Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Monday, June 16, 2008

CITA-CITA ANWAR JADI PM MENGATASI SEGALANYA

CITA-CITA Anwar untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia semakin hampir menjadi realiti.

Begitulah yang terpahat dalam benak Anwar dan menjadi angan-angan para penyokongnya sekarang.

Laluan untuk Anwar ke Putrajaya akan dirintis melalui Kuala Kangsar. Satu petisyen memohon keputusan pilihan raya kawasan Parlimen ke-12 diisytiharkan tidak sah telah dikemukakan ke Mahkamah Tinggi Ipoh. Menurut petisyen itu, Ahli Parlimen BN Kuala Kangsar Tan Sri Rafidah Aziz tidak menandatangani dua daripada tiga dokumen yang wajib ditandatangani semasa mengemukakan pencalonan pada PRU 12.

Walaupun Mahkamah Tinggi Ipoh belum bersidang untuk membicarakan petisyen itu, cakap-cakap umum menyuarakan keyakinan bahawa keputusan PRU 12 bagi Parlimen Kuala Kangsar akan dibatalkan dan pilihan raya kecil akan diadakan. Malah ada gosip bahawa Rafidah tidak dilantik semula menjadi menteri persekutuan adalah kerana perkara tersebut. Seolah-olah Pak Lah telah menduga apa yang akan berlaku. Bagaimanapun segalanya masih bersifat andaian yang tidak semestinya benar.

Namun bagi pihak Anwar dan Pakatan Rakyat, persiapan telah dibuat dengan jangkaan bahawa pilihan raya kecil bagi kawasan Parlimen Kuala Kangsar akan diadakan semula. Persiapan juga dibuat dengan harapan Anwar akan menang dan menjadi Ahli Parlimen untuk melayakkan diri menjadi Perdana Menteri jika kerajaan BN tumbang dan Pakatan Rakyat boleh menubuhkan kerajaan baru.

Sebagaimana yang telah lama diperkatakan, kerajaan BN hanya akan tumbang jika Pakatan Rakyat berjaya memujuk sekurang-kurangnya 30 Ahli Parlimen BN untuk berpaling tadah. Dalam hal ini, Anwar telah berkali-kali menyatakan bahawa ia akan berlaku dan hanya menunggu ketika yang sesuai.

Ketika yang sesuai ialah apabila Anwar sudah menjadi Ahli Parlimen. Menurut cerita yang tersebar, kononnya tarikh 16 September (hari pembentukan Malaysia) telah dipilih sebagai hari pembentukan kerajaan Pakatan Rakyat melalui tindakan paling tadah sekumpulan Ahli Parlimen BN, sebahagian besar daripada Sabah dan Sarawak.

Malah cerita terbaru yang disebar kini ialah salah sebuah parti komponen BN sudah bersedia untuk menyertai Pakatan Rakyat. Parti mana? Kononnya parti itu bukan dari Semenanjung, tapi dari Sabah atau Sarawak. Sehingga ia benar-benar berlaku, pelbagai spekulasi akan terus disebarkan.

Dalam masa yang sama, Pakatan Rakyat juga sedang mengatur satu siri perhimpunan membantah terhadap kenaikan harga minyak di seluruh negara. Anwar akan berucap pada perhimpunan-perhimpunan ini sebagai pemidato utama. Perhimpunan terbesar yang dirancang untuk mengumpulkan kira-kira sejuta orang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 5 Julai depan sebagai kemuncak kepada perhimpunan-perhimpunan awal yang akan diadakan di beberapa negeri, terutama negeri-negeri yang diperintah oleh parti-parti Pakatan Rakyat.

Apakah niat sebenar Anwar sebagai pemimpin de-facto Pakatan Rakyat merancang perhimpunan-perhimpunan ini? Adakah beliau mahu menumbangkan kerajaan BN dengan menghasut dan mengeksploitasi kemarahan rakyat? Jika Anwar benar-benar yakin tidak kurang 30 Ahli Parlimen benar-benar akan berpaling tadah, buat apa beliau merancang Perhimpunan Sejuta yang boleh menimbulkan keadaan tegang dan tidak aman di ibu negara?

Kita jangan lupa bahawa Perdana Menteri boleh memanggil pilihan raya umum secara mengejut untuk mendapatkan semula mandat bagi penubuhan kerajaan baru yang lebih stabil. Yang di-Pertuan Agong akan memberi perkenan jika keadaan dilihat tidak tenteram lagi. Pilihan raya umum yang ke-13 adalah jalan terbaik bagi menyelesaikan kebuntuan ekoran keputusan PRU 12 yang menggagalkan BN membentuk kerajaan dengan majoriti lebih dua pertiga.

Anwar juga bersiap sedia untuk menghadapi kemunkinan diadakan pilihan raya baru bagi Dewan Rakyat. Sebab itulah beliau sedang menggembeleng Pakatan Rakyat dan NGO-NGO yang anti-BN supaya meniupkan kebencian terhadap BN berikutan penstrukturan semula subsidi minyak ekoran kenaikan harga minyak mentah di pasaran dunia. Harapan Anwar ialah supaya rakyat bertambah benci kepada BN dan memilih Pakatan Rakyat jika pilihan raya baru diadakan.

Dengan itu akan tercapailah cita-cita Anwar untuk menjadi Perdana Menteri. Sama ada perhimpunan-perhimpunan membantah kenaikan harga minyak itu akan bertukar menjadi antikerajaan dan mencetuskan huru-hara, Anwar tidak peduli. Cita-cita beliau untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia mengatasi segalanya. Sama ada negara dan rakyat akan menanggung akibat yang lebih buruk adalah soal sampingan bagi Anwar.

Bila Pak Lah semakin dibenci

APAKAH benar telah ada 16 orang Ahli Parlimen daripada Barisan Nasional akan bertindak keluar daripada parti tersebut sebagai satu protes terhadap keengganan Pak Lah untuk meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dan tindakan mereka ini juga disifatkan sebagai satu lagi perkembangan yang bakal mengejutkan senario politik tanah air.

Walaubagaimana pun, keputusan yang bakal dibuat itu bukanlah bermakna mereka akan menyertai pembangkang yang diketuai oleh Anwar Ibrahim tetapi Ahli-Ahli Parlimen tersebut akan meletakkan diri mereka sebaris dengan YB Ibrahim Ali sebagai anggota bebas serta bertindak sebagai kuasa penentu di sidang parlimen akan datang.

Menurut sumber yang layak dipercayai, kalangan beberapa anggota parlimen Barisan Nasional telah mula bosan dan muak dengan kenyataan berbelit-belit Pak Lah tentang tarikh sebenar penyerahan kuasa kepada Timbalan Perdana Menteri dan tindakan mereka mengambil keputusan keluar daripada Barisan Nasional sebagai satu bantahan kepada sikap dan pendirian Pak Lah dalam menangani isu tersebut.

Mereka juga menganggap sebarang perancangan yang Pak Lah sedang rancang ketika ini tidak lebih daripada sebuah perancangan kosmetik semata-mata dan tidak menjanjikan keputusan dominan sebagai sebuah kerajaan yang lebih mementingkan kepada tuntutan rakyat serta gerakan massa yang mampu membuatkan rakyat dan negara terus stabil, aman dan makmur.

Mereka juga berpendapat bahawa keputusan yang bakal dibuat itu meskipun akan mengecewakan ramai pihak namun kalangan mereka percaya bahawa sesuatu perlu dilakukan untuk menyedarkan Pak Lah bahawa Barisan Nasional sudah tidak lagi mempercayai dan memerlukan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Ada yang berpendapat, sebagai seorang Ketua pada sebuah kerajaan, Pak Lah telah gagal membuktikan bahawa beliau mampu untuk mengatasi segala masalah rakyat yang timbul dan juga pendirian serta komitmen beliau untuk mengeluarkan rakyat daripada segala kesulitan sejak akhir-akhir ini gagal meyakinkan semua orang.

Bermula daripada kekalahan mengaibkan melalui PRU12 lalu sehingga Pak Lah mencatat sejarah sebagai seorang Perdana Menteri pertama yang hilang majoriti dua pertiga di parlimen dan seorang Presiden yang terpaksa mengerah seluruh Ketua-ketua cawangan UMNO daripada seluruh Negara berkumpul setiap hujung minggu bagi mencari talian hayat untuk beliau menyambung khidmatnya sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO, gerakannya lebih kepada sekadar mahu mencari sokongan. Itu yang disifatkan.

Tindakan ahli-ahli parlimen ini sekiranya benar berlaku, satu lagi tamparan berbisa kepada Pak Lah sebagai Perdana Menteri dan sekali gus menterjemahkan betapa bila kebencian terhadap Perdana Menteri berlaku, apa sahaja boleh berlaku.

Namun menurut sumber tersebut, ahli-ahli parlimen ini selain tidak menyertai pembangkang, mereka juga tidak akan sama sekali menubuhkan parti lain dan akan menyertai semula Barisan Nasional apabila Pak Lah tidak lagi menjadi Pengerusi dan Perdana Menteri.

BEZA ANWAR, KU LI HANYALAH PARTI - NAWAITU MEREKA SAMA

Oleh : Otai Siber
Usaha Tengku Razaleigh untuk mencabar Presiden Parti UMNO kini menampakkan kesuraman apabila perhatian daripada ahli UMNO untuk memberikan laluan kepada beliau begitu dingin sekali. Semakin hari semakin suram dan ini agak mengecewakan Tengku Razaleigh. Halangan untuk Ku Li menjadi Presiden UMNO bukan hanya datang daripada Presiden UMNO sekarang sahaja, Ku li terpaksa juga menghadapi Timbalan beliau yang mungkin Ku Li mengambil ringan selama ini.


Najib tidak mungkin membiarkan kerusi Presiden UMNO terlepas begitu sahaja kepada Ku Li dengan mudah sekali, penyokong-penyokong Najib juga yang sabar menanti selama ini tidak mungkin akan membenarkan Ku Li begitu mudah untuk memiliki tahkta utama itu. Ku Li yang begitu beria-ia untuk meyakinkan ahli UMNO cuba menonjolkan diri dengan berbagai -bagai ragam dan cara agar beliau diberikan perhatian.

Juak - Juak Tun dan Tun sendiri tidak memberikan restu dan tidak pula menonjol untuk menolak Ku Li ke atas bagi menggantikan Presiden Parti. Keyakinan Tun terhadap ku Li juga tiada dan itulah sebabnya Tun bertindak keluar parti dengan harapan Ketua Cawangan dan Ketua Bahagian mengikut jejaknya kerana tidak yakin Ku Li akan mendapat pencalonan yang cukup untuk bertanding jawatan presiden UMNO.

Terbaru Ku Li menyatakan bahawa ada parti komponen Barisan Nasional akan keluar dari Parti BN pada akhir bulan ini dan parti berkenaan adalah sebuah parti yang datangnya dari luar semenanjung. Jika benar parti berkenaan mahu keluar, mengapa ura-ura ini disebarkan oleh Ku Li. Bagaimana Ku Li tahu dan apakah perancangan ini dilakukan bersama Ku Li. Apa yang Ku Li lakukan tidak ubah seperti apa yang Anwar Ibrahim lakukan. Memainkan perang saraf mengenai ahli parlimen yang akan melompat parti. Bezanya, Anwar adalah daripada parti pembangkang sementara Ku Li pula daripada parti UMNO.

Nawaitunya sama, untuk melemahkan kerajaan dan juga untuk menonjolkan kelemahan Presiden Parti yang ada sekarang. Pemimpin seperti Ku Li ini tidak ubah seperti pemimpin yang suka menangguk di air yang keruh sedangkan Ku Li sendiri tidak pernah menyumbangkan idea-idea yang bernas bagi membangunkan UMNO khususnya UMNO Kelantan.