Misalnya, kita berasa hairan apabila mereka yang mempunyai empat lima buah kereta dan tiga empat banglo masih mengeluh dan merungut kenaikan harga petrol. Apakah mereka benar-benar tidak mampu membayar harga petrol dan kos sara hidup atau sekadar tidak mahu megeluarkan wang yang lebih?
Ada juga mereka yang merokok dua kotak sehari tetapi marah-marah bila harga petrol dinaikkan. Membayar untuk rokok untuk merosakkan kesihatan mereka mampu tetapi membayar lebih sediikit untuk petrol untuk kesenangan keluarga dan diri mereka bising.
Sungguhpun kenaikan harga petrol ini tidak memberi banyak kesan kepada golongan berpendapatan RM 5, 000 ke atas, namun bagi mereka yang di bawah pendapatan tersebut pasti menghadapi banyak masalah dan keperitan hidup.
Harga barang turut melambung tinggi akibat kenaikan harga petrol. Ini tidak dapat dielakkan kerana petrol merupakan asas utama penghantaran barangan. Kenaikan harga petrol turut meningkatkan kos operasi syarikat. Syarikat terpaksa bayar lebih untuk elaun pengangkutan pekerja dan juga bil elektrik.
Justeru dalam hal ini kerajaan harus memberi pelbagai insentif kepada swasta termasuk pemotongan cukai korporat bagi mengimbangi kenaikan kos bahan api ini.
Cukai pendapatan individu juga perlu dikurangkan. Malahan adalah lebih baik jika kerajaan dapat mempertimbangkam memberi potongan cukai kepada pendapatan yang digunakan untuk membayar ansuran rumah dan kereta pertama.
Selain itu, bantuan terus kepada rakyat berpendapatan di bawah RM 1000 juga mungkin boleh dipertimbangkan.
Kenaikan harga petrol mungkin tidak dapat dielakkan demi kestabilan dan kekukuhan ekonomi negara, namun banyak ruang dan peluang untuk kerajaan megurangkan bebanan rakyat perlu dilakukan segera.