Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Saturday, May 3, 2008

Mantan MB Selangor komen kemiskinan di Sabah..

Sabah Perlukan Perhatian Serius Kerajaan Persekutuan

drkhir - Baru-baru ini saya mengunjung ke negeri Sabah sekali lagi. Banyak tempat yang saya kunjungi. Di banyak tempat inilah juga isu kemiskinan merupakan satu topik yang amat relevan sekali.

Ini mengingatkan kembali saya kepada rancangan kerajaan untuk membasmi kemiskinan tegar sebelum 2010. Sungguh pun ia rancangan yang amatlah baik namun perancangan dan pelan yang ada tidak jelas sama sekali.

Pada hemat saya rancangan pembasmian kemiskinan ini tidak akan berjaya kerana ia tidak dibuat dengan tindakan yang memfokuskan kepada isu-isu pemangkin meningkatkan produktiviti terutama dalam sektor pertanian.

Masalah kemiskinan di sabah akan bertambah serisu bila berlaku lagi kenaikan barangan makanan asas seperti beras, tepung dan gula. Ini akan menggawatkan lagi masalah kemiskinan di Sabah.

Melalui pengalaman saya di Sabah baru-baru ini saya tidak yakin dengan sasaran telah ditetapkan oleh kerajaan persekutuan akan berjaya. -->>lanjut

Isu BALKIS ke BPR

Utusan - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung isu pemindahan dana Badan Amal dan Kebajikan Isteri-Isteri Wakil Rakyat Selangor (Balkis) bernilai RM9.9 juta.

Laporan berkenaan dibuat oleh Ketua Penerangan PKR Selangor, Mohd. Nasharudin Abdul Aziz di pejabat BPR negeri di Plaza Masalam pada petang semalam. -->>lanjut

Program untuk rakyat dapat penjelasan isu semasa

rajaahmadzainuddin - UMNO Bahagian Larut akan mengadakan majlis penerangan isu-isu semasa secara berkala mulai 18 Mei ini. Program ini selain membolehkan masyarakat bertemu secara langsung dengan pemimpin negara dan parti, mereka akan dapat mendengar penjelasan mengenai isu-isu semasa yang berlaku dalam negara.

Sebagai permulaan, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Tan Sri Muhammad Muhd Taib akan menjadi pemimpin pertama memulakan program berkenaan di Larut. -->>lanjut

Melayu jangan harapkan politik sahaja

Malaysiakini - Orang Melayu tidak boleh bergantung semata-mata kepada parti-parti politik untuk memperjuang dan melindungi kepentingan mereka di negara ini, kata Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Yusri Mohamad hari ini.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang Melayu agar kembali kepada asas-asas utama permuafakatan seperti keikhlasan, pegangan terhadap adat istiadat orang Melayu dan tidak lupa asas-asas ajaran agama Islam itu sendiri.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Yusri berkata, beliau membuat gesaan itu ketika membahaskan kertas kerja yang dibentangkan di kongres permuafakatan Melayu yang sedang berlangsung di Johor Bahru hari ini.

Abim sendiri, katanya, sebagai badan bukan kerajaan (NGO) Melayu-Islam, akan memugarkan kembali idealisme perjuangan mereka dalam memperjuangkan bahasa Melayu, agama dan tidak mengutamakan kepentingan kelompok dan individu.
yusri abim
Katanya, ini adalah penting dalam usaha untuk memperkasa, memperkukuhkan dan ia menjadi teras permuafakatan orang Melayu.

Kongres itu yang bertemakan 'Kedaulatan Melayu Sebagai Paksi Kewujudan Bangsa', dihadiri lebih 1,000 peserta yang mewakili 200 badan bukan kerajaan (NGO) Melayu.

Ia dianggap antara pertemuan terbesar membabitkan orang Melayu yang pernah diadakan selepas perhimpunan yang membawa kepada penubuhan Umno lebih 60 tahun lalu. -->>lanjut

Gangguan bekalan air

Bernama - Bekalan air di beberapa kawasan di Selangor dijangka berlaku selama tiga mulai Selasa ini berikutan kerja-kerja penyelenggaraan infrastruktur dan menaik taraf perkhidmatan bekalan itu.

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) dalam satu kenyataan hari ini berkata bekalan air di kawasan Kuala Selangor akan terganggu selama tujuh jam mulai 11 malam Selasa ini berikutan kerja-kerja pemasangan meter kekal di Jalan Raja Musa 1 dan 2.

Kawasan yang terbabit termasuk Kampung Rantau Panjang, seluruh Sungai Darah Kanan dan Kiri, Kampung Hang Tuah, Kampung Sri Makmur, Estet Raja Musa, Taman Manikavasagam, zon Sungai Gulang-Gulang dan zon Sungai Tengi Kanan.

Kawasan lain yang terbabit berikutan kerja-kerja pemasangan meter kekal di simpang Bukit Belimbing ke Batu 2 di sepanjang Jalan Ujung Permatang ialah Taman Sri Belimbing, Jalan Tok Empat Majid dan Kampung Lubuk Bukit Belimbing.

Gangguan selama tujuh jam mulai 11 malam Rabu ini juga membabitkan kawasan di Kuala Selangor berikutan kerja-kerja pemasangan meter kekal Rantau Panjang Panjang ke Kuala Selangor di sepanjang Jalan Rawang 3, kata kenyataan itu.

Kawasan terbabit termasuk Bukit Badong, Pekan Batang Berjuntai, Kampung Jawa Selangor, Taman Sri Indah, seluruh Batu 8 Asahan, Kampung Kuantan dan Taman Bentara.

Pada hari yang sama, gangguan bekalan air selama 10 jam mulai 8 malam akan berlaku di kawasan Gombak berikutan kerja-kerja pemasangan flow meter di Pam Utara AU3 Baru.

Kawasan terbabit ialah seluruh kawasan AU1 hingga AU3, kawasan Perusahaan bebas Hulu Klang, Keramat Wangsa dan Taman Warisan.

Gangguan bekalan air selama 10 jam mulai 8 malam dijangka berlaku di kawasan Sri Rampai, Setapak Jaya, Kawasan AU3, Desa Setapak dan Kampung Kemensah di Gombak berikutan kerja-kerja pemasangan flow meter di Pam Utara AU3 Lama.

Kenyataan itu turut menyebut gangguan bekalan air selama tujuh jam mulai 11 malam Khamis ini juga dijangka berlaku di Pekan Kuala Selangor, Sungai Buloh, Jeram, kawasan industri Sungai Sembilang, sempadan Klang/Kampung Suara, Zon Bukit Melawati, Zon Bandar Baru, Assam Jawa Kiri dan Assam Jawa Kanan.

Orang ramai dinasihatkan supaya menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakannya secara berhemah sepanjang tempoh itu.

Dari blog SHAHRIR-UMNO

Kongres Permuafakatan Melayu Kedaulatan Melayu Paksi Kewujudan Bangsa Johor Bahru 2 - 4 Mei 2008.



YB Dato' Shahrir jamin lindung pengguna.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad menjelaskan bahawa kawalan ke atas harga beras sebenarnya berada di bawah bidang kuasa Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

eliau bagaimanapun menegaskan, kementeriannya sebagai kementerian yang menjaga kebajikan pengguna akan mengambil tahu tentang segala keperluan dan kepentingan pengguna, termasuk soal kenaikan harga beras.

''Dari segi soal beras, kalau dilaporkan kepada saya, saya dan pegawai akan membantu. Saya terlibat dari segi melindungi kepentingan pengguna," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat pasca-Kabinet kementeriannya hari ini.

Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia mengenai rungutan penduduk di Kedah yang berhadapan dengan kenaikan harga beras antara 15 hingga 40 peratus walaupun kementerian itu memberi jaminan harga beras super tempatan dikawal dan tidak boleh dinaikkan.

Bernama sebelum ini melaporkan, Shahrir berkata, harga beras super tempatan 15 peratus hancur yang dikawal kerajaan kekal dan tidak boleh dinaikkan dengan sesuka hati oleh peniaga. Shahrir pada sidang akhbar hari ini menjelaskan, beras yang mempunyai beras hancur kurang daripada 15 peratus tidak dikawal harganya.

''Maknanya kita ada tiga jenis kumpulan harga beras yang dikawal harganya iaitu beras yang mempunyai 15 peratus, 25 peratus dan 35 peratus beras hancur," katanya.

Beliau bagaimanapun menjelaskan, beras dengan kadar beras hancur 15 peratus ke atas jarang didapati di pasar-pasar raya besar kerana beras itu hanya digunakan oleh rakyat berpendapatan rendah.

"Dalam sidang akhbar dulu saya pernah katakan tentang kesukaran untuk mendapatkan barang kawalan tertentu dan beras 15 peratus hancur itu sukar didapati di pasaran dan saya sudah semak di gudang Padiberas Nasional Bhd. (Bernas)," katanya.

Shahrir juga menafikan beliau pernah mengeluarkan kenyataan bahawa harga beras negara ini tidak mengalami kenaikan.

''Saya tak ada ditanya sama ada saya nafikan kenaikan beras atau tidak, jadi tajuk berita bahawa saya nafikan kenaikan harga beras tidak betul.

''Saya tidak pernah nafikan kenaikan harga beras yang tidak dikawal seperti beras 10 peratus hancur dan lima peratus hancur, malahan saya tahu bahawa harga beras naik," katanya.

www.shahrir-umno.com

Polis tunggu arahan Peguam Negara

Malaysiakini - Polis menunggu arahan pejabat Peguam Negara untuk mengambil tindakan selanjutnya berhubung kes jenayah seksual yang didakwa melibatkan seorang bekas menteri kabinet di sebuah
hotel lima bintang berdekatan Stesen Keretapi KL Sentral bulan lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Sabtu Osman berkata, kertas siasatan kes itu telah diserahkan ke pejabat Peguam Negara akhir bulan lalu.

"Siasatan polis telah selesai selepas keterangan diambil dari mangsa dan bekas menteri serta beberapa saksi. Kini terserah kepada AG untuk tindakan seterusnya," katanya -->>lanjut

NGO India gesa Hindraf 5 dibebaskan

Malaysiakini - Gabungan Pertubuhan India Malaysia menyokong gesaan Barisan Bertindak Hak Hindu (Hindraf) supaya dibebaskan segera lima pemimpin mereka yang sedang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Ia juga menggesa rakyat supaya turut menyokong rayuan mereka melalui kempen poskad di seluruh negara, meminta perdana menteri supaya membebaskan segera pemimpin HIndraf terbabit. -->>lanjut

Raja Nazrin titah MB Perak kekalkan Jamry Pengarah JAIP


MOHAMMAD Nizar Jamaluddin (kiri) dipanggil menghadap Raja Nazrin semalam, berhubung pertukaran serta-merta Pengarah JAIP, Jamry Sury manakala Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin (kanan) mohon menghadap Yang di-Pertuan Agong mengenai kemelut jawatan Yang Dipertua Majlis Agama Islam negeri itu.

Sultan Perak, Sultan Azlan Shah semalam menitahkan pertukaran serta-merta yang diarahkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin terhadap Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Datuk Jamry Sury ditarik balik.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan petang semalam, Istana Perak menyifatkan perbuatan Mohammad Nizar menukar Jamry Selasa lalu telah membelakangkan kedudukan Sultan Perak sebagai ketua agama Islam dan Raja Muda Perak selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak (MAIAMP).

Titah Sultan Perak menarik balik arahan pertukaran Jamry yang juga Setiausaha MAIAMP itu disampaikan kepada Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah semalam.

Susulan itu, Raja Nazrin, atas kedudukan baginda sebagai Yang Dipertua MAIAMP, telah menitahkan Mohammad Nizar, 51, menghadap baginda pada pukul 11 pagi semalam di Istana Raja Muda Perak.

Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Panjang itu yang baru memimpin kerajaan campuran DAP, PKR dan Pas selama 46 hari diminta menjelaskan kepada baginda berhubung arahan supaya Jamry, 47, ditukarkan serta-merta daripada jawatan Pengarah JAIP.

Menurut kenyataan Istana Perak yang dikeluarkan melalui Setiausaha Sulit kepada Sultan, Toh Raja Diraja Kol. Datuk Abd. Rahim Mohamad Nor, ketika Mohammad Nizar dipanggil menghadap, Raja Muda Perak telah menyampaikan pandangan dan pendirian Sultan supaya arahan pertukaran serta-merta yang dikenakan ke atas Jamry ditarik balik.

Kenyataan itu menyebut: “Sekiranya terdapat sebarang pelanggaran peraturan dan kesalahan terhadap pentadbiran kerajaan yang dilakukan oleh Jamry, maka kerajaan negeri diminta mempersembahkan perkara tersebut secara rasmi kepada Sultan.

“Sultan yang akan menitahkan proses undang-undang selanjutnya sebelum diambil apa-apa keputusan secara muktamad.

“Sebarang perbuatan dan tindakan yang dilakukan tanpa terlebih dahulu mendapat perkenan Sultan Perak dan Raja Muda dianggap telah membelakangkan kedudukan Sultan sebagai ketua agama Islam dan Raja Muda Perak selaku Yang Dipertua MAIAMP.”

Sebelum itu, kira-kira pukul 11 pagi semalam, Mohammad Nizar dilihat tergesa-gesa meninggalkan Mesyuarat Lembaga Air Perak (LAP) yang diadakan di Bangunan LAP di sini selepas dipanggil ke istana.

Perbuatan Mohammad Nizar itu segera dibidas oleh ahli-ahli politik di Perak kerana ia dikatakan melanggar tradisi negeri ini. Di negeri ini, semua pelantikan melibatkan institusi agama dibuat dengan perkenan Sultan Perak selaku ketua agama Islam.

Menurut kenyataan Istana Perak, Sultan Azlan bertitah, pentadbiran kerajaan negeri perlu memperlihatkan satu bentuk amalan yang adil termasuk dalam pertukaran para pegawai.

Baginda dipetik sebagai mengingatkan bahawa proses keadilan itu hendaklah dipatuhi supaya tidak ada dalam kalangan rakyat merasakan diri mereka menjadi mangsa kepada perbuatan fitnah atau penindasan daripada mana-mana pihak yang lebih berkuasa.

“Sebelum sesuatu keputusan atau hukuman dijatuhkan, proses dan prosedur yang memperlihatkan berlakunya keadilan hendaklah dipatuhi sepenuhnya terlebih dahulu.

“Prinsip keadilan sejagat perlu dihormati. Oleh itu, mana-mana pihak yang dikenakan sebarang tuduhan hendaklah diberikan hak untuk membela diri dan memberikan penerangan supaya satu pertimbangan yang saksama lagi adil dapat dilakukan,” menurut kenyataan itu.

Pada pandangan istana, pelantikan Jamry selaku Pengarah JAIP yang juga berperanan sebagai Setiausaha MAIAMP hanya dibuat selepas mendapat perkenan Sultan Perak.

Kenyataan itu menegaskan, urusan agama Islam serta badan dan agensi yang bertanggungjawab dengannya adalah di bawah kuasa mutlak Sultan.

“Pada tafsiran Sultan Perak, Menteri Besar mempunyai tanggungjawab untuk menghadap dan memaklumkan kepada Sultan dan juga kepada Raja Muda, memohon mendapat perkenan sebelum mengambil sebarang tindakan berkaitan hal ehwal agama Islam, badan dan agensi yang bertanggungjawab dengan agama Islam.

“Ia merangkumi urusan lantikan, penempatan dan pemindahan pegawai dan kakitangan yang menguruskan hal ehwal agama Islam, apatah lagi bagi penjawat jawatan penting dan jawatan utama,” ujar kenyataan itu.

Malah, ketika Mohammad Nizar menghadap Raja Nazrin pagi semalam, Raja Muda Perak itu memperingatkan Menteri Besar berkenaan hubungan kerja dengan istana.

Hubungan kerja yang menghormati Sultan, kata kenyataan itu, merupakan satu konvensyen dan budaya kerja yang sentiasa diamalkan serta dihormati oleh setiap Menteri Besar dengan pihak istana selama ini.

Raja Muda bertitah, hubungan yang dapat menjalinkan persefahaman itu wajiblah dihormati pada setiap masa.

Menurut kenyataan itu, Raja Nazrin Shah juga telah menyampaikan nasihat dan pandangan Sultan Perak bahawa seseorang ketua kerajaan dalam melaksanakan sesuatu tindakan hendaklah memperlihatkan berlakunya keadilan.

Sebagai Menteri Besar, Mohammad Nizar, titah baginda, perlu mematuhi prosedur dan tatacara pentadbiran berlandaskan peraturan dan undang-undang yang ada.

Baginda berpendirian bahawa kestabilan sesuatu pentadbiran dan kerajaan adalah berlandaskan kepada prinsip yang berpegang kepada peraturan dan prosedur yang telah ditetapkan.

“Baginda Sultan amat mementingkan hubungan kerja harmoni dan baik berlaku di kalangan para pentadbir dengan pemimpin politik di negeri Perak demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat,” menurut kenyataan itu.

Pilih Ketua Puteri UMNO secara bijak

Semua ahli Pergerakan Puteri UMNO perlu bijak memilih calon untuk bertanding jawatan ketua pergerakan itu pada pemilihan Disember ini.

Ketuanya, Datuk Noraini Ahmad berkata, beliau mahu setiap ahli tidak emosional dalam membuat pilihan sebaliknya memilih dengan matang.

"Jadilah pemilih yang bijak dan pilihlah yang baik antara yang terbaik," katanya semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Penerangan Puteri UMNO, Datuk Shahaniza Shamsuddin yang tidak menolak berkemungkinan akan bertanding merebut jawatan Ketua Pergerakan Puteri.

Sebelum ini, Naib Ketua Puteri UMNO, Rosnah Abdul Rashid Shirlin turut melahirkan hasrat untuk bertanding jawatan itu.

Jawatan tersebut akan dikosongkan oleh Noraini yang sudah mencapai had kelayakan umur untuk menerajui pergerakan puteri.

Beliau yang merupakan Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata, sesiapa pun yang cukup pencalonan dan syarat, layak bertanding.

Sehubungan itu, katanya, terserah kepada perwakilan untuk mencalonkan sesiapa sahaja yang bakal menggantikannya.

Tambahnya, sehingga kini beliau tidak boleh menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak.

Namun begitu, katanya, dalam soal penamaan calon, tidak ada kuota diletakkan dan beliau juga tidak mengongkong atau menyekat sesiapa yang ingin bertanding.

BNBBC bantah siaran langsung

aKelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) mahu kerajaan menghentikan siaran langsung sidang Dewan Rakyat.

Pengerusinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, tindakan segelintir ahli Parlimen pembangkang yang menjerit-jerit pada sidang itu kelmarin sungguh tidak wajar.

Tambahnya, beliau kecewa dengan tingkah laku pembangkang kerana langsung tidak mencerminkan sebagai seorang wakil rakyat.

''Kelmarin segelintir mereka kerap bangun sambil memegang buku Peraturan Mesyuarat Parlimen selain suka menjerit-jerit. Ia hanya mengganggu persidangan sahaja.

''Kita sungguh kecewa dengan tindakan mereka ini semua. Kita merasakan lebih baik kerajaan menghentikan sahaja siaran langsung selama setengah jam itu,'' katanya semalam.

King Sing berkata, beliau risau tindakan pembangkang itu akan membawa implikasi negatif di kalangan rakyat yang memandang tinggi institusi Parlimen.

''Dewan Rakyat adalah tempat membincangkan masalah rakyat bukan gelanggang untuk ahli Parlimen berkelakuan liar,'' katanya.

Kongres syor 5 langkah jaga hak Melayu

JOHOR BAHRU - Kongres Permuafakatan Melayu malam tadi mencadangkan lima langkah drastik termasuk menubuhkan Majlis Muafakat Melayu (3M) untuk menjaga hal ehwal, hak dan menyelesaikan masalah orang Melayu di negara ini.

Selain penubuhan 3M, kongres itu turut menyarankan dikukuhkan bahasa, budaya dan parti politik Melayu selain mencabar agenda pihak tertentu yang bersikap perkauman.

Ketua Satu Gabungan Penulis Nasional (Gapena), Tan Sri Prof. Emeritus Dr. Ismail Hussein berkata, pembentukan 3M penting untuk menjadi saluran rasmi bagi orang Melayu kerana unsur perkauman kini semakin menebal dalam masyarakat.

“Walaupun terdapat pihak yang ingin memberi nama lain seperti Majlis Muafakat Orang Melayu, tetapi apa pun nama yang akan diberikan, ia bertujuan menjadi saluran rasmi kepada kita semua.

“Kalau 200 badan bukan kerajaan (NGO) yang hadir dalam kongres ini dapat memberi sokongan padu, saya rasa tidak timbul masalah (untuk mewujudkan majlis itu),” katanya ketika berucap merasmikan Kongres Permuafakatan Melayu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini.

Lebih 1,000 aktivis dan cendekiawan Melayu menyertai kongres dua hari itu.

Dalam ucapannya, Ismail turut mencadangkan supaya semua NGO Melayu bersatu dan melaksanakan tanggungjawab menegakkan hak orang Melayu.

Menurutnya, Gapena berpendapat unsur kemelayuan sangat penting dan mendesak dalam pembangunan Malaysia pada masa akan datang.

Selain itu, beliau menyeru semua parti politik Melayu dan bukan Melayu supaya memerangi unsur perkauman yang amat ditakuti oleh semua rakyat negara ini.

Menurut Ismail, unsur-unsur perkauman makin menebal selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 yang menyaksikan kemerosotan prestasi Barisan Nasional.

“Adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk memerangi dan menghapuskan unsur tersebut.

“Hati bangsa Melayu tidak harus dilukakan. Nampak sangat sikap perkauman dan sikap menghina orang Melayu akan menjadi sangat nyata dan kita perlu menghadapinya,” ujar beliau.

Ismail mengajak orang Melayu mengambil pengajaran di atas kemenangan dan kekalahan sebuah parti Melayu yang telah lama berjasa kepada orang Melayu kerana kini terdapat parti Melayu yang tidak mempunyai pengalaman memerintah masyarakat berbilang kaum yang kompleks.

“Maka, mereka menggunakan kesempatan ini untuk melepaskan geram dan membalas dendam dan ini bertentangan dengan Perlembagaan Negara,” ujarnya.