Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Thursday, May 15, 2008

Bila nak habis daaa..??

Saya dah jumpa Najib, kata Dr M
mahathir and najib happyMalaysiakini - Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau telah bertemu dengan timbalan perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak minggu lalu, selepas beliau mendedahkan bahawa perdana menteri menghalang pertemuan mereka.

Pertemuan tersebut berlangsung di kediaman rasmi timbalan perdana menteri itu, Seri Satria di Putrajaya, selama kira-kira dua jam Ahad lalu. -->>lanjut

Ibu pejabat DAP dibaling bom petrol

dap perak headquaters molotov cocktail fire bomb attack 160508 03Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham menganggap perbuatan melontar bom petrol di ibu pejabat parti itu di Bandar Ipoh Raya di sini, awal pagi ini, sebagai bermotif politik.

"Ia merupakan satu cubaan untuk membakar pejabat DAP yang dipercayai dilakukan oleh mereka yang ada unsur khianat kepada parti,” katanya.
Polis: Kes dalam siasatan
Pihak polis berkata, kes tersebut dalam disiasat dan sehingga ini tiada sebarang tangkapan dibuat.

dap perak headquaters molotov cocktail fire bomb attack 160508 01

Menurutnya, kes tersebut diklasifikasikan sebagai "merosakkan harta".

“Kita tidak dapat mengklasifikasikannya sebagai jenayah kerana ia membabit orang yang tidak diketahui," katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat mengesahkan sama ada insiden bermotifkan politik sepertimana yang didakwa oleh Ngeh.

Belajar berenang sambil panjat pokok kelapa

"Dasar yang memaksa budak-budak miskin belajar bahasa Inggeris sambil belajar matematik dan sains adalah ibarat memaksa budak-budak miskin itu belajar berenang sambil memanjat pokok kepala."

Oleh Ainon Mohd
Cara dan pedagogi mengajarkan bahasa Inggeris adalah amat berlainan daripada cara dan pedagogi mengajarkan logik matematik.

Ia juga amat berbeza dengan pedagogi mengajarkan maklumat sains dan mengajarkan kemahiran berfikir saintifik.

Orang politik di Kementerian Pelajaran nampaknya sudah sedar perkara asas ini. Angin kencang sedang bertiup mengatakan dasar bahasa penghantar itu akan dibetulkan semula.

Pada saat ini para penerbit buku-buku teks sekolah sedang bersiap sedia, menunggu sahaja, bila-bila masa jikalau kerajaan tiba-tiba membuat pengumuman Bahasa Melayu akan dikembalikan menjadi bahasa pengantar mata pelajaran matematik dan sains di sekolah.

Masing-masing sudah mula mendapatkan penulis-penulis buku teks mereka supaya mula menyediakan manuskrip Bahasa Melayunya.

Sebagaimana yang dijangka, yang paling kuat menentang nanti adalah golongan berpendidikan Inggeris yang tinggal di bandar-bandar besar, tanpa mengira kaum. Baca apa mereka kata di sini.

Golongan kaya yang tinggal di bandar-bandar, baik mereka itu Cina, baik India, baik Melayu, Iban dan Kadazan, mereka mahukan bahasa Inggeris.

Golongan kaya adalah golongan yang terputus hubungan daripada golongan miskin dalam bandar, dan dengan penduduk di luar bandar.

Cina-cina kaya di bandar tidak peduli apa yang dialami oleh Cina-cina miskin di pekan-pekan kecil. India kaya di bandar tidak peduli apa yang berlaku dalam estet-estet. Begitu juga Melayu, Iban dan Kadazan kaya yang tinggal di bandar.

Golongan kaya hanya memikirkan diri mereka sahaja.

Golongan kaya adalah golongan bermentaliti kolonial.

Golongan kaya masih tidak sedar bahawa bahasa Inggeris telah, dan masih terus gagal memandaikan golongan miskin dalam bandar dan penduduk luar bandar di India, di Pakistan, di Bangladesh, di Sri Lanka, dan di seluruh benua Afrika, serta di Myanmar dan di Filipina.

Golongan kaya tidak sedar bahawa semua negara terkaya di dunia menggunakan bahasa masing-masing bagi mengajarkan sains dan matematik kepada kanak-kanak mereka.

Golongan kaya masih tidak sedar bukan sahaja bahasa Inggeris, malah bahasa-bahasa Sepanyol, Peranchis, German, Rusia, China, malah bahasa Arab juga, telah gagal memandaikan golongan miskin dan penduduk luar bandar, di mana-mana sahaja bahasa-bahasa kolonial itu dipaksakan ke atas bangsa-bangsa yang mereka jajah.

Golongan kaya yang menyokong bahasa Inggeris itu tidak membaca peta taburan kemiskinan di dunia, oleh itu mereka tidak tahu kaitan antara kemiskinan dan penggunaan bahasa kolonial dalam sistem pendidikan di negara-negara miskin itu.

Pedagogi pengajaran bahasa teramat berbeza daripada pedagogi pengajaran sains dan matematik.

Tidak ada sesiapa yang waras daya inteleknya yang menentang pengajaran dan pembelajaran bahasa-bahasa asing, bukan hanya bahasa Inggeris.

Malaysia mesti mengajarkan bahasa-bahasa asing itu dengan menggunakan strategi betul, sebab manfaatnya amat banyak. Tubuhkan universiti bahasa-bahasa asing (university of foreign languages seperti di China, Korea dan Jepun).

Sekolah-sekolah Malaysia hendaklah menawarkan subjek mata pelajaran bahasa-bahasa asing yang penting di dunia, bukan hanya bahasa Inggeris.

Kita mesti menawarkan subjek bahasa Mandarin di semua sekolah di negara ini sebab bahasa Mandarin akan, dan sedang, menjadi bahasa ekonomi dunia yang paling penting.

Kita akan terus bangun gagah dan tawan kembali

peta_malaysia.jpgOleh : Otai Siber

Alhamdulillah, kita sudah memulakan tugasan kembali sebagai kerajaan walaupun banyak tekanan dari dalam dan luar setelah kita menang dalam pilihanraya yang lalu walaupun majoriti yang diperolehi tidak sampai 2/3. Walaupun kita kehilangan 4 negeri dan gagal menawan 1 negeri tetapi ianya mungkin satu hikmah dan mahasabah kepada BN dan UMNO bagi kita memperbetulkan di mana kesilapan yang telah kita lakukan sebelum ini.

Walaupun Anwar Ibrahim dan satu kumpulan yang berpihak kepada Tun masih menekan kerajaan dengan alasan mereka sendiri untuk memperbaiki UMNO walaupun banyak tekanan mereka menguntungkan pembangkang namun segala ini agak reda sedikit dan kita biarkan sahaja mereka dengan tekanan mereka kerana itu hak mereka untuk melakukannya.

Pandangan mereka perlu kita hormati dan kita juga berharap agar pendangan kita juga perlu mereka hormati kerana kita juga mewakili rakyat yang telah memberikan kemenangan kepada BN untuk memerintah negara ini. Penukaran dan pembetulan yang telah dilakukan oleh Perdana Menteri dan kesanggupan Perdana Menteri membetulkan kesilapan beliau perlu kita hormati dan harus berdiri teguh dibelakang beliau untuk terus membangunkan kerajaan serta Parti BN.

Cerita lompat parti yang mahu menekan kerajaan dilihat sebagai hanya satu cubaan bagi Anwar Ibrahim cuba melemahkan kepimpinan utama negara. Kita bersyukur kerana menadapat pemimpin pertama dan kedua yang begitu memahami dan kita juga harus memberikan pujian kepada Najib kerana berdiri begitu kental menyokong Pak Lah yang diasak dari berbagai sudut. Inilah ciri-ciri gabungan kepimpinan yang kita cari selama ini. Yang salah kita betulkan .

Serangan daripada pendesak UMNO kepada beberapa menteri dan juga beberapa pemimpin UMNO yang mereka katakan bodoh, gila dan lain-lain juga dapat di atasi dengan baik dan rakyat sudah mula sedar kerana bila kita terlalu banyak membodohkan atau memperlekehkan orang lain dan langsung tidak ada kesilapan diri mereka yang membodohkan orang lain itu membuat rakyat berfikir kembali , siapakah sebenarnya yang bodoh.

Tekanan mereka untuk melumpuhkan Pengerusi UMNO Selangor membuat rakyat negeri Selangor dan ahli UMNO menjadi jelak kerana tekanan ini juga memberikan keuntungan kepada kerajaan PKR. Seharusnya kita kini memberikan tumpuan kepada pihak pembangkang yang kini telah nyata dan terang menampakkan kelemahan mereka memerintah. Mereka gagal melaksanakan manifesto mereka dan bagaikan cakap tak serupa bikin.

Sebenarnya ada gelombang besar yang sedang dihadapi oleh parti PR yang akan meletup pada bila-bila masa sahaja walaupun diketahui oleh penyokong mereka cuma bezanya mereka tidak pula mendedahkan atau menelanjangkan pemimpin dan keburukan parti mereka. Di Perak, kita hanya menunggu masa yang sesuai sahaja untuk menawan kembali negeri itu dan di jangkakan ianya tidak akan mengambil masa yang panjang. Pasti kita akan dapat memerentah Perak kembali.

Anwar kini dalam keadaan yang panik kerana jika beliau tidak dapat melakukan apa yang beliau hajati sekarang bermakna beliau tidak akan dapat melakukan untuk selama-lamanya. Kerana kelemahan kerajaan pembangkang kian terselah dan seandaianya dia adakan pilihanraya sekali lagi dalam masa terdekat apatah lagi jika pilihanraya dilakukan untuk penggal depan pasti mereka akan tewas.

Rakyat telah mula menyadari akan kesilapan mereka yang hanya mahu menghukum BN tetapi masih belum bersedia untuk membenarkan PR memerintah. ANWAR NAMPAKNYA HANYA MENJADI PERDANA MENTERI DALAM ANGAN-ANGAN SAHAJA. Pujian perlu juga diberikan kepada Sabry Chik yang telah berjaya melaksanakan tugas beliau dengan baik dalam masa yang singkat. Walaupun beliau adalah menteri yang muda tetapi sikap konfiden beliau perlu kita hormati.Kita berharap lebih banyak lagi menteri yang akan bangun dan tampil menonjolkan diri seperti apa yang dilakukan oleh Sabri Chik (menteri penerangan).

Kita jangan menjadi seperti lalang, bila ditiup ke sebelah kanan kita juga sama-sama memijak agar terus tunduk ke bumi seperti ada setengah-setengah pemimpin kerajaan. Kenapa takut dan malu untuk menyokong kerajaan kerana semua menteri yang dipilih adalah kerajaan. Jika kita malu untuk mempertahankan kerajaan dan jika kita tidak ada rasa hormat dengan kepimpinan yang memilih kita dalam kerajaan dabn jika kita pula yang mendesak mereka yang memilih kita untuk berundur , bererti kita adalah gunting dalam lipatan dan kitya lah musuh dalam selimut. Ini juga bermakna kita juga lah pemimpin yang tidak bersyukur kerana diberikan tempat dalam kerajaan untuk memperkukuhkan kerajaan tetapi kita pula yang menjadi anai-anai yang cuba meruntuhkan kerajaan dari dalam.

Alahamdulillah , bukan semua , hanya seorang dua sahaja, KPMU akan terus membongkar dan mnedesak pemimpin sebegini untuk meninggalkan kerajaan kerana KPMU berpendapat kepimpinan ini bukan mahu mebantu kerajaan tetapi hanya mementingkan kedudukkan sendiri, Pemimpin ini menghentam kerajaan sendiri apabila melihat kerajaan ini agak lemah tetapi akan membodek dan mengambil segala kemewahan bila kerajaan kuat.

Kita telah kembali ke landasan yang betul dan telah mengesan di mana kelamahan kita dan berharap agar kita dapat meneruskan usaha kita untuk rakyat dan kembali kan kegemilangan UMNO dalam pilihanraya yang akan datang.

Kita perlukan ramai menteri yang megah menjadi menteri kerajaan BN yang tampil kehadapan dengan tugasan mereka sebagai menteri kerajaan seperti Sabri Chik , Ismail Sabri , Azalina Othman Said , Noh Omar , Nazri Aziz , Zaid Ibrahim , Zaid Hamidi, Syed Hamid, Hishamuddin Tun Husein , Khairy Jamaluddin dan ramai lagi melainkan seorang dua. Kita perlukan mereka ini tampil ke hadapan dan jangan biarakan PM dan TPM sahaja yang menangkis serangan pembangkang dan pendesak UMNO kerana kita bukan sahaja mahu menangani masalah dengan pembangkang tetapi juga masalah dengan pendesak UMNO.

Pujian juga perlu diberikan kepada Rafidah , Sharizat , Shaidan Kassim , Idris Jusuh dan lain-lain yang berdiri kukuh di belaknag parti dan inilah contoh mereka-mereka yang tidak pentingkan diri sendiri tetapi mementingkan parti. Kita juga berharap kepada pemuda dan puteri UMNO untuk terius bangun untuk mempertahankan parti.

Keluarga penyayang..

Jual anak kali kedua
hmetro - “Jika ada orang sudah membeli atau ditawarkan membeli cucu saya...saya minta laporkan kepada pihak polis,” kata pengawal keselamatan, Abdullah Md Noor, 66, sambil menitis air mata.

Abdullah mendakwa anak perempuannya, iaitu ibu kepada kanak-kanak terbabit dipercayai mahu menjual cucunya bagi menampung kehidupannya sebagai penagih dadah syabu dan kaki botol.

“Saya menjaga Nana bersendirian sejak lahir hingga usianya menjangkau enam tahun. Bayangkan betapa pedih hati saya selepas dia hilang daripada jagaan saya,” -->>lanjut

Wan Azizah dakwa rasuah...?


Tuduhan wujudnya unsur rasuah dalam pemberian kontrak kapal peronda Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kepada PSC Naval Dockyard oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datin Seri Dr, Wan Azizah Wan Ismail mengundang padah apabila Dewan Rakyat diberitahu Menteri Kewangan yang meluluskan penswastaan projek berkenaan kepada syarikat itu ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Setahu saya Menteri Kewangan pada masa itu ialah penasihat Parti Keadilan Rakyat. Saya tidak mahu menyalahkannya, tetapi mungkin ada sesuatu yang luar dari jangkaannya. Maknanya janganlah salah semua orang. Kita juga sedikit sebanyak ada kelemahan juga,” kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak. -->>lanjut

Muhd Taib tak campur tangan di Perak

muhammad muhd taibMalaysiakini - Menteri pembangunan wilayah dan luar bandar, Tan Sri Muhammad Muhd Taib berkata, beliau tidak mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri Perak, apabila melantik semula ketua-ketua kampung yang berhenti berkhidmat di negeri itu.

Sebaliknya, kata beliau, mereka sendiri yang meletakkan jawatan kerana tidak mahu berkhidmat dengan kerajaan Pakatan Rakyat. -->>lanjut
"Mereka berhenti sendiri dan kementerian tidak suruh mereka letak jawatan sebagai ketua kampung.

"Tetapi kerana mereka masih mahu berkhidmat, kita ambil dan bayar gaji sebagaimana sebelumnya,"

Ghafur, Anifah dan Yong Teck Lee....Sabah ke mana kau?

Oleh : Pena Suasa

Nampaknya beberapa pemimpin yang merasakan mereka 'orang besar' dari Sabah terus menerus 'membuat ugutan' kepada kepimpinan Barisan Nasional (BN) supaya memberi 'apa yang sepatutnya' kepada Sabah sebelum mereka 'berbuat sesuatu' yang mungkin merugikan BN keseluruhannya.

Bermula 'si penghisap cigar' Anifah Aman yang menolak tawaran menjadi Timbalan Menteri untuk penggal ketiga, membawa celoteh 'antara rumah banglo dengan rumah teres' di Parlimen, suaranya itu seolah-olah disambut dengan girang, seorang lagi bekas Timbalan Menteri yang hanya memegang jawatan itu untuk tempoh seminggu, Datuk Ghafur Salleh yang juga Ahli Parlimen Kalabakan, membandingkan kononnya kemajuan di Semenanjung dengan Sabah macam langit dengan bumi.


Ghafur seterusnya mengungkit, kerana sokongan rakyat Sabah maka BN masih berkuasa sebaliknya tanpa Sabah, kerajaan BN sudah tidak ada.


Seperti percakapan Anifah sebelum ini, sudah tidak ada siapa pun yang terkejut dengan 'semangat' Ghafur ini, tetapi dalam diam-diam, sudah ada orang Sabah sendiri yang bertanya; "kenapa baru sekarang Ghafur beria-ia sangat hendak memperjuangkan nasib Sabah?"


Yong Teck Lee pula dipetik sebagai berkata, "…has given BN an ultimatum to resolve Sabah's issue by August.

"After that, there will be no guarantee that Sabah Progressive Party (SAPP) members will remain in BN," Apakah memang budaya orang Sabah, suka menanguk di air yang keruh. Tidak ada langsungkah budi kerajaan Persekutuan kepada Sabah selama ini? Lupakan orang-orang Islam di Sabah bagaimana Umno menjadi penyelamat kepada mereka apabila PBS berkuasa suatu ketika dahulu?


Banyak perkara lagi Ghafur kena belajar dari orang-orang lain sebelum bercakap tidak mengikut adat orang meminta. Kemenangan BN di Sabah, bukan kerana Ghafur. Ini bukan 'main judi' – sekejap menang dan sekejap kalah walaupun mereka ini suka berjudi.

Apakah rakyat Sabah (kecuali Ghafur, Anifah dan Yong Teck Lee) tidak mengundi kerana mahukan BN terus berkuasa di Sabah dan peringkat Persekutuan?


Apakah kerana Ghafur, Anifah dan Yong Teck Lee menyebabkan seluruh rakyat Sabah mengundi BN? Apa sebenarnya yang Ghafur tidak puashati sebenarnya? Kenapa 'angin satu badan' ada dalam dirinya? Dia nak apa sebenarnya?


Banyak faktor sebenarnya yang menyebabkan BN terus menang di Sabah. Kerja kuat beberapa pemimpin tertentu di Sabah, kejujuran mereka berbakti kepada parti dan masyarakat tidak boleh dipertikaikan. Mereka boleh berunding tetapi ada cara dan adap berunding. Nak kerusi Menteri banyak, boleh. Ghafur kena sabar sebab cabinet baru sahaja dibentuk, tidak mungkin nak dirombak semula, bagi memenuhi keinginan Ghafur dan Anifah.

Ghafur dan Anifah mungkin boleh keluar Negara untuk urusan sendiri lebih lama kali ini selepas tidak lagi menjadi timbalan menteri. Di luar Negara, macam-macam aktiviti boleh dijalankan, tanpa siapa yang tahu kecuali mereka sendiri dan Allah swt.


Ramai yang tahu, hubungan Ghafur dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim rapat. Tapi kalau Ghafur tahu cara berparti dan berpolitik, mana mungkin dia berbaik dengan Penasihat PKR yang beria-ia kepingin menjadi Perdana Menteri itu.


Cuba sesekali Ghafur bertanya dengan Datuk Nallakarupan, sahabat segelanggang tennis Anwar, kenapa dia pun meninggalkan PKR? Bukankah Nalla 'sanggup mengadaikan nyawanya' ketika mempertahankan Anwar suatu ketika dahulu tetapi sekarang, Nalla dikatakan sudah berucap di merata tempat 'memberitahu siapa sebenarnya Anwar dan Azmin Ali'.

Sabah masih mundur, mungkin ada kebenarannya. Tetapi Sabah mundur atau ketinggalan bukan hari ini. Ia sejak lama dahulu. Ghafur sudah menjadi Timbalan Ketua Menteri, Menteri di Sabah dan sekarang Ahli Parlimen sejak tiga penggal. Mengapa dulu Ghafur tidak segarang sekarang? Adakah Ghafur memang jenis manusia yang 'suka ugut'? Ghafur perlu pandang jauh ke hadapan. Ada pelapis dan warisan yang hendak ditinggalkan di Kalabakan. Bukan bererti selepas dia, apa nak jadi kat kawasan Kalabakan, terpulanglah!

Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pun tidak mungkin 'memenuhi' segala permintaan Sabah dalam sekelip mata. Di Pulau Pinang, negeri Perdana Menteri pun masih ada rakyat miskin, rumah buruk dan sungai yang kotor.


Pak Lah menjadi Perdana Menteri baru lima tahun. Sebelum Pak Lah, ada Perdana Menteri lain. Dia datang dari Kedah. Selama 22 tahun dia menjadi PM, adakah Negeri Kedah telah muncul menjadi negeri paling maju di Malaysia?


Seperti laporan Utusan Malaysia, Selasa 13 Mei 2008, Ghafur dipetik sebagai berkata; "berbanding dengan Semenanjung, Sabah jauh ketinggalan dalam segala aspek dan kegagalan kerajaan Pusat mengatasi perkara itu boleh menjejaskan sokongan dan kepercayaan rakyat terhadap BN." Amatlah malang, jika Umno mempunyai pemimpin seperti Ghafur. Apakah dia tidak nampak kemajuan di Pulau Pinang dan Selangor (juga Kuala Lumpur) tidak langsung menjamin pengundi terus menyokong BN?


Ukuran mundur dan maju bukan 'alat' sesuai untuk dibuat andaian meraih sokongan rakyat. Ghafur mungkin tidak sempat untuk membuat kajian sebelum berucap. Itulah sebabnya, ada kajian yang dibuat, keyakinan rakyat terhadap orang politik amat tipis.


Kadang-kadang perkara yang diperkatakan, menunjukkan mereka tidak tahu dan tidak pasti. Tetapi disebabkan politik itu adalah 'percakapan' maka, mereka ini terus bercakap.

Mudah-mudahan, selepas ini, jika ada Ahli Parlimen baru dari Kalabakan, ia bukan Ahli Parlimen seperti Ghafur yang 'ingin menjadi panglima' tetapi silatnya menjadi bahan tertawa orang. Malanglah rakyat Kalabakan jika mereka mengharapkan Ghafur boleh membawa kemajuan kepada mereka. Tidak bolehkah meminta dengan sopan santun dan tidak perlu ugut mengugut?

EGM Umno Muar: Jadi ke tak jadi?

Malaysiakini - Mesyuarat jawatankuasa Umno bahagian Muar, bagi menentukan tarikh untuk mengadakan mesyuarat agung khas (EGM) yang sepatutnya diadakan petang semalam, tidak menjadi kenyataan.

Pembatalan ini ekoran ketua bahagian Datuk Mohd Ismail Mohd Shah tidak dapat menghadirinya atas alasan "baru balik dari menghadiri satu program di Terengganu".

Ketua cawangan Umno Bandar, Datuk Kadar Shah Sulaiman, antara penggerak usaha mengadakan EGM itu berkata, semua ahli jawatankuasa bahagian telah hadir semalam kecuali Mohd Shah. -->>lanjut

Belia Aset Negara

Belia seringkali dilayan sebagai liabiliti. Walaupun berbuih mulut kita mengatakan belia adalah aset, namun cara kita mendekati mereka adalah sebaliknya. Program belia lebih bersifat "memulihkan" mereka, bukannya menggilap potensi. Apabila timbul masalah dalam masyarakat, belia dipersalahkan. Dengan mudah, mereka menjadi "punching bag". Kita menghukum, bukan membimbing belia.

Sempena Hari Belia Negara tahun ini, fikirkanlah bagaimana kita melayani belia di negara ini. Selamat menyambut Hari Belia Negara - 15 Mei, 2008!

Daulat Tuanku

Kuasa Raja-Raja
Oleh : riaulingga14
Mari kita lihat pada Agenda Bangsa Melayu, Apa jua parti yang majority menang dalam pilihanraya didalam sesebuah negeri yang dibawah Kerajaan Sultan Melayu. Keputusan untuk melantik seseorang Menteri Besar Perak adalah bergantung kepada Kuasa Raja-Raja (SULTAN). Sebab itu DAP tak banyak komen, sebab gran Tanah Perak Sultan Perak yg punya. Apa yang berlaku diperak adalah satu sindiran pada semua ahli politik, bahawasanya negara Malaysia Perlembagaan dan kerajaan adalah milik Raja-Raja Melayu dan Parti yang memimpin membawa dasar demokrasi. Walaupun kerusi parti PAS yg menang amat sedikit berbanding DAP dan Keadilan. Kita lihat disini bahawasanya Message yang Sultan Perak cuba berikan adalah... Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu ditulis oleh Raja-Raja Melayu bagi memastikan Tanah Melayu terjaga.

Sultan berhak memilih siapa yang layak mengikut Perlembagaan. Janganlah kita risau. Kuasa Raja-Raja telah banyak diambil oleh PM sebelum ini. UMNO seharusnya mengembalikan balik Akta Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang telah dipinda. Kembali kepada asal. Inshaallah ianya pasti Selamat. Kita bercakap atas dasar mengikut Perlembagaan bukan mengikut Emosi. Sekian dari saya.

Lompat si katak lompat...

Babak pertama lompat parti...
debaran berlalu

Agendadaily - Hari Rabu berlalu macam biasa...walaupun ada yang mendakwa dan yakin akan berlakunya perubahan landskap politik negara dengan kemungkinan beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) melompat parti, hakikatnya suasana di Parlimen tenang-tenang saja. -->>lanjut
"Rakyat sudah penat dengan apa yang beliau lakukan. Tiada apa yang beliau lakukan untuk kesejahteraan rakyat tapi hanya menimbulkan jangkaan bila beliau akan jadi Perdana Menteri dan berapa ramai anggota Parlimen BN akan melompat parti.

"Saya ingin mengingatkan, Anwar hanya memikirkan 30 orang anggota Parlimen tapi kita hanya memerlukan dua orang saja di Perak, tapi kita tidak memberi tumpuan dan masa hanya untuk mendapatkan dua orang itu untuk memerintah Perak."

Bersatu Dalam Satu Panji Perjuangan

Oleh : Wadisu77
Masyarakat Malaysia hari ini telah mencapai tahap pemikiran global dan intelektual yang tinggi. Oleh itu telah timbul pelbagai gesaan dan permintaan yang mana dikaji dan dilihat telah menjadi agenda perjuangan individu.

Terutamanya masyarakat Melayu yang sememangnya begitu taksub dengan agenda politik dan sudah sinonim dengan kekuatan memelihara Agama, Bangsa dan Negara.

Kadangkala kita masyarakat Melayu terlupa bahawa sesuatu kekuatan itu lahirnya daripada sifat bersatu padu dan bertolak ansur di antara satu sama lain.

Sifat berdengki dan jatuh menjatuhkan dalam kehidupan harian telah menjadi sebati dengan perangai atau sikap masyarakat Melayu.

Kecuaian dan sikap gilakan kuasa tanpa mempraktikkan erti perjuangan telah menyebabkan maruah bangsa tergadai. Apa yang menyedihkan kesucian Agama Islam dipermainkan dan sistem berperlembagaan serta kekuatan Raja-Raja Melayu dicabar.

Di manakah sensitiviti masyarakat Melayu pada hari ini? Walaupun semua ini berlaku masih lagi tiada kesedaran dihati dan fikiran masyarakat Melayu yang suatu hari nanti generasi Melayu akan dijadikan kuda tunganggan oleh penggadai maruah bangsa dan bangsa lain demi memenuhi kepentingan mereka semua.

Kita telah dijajah dahulu dan hari ini kita kembali dijajah disebabkan oleh perpecahan yang teruk berlaku di antara kita. Mengapakah nama Melayu yang diperjuangkan?

Hampir 95% masyarakat Melayu beragama Islam. Oleh itu secara tersirat maka kita memperjuangkan agama Islam yang tercinta apabila berjuang demi bangsa Melayu.

Sejak dari dahulu lagi apabila kita memperjuangkan agama secara terang-terangan maka kita akan dihinjak dan ditekan oleh bangsa lain.

Keadaan kita yang masih lemah menuntut kita untuk berjuang secara tersurat dan tersirat demi kesucian agama Islam tercinta.

Harus diketahui oleh semua masyarakat Melayu bahawa terdapat orang yang bukan Melayu tetapi beragama Islam bersama kita. Mereka ini mengharapkan perlindungan dan perhatian melalui sistem Islam di negara Malaysia ini.

Maka wajar bagi kita kembali bersatu dan menyatukan semua masyarakat Melayu dan yang paling penting semua orang Islam bergabung dan menyatu di bawah satu panji untuk mempertahankan Agama, Bangsa dan Negara.

Walau bagaimanapun, sebagai seorang Islam wajib untuk kita hidup secara rukun dan damai bersama kaum lain untuk keamanan dan kesejahteraan rakyat.

Melalui konsep bersatu padu barulah masyrakat Melayu akan dipandang tinggi dan dihormati segala hak-hak mereka. Melalui cara ini sahaja kita dapat bergerak dan berjaya di dalam ekonomi globalisasi.

Pemimpin atasan perlu menanamkan sifat dan sikap telus, jujur dan bermuhasabah diri agar agenda pembangunan negara dan rakyat dapat di jayakan dengan lebih berkesan.

Hindari daripada sikap yang membawa kepada perpecahan dan menerima segala ketentuan Allah s.w.t dengan sabar dan bersyukur.

Perlu dijadikan suatu subjek pembelajaran mengenai Perlembagaan Malaysia, kerana hari ini dilihat semua rakyat telah bijak dan memahami sekiranya penerangan dan pengetahuan mengenai ini disampaikan dengan telus.

Kaum yang bukan bumiputera harus menerima semua persetujuan yang telah di persetujui untuk penubuhan negara agar semangat toleransi akan dapat diamalkan tanpa ada mana-mana kaum yang cuba untuk merosakkannya.

Tidak perlu wujud sindrom untuk cuba mencabar tahap kesabaran sesuatu kaum sehingga dilihat perlu ada kebangkitan secara agresif disebabkan oleh kelancangan dan menghina kaum lain.

Di dalam keadaan ekonomi dan tekanan hidup hari ini, rakyat seharusnya membantu antara satu sama lain untuk terus bertahan dan seterusnya menghadapi tekanan kehidupan dengan semangat bertoleransi dan bersatu padu.

Melayu akan tetap sebagai Melayu sekiranya masih lagi tidak mahu bangun dari layu dan bergerak dengan pantas untuk melakukan perubahan secara individu dan seterusnya keseluruhan masyarakat Melayu.

Usaha untuk agenda perubahan perlu ada pada setiap individu yang bergelar Melayu.

Najib jawab tohmahan

Utusan - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini membidas perbuatan segelintir ahli Parlimen pembangkang yang sengaja menimbulkan dakwaan-dakwaan palsu terhadap kerajaan berkaitan komisen pembelian kapal selam Scorpene dan jet pejuang Sukhoi, selain mengaitkan beliau dengan wanita Mongolia yang dibunuh, Altantuya Shaariibuu.

Dalam ucapannya ketika menggulung perbahasan usul ucapan terima kasih atas titah Yang di-Pertuan Agong pada sidang Dewan Rakyat petang ini, Timbalan Perdana Menteri menyifatkan tuduhan-tuduhan itu sebagai “satu rekaan yang diatur secara berterusan untuk kepentingan politik bagi mengelirukan rakyat.” -->>lanjut

Perbanyakkan dialog dengan Belia

Agendadaily - Dialog antara pemimpin golongan belia perlu diperbanyakkan dalam usaha untuk mendengar dan mendapatkan pandangan mereka agar isu-isu belia dapat ditangani dengan lebih berkesan.

Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meminta Kementerian Belia dan Sukan memperbanyakkan inisiatif berkenaan bagi membolehkan semua program yang hendak dilaksanakan dapat mencapai matlamat mengikut cita rasa golongan itu. -->>lanjut
"Pemimpin perlu memperuntukkan masa untuk mendengar suara golongan belia supaya mereka merasakan peranan mereka diiktiraf kerajaan,"

Mana Janji Bela Rakyat?

Oleh : S.A. Najmuddin

Hishammuddin berkata rakyat perlu menilai kembali keikhlasan penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kononnya mahu membawa pembaharuan dan membela nasib rakyat seperti yang dilaungkan pada pilihan raya umum lalu.

Menurut beliau tindak-tanduk Anwar hari ini yang hanya ghairah memberi tumpuan kepada usaha merayu Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) melompat parti bagi menubuhkan kerajaan Persekutuan merupakan satu bukti bahawa janjinya hanyalah retorik semata-mata.

"Kita lihat hari ini segala janji mereka yang ditabur ketika tempoh berkempen kononnya untuk membela rakyat masih belum dikotakan, tetapi lebih menjurus kepada usaha untuk memujuk AHli parlimen BN melompat parti.

"Saya menyalahkan Anwar seratus peratus... beliau sudah mengecewakan ramai orang yang memberikan mandat besar kepada pembangkang (pada pilihan raya umum lalu) tapi apa yang beliau lakukan", katanya pada sidang media di bilik taklimat di bangunan Parlimen di sini, Rabu.

Hishammuddin berkata, bekas Timbalan Perdana Menteri itu tidak melakukan apa-apa untuk menunaikan janjinya kerana hanya meramalkan waktu sesuai untuk menjadi Perdana Menteri dan mengira jumlah Ahli Parlimen BN yang akan melompat parti.

"Sehingga kini beliau masih berdolak dalih untuk menyatakan tarikh sebenar kononnya sudah mampu membentuk kerajaan pada bila-bila masa.

"Apa yang Anwar lakukan hanyalah pergi ke sana sini tukar tarikh pakatan pembangkang dapat bentuk kerajaan dari satu hari ke satu hari yang lain, sedangkan kita BN fokus bekerja untuk rakyat," ujarnya.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, beliau mengingatkan parti-parti pembangkang agar jangan terlalu ghairah mewar-warkan mahu membentuk Kerajaan Pusat sedangkan kedudukan kerajaan negeri yang dibentuk mereka pun amat rapuh.

Dengan memberi contoh di Perak, ujar Hishammuddin, BN hanya memerlukan dua kerusi sahaja untuk menubuhkan kerajaan negeri, namun BN tidak pernah ghairah seperti parti pembangkang.

''Pakatan pembangkang sebenarnya memerlukan 30 ahli Parlimen BN menyertai mereka jika mahu menubuhkan Kerajaan Persekutuan dengan majoriti mudah.

''Sebab itu tak payahlah hendak ghairah sangat, mereka lupa yang di Perak, BN hanya perlu dua sahaja ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tetapi kita tidak pernah pun peruntukan masa untuk bercakap bahawa kita hanya perlu dua ADUN untuk tubuh kerajaan di Perak," katanya.

DAP 'abang besar' Pas, PKR

Oleh : Taminsari

Apabila secara berterusan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang menyentuh dan mempertikaikan hak dan kuasa raja-raja Melayu, setiap hari kita lihat ramai orang Melayu bangkit membantah. Sama ada melalui penulisan di akhbar-akhbar, media-media massa dan juga membuat laporan polis.

Tetapi pada masa yang sama, pemimpin di pihak Pas dan PKR yang mengaku Melayu dan beragama Islam masih mengambil pendirian untuk mendiamkan diri.

Sehingga ke hari ini, tidak kedengaran sebarang kenyataan rasmi daripada pemimpin parti terbabit yang seolah-olah merestui tindakan tersebut. Adakah disebabkan DAP ahli keluarga Pakatan Rakyat, maka adalah lebih baik bagi mereka mengambil pendirian berkecuali.

Adakah mereka sanggup melihat rajaraja Melayu diperlekehkan dengan hanya berpeluk tubuh dan menunggu saat yang memberi keuntungan politik kepada mereka, baru hendak bertindak sesuatu? Adakah untuk menjaga hati DAP, mereka sanggup menjadi pengkhianat bangsa mereka sendiri?

Seperti mana yang kita tahu Pas dan PKR sanggup perjudikan matlamat perjuangan masing-masing semata-mata mahu bergabung dengan DAP. Yang paling ketara ialah Pas hingga sanggup membuang slogan untuk menegakkan negara Islam semasa pilihan raya umum lepas semata-mata hendak bermadu kasih dengan DAP walaupun pemimpin DAP dengan berani dan terus terang menyanggah cita-cita Pas itu.

DAP semata-mata ingin menangguk peluang keemasan di atas kebebalan segelintir orang Melayu, hingga sanggup terima Pas dan PKR dalam Pakatan Rakyat demi menghancur dan memecahbelahkan undi orang Melayu pada Pilihan Raya Umum Ke-12 yang lepas.

DAP masih tetap dengan slogan Malaysian Malaysia dan mahukan Malaysia mengamalkan sistem meritokrasi. Pas, walaupun sebelum pilihan raya mengatakan menarik balik slogan penubuhan negara Islam dan menukar kepada negara berkebajikan, hakikatnya tidak begitu mudah slogan ini digugurkan kalau tidak ada udang di sebalik batu! PKR pula, tetap mengatakan hanya Anwar Ibrahim sahaja yang layak jadi Perdana Menteri!

Ternyata kes di Perak menjadi amaran awal DAP untuk menunjukkan belangnya walaupun baru dapat berkuasa dan kejayaan menguasai Pulau Pinang dan berkongsi memerintah Perak dan Selangor dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas. Yang pasti jika DAP berjaya berkuasa dan menjadi Perdana Menteri, ia akan menghapuskan kedudukan institusi raja-raja Melayu dan hak keistimewaan orang Melayu.

Parti-parti pembangkang berhempaspulas mencari ikhtiar untuk menghapus pengaruh UMNO sehingga mengorbankan nilai-nilai dan adat resam masyarakat kita. Mereka sanggup mengetepikan nilai-nilai Islam sendiri. Inilah yang telah dilakukan oleh Pas dan PKR.

Sebenarnya kedudukan orang Melayu dan Islam kini berada di ambang bahaya jika pembangkang memerintah. Dalam apa jua hal pun, DAP tetap mahu menunjukkan dialah 'abang besar' kepada parti pembangkang lain. Sementara Pas dan PKR ikut apa sahaja kehendak DAP.

Apabila DAP kata hitam, hitamlah. Jika DAP kata putih, maka putihlah. Sebab itulah lidah pemimpin-pemimpin Pas dan PKR kelu untuk berkata-kata, apatah lagi mengeluarkan sebarang pernyataan membantah apa yang Karpal Singh lakukan hingga menghina dan memperlekehkan kuasa raja-raja Melayu.

Jelaslah Pakatan Rakyat lebih merupakan eksploitasi kegawatan politik Melayu untuk kepentingan DAP. Sekarang telah nyata bahawa semua parti itu hanya bekerja untuk mendapatkan kerusi dalam pilihan raya dan bukan untuk membela maruah negara.