Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Monday, April 14, 2008

Cartoon Corner
Hadiah

Mana janji-janji manifesto Barisan Alternatif?

Pakatan Rakyat adalah satu pakatan yang kononnya komited untuk meneruskan agenda besar membangunkan negara dan memakmurkan rakyat tanpa ada sempadan kaum, agama serta budaya dan selaras dengan hak asasi sejagat manusia.

Dalam pada itu Harakahdaily telah menyiarkan satu artikel bertarikh 12 April 2008 yang bertajuk "Pakatan Rakyat bertunjangkan muafakat pimpinan dan rakyat".

Lawak benar bunyinya... Betul ke ianya bertunjangkan muafakat pimpinan atau PKR dan PAS hanya jadi macam lembu kena cucuk hidung oleh DAP?

Pas pula sejak akhir-akhir ini bila saja menyertai Pakatan Rakyat ini seakan-akan lembu dogol jangan dibalun.

Malahan Pas tidak pula menyatakan bangkangannya terhadap projek babi bernilai RM100 juta yang sudah diwar-warkan oleh Tan Sri Khalid, selaku Menteri Besar Selangor yang baru.

Janji-janji manis terhadap rakyat seakan-akan dilupakan malahan babi pula yang dibela.

Mungkin juga Manifesto bersama Barisan Alternatif iaitu antara Pas dan PKR perlu diperingatkan kepada mereka?

Antaranya yang dijanjikan untuk Sosial dan Kebajikan Rakyat ialah:

--> Membuka tabung permulaan RM100 bagi setiap anak kelahiran Selangor

--> Memberi bantuan RM75 sebulan bagi setiap anak yang dihantar ke nurseri

--> Memberi bantuan RM50 sebulan seorang bagi pendidikan pra-sekolah

--> Memberi hadiah RM1,000 kepada setiap anak Selangor yang mendapat tawaran ke universiti

--> Memberi bantuan dan biasiswa pelajaran untuk anak Selangor

--> Memberi bantuan kepada anak-anak muda untuk mendirikan rumah tangga

--> Membuka pusat-pusat sukan mini dan rekreasi bagi belia

--> Mencarum takaful bernilai RM2,500 untuk warga emas, orang kurang upaya dan anak yatim

--> Memberi elaun ibu tunggal yang layak

--> Memberi elaun khas suri rumah yang memilih untuk menjaga sepenuh masa anak-anak kecil mereka

--> Membantu setiap rakyat Selangor untuk mendapatkan kediaman sendiri

--> Mewujudkan institusi menyelaraskan hal-ehwal agama selain Islam

Jadi di mana pula tindakan ke arah merealisasikan janji-janji manis yang sudah diberikan kepada rakyat?

Dan kenapa pula babi yang tidak termasuk dalam manifesto diberikan keutamaan?

Babi: Bumiputera, wakil Umno terlibat

Syarikat bumiputera turut terlibat dalam projek penternakan babi di Selangor yang menimbulkan kontroversi minggu lepas dan seorang wakil rakyat Umno "di belakangnya", kata seorang pemimpin MCA.

Syarikat tersebut, yang terlibat dalam satu usahasama, bercadang menggunakan wang - dilaporkan menelan belanja RM100 juta - daripada sumber-sumber dana program alam sekitar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Mendedahkan perkara itu kepada satu sidang media hujung minggu lalu, ketua biro pertanian tradisi MCA Datuk Dr Lee Chong Meng berkata syarikat bumiputera itu berhasrat membawa masuk teknologi Jerman untuk projek tersebut.

Akhbar The Sun hari ini yang mengutip laporan The Oriental Daily kelmarin menyebut, wakil rakyat BN-Umno bagi kerusi Tajung Sepat, Datuk Karim Mansor, bersama seorang ketua kampung di situ turut bersama dalam rombongan ke luar negara untuk melihat teknologi tersebut.

Karim antara pemimpin Umno yang lantang membantah isu itu di akhbar-akhbar berbahasa Melayu minggu lepas.

Sementara ketua kampung di Ladang Tumbuk - tempat projek itu diadakan - turut menyertai bantahan projek tersebut di depan bangunan kerajaan negeri Selangor di Shah Alam.

Dr Lee berkata beliau mengetahui segala-galanya tentang projek tersebut "seperti tapak tangannya sendiri" kerana terlibat sendiri dengan semua mesyuarat berhubung perkara tersebut.

Menteri besar Selangor waktu itu Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo sendiri telah meluluskan projek pemindahan 132 ladang babi ke projek tersebut, kata Dr Lee, melalui dua ahli exco kerajaan negeri Datuk Ch'ng Toh Eng dan Datuk Tang See Hang.

Dr Lee menambah, sebelum pembubaran parlimen, kerajaan Selangor bawah pentadbiran BN meluluskan projek tersebut dan Karim sendiri menyokong projek tersebut.

Ketua biro MCA itu kesal kerana Karim dan ketua kampung itu sanggup membantah projek tersebut semata-mata kerana kepentingan politik. Walaubagaimanapun Karim dihubungi pemberita, menafikan beliau membantah projek tersebut.

Soal Politik Biar Orang Politik Selesaikan, Kata Abdullah

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi Isnin berkata kakitangan awam hendaklah menyerahkan soal politik kepada orang politik selesaikan.

Perdana Menteri meminta kakitangan awam menjalankan tugas sebagai penjawat awam dengan melaksanakan arahan kerajaan dari semasa ke semasa.

"Soal politik biar orang politik selesaikan. Peranan pegawai kerajaan laksana arahan dari semasa ke semasa," katanya Abdullah yang juga Menteri Kewangan pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan.

Bagaimanapun, beliau tidak menghuraikan dengan lebih lanjut maksud "soal politik biar orang politik selesaikan."

Abdullah mengulangi kenyataannya tidak mahu kementerian itu menjadi penyebab sesuatu projek atau dasar kerajaan tidak dapat dilaksanakan akibat kelewatan memproses permintaan agensi pelaksana.

"Kita tak nak permintaan agensi pelaksana tersangkut di Perbendaharaan," katanya.

Abdullah berkata segala permohonan yang dikemukakan kepada kementerian itu perlu diberi keutamaan dan perhatian segera supaya agensi pelaksana dapat melaksanakan kerja mereka dengan segera.

Ini termasuk soal keputusan tender yang dikemukakan oleh kementerian dan agensi lain, katanya.

Hal ini penting lebih-lebih lagi tempoh untuk melaksanakan Rancangan Malaysia Kesembilan dan kajian pertengahan penggal rancangan itu sedang dibuat, kata Abdullah.

"Kukuhkan tekad supaya apa yang dirancang dapat dilaksanakan," katanya.

Turut hadir Menteri Kewangan Kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Anwar tak setuju Khairy diserang

DATO' Seri Anwar Ibrahim berkata, Khairy Jamaluddin tidak patut dipersalahkan sepenuhnya terhadap `kekalahan' BN dalam pilihan raya umum 2008.

Kata pemimpin de facto PKR yang pernah menjadi Timbalan Presiden UMNO, beliau tidak bersetuju dengan serangan peribadi terhadap Khairy yang banyak dilemparkan terhadapnya.

"Saya mengikuti politik UMNO secara dekat tapi saya tidak bersetuju dengan serangan peribadi terhadapnya. Apa yang saya cakap ini tentulah tidak disukai.

"Ia boleh dianggap mempertahankannya walaupun saya bukan mempertahankannya," kata Anwar dalam interviu dengan akhbar The Star yang disiarkan hari ini.

Anwar ditanya: Sesetengah orang menyifatkan Khairy Jamaluddin seperti anda semasa muda - bercita-cita tinggi, pandai bercakap, punyai daya tarikan, ada aura dan cepat naik sehingga memijak kaki ramai orang. Setujukah anda bahawa Khairy menyerupai anda semasa muda?

Jawab Anwar : " Sebenarnya saya tidaklah sangat kenal dia. Saya cuma bertemu dengan dia sekali selepas saya dibebaskan dan saya minta dia membantu saya mendapatkan pasport (untuk rawatan di luar negara) kerana saya sedang sakit.

"Semasa dia menemui saya, saya sakit sangat. Bagi saya dia nampaknya pintar dan sangat berbudi bahasa semasa pertemuan itu.

"Tapi saya fikir beberapa kenyataannya kemudian nampak angkuh sedangkan saya tegas dan kuat pendirian. Ada beza antara tegas dan angkuh dan dia adalah seorang ahli perniagaan yang berjaya." - malaysiaaktif

Mesej jelas UMNO Johor…peralihan kuasa perlu segera

Bila…? Inilah yang menjadi tandatanya mengenai pelan peralihan kuasa yang dibentangkan oleh Badan Perhubungan UMNO Johor kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Johor Bharu petang Jumaat lalu.

Soal ‘ bila’ ini juga disebut oleh Naib Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam interbiu beliau yang berterus terang habis dengan akhbar Mingguan Malaysia.

Cakap-cakap mengenainya kedengaran makin rancak menjelang pertemuan tertutup Perdana Menteri dengan 140 orang ahli parlimen dan 307 Ahli Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional di Pusat Dagangan Dunia Putra semalam.
Apakah Abdullah bakal membuat sesuatu pengumuman penting pada pertemuan berkenaan yang diadakan khusus untuk mendengar pandangan dari wakil-wakil rakyat BN mengenai tsunami politik yang melandanya semasa pilihanraya umum 8 Mac?

Soal adanya desakan agar Perdana Menteri melepaskan jawatan bukan satu rahsia lagi.Hal ini diakui sendiri oleh Abdullah.

Namun katanya beliau hanya akan berundur apabila masalah-masalah yang timbul dalam parti dan amanahnya dalam kerajaan diselesaikan serta keyakinan rakyat dikembalikan.

Berbeza dengan suara-suara berasingan yang kedengaran dari sesetengah pimpinan di negeri-negeri lain kebelakangan ini UMNO Johor tampil dengan pelan peralihan kuasa yang dipersetujuinya sebulat suara.

Ia lebih menarik perhatian serius mengenangkan Johor sekian lama dikenali sebagai negeri bentang utama UMNO.

Kebimbangan UMNO Johor pada tsunami politik 8 Mac memang dapat difahami apabila melihat enam kerusi Dewan Undangan Negeri serentak dan satu kerusi Parlimen di negeri itu bocor kepada pembangkang.

Menteri Besar Johor Datuk Ghani Othman dikira masih cakap berlapik semasa sidang akhbar selepas pertemuan tertutup Badan Perhubungan UMNO Johor dengan Perdana Menteri itu.

Katanya UMNO Johor tetap menyokong kepimpinan Abdullah walaupun sewaktu pemilihan UMNO akan datang ini dan menghadapi pilihanraya umum akan datang.

Namun tiga orang pemimpin UMNO Bahagian di Johor telah tampil menyatakan maksud tersirat disebalik pelan peralihan kuasa dari Abdullah kepada timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak yang mereka cadangkan itu.

Bagi mereka jalan selamat bagi BN untuk menghadapi pilihanraya umum akan datang peralihan kuasa itu perlu dilaksanakan segera.

Menurut satu laporan Bernama Ahad Ketua Penerangan UMNO Johor Dr Mohd Puad Zarkashi berkata pelan peralihan kuasa itu perlu disegerakan pelaksanaannya secara tersusun dan teratur untuk memastikan rakyat tidak tertanya-tanya mengenainya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, berkata pelan peralihan kuasa daripada seorang pemimpin kepada pemimpin yang lain telah dilaksanakan oleh UMNO sebelum ini, seperti peralihan kuasa daripada Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj kepada Allahyarham Tun Abdul Razak dan ketika zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Abdullah.

"UMNO Johor pada perjumpaan dengan Abdullah Jumaat lepas meminta Perdana Menteri menyediakan pelan peralihan kuasa.

"Ia merupakan sesuatu yang perlu dilaksanakan. Ada juga ketua bahagian yang mahukan pelan itu dilaksanakan dengan segera," katanya.

Ketua UMNO Bahagian Gelang Patah Datuk Abdul Aziz Sapian pula berkata pelan peralihan kuasa yang teratur dan licin daripada Abdullah kepada Najib sebagaimana yang dicadangkan oleh Badan Perhubungan UMNO Johor, mampu memulihkan sokongan orang Melayu serta rakyat kepada UMNO dan kerajaan.

Beliau berkata pelaksanaan pelan peralihan kuasa itu merupakan tunjang kepada sokongan penuh Badan Perhubungan UMNO Johor kepada kepimpinan Abdullah yang diikrarkan Jumaat lepas.

"Dalam lain perkataan, sokongan kepada Perdana Menteri itu mempunyai isinya tersendiri dan berkait rapat dengan penerimaan Perdana Menteri terhadap cadangan pelan peralihan kuasa oleh Badan Perhubungan UMNO Johor," katanya.

Beliau berkata ramai kalangan pemerhati politik dan anggota UMNO sendiri berkemungkinan terkeliru dengan pernyataan sokongan UMNO Johor terhadap Perdana Menteri, yang juga adalah Presiden UMNO.

Abdul Aziz berkata perjumpaan Perdana Menteri dengan UMNO Johor di Johor Bharu pada Jumaat lepas bagaimanapun tidak menjelaskan secara spesifik tempoh pelaksanaan pelan peralihan kuasa tersebut.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Sri Gading Aziz Kaprawi pula berkata pelan peralihan kuasa yang teratur dan tersusun begitu penting terutamanya dalam konteks menyediakan jentera parti untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13.

"Persediaan jentera parti UMNO dan Barisan Nasional perlu dilakukan dengan lebih awal dan tidak boleh pada waktu yang suntuk. Oleh kerana itulah, pelan peralihan kuasa yang teratur dan tersusun penting dalam persediaan kita untuk menghadapi pilihan raya umum yang akan datang," katanya.

Beliau berkata pilihan raya umum ke-13 dijangka lebih sengit berbanding pilihan raya umum ke-12 baru-baru ini dan ini memerlukan UMNO serta BN membuat persediaan yang lebih awal, bermula dari sekarang.

Pelan peralihan kuasa yang awal, katanya akan membantu UMNO dan BN menyediakan pelan persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-13 yang lebih teratur dan lengkap bagi menghadapi cabaran parti-parti lawan.

Aziz juga berkata pelan peralihan kuasa tersebut juga mampu menarik semula sokongan orang Melayu dan rakyat kepada UMNO serta BN.

Bagaimana Anwar akan jadi PM?

Laman web pembangkang kelihatan begitu teruja dengan ramalan Dato' Seri Anwar Ibrahim bakal menjadi Perdana Menteri Malaysia yang diwar-warkan lebih kurang 6 bulan dari tarikh 8 Mac 2008.

Adakah laporan akhbar The Jerusalem Post yang mana artikel bertajuk "Anwar Ibrahim : Malaysia's Future Prime Minister" yang telah disiarkan pada 20 Mac 2008 yang menjadi rujukan mereka?

Ini adalah satu spekulasi yang tidak boleh diterima sama sekali kerana jika Anwar Ibrahim bertanding dalam pilihanraya kecik sekalipun pada Mei ini, adakah satu kepastian 100% bahawa dia akan menang?

Sudah banyak kali terbukti pembangkang tidak akan menang di mana-mana pilihanraya kecik yang telah dibuktikan berkali-kali sebelum ini.

Barisan Nasional tidak akan sekali-kali membiarkan Anwar Ibrahim menang di kawasan yang akan ditandinginya kelak malah akan bertungkus-lumus menghantar jentera untuk memastikan kemenangan di pilihanraya kecil itu akan berpihak pada BN.

Dakyah Pas bahawa keputusan PRU 2008 memberi isyarat politik segmentasi dan perkauman ditolak oleh rakyat juga satu dakyah tidak berasaskan kepada realiti.

Bagaimana pula dengan isu perkauman yang dimainkan oleh DAP di mana mereka mengatakan undi MCA sama seperti undi UMNO?

Apakah itu bukan satu kenyataan yang bersifat perkauman untuk menimbulkan kebencian kepada MCA di kalangan orang Cina di Malaysia?

Satu lagi persoalan ialah walaupun ditakdirkan Anwar memenangi pilihanraya kecil , bagaimana cara beliau akan menjadi Perdana Menteri kerana pembangkang masih belum cukup kerusi untuk menerajui kerajaan Malaysia?

Adakah dengan cara membeli ahli Parlimen Barisan Nasional seperti yang telah diwar-warkan oleh banyak pihak?

Jika itu benar, maknanya ianya bukan atas dasar demokrasi tetapi kerana politik wang yang mana beliau pernah dipenjarakan di atas sebab yang sama sebelum ini.

Jangan buang masa - Rafidah

Pergerakan Wanita UMNO diingatkan tidak membuang masa dengan menjadikan pertandingan dan pemilihan sama ada di peringkat cawangan, bahagian dan pusat sebagai agenda utama sehingga memberi masalah tambahan kepada parti.

Ketuanya, Datuk Seri Rafidah Aziz berkata, ahli-ahli pergerakan itu tidak seharusnya menambah masalah terutama di negeri-negeri yang tewas pada pilihan raya umum baru-baru ini.

''Pemilihan parti pada Disember ini. Takkan tahun 2008 ini fikiran kita hanya tumpu pada kerja memilih peringkat cawangan, bahagian dan pusat, sembilan bulan kita rugi masa.

''Umpamanya di Selangor, kita dah kalah dan janganlah pula kekalahan ini ditimpa pula dengan perbalahan sesama sendiri akibat daripada masalah pertandingan dan pemilihan parti.

''Ini bukanlah masa kita nak bercerai-berai, nak buat banyak-banyak kumpulan kerana nak menyokong sana nak menyokong sini," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan tertutup sempena siri lawatan kerjanya ke atas Wanita UMNO Selangor di sini.

Antara yang hadir dalam pertemuan tiga jam yang berakhir pukul 6 petang itu ialah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Senator Tan Sri Muhammad Muhd. Taib, Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Ketua Wanita UMNO Selangor, Datin Paduka Seripah Noli Syed Hussin.

Rafidah menggesa ahli-ahli supaya menjalankan pemilihan parti secara tata tertib dan dengan cara yang sebaik mungkin.

'' Janganlah masa pemilihan nanti jadi haru-biru kerana itu akan menokok tambah kepada masalah parti," ujar beliau.

Menjelaskan mengenai siri lawatan kerjanya, beliau berkata, lawatan bersama Exco-exco Wanita UMNO ini bertujuan untuk menemui pemimpin-pemimpin Wanita negeri dan dimulakan di negeri Barisan Nasional (BN) tewas.

Jelasnya, antara yang dibincangkan sepanjang pertemuan ini adalah sebab-sebab kekalahan BN dan perkara-perkara yang dilakukan oleh Wanita UMNO untuk membantu menguatkan kembali jentera parti.

''Majlis Tertinggi sedang melakukan 'post mortem' untuk mencari sebab-sebab kekalahan BN dan sementara menunggu keputusan itu, Wanita tidak boleh diam diri.

''Kita mesti teruskan kerja-kerja yang kita lakukan sebelum ini terutama di peringkat akar umbi untuk merapati ahli-ahli kita dan juga masyarakat seterusnya bersiap sedia hadapi pilihan raya akan datang,'' katanya.

Pertahan perpaduan elak ketuanan Melayu terhakis, titah Tengku Mahkota Kelantan



Perpaduan Melayu wajar diberi keutamaan tinggi, lebih-lebih lagi dengan keputusan pilihan raya umum yang lepas menunjukkan masyarakat Melayu berpecah-belah dan sedang berhadapan dengan kaum lain yang lebih dominan daripada segi politik serta ekonomi, titah Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Faris Petra Sabtu.

Baginda bertitah tindak-tanduk dan kerenah mereka yang menang dan kalah memberi petunjuk bahawa kedaulatan dan ketuanan Melayu amat tercabar, mungkin juga akan terhakis atau hilang terus.

"Rakyat Melayu semakin keliru. Di manakah benteng kekuatan Melayu untuk mempertahankan hak-hak Melayu dan ketuanan Melayu," titah baginda ketika merasmikan Perhimpunan Perpaduan Melayu Sempena Maulidur Rasul 1429 Hijrah anjuran Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM) di Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur.

Baginda menegaskan perkara utama yang harus diketahui dan difahami semua orang ialah peruntukan Perlembagaan bahawa orang Melayu adalah penduduk asal Negeri-Negeri Melayu yang dijamin hak istimewa sebagai rakyat Malaysia.

"Perkara 153(1), Perkara 160(2), Perkara 3(1), Perkara 152, Perkara 32 dan Perkara 38(1), Jadual Kelima, berkaitan hak dan ketuanan Melayu mesti dipertahankan iaitu agama Islam adalah agama rasmi Malaysia, Bahasa Melayu diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan negara Malaysia dan Raja-Raja Melayu adalah Raja Berpelembagaan di Negeri-Negeri yang menjadi sebahagian daripada Malaysia.

"Institusi Raja-Raja Melayulah yang menjadi payungnya," titah baginda.

Bernama melaporkan Baginda bertitah perkara-perkara ini bukan sahaja perlu dipertahankan tetapi juga dijadikan tiang seri atau tonggak kepada kelangsungan ketuanan Melayu.

"Adalah menjadi tanggungjawab rakyat Melayu memastikan perkara-perkara yang beta sebut tadi dipelihara dan dipertahankan sepanjang masa. Jangan ada mana-mana pihak yang menggugatnya.

"Orang Melayu perlulah membulatkan tekad bersatu, jangan berpecah-belah, elakkan berpolemik yang boleh menjarakkan persefahaman sesama sendiri," titah baginda.

Tengku Muhammad Faris bertitah isu-isu ideologi, tafsiran pendapat yang pelbagai tidak menyumbang kepada perpaduan Melayu.

Titah baginda polemik negara Islam, negara sekular serta negara berkebajikan, menjadikan rakyat menjadi semakin kabur pemikiran mereka.

Akibat daripada kekalutan ini, titah baginda, timbul satu senario di mana orang Melayu semakin terasing, menjarak dan menjauh.

"Beta amat sedih kerana dalam keadaan sekarang, tidak ada yang baik dikaitkan dengan Melayu. Kita membiarkan diri kita didedahkan, diaibkan dan dimalukan malah nampaknya menjadi satu kebanggaan sekiranya kita dapat menunjukkan kelemahan bangsa sendiri.

"Siapa sahaja yang berjaya, mesti dicari cacat celanya, tidak cukup dengan internet, ditambah dengan khidmat pesanan ringkas. Teori propaganda menyebut sepuluh kebohongan akan menjadi kebenaran, teori komunikasi moden pula menyebut bahawa setiap e-mail dianggap benar, setiap SMS dianggap sahih," titah baginda.

Tengku Mahkota juga kesal orang Melayu seolah-olah dianggap menjadi punca segala penyakit masyarakat seperti korupsi, dadah dan sebagainya.

"Orang lain diam menyembunyikan keaiban bangsa mereka, kita yang beragama Islam, menjadikan kerja mengaibkan bangsa sendiri sebagai hobi pertama," titah baginda.

Menurut Tengku Mahkota, baginda membangkitkan perkara itu semata-mata untuk menunjukkan bahawa perpaduan umat Melayu amat rapuh dan semakin hari semakin parah.

"Beta berharap perhimpunan pada pagi ini memikirkan bagaimana hendak menjadikan Melayu sebagai bangsa berjiwa besar. Kita mesti ada jiwa penakluk. Tetapi bolehkah kita menjadi bangsa yang berjiwa penakluk dengan sikap dan pendirian yang kita pegang hari ini," titah baginda.

Baginda bertitah berjiwa penakluk bukan bermaksud menakluk bangsa atau kaum lain tetapi menakluk ketinggian ilmu, menguasai ekonomi dan teknologi, keunggulan tamadun, keluhuran iman dan takwa yang mampu menakluki serta menewaskan nafsu buas, rasa iri hati dan hasad dengki yang membuatkan kita lupa diri apabila berkuasa.

"Beta ingin menyatakan bahawa perpaduan, kesepakatan, patriotisme, sayangkan bangsa, semuanya disatukan dalam satu ikatan perpaduan untuk mengangkasakan martabat bangsa.

"Beta berharap mesej yang beta sampaikan ini akan mengusik conscience atau fikrah kita semua untuk sama-sama menginsafi bahawa imej dan maruah yang tercalar adalah menjadi tanggungjawab semua, tidak kira kedudukan, ideologi politik, bangsawan atau rakyat biasa sama-sama bertanggungjawab memperbaikinya," titah baginda.

Tengku Mahkota bertitah mungkin ramai yang tidak senang dengan kenyataan baginda tetapi itu adalah hakikat kerana demi kuasa, ada pemimpin Melayu yang sanggup mengetepikan kepentingan bangsa sendiri sedangkan pemimpin kaum lain sanggup bersatu biarpun berbeza fahaman demi mempertahankan hak mereka.

"Malangnya, beta dapati rakyat Melayu masih mengamalkan sikap marahkan nyamuk, kelambu dibakar atau marahkan pemimpin, masa depan anak cucu digadaikan.

"Yang menyedihkan ada pula paling taksub hendakkan kuasa hinggakan membujur lalu, melintang patah, asal dapat kuasa yang menjadi matlamat terakhir, sehingga sanggup menang sorak, kampung tergadai," titah baginda.

Baginda juga bertitah, selagi sikap ini tidak dikikis, selagi itulah usaha untuk menyatukan Melayu hanya menjadi impian semata-mata.

"Beta berpendapat perhimpunan hari ini harus memikirkan dengan semasak-masak sampai bila orang kita, Melayu harus bertelagah dan tidak mahu bersatu serta berfikir secara matang.

"Sebenarnya pada pandangan beta, orang Melayu kini tidak mampu lagi ditiup dengan slogan dan retorik. Peserta-peserta perhimpunan hendaklah mempunyai niat untuk menyatupadukan Melayu secara jujur dan ikhlas tanpa mempunyai apa-apa agenda tersembunyi termasuk untuk menaikkan atau menjatuhkan mana-mana pemimpin," titah baginda.

Sikap Angkuh Pemimpin Umno Antara Penyebab BN Hilang Undi - Mat Taib

Perasaan selesa dan sedikit angkuh yang ditunjukkan sesetengah pemimpin Umno selepas Barisan Nasional (BN) menang besar pada Pilihan Raya Umum 2004, memberikan mesej yang salah kepada kaum-kaum lain sekaligus menjadi antara penyebab undi BN jatuh ke tangan pembangkang dalam pilihan raya umum baru-baru ini.

Ketua Penerangan Umno Senator Tan Sri Muhammad Muhd Taib berkata sedar atau tidak sesetengah keputusan yang dibuat oleh pemimpin Umno menyakitkan hati kaum lain terutamanya kaum Cina dan India di Semenanjung Malaysia.

"Sesetengah pemimpin kita (Umno) bila bercakap -- sini Melayu, sana Melayu, tender Melayu dan hunus keris Melayu. Dekat luar sana bila mereka (kaum lain) tengok pemimpin kita bercakap (jadi) takut mereka tengok kita. Jadi nampak macam kita ini angkuh," katanya pada Majlis Penerangan dan Dialog Umno Petaling Jaya Selatan.

Katanya apabila sesuatu isu sensitif yang dipolitikkan menyebabkan perasaan tidak selesa dalam hubungan antara kaum, kaum-kaum lain mudah berubah kepada pembangkang yang dilihat lebih liberal dalam konsep hubungan antara kaum mereka, walaupun agenda mereka kelihatan tidak jelas.

Yang memburukkan lagi keadaan ialah apabila orang Melayu sendiri gagal memberikan sokongan penuh kepada kepimpinan BN terutamanya di kawasan pengundi majoriti Melayu, kata Muhammad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Sehubungan itu, katanya pemimpin-pemimpin Umno perlu menilai semula cara berpolitik mereka dan cuba untuk lebih peka kepada isu-isu yang boleh menyebabkan ketegangan antara kaum.

Tambah beliau lagi, walaupun Malaysia boleh dianggap sebagai negara majoriti Melayu pemimpin Umno tidak semestinya berhak untuk bercakap dan bertindak sesuka hati tanpa memikirkan kepentingan kaum lain.

Perhimpunan Anwar tiada permit

Ketua polis Kuala Lumpur Datuk Muhammad Sabtu Osman berkata PKR tidak memohon permit untuk perhimpunan 'Black 14' di Kelab Sultan Sulaiman malam ini.

Parti itu, tambahnya, hanya menghantar surat pemberitahuan kepada polis mengenai majlis makan malam pemimpin PKR bersama rakyat.

anwar ibrahim vk lingam hearing pc 290108 talkingBeliau berkata polis menerima surat mengenai majlis makan malam itu bertarikh 8 April lalu yang ditandatangani Yahya Shahri, iaitu pegawai khas kepada menteri besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim.

"Surat itu menyatakan hasrat PKR untuk mengadakan jamuan makan malam bersama wakil rakyat di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru pada pukul 8 malam ini dan akan dihadiri oleh penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya kepada pemberita hari ini, lapor Bernama.

Muhammad Sabtu berkata walaupun majlis makan malam itu di buat di tempat persendirian, polis tetap akan mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengadakan rondaan dan kawalan lalu lintas di sekitar kawasan itu.

"Sekiranya mereka hanya menggunakan dewan itu dan tidak mengganggu kawasan sekeliling serta tidak menarik perhatian umum (dengan menggunakan pembesar suara), kami tidak akan menghalang tapi jika sebaliknya kami akan ambil tindakan sewajarnya," katanya.

Perhimpunan sempena 'Black 14' dan pidato perdana Anwar itu dijangka disertai lebih 10,000 penyokongnya.

bersih rally 271207 02'Black 14, atau pernah disebut 'Gelita 14', disambut setiap tahun sebelum ini bersempena tarikh Anwar dijatuhkan hukuman bagi kes pertama pada 1999.

Sambutan ini pada tahun-tahun awal 2000-an biasanya bersifat demonstrasi besar-besaran di Kuala Lumpur anjuran aktivis Gerakan Reformasi dan penyokong PKR.

Perhimpunan esok diberikan tema "Menghitung Masa dari Black 14 ke Arah Kemenangan Rakyat" dianjurkan dalam situasi berbeza, khususnya selepas kejayaan besar PKR dan Pakatan Rakyat pada pilihanraya umum 8 Mac.

Ia disambut bagi menandakan berakhirnya larangan aktif berpolitik selama lima tahun yang dikenakan terhadap Anwar - dan kemungkinan Pakatan Rakyat menubuhkan kerajaan Persekutuan jika mendapat 30 wakil rakyat BN yang berminat melompat parti.

Larangan itu dikenakan selepas beliau disabitkan hukuman terhadap tuduhan salah guna kuasa sewaktu menjadi timbalan perdana menteri pada tanggal itu tahun 1999.

Nazri tak minat…Noraini belum fikir

Ada yang cuba joloknya bertanding jawatan Naib Presiden UMNO atau Ketua Pemuda UMMO namun Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz masih tetap dengan pendiriannya seperti pemilihan tahun 2004.

“Saya sudah bagi tahu awal-awal tidak mahu , tak payahlah calon... saya tak minat, sebab itu empat tahun dulu saya tak bertanding,"katanya kepada para wartawan lepas satu majlis dekat Kuala Kangsar Sabtu.

Nazri yang kini menduduki jawatan ahli Majlis Tertinggi UMNO atas lantikan berkata beliau ingin menumpukan perhatian dalam memberi perkhidmatan terhadap para pengundi dan penduduk di kawasan Parlimen Padang Rengas yang memilihnya sejak empat penggal lepas.

Sementara itu di Johor Bharu ,Ketua Puteri UMNO Datuk Noraini Ahmad yang perlu melepaskan jawatan itu kerana sudah melangkaui had usia 40 tahun pada pemilihan parti itu Disember ini berkata beliau belum memikirkan soal nak bertanding apa-apa jawatan kerana mahu menumpukan usaha memantapkan lagi pergerakan itu.


"Adalah terlalu awal kerana kita baru habis pilihan raya umum dan sekarang ini kita sedang buat beberapa program untuk mantapkan Puteri. Jawatan adalah perkara kedua," katanya.

Menyentuh tentang jawatan Ketua Puteri ,Noraini yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata sekiranya ada perebutan bagi jawatan ketua pergerakan itu, beliau berharap ia dapat berjalan dengan semangat perpaduan dan demokrasi.

"Pemilihan Ketua Puteri cukup dengan dua pencalonan dan mana-mana ahli yang mendapat pencalonan itu, boleh bertanding jawatan berkenaan. Tetapi harapan saya sendiri adalah untuk melihat perpaduan di dalam parti.

"Bagaimanapun, kita tidak boleh halang kalau ada yang hendak bertanding kerana tidak elok untuk halang mereka," katanya kepada para wartawan selepas majlis perasmian Karnival Pekerjaan Johor 2008.