Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Thursday, June 19, 2008

DUA PARTI NAFI AKAN KELUAR BN

PKR dakwa cukup AP untuk bentuk kerajaan
KUALA LUMPUR - Parti pembangkang Malaysia semalam berkata dua parti komponen Barisan Nasional (BN) sedang menimbang hendak keluar daripada BN dan menyertai Pakatan Rakyat.

Namun, anggota Persatuan Cina Malaysian (MCA) dan Parti Maju Sabah (SAPP) menafikan dakwaan penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, bahawa mereka sedang menimbang untuk menyertai pembangkang.

Naib presiden PKR, Encik Azmin Ali, berkata rundingan dengan kedua-dua parti itu berjalan lancar, dan rundingan turut dibuat dengan anggota parlimen daripada Umno.
"Ada kemungkinan besar dan perbincangan masih diteruskan, bukan saja dengan MCA tetapi juga dengan Umno dan parti komponen lain Barisan Nasional," kata beliau kepada AFP.

'Kami mengadakan beberapa siri pertemuan dengan anggota parlimen Umno. Meskipun tiada jalan kami akan bergabung dengan Umno, kami gembira jika ada ahli Umno yang menyokong perjuangan kami,' tegas beliau.
Encik Azmin tidak menyatakan berapa ramai anggota parlimen Umno yang akan berpaling tadah, tetapi berkata pembangkang sudah mempunyai jumlah yang cukup untuk membentuk kerajaan.

Namun ia memerlukan masa bagi peralihan kuasa secara licin.

"Ia akan berlaku tidak lama lagi, tetapi kami perlukan sedikit waktu lagi,'" tegas beliau yang menyatakan peralihan itu mungkin lebih awal daripada tarikh penamat pertengahan September yang dibayangkang Datuk Seri Anwar.

Setiausaha agung MCA, Datuk Ong Ka Chuan, menyifatkan dakwaan PKR itu sebagai 'karut dan bohong'.

"Semua 15 anggota parliman MCA sudah menghubungi saya dan menafikan pernah berjumpa Anwar, apatah lagi untuk melompat parti," kata beliau seperti ditukil akhbar New Straits Times semalam.

Timbalan presiden SAPP, Datuk Raymond Tan, turut menafikan parti itu akan keluar daripada BN dan menyertai pembangkang.

Petronas Tidak Monopoli Perniagaan NGV

Petroliam Nasional Bhd (Petronas) menjelaskan bahawa syarikat minyak nasional itu tidak memonopoli perniagaan gas asli untuk kenderaan (NGV) di negara ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Tan Sri Mohd Hassan Marican berkata penjualan NGV terbuka kepada semua syarikat minyak tetapi syarikat lain tidak berminat disebabkan oleh subsidi dan kos penyenggaraan yang tinggi.

Beliau membuat penjelasan itu sebagai menjawab dakwaan sesetengah pihak yang Petronas memonopoli perniagaan NGV di negara ini.

"Banyak yang kata Petronas memonopoli NGV.

Penjualan NGV memang terbuka kepada semua syarikat seperti Shell dan Esso, tetapi kerana subsidi yang tinggi dan kos penyelenggaran yang tinggi, tidak ada syarikat-syarikat lain yang berminat untuk menjual NGV," katanya.

Hassan berkata demikian dalam rancangan Bersemuka Dengan Media dengan tajuk Peranan Petronas: Industri Minyak Negara, yang disiarkan secara langsung di RTM 1 Selasa malam.

Beliau diwawancara oleh Editor Perkhidmatan Berita Ekonomi Bernama, Mikhail Raj Abdullah serta Editor Eksekutif The Edge Malaysia, Azam Aris dan bekas Ketua Pengarang Utusan Malaysia Datuk Johan Jaaffar bertindak sebagai perantara.

Mengenai penggunaan NGV yang masih kurang meluas dan menyebabkan pengguna bergantung kepada petrol dan diesel, beliau berkata:"Memang penggunaannya tidak luas. Kita telah berkata yang pada penghujung tahun 2010 kita akan menyediakan 200 stesen NGV."

Setakat ini, Petronas hanya mempunyai 90 stesen NGV, kata Hassan.

"Untuk bina stesen NGV memerlukan lokasi yang berdekatan dengan saluran paip gas yang dikendalikan oleh Gas Malaysia Sdn Bhd.

"Kita pun ada masalah untuk mendapatkan tanah, untuk dapatkan penukaran dan sebagainya.

"Dan juga terpaksa menyuruh pengedar menimbangkan NGV sebab dalam stesen minyak Petronas yang biasa tiap-tiap bulan harga elektrik lebih kurang RM5,000 stesen yang jual NGV penggunaan elektrik lebih kurang RM16,000, peningkatan ini dibayar Petronas," katanya.

Semasa ditanya sampai bila Petronas boleh menanggung subsidi, Hassan berkata: "Itu kita tak tahulah".

"Tapi, kalau kita ikut penetapan kerajaan, harga seliter NGV patutnya 50 peratus daripada harga petrol.

"Tetapi Petronas tidak menaikkan harga NGV pada 2006, bila harga petrol naik RM1.92 seliter dan bulan ini bila petrol naik RM2.70 seliter kita tidak menaikkan," katanya.

PARTI KOMPONEN IKRAR TERUS KEKAL

Dakwaan Ku Li ada parti akan
tinggalkan BN disangkal
KUALA LUMPUR - Parti komponen Barisan Nasional (BN) kelmarin mengulangi ikrar kekal bersama gagasan itu dan menyokong penuh kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Umno, Persatuan Cina Malaysia (MCA), Kongres India Malaysia (MIC), Gerakan, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Parti Liberal Demokratik (LDP) menyifatkan kenyataan perpecahan dalam BN sebagai khabar angin.

Kebanyakan pemimpin komponen BN juga menyangkal dakwaan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, mengenai sebuah parti komponen BN akan meninggalkan gagasan itu, hujung bulan ini.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, menganggap perkara itu hanya cakap-cakap kosong yang didorong oleh pembangkang bagi membayangkan keadaan tidak stabil dalam BN.
"Saya tidak fikir apa dikatakan itu akan berlaku sebab semua pemimpin parti komponen secara terbuka sudah menyatakan kesetiaan dan sokongan.

"Oleh itu, tidak wajar untuk kita mempersoalkan lagi ikrar taat setia itu," katanya.
Ketua Pemuda MCA, Datuk Liow Tiong Lai, menganggap kenyataan Tengku Razaleigh kurang tepat kerana yakin pada semangat muafakat di kalangan komponen BN.

Naib Presiden MIC, Datuk S Veerasingam, berkata selain pemimpin, semua Ahli Parlimen MIC juga sudah berikrar untuk setia bersama BN.

Di Sarawak, Setiausaha Agung PBB, Dr Stephen Rundi Utom, berkata PBB sebagai parti tunggak BN Sarawak berdiri teguh di belakang kepimpinan Perdana Menteri.

Di Sabah, Ketua Pemuda SAPP yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Elopura, Encik Au Kam Wah, berkata Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee, tidak memaklumkan mengenai isu terkini berkaitan parti.
"Saya juga tidak tahu parti mana Tengku Razaleigh maksudkan sebab ia terlalu umum dan tidak semestinya merujuk kepada SAPP," katanya yang enggan mengulas lanjut.

Anwar Diberi Izin Cabar Pemecatannya

PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan kelmarin membenarkan mantan timbalan perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk mencabar kesahihan dari segi perlembagaan, pemecatannya daripada jawatan Kabinet hampir 10 tahun lalu, oleh mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum, sebulat suara membenarkan Datuk Seri Anwar merayu kepada Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan pemecatannya sebagai timbalan perdana menteri dan menteri kewangan oleh Dr Mahathir, adalah sah dari segi undang-undang.

Berikutan keputusan itu, Mahkamah Persekutuan akan menentukan dua persoalan undang- undang - yakni sama ada pemecatan Datuk Seri Anwar tidak mengikut perlembagaan, dan sama ada Dr Mahathir boleh memecat timbalannya tanpa terlebih dulu menasihatkan Yang di-Pertuan Agong.

Mahkamah akan memutuskan, pertama sama ada Artikel 43(5) Perlembagaan Persekutuan secara khusus menghendaki Yang di-Pertuan Agong adalah kuasa yang membatalkan pelantikan Datuk Seri Anwar sebagai timbalan perdana menteri dan menteri kewangan dalam Kabinet Malaysia dengan berdasarkan prinsip bahawa hanya pihak yang berkuasa melantik mempunyai hak untuk membatalkan pelantikan yang dibuatnya.

Dan kedua, sama ada pemotongan nama Datuk Seri Anwar daripada jawatan timbalan perdana menteri dan penggantian nama perayu (Datuk Seri Anwar) dengan nama responden iaitu Dr Mahathir sebagai menteri kewangan melalui Perintah Menteri-menteri Kerajaan Persekutuan 1998 dapat membaiki ketidakpatuhan responden pertama terhadap peruntukan jelas dalam perkara berkenaan.

Mahkamah masih belum menetapkan tarikh untuk mendengar rayuan Datuk Seri Anwar itu dan beliau diperintah untuk memfailkan rekod rayuan dalam masa 14 hari.

Yong pengkhianat dalam BN

Oleh : dewiarjuna
Ahli Parlimen Parti Progresif Sabah (SAPP) - salah sebuah parti komponen BN di negeri itu akan mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Badawi apabila Dewan Rakyat bersidang Isnin ini.

Ini merupakan kali pertama dalam sejarah negara, usul tidak percaya akan dikemukakan terhadap Perdana Menteri. Sewaktu sidang Dewan Rakyat mulai Isnin ini, 23 Jun, ahli-ahli Parlimen kita akan menyokong undi tidak percaya kepada PM. SAPP mempunyai dua ahli Parlimen - Datuk Dr Chua Soon Bui (Tawai) dan Datuk Eric Enchin Majimbun (Sepanggar) dan empat ahli dewan undangan negeri.

Yong Teck Lee adalah merupakan seorang politikus yang sering kontraversi di negeri berkenaan dan apa yang dilakukan oleh Yong Teck Lee ini seolah-olah mengugut Barisan Nasional dan tidak bermoral. Mereka telah mengunakan kelebihan mereka sebagai pendukung dan tunjang kepada jumlah kemenangan BN untuk memenuhi kepentingan mereka.

Yong seolah lupa akan jasa BN kepada beliau ketika beliau kalah dalam perbicaraan pada tahun 1999 atas skandal rasuah pilihanraya di mana beliau terpaksa mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri Likas pada tahun berkenaan.

Beliau juga lupa apabila beliau pernah diberikan peluang oleh BN untuk menjawat jawatan tertinggi sebagai ketua menteri Sabah pada tahun 1996. Hari ini Yong Teck Lee bagaikan besar kepala mungkin lupa akan jasa BN yang telah membangunkan kembali kekuatan BN di Sabah apabila BN hanya menjadi pembangkang dahulu.Yong yang mengambil kesempatan atas kekuatan BN Sabah dan mengugut parti BN kebelakangan ini kerana Yong tahu BN amat memerlukan kerusi BN dari Sabah.

Ura-ura ingin menyertai Keadilan dan mengugut mahu keluar parti adalah satu perbuatan khianat dan ingin mengusulkan undi tidak percaya kepada Perdana Menteri di Parlimen adalah satu tindakan yang biadab oleh Yong kerana jelas Yong sebenarnya tidak berkeyakinan dengan Perdana Menteri dan Presiden BN. Tindakan serupa ini sengaja dilakukan kerana mengetahui bahawa mereka sekarang adalah ‘hot cakes’ yang diperlukan oleh kedua-dua belah parti.

Namun tindakan Yong ini seolah-olah tidak menghormati keputusan yang telah dibuat oleh rakyat dan mahu melacurkan keputusan yang dibuat oleh rakyat di negeri Sabah. Namun bukan semua parti yang komponen yang setuju dengan Yong dan juga keputusan yang dibuat oleh beliau, Walaupun Yong akan membawa SAPP keluar dari BN, BN tetap masih menjadi pemerintah . Seandainya Yong membawa usul tidak percaya kepada Perdana Menteri , insyaAllah beliau tidak akan berjaya dalam usaha ini.

Apa yang Yong lakukan ini seharusnya diberikan tentangan oleh Ahli Parlimen dari Sabah dan masalah Yong ini perlu diselesaikan oleh BN Sabah dengan berpaa segera kerana Yong adalah merupakan duri dalam daging BN di Sabah.Kerajaan tidak perlu memberikan Yong satu keistimewaan dan mengikut semua tuntutan yang dilakukan oleh Yong kerana bukan hanya SAOO sahaja yang menyumbang kepada kemenangan BN. Jika kerajaan memberikan keutamaan kepada SAPP bererti Kerajaan terpaksa melayan semua karenah dan tuntutan wakil rakyat yang menyumbang kepada kemenangan BN.

Menyokong Yong bermakna menyokong Anwar Ibrahim. Apakah rakyat Sabah sudah bersedia untuk menerima Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan apakah rakyat di Semenanjung sudah boleh menerima Anwar sebagai Perdana Menteri. Jelas Yong adalah pengkhianat dalam BN khusunya BN Sabah.