Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Wednesday, May 14, 2008

Dunia glamour punya cerita

Isu pakai salib: Adlin, lu kena beb!
Adlin Aman Ramli - anak seniman Allahyaryam AR Tompel, telah cuba membuat penafian bahawa dia sekali-kali tidak memakai salib. Dengan sombong dan bongkak, dia cuba memperbodoh-bodohkan orang ramai malahan marah terhadap teguran orang ramai tentang pemakaian salib tersebut.
Adlin sewaktu Konsert Akademi Fantasia 6 pada 26 April 2008
Kenapa anak seniman arwah Tompel ini naik angin dengan teguran yang membina? Sepatutnya berterima kasihlah kerana orang cuba menegur untuk kebaikan dirinya sendiri. Lihat perangai buruk Adlin yang berbohong disini . Sila lihat gambar-gambar yang berkaitan dan anda fikirkanlah sendiri.
Jelas sekali pembohongan Adlin. Lambang yang tergantung dilehernya adalah sama dengan sejenis salib sebelah kanan yang dikenali sebagai 'Egyptian Cross'- lambang Kunci Kehidupan, Kunci Sungai Nile, atau sebagai Crux Ansata, bahasa Latin bermaksud "cross with a handle".
Kalau mahu lebih kick lagi, tanya pula pendapat alim ulama! Anda boleh dapat matlumat lebih jelas tentang cross itu di sini.

Pemimpin yang memimpin

Pemimpin letak jawatan
BUKAN BUDAYA MELAYU
Jangan sekali-kali meminta Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri. Tindakan sedemikian bakal mendedah kelemahan mereka yang meminta Perdana Menteri berbuat demikian.

Ia juga boleh dilihat sebagai satu kelemahan terhadap orang berkenaan. Seolah-olah mereka kurang faham keputusan pilihan raya pada 8 Mac lepas.

"Sebenarnya kita menang. Kita mempunyai kerajaan yang amat kuat. Mana-mana pemimpin yang minta Pak Lah letak jawatan, mereka hanya nampak kekalahan semata-mata. Mereka tidak mahu menerima hakikat bahawa BN (Barisan Nasional) menang," katanya.

Ahli Parlimen Tangga Batu itu mengulas permintaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed yang terus-terusan meminta Datuk Seri Abdullah meletakkan jawatan.

"Ini bukan budaya kita. Kita mengamalkan budaya dan adatb resam Melayu," katanya baru-baru ini.

Khairy, Mukhriz atau Khir Toyo ?

Lim cuba gugat Umno

Malaysiakini - Beberapa pemimpin Umno Pulau Pinang mendakwa ketua menteri, Lim Guan Eng cuba mewujudkan suasana syak wasangka sehingga berlaku tuduh menuduh di kalangan mereka

Mereka juga menganggap kenyataan Lim bahawa seorang pemimpin veteran Umno bersetuju menerima tawaran untuk berkhidmat dengan kerajaan negeri, sebagai khabar angin yang tidak berasas dan tidak boleh dipercayai.

lim guan engKetua Umno bahagian Bukit Mertajam, Datuk Musa Fadzir berkata, Lim (foto) mahu mengacau parti lain untuk memecahbelahkan perpaduan di kalangan ahli Umno negeri.

"Dia tidak membuat kerja tetapi sebaliknya mahu Umno berpecah belah dan menimbulkan suasana tidak harmoni di kalangan penyokong dan ahli.

"Saya cabar jika benar ada pemimpin Umno yang telah menyertai kerajaan negeri, Lim umumkan nama pemimpin tersebut untuk pengetahuan umum.

"Beliau tidak perlu bersembunyi atau merahsiakannya jika apa yang dicakapkan itu benar. Usah membuat orang ramai menjadi keliru," katanya ketika dihubungi hari ini.

Bagaimanapun, Musa berkata, pihaknya akan terus memantau perkara tersebut di samping mengenalpasti pemimpin yang dimaksudkan itu jika ianya benar. -->>lanjut

NAHDATUL MELAYU

Oleh : riaulingga14

Kehadapan semua anak bangsa ku, suatu peringatan telah diberi, hendaklah kita semua menyedarinya. sumpah PEMUDA sudah mula dilupainya. Ingatlah kita pesan orang tua-tua, 5 sumpah anak melayu harus dijunjung. janganlah kita lalai dan leka. Lambang UMNO itu sendiri tertera beberapa kalimat keramat Alif, Ba, Ta. Alif untuk Agama, Ba untuk Bangsa, Ta untuk Tanah Air.

Perjuangan orang melayu sekarang hanyalah berupa kebendaan, dalam jiwa anak pemuda telah dirosakkan oleh pemimpin yang hanya memandang kearah pembangunan, hinggakan kita lupa membangun anak-anak muda. Kerana itulah berlakukan gejala sosial dan mat rempit berleluasa. Kenapa harus kita banggakan KLCC kalau orang melayu tidak dapat tempat didalamnya. Jika kita hendakkan nama, Orang Melayu telah lama mashur seluruh Dunia suatu masa dahulu. Apa yang penting bagi saya adalah dengan melahirkan anak pemuda yang berintigriti.

Jika dilihat pemimpin kita hari ini (Pak Lah) walaupun ia lembut, akan tetapi akal orang tua lebih panjang dari kita wahai anak muda. janganlah kita menolak kepimpinannya, setiap apa yang dilakukan semuanya ada dalilnya. Cuma kita tidak mengunakan akal yang diberi dan memikirkan apa sebenarnya perancangannya. Pada pendapat saya, setiap tindakan Pak Lah amatlah bijak dengan apa yang berlaku sekarang. Jangan kita mudah terpedaya dengan pengkianat yang ada didalam UMNO itu sendiri. Sekiranya anak pemuda tidak percaya, cuba tanya dengan Tan Sri Mike Tyson. Sebuah artikel yang dikeluarkan Almarhum Tun Dr Ismail terhadap seorang pemimpin yang sekarang cuba menderhaka hinggakan Kuasa raja-raja dihancurkan. kerana dialah yang telah merosakkan bangsa melayu dan penderhaka. Kita semua dah lupa 5 Sumpah Pemuda. kerana salah satu sumpahnya telah dikianati oleh bekas pemimpin .... yang cuba membuat roadshow dan menjatuhkan PAK LAH.
Takpalah biar kan dia dengan angan-angannye.....

Saya menyeru UMNO Perhubungan yang baru agar mendekati pemuda-pemuda disetiap pelusuk kampong. Hidupkan kembali Pergerakan Belia 4B seperti ditahun 70an. aktiviti dijalankan bagi membangun siasah diri bagi melahirkan anak pemuda berkeyakinan dan berpotensi. UMNO Selangor disetiap bahagian dan cawangan harus dirombak... kebanyakan pemimpinnya tidak sedikit pun jiwa patriotik, mereka hanyalah gilakan kuasa. Apabila saya ke majlis Ulangtahun 62, sedih menyelubungi jiwa saya apabila melihat PAK LAH. Jiwa dan semangat PAK LAH, Mike Tyson sama seperti perjuangan UMNO yang terdahulu.

Akhir kata dari saya.. KENALILAH KAMU AKAN BANGSA MU, INGAT KEMBALI AKAN SEJARAH KEJATUHAN MELAKA, KERANA IA MEMPUNYAI SUATU RAHSIA. JIKA CERITA INI ADA SAMBUTAN.. AKAN SAYA SUMBANGKAN SEDIKIT CERITA KENAPA HANG TUAH BERSUMPAH --- TAK KAN MELAYU HILANG DIDUNIA.....

Sekian ikhlas dari saya. : Tengku Puteh (Riau Lingga Daik)

13 Mei 1969 - satu amaran?

Oleh : Anuar Mohd Nor (Institut Kajian Asas Kemasyarakatan)

Image13 Mei 1969 – bukan soal tidak mahu mengingatinya tetapi persoalan adalah untuk mengambil iktibar dari nya. Persengketaan antara kaum, hasil dan terbit dari percanggahan idealisme politik yang menjadi sumbu utama kepanasan dan ketegangan yang ada pada waktu itu. Kedudukan sosiopolitik negara yang tidak stabil, jarak kedudukan ekonomi antara kaum dan persengketaan politik menjadi kerancakan yang mungkin menjahanamkan negara.

13 Mei 1969 hari ini telah diterjemahkan dengan pelbagai kontroversi. “Terjemahan berniat” ini juga merupakan kekuatan Pakatan Palsu Rakyat dalam membicarakan kononnya UMNO adalah bapak segala istilah perkauman. Barisan Nasional adalah parti rasis dan mengutamakan perkauman. Hari ini kepimpinan Pakatan Rakyat memainkan isu kesamarataan dan keperluan kesamarataan sebagai asas keadilan tanpa merujuk keadaan kedudukan baik ekonomi, sosial dan politik antara kaum.

Bagi Pakatan Rakyat kesamarataan itu adalah keadilan yang di tuntut oleh demokrasi. Ini mengghairahkan kaum-kaum lain di Malaysia dan ini adalah punca sokongan. Pakatan Rakyat dalam memperjudikan isu-isu sensasi ini untuk mendapat undi dari kaum lain di Malaysia tanpa menghiraukan apa akan berlaku di masa hadapan bila kemakmuran antara kaum berbeza, bila kedudukan ekonomi antara kaum meluas perbezaannya dan keadaan kekusutan sosial turut meliputi sesuatu kaum khususnya Melayu.

Impak memperjudikan hak pegagan yang ada pada Melayu khususnya politik akan memberi kesan yang amat buruk kepada negara kita ini.

Menghalalkan cara – bukan sepatutnya dilihat dari sudut keagamaan. Menghalalkan cara perlu dilihat dari segi natijah politik yang menjadi cara dan metodologi Pakatan Rakyat. Mentakrif demokrasi dan hak kemanusiaan secara terbuka tanpa kerangka yang mampu memberi “orde” kepada perjalanan kemasyarakatan adalah perbuatan yang songsang dalam pengurusan pentadbiran negara.

Ini mungkin membuat rakyat teruja – dalam mahukan demokrasi yang menyeluruh dan perjuangan hak-hak kemanusiaan yang total seakan memberi kesedapan hidup bermasyarakat yang menyeluruh tetapi hasilnya tidak akan memberi orde yang sesuai dan ini pasti memberi ruangan kepada pergeseran kaum.

Amaran – sekiranya ini berlaku dalam zaman ini, ia pasti lebih menggerunkan dengan sikap oportunis negara luar seperti Singapura terhadap kekusutan dalam negara ini.

Kedudukan negara kita kini lebih kusut dari yang apa yang kita nampak. Perpecahan Melayu bukan satu agenda yang perlu dipandang ringan. Perpecahan Melayu akan memberi impak yang cukup kritikal di masa akan datang. Ini akan menyebabkan Melayu itu sendiri bergolak dan pergolakan itu akan mendatangkan musibah besar pada struktur sosiopolitik negara kita ini. Ini akan berlaku sekiranya keadilan yang dilaksanakan adalah melalui proses kesamarataan tanpa melihat senario kedudukan pencapaian yang ada serta pegangan sesuatu kaum itu.

Jarak perbezaan ekonomi akan lebih meluas antara kaum dan ini pasti akan menerbitkan kegusaran dalam struktur masyarakat itu nanti. Penjajaan kerajaan yang ada tidak demokratik secara total adalah tidak benar dan kaum ada pun maka langkahnya bukan menjual hak untuk menyempurnakan demokrasi yang ada.

Peristiwa 13 Mei 1969 – bukan satu ugutan politik. Peristiwa itu adalah sejarah yang perlu di kenang sebagai sesuatu yang tidak seharusnya berlaku. Kita perlu kepada orde masyarakat yang lebih jitu yang mungkin tidak juga dilakukan oleh UMNO dan Barisan Nasional sebelum ini.

Tetapi itu bukan alasan untuk kita menyokong tindakan kesamarataan yang longgar, pengertian demokrasi yang menguntungkan sesuatu pihak dan perjuangan hak kemanusiaan yang hanya mempunyai idealisme individu yang dibesarkan untuk mencuri kuasa.

Jangan biarkan tindakan kita hari ini sebagai langkah untuk memulakan api persengketaan kaum lantas merosakkan kedudukan masyarakat yang ada hari ini. Akhirnya dalam tulisan ringkas ini, jangan kita bertindak menjual hak yang ada untuk menyempurnakan pengertian demokrasi yang infinitif. Ini kelak akan menjadi dosa kita kepada rakyat negara kita. Pakatan Rakyat yang ada perlu dinilai semula dan kegusaran hari ini sudah terbit mengenai arah yang mahu dibawa.

Jangan sampai pula pada keadaan bukan Melayu hilang di dunia tetapi hamba di tanah sendiri.

Ahli Parlimen jangan sombong

Datuk Abdul Rahman Dahlan (BN-Kota Belud) mendakwa beliau telah ditawarkan sejumlah besar wang untuk melompat ke parti pembangkang. Katanya, tawaran melalui satu panggilan telefon itu turut menjanjikannya jawatan dalam Kabinet.

Bagaimanapun Abdul Rahman menegaskan beliau menolak tawaran itu kerana perbuatan itu sangat tidak bermaruah."Pemimpin pembangkang berjanji untuk memberi habuan kepada ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk melompat,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul ucapan terima kasih kepada titah Yang di-Pertuan Agong pada sidang Dewan Rakyat hari ini.Abdul Rahman berkata, pakatan pembangkang selalu menuduh UMNO dan BN adalah rasuah serta tidak layak untuk menjadi kerajaan kelas pertama.Sedangkan, katanya, pembangkang cuba mengabui mata rakyat kerana mereka sendiri mengamalkan rasuah.Jelasnya, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan orang yang bertanggungjawab memperkenalkan dan membudayakan politik wang dalam UMNO Sabah.

"Trend itu telah dipraktikkan semasa membeli undi untuk bertanding Timbalan Presiden UMNO menentang Allahyarham Tun Ghaffar Baba."Duit berbakul, projek dan borang merah jambu menjadi pelincir kejayaan memenangi jawatan Timbalan Presiden UMNO,'' katanya.

Selain itu Abdul Rahman turut mempersoalkan jika Anwar menjadi Perdana Menteri, siapa yang bakal menggantikan beliau selepas itu.Setakat ini, katanya, tidak ada calon dari kalangan pemimpin pembangkang yang layak menggantikan Anwar melainkan anaknya, Nurul Izzah.''Siapakah akan menjadi Perdana Menteri selepas pemimpin agung PKR, rakyat nak tahu?

''Mungkinkah pembangkang akan melantik Perdana Menteri yang pertama dari kaum Cina atau India ataupun Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang,'' katanya.Beliau memberitahu, seorang kawan memberi andaian bahawa Anwar akan membina empayar nepotisme dengan bakal melantik Nurul Izzah yang merupakan Ahli Parlimen Lembah Pantai sebagai Perdana Menteri ketujuh.

Isu lompat parti


Agendadaily - Cakap-cakap lompat parti yang melibatkan Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) akan berlaku makin hangat ekoran kenyataan Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee yang memberikan kiasan politik mengenai perkara berkenaan.

Parti kecilnya di Sabah itu mempunyai hanya dua Ahli Parlimen.Namun Teck Lee dikenalpasti merupakan salah seorang key player dalam isu ini.

Malah menurut sumber yang layak dipercayai ada kemungkinan juga kalangan Ahli Parlimen BN di negeri itu tidak melompat masuk Parti Keadilan Rakyat tetapi masuk ke dalam SAPP saja. -->>lanjut

Majlis Mesra bersama PM dengan UMNO Kedah

PRESIDEN SUDAH CUKUP FAHAM,
TUGAS KITA KUKUHKAN PARTI

Oleh : Z Noor
kedah1.jpgBanyak sungguh perkara yang diluahkan oleh delegasi UMNO Kedah yang menghadiri Majlis Mesra Bersama PM anjuran Kementerian Penerangan Sabtu lalu. Tapi tidak banyak bezanya dengan majlis dialog lain yang pernah saya ikuti terutama selepas Pilihan Raya Umum Ke-12.

Perdana menteri dihasak dengan soalan-soalan dan pandangan yang lebih mirip kepada memberitahu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi apa patut buat sebelum pilihan raya, siapa patut bertanding, kenapa orang-orang tertentu dilantik, bagaimana boleh terlepas sampai 4 negeri ke tangan pembangkang, siapa penasihat Pak Lah, kenapa tak runding dengan UMNO Bahagian untuk memilih calon dan sebagainya.

Soalan-soalan itu mungkin Pak Lah sudah dengar banyak kali yang diulang oleh peserta dialog di mana-mana. Datuk Seri Najib Tun Razak selaku timalan presiden juga tidak terlepas dengan soalan yang sama di mana-mana beliau bertemu dengan akar umbi UMNO.

Ahli UMNO di semua peringkat bagaikan menunggu peluang untuk meluahkan apa yang tersimpan dalam benak masing-masing sebelum ini dan tidak hairanlah suasana dialog menjadi hangat apabila siapa sahaja boleh kata apa pun kepada pemimpin dalam majlis seumpama itu.

Mungkin Pak Lah dan Najib sudah muak dengan apa yang dibangkitkan orang ramai terhadap keputusan PRU Ke-12 yang sangat mengecewakan ramai orang terutama pemimpin parti. Namun sebab kekalahan masih kabur dan tidak lagi berupa konkrit dari anylisis-anylisis ramai pihak.

Dalam perhimpunan anjuran NGO dan perjumpaan-perjumpaan ahli UMNO di mana-mana, bagaikan senada dan sekata orang mempersoalkan perkara sama. Ia seolah-olah belum selesai lagi dikaji, diselidik dan diberi kecaman dalam pelbagai bentuk. Agaknya sampai bila perkara ini terus berlaku? Tidak siapa tahu kerana kesan kemerosotan BN diibaratkan Tsunami yang melanda negara. Ia sudah menjadi trauma orang Melayu pula nampaknya.

Memetik dari antara soalan yang berupa kenapa Pak Lah tak runding dengan Bahagian untuk menentukan calon, rasanya Pak Lah sudah ada hulubalang yang diberi jawatan Ketua Perhubungan UMNO yang terdiri daripada Menteri Besar atau Ketua Menteri untuk menjalankan kerja itu. Perlukah Pak Lah sendiri yang menentukan semua itu?

Ramai yang berpendapat tidak perlu kerana Ketua Perhubungan UMNO di peringkat negeri bertanggungjawab berbincang dengan bahagian-bahagian. Kalau ketua perhubungan tidak lakukan tanggungjawab itu, ketua perhubungan itulah yang tak guna dan mementingkan diri. Ketua perhubungan itulah patut dikenakan hukuman hudud yang maksimum. Umpamanya dilucutkan jawatannya dalam parti dan kerajaan. Merekalah pengkhianat utama.

Sekarang ketua bahagian boleh hukum mana-mana ketua perhubungan yang tidak menghormati suara peringkat bahagian. Ia sudah terang-terang melanggar adat berparti dan boleh dianggap ketua perhubungan itu mementingkan orang-orangnya, ada udang sebalik batu, ada muslihat yang mencederakan kemulian parti.

Satu soalan dari peserta telah menyatakan sangat susah nak jumpa Pak Lah. Macam-macam orang akan halang sesiapa yang hendak bertemu dengan Pak Lah. Pada saya memang patutlah susah. Pak Lah bukan kerani, bukan pemandu bas, dia bukan broker tanah, bukan tauke kantin atau pengusaha restoran. Dia perdana menteri – satu jawatan paling tinggi dalam pentadbiran negara.

Yang sibuk nak jumpa Pak Lah setahu saya, bukan nak bawa cadangan untuk kebaikan parti atau nak mengadu pasal keadaan setempat, tetapi kebanyakannya mahu minta projek, minta Pak Lah sokong penyertaan tender, mahu Pak Lah tonyoh sokongan kertas cadangan projek sahaja.

Sudahlah itu, projek dan sokongan yang mereka bawa itu bukan projeknya sendiri. Kalau pun projeknya sendiri, tetapi pengusahanya pula bukan dia, tetapi akan dijual atau diserah kepada orang lain yang kebanyakannya bukan Melayu yang mempunyai bertan-tan duit. Mereka yang benar-benar berkehendakan projek itu disokong, sanggup membiayai pelobi untuk mendapatkan sokongan Pak Lah. Komisyennya cukup besar. Itulah kebanyakannya. Mana yang berjaya jumpa Pak Lah dan dah dapat nikmatnya, terus lupa daratan. Tak sedarkan diri berfoya-foya dengan kemewahan yang membawa imej buruk kepada orang yang mendapat pertolongan perdana menteri. Bila dah kaya, Pak Lah pula disuruh berhenti.

Contoh sudah banyak. Hingga Pak Lah pernah luahkan apa dia rasa apabila beliau pernah menyebut dalam satu majlis, 'semasa senang, Pak Lah itu bukan orang lain dengan dia. Dia ada bau-bau bacang dengan aku. Akulah yang menyokong dia' dan sebagainya. Bila Pak Lah tengah susah, merana kena serang dengan Tun Mahathir, Anwar Ibrahim, Tengku Razaleigh, Mukhris antara orang yang mendesak Pak Lah berhenti, mereka yang mengaku saudara dan tidur sebantal dengan Pak Lah hentam dia balik. Ada yang sanggup nak tinggalkan parti pun ada nak lompat ke parti lain.

Dalam hal ini, saya pelik dan kadang-kadang gelihati mendengarkan orang sibuk nak jumpa Pak Lah. Dalam sebuah daerah misalnya, orang ramai nak jumpa dengan pegawai daerah pun sebenarnya susah. Murid nak jumpa guru besar pun payah. Di kilang-kilang, nak jumpa dengan pengarah kilang pun macam mustahil. Lebih lagi nak jumpa dengan general manager atau managing directornya. Lagi susah. Orang yang jumpa Pak Lah pula bukannya semua membaw berita sihat. Ada yang sibuk menyucuk Pak Lah pasal orang itu dan orang ini. Tidak kurang yang 'menyanyi' lagu-lagu indah yang sedikit sebanyak boleh mempengaruhi dan mengoncang iman perdana menteri yang boleh membawa akibat buruk padahnya.

Bila dapat jumpa Pak Lah sorang-sorang, lain lagunya. Bila Pak Lah jumpa ramai-ramai, Pak Lah dibalunnya tanpa segan silu. Sebenarnya, masih ramai lagi ahli UMNO yang tidak tahu protokol. Walau sebesar manapun masalah orang UMNO, bukankah ada saluran untuk disampaikan. Kalau saluran itu bocor atau tidak berfungsi, barulah guna tingkat satu lagi. Kalau tingkat satu tak guna juga, banyak lagi tingkat boleh digagau sampai dapat.

Kalau apa yang nak disampaikan tidak terlaksana, mungkin perkara itu remeh atau tidak munasabah. Tak perlulah semua hendak jumpa dengan Pak Lah. Teruk la perdana menteri kalau macam itu. Apa gunanya ada wakil rakyat, ahli parlimen, ada ketua bahagian, ada ketua perhubungan, ada ahli majlis tertinggi, ada naib presiden?

Perkara lain yang dibangkitkan mengapa akhbar aliran perdana yang UMNO biayai sudah dilihat menjadi pelingkup UMNO hari ini. Jawapannya ialah orang surat khabar pun main politik juga. Mereka mahukan akhbar mereka laku. Tambah lagi bloggers sudah lebih dipercayai rakyat. Ini salah pegawai-pegawai Kementerian Dalam Negeri yang tidak menyoal ketua-ketua pengarang akhbar kerana mereka sibuk beri perhatian kepada akhbar nyamuk yang suaranya agak terhad.

Anggota akhbar aliran perdana juga sibuk membaca blog dan sedikit sebanyak terpengaruh juga dengan bloggers. Ini semua gejala yang UMNO terpaksa terima. Itu pun nak salahkan Pak Lah juga? Tak patut. Cuma mungkin Pak Lah kena selalu duduk dengan pengarang-pengarang akhbar bertanyakan khabar mereka. Jangan biarkan mereka terbiar. Kalau Pak Lah sibuk, Najib patut buat. Kalau dua-dua sibuk, naib presiden pun boleh buat kerja itu. Tapi apa nak buat, naib presiden pun macam kayu juga. Ada yang sibuk pulak nak rebut jawatan Pak Lah. Orang UMNOlah yang patut jumpa naib presiden minta mereka bertindak.

Ada pulak dalam celah-celah itu yang mengesyorkan kepada Pak Lah kalau Pak Lah berundur nanti, berilah jawatan perdana menteri atau presiden parti kepada Najib. Itu pun rasanya kurang tepat kerana yang membuat pemilihan dalam Persidangan UMNO nanti, ahli UMNO yang menentukan.

Jawatan itu bukan mudah-mudah main beri kepada sesiapa yang Pak Lah suka. Najib kena bertanding. Itu pun kalau dia dapat pencalonan yang cukup. Kalau Najib kalah misalnya, takkan nak tolak yang menang nak beri pada Najib juga. Ini kena ambil kira. Demokrasi kena laksanakan.

Dalam dialog itu, ada juga yang mengatakan PRU Ke-12 tidak cukup bersdia lagi. Kerana kesuntukan masa, akhirnnya BN merosot macam kalah teruk di tangan pembangkang. Itu pun bukan salah Pak Lah pada hemat saya. Berbulan-bulan sebelum pilihan raya, boleh dikatakan semua pihak telah dengan gah membuat kenyataan dalam media yang semua peringkat sudah siap sedia. Mereka dengan bongkaknya menyatakan pilihan raya boleh dadakan bila-bila masa. Bukan UMNO saja yang kata begitu. MCA, Gerakan, PPP pun kata begitu. Maka Pak Lah pun bubarlah parlimen dan umumkan pilihan raya. Padan muka! Masa itu, calon di mana, poster belum buat dan apa pun tidak ada. Semua orang mengelabah.

Ada peserta yang bangkitkan Pak Lah tak boleh kontrol parti komponen hingga menjadikan pilihan raya umum lalu cukup lemah. Parti komponen BN macam hilang hormat dengan UMNO. Kejadian ini bukan lemah tetapi lebih bersifat toleransi. Dengan keadaan ini baru kita boleh lihat belang masing-masing. Kerana itulah UMNO kena kuat. Kalau berada dalam UMNO, kena benar-benar sokong perjuangan UMNO. Kalau setia dengan UMNO, sama-samalah kuatkan UMNO. Bukan bila UMNO kelihatan lemah, orang UMNO mahu tinggalkan UMNO. Maka yang dilihat lemah ialah orang Melayu sendiri.

Cuba semua orang Melayu kembali ke pangkal jalan. Mana yang berada dalam parti lain itu kembali ke pangkuan UMNO, parti komponen BN yang lain baru tidak cakap banyak. Mereka pun seronok dapat bernaung di bawah parti yang kuat. Parti komponen BN bergantung kepada kekuatan parti induknya UMNO. Ia patut dilihat bahawa UMNO jadi lemah kerana orang Melayu sendiri yang melemahkannya. Kalau UMNO mahu jadi kuat, orang Melayulah yang menguatkanya. Jadi, ahli biasa pun dalam UMNO kena kerja kuat untuk menarik Melayu lain menyertai UMNO, barulah betul. Kalau sekadar mahu membebel sahaja, itulah kualitinya setakat membebel tapi tak buat kerja.

Kuatkan UMNO bukan kuatkan sesiapa, tetapi kita kuatkan gagasan kita demi terus memperjuangkan nasib bangsa kita. Tidak akan ada bangsa lain yang mahu bantu menguatkan kita kalau bukan kita sendiri yang menguatkannya.

Soal-soal lain yang dibangkitkan seperti isu pembelian kapal selam dan siapa mendapat komisyennya, biarlah Suruhanjaya Anti Rasuah kerjakan. Buat laporan betul-betul. Apabila Karpal Singh celupar dan biadap, berduyun-duyun orang Melayu buat laporan polis. Tapi yang disyaki ada unsur rasuah dalam pembelian kapal selam, kenapa tak ramai-ramai buat laporan polis dan laporan rasmi kepada BPR? Ini pelik apabila soalan ini diajukan kepada Pak Lah.

Cukuplah setakat ini. Cadangkanlah yang bernas-bernas untuk pembangunan bangsa dan negara kita untuk kita sama-sama bercantum berumpun semula menguatkan parti kita ke arah lebih mantap menghadapi cabaran-cabaran lebih besar di hari depan demi generasi hari ini dan akan datang benar-benar menikmati apa yang dikatakan perpaduan kita kental untuk satu-satunya parti Melayu terunggul menjadi teras kekuatan Melayu tidak hilang taraf ketuanannya.

Rayuan Hindraf 5 ditolak

hindraff isa detainees 141207Malaysiakini - Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan lima pemimpin Barisan Bertindak Hak Hindu (Hindraf) supaya dibebaskan daripada tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Dalam penghakimannya pagi ini, Hakim Besar Malaysia yang juga pengerusi panel hakim, Datuk Alauddin Mohd Sheriff berkata arahan penahanan yang dikeluarkan oleh menteri keselamatan dalam negeri pada 13 Disember tahun lalu adalah sah dan memenuhi semua keperluan di bawah ISA. -->>lanjut

UMNO 62 TAHUN SUDAH CUKUP MATANG UNTUK TERUS RAIH KEHEBATAN

Oleh : Zabidi Noor

Amanat Presiden UMNO Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika berucap di majlis memperingati tarikh kelahiran UMNO yang ke 62 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam, sekali lagi ahli UMNO diberikan nasihat supaya tingkatkanlah intrigiti, jangan lupa diri, jangan lupa daratan dan bersyukurlah dengan nikmat yang ada hari ini.

Maksud lebih jauh dari itu, orang UMNO janganlah jadi kacang lupakan kulit, jangan berlagak, jangan sombong, jangan cakap besar, jangan mendabik dada kalau sudah berjawatan dalam parti mahupun dalam kerajaan. Jangan tak jenguk di bawah lagi dan jangan leka dengan kesenangan hingga tidak pedulikan masih ramai lagi orang Melayu yang memerlukan pembelaan, perhatian dan pertolongan dalam menjalani hidup yang semakin payah akibat pelbagai bentuk tekanan yang datang dari segala penjuru.

Datuk Seri Abdullah yang terus selesa dengan nama timang-timangan rakyat dengan hanya panggilan nama Pak Lah (satu panggilan perwatakan orang kampung) membuat peringatan itu bukan kali pertama. Sudah berpuluh-puluh kali dalam ucapannya dalam mana-mana majlis atau foum UMNO.

Walaupun tuan punya diri tidak sedar telah lupa diri, lupa daratan dan ramai yang seperti kacang lupakan kulit yang banyak berlaku hari ini, ditambah dengan tidak menunjukkan rasa bersyukur dengan nikmat yang mereka perolehi dari hasil perjuangan UMNO selama 62 tahun sebelum ini memang dikesali ramai.

Beliau yang turut menyentuh ahli UMNO yang melakukan kesalahan hingga diheret ke balai polis, ke mahkamah menambahkan lagi sakit pada UMNO yang menjadi harapan orang Melayu tidak kiralah apa pun fahaman dan idiologi mereka dalam politik. Ia menghampakan ramai orang dan hingga ada yang secara terang-terangan menyatakan jijiknya mendengar nama UMNO sedangkan mereka memegang tikit UMNO sekalipun. Perkara ini amat menyedihkan.

Lebih-lebih lagi sekarang ini, dunia kita sudah canggih. Tidak sampai 5 minit sesuatu perkara buruk berlaku di mana ceruk sekali pun, terutama tentang perlakuan orang-orang berjawatan dalam parti, sudah gah satu negara. Dengan pantas seperti kilat, berita buruk itu tersebar dengan kecanggihan dunia IT sekarang ini. Kemudian ditokok tambah dan dilebarkan dalam internet ke seluruh dunia membaca kisah yang mengaibkan nama parti, Melayu dan negara amnya.

Sangat beruntunglah generasi yang lahir kemudian daripada zaman UMNO mahu ditubuhkan dulu yang sudah tersedia dengan segala kemudahan yang terus meningkat hingga orang bandar sendiri masih ada yang sesat dalam tempat letak kereta, dalam bangunan dan di jalan raya yang begitu sophisikated sekali. Begitulah lebih kurangnya gambaran kemodenan yang kita capai sekarang ini.

Sesungguhnya kalau kita benar-benar tahu betapa ibu bapa, nenek moyang kita menjalani hidup sebelum merdeka dulu, yang pada ketika ini ramai yang masih hidup dan sedia menceritakan penderitaan mereka di zaman kita bertuankan Jepun dan bertuankan British dulu, orang Melayu tidak ubah seperti hamba abdi di tanah air sendiri. Ketika itu orang Melayu miskin papa. Malah ramai yang lari meninggalkan negara pergi merantau ke negara lain untuk menyambung hidup. Atau mereka tidak sanggup melihat keluarga mereka makan ubi rebus, berlaukan pujuk ubi celur air panas bergaram semata-mata.

Sekarang, pendatang yang mencari rezeki di negara kita pun enggan pulang ke negeri asal mereka kerana nikmatnya pembangunan negara kita yang mempunyai segala kemudahan yang tidak terdapat di negara mereka terutama yang datang dari kawasan pendalaman dari Indonesia, Thailand, Mynmar, Philipine, India, Kemboja dan sebagainya. Malah ramai yang kelihatan lebih bersyukur dari kita di Malaysia.

Apa sebenarnya yang UMNO tidak lakukan untuk orang Melayu. Atas nama Melayu, UMNO sejak merdeka telah mengorbankan kos yang cukup mahal untuk memenuhi kehendak orang Melayu. Asalkan nama mereka Melayu, walaupun rumah yang jaraknya jauh-jauh antara satu, kerajaan berteraskan UMNO tetap menyampaikan bekalan air paip, letrik dan jalan raya. Setidak-tidaknya, jalan tambak merah pun, tetap ditambak. Pada waktu itu, jalan tambah batu merah pun orang kampung sudah menadah tangan bersyukur.

Tetapi hari ini, usah kata tambak tar, berkenderaan mewah pun masih ada yang sanggup melafazkan mereka cari makan tidak bergantung pada kerajaan dan tidak mendapat bantuan UMNO untuk hidup. Padahal, persekolahan anak mereka, kemudahan hospital, jalan raya yang disediakan dan banyak lagi itu bukan usaha kerajaan bertuankan UMNO yang sediakan? Itulah jenis yang dikatakan kacang lupakan kulit, tak sedar diri dan lupa daratan.

Inilah satu cabaran besar kepada UMNO tertama dari sayap Pemuda dan Puteri UMNO yang terpaksa menghadapi generasi muda yang tidak bersama parti atau mudah terpandang ke arah negatif sahaja terhadap UMNO yang mengetuai Barisan Nasional menjadikan mereka bijak pandai, bertempat selesa dan nilai-nilai murni bangsa tidak menjadi asas dalam jiwa, hati, fikiran naluri mereka.

Sedikit silap orang UMNO, UMNO terus dianggap tak guna. Betul-betul seperti kata orang tua-tua dulu, kerana nyamuk seekor dua, habis kelambu hendak dibakarnya. Inilah sikap orang Melayu hari ini yang tidak dapat menghayati perjuangan dan apa yang telah UMNO lakukan untuk orang Melayu selama ini.

Adalah malang bagi mereka yang muda-muda hari ini tidak berkesempatan untuk berbual dengan orang tua-tua UMNO yang sudah berada dalam UMNO dari dulu hingga sekarang dan tidak berganjak ke parti lain semata-mata kerana mereka sahaja yang tahu bahawa pengorbanan UMNO memang total semata-mata diwujudkan untuk orang Melayu. Hanya UMNO untuk orang Melayu tetapi orang Melayu moden ramai yang tidak menjadikan UMNO untuk mereka.

Mereka sanggup meninggalkan UMNO untuk mengejar kedudukan, mengejar janji manis parti lain yang belum tentu boleh memberikan tempat selesa untuk mereka sedangkan semata-mata kerana nawaitu untuk berpati bukan lagi untuk bangsa, agama dan tanah air. Kerana itulah ramai yang tanpa disedari menjadi hamba kebendaan dan keseronokan hingga sanggup mengadai harga diri kepada bangsa asing untuk mencapai maksud haloba masing-masing.

Pak Lah dalam nada memahami perubahan ketara dalam diri orang Melayu di hari UMNO berusia 62 tahun semalam telah menyeru pemimpin UMNO di semua peringkat supaya cari orang Melayu dan bukan lagi menunggu mereka mencari pemimpin. Maksudnya pemimpin mesti turun padang, masuk kampung, redah kawasan-kawasan pendalaman menyelesai keperluan dan masalah mereka.

Anak-anak muda yang bertaraf professional, pengusaha kecil, sederhana dan besar, cerdik pandai dan eksekutif perlu ditarik menyertai UMNO dan berjuang untuk bangsa Melayu yang masih ramai memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar. Orang-orang lama perlu sampaikan kepada generasi muda betapa UMNO sudah membawa taraf orang Melayu hari ini ke satu tahap cemerlang untuk dinobatkan terus menjadi satu bangsa yang terus hebat hingga ke akhir zaman dalam erti kata bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

Dalam titipan sejarah UMNO, ia sudah tiga kali berpecah sepertimana Pak Lah ulangi dalam ucapannya. Tetapi perpecahan itu tetap dapat diselamatkan kerana Pak Lah dan ramai lagi pemimpin Melayu tahu bahawa Melayu masih sayang pada parti mereka UMNO.

Menjaga UMNO selama enam dekat dengan barisan daripada Dato' Onn Jaafar hingga ke hari ini, dan masih kekal mengetuai pemerintahan atas nama Melayu tidak boleh disamakan sepertimana orang kata macam-macam mengenainya seperti sudah putus haidlah, sudah lapuklah, sudah tidak relevanlah, tidak boleh dibuat perbandingan demikian. Kualiti dan intigreti anggotanya yang perlu diukur kerana sifat orang Melayu sendiri yang melunturkan keutuhan UMNO.

Kalau berkuburlah UMNO suatu hari nanti dan digantikan dengan parti lain, begitulah juga jadinya selagi orang Melayu sendiri tidak hindarkan sifat kunonya tidak tahu hormat ketua, suka tikam belakang, mengumpat tidak tentu butir kesahihannya, mengada-adakan dan membesar-besarkan cerita dan dengki khianat, lupa daratan dan menjadi kacang lupakan kulit.

Yang pentingnya bukan parti yang kita punyai, tetapi mengilap dan menjaga nama baik parti adalah lebih penting. Kalau ini dapat diamalkan dan diberikan renungan sedalam-dalamnya, orang Melayu akan pasti jadi satu bangsa yang kekal berkuasa, mewah, tinggi darjatnya di mata dunia sehingga akhir zaman. Barulah kita boleh kata Melayu tidak akan hilang di dunia. Bukan keris yang mengekalkan kita, tetapi perpaduan kita dalam satu rumpun berhimpun dalam satu semangat yang kental mempertahankan maruah bangsa dan agama.