Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Monday, April 28, 2008

Mukhriz harapan Pemuda.?

arahkita - Kenyataan Khairy bahawa dia tidak akan menjawat sebarang jawatan dalam kabinet selagi bapa mentuanya adalah Perdana Menteri Malaysia tidak akan mengubah pendapat umum UMNO terhadap dirinya. Sehingga hari ini, sokongan semakin nampak jelas kepada Mukhriz untuk bertindak sebagai agen perubahan dalam Pemuda. Mungkinkan itu satu realiti terhadap reformasi dalam UMNO? Mungkinkah Mukhriz perlu merubah perubahan dalam UMNO dan menawarkan diri sebagai Ketua Pemuda UMNO? -->>lanjut

UMNO,PKR dan PAS perlu muafakat pertahan hak Melayu

arahkitaKenyataan Dato Norza Zakaria 13hb April 2008

Pemimpin-pemimpin UMNO, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) digesa mengadakan permuafakatan bagi membincangkan hala tuju bangsa Melayu di negara ini.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohamad Norza Zakaria berkata, permuafakatan pemimpin-pemimpin Melayu daripada ketiga-tiga parti itu perlu diadakan supaya isu-isu berkaitan orang Melayu tidak dipolitikkan.
Menurut beliau, tiga perkara penting berkaitan orang Melayu dan yang akan menentukan masa depan mereka di negara ini ialah membabitkan agama Islam, Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan pendidikan.

“Sudah tiba masanya pemimpin Melayu daripada ketiga-tiga parti politik itu berbincang dan mendapatkan persetujuan bersama supaya tiga perkara membabitkan bangsa Melayu itu tidak boleh disentuh dan diganggu oleh orang lain.

“Sekiranya ada pihak yang cuba mengganggu tiga perkara tersebut, pemimpin-pemimpin ini akan mempertahankan hak orang Melayu dengan pendekatan yang sama,” kata Norza selepas merasmikan Kejohanan Olahraga Tahunan Kelima Sekolah Menengah Sains Seri Puteri, dekat sini hari ini. -->>lanjut

Transaksi jualbeli tanah dan sumbangan PKNS kepada BALKIS

Lokasi Tanah:SEKSYEN 7
Harga : RM250,000.00
Keluasan: 43560 k/p : RM5.74 pkp
Penjual : PKNS, Pembeli Balkis.

Cara Bayaran – Kontra. Hutang Kerajaan Negeri daripada PKNS.
PKNS – Derma Majlis Perasmian Kompleks Balkis RM218,719.60
Sumbangan Majlis Makan Malam Balkis RM200,000.00

Tajaan Meja Majlis Makan malam RM 10,000.00

Program Tahunan Isteri Wakil Rakyat RM161,660.00
Jumlah : RM590,379.60
edyesdotcom - Bolehkah transaksi jualbeli seperti ini sah disisi undang-undang? Berapa pula jumlah yuran penilaian yang dibayar Balkis bagi tanah ini? Bagi tanah bangunan ianya mesti bernilai sekurang-kurangnya RM5 sekaki persegi. Jika diperhatikan jumlah sumbangan derma majlis perasmian Kompleks Balkis RM218,719.60.

Mengapa 60 sen? Mengapa satu jumlah yang tidak round figure? Mengkinkah PKNS juga membayarkan sekali wang penilaian bagi tanah itu apabila menjualnya kepada Balkis? -->>lanjut

Isu MB lantik adik ke BPR esok

Malaysiakini - Ketua bahagian Umno Seremban akan menemui Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung dakwaan salah guna kuasa menteri besar Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Hassan dalam pelantikan adik-beradiknya sebagai ahli pihak berkuasa tempatan.

Datuk Ishak Ismail akan membuat laporan tersebut di pejabat BPR negeri di Seremban kira-kira jam 8.30 pagi esok.

"Ia membabitkan kes Datuk Azman dan Datuk Abdul Ghani yang dilantik sebagai ahli majlis Majlis Perbandaran Nilai (MPN) dan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) pada 2004 dalam satu mesyuarat exco kerajaan negeri yang dipengerusikan Mohamad.

"Saya yang hadir sama sebagai salah seorang exco terkejut kerana Mohamad yang mempengerusikan mesyuarat tersebut, yang antara lain untuk melantik abang dan adiknya menjadi ahli majlis MPN dan MPS. -->>lanjut

P. Pinang sokong Abdullah

Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang hari ini memperakukan sokongan padu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk terus menerajui parti dengan dibantu oleh Timbalan beliau, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam mesyuarat selama tiga jam dihadiri kesemua 13 ketua UMNO bahagian negeri itu di kediaman Perdana Menteri di sini, persetujuan turut dicapai untuk mencalonkan kedua-duanya mempertahankan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan Disember ini.

Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Abdul Rashid Abdullah berkata, kedua-dua keputusan itu dicapai berdasarkan gandingan mantap Abdullah dan Najib yang berjaya memacu banyak kejayaan sejak beberapa tahun lalu.

"Keputusan ini telah diterima secara sebulat suara termasuk oleh penyertaan kesemua 13 ketua bahagian, ketua Wanita, Pemuda dan Puteri.

"Turut hadir dalam mesyuarat dipengerusikan oleh Datuk Seri Abdullah yang bermula pukul 1 hingga 4 petang itu ialah kesemua wakil rakyat Barisan Nasional (BN) daripada UMNO yang menang pada Pilihan Raya Umum Ke-12," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Menurut Abdul Rashid, mesyuarat hari ini juga mengesahkan pelantikan Setiausaha UMNO negeri, Datuk Azhar Ibrahim sebagai ketua pembangkang BN Pulau Pinang.

Pada masa sama, badan perhubungan negeri bersetuju melantik Senator Datuk Musa Sheikh Fadzir sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan UMNO negeri.

Beliau berkata, Perdana Menteri juga meminta semua ketua UMNO bahagian negeri supaya mengambil tindakan proaktif untuk memperoleh kembali sokongan rakyat Pulau Pinang.

"Kita berbincang mengenai usaha mengukuhkan perpaduan UMNO dan cara-cara untuk memenangi semula hati rakyat bagi merampas semula Pulau Pinang daripada pembangkang.

"Kita sudah mula menyusun langkah dengan sokongan peranan yang dimainkan oleh setiap bahagian," katanya.

Dalam pada itu, Azhar ketika dihubungi berkata, sebagai ketua pembangkang beliau akan menjadi jurucakap BN negeri dalam mendepani cabaran pembangkang khususnya DAP.

"Dengan kerjasama kesemua 11 Ahli Dewan Undangan Negeri BN yang kesemuanya wakil rakyat UMNO, kita akan tuntut janji-janji yang ditaburkan oleh pembangkang yang ketika ini satupun belum lagi ditunaikan.

"Janji-janji pembangkang itu adalah ikrar mereka semasa pilihan raya umum lalu dan BN akan tuntut segala janji itu sepanjang masa sehingga ia ditunaikan," katanya.

Apa sudah jadi Pak Nuar - Pembangkang sokong calon BN

anp.jpgAnwar mungkin tidak percaya apabila 17 Ahli Parlimen pembangkang menyokong calon yang dicadangkan oleh BN bagi kerusi Timbalan Speaker Dewan Rakyat apabila Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar bukan sahaja memenangi pemilihan tetapi undi yang diperolehinya mencatatkan sokongan daripada 17 Ahli Parlimen pembangkang.

Beliau memperolehi 157 undi berbanding 140 wakil rakyat BN yang berada di dalam Dewan. Manakala seorang lagi calon yang dicadangkan oleh BN iaitu Datuk Ronald Kindee pula memperolehi 140 undi. Calon yang dicadangkan oleh pembangkang iaitu Dr.Tan Seng Giaw wakil DAP Kepong hanya memperolehi 81 undi kurang satu dariapda 82 wakil pembangkang yang ada di dalam Dewan Rakyat.

Jelas di sini membuktikan akan perpaduan yang ada kepada ahli Barisan Nasaioanl amatlah padu dan menafikan desas desus perang saraf Anwar Ibrahim yang menyatakan bahawa 30 ahli parlimen BN memihak dan akan berpaling tadah dan akan menyertai PR.

Anwar mungkin mabuk dalam mimpi dan percubaan pertama ini telah mengukur betapa 17 ahli PR pula yang berpaling tadah menyokong nama yang dicadangkan oleh ahli Parlimen BN. Anwar bolehlah menyimpan perang sarafnya di rumah sahaja kerana rakyat tidak akan percaya lagi putar belit Anwar yang kini kemaruk mahu menjadi Perdana Menteri .

Sidang Parlimen di hari pertama ini amat dinantikan oleh semua golongan rakyat kerana ada desas desus bahawa akan terjadi satu kejutan dan api yang membara Ahli Parlimen pembangkang akan membakar hangat setiap agenda di Parlimen. Malangnya ianya tidak terjadi seperti yang disangkakan, malahan perkara yang terbalik pula berlaku di hari yang pertama ini.

Pas Takut Putus Kasih DAP Atau Hilang Sokongan Ahlinya.?

Oleh : S.A Najmuddin
Pas kini dilihat semakin terperangkap antara pengikut dan rakan pakatannya berhubung perjuangan Negara Islamnya yang ketika ini seperti "bom jangka".

Berbanding pemimpin Pas yang seakan semakin tunduk dengan desakan demi desakan rakan pakatannya DAP, para penyokongnya pula semakin gelisah dan mula mencetusan perasaan tidak puas hati sehingga ke tahap ”menghalalkan darah” mereka yang lantang mempertikaikan perjuangan Negara Islam tersebut.

Mengulas perkara tersebut Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan, Ustaz Hj Afandi Mohd Yusof berkata Pas kini jelas semakin tersepit dalam tindakan ghairahnya mengejar keuntungan politik.

Jelas beliau sungguhpun pertembungan ideologi berkenaan cuba dilindungi oleh kepimpinan Pas, namun hakikatnya penyokong mereka di akar umbi tetap berkeras agar kepimpinan mereka tidak mengalah dengan pelbagai desakan dan gesaan daripada DAP.

"Inilah antara punca timbulnya mesej daripada akar umbi bahawa darah Pengerusi DAP Pusat Karpal Singh halal dibunuh.

"Jelas kepimpinan Pas seperti hilang punca. Mereka mahu kekalkan sokongan akar umbi tetapi tidak mahu putus kasih dengan DAP. Inilah yang menyebabkan Pas cuba melencong isu sebenar dengan mengalihkan kesalahan itu kepada pihak UMNO", katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas permohonan maaf Pas Johor Bahru terhadap DAP berhubung komen pelayar di dalam web rasmi Pas negeri itu yang mengancam Pengerusi DAP, Karpal Singh dengan mesej 'darahnya halal dibunuh'.

Dalam kenyataan permohonan maaf yang disiarkan di dalam laman web berkenaan, mereka turut mengaitkan kononnya salah faham tentang Islam itu wujud berpunca dari UMNO yang majoritinya terdiri dari orang Islam tetapi tidak beramal dan menunjukkan contoh teladan yang baik kepada bukan Islam.

Berhubung dakwaan kononnya salah faham berhubung isu berkenaan disebabkan oleh kegagalan UMNO memperaktikkan Islam yang sebenarnya, Ustaz Afandi yang juga Ketua Pemuda Pengkalan Chepa menyifatkan itulah wajah sebenar Pas.

"Inilah wajah Pas yang mengamalkan politik matlamat menghalalkan cara. Kenapa mereka tidak berterus terang dalam hal ini khususnya pendirian sebenar mereka. Hakikatnya DAP mahu Pas gugurkan ideologi negara Islamnya. Itu sahaja dan perkara ini tidak ada kait mengait dengan UMNO.

"Pas perlu sedar, mereka sebanarnya gagal meyakinkan masayarakat bukan Islam berhubung ideologi mereka dan bukannya ideologi UMNO yang diterima secara total oleh masayarakat majmuk di negara kita hari ini. Inilah yang Pas perlu belajar", ujarnya.

Parlimen Mula Bersidang


Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Anggota Parlimen Kepala Batas mendahului acara mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Rakyat di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen. Foto: Bernama

Persidangan penggal pertama Parlimen ke-12 bermula hari ini dengan acara mengangkat sumpah anggota-anggota Dewan Rakyat, didahului oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Sebelum itu, tokoh politik veteran dari Sabah, Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengangkat sumpah dan dimasyhurkan sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Pelantikan Pandikar Amin, 53, sebagai Speaker mengikut Perkara 57 Perlembagaan Persekutuan dicadangkan oleh Abdullah, yang hanya mengemukakan satu nama bagi jawatan berkenaan kepada Setiausaha Dewan Rosmee Hamzah, melalui surat bertarikh 10 April 2008.

Pelantikan itu disokong oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Sebelum mengangkat sumpah, Pandikar Amin dipakaikan songkok dan jubah Speaker oleh Rosmee dan pembantunya.

Pandikar Amin merupakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri pernah dilantik sebagai Senator dan menjadi Presiden Angkatan Keadilan Rakyat (AKAR BERSATU) di Sabah yang kini sudah dibubarkan.

Anggota Parlimen Santubong (Sarawak) Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan anggota Parlimen Beluran (Sabah) Datuk Ronald Kiandee masing-masing kemudian dipilih sebagai timbalan speaker melalui undi bersurat selepas tiga nama dicalonkan untuk jawatan itu.

Wan Junaidi dan Ronald dicalonkan oleh Perdana Menteri manakala penasihat DAP Lim Kit Siang (Ipoh Timur) mencalonkan wakil Kepong Dr Tan Seng Giaw.

Wan Junaidi mendapat 157 undi, Ronald memperoleh 140 undi manakala Dr Tan mendapat 81 undi.

Yang di-Pertua dan dua timbalan Yang di-Pertua Dewan kali ini dipilih dari kalangan anggota dari Sabah dan Sarawak berikutan perwakilan yang lebih besar dari kedua-dua negeri itu di Parlimen.

Dewan kemudian ditangguhkan untuk istiadat pembukaan yang akan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin esok.

Mesyuarat penggal kali ini akan bersidang selama 16 hari sehingga 27 Mei.

Buat pertama kali, sesi soal jawab akan disiarkan secara langsung selama 30 minit melalui Radio Televisyen Malaysia (RTM) bermula Rabu ini.

Semak daftar pemilih tambahan

Rang daftar pemilih tambahan bagi suku tahun pertama 2008 dipamerkan di tempat awam selama seminggu mulai hari ini hingga 4 Mei bagi semakan pihak-pihak berkenaan.

Daftar pemilih itu akan dipamerkan di 855 tempat di seluruh negara:
bullet button14 pejabat pilihanraya negeri,
bullet button417 pejabat pos berkomputer,
bullet button55 kompleks dan pejabat kerajaan,
bullet button159 pejabat daerah dan pejabat tanah,
bullet button43 pejabat majlis daerah, pejabat majlis perbandaran, dewan serbaguna, pejabat Rukun Tetangga, balai raya, pejabat penghulu dan dewan, serta
bullet button12 tempat lain.

election voter 2008 vote ballot boxSuruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam satu kenyataannya semalam meminta warganegara yang baru mendaftar sebagai pemilih tetapi mendapati nama mereka tidak tersenarai di dalam rang daftar pemilih itu, supaya membuat tuntutan menggunakan Borang B dan menyerahkannya kepada pengarah pilihanraya negeri dalam tempoh tujuh hari dari tarikh ia dipamerkan.

Menurut laporan Bernama, pemilih berdaftar di satu-satu bahagian pilihanraya yang hendak membuat bantahan ke atas kemasukan nama mana-mana orang dalam rang daftar pemilih boleh berbuat demikian dengan mengisi Borang C.

Turut dipamerkan, nama-nama pemilih yang akan dikeluarkan daripada daftar pemilih itu.

Dalam tempoh urusan pendaftaran pemilih suku tahun pertama (Januari hingga Mac 2008), SPR menerima 75,484 permohonan sebagai pemilih baru dan 18,385 permohonan untuk pertukaran alamat pusat mengundi daripada pemilih yang sedia berdaftar.

Orang ramai juga boleh melayari laman web SPR di http://www.spr.gov.my untuk semakan rang tersebut.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi ibu pejabat SPR di talian 03-88 85 65 00 atau pejabat pilihanraya di setiap negeri.

Sidang Dewan Rakyat yang dinanti-nantikan

Agendadaily - Sidang Dewan Rakyat yang dinanti-nantikan oleh banyak pihak ekoran desas-desus akan berlakunya perubahan arah daripada kalangan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk menyokong pembangkang menjadi sebaliknya apabila proses awal mengukur sokongan melalui pemilihan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, menyaksikan calon yang dicadangkan oleh BN bukan sahaja menang tetapi memperolehi undi melebihi daripada jumlah ahli Parlimen BN.

Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar (BN-Santubong) bukan sahaja memenangi pemilihan tetapi undi yang diperolehinya mencatatkan sokongan daripada 17 Ahli Parlimen pembangkang.

Beliau memperolehi 157 undi berbanding 140 wakil rakyat BN yang berada di dalam Dewan.

Manakala seorang lagi calon yang dicadangkan oleh BN iaitu Datuk Ronald Kiandee (BN-Beluruan) pula memperolehi 140 undi.

Calon yang dicadangkan oleh pembangkang iaitu Dr. Tan Seng Giaw wakil DAP Kepong hanya memperolehi 81 undi, kurang satu undi daripada 82 wakil pembangkang yang ada di dalam Dewan Rakyat.

Mengulas mengenai perkara ini, Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, keputusan itu mencerminkan Ahli-Ahli Parlimen BN bukan sahaja bersatu memberikan sokongan tetapi ada kalangan wakil pembangkang turut memberikan sokongan kepada calon parti pemerintah.

Malah katanya, Dr. Seng Giaw hanya memperolehi 81 undi sahaja, kurang satu undi berbanding 82 wakil pembangkang yang ada di dalam Dewan.

“Ini memberikan isyarat pertama yang jelas khususnya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang selama ini memainkan perang saraf kononnya ada Ahli Parlimen BN akan menyokong mereka. Pengundian bagai jawatan Timbalan Speaker yang menjadi ujian pertama memberikan isyarat sebaliknya. -->>lanjut

Anwar tertekan untuk jadi PM

Anwar tertekan untuk menjadi Perdana Menteri sekarang kerana jika Anwar gagal untuk menjadi Perdana Menteri dalam keadaan peluang yang terbuka secara tidak sengaja ini pasti Anwar akan gagal untuk melakukannya pada masa akan datang.

Dengan itu beliau kini telah membuat siwar dan mengharapkan agar BN menjadi panik dan keadaan dalaman BN menjadi kucar kacir. Anwar mungkin telah cuba membeli beberapa orang calon parlimen Barisan Nasional tetapi gagal untuk mendapatkan jumlah yang memberangsangkan untuk membolehkan beliau menubuhkan kerajaan. Dengan siwar Anwar ini , beliau berharap agar ada kalangan ahli parlimen yang terpengaruh dan panik lantas terjun menyertai PR.

Anwar akan cuba merealisasikan Siwarnya ini pada persidangan parlimen ini sebagai satu senarai desakan demi desakan kepada kerajaan BN. Selain itu Siwar yang terbaru Anwar menonjolkan isterinya sebagai bakal Perdana Menteri kerana merasakan dirinya tidak diterima oleh rakyat dan juga orang-orang politik.

Anwar tidak mungkin akan berjaya dalam tindakan beliau untuk membeli kerajaan kerana rakyat sebenarnya bukanlah menyokong Anwar tetapi rakyat hanya mahu memberikan pengajaran kepada BN dalam pilihanraya yang lalu. Untuk memberikan Kerusi Perdana menteri kepada Anwar tidak mungkin akan terjadi.

DAP dan PAS tidak mungkin mahu membenarkan Anwar menjadi Perdana Menteri walaupun kesemua Parti sedang bekerjasama tetapi bukanlah sampai ketahap membenarkan Anwar menjadi Perdana Menteri.

Ada laporan mengatakan bahawa ada wakil Parlimen DAP dan PAS yang tidak akan menyokong rancangan ini sekiranya berlaku pengundian tidak percaya kepada Perdana Menteri. Walaupun Anwar sekarang sedang di lamun mimpi indah sebagai Perdana Menteri namun usaha beliau untuk membeli kerajaan Malaysia mungkin tidak akan tercapai dan akan hanya tinggal impian sahaja. Bukan mudah untuk membeli sejumlah lebih dari 30 ahli parlimen BN kerana mereka adalah wakil rakyat yang dipilih oleh kerajaan dan pemimpin BN. Mereka juga memenangi pilihanraya atas pilihan rakyat yang mahu memberikan mandat kepada kerajaan BN dan bukan PKR.

PKR ditolak dun sabah dan sekiranya wakil rakyat mereka melompat keluar parti kerana kepentingan diri sendiri , pasti rakyat akan meghukum mereka pada pilihanraya yang akan datang.

Pemimpin Pemuda Pertahan Tindakan Mohon Maaf

Oleh : Kazman Kamal
Beberapa pemimpin Pemuda UMNO menyifatkan tindakan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memohon maaf secara terbuka berhubung keris Panca Warisan memperlihatkan sikap bertanggungjawab dan tindakan terpuji yang sepatutnya menjadi penutup kepada isu terbabit.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Datuk Azimi Daim berkata tindakan tersebut wajar dihormati semua pihak kerana jelas membuktikan dengan rasa rendah hati beliau sentiasa bertanggungjawab terhadap setiap tindakannya dan ahli pergerakan itu sendiri.


Menurut beliau, permohonan maaf itu menunjukkan kesungguhannya membela martabat dan identiti bangsa serta pengorbanan untuk mempertahankan keagungan syiar Islam yang tergambar daripada simbol perjuangan pada Keris Panca Warisan.

"Beliau adalah pemimpin nasional yang bertanggungjawab dan sentiasa peka kepada keresahan dan perasaan kaum lain dan isu-isu yang boleh memberi kesan kepada Parti.

"Walaupun pada asalnya istiadat mengucup dan menjulang keris tidak pernah menjadi isu sensitif di kalangan masyarakat Cina, India dan Bumiputera lain, upacara menjulang Keris Panca Warisan telah dipolemik, dikeliru dan digembar-gembur oleh pembangkang sehingga memberi kesan kepada keresahan sesetengah kaum Cina", katanya.

Sementara itu, Exco Pemuda UMNO Malaysia, Yb Johan Abdul Aziz berpendapat inilah masanya untuk ahli pergerakan itu kembali bersatu, tidak kira Pemuda UMNO mahupun komponen Pemuda BN untuk melihat semula kekuatan bagi mengembalikan semula sokongan akar umbi khususnya generasi muda kepada BN.

"Kalaulah benar selama ini isu Keris Panca Warisan turut menjadi satu daripada sebab kemerosotan sokongan kaum bukan Melayu kepada BN, hari ini individu yang bertanggungjawab menjulang dan mengucup keris ini sedia memohon maaf, oleh itu selepas ini tidak ada lagi isu atau sentimen yang boleh membuatkan komponen-komponen Pemuda BN tidak boleh bekerja kuat demi memantapkan parti.

"Bagi saya keris itu melambangkan budaya dan lambang kekuatan orang Melayu. Begitu juga dengan kaum-kaum lain, mereka juga mempunyai budaya dan senjata yang menjadi lambang kekuatan bangsa mereka.

"Oleh itu isu Keris Panca Warisan ini sebenarnya tidak boleh dijadikan isu kerana kita dalam Pemuda ingin meniupkan semangat kepada ahli-ahli kita agar bekerja kuat, demi untuk memantapkan kekuatan UMNO dan BN itu sendiri. Namun, ia telah dipolitikkan oleh individu dan parti-parti tertentu untuk dijadikan modal politik sempit mereka", katanya.

Tambah Johan lagi, semangat yang ditunjukkan oleh Datuk Seri Hishammuddin merupakan sifat kepimpinan yang harus dicontohi atas sikap bertanggungjawab beliau.

"Hishammuddin adalah lambang dan simbol kepada perpaduan kaum di Malaysia hari ini. Tindakan beliau adalah untuk kekuatan kita bersama, bukannya untuk kepentingan peribadi", ujarnya.

Bagi Kamarulzaman Kamdias pula, tindakan tersebut adalah satu tindakan yang menggambarkan kematangan seseorang pemimpin.

"Kadang-kadang kita terpaksa memohon maaf walaupun tahu kita tidak melakukan perbuatan yang salah. Memohon maaf untuk membendung emosi dan sentimen yang berlaku disebabkan kegagalan setiap kaum memahami atau berkompromi dengan sesuatu warisan kebangsaan yang wujud pada setiap kaum adalah satu tindakan yang matang walaupun berat untuk dilakukan.

"Kita hanya melakukan sesuatu yang membangkit rasa kebangsaan terhadap satu simbol warisan kita turun temurun, tapi jika ia telah menjadi polemik yang tidak berpenghujung, maka memohon maaf mungkin satu dari jalan untuk melenyapkan ketidak rasionalan yang telah terjadi", katanya.

Kata beliau lagi, sudah pasti Datuk Seri Hishammuddin telah memikirkan satu agenda yang lebih besar dari konsep Malaysia Malaysian iaitu untuk perpaduan dan keharmonian sebenar di dalam kemajmukkan rakyat Malaysia.

Seorang lagi Exco Pemuda UMNO, Hj Abdullah Yusof berkata tindakan Ketua Pemuda itu bukan bererti berundur walau seinci pun, tetapi itulah teladan terpuji kerana tidak sedikit pun angkuh mahu pun menuding jari kepada pihak lain.

"Saya lihat tindakan Datuk Seri Hishammuddin sebagai satu tindakan berani dan pekerti mulia demi untuk menjaga keharmonian kaum dan diharap permohonan maaf tersebut akan memberi semula keyakinan orang bukan Melayu bahawa Pemuda sentiasa memperjuangkan perpaduan bersama demi untuk sebuah Negara yang bermaruah.

"Sesungguhnya BN adalah parti yang menjamin keselamatan, keamanan dan kemakmuran kepada semua agama, kaum dan kelompok masyarakat di negara ini", katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Pahang, Khairuddin Yaakob mengucapkan syabas kepada Datuk Seri Hishammuddin kerana berani membuat permohonan maaf dan sanggup bertanggungjawab yang memperlihatkan beliau adalah pemimpin yang mementingkan parti, bukannya pemimpin yang mementingkan diri sendiri.

"Keris telah dijulang dan dikucup, Pilihan Raya Umum ke12 sudah pun berlalu dan Ketua Pemuda UMNO Malaysia telah pun memohon maaf, oleh itu saya minta semua pihak untuk 'tutup buku' dan buat agenda baru bagi memastikan Barisan Nasional terus relevan sepanjang zaman", ujarnya.

Manakala Askahari Abu Nor yang merupakan Ketua Pemuda UMNO Melaka turut menyokong penuh tindakan Datuk Seri Hishammuddin dan ianya harus menjadi contoh kepada semua demi kebaikan bersama.

"Oleh itu, bukan Pemuda UMNO sahaja yang perlu mengamalkan sikap bertoleransi ini malah rakan-rakan komponen Pemuda BN juga harus mengambil pendekatan yang sama.

"Semangat toleransi dan bersabar harus ada dalam diri setiap ahli dan kompenan Pemuda BN, demi untuk kebaikan semua kaum. Oleh itu, sikap toleransi dan bersabar dalam setiap tindakan dan pendekatan Ketua pemuda UMNO selama ini, menjadi satu kebanggaan kepada kami di Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Melaka", katanya.

Kembali ke matlamat asal UMNO

Perpecahan akibat perebutan jawatan dalam UMNO boleh dielakkan sekiranya semua pihak dalam parti itu kembali kepada matlamat asal memperjuangkan kepentingan masyarakat. Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, perebutan jawatan hanya akan membawa tanggapan bahawa UMNO merupakan parti politik yang terlalu eksklusif sehingga merenggangkan hubungan dengan masyarakat.

"Kalau kita tidak terlalu eksklusif sebagai parti politik dan tidak melihat kepada jawatan dalam parti tetapi melihat kembali kedudukan asal dan tujuan asal kita sebagai parti politik yang membela kepentingan orang ramai, ini akan mengekalkan sokongan rakyat kepada UMNO," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pergerakan Belia Malaysia (YMM) daerah Johor Bahru semalam.

Menurut Shahrir, Barisan Nasional (BN) perlu menggerakkan rancangan pembangunan kerana BN telah diberi mandat oleh rakyat untuk memelihara kesejahteraan rakyat.

"Ini masa untuk kita bekerja. Kita mempunyai tanggungjawab sebagai kerajaan yang baru mendapat mandat daripada pengundi, kita patut melaksanakan apa yang dijanjikan pada pilihan raya lepas," tegasnya.

Ketika ditanya sama ada beliau akan bertanding jawatan Naib Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO pada Disember ini, Shahrir berkata, beliau masih belum lagi memikirkan mengenainya.

Katanya, beliau berpendapat perkara tersebut tidak perlu terlalu diutamakan memandangkan tanggungjawabnya sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna perlu didahulukan.

Mengenai cadangan supaya jawatan Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan UMNO negeri dipertandingkan di kalangan ketua-ketua bahagian, Shahrir berkata, hak bersuara dalam mesyuarat jawatankuasa tersebut adalah lebih penting daripada jawatan itu.

Keris siapa lebih berdosa ?

Oleh : Khairuddin Mohd Zan

ImagePAGI Sabtu yang baru ini, saya cukup terganggu dengan gambar 'salam cengkok' Dato' Hishammuddin dan Ketua Pemuda MCA. Bukan salam itu yang mendatangkan masalah kepada saya - tetapi berita yang mengiringi gambar itu sebenarnya yang mendatangkan rasa geram dan sakit hati. Pemuda MCA dengan penuh angkuh juga turut menyatakan harapan agar 'Keris' tidak akan dijulang lagi selepas daripada ini.

Keris kepada orang Melayu adalah simbol adat dan kesetiaan. Memang benar, guna asas kepada keris adalah sebagai senjata - tetapi dalam suasana yang harmoni dan tenteram, keris lebih banyak merujuk kepada elemen adat yang cukup berakar umbi dalam jiwa orang Melayu. Gagal memahami fungsi asas keris adalah dengan sendirinya membayangkan bagaimana rendahnya faham rentas kaum di dalam diri anak muda Cina di Negara kita ini.

Lebih mengecewakan, setelah beberapa kali diberikan penjelasan - keris masih lagi menjadi polemik yang berpanjangan. Tindakan Ketua Pemuda UMNO, kalau saya faham dengan tepat dan betul adalah keperluan untuk menghentikan polemik 'keris' ini setakat itu sahaja.

Mungkin saya tidak punya semangat 'rentas kaum' yang sedemikian sifatnya - tetapi rasanya tidak perlu pun Ketua Pemuda UMNO untuk memohon maaf sedemikian rupa. Banyak lagi agenda besar yang perlu diberikan perhatian. Tetapi sikap Dato' Hisham yang ingin melihat ke hadapan mungkin punya alasan yang tersendiri.Tidak adil untuk kita memperbandingkan ruang fikir dan angkubah membuat keputusan yang dilakukan YB Dato' Seri Hisham. Alasan dan garis putus beliau mungkin berbeza daripada kita.

Namun, mungkin juga usaha mohon maaf itu sebagai petanda rasa kecewa total dengan sikap rakan komponen yang terus 'buta dan tuli' sensitiviti budaya. Asas itu hanya mampu dijawab oleh Dato' Hisham sendiri.Pandangan penulis pula adalah fikrah anak muda Melayu yang semakin berasa terhimpit dengan sikap politik bangsa kita yang tidak habis-habis memberi; tetapi kurang menerima. Mudah benar kita melupakan maruah bangsa saat pimpinan, malahan wakil Istana kita sendiri diparap orang dengan panggilan 'cauvinis'; dan mewujudkan bahaya perpaduan kaum. Sejak bila 'suara Istana' boleh diperlakukan kurang ajar oleh orang lain?

Seorang sahabat saya, seorang anak muda bangsa Cina yang tinggal di Wangsa Maju pantas mengingatkan saya bahawa dia sendiri tidak faham apa yang cuba diungkapkan oleh akhbar Cina sebelum daripada tarikh pilihan raya. Gambar Dato' Hisham menjulang keris diulang tayang entah berapa kali bagi menggambarkan UMNO yang begitu keras dan sanggup menikam orang lain.

Sabotaj media Cina inilah sebenarnya yang menjadi punca kepada mentaliti orang Cina yang terlalu takut dengan keris.Kepada Pemuda MCA, kegagalan untuk menerangkan kepada pengundi Cina berkenaan isu 'keris' ini adalah kegagalan kamu; bukannya kami. Sayangnya, atas landasan dan tanggapan menjadi 'ultra Cina' (kononnya untuk meraih undi masyarakat Cina); kalian lebih gemar menjadi 'hero' dalam menyatakan protes dan kekecewaan mengenai isu keris. Sebelum daripada itu, fiil dan perangai Pemuda MCA dalam menjulang Perlembagaan sebagai 'aksi sinikal' kepada Ketua Pemuda UMNO Malaysia adalah amat mengecewakan.'Dosa menjulang keris' telah diangkat sebagai antara punca utama kepada kekalahan komponen BN dalam PRU12.

Adakah benar faktanya begitu? Tidakkah ada isu lain yang sebenarnya turut membusuk dan meruntuhkan 'kepercayaan' rakyat kepada jentera Barisan Nasional secara keseluruhannya. Tidakkah MCA berdosa langsung kepada BN dalam PRU12? Bagaimana pula dengan 'keris peribadi' pimpinan MCA yang turut menjadi saksi kepada runtuh moral dan integriti seorang Menteri kanan MCA? Tidakkah Menteri yang berdegar-degar bercakap dengan pengamalan gaya hidup sihat - memomokkan sendiri apa yang beliau dakwa dan bawakan?Hairan bin ajaib - dengan dosa yang sedemikian besar; dengan skandal yang jelas telah merosakkan terus integriti jentera BN; MCA masih lagi boleh bermain kata dengan apa yang berlaku. Pengakuan terbuka diangkat julang sebagai lambang integriti dan keterbukaan. Dengan bahasa yang sinikal, sanggup lagi menyalahkan orang lain - kononnya mereka juga tidak maksum dengan dosa. Prinsip 'holier than thou' dijadikan alasan bahawa setiap orang melakukan kesilapan.Saya tidak punya masalah dengan pengakuan terbuka. Ya, dari satu segi, ianya wajar diangkat sebagai sesuatu yang baik dan elok.

Tapi, 'dosa tetap dosa'. Maruah BN calar teruk. Integriti BN jatuh ke dalam parit. Tebal muka UMNO terpaksa juga menerima permohonan maaf yang sebenarnya telah memberikan calar yang cukup dalam kepada kepercayaan rakyat. Pemimpin kami terpaksa menelan ubat pahit dosa pimpinan MCA. Atas dasar muafakat - masalah seorang; menjadi masalah semua. Cubit paha kanan; paha kiri juga terasa. Dosa orang lain; UMNO juga menjadi mangsa.Kepada Pemuda MCA, sebagai penggerak akar umbi dalam pilihan raya yang lalu - saya dapat memerhatikan bahawa antara yang menjadi bahan utama lawak jenaka pimpinan pembangkang adalah skandal 'keris Panca Nafsuan' pimpinan MCA ini. Tak mampu rasanya nak berhadapan dengan rakyat dengan skandal sedemikian buruk dan vakum moral. Apa yang MCA lakukan? Letak jawatan memang antara yang paling elok.

Tapi MCA mengangkat lagi individu sama sebagai Penasihat kepada jentera parti. Lebih memburukkan lagi keadaan - anak kepada pimpinan tersebut diangkat menjadi calon. Betul, dia menang - elok juga begitu. Entah kenapa pengundi Labis tidak terkena dengan tsunami politik.Tapi di seluruh Negara, situasi dan keadaannya berbeza. Dosa julang 'Panca Warisan' dengan dosa 'Panca Nafsuan' di bilik hotel di Batu Pahat - mendatangkan kesan yang berbeza. Terus terang, di kawasan saya, puas kita terpaksa mengelak pertanyaan dan rasa kecewa 'rentas kaum' dengan skandal menteri kanan MCA? Jawapan yang ada - semua orang melakukan kesilapan. Tetapi integriti telah jatuh menyembah bumi. Kita bukan Amerika Syarikat, yang boleh menerima aksi seks sebagai 'dosa kecil'; berbanding dosa menipu yang lebih teruk daripada itu.Pemuda MCA patut menjenguk sekali sekala ke laman 'You tube' untuk melihat bagaimana video klip pimpinan mereka menjadi bahan tutorial ilmu reproduksi yang penuh jenaka.

Sedih untuk melihat bagaimana aksi tersebut juga membayangkan bagaimana 'runtuhnya' nanti semangat menyokong rakyat kepada BN. Pemuda MCA jangan cuba untuk mengalihkan isu dengan membangkitkan isu keris sebagai punca utama kepada prestasi mereka yang bobrok dan hodoh. Renungkanlah juga ke dalam parti mereka - bagi melihat beberapa isu yang masih lagi jelas berkait dengan prestasi mereka sendiri. Menyorokkan isu sebenar ke bawah permaidani; dan mengalihkannya kepada keris Panca Warisan adalah amalan yang tidak bertanggungjawab dan mengecewakan.Kalaupun benar aksi 'keris Dato' Hisham' menghilangkan sedikit undi Cina; aksi 'keris tumpul MCA' telah merosakkan terus kepercayaan kalangan orang Melayu, Cina, India dan lain-lain bangsa.

Integriti kalangan anggota kabinet dipersoalkan secara total dan bersungguh. Dalam menjulang semangat BN; kita tidak wajar untuk menolak parti yang lain ke dinding dengan tuntutan yang merapu-rapu. Inilah yang dilakukan Pemuda MCA. Tuntutan demi tuntutan dilakukan untuk mengangkat tahap mereka sebagai 'hero sementara' kepada skrip politik mereka sendiri. Orang Melayu yang berada di dalam UMNO - wajar menjadikan isu keris ini iktibar untuk menentukan 'garis bertolak ansur' kita dengan komponen BN, khususnya MCA ini. Orang muda Melayu di dalam UMNO - wajar membuka mata dengan 'semangat kerjasama' sebenar yang ditunjukkan rakan kita dalam komponen. Mudah benar mereka menuntut itu dan ini - sedang mereka sebenarnya yang sedang tenggelam secara perlahan-lahan dengan sikap menyorokkan masalah sebenar di bawah permaidani.

Orang Melayu yang berada di luar UMNO - jangan hanya gemar tersenyum dan ketawa dengan apa yang berlaku. Persahabatan kami yang lama dan panjang; tidak sepi dengan amalan politik - 'telunjuk lurus, kelingking berkait; api dalam sekam; gunting dalam lipatan'. Apa lagi kerjasama kalian yang berlaku hanya disebabkan oleh 'euforia' kemenangan dan sentuhan seorang individu oportunis. Jangan terlampau seronok dengan pautan kuasa, di kala nasib bangsa berada di tahap hormat yang paling bawah.Banyak kesimpulan yang dapat kita ambil daripada cerita-cerita pendek yang sebenarnya membayangkan 'arus bawahan' yang masih lagi belum tenang. Gelincir kepercayaan 'arus bawahan' inilah yang mendatangkan tsunami yang gagal kita buat telahan awal.

Bukan niat untuk mencari, siapa yang lebih berdosa. Tetapi hakikatnya, jiwa Melayu pantas disentap bilamana diberi amaran untuk tidak menghunus dan menjulang keris lagi.Siapa mereka untuk menentukan sama ada kita wajar atau tidak menjulang keris. Apakah kita juga mampu mengingatkan mereka agar tidak menjulang apa-apa persenjataan bangsa dan adat mereka di acara rasmi dan sebagainya? Tidakkah kita telah memomokkan sendiri 'cita budaya' yang kita bawa selama ini.Aksi julang keris Pemuda UMNO bagaikan dosa besar kepada mereka. Dosa yang telah menyebabkan mereka menerima kekalahan dan tidak diterima oleh rakyat. Selidiki dulu prestasi setiap daripada mereka di kawasan masing-masing. Jangan mudah menyalahkan 'Panca Warisan' jika mereka sendiri telah lama gagal untuk menarik minat generasi muda bangsa mereka untuk menerima idea dan cetusan BN.

ImageKepada generasi muda Cina, seperti yang dinyatakan rakan baik saya - MCA telah pantas berubah menjadi parti elitis yang tidak dekat dengan rakyat. Masih salah UMNO lagi kah jika hakikatnya begitu?Ketua Pemuda UMNO mungkin punya pandangan berbeza dalam hal ini. Tetapi, secara peribadi - saya menganggap bahawa isu ini tidak akan selesai selagi Pemuda MCA sendiri tidak mengakui bahawa mereka juga punya kesilapan. Sayang sekali, jika benarlah bahawa mereka telah sebenar-benarnya menjiwai semangat 'bangsa Malaysia' - jika keris masih mendatangkan masalah kepada mereka.Pemuda MCA perlu cepat matang dan tidak bersikap kebudak-budakan dalam menangani isu keris ini. Lihat dan perhatikan sendiri media kalian yang begitu 'rasis' dan tidak membina semangat bangsa Malaysia.

Kita kan mahu berkawan lama - tapi apa yang berlaku ini wajar membuatkan kami berfikir; dengan siapa sebenarnya perlu kami berkawan. Sukar untuk memahami hubungan lama kita masih lagi gagal membina rasa 'saling percaya' yang teguh dan padu. Dalam isu yang sedemikian dekat di hati Melayu pun, masih mampu mendatangkan resah kepada orang lain. Apa yang berlaku ini tidak langsung mencerminkan budaya persahabatan yang luhur antara kita.

Ada peribahasa Cina yang membawa maksud, 'hanya mereka yang telah melalui jalan itu; yang tahu dalam mana lubang yang ada'. Tanya pada diri, mahu ke mana kita sebenarnya - jika kami sahaja yang perlu mengalah. Bukankah sabar Melayu itu ada hadnya.Maafkan saya jika pandangan ini tidak 'global' sifatnya; kerana saya hanya selesa menjadi Melayu pasca PRU12 - yang gemar bercakap terus terang. Saya menuntut juga Pemuda MCA memohon maaf dan mengakui secara terbuka; 'keris tumpul' mereka telah merosakkan teruk imej BN seluruhnya!

Masalah rumah sendiri gagal di selesaikan Syed Ali menyalak rumah orang

Oleh : Ahli Umno Cheras

Ketua UMNO bahagian Cheras Datuk Wira Syed Ali Al Habshee yang disifatkan oleh ramai pemimpin UMNO sebagai tin kosong yang perasan bahawa dirinya adalah yang terbaik dalam UMNO septutnya memikirkan kembali dan menyusun strategi untuk mempertahankan jawatan sebagai ketua bahagaian UMNO bahagian Cheras. Beliau yang sering mengkritik akan kepimpinan parti dan sentiasa mengkritik kelemahan orang lain tidak menyedari bahawa bahagian yang diterajuinya sendiri mempunyai banyak masalah yang tidak dapat diselesaikan.

Seperti perpatah melayu , berkokok sekampung , buntut diseliputi taik. Syed Ali sepatutnya menyelesaikan masalah dalaman parti beliau yang mana beliau menghadapi masalah dengan sayap Wanita bahagian tersebut. Masalah yang berlanjutan sehingga hari ini masih belum dapat beliau selesaikan tetapi sibuk untuk bercerita tentang masalah lain dalam parti.

Siapa yang tak kenal Syed Ali Al Habsee yang digelar oleh teman-teman seperjuangan sebagai arab gila yang sentiasa tidak puas hati. Hari ini dalam mesyuarat khas UMNO bahagian Cheras beliau telah meluahkan ketidakpuasan hati beliau kepada Pengerusi UMNO Wilayah Persekutuan Datuk seri Zulhasnan Rafique dan minta diganti dengan Tengku Adnan Mansor selain mengesa perdana menteri mempercepatkan proses perletakan jawatan.

Selain itu beliau juga menyatakan ketidakpuasan hati beliau kepada sanator Datuk Zaid Ibrahim yang meminta UMNO memohon maaf kepada Tun Saleh Abas.

Sepatutnya Syed Ali mencerminkan dirinya sendiri dan melihat akan kekalutan yang berlaku dalam bahagian beliau dan ada ura-ura mengatakan beliau akan ditentang dalam pemilihan UMNO yang akan datang. Beliua juga yang tidak berpuas hati dan menjadikan ketua wanita UMNO Malaysia , Datuk Seri Rafidah Aziz sebagai musuh hanya kerana Rafidah tidak mengambil tindakan terhadap Ketua Wanita Cheras yang tidak sehaluan dengan beliau. Sikap beliau memusuhi Rafidah dianggap sebagai tidak profesional kerana marahkan nyamuk kelambu dibakar.

Umno fail petisyen DUN Ladang

Umno semalam memfailkan petisyen pilihanraya bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu - yang pertama di Terengganu selepas pilihanraya umum 8 Mac lalu.

Petisyen itu difailkan oleh seorang pengundi di kawasan DUN berkenaan, Mahari Endut, 48, yang juga merupakan ketua Umno cawangan Lorong Kemunting, diserahkan kepada Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Nurulhuda Akmar.

Petisyen yang difailkan melalui firma guaman Shafee & Co itu, antara lain, memohon mahkamah membuat pemeriksaan rapi dan pengiraan semula terhadap 127 undi pos di kawasan DUN berkenaan yang ditolak oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sebelum dikira.

Menurut laporan Bernama, dalam pilihanraya lalu, kerusi bagi DUN Ladang dimenangi oleh Datuk Tengku Hassan Tengku Omar dari PAS dengan majoriti 31 undi.

Berdasarkan kiraan, Tengku Hassan memperoleh 6,723 undi manakala calon Barisan Nasional (BN), Datuk Wan Hisham Wan Salleh memperoleh 6,692 undi.

Dalam petisyen itu, pegawai pengurus pilihanraya bagi Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Mat Razali Kassim dinamakan sebagai responden pertama manakala SPR dan Tengku Hassan, masing-masing responden kedua dan ketiga.

Tindakan dikenakan jika calon, parti politik salah guna laman web, blog, SMS

Bharian - Calon dan parti politik yang berkempen menggunakan laman web, blog atau SMS pada pilihan raya akan datang, boleh dikenakan tindakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) jika mereka didapati melanggar peraturan ditetapkan.

Ini berikutan cadangan SPR meluaskan bidang kuasanya sehingga mencakupi kempen menerusi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), berbanding hanya tertumpu kepada kaedah konvensional seperti pemasangan bendera, sepanduk, risalah, ceramah dan kenyataan media ketika ini.

Langkah itu juga sejajar usaha suruhanjaya itu memastikan peruntukan dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 lebih lengkap dan menyeluruh, selain menjamin kewibawaannya melaksanakan tanggungjawab sebagai pengendali pilihan raya.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, berkata kajian meluaskan bidang kuasa itu perlu berikutan semakin ramai calon dan banyak parti politik yang bertanding pada pilihan raya umum lalu menggunakan kaedah berkenaan untuk berkempen.

"Ketika ini, undang-undang sedia ada tidak memberi kuasa kepada SPR untuk bertindak terhadap pihak yang melanggar peraturan ketika berkempen menerusi internet, termasuk laman web, blog atau SMS.