Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Tuesday, June 24, 2008

Samy Vellu di persimpangan jalan ?

Oleh : TAMINSARI, Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.
Kenapa selepas kalah di dalam pilihanraya ke-12 yang lepas tiba-tiba Datuk Seri Samy Vellu berubah arah atau haluan ? Adakah beliau masih lagi di dalam keadaan trauma akibat kekalahan teruk di Sungai Siput dan juga wakil-wakil MIC ditempat lain. Adakah dengan kekalahan yang di luar jangkaan ini beliau tidak dapat menerimanya sehinggakan beliau keliru dalam mengeluarkan kenyataan kepada umum berhubung dengan hal-hal orang India yang dikatakan tidak mendapat layanan daripada parti pemerintah BN yang ditunjangi oleh UMNO. Beliau sekarang seolah-olah senada dengan Hindraf dalam menuntut apa yang dikatakan hak-hak untuk kaum India di Malaysia sehingga sanggup mendapatkan bantuan dari luar jika tuntutan mereka tidak dipenuhi.

Adakah oleh kerana beliau sudah tidak lagi berada didalam kerajaan, beliau boleh bertindak apa sahaja untuk mengugut kerajaan secara terbuka. Apakah beliau sudah hilang pertimbangan atau sudah lupa yang beliau masih lagi memimpin parti MIC didalam Barisan Nasional. Dimanakah ciri-ciri permaufakatan yang selama ini diamalkan oleh BN. Beliau tanpa segan silu cuba menjadi juara kaum India dengan menuntut kerajaan supaya dengan segera membebaskan semua tahanan ISA. Alasan beliau adalah kerana pilihanraya sudah berlalu. Adakah Samy Vellu tidak tahu dengan undang-undang sebab dan kenapa kerajaan menahan kelima-lima pemimpin Hindraf itu.

Semasa menuntut supaya kerajaan membebaskan kesemua tahanan ISA sebelum ini, Samy Vellu mendakwa yang beliau telah ditemui oleh ahli-ahli keluarga tahanan Hindraf memohon jasa baik beliau berunding dengan kerajaan supaya kesemua tahanan ISA dibebaskan. Akhirnya beliau terpaksa menanggung aib kerana ahli-ahli keluarga tahanan Hindraf sendiri yang menafikan yang mereka telah berjumpa Samy Vellu untuk memohon jasa baik beliau. Tak tahulah mungkin Samy Vellu syok sendiri untuk menarik semula sokongan kaum India terhadap beliau ataupun mungkin ada helah lain. Hanya Samy Vellu sahaja yang tahu. Sedar ataupun tidak beliau sebenarnya sudah berada di hujung persimpangan jalan. Hanya keadaan dan masa sahaja yang akan menentukannya.

Tidak lama dulu apabila kenyataan beliau mengatakan yang kaum India di Malaysia tidak mendapat pembelaan yang sepatutnya dari kerajaan dan beliau akan mendapatkan bantuan negara luar jika perkara tuntutan ini tidak dapat diatasi. Kenyataan yang menyedihkan yang datang dari seorang yang pernah berada di dalam kerajaan selama lebih kurang 30 tahun tergamak berkata sedemikian. Seorang yang menganggap beliaulah mewakili kaum India di Malaysia selama ini sanggup menjadi pengkhianat negara. Dimanakah semangat patriotik Samy Vellu selama ini. Adakah beliau takut tidak akan terpilih untuk menerajui MIC dalam pemilihan yang akan diadakan tidak lama lagi sehingga sanggup mendesak kerajaan. Negara manakah yang dimaksudkan beliau. Adakah beliau masih lagi berkiblatkan negara asal usul kaum India di Malaysia iaitu India sepertimana yang telah dilakukan oleh kumpulan Hindraf. Adakah beliau cuba pula menjadikan diri beliau sebagai umpan dengan mengadakan tunjuk perasaan supaya beliau pula ditahan di ISA supaya dengan ini lebih mudah untuk beliau mendapat simpati dari kaum India yang sudah mula meminggirkan beliau. Hanya Samy Vellu sahaja yang tahu percatuannya.

Semasa Samy Vellu didalam kerajaan, beliau mendakwa telah berjaya membantu dan menyelesaikan banyak perkara-perkara yang berkaitan dengan kaum India di Malaysia. Bahasa Tamil dan sekolah-sekolah Tamil berjaya dikekalkan dan diberi bantuan oleh kerajaan. Banyak Kolej dan Universiti swasta telah ditubuhkan supaya rakyat Malaysia ada pilihan untuk mendapat pendidikan terbaik. Ini terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia termasuklah kaum India itu sendiri. Peluang perkerjaan di sektor awam terbuka luas untuk rakyat Malaysia, tetapi beliau pening kepala kerana tidak mendapat sambutan dari kaum India. Peluang untuk mendapatkan atau membeli rumah juga terbuka luas untuk semua kaum. Yang berkemampuan boleh membeli rumah yang agak selesa manakala yang kurang berkemampuan boleh membeli rumah kos murah dan sederhana . Berapa ramai golongan profesional seperti doktor, peguam, akauntan dan sebagainya dari kaum India yang telah berjaya dilahirkan sejak Malaysia merdeka. Pendapatan perkapita kaum India adalah lebih tinggi dari masyarakat Melayu itu sendiri. Jadi apakah yang hendak dituntut oleh Samy Vellu dan kaum India di Malaysia. Tak cukup ke lagi dengan apa yang anda telah dapat. Semua masyarakat berbilang kaum dinegara ini bebas mencari dan menambahkan pendapatan mereka masing-masing tanpa halangan. Asalkan ada usaha dari diri sendiri.

Agak pelik juga apabila Samy Vellu mengatakan yang kaum India diabaikan hak mereka. Sukar mendapat peluang pekerjaan disektor awam, memasuki IPTA , pengagihan rumah-rumah murah, kurang mendapat tender-tender kerajaan dan pelbagai tuntutan lagi. Kalau beliau mengatakan tahap kemiskinan tegar kaum India masih tinggi, bagaimana pula dengan kaum Melayu. Apakah tujuan sebenar Samy Vellu hendak memburukkan kerajaan BN. Dimanakah semangat setiakawan Samy Vellu selama ini didalam Barisan Nasional. Kalau semasa menjadi Menteri beliau sudah menyatakan yang beliau sudah melakukan yang terbaik untuk kaum India di Malaysia. Tetapi mengapa sekarang lain pula nada bunyinya. Ingat, kaum Melayu sudah banyak berkorban sejak sebelum merdeka supaya kaum-kaum lain dapat hidup dengan amam dan damai dinegara ini. Hormatilah sedikit perasaan orang Melayu.

Samy Vellu perlu ingat sebelum “ revolusi industri ” berlaku dinegara ini iaitu zaman semasa Tun Mahathir mula-mula memerintah pada awal tahun 80-an peluang pekerjaan amatlah kurang sekali terutamanya di sektor swasta. Berapa ramaikah kaum India yang bekerja disektor awam pada ketika itu seperti JKR, JPT, LLN, Talikom dan majlis-majlis daerah dan perbandaran. Ramaikan. Berapa ramai diantara mereka yang menikmati faedah-faedah yang diterima sebagai kakitangan kerajaan. Berapa ramai dikalangan anak-anak mereka yang berjaya didalam pelajaran dan kehidupan mereka. Adakah Samy Vellu hendak menutup mata dengan menafikannya. Semasa revolusi industri bermula, pelabur-pelabur dari luar negara telah mula memindahkan operasi pengeluaran mereka ke Malaysia. Semenjak dari itu hinggalah sekarang kaum India sudah mula menjauhkan diri dari sektor awam kerana hendak bekerja di sektor swasta yang memberi pulangan yang tinggi berbanding dengan sektor awam. Sebab itu Samy Vellu jangan salahkan kerajaan jika peluang pekerjaan disektor awam sekarang dipandang dingin oleh masyarakat India. Berapa ramai yang datang memohon apabila peluang pekerjaan dibuka kepada umum. Amat menyedihkan. Mereka lebih berminat di sektor swasta kerana pulangan yang tinggi. Samy Vellu sendiri tahukan jawapannya.

Dibidang pelajaran pula kalau Samy Vellu kata kaum India susah hendak mendapat tempat di IPTA adalah tidak betul sama sekali. Sudah ramai pelajar-pelajar India menuntut di IPTA. Ada dikalangan mereka juga diberikan biasiswa kerajaan. Samy Vellu perlu ingat tidak semua pelajar melayu mendapat bantuan daripada kerajaan sama seperti pelajar-pelajar kaum lain. Dengan tertubuhnya berpuluh-puluh lagi IPTS dinegara ini berbanding pada tahun 80 dan 90-an sebenarnya memberi peluang kepada pelajar-pelajar membuat pilihan terbaik. Ada diantara IPTS itu dibina sendiri oleh MIC.

Jika Samy Vellu mengungkitkan pula masyarakat India sukar untuk mendapatkan tender kerajaan adalah tidak berasas sama sekali. Cuba lihat semasa Samy Vellu menjadi Menteri Kerjaraya. Berapa ramai dikalangan kaum India yang mendapat peluang untuk menjalankan projek-projek kerajaan seperti membuat jalan dan lebuhraya, jambatan, perumahan dan sebagainya. Berapa ramaikah diantara mereka sudah menjadi jutawan sehingga berjaya membuka syarikat besar dan melabur keluar negara. Bukankah ia dengan sendirinya membuka peluang-peluang pekerjaan kepada rakyat negara ini. Kalau Samy Vellu mengatakan kemiskinan tegar masih lagi tinggi dikalangan masyarakat India, sebenarnya beliau sudah boleh mengurangkannya semasa beliau di dalam kerajaan BN sebelum ini. Tak perlu menuding jari kepada sesiapa. Mengapa Samy vellu tidak menetapkan gaji minima pada pekerja-pekerja estet. Sebab itulah ramai anak-anak muda India dari estet pergi mencuba nasib berhijrah kebandar-bandar besar dengan berbekalkan kudrat untuk mencari kehidupan baru. Mengharapkan kelulusan tinggi memang tidak ada.

Ada diantara yang berjaya dan ada diantara mereka yang gagal. Yang gagal inilah yang sebenarnya menjadi duri didalam masyarakat. Banyak masalah-masalah yang ditimbulkan oleh mereka-mereka yang terjebak ini. Sepatutnya Samy Vellu ,MIC dan part-parti yang mewakili masyarakat India berusaha keras untuk mengatasi masalah sosial ini supaya tidak menjadi wabak didalam masyarakat majmuk di Malaysia. Samy Vellu pun tahu beberapa tempat dilembah kelang dimana penduduk-penduduk setempat hidup didalam ketakutan akibat gangguan daripada kumpulan-kumpulan haram. Hindraf sendiri didalam salah satu tuntutanya mengatakan yang pihak polis tidak mengambil inisiatif untuk mengatasi masalah sosial kaum India. Mereka menyalahkan pihak polis kerana tidak melakukan apa-apa. Dan apabila pihak polis bertindak dengan agak keras dan tegas sedikit, mereka mengatakan yang pihak polis cuba menghapuskan kaum India. Dengan sebab itu timbullah satu laman web yang diberi nama “ police watch “ oleh Hindraf sendiri dengan matlamat untuk mengawasi pergerakan polis. Inilah Hindraf yang dikatakan memperjuangkan hak asasi kaum India di Malaysia dimana Samy Vellu sendiri sudah mula terikut-ikut dengannya.

Sebenarnya masalah masyarakat India hendaklah diselesaikan sendiri oleh orang-orang India seperti ketua-ketua masyarakatnya. Samy Vellu mungkin telah cuba sedaya upaya semasa beliau didalam kabinet. Malangnya, masalah yang terbesar dikalangan pemimpin-pemimpin India adalah kerana mereka tidak boleh bersatu. MIC dengan Samy Vellu-nya, IPF dengan Ketua Baru-nya, PPP dengan Kayveas-nya manakala MIUP dengan Nalakarupan-nya. Walaupun mewakili penduduk minoriti iaitu lebih kurang 2 juta dari penduduk Malaysia, namun pemimpin-pemimpin mereka tidak boleh duduk semeja untuk berbincang. Masyarakat keturunan India Malaysia sebenarnya masih kuat lagi berpegang dengan “ sistem kasta “ sepertimana yang masih diamalkan lagi di negara India itu sendiri. Perkara ini memang tidak boleh dinafikan. Kita boleh lihat sendiri cara-cara golongan bertaraf sederhana dan tinggi ( kasta atasan ) berinteraksi dengan golongan bertaraf rendah ( bawahan ) ini. Golongan bertaraf tinggi pada kebiasaan akan memandang rendah akan golongan bertaraf rendah.

Agak sukar untuk dipercayai apabila ada sesetengah diantara mereka yang masih mengamalkan amalan ini. Memang sukar untuk mencapai kata sepakat. Sebab itu kita boleh lihat dimana yang kaya dari golongan bertaraf tinggi akan bertambah kaya, manakala yang miskin dari golongan bertaraf rendah akan menjadi bertambah miskin. Yang kaya agak sukar untuk membantu golongan miskin. Mereka tiada kata sepakat dalam mencari jalan untuk membantu kaum mereka sendiri. Mungkin diatas sebab-sebab inilah mendiang Tan Sri Pandithan keluar dari parti MIC dan menubuhkan parti IPF kerana kecewa dengan tindak tanduk MIC tidak mahu membantu golongan miskin dikalangan penduduk keturunan India. Contohnya penduduk-penduduk India di estet-estet diseluruh negara. Kecuali Datuk Nala Karupan yang menubuhkan MIUP kerana tidak bersetuju dengan Anuar Ibrahim.

Selagi ikatan “ kasta “ ini tidak terlerai, selagi itu lah masyarakat India akan berdepan dengan masalah kemiskinan tegar dan masalah-masalah lain kerana dikalangan orang-orang India sendiri tidak ada kata sepakat. “ Sistem kasta “ inilah yang sebenarnya menjadi batu halangan kepada masyarakat India di Malaysia untuk bersatu dalam memajukan bangsa mereka sendiri. Dan apabila mereka gagal, mereka akan menyalahkan orang lain terutamanya UMNO sepertimana yang didakwa oleh Hindraf kerajaan BN yang ditunjangi oleh UMNO gagal membantu mengatasi masalah kaum India di Malaysia. Hakikatnya orang India sendiri yang gagal membantu kaum mereka sendiri. Akhir sekali satu soalan kepada Datuk Seri Samy Vellu. Mengapa hendak mendapatkan bantuan dari luar setelah anda sendiri berasa gagal memimpin kaum India di Malaysia?

Tataetika Baru Pemilihan UMNO Harus Beri Keadilan Sewajarnya Kepada Calon

Oleh Kazman Kamal
Kuala Lumpur - Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Harrison Hassan berpendapat tataetika baru pemilihan UMNO yang diluluskan oleh Majlis Tertinggi (MT) baru-baru ini memerlukan beberapa pertimbangan pucuk pimpinan khususnya berhubung larangan menghadiri dan menganjurkan kenduri atau majlis tahlil oleh calon yang terlibat.

Selain daripada itu menurut beliau lagi, pucuk pimpinan juga perlu menggariskan kaedah yang akan digunapakai oleh Ibu Pejabat UMNO Malaysia atau Jawatankuasa Penyelaras Pemilihan negeri untuk memastikan semua calon dapat berjumpa dengan perwakilan.
"Berkenaan larangan menghadiri kenduri dan tahlil oleh calon, saya merasakan larangan tersebut amat berat kerana jika sekiranya kita dijemput oleh jiran-jiran serta sahabat dan saudara mara, ianya menjadi satu kewajipan untuk kita menghadirinya. Jika kita tidak memenuhi undangan berkenaan lain pula jadinya seperti dikatakan sombong dan sebagainya.

"Sebab itulah kita minta pucuk pimpinan khususnya Majlis Tertinggi memberi sedikit kelonggaran berhubung perkara ini", katanya hari ini.
Berkuat kuasa bulan depan, calon-calon yang terlibat dalam pemilihan UMNO ditegah menggunakan ejen, pelobi, pengurus kempen dan perayu undi termasuk melarang calon-calon daripada menghadiri majlis perkahwinan, tahlil dan kesyukuran yang dikhuatiri digunakan untuk meraih undi.

Pertemuan antara calon dengan perwakilan pula hanya akan diuruskan oleh Ibu Pejabat UMNO Malaysia atau Jawatankuasa Penyelaras Pemilihan negeri di bawah seliaan Badan Perhubungan UMNO negeri.

Sambil menyambut baik tataetika berkenaan, Harrison yang juga Pengerusi Sekretariat Peremajaan UMNO seterusnya berkata kaedah yang akan digunapakai pihak yang menyelaras pertemuan antara calon dengan para perwakilan juga perlu dikemukakan secepat mungkin.

Langkah tersebut katanya bagi mengelakkan kekalutan di saat-saat akhir yang dikhuatiri akan menyebabkan terdapat sesetengah calon tidak dapat berjumpa dengan para perwakilan untuk menyatakan visi dan misi masing-masing.
"Adalah amat penting penjadualan berhubung tarikh pertemuan itu diumumkan selain kaedah pertemuan terbabit. Bayangkan dengan jumlah calon yang akan bertanding di semua peringkat jawatan parti, sudah pasti kita bimbang akan menimbulkan pertindihan dan sebagainya.

"Inilah harapan kita supaya perkara ini diselenggara sebaik mungkin untuk memberi keadilan kepada semua calon yang bertanding termasuk Wanita, Pemuda, Puteri dan kepimpinan pusat", ujarnya.
Pemilihan UMNO di peringkat cawangan akan bermula dari 17 Julai hingga 24 Ogos ini, bahagian dari 9 Oktober hingga 9 November manakala peringkat Pusat yang menjadi tumpuan perebutan jawatan tertinggi parti dari 16 hingga 21 Disember.

Rasuah PKR -Pegawai Kanan MB letak jawatan

150 orang ahli PKR telah berkumpul di hadapan rumah Menteri Besar Selangor malam tadi kerana membantah tindakan Menteri Besar berkenaan yang mengantung pegawai khas beliau kerana terlibat dalam salahguna kuasa dengan memberikan kontrak membersih kawasan kepada sahabat-sahabat beliau tanpa mengikut prosedur yang betul.

Yahya Sahri yang juga merupakan setiausaha PKR Selangor kini sedang disiasat oleh BPR. Belum pun sampai 100 hari PKR berkuasa di Selangor sudah timbul isu penyelewengan dan rasuah. Agak mustahil perkara sebegini dilakukan oleh pegawai kanan Menteri Besar tanpa pengetahuan beliau. Yahya dikatakan telah meletakan jawatan kerana tidak berpuas hati dengan tindakan Menteri Besar yang mengantungkan jawatan beliau selama dua bulan. Menurut sumber yang boleh dipercayai , Yahya tidak berpuas hati kerana perbuatan itu dilakukan atas arahan pemimpin atasan.

Agak memalukan bagi sebuah parti yang selama ini yang kononnya melaungkan penentangan rasuah tetapi melakukan perkara disebaliknya.