Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Thursday, June 12, 2008

SALAHUDIN GAGAL MENEGAKKAN BENANG BASAH

PERDEBATAN antara Datuk Shahrir dan Salahudin Ayub, jika ia mahu dikatakan debat, yang berlansung di RTM 1 selama jam mulai 9.30 malam pada 10 Jun 2008, menarik perhatian kerana ia berkisar mengenai kenaikan harga minyak dan penstrukturan semula subsidi.

Selain ingin mengetahui huraian mengenai isu semasa yang paling hangat ini, program itu ditontoni juga kerana ingin mengetahui bagaimana Shahrir bagi pihak kerajaan menangkis serangan daripada Salahudin, Ketua Pemuda Pas yang mewakili pembangkang.

Meninjau laman web pro-Pas semalam, Tranungkite.net, nyata paling banyak reaksi terhadap program itu. Namun bukan isu sebenar yang dibincangkan, tapi prestasi Salahudin yang dibicarakan. Apabila seorang pembaca menyuarakan bahawa Salahudin gagal memanfatkan rancangan itu untuk menyerang Shahrir dan kerajaan, maka berjela-jela komen yang menyusul untuk mempertahankan Salahudin.

Membaca komen-komen itu, apa yang tersirat ialah Salahudin sebenarnya telah gagal untuk memberikan markah untuk pembangkang. Sebaliknya Shahrir yang kelihatan menang.

Sebenarnya ia bukan soal Shahrir atau Salahudin yang lebih hebat. Ia adalah soal kebenaran.

Shahrir antara lain dalam jawapannya kepada soalan-soalan Salahudin telah mendedahkan kepincangan pemimpin de-facto pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memperjuangkan isu subsidi minyak.
"Semasa beliau (Anwar) menjadi Timbalan Perdana Menteri dan negara kita menghadapi krisis ekonomi pada 1998, beliau mahukan kerajaan menerima langkah menyelamat yang Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) tawarkan.

"Salah satu syaratnya ialah tidak boleh ada subsidi. Tapi bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak mahu subsidi dimansuhkan dan akhirnya kita menyelsaikan masalah cara Malaysia, " kata Shahrir.
Mesej yang jelas daripada apa yang Shahrir sebutkan itu ialah cakap Anwar berbelit. Semasa dalam kerajaan beliau mahu menghapuskan subsidi, tapi sekarang beliau menjadi jaguh supaya subsidi minyak diteruskan sepenuhnya seperti dulu. Cakap Anwar ini menjadi pendirian pembangkang, termasuk parti Pas dan DAP.

Salahudin telah dikritik kerana berdiam diri dan gagal mempertahankan Anwar. Persoalannya, bagaimana mungkin Salahudin mempertahankan perkara yang tidak betul. Jawapan Shahrir adalah berdasarkan fakta sedangkan apa yang Salahudin utarakan adalah berdasarkan persepsi dan putar belit politik. Salahudin gagal bukan kerana beliau tidak pandai bercakap, tapi kerana beliau cuba menegakkan benang yang basah.

Percayalah bahawa pembangkang akan terus memainkan isu harga minyak ini kerana ia mudah digunakan untuk menjolok hati rakyat supaya membenci kerajaan. Dalam keadaan marah ekoran penstrukturan semula subsidi yang dilakukan agak mengejut, sentimen orang ramai mudah diputar. Apa jua penjelasan kerajaan amat susah ditelan kerana pembangkang akan cuba memutar isu.

Dalam keadaan yang berkecamuk ini, satu hakikat harus menjadi asas pertimbangan akal. Mari kita jawab soalan yang mudah ini. Setelah mengalami pukulan teruk dalam PRU 12, apakah Pak Lah dan kabinetnya begitu bodoh untuk melakukan sesuatu yang boleh menjadi modal besar kepada pembangkang untuk menyerang kerajaan?

Betapa Pak Lah sendiri menghadapi pelbagai masalah dari dalam dan luar parti serta kerajaan selepas PRU 12. Buat apalah beliau menambah beban dengan menyusun semula struktur subsidi minyak untuk membangkitkan kemarahan rakyat. Tentulah beliau melakukannya bukan kerana politik, tetapi kerana tanggungjawab seorang ketua eksekutif negara.

Hakikatnya kerajaan Pak Lah tidak mempunyai pilihan yang lebih baik. Kerajaan perlu bertanggungjawab untuk menguruskan ekonomi bagi tahun ini, tapi yang tidak kurang penting ialah tahun-tahun yang mendatang, termasuk untuk generasi anak-anak mereka yang bising kerana kenaikan harga minyak dan barangan keperluan harian.

Kenapa kita rakyat Malaysia berbalah sama sendiri mengenai masalah yang sebenarnya bukan berpunca daripada kesilapan kita sendiri. Kita harus bertanya, kenaikan harga minyak dunia adalah angkara siapa?

Apakah kenaikan harga minyak berlaku kerana permintaan dunia meningkat lebih daripada bekalan? Jika meningkat permintaan, kenapa negara-negara pengeluar minyak (OPEC) tidak meningkatkan pengeluaran? Tentu ada sebab besar bagi OPEC untuk tidak meningkatkan pengeluaran. Selain bekalan di perut bumi akan cepat habis, minyak yang dikeluarkan itu akan pergi kepada siapa?

Untuk menjawab soalan ini, kita perlu bertanya negara mana yang paling banyak membeli dan menggunakan minyak?

Menurut perangkaan terbaru yang diperoleh daripada NationMaster.com, Amerika Syarikat mendahului senarai dengan penggunaan 20,730,000 tong sehari, diikuti China 6,534,000; Jepun 5,578,000; Jerman 2,650,000; Rusia 2,500,000; India 2,450,000; Canada 2,294,000; Korea Selatan 2,149,000 dan Brazil 2,100,000. Lain-lain negara dunia hanya menggunakan di bawah 2 juta tong sehari. Malah Malaysia hanya menggunakan 515,000 tong sehari, berbanding Singapura 800,000 tong.

Pokoknya Amerika Syarikat adalah negara pengguna terbesar dengan angka jauh mengatasi China yang mempunyai penduduk 1.3 bilion dan ekonomi yang berkembang pesat. Kenapa AS menggunakan terlalu banyak minyak? Keperluan AS bukan sahaja untuk kegunaan domestik, tapi juga untuk bala tenteranya yang besar. Dan bagi mengekalkan kekuatan tenteranya yang berada di seluruh dunia termasuk jet pejuang, kapal dan kereta kebal yang `menakluki' Afghanistan dan Iraq, sejumlah besar minyak diperlukan untuk keperluan semasa dan akan datang.

Bagi mengekalkan dominannya terhadap dunia melalui kekuatan senjata, AS perlu memiliki minyak yang banyak dalam simpanan. Jika negara-negara lain membeli minyak lebih kerana keperluan semasa dan dua tiga tahun akan datang, AS secara strategik perlu memikirkan bekalan untuk beberapa dekad akan datang demi mengekalkan kedudukannya sebagai kuasa nombor satu dunia. Mereka membeli banyak untuk setok simpanan akan datang, sedangkan kebanyakan negara lain seperti Malaysia lebih kerana kegunaan semasa.

Kenapa kita persalahkan Pak Lahkah sedangkan harga minyak mentah naik kerana AS membeli bekalan masa depan melalui pasaran hadapan dengan harga yang lebih mahal daripada harga semasa? Siapa yang jadi mangsa? Masalah yang kita hadapi menjadi lebih buruk apabila kita `berperang' sesama sendiri sedangkan segalanya ini adalah angkara negara Uncle Sam. Tidak cukup dengan mengacau pasaran hadapan, AS juga cuba menguasai rantau Asia Barat yang kaya dengan minyak. Saddam Hussein dijatuhkan bukan kerana dia pemimpin yang zalim, tetapi kerana negara Iraq mengeluarkan dan menyimpan banyak minyak.

Salahudin sepatutnya mengambil kesempatan untuk mencadangkan langkah-langkah strategik bagi menangani krisis tenaga yang bakal kita hadapi apabila bekalan minyak mentah dunia semakin terhakis. Peranan pembangkang bukan sekadar menghentam dan menambah teruk masalah yang sedia ada, tapi sepatutnya turut mengemukakan syor-syor bernas bagi mengurangkan masalah yang mendatang.

Selepas pilihan raya kerajaan terpaksa bekerja untuk rakyat dan negara, tetapi pembangkang kita masih bermentaliti lama, iaitu berkempen politik sepanjang masa. Demokrasi menuntut peranan membina negara bukan sahaja terletak pada kerajaan, tapi juga pada pembangkang.

Kenapa desakan Muhyiddin tidak di zaman Tun

Oleh : Otai Siber

Naib Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali lagi mengulangi gesaannya agar sistem kuota untuk melayakkan seseorang bertanding dalam pemilihan parti tidak diteruskan kerana ia boleh menggalakkan amalan rasuah.“Saya berpendapat sebaik mungkin cari jalan agar sistem ini tidak diteruskan kerana selain ia tidak sesuai, ia boleh menggalakkan amalan rasuah politik.

“Apabila seseorang bertanding, dia perlu mendapat sejumlah pencalonan contohnya 30 peratus, tetapi baru dapat 10 peratus dan kurang 20 peratus lagi, tidakkah mungkin terdorong mereka untuk menggunakan wang supaya dapat pencalonan dan ini ternyata amalan tidak sihat,”
Soalan yang akan kita tanya kepada Tan Sri Muhyiddin apabila membaca kenyataan beliau.

1.Jadi selama ini Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menang jawatan Naib Presiden UMNO ada mengamalkan rasuah untuk mendapat pencalonanlah , kerana orang akan bercakap berdasarkan pengalaman.

2. Kenapa baru tahun ini TSM sibuk dengan penghapusan sistem Kuota, apakah Tan Sri tidak yakin akan mendapat Kuota. Kenapa nak takut , buat saja macam biasa Tan Sri buat. Berdasarkan pengalaman. Kalau kita bagus , tentu orang akan calonkan kita.

3. Masa zaman Tun kenapa Tan Sri tidak pernah mendesak agar sistem ini dihentikan. Takut dengan Tun atau Takut Tun akan blacklist. Sekarang kenapa tak takut?
Pastinya Tan Sri mungkin sudah merasakan bahawa Tan Sri mungkin tidak akan layak untuk bertanding kerana Tan Sri sudah merasakan bahawa Tan Sri tidak mungkin akan mendapat Kuota 30 %..

Semua orang boleh cakap tapi sukar jika mahu laksanakan

Oleh: Ikma Hisham
Orang Cina ada berkata, cakap tak serupa bikin, bikin tak serupa cakap. Hari ini bila harga minyak naik, ramai yang memberikan pendapat dan ramai yang mengeji Perdana Menteri dan kerajaan. Ramai pula yang bijak -bijak yang kononnya boleh tidak menaikan harga minyak jika mereka memerintah. Setakat cakap, boleh turunkan harga minyak menjanjikjan sesuatu yang manis untuk menghina yang sedang melaksanakan sememangnya mudah. Melaksanakan satu perkara yang berbeza dari hanya berkata-kata.

Rakyat negara jiran berpusu-pusu datang ke sempadan Malaysia untuk megisi minyak kerana minyak di negara mereka lebih mahal dari harga minyak di nagara kita. Harga minyak dunia berada diparas AS 130 setong sekarang harga sebenar minyak seliter yang sepatutnya dibayar oleh pengguna jika tanpa subsidi kerajaan ialah RM3.45 seliter.

Sedangkan semasa kerajaan mengumumkan kenaikan 78 sen pada 4 Jun lalu yang menjadikan harga petrol RM2.70 seliter dari RM1.92 sebelumnya waktu itu harga harga minyak dunia adalah diparas AS$125 setong. Apa pun semua orang boleh menarik nafas lega sekalipun harga minyak dunia melambung sampai AS$ 200 setong. Ini kerana mesyuarat kabinet Rabu telah memutuskan harga minyak dan diesel tidak akan dinaikkan lagi pada tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang membuat pengumuman itu dalam satu sidang akhbar mengakui keputusan itu mungkin akan menimbulkan kesukaran kepada pengurusan kewangan kerajaan memandangkan harga minyak terus meningkat.

“Harga petrol dan diesel sekarang akan dikekalkan walaupun harga minyak dunia mungkin mencecah AS$200 setong pada tahun ini,” katanya. Abdullah menjelaskan kerajaan kena cari kaedah-kaedah lain untukmenanggung perbelanjaan tambahan melainkan kalau ada sebab-sebab lain yang memerlukan ia ditimbangkan semula.
Siapa saja sekali pun sebagai Perdana Menteri hari ini akan menaikkan harga minyak dalam krisis minyak sekarang, sekadar cakap semua orang boleh cakap. Sememangnya sebagai pengguna kita akan rasa akan keperitan tetapi inilah hakikat yang perlu semua orang di dunia ini hadapi.

Kuota pencalonan dan Muhyiddin Yassin

Oleh : Mat Zain Mat Zan (Melaka)
Keluhan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin yang merupakan Naib Presiden (VP) Umno terhadap kuota pencalonan dan rasuah dalam politik cukup menarik untuk diperbahaskan. Sebagai anak seorang tokoh agama dari Muar, ketokohan Muhyiddin bukan kerana dia seorang Menteri dan seorang VP Umno sebenarnya tetapi banyak kepada nama baik aruah bapanya yang mempunyai ribuan murid.

Malangnya, Muhyiddin merosakkan nama baik dirinya sendiri apabila dia secara tiba-tiba mahu menonjolkan diri sebagai seorang ‘alim’ yang tidak mahu terlibat dengan rasuah politik (dulunya dikenali sebagai politik wang).

Bukan main ramai yang tertawa. Ada yang terbahak-bahak. Ada yang menyindir Muhyiddin dengan kata-kata ‘mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih’. Ada juga yang mencipta gurindam ‘bila Muhyiddin bercakap politik, macam mengata bukan mengkritik, kadang-kadang ada yang tergelitik, kata mereka Muhyiddin ada macam-macam tektik, ada juga yang kata dia pandai ilmu mantik, padahal dia yang banyak guna wang tetapi ketika hulur tiada yang berdetik, hantar bakul buah epal dan betik, masuk hotel dari bilik ke bilik’.

Tidak hairanlah, bila Muhyiddin ketika hampir-hampir tidak cukup pencalonan untuk bertanding jawatan VP dalam tahun 2000, dia merayu dengan banyak bahagian. Tiada satu pun bahagian dari Pahang mencalonkannya. Tetapi cuba kita bertanya kepada Muhyiddin, bahagian mana yang mencalonkan dia hingga menyebabkan dia menang tahun ini, dan terus menang hingga pemilihan yang lepas?

Muhyiddin adalah jenis manusia mudah lupa. Dia bukan sahaja lupa kepada nama-nama perwakilan malahan dia juga sudah lupa bahagian mana yang mencalonkannya dahulu. Yang dia ingat, kawan-kawannya di Padang Golf hingga dilantiknya ’seekor musang untuk duduk di dalam reban ayam’.

Opp! Musang mana yang duduk di reban ayam. Tanya Muhyiddin siapa yang dia lantik menjadi Ahli Lembaga Pengarah Bank Pertanian (sekarang Afro Bank) ketika dia menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dahulu. Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Haji Alwi Che Ahmad mungkin kenal ‘musang’ ini kerana khabarnya musang ini adalah kawan baik Tan Sri Datuk Seri Panglima Annuar Musa, tauke ayam terkemuka
dari Kelantan.

Kisah pemiihan VP dalam tahun 1993, ketika Muhyiddin menang nombor satu, cukup sesuai dijadikan teladan atau ’studi kes’ jika Lembaga Disiplin Umno mahu membuat peraturan. Bertanyalah dengan rakan-rakan Tan Sri Muhyiddin termasuk Tan Sri Abu Shahed Mohamed berapa banyak wang dihabiskan untuk memenangkan Muhyiddin sebagai VP nombor satu.

Datuk Seri Anwar Ibrahim barangkali boleh sahkan cerita ini walaupun bila Datuk Seri Najib Tun Razak terkenang kemenangannya di tempat kedua, cukup-cukup menguris perasaannya tetapi Najib juga tahu berapat banyak wang yang Muhyiddin sudah laburkan. Muhyiddin dan Najib kini seperti ‘belangkas’. Mereka dilihat sehati dan sejiwa. Apa yang Muhyiddin cakap, Najib akan setuju dan apa yang Najib cakap, Muhyiddin akan sokong.

Tapi, kalau mereka menoleh ke belakang, ke tahun 1993, di mana Team Wawasan hampir-hampir ‘menjual Umno’ dan menjual negara ini, Najib sepatutnya berada di belakang Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, bukan untuk setahun dua, malahan untuk beberapa lama sahaja, selagi Pak Lah mampu memimpin parti dan negara.

Najib ada kisahnya sendiri. Muhyiddin ada kisahnya sendiri. Cerita kuota ini bukan cerita baru. Ia dimulakan di zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad lagi. Ketika Muhyiddin mencadangkan kepada Mahathir, Mahathir
member isyarat tidak perlu diubah (dipetik dari kenyataan Muhyiddin sendiri). Kenapa ketika itu, Muhyiddin tidak menyerang Mahathir seperti Muhyiddin menyerang Pak Lah sekarang? Kelembutan dan keterbukaan Pak Lah sudah disalah ertikan.

Pak Lah diserang bukan kerana buat silap tetapi kerana ‘anggota kabinetnya’ tidak melakukan kerja-kerja sepatutnya. Anggota kabinet Pak Lah sibuk dengan kawan-kawan berniaga masing-masing.

Ada sahaja tauke Cina dikeliling mereka. Projek-projek diberikan kepada tauke-tauke ini. Tetapi dalam ucapan-ucapan di mana-mana majlis, mereka akan menegur sikap peniaga Melayu yang ‘ali baba’ projek, gagal menyiapkan kerja-kerja dan projek terbengkalai.

Cuba kita bertanya kepada Datuk Seri Najib, berapa banyak projek ‘runding terus’ Kementerian Pertahanan yang gagal disiapkan? Siapa yang mendapat projek ‘runding terus’ dari Kementerian Pertahanan ini? Siapa yang dapat projek membekalkan uniform Angkatan Tentera? Kisah Najib kita sambung lain kali. Kali ini kisah Muhyiddin dulu.

Kita bercakap habis-habis mengenai politik wang atau rasuah politik antara Muhyiddin dengan Umno. Bolehkahperwakilan Umno tahun 1993, 1996, 2000 dan 2004 menafikan mereka menerima duit dari Muhyiddin? Atau Muhyiddin menafikan dia terlibat dengan politik wang dalam setiap pemilihan yang dia sertai?

Kalau Muhyiddin tidak sombong, sanggup membuka pintu pejabatnya kepada orang ramai, ketua-ketua Umno, ketua-ketua pemuda, wanita dan puteri, dia akan lebih popular dan dia akan dapat membantu pucuk pimpinan.

Malangnya, pintu pejabat Muhyiddin dan wajah setiausaha-setiausahanya masam macam wajah Muhyiddin juga. Sebelum pilihan raya, adakah Muhyiddin menggunakan banyak masa meninjau masalah rakyat dan pengundi?

Kalau dia ada buat kerja-kerja ini, mustahil di kawasannya sendiri undi merosot bukan sedikit. Jauh sekali dia mahu turun ke bawah ke kawasan orang lain, di negeri-negeri lain. Bila keputusan PRU 12 tidak begitu baik, dia juga turut menuding jari menyalahkan Pak Lah seorang.

Dia tidak pula mahu mengaku dia adalah salah satu penyebab mengapa BN semakin merosot sokongan.

Muhyiddin sudah dapat merasakan, sebagai VP dia tidak akan mampu menandingi popularity Tan Sri Mohamad Isa Abdul Samad dan Datuk Seri Mohd Ali Rustam. Dia akan tewas kali ini jika dia masih di situ.

Kehadiran calon-calon baru yang lebih popular seperti Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Adnan Yaakob menyebabkan Muhyiddin dapat meramalkan masa depan politiknya yang gelap.

Muhyiddin sudah dua kali tewas dalam usaha merebut salah satu kerusi VP. Pertama tahun 1990 dan kedua, 1996. Dia menang betul-betul kerana ‘politik wang’.

Kalau harapkan hubungannya dengan Ketua-Ketua Bahagian, mustahil dia boleh menang. Bertanyalah dengan Ketua Umno Bahagian Padang Serai, Datuk Hadzir Ismail. Ketika mahu sokongan, rumah Hadzirlah antara yang dituju Muhyiddin tetapi sekarang, masihkah Muhyiddin ada menghubungi Hadzir bertanya khabar?

Dalam tahun 1996, selepas diumumkan kalah sebagai VP, antara orang yang mendampingi Muhyiddin ialah Nazri Abdullah, Timbalan Ketua Umno Bahagian Sipitang. Sampai pukul satu pai Nazri di rumah Muhyiddin di Bangsar tetapi bila kedudukan Muhyiddin selesa sekarang, cuba bertanya dengan Nazri, apakah dia masih diingati lagi? Adakah Muhyiddinmenyimpan nombor telefon Nazri sekarang? Banyak lagi kisah Muhyiddin yang perlu didedahkan jika keadaan memerlukannya. Saya banyak mengutip cerita-cerita ini dari orang-orang politik yang suatu ketika dahulu amat menyanjung tinggi Muhyiddin tetapi Muhyiddin adalah jenis manusia, menggunakan tongkat untuk menyeberang dan tongkat akan dibuang apabila dia selamat menyeberang.

Mungkin bekas Ketua Umno Bahagian Tenggara, Haji Asmaun Ismail boleh menceritakan bagaimana pengalamannya bersama Muhyiddin.