas mahkamah bersidang selama 124 hari.

Raja Petra yang merupakan pengendali blog pertama didakwa atas kesalahan hasutan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nurmala Salim.

Mengikut pertuduhan, Raja Petra didakwa menerbitkan satu artikel bertajuk Let’s Send The Altantuya Murderers to Hell yang mengandungi ayat-ayat menghasut di laman web Malaysia Today.

Raja Petra didakwa di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta yang sama iaitu denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Perbicaraan kes itu dijadualkan berlangsung selama lima hari bermula 6 Oktober depan.

Najib percaya perakuan bersumpah Raja Petra yang difailkan di Kuala Lumpur minggu lalu merupakan satu pembohongan untuk mencemarkan kerjaya politiknya.
“Semua ini adalah satu penipuan serta rekaan, ia juga merupakan perakuan sumpah sampah... saya tidak tahu mengapa ia diadakan-adakan.

“Kamu perlu tanya dia (Raja Petra), bukan saya, mengapa perkara ini diada-adakan. Kesimpulan yang dapat dibuat ialah ia bertujuan untuk mencemarkan kerjaya serta imej politik saya,” ujarnya.
Ditanya sekali lagi mengenai punca perakuan bersumpah itu diada-adakan, Najib mengulangi kenyataannya bahawa ia merupakan satu tindakan politik.

Najib - dakwaan Raja Petra bermotif politik

Oleh : Lan
Sedang kerajaan bergelut dengan krisis ekonomi, masih ada orang-orang yang sibuk dengan kemelut politik yang tidak habis-habis memburu kuasa dan publisiti. Malangnya yang terlalu sibuk dengan perkara - perkara begini adalah bangsa kita dan bangsa Melayu yang tidak hgabis-habis memainkan politik kotor untuk mencuri kuasa. Begitu kuag dengan penulis blog yang tidak bertanggungjawab yang mencari publisiti murahan cuba mengaibkan pemimpin negara dan cuba menjatuhkan mereka dengan kuasa pena. Yang lebih teruk ada yang sanggup tampil kehadapan untuk mencari publisiti murahan.


Raja Petra Kamaruddin (Nama begitu mulia, perangai begitu jijik) adalah seorang penulis yang mana pemikiran kronik sekali menimbulkan kekalutan sekali lagi setelah kredibiliti beliau kian terhakis kelongkang dengan penipuan-penipuan yang sentiasa dilakukan. Mungkin Raja Petra sudah jelak tinggal di rumah dan adalah lebih baik kerajaan memikirkan untuk menempatkan beliau di penempatan yang baru di kemunting atau Sungai Buluh. Mungkin juga beliau telah jelak hidup dengan manusia biasa yang tidak sukakan pada penipuan dan mungkin beliau mahu hidup dengan mereka-mereka yang setaraf dengan tahap penipuan beliau.

Bagi Raja Petra apa sahaja yang beliau terima dari sumber yang mengadu kepadanya adalah sahih tanpa siasatan dan bukti, bagi beliau segala sumber yang beliau boleh percayai adal satu sumber yang tepat. Menurut Najib, dakwaan yang cuba mengaitkannya dengan pembunuhan tersebut adalah satu pembohongan dan sengaja diadakan-adakan kerana ia bermotif politik.

Beliau juga berkata, tuduhan dan pembohongan Raja Petra itu adalah ’sampah’ yang sengaja direka semata-mata bagi memburukkan imejnya. Najib turut mengesahkan bahawa pihak polis telah mengambil keterangan daripada isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan selepas ini polis akan mengambil kenyataan beliau serta Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

“Saya harap siasatan itu dapat diselesaikan segera kerana saya tidak nampak alasan lain kenapa dakwaan itu ditimbulkan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pendatang Asing Tanpa Izin Sabah di bangunan Parlimen hari Rabu.

Raja Petra dalam akuan bersumpahnya mendakwa ada tiga orang hadir pada tempat dan masa berlakunya pembunuhan Altantuya iaitu Rosmah, Pemangku Kolonel, Aziz Buyong yang juga seorang pakar bom C4 dan isterinya yang juga pengawal pengiring Rosmah, dikenali sebagai Norhayati. Raja Petra dalam akuan bersumpah itu juga mendakwa beliau dimaklumkan oleh sumber yang boleh dipercayai secara pasti bahawa Perdana Menteri sudah menerima satu laporan perisikan tentera mengenai perkara itu dan laporan itu kini dalam simpanan menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia.

Selain itu, Raja Petra juga mendakwa seorang Raja Melayu juga sudah dimaklumkan mengenai dakwaan itu.

Hari Selasa, Perdana Menteri turut ditanya mengenai akuan bersumpah Raja Petra itu dan menafikan ada menerima sebarang laporan perisikan tentera yang mengaitkan Rosmah dengan kejadian pembunuhan berkenaan.

Malah Perdana Menteri turut melahirkan keyakinan beliau bahawa Najib dan Rosmah tidak terlibat dengan pembunuhan tersebut. Khairy yang namanya disebut dalam akuan bersumpah itu bercakap kepada Agendadaily bahawa beliau akan berbincang dengan peguamnya kerana akuan bersumpah itu melibatkan implikasi undang-undang sebelum beliau mengambil tindakan selanjutnya.