Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Sunday, June 8, 2008

Rais Yatim - Antara Politik Wang Tidak Berwang dan Bakar Jambatan

Oleh : Ibrahim Othman
Tentunya kita masih ingat Datuk Seri Dr. Rais Yatim tidak berminat bertanding apa-apa jawatan dalam Umno, ketika pemilihan tahun 2004. Beberapa kenyataan yang dikeluarkan ketika itu penuh dengan sindiran, kononnya ‘politik wang’ adalah penyebab mengapa dia tidak berminat untuk menawarkan diri.

Rasa tidak minat Rais yang kini dikenali sebagai ‘pakar Perlembagaan nangka masak’ rupa-rupanya berubah kebelakangan ini, mungkin kerana faktor kematangan atau, mungkin juga kerana ‘kenyataan bekas Perdana Menteri (PM), Tun Dr. Mahathir Mohamad, Rais adalah salah seorang yang layak dinamakan sebagai pengganti Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, sebagai Perdana Menteri (PM) Malaysia.

Namun, seperti biasa, Rais akan ‘keluar dengan pelbagai kenyataan dan alasan’ hanya mahu bertanding jika sistem quota dimansuhkan kerana dia percaya sistem quota hanya untuk mereka yang ‘berduit’ sedangkan dia bukan calon (menteri) yang berduit!

Apa pun Rais bercakap, kerana dia adalah salah seorang menteri yang pandai bercakap, Rais ada pengalaman bertanding jawatan Naib Presiden yang diidam-idamkannya itu. Namun dia tidak pernah menang. Bertanding tanpa menggunakan duit dalam Umno? Rais pun tahu sama ada tangannya ada dikotori dengan politik wang atau pun tidak, tetapi untuk menang percuma, Rais bolehlah mengusung kamera ke hulu ke hilir merakamkan gambar perwakilan, kalau-kalau dengan mengusung kamera itu boleh memberikan undi kepadanya.

Sebagai bekas Timbalan Presiden Parti Melayu Semangat 46 (S46), Rais sepatutnya melupakan cerita ingin bertanding jawatan tertinggi dalam Umno. Pertama, dia tidak boleh menang. Kedua, dengan usianya yang sudah lanjut, adalah lebih baik dia ‘ menjadi hulubalang’ mempertahankan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang cukup banyak budi dengannya.

Kenapa saya berpendapat Rais tidak boleh menang, walaupun isterinya sudah menjadi ‘pengumpul antologi cerpen’ sekarang? Ini kerana di Jelebu, Rais juga akan menerima tentangan. Dari siapa Rais menerima tentangan? Dari Datuk Yunus Rahmat, bekas Ketua Umno Bahagian Jelebu yang ‘memberi secara percuma’ jawatan Ketua Bahagian kepada Rais tetapi ‘Rais tidak memulangkannya semula’ setelah dapat macam-macam dari kedudukan tersebut.

Bukan itu sahaja, Yunus yang juga Ahli Parlimen Jelebu ketika itu turut ‘merelakan’ kerusinya diberi kepada Rais yang tidak berjawatan di dalam Umno di peringkat bahagian. Yunus tidak bertanding dan Rais melantiknya menjadi Setiausaha Politik. Malangnya, Rais tidak menyudahkan ‘persahabatan’ itu dengan ‘bermaruah’ sebaliknya Yunus dimalukan apabila sudah tidak dikehendaki lagi.

Hari ini, kesabaran Yunus sudah sampai ke kemuncak kerana Yunus tentunya masih teringat ‘janji-janji’ manis yang mengatakan jawatan ketua bahagian itu akan diserahkan semula tetapi, menjadi sebaliknya. Bagaimana harus Rais jelaskan kepada perwakilan Umno dari seluruh negara, jika bahagiannya sendiri mungkin (?) tidak mahu mencalonkannya?

Tidak pelik jika Umno Bahagian Jelebu tidak mencalonkan Rais kerana Rais ketika menjadi Ketua Bahagian turut tidak mencalonkan Tan Sri Mohd Isa Abd Samad (ketika itu Menteri Wilayah Persekutuan, Ketua Umno Bahagian Teluk Kemang dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan) sebagai salah seorang calon Naib Presiden.

Sama-sama datang dari Negeri Sembilan. Sama-sama Ketua Bahagian dari Negeri Sembilan. Sama-sama sebagai bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Cuma tak sama, Rais pernah meninggalkan Umno dan memimpin parti pembangkang, membelasah, bertanding dan menyerang Umno dan BN, tetapi Mohd Isa tidak melakukan seperti apa yang Rais lakukan, pun boleh ‘berdendam’ sampai tidak mahu mencalonkan rakan sendiri dari satu negeri.

Baguslah kalau Rais boleh menang jawatan Naib Presiden Umno. Mungkin dia akan mengulangi sejarah kehebatan Allahyarham Bahaman Shamsuddin dan Mohd Isa yang pernah menjejakkan kaki ke kerusi Naib Presiden, tetapi kalau kalah, janganlah bersikap seperti orang hilang akal, menyindir kononnya yang menang kerana politik ‘wang’ dan yang kalah kerana ‘tidak ber wang’.

Perwakilan Umno punya maruah diri. Mereka bukan boleh dibeli (seperti yang dijangka). Kalau tidak percaya, carilah sesiapa tokoh korporat yang banyak duit, suruh mereka bertanding. Boleh mereka menang?

Minyak- antara realiti dan fantasi

Oleh: Nor Azma Ithnin
Krisis kenaikan harga minyak dunia kian meruncing dan tidak dapat dielakkan lagi dan suka atau tidak kita terpaksa menerima kemelut kenaikan harga minyak ini. Krisis ini juga telah menimbullkan huru-hara sehingga membawa kepada rusuhan jalanan di Indonesia.

Mujur di negara kita mempunyai rakyat yang berhemah dan dengan penerangan yang diberikan oleh media-media tempatan mendorong kepada rakyat boleh menerima akan krisis kenaikan harga minyak ini.

Kepimpinan kita telah cuba sedaya upaya untuk menyelesaikan krisis ini agar rakyat tidak akan dibebani masalah dengan kenaikan harga minyak ini. Kerajaan juga tiada pilihan lain dan terpaksa mengikut gelombang krisis ini untuk menaikan harga minyak agar kerajaan tidak akan menjadi muflis.

Harga minyak ini hanya boleh diturunkan hanya dengan kata-kata manis untuk dijajakam sebagai menifesto politik tetapi pada realitinya ianya sukar dilakukan. Ini berlaku pada PRU12 dimana DSAI telah membuat janji manisnya. Hari ini kita menang esok harga minyak akan turun. Beliau juga bangga menceritaka mengenai harga minyak yang telah berkurun lama ketika beliau menjadi timbalan perdana menteri.

Tetapi hari ini DSAI hanya membisu dan langsung tidak berani menyentuh isu minyak dan sehingga hari ini DSAI tidak lagi menunaikan janji beliau untuk menurunkan harga minyak. Hanya janji palsu dan yang tinggal hanya janji palsu. Apa yang kita dapat kini hanyalah gurauan dari sms nakal yang mengatakan bahawa harga minyak yang turun di Kedah sekarang adalah minyak gamat di Selangor minyak rambut dan di Perak minyak Kuda. Inilah janji-janji pembangkang yang hanya pandai menanam tebu di bibir.