Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Sunday, June 15, 2008

Keluar BN : Kenyataan Ku Li berniat jahat?

SEKIRANYA benar dakwaan Tengku Razaleigh bahawa ada salah satu komponen Barisan Nasional akan menarik diri ataupun keluar daripada Barisan Nasional, maka ianya jelas membuktikan bahawa komponen tersebut itu bukan rakan seperjuangan ataupun separti yang setia pada gagasan yang telah dibina bertahun-tahun lamanya itu.

Malah ini membuktikan bahawa komponen tersebut selama ini telah mengambil kesempatan untuk tumpang sekaki di atas kekuatan Barisan Nasional bagi mencari untung serta memperalatkan Barisan Nasional untuk wang, kuasa dan kedudukan tetapi akhirnya mahu meninggalkan parti tersebut di saat Barisan Nasional sedang melakukan pembaikan, di saat Barisan Nasional bertungkus lumus untuk mengembalikan kepercayaan rakyat dan rakyat telah mula melihat semula kepentingan Barisan Nasional tetapi malangnya dalam masa yang sama, ada pula pihak yang sedang berkira-kira untuk menikam Barisan Nasional dari belakang.

Dakwaan Ku Li tersebut biarpun disifatkan sebagai satu perang psikologi terhadap Pak Lah selaku Pengerusi Barisan Nasional namun ianya bukan sesuatu yang mustahil kerana apabila dilihat senario politik cari makan ada beberapa pemimpin daripada kalangan Barisan Nasional yang menyeberang kepada parti lain ataupun menyertai kerajaan yang bukan diperintah oleh Barisan Nasional.

Kelemahan ikatan serta kesetiaan perkongsian kuasa dalam pengertian gagasan Barisan Nasional dilihat terserlah apabila ada parti-parti komponen menyerang kepimpinan UMNO serta menyalahkan parti tulang belakang Barisan Nasional itu apabila calon-calon mereka kalah dalam PRU12 lalu.

Tindakan komponen parti ini juga akan secara langsung boleh ditafsirkan sebagai percubaan untuk membunuh UMNO, membunuh sokongan rakyat kepada UMNO dan membunuh kepercayaan ahli-ahli lain terhadap UMNO .

Kita juga percaya seandainya benar ada parti komponen yang mahu meleraikan ikatan perjanjian yang terpahat sejak sekian lama ini maka jelaslah Barisan Nasional selama ini bukan sahaja berdepan dengan ahli parti yang seperti musang berbulu ayam tetapi turut tidur sebantal dengan rakan-rakan daripada komponen lain yang boleh disifatkan sebagai gunting dalam lipatan ataupun musuh dalam selimut.

Sikap beberapa ketua-Ketua parti dalam Barisan Nasional yang sentiasa mendesak, meminta dan mengugut dengan menjadikan kehendak rakyat sebagai tujuan utama namun segala yang dilakukan adalah seperti mahu membawa Barisan Nasional ke arah keretakan hubungan yang bakal pecah pada bila-bila masa.

Malah cubaan ini juga sebagai satu serangan halus yang bukan sekadar mempertikaikan Pak Lah tetapi turut mahu menghancurkan UMNO itu sendiri. Sekiranya tindakan keluar Barisan Nasional ini benar, jelaslah UMNO dan Barisan Nasional diperlukan serta diperalatkan oleh yang berkepentingan di saat Barisan Nasional kuat, gagah dan mampu memenuhi kehendak peribadi mereka dan mereka ini tidak sanggup untuk sama-sama menyingsing lengan dengan kepimpinan Barisan Nasional lain membantu gagasan itu untuk kembali kuat dan kukuh seperti sebelumnya.

Rupa-rupanya tidak ada sesiapa pun yang menyangka bahawa ada kalangan rakan-rakan komponen dalam Barisan Nasional memasang niat seperti itu kerana mereka semua menyangka janji dan sumpah untuk sama-sama mempertahankan gagasan Barisan Nasional yang ditukar nama daripada Perikatan merupakan sebuah sumpah ataupun perjanjian yang akan dipertahankan daripada segala ancaman. Sumpah dan janji mempertahankan Barisan Nasional walaupun terpaksa bergalang nyawa.

Namun mengapakah mereka tergamak mahu menodai janji dan sumpah keramat itu? Mengapakah mereka akhirnya memasang niat untuk bertalak sedemikian dengan Barisan Nasional dan apakah parti mereka telah dibiarkan kelaparan oleh Barisan Nasional dan rakyat yang menyokong mereka juga ada yang mati tidak makan sehingga mahu menikam Barisan Nasional dari belakang? Rakan komponen jenis apa mereka ini?

Namun dakwaan Ku Li itu masih samar dan kita juga tidak tahu apakah tujuan Ku Li berbuat demikian. Apakah itu sekadar satu taktik untuk beliau meraih sokongan dalam pemilihan UMNO nanti ataupun Ku Li mahu jadi seperti sebahagian pemimpin-pemimpin lain yang bersandiwara dan sanggup mereka cipta apa sahaja cerita demi memusatkan tumpuan rakyat dan ahli kepada beliau.

Dalam masa yang sama, kita juga percaya parti-parti komponen yang membentuk Barisan Nasional tidak akan merendahkan martabat serta menjual maruah mereka dengan mengambil keputusan keluar daripada gagasan tersebut dan kita percaya gagasan yang diasaskan oleh UMNO ini adalah gagasan yang mempunyai formula terbaik bagi memastikan Negara dan rakyat stabil serta sama-sama mampu menikmati kemakmuran Negara.

Sekiranya dakwaan Ku Li ini tidak benar, maka jelaslah anak raja dari Kelantan ini berniat jahat dan mahu melihat Barisan Nasional yang selama ini memberikannya tempat dan kedudukan menempuh satu lagi situasi yang membimbangkan tentang nasib dan masa depan parti itu.

Sebagai seseorang yang menawarkan diri untuk memimpin sebuah parti yang besar dan hebat seperti UMNO. Ku Li juga tidak sepatutnya berprasangka buruk terhadap rakan-rakan lain yang berada di dalam Barisan Nasional dan semua parti-parti komponen harus juga melihat serta mengambil kira dakwaan Ku LI ini, apakah Ku Li berniat jahat ataupun parti komponen tersebut yang sememangnya benar-benar berniat jahat.

Protes Minyak

KENAIKAN harga minyak kini digunakan sebagai satu alasan kuat Pakatan Rakyat untuk terus membelasah Barisan Nasional. Mahu tidak mahu ini memberi mereka loncatan dari sudut penerimaan rakyat terhadap Pakatan Rakyat dan ini ditambah dengan kenyataan Anwar Ibrahim bahawa mereka mampu untuk menurunkan harga minyak pada saat harga dunia minyak meloncat naik.

Benar atau tidak, mampu atau tidak Pakatan Rakyat untuk menurunkan harga minyak adalah soal kedua bagi rakyat Malaysia waktu ini. Bagi mereka peningkatan harga minyak mengurangkan pendapatan mereka dari sudut peningkatan kos seharian dan peningkatan ini membebankan mereka.

Pembayaran balik subsidi melalui tunai untuk pengguna kenderaan merupakan “counter measure” yang tidak bijak dari sudut psikologi kemanusiaan. Peningkatan kos harian akan melenyapkan ghairah penerimaan duit pada hari seseorang itu menuntut subsidi.

Selepas itu mereka kan berhadapan kembali dengan kos peningkatan harian. Secara mudah – penerimaan anggaran RM 650 akan dibelanjakan oleh penerima dalam beberapa hari dan selepas itu mereka akan terus berhadapan dengan peningkatan kos harian yang akan melenyapkan nilai penerimaan wang subsidi tersebut.

Langkah kerajaan memberi balik wang dalam bentuk tunai ini tidak akan dapat menangani isu ini sepanjang tahun dan rakyat akan tetap mengkritik tindakan peningkatan harga minyak yang menjurus kepada peningkatan harga lain barangan.

Peningkatan harga minyak ini sebenarnya akan terus melenyapkan kewibawaan kepimpinan Pak Lah dan ini akan memberi kesan kepada kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Ahli UMNO sendiri mengeluh dengan kenaikan harga minyak dan ini lebih memburukkan keadaan dalam UMNO dan Barisan Nasional.

“Survival” UMNO dan Barisan Nasional akan pasti terganggu dan ini akan hanya dapat diselamatkan dengan tindakan reformasi dalam UMNO.

Asasnya UMNO sendiri sedang menanti-nanti perubahan dalam UMNO yang melibatkan kepimpinan Pak Lah dan perubahan ini sekiranya di laksanakan dengan perubahan polisi khususnya yang melibatkan kemakmuran rakyat akan menjayakan semula sokongan rakyat kepada kerajaan yang ada hari ini.

Kerajaan sewajarnya sedar bahawa langkah-langkah untuk memakmurkan rakyat, memudahkan dan mengurangkan bebanan rakyat setelah menaikkan harga minyak dengan kadar drastik tidak akan memberi makna kepada rakyat.

Yang pasti rakyat termasuk mereka yang hadir pada protes kenaikan minyak baru-baru ini serta kepimpinan dan ahli Pakatan Rakyat akan turut menuntut rebet yang diberikan oleh kerajaan kepada pengguna kenderaan dan ini jugalah yang akan mengerakkan bantahan kenaikan minyak.