Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Monday, June 9, 2008

JAUHILAH WASANGKA SESAMA KITA DEMI BANGSA

Oleh : Salim Selamat
Sungguh menghairankan apabila masih ramai dari kalangan ahli UMNO sendiri mempersoalkan kemasukan Mohamad Ezam Mohd Nor ke dalam parti ini. Beliau menyerahkan borang keahlian kepada Presiden UMNO salah. Media menyediakan ruang untuk beliau membuat kenyataan, salah. Beliau diberi ruang udara di TV pun salah. Hinggakan tidak kurang yang mengatakan beliau mungkin mahu mencari tempat istimewa dalam UMNO dan mengambil kesempatan ketika UMNO menghadapi masalah dalaman pada ketika ini.

Inilah satu-satunya kelemahan orang Melayu yang khususnya ‘orang besar’ dalam UMNO sendiri ada yang menyatakan tidak senang dengan kemasukan Ezam seolah-olah kedudukan mereka boleh tergugat pula gamaknya. Mempersoalkan kenapa Ezam harus diberi layanan begitu istimewa hingga menyerahkan borang keahliannya kepada presiden UMNO amat dicemburui ramai.

Macam-macam Ezam dikecam. Di meja-meja sidang mini di mana-mana tempat tumpuan politikus lebih secara terbuka tanpa segan silu menggambarkan betapa mereka itu sangat cemburu, menaruh pelbagai sangkaan buruk terhadap penjelmaan Ezam setelah meninggalkan UMNO kira-kira 10 tahun lalu menyertai PKR yang kemudiannya meninggalkan parti itu setelah didapati PKR tidak benar-benar dilihat membawa
faedah besar kepada orang Melayu.

Pada saya, Ezam ialah seorang reformist yang melihat UMNO sebagai satu organisasi terbesar untuk orang Melayu berpaut. Tidak boleh siapa menafikan bahawa UMNO adalah tunggak perjuangan orang Melayu sejak dari mulanya ia ditubuh. Oleh itu, Ezam sudah pasti menelitinya bahawa UMNO sedang bergerak ke arah mengalami peralihan paradigmanya. Dan ini tentu sekali memberi beberapa kesan sentakan atau kejutan sementara ia dapat diterima semula oleh segenap lapisan masyarakat Melayu dalam satu tempoh tertentu.

Dalam pada masa inilah sepatutnya pemimpin di semua peringkat, tidak kira sama ada mereka itu mengetuai cawangan, bahagian mahupun sudah menduduki kerusi lebih tinggi dalam UMNO tidak seharusnya berpendirian negatif apabila parti kita diterima oleh orang Melayu namanya. Ezam orang Melayu. Dia bukan dari parti komunis. Walaupun dia misalnya bekas ahli parti komunis, tetapi penyertaannya ke dalam UMNO harus diterima dengan hati terbuka kerana segala tindakannya yang pelik atau di luar tabii atau budaya parti yang mencurigakan, barulah kita bertindak walaupun hingga terpaksa memecat beliau.

Dari tiap perkataan beliau sama ada di akhbar, di kaca TV, Ezam tidak kesal dengan mereka yang menyatakan dia diragui. Ezam tidak pun ambil kisah mereka yang mengecam beliau macam-macam dalam blog mahupun di dada-dada akhbar. Tetapi beliau lebih mahu menunjukkan satu sikap yang bersahaja dan dari kenyataannya jelas beliau kelihatan cukup ikhlas kerana dalam kemelut UMNO hari ini, beberapa kali beliau ulangi kemasukan beliau dalam UMNO tidak ada maksud mahu mendapatkan sesuatu daripada UMNO.

Selain dari berterima kasih kepada presiden, Ezam mengulangi pendiriannya yang selama beliau tanpa parti selama lebih kurang dua tahun, dia yakin dengan kesungguhan Pak Lah mahu benar-benar mengerjakan gejala rasuah dan salahguna kuasa. Kebetulan, Ezam yang sebelum ini menjadi pengerusi GERAK pun sudah mempunyai pengalaman dalam usaha ke arah yang sama. Cuma beliau dengan rendah diri mengundur diri dari memegang jawatan pengerusi GERAK dengan alasan tidak mahu dikatakan GERAK itu sebagai sebuah institusi berjenamakan nama beliau sebaik sahaja beliau membuat keputusan mahu menyertai UMNO semula.

Tindakan itu sebenarnya apa yang disebut, beliau mahu GERAK menjadi satu organisasi bebas. Maksudnya supaya ia tidak digerakkan melalui parti. Sungguhpun tindakan beliau itu jelas tidak berkepentingan mahu mengheret GERAK ke dalam UMNO untuk mencari populariti, tetapi itulah hakikatnya yang sesetengah pihak ada yang menuduh beliau ada benda lain yang dicarinya dalam UMNO.

Dalam hal yang sebegini rupa, minta tolonglah kepada yang sangsi akan kemasukan Ezam tidak menimbulkan persoalan yang bukan-bukan dengan pelbagai prasangka terhadap beliau yang setakat ini nampaknya ikhlas. Sebagai satu nama agak terkenal dalam arena politik tanah air, Ezam masih mempunyai kesan ‘public figure’nya yang tersendiri. Sebut nama Ezam, ramai yang kenal.

Kalau takutkan Ezam nanti menerima pencalonan untuk apa-apa jawatan tertinggi dalam UMNO, janganlah ingat orang UMNO yang sedang bergelar pemimpin di peringkat bahagian itu buta hati dan terlalu daif hingga tidak dapat mengukur situasi sekarang. Tidak mungkin Ezam diberi pencalonan untuk jawatan apa pun dalam parti. Jauh sekali untuk jadi Ketua Pemuda, Naib Presiden mahupun Timbalan dan Presiden.

Malah kalau melihatkan kredibiliti melalui sejarah pengalaman beliau, beliau boleh diberikan peranan mengetuai biro yang sesuai dalam barisan peringkat bahagian atau yang lebih tinggi dari itu. Beliau pasti boleh melakukan dengan baik. Tetapi kalau beliau menyerlah di mana-mana peringkat nanti, janganlah pula kita dengki dan sabotaj kebolehan dan kemampuannya.

Elakkanlah dari mempunyai perasaan dendam, cemburu, iri hati, sakit hati, dengki, sabotaj, wasangka, ragu tak pasal-pasal dan menaruh syak yang bukan-bukan di antara kita orang Melayu jika kita mahukan rumpun Melayu menjadi kukuh teguh dalam sebuah parti yang satu-satunya yang telah banyak membawa kemajuan kepada orang Melayu khususnya.

Pemilihan UMNO- Tukar pemimpin rakus

SIAPAKAH yang bakal kecundang? Siapakah muka baru dan siapakah yang harus disingkirkan pada saat menjelang pemilihan UMNO nanti. Dalam pemilihan yang akan berlangsung nanti, siapakah pula antara mereka yang sedang berkira-kira untuk menarik diri selepas merasakan khidmat ataupun sumbangan mereka selama ini tidak banyak membantu UMNO ataupun kehadiran mereka selama ini dalam Majlis Kerja Tertinggi UMNO hanya sekadar seperti melepaskan batuk di tangga atau macam melukut di tepian gantang.

Sepatutnya sudah ada kepimpinan yang sedia ada sedar bahawa kedudukan mereka selama ini di dalam Majlis Kerja Tertinggi parti tidak menyumbang dan menambah kepada kekuatan parti dan kesannya telah jelas dilihat dalam PRU12 lalu apabila Barisan Nasional menerima tamparan hebat yang belum pernah di terima oleh mereka sebelum ini. Lebih dahsyat dari itu ada juga dari kalangan MKT sendiri yang menjadi duri dalam daging ataupun gunting dalam lipatan kepada parti mereka sendiri yang bertindak untuk kepentingan diri dengan menyokong calon lawan tanpa menghiraukan kepentingan serta maruah parti.

Malah sikap hipokrasi sesetengah ahli MKT yang tidak terpilih sebagai calon dalam PRU12, bertindak menikam calon sendiri dari belakang atas rasa kecewa tidak terpilih semula sebagai calon pilihan raya dan ada juga daripada kalangan MKT yang turut membantu untuk memenangkan calon lawan kerana merasakan maruah mereka telah tercemar dan mengambil langkah menghukum parti sendiri adalah satu perbuatan sabotaj yang sepatutnya tidak boleh dimaafkan.

UMNO selepas PRU12 sudah tidak mampu untuk mengendong parasit dalam parti dan juga sudah tidak mampu untuk memiliki pemimpin umpama dedalu ataupun anai-anai yang sepanjang masa cuba merosakkan parti apabila kepentingan mereka terjejas. UMNO selepas PRU 12 sepatutnya sedar bahawa virus-virus kepentingan diri sedang merebak hebat dan ini mampu merosakkan parti lantas segala budi dan perjuangan legasi kepimpinan Melayu akan hanya lenyap dimamah sikap hipokrasi ini.

Mendasari senarai ahli-ahli MKT sebelum ini, sudah sampai masanya seluruh ahli di peringkat akar umbi yang bakal bersidang pada bila-bila masa melihat secara terperinci kualiti kepimpinan yang bagaimana harus dipilih untuk membentuk satu pasukan bagi menjamin masa depan UMNO dan sekali gus mampu memacu UMNO sebagai sebuah parti yang terus relevan menerjah masa.

Ahli UMNO tidak boleh khayal dan mengagungkan pemimpin yang hanya tahu bila hari jadi Ketua Bahagian ataupun AJK Bahagian. Ahli UMNO sudah tidak boleh terpesona dan menganggap bahawa seseorang pemimpin itu hebat serta berkarisma hanya kerana pemimpin itu hadir pada majlis perkahwinan dan kematian semata-mata. Lobi dan sikap sebegini sudah tidak relevan untuk perjuangan sebenarnya.

Memilih pemimpin untuk menduduki MKT sesi ini seharusnya di pilih berdasarkan komitmen dan tanggungjawab yang tinggi tentang “survival” parti. Pemimpin yang dipilih seharusnya prihatin tentang bangsanya dan UMNO seharusnya mengangkat pemimpin yang sayang kepada agama yang dianuti dan cinta akan bangsanya. Ahli seharusnya menolak secara total pemimpin yang mahu mengambil atau memilih kepimpinan yang hanya mahu mengambil kesempatan di atas jawatan yang diamanahkan.

Kita harus menerima pandangan luar yang selama ini mentafsirkan bahawa pemimpin UMNO sudah terlalu rakus apabila memperoleh berkuasa. Pemimpin UMNO bongkak hanya kerana berjawatan dan pemimpin UMNO lupa tanggungjawab terhadap agama, bangsa dan Negara apabila berada di puncak kuasa. Kepimpinan UMNO harus hentikan sikap yang meletakkan dirinya sebagai tuan setelah di lantik memimpin. Sikap sebegini hanya akan memendekkan umur UMNO.

Dan kerana kerakusan itulah, rakyat menghukum UMNO dan Barisan Nasional. Rakyat meluat serta benci teramat sangat kepada pemimpin yang merasakan bahawa kekayaan negara ini hanya milik mereka dan membiarkan rakyat terus sengsara dan hidup melarat. Kebencian ini ditambah bila mana kepimpinan membuat sesuatu keputusan berdasarkan keuntungan khususnya untuk diri dan sisa-sisanya baru dilempar kepada rakyat untuk diagihkan. Sikap menghina keintelektualan rakyat meletakkan mereka terlampau jauh dan ini akhirnya menjadi benih-benih kesombongan kepimpinan.

UMNO sudah semestinya memiliki satu pasukan baru. Mempunyai angkatan perang yang baru, angkatan yang berani mengorbankan kepentingan diri demi menjamin masa depan agama,bangsa dan Negara terbela.

Ahli UMNO di semua peringkat dituntut untuk menjadi lebih peka dan berdaya maju.. Mereka seharusnya tidak mudah terbuai dengan janji seorang pemimpin yang datang di saat kepimpinan itu memerlukan sokongan dan pergi setelah memperoleh jawatan. Amat kesal untuk diperkatakan tetapi inilah hakikat yang ada bahawa kebanyakan pemimpin UMNO ini, mempunyai sikap sedemikian dan hanya mahu menentukan “survival” diri.

UMNO seharusnya tidak menjadi seperti menang sorak, kampung tergadai. UMNO harus mengembalikan maruahnya yang telah tercemar dan penyucian kepada kekotoran ini harus bermula hari ini demi melihat UMNO itu sendiri terus menjadi payung kepada orang-orang Melayu untuk berteduh.

Perubahan perlu dan ahli UMNO bertanggung jawab untuk memilih mereka yang bukan sahaja dilihat tetapi jelas nampak mengutamakan rakyat lebih dari diri. Sikap kepimpinan yang pro rakyat inilah yang harus di pilih untuk menjadi wakil yang berani memperjuangkan hak-hak agama, bangsa dan negara.

Jangan sesekali kita menggadaikan peluang pemilihan semata-mata kerana terpengaruh dengan kepimpinan yang tersengih-sengih hadir memohon talian hayat untuk terus menyapu hak rakyat. Apa pun bak kata pepatah, kalau mencari tempat bermandi, pertama teluk kemudian pandai, kalau mencari kepimpinan negeri, biarlah elok dan pandai.

Muhyiddin jangan ghairah, yang dikejar tak dapat yang dikendung berciciran nanti

Oleh : Otai Siber
Antara yang dikenal pasti duri dalam daging ialah Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang begitu ghairah sekali untuk menangguk di air yang keruh. Beliau adalah orang yang paling kecewa apabila EGM UMNO gagal dan secara tidak ketara beliau sering meniup api agar mendesak Pak Lah Turun dari jawatan. Kerana jika Pak Lah turun bererti beliau dan Najib adakan menduduki tempat yang pertama dan kedua.

Penulis, baru-baru ini duduk bersembang denga beberapa ahli UMNO dan juga bebarapa pemimpin UMNO dan kami bercerita berkisarkan politik terkini tanah air, dalam kami bercerita , penulis amat terperanjat apabila ada salah seorang dari kami berkata “Muhyiddin itu sebenarnya jahat”, dan beberapa orang yang lain bersetuju dengan pendapat itu.

Mungkin kali ini kita akan dapat melihat sejarah yang berlaku dahulu apabila Muhiyudin pernah tewas kerusi Naib Presiden UMNO sedangkan kempen manager nya YB Ron begitu konfiden akan menang kerana ketika itu Ron telah banyak membuat pelaburan di pejabatnya dahulu, kompleks wilayah selain di Hayat Hotel Kota Kinabalu. Tentu Ron masih ingat kerana Muhiyuddin dan Ron adalah orang DSAI. Itulah sebab bila Anwar dibebaskan Ron adalah salah seorang yang menerpa ke rumah DSAI. (Ron – Datuk Ruhanie Ahmad)

Beberapa hari yang lepas Muhyiddin ada membuat keyataan di dalam akhbar untuk membakar kembali budaya EGM sebenarnya boleh diadakan sedangkan beberapa bahagian telah mambatalkan program EGM mereka apabila Pak Lah menyeru agar jangan diadakan EGM kerana pemilihan cawangan sudah hampir tiba. Mereka boleh saja menyuarakan pendapat dan cadangan mereka pada mesyuarat berkenaan.

Siapa Muhyiddin Yassin yang membuat keyataan yang berlawanan dari saranan Presiden. Muhyiddin jangan terlalu ghairah kerana takut nanti yang dikejar tak dapat yang dikendung berciciran.

Semua pihak perlu berkorban demi keselesaan hidup

PENGUMUMAN kerajaan mengenai harga baru petrol dan diesel berkuat kuasa baru-baru ini adalah sebahagian daripada mekanisme baru skim subsidi bahan api. Inilah antara usaha kerajaan untuk mengurangkan pembiayaan subsidi bahan api sebanyak RM53 bilion setahun.

Jika subsidi yang besar itu dapat dikurangkan bermakna, wang tersebut dapat diagih untuk disalur kepada projek pembangunan untuk rakyat.

Memandangkan kenaikan harga minyak global yang mendadak naik sejak tahun lalu, adalah wajar satu formula mengurangkan subsidi minyak dilakukan sekarang. Harga minyak bukan lagi naik setakat AS$70 setong pada tahun 2006 dahulu tetapi kini pernah melepasi AS$137 setong baru- baru ini.

Walaupun Perdana Menteri mengumumkan harga baru bahan api, tetapi hakikatnya kerajaan masih berusaha memastikan beban kewangan yang ditanggung oleh rakyat dapat diringankan terutama golongan berpendapatan rendah.

Walaupun harga minyak diapungkan mengikut harga pasaran global sekarang, tetapi ia masih menjadikan Malaysia antara negara yang menawarkan harga bahan api yang terendah di rantau ini.

Malah bagi mengurangkan beban kenaikan petrol dan diesel khususnya kepada golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana, Kabinet bersetuju ‘memulangkan’ wang subsidi dalam bayaran tunai kepada warga Malaysia yang memiliki kenderaan persendirian termasuk pemilik motosikal.

Bagi pemilik kenderaan dan motosikal yang tidak termasuk dalam kategori bayaran tunai, mereka mendapat pengurangan cukai jalan mengikut kadar tertentu berkuat kuasa 1 Jun 2008.

Begitu juga untuk mengurangkan bebanan kos kenaikan diesel bagi syarikat pengangkutan yang diluluskan, syarikat pengangkutan vesel dan nelayan, kerajaan bermurah hati membayar dalam bentuk tunai atau insentif.

Selepas pengumuman Perdana Menteri semalam, sudah tentu rakyat mengharapkan para peniaga tidak menjadikan alasan kenaikan harga minyak untuk menaikkan harga barangan dan perkhidmatan.

Semua pihak harus berkorban sedikit demi kebahagiaan bersama. Masalah harga barangan tidak mungkin selesai jika setiap kali berlaku kenaikan harga minyak perlu diikuti peningkatan harga barangan dan perkhidmatan.

Peniaga harus juga menunjukkan tanggungjawab moral dan sosialnya kepada rakyat negara ini.

Kita wajar sedar bahawa selama ini rakyat sama ada pekerja swasta atau awam, peniaga atau petani berjaya mencapai mutu hidup seperti sekarang adalah hasil nikmat daripada kewujudan subsidi minyak.

Oleh itu, penarikan balik subsidi minyak hari ini harus menyedarkan rakyat bahawa mereka perlu berkorban dan mengubah tabiat berbelanja.

Urusan mengubah tabiat berbelanja ini berkait rapat dengan berjimat cermat dalam semua bentuk perbelanjaan bagi membolehkan hasil penjimatan ini digunakan untuk menampung harga minyak yang tidak disubsidikan lagi.

Rakyat digesa mengubah tabiat berbelanja supaya kita dapat mengekalkan mutu hidup walaupun harga minyak terus meningkat.