Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Friday, April 18, 2008

Khinzir-PAS dan Rakyat tertipu

Hari ini PAS hanya mampu membisu dan bersetuju dengan kerajaan PKR yang telah meluluskan ladang pembiakkan Khinzir ( babi ) dengan jumlah peruntukan yang begitu besar sebanyak RM100 juta untuk diternakan di negeri Selangor. Jika dahulu PAS merupakan parti yang paling lantang sekali mengkritik akan isu pembiakkan khinzir (babi) ini kerana ianya pasti akan mencemarkan alam sekitar terutama sekali sungai dan udara yang akan dicemari dengan air najis dan juga udara yang tidak bersih dengan bau najis khinzir (babi).
Pengumuman kerajaan campuran Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas Selangor meluluskan projek mendirikan ladang penternakan babi bernilai RM100 juta di Sepang dianggap mengejutkan dan ditentang orang ramai.

Bayangkanlah jika peruntukkan sebanyak RM100 juta kepada ladang ternakan ini , berapa banyak khinzir yang akan membiak dan tentu sekali akan memberikan kesulitan kepada penduduk berhampiran dan kepada sungai yang mengalir sepanjang negeri Selangor.

Selain itu juga di khuatiri penyakit JE yang akan merebak, kerana jika terlalu banyak Khinzir, penyakit ini akan mudah merebak. Kerajaan Barisan Nasional pernah menutup dan membunuh banyak Khinzir dan terpaksa menerima tentangan dari penternak Khinzir demi keselamatan rakyat dan kerajaan sanggup menjadi tidak popular dengan penternak Khinzir demi menyalamatkan keadaan yang tidak sihat jika sekiranya ladang-ladang ini dibiarkan bebas tumbuh bagaikan cendawan. Tetapi PKR pula pada pilihanraya yang lalu sanggup berjanji kepada penternak ini supaya mereka akan jadi popular dan meraih undi dari mereka.

Hari ini PKR terpaksa melaksanakan janji yang telah mereka buat untuk meraih undi dari penternak-penternak Khinzir bagi mengundi mereka pada pilihanraya yang lalu. PKR terpaksa menunaikan janji mereka untuk memberikan peruntukan sebanyak RM100 juta seperti yang telah mereka janjikan walaupun apa yang dilakukan oleh PKR adalah bertentangan dari kehendak rakyat negrai Selangor. Inilah hadiah yang paling istimewa terutamanya kepada orang Melayu khusunya ahli PAS yang tertipu dengan PKR di negeri Selangor.

Sebagai kerajaan baru pastinya mereka mahu menunjukkan contoh yang baik tetapi adakah langkah-langkah yang sepatutnya telah diambil kira sebelum mereka meluluskan projek ini,? Kerajaan negeri sepatutnya memberikan penjelasan yang adil kepada rakyat.

Henti debat terbuka pelan peralihan kuasa


HISHAMMUDDIN Tun Hussein (kanan) bersalaman dengan tetamu pada majlis Perjumpaan Bersama Pergerakan Pemuda UMNO Kedah di Bedong.

Pergerakan Pemuda UMNO berpendirian sudah tiba masa untuk semua pihak berhenti daripada tuduh-menuduh, menuding jari atau terus berdebat berhubung pelan peralihan kuasa secara terbuka.

Ketuanya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien berkata, ini kerana tindakan tersebut tidak akan membawa sebarang manfaat malah boleh memburukkan lagi keadaan.

Katanya, perkara yang boleh dilakukan semua pihak kini ialah melihat masa depan dengan memikirkan cara untuk membina dan menguatkan semua parti UMNO serta orang Melayu khususnya.

"Masa untuk kita tuduh-menuduh, menuding jari telah berlalu. Masa untuk kita muhasabah diri pun sudah sebulan lebih. Kita anggap ini sudah berlalu, begitu juga dengan masa untuk kita mengenal pasti punca-punca kekalahan, kita harus berlalu.

"Dalam soal peralihan kuasa, apa jua pandangan yang disuarakan kalangan ahli secara tertutup, saya akan panjangkan kepada pucuk pimpinan.

"Namun, untuk diutarakan (pandangan) kepada umum, kita Pemuda UMNO khususnya di Kedah hari ini berpendirian bahawa yang sudah... tetap sudahlah,'' katanya.

Ditegah anjur jamuan, rombongan

Berkuat kuasa serta-merta, semua kepimpinan UMNO peringkat bahagian ditegah menaja dan menganjurkan jamuan dan rombongan termasuk ke luar negara bagi mengelak rasuah politik menjelang pemilihan parti Julai ini.

Daripada sumber yang diterima, pekeliling mengenai arahan itu telah dikeluarkan oleh Ibu Pejabat parti kepada semua bahagian di seluruh negara. Arahan telah dikeluarkan melarang mereka menganjurkan rombongan, menerima sebarang pemberian hadiah dan wang untuk menghadapi pemilihan parti.

Tataetika yang disusun semula itu mengandungi penjelasan lebih terperinci mengenai bentuk perbuatan yang ditegah dilakukan oleh calon bertanding pada pemilihan kali ini.

'Oleh itu, jika ada mana-mana ahli parti menemui atau melihat sesuatu perlakuan mencurigakan yang boleh dikaitkan dengan rasuah politik, maka mereka boleh buat laporan kepada Ibu Pejabat parti.

Majlis taklimat khas menerangkan mengenai tataetika dan perlembagaan parti akan disampaikan kepada kepimpinan bahagian pada awal bulan depan.

Tataetika parti sedia ada melarang mereka yang bertanding menganjurkan majlis kenduri dan jamuan bagi mengelakkan gejala rasuah politik.

Calon bertanding juga dilarang daripada membenarkan isteri dan anak mereka memberi hadiah dan wang kepada ahli-ahli parti sepanjang pemilihan.

Perkara 2 Tataetika UMNO melarang ahli-ahli parti daripada menggunakan apa juga kuasa yang ada pada mereka dengan tujuan mendapat undi atau sokongan di dalam mana-mana pemilihan parti.

Perkara 2.2 pula melarang ahli parti daripada membenarkan isteri dan anak-anak memberi hadiah atau wang kepada ahli parti itu merujuk kepada imbuhan berupa wang, barang-barang, tambang percuma, kemudahan perjalanan, perkhidmatan atau hiburan.

Ahli parti juga dilarang daripada menerbit, menyiar atau menulis apa-apa risalah dan majalah yang ada unsur-unsur menyokong seseorang untuk berkempen.

Mereka dilarang menyebarkan sebarang pernyataan secara lisan atau tulisan yang disiarkan melalui apa-apa kaedah (media cetak, elektronik dan Internet) yang berunsur menyokong, fitnah memfitnah, pernyataan palsu, mencela dan mengeji mana-mana ahli.

Perkara 4.2 pula menegah ahli parti menjadi ejen, pelobi, pengurus kempen dan perayu undi bagi mana-mana calon bertanding.

Mereka yang didapati bersalah melanggar tataetika itu boleh dihukum termasuk dipecat daripada parti.

JANGAN BOGELKAN INSTITUSI PRESIDEN

Oleh : pendeta

Saya menjadi semakin curiga dan amat-amat tidak memahami tindakan beberapa kerat pemimpin UMNO yang gemar menunding jari, seolah-olah mereka langsung tidak mempunyai dosa terhadap UMNO. Ratanya-ratanya berpuas-hati kerana dapat 'membogelkan' kepimpinan UMNO yang disifatkan perlu bertanggungjawab terhadap prestasi buruk Barisan Nasional pada pilihanraya yang lepas.

Pertemuan jawatankuasa pengurusan UMNO bersama-sama kepimpinan UMNO diperingkat Bahagian pada minggu lepas telah memperlihatkan siapa yang menjadi "hero" kononnya berani memberi protes serta bersuara lantang dihadapan kepimpinan UMNO. Ada juga yang menuduh bahawa UMNO sekarang sudah tidak terbuka berbanding dahulu. UMNO sekarang ditadbir secara "kuku besi" serta sama sekali tidak memberi ruang kepada orang lain meluahkan pandangan.

Merujuk kepada tuduhan diatas, disini saya ingin kembali mengajukan soalan kepada individu-individu yang pada masa ini mendabik dada, melontarkan tuduhan "Adakah dulu UMNO ini cukup terbuka? Adakah dulu setiap ahli boleh meluahkan pandangan?, Dan adakah dulu setiap ahli UMNO mahu menghapuskan kuota pemilihan?". Kenapa tidak bersuara dari dahulu?. Disini saya berani mengatakan bahawa setiap pemimpin UMNO yang mencaci Pak Lah, mencaci MT sebenarnya banyak yang kecewa tidak menjadi calon ataupun dilantik ke beberapa jawatan penting.

Siapa tak kenal Dato Kadir Sheikh Fadzir?, kononnya begitu lantang sewaktu perjumpaan bersama pengurusan. Kita semua tahu bahawa beliau sememangnya mempunyai masalah dengan Datuk Azimi Daim yang turut terpilih menjadi calon ADUN. Siapa tak kenal Dato' Mahadzir Mohd Khir dan bahagian Sungai Petani? Sebuah bahagian yang tidak pernah aman hinggakan pada suatu masa Pengerusi Perhubungan Negeri sendiri terpaksa memangku jawatan Ketua Bahagian.

Dan siapa tak kenal Dato' Rahman Ariffin, Ketua UMNO Bahagian Jerlu dan bekas ahli Parlimen yang sememangnya bermasalah dengan skandal-skandal sosial. Kalau nak dihuraikan lagi banyak pimpinan UMNO Bahagian yang bermasalah tetapi bercakap seolah-olah mereka itu cukup bersih dan langsung tidak mempunyai dosa terhadap UMNO. Secara dasarnya kita cukup arif bahawa setiap pimpinan yang bangun bercakap dengan nada yang kurang sopan ini sebenarnya nak jadi hero dan pada masa yang sama "buntut bergelumang najis".

Hakikatnya, saya amat-amat bersetuju bahawa UMNO perlu berubah. UMNO memerlukan penjenamaan ataupun "rebranding". Dan proses "rebranding" ini tidak semestinya kena tukar pemimpin. Proses "rebranding" yang saya maksudkan ini memerlukan input "support market" daripada pelbagai peringkat lapisan masyarakat. Yang tidak berubah hanya misi menjulang umat Melayu. UMNO perlu terus relevan dalam hal ini. Kapal yang rosak perlu dibaiki, dan nakhoda yang tersalah laluan perlu diberi kompas baru. Beri peluang pada pucuk pimpinan melakar pelan peralihan kuasa secara sistematik dan tidak tergesa-gesa.

UMNO tidak seharusnya terus-menerus melayan suara-suara jalanan yang menuntut perubahan radikal. Ini bukan budaya UMNO. Kalau sekali tuntutan jalanan ini dituruti, maka akan berlakulah seribu satu lagi tuntutan jalanan menuntut perkara-perkara diluar jangkaan. Kepimpinan UMNO perlu menujukkan kepada rakyat dan parti bahawa mereka sedang berubah dan pandangan akar umbi akan tetap menjadi keutamaan.

Hubungan keluarga tidak pengaruhi peranan di Parlimen

Hubungan adik beradik tidak akan menghalang Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad untuk berhadapan dengan abangnya, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Shahrir Abdul Samad, terutama dalam isu-isu membabitkan kepentingan rakyat.

Bagaimanapun, dengan bilangan ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang ramai di Dewan Rakyat, beliau tidak pasti sama ada berpeluang berbahas dengan Shahril berhubung isu-isu membabitkan hal ehwal pengguna.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor itu berkata, tujuan beliau menjadi Ahli Parlimen lebih-lebih lagi sebagai Ahli Parlimen PAS bukan semata-mata mahu bertikam lidah dengan abangnya.

Khalid yang hadir dalam sesi diskusi dengan warga editorial Harakah di pejabat Harakah hari ini, berkata beliau dan Shahril mempunyai tanggung jawab masing-masing sebagai wakil kerajaan dan pembangkang. - Harakahdaily

Ramalan Anwar Berubah-ubah Setiap Minggu

Oleh : Adnil Mohd

Penasihat Parti Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melemparkan apa jua bentuk spekulasi dan ramalan semata-mata untuk mengalihkan pandangan rakyat terhadap isu-isu tertentu bagi keuntungan politik beliau.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata sudah sampai masanya untuk parti dan orang ramai mencatatkan ramalan-ramalan Anwar ini yang ternyata sentiasa berubah-ubah dan tidak menjadi kenyataan.

Justeri beliau menyifatkan kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk sebuah Kerajaan Persekutuan yang baru tidak lama lagi tidak akan menjadi kenyataan.

"Dulu lepas pilihanraya, dia (Anwar) buat ramalan yang sama juga tapi tak jadi apa-apa pun. Sekarang dia buat ramalan lain. Tiap-tiap minggu dia buat ramalan tapi satu pun tak tepat, dia tak berubah dari dulu.

''Kita sepatutnya kena catat ramalan ini, banyak yang dia cakap tak jadi kenyataan, bila tak jadi kenyataan orang lupa dan ramalan lain diketengahkan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penerangan Isu-isu Semasa oleh Pemuda UMNO Pulau Pinang di sini, Khamis.

Justeru jelas beliau apa yang penting Barisan Nasional (BN) tidak mengikut rentak yang dimainkan oleh pembangkang sebaliknya mengikut rentak parti itu sendiri.

Sementara itu, mengenai pertemuannya dengan Pemuda UMNO Pulau Pinang yang berlangsung hampir tiga jam, beliau memberitahu pergerakan itu sudah bertekad supaya semua perbuatan tuding menuding antara satu sama lain perlu dihentikan kerana apa yang penting ketika ini ialah melakukan kerja dan memikirkan strategi untuk melaksanakan proses membina semula perjuangan.

''Kita perlu berhenti membawa isu dalaman UMNO melalui perbincangan secara terbuka kerana sekarang telah masuk tempoh sebulan setengah selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.

''Justeru, ahli-ahli pergerakan ini percaya tindakan konkrit ke arah pembinaan dan transformasi sayap kita sendiri perlu dilakukan,'' ujarnya.

PM ajak hakim yang dipecat dalam krisis 1988 ‘mara ke depan’


Suasana dalam dewan besar Hotel Marriot, Kuala Lumpur Khamis malam memang cukup menarik.Ada wajah tokoh-tokoh dari Barisan Nasional dan begitu juga dari parti pembangkang.Ia bukan majlis politik tetapi jamuan makan malam Majlis Peguam.

Paling mencuri perhatian tentulah di meja utama.Di situ Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi duduk semeja dengan bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas (tengah)
.

Hadir sama ialah Tan Sri Azmi Kamaruddin, Tan Sri Wan Hamzah Mohamed Salleh dan Datuk George Seah iaitu tiga dari lima Hakim-Hakim Mahkamah Agung yang dipecat semasa krisis kehakiman pada 1988.
Manakala dua lagi Allahyarham Tan Sri Eusoffe Abdoolcader dan Tan Sri Wan Suleiman Pawanteh diwakili oleh keluarga masing-masing.

Ini adalah kali pertama mereka hadir dalam satu majlis dengan seorang Perdana Menteri sejak dipecat dari jawatan mereka oleh sebuah tribunal hakim 20 tahun lampau atas alasan melakukan salahlaku kehakiman.
berita Lanjut...

Abdullah Ahmad Badawi bersalaman dengan Tun Salleh Abas pada Majlis Makan Malam Badan-Badan Peguam di Kuala Lumpur malam tadi sambil disaksikan oleh Ketua Hakim Negara, Datuk Abdul Hamid Mohamad.

Black 14: Polis mahu siasat Anwar

Polis sedang menyiasat pembabitan ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam majlis makan malam 'Black 14' anjuran parti itu di Kelab Sultan Suleiman di ibu negara Isnin lalu.

Ketua polis Kuala Lumpur Datuk Muhammad Sabtu Osman berkata polis sedang menyiasat pembabitan mantan timbalan perdana menteri itu di majlis tersebut yang, menurutnya, kemudian bertukar menjadi perhimpunan haram.

"Kami perlu merekod kenyataan beliau bagi memudahkan siasatan. Bagaimanapun, kami belum memanggil beliau dan kami akan berbuat demikian apabila perlu.

anwar ibrahim april 14 kg baru event 150408 21"Berucap di tempat awam tanpa permit polis menyalahi undang-undang," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program tanggungjawab sosial Polis Diraja Malaysia-Public Bank kemarin.

Menurut Bernama, Muhammad Sabtu berkata hanya tiga pemimpin utama PKR sepatutnya berucap di majlis berkenaan: naib presiden Mohamed Azmin Ali, menteri besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan timbalan pengerusi Kelab Sultan Suleiman, Datuk Mokhtar Ahmad.

"Nama Anwar tidak ada dalam senarai yang kami terima pada 8 April. Malah, apabila kami memanggil mereka untuk berbincang tentang majlis makan malam itu Jumaat lalu, penganjurnya tidak hadir," beliau dipetik sebagai berkata.

Kira-kira 20,000 penyokong pembangkang, khususnya PKR, menyertai perhimpunan di Kelab Sultan Sulaiman yang bersejarah itu.

Program yang digelar "Dari Black 14 ke Arah Kemenangan Rakyat" dianjurkan sempena tamatnya larangan berpolitik selama lima tahun terhadap Anwar mulai Selasa.

Selain Khalid dan Azmin, semalam presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail memberi kenyataan kepada polis di ibu pejabat kontinjen polis Selangor berhubung perhimpunan tersebut. - Malaysiakini

Implikasi Terhadap Pertandingan Dalam UMNO

Dr Novandri Hasan Basri

Menurut Fasal 8.5 dalam perlembagaan UMNO, terdapat 3 mekanisme untuk mengadakan sebarang Perhimpunan Khas membincang atau membuat sebarang pindaan di dalam perlembagaan UMNO iaitu :-

8.5.1 Dengan kehendak Presiden
8.5.2 Dengan permintaan bertulis dari pada dua pertiga Ahli-ahli Majlis Tertinggi
8.5.3 Dengan permintaan bertulis oleh sekurang-kurangnya satu perdua daripada jumlah semua Bahagian itu telah mengadakan mesyuarat Perwakilan Khas atas masalah yang sama

Hari ini, mekanisme yang hangat dibincangkan ialah Fasal 8.5.3. Dan setelah 1 bulan berlalu, kehangatan isu ini tidak pun menjurus kepada tindakan signifikan atau pun gelombang tsunami politik seperti yang berlaku semasa PRU-12.

Sehingga saat ini, hanya segelintir bahagian UMNO yang benar-benar telah mengadakan mesyuarat perwakilan khas.

Manakala selebihnya hanya merupakan suara-suara daripada individu-individu di dalam media-media cetak, web dan blog.

Apakah bahagian-bahagian UMNO yang lain hanya mahu ‘tunggu dan lihat’, tidak mahukan pemansuhan kuota atau tidak mahu terlibat di dalam kancah pergolakan isu ini?

Fasal 8.5.1 & Fasal 8.5.2 sudah terjawab apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Abdul Ahmad Badawi telah mengatakan bahawa ahli-ahli majlis Tertinggi sudah bersetuju untuk menggunapakai kuota yang sedia ada. (Utusan Malaysia , 11hb April 2008)

Walau apa pun keputusannya, penulis ingin mengingatkan kepada kita semua mengenai implikasi besar kepada setiap pemilihan kepimpinan UMNO.

Sejarah telah membuktikan bahawa akan berlaku pergeseran yang nyata di antara pemimpin-pemimpin UMNO yang bertanding, baik di peringkat cawangan, bahagian, negeri atau pun peringkat Pusat.

Pemulauan, cantas-mencantas dan keluar parti adalah tindakan susulan yang biasa kita saksikan dan amati.

Pada penghujung tahun 80-an, parti UMNO telah dicemari dengan satu peristiwa hitam.

Pergelutan kuasa serta sikap tidak puas hati sesetengah pemimpin UMNO terhadap keputusan pemilihan parti yang berlangsung pada 24 April 1987, telah mengakibatkan pengharaman parti UMNO oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 Februari 1988.

Begitulah senario politik parti UMNO. Pertandingan di atas tiket demokrasi, tidak disambut dengan intonasi yang sama apabila ada pemimpin yang kalah di dalam pemilihan UMNO.

Sepatutnya, yang kalah mesti akur dengan keputusan majoriti dan jika pemimpin-pemimpin tersebut benar-benar menghayati perjuangan UMNO, tidak akan berlaku perpecahan parti UMNO.

21 tahun telah berlalu, sejarah hitam tahun 1987 perlu sentiasa diingati kerana impaknya terlalu besar dan hampir meranapkan kepercayaan orang Melayu terhadap parti UMNO.

Biarpun sensitif dan pahit untuk ditelan, peristiwa tersebut merupakan pengajaran yang sangat penting terutamanya kepada generasi muda melayu hari ini.

Penulis bukannya pesimistik tetapi ianya merupakan panduan kepada kita agar UMNO tidak terkubur, terus kuat dan sentiasa relevan.

Makanya, kita perlu berwaspada. Rentetan episod pemilihan UMNO seperti di atas perlu dijadikan landasan untuk kita berfikir dan bertindak. Dan terpenting sekali ialah :-

· Apakah kita sudah cukup matang dan bersedia untuk menerima kekalahan dengan hati terbuka tanpa tiba-tiba berundur dari arena politik, keluar parti atau menubuhkan parti serpihan?

· Apakah individu-individu yang bersuara lantang mahukan perubahan di dalam UMNO dapat menerima dengan rela dan berhenti bersuara di khalayak ramai jika pemimpin-pemimpin yang mahu diubah itu masih diberikan mandat untuk memimpin UMNO?

Kontraktor besar disyarat agih 10 peratus kontrak MARA kepada kontraktor kelas F

Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan mensyaratkan kepada kontraktor-kontraktor besar yang mendapat projek daripada agensi berkenaan supaya mengagihkan 10 peratus daripada kerja-kerja tersebut kepada kontraktor kelas F.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar berkata, langkah itu untuk memastikan kontraktor-kontraktor kelas F turut menikmati projek tersebut, seperti yang diperoleh kontraktor besar.

Sebagai contoh beliau berkata, jika projek tersebut bernilai RM20 juta, 10 peratus daripada jumlah itu, iaitu RM2 juta hendaklah diagihkan kepada kontraktor-kontraktor kelas F.

“Setiap kontraktor kelas F hanya layak mendapat kontrak sehingga RM200,000. Selepas diagihkan (oleh kontraktor besar), jika projek itu membabitkan kos RM2 juta, maka sebanyak 10 kontraktor kelas F akan dapat menikmatinya,” kata beliau selepas merasmikan Konvensyen Pengarah-Pengarah Mara semalam.

Tiada honorarium RM2,000

Kerajaan bersetuju memenuhi lima daripada enam permintaan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) yang dikemukakan bagi meningkatkan kebajikan 1.2 juta kakitangan awam di negara ini.

Lima tuntutan yang diterima itu adalah berkaitan kadar pencen, lanjutan umur persaraan, pemansuhan peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK), pemberian semula elaun kritikal dan penambahan elaun perumahan.

Bagaimanapun tuntutan CUEPACS supaya kakitangan awam diberikan honorarium RM2,000 tidak dapat diterima kerajaan. Butiran lanjut mengenai lima tuntutan yang dipenuhi itu akan diumumkan oleh Perdana Menteri sedikit masa lagi.

CUEPACS sebelum ini mengancam akan memboikot sambutan Hari Pekerja 1 Mei ini jika kerajaan enggan memenuhi enam tuntutan yang telah dikemukakan oleh kongres itu sejak tiga tahun lalu.

Enam tuntutan tersebut ialah pemberian honorarium RM2,000 kepada kakitangan awam, pemberian kadar pencen mengikut perkhidmatan, lanjutan umur persaraan daripada 56 tahun kepada 60 tahun, pemansuhan peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK), pemberian semula elaun kritikal dan penambahan elaun perumahan kepada RM230 berbanding RM180 hari ini.