Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Saturday, April 12, 2008

Jumlah Khinzir terbesar di Selangor dalam masa 4 tahun akan datang

Oleh : Jentolak Gombak

Baru sebulan memerintah Selangor, Pakatan Rakyat yang diterajui PKR-DAP-PAS sudah meluluskan projek ternak babi bernilai RM100 juta di Sepang. Memang hebat kerajaan baru Selangor yang diketuai oleh Tan Sri Khalid Ibrahim. Kalau kerajaan Pulau Pinang yang diketuai oleh Lim Guang Eng yang buat projek itu, orang Melayu tidaklah berapa marah. Tapi yang luluskan ialah kerajaan Selangor yang bermenteribesarkan orang Melayu.

Memanglah babi makhluk ciptaan Allah, yang dimakan orang bukan Islam. Ini bererti Tan Sri Khalid ternak babi untuk pengundi bukan Islam makan. Tetapi tak ada benda lain ke yang Tan Sri Khalid nak buat ? Apatah pula Pengerusi Jawatankuasa Pertanian pun orang Melayu.

Saya percaya ramai pengundi Melayu yang pangkah PKR dan PAS baru-baru ini menyesal kerana undi mereka disalahgunakan oleh Tan Sri Khalid untuk ternak babi. Justeru itu mereka akan kembali memangkah BN pada pilihan raya umum akan datang.

Dalam tempoh empat tahun akan datang, berapa ribu anak babi akan dihasilkan di Sepang? Selangor akhirnya akan dikenali sebagai Selangor Darul Khinzir dan saya percaya isu khinzir ini akan menjatuhkan kerajaan PKR pada pilihan raya umum akan datang. Terima kasih kepada Tan Sri Khalid kerana anda membuatkan orang Melayu akan kembali mengundi BN.

MCA: Izinkan mualaf keluar Islam

Sambil mengalu-alukan langkah baru mewajibkan seseorang mengisytiharkan penukaran agama kepada Islam, MCA turut mencadangkan seseorang mualaf dibenarkan meninggalkan Islam tanpa sebarang halangan.

"Pada waktu yang sama, mesti wujud proses dan tatacara yang telus bagi mereka yang bertukar agama kerana perkahwinan atau ketika masih kanak-kanak untuk meninggalkan Islam tanpa sekatan," kata presiden MCA Datuk Seri Ong Ka Ting.

Ong juga mencadangkan saudara baru diberikan satu tempoh masa tertentu untuk memaklumkan penukaran agama itu kepada keluarga bagi memastikan keadilan kepada ahli keluarganya dan menghindari perbalahan di kemudian hari.

islam and judiciary judgement"Pendirian MCA sentiasa konsisten dengan langkah sedemikian. Bagaimanapun, kami ingin penjelasan lanjut proses pelaksanaan syarat tersebut," kata Ong lagi.

Perdana menteri mengumumkan kerajaan bakal memperkenalkan peraturan mewajibkan seseorang bukan Islam yang ingin memeluk Islam memaklumkan kepada keluarga mereka mengenai status agamanya.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata langkah itu bertujuan mengelak masalah sewaktu saudara baru itu meninggal dunia.

"Kita tidak mahu jabatan agama kata si mati beragama Islam, manakala keluarganya pula berkata dia beragama lain akibat dia masuk Islam secara senyap-senyap tanpa memberitahu keluarga," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam.

Apabila wujud peraturan itu, tambah Abdullah, seseorang mualaf perlu mempunyai dokumen yang menunjukkan keluarganya telah dimaklumkan mengenai agama barunya.

Sejak beberapa tahun lalu kes perebutan mayat antara jabatan-jabatan agama dengan keluarga si mati yang bukan Islam semakin menjadi-jadi sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati dan keresahan masyarakat.

hindu indian women and islam and court and judiciary Majlis Perundingan Bagi Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoi Malaysia (MCCBCHST) turut mengalu-alukan pengumuman kerajaan itu.

"Langkah ini positif bagi memastikan perundangan dan sistem pentadbiran tidak akan disalahgunakan oleh seseorang yang cuba mengelak daripada tanggungjawab kepada keluarganya sendiri dengan masuk Islam," kata presiden majlis itu Datuk A Vaithilingam semalam.

"Bagaimanapun mesti ada dokumen hitam putih bagi membuktikan ahli keluarga terdekat, khususnya ibu bapa dan pasangan masing-masing telah dimaklumkan."

Majlis itu juga menawarkan khidmat guamannya kepada kerajaan untuk menolong menyelesaikan sebarang kes berbangkit, tambahnya.

Rahim tawar pimpin Pemuda

Bekas ketua pemuda Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik bersedia memimpin semula pergerakan itu jika anggota-anggotanya bersedia menerima beliau.

Beliau yang menang jawatan itu pada 1993 tidak sempat memimpin pergerakan itu susulan dakwaan skandal dengan gadis bawah umur dan jawatan itu kemudian dipangku oleh Datuk Seri Nazri Aziz, kini menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Selain menganggotai Majlis Tertinggi (MT) Umno, bekas ketua menteri Melaka itu kini pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem).

"Seorang ketua Pemuda haruslah tidak mempunyai jawatan dalam kabinet untuk membolehkan mereka menegur pemimpin-pemimpin parti komponen BN," katanya.

Tiada Halangan Untuk Bersuara - Najib

Datuk Seri Najib Tun Razak mahu semua pihak memberi peluang dan ruang kepada Jawatankuasa Pengurusan Umno untuk merumuskan perkara yang sedang dibangkitkan berkaitan prestasi buruk Umno dan Barisan Nasional pada pilihan raya umum 8 Mac lepas.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden Umno berkata ketika ini jawatankuasa itu sedang mendengar para pemimpin Umno bahagian menyuarakan pandangan mereka dan pucuk pimpinan akan memikirkan cara terbaik dalam usaha memulihkan semula keyakinan terhadap parti.

"Tidak ada halangan (untuk) bercakap, bila kita kata jangan bercakap, nanti Umno tidak demokratik pula, tak boleh juga, nanti orang marah kita, jadi kita beri peluang mereka bercakap," katanya kepada pemberita.

Beliau diminta mengulas mengenai dakwaan bahawa laporan media alternatif (blog dan internet) ketika ini dikatakan lebih menyuarakan suara akar umbi berhubung faktor prestasi buruk Umno dan BN pada pilihan raya umum lepas.

Najib berkata: "Berilah ruang kepada pucuk pimpinan, khususnya Presiden parti, Perdana Menteri (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) untuk memikir apa cara terbaik memulihkan parti, memulihkan keyakinan, yang penting kita dapat feedback, secara terbuka, secara ikhlas, (dan) kita akan serahkan pada pucuk pimpinan," katanya.

Ditanya mengenai pendapat yang berbeza-beza mengenai sistem kuota untuk bertanding pada pemilihan Umno nanti, dan terbaru kenyataan Anggota Majlis Tertinggi Datuk Seri Dr Mohamed Khir Toyo yang turut tidak bersetuju sistem itu dikekalkan, Najib berkata: "Ada beberapa pendapat, macam-macam pendapat, tapi kita akan bincang di peringkat Majlis Tertinggi nanti apa yang terbaik, pada sama sekarang kita pakai peraturan sedia ada."

Mengulas kenyataan Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengenai Perdana Menteri akan berbincang dengannya (Najib) mengenai pelan peralihan kuasa kepadanya (Najib), Najib sekadar berkata: "Itu nantilah, hari-hari cakap benda tu... tak apalah (tak payah komenlah)," .

Terdahulu Najib melancarkan Majlis Pecah Tanah projek akualkutur teknologi "Fish Protech" di Kuala Pahang.

Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mustapa Mohamed.

Tiada Lagi Tender Secara Rundingan Terus, Kata Abdul Khalid

Kerajaan negeri akan menghapuskan pemberian tender yang dijalankan secara rundingan terus kepada kontraktor Bumiputera bagi mengelakkan tender terbabit dimonopoli oleh satu pihak tertentu sahaja.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata tindakan itu dibuat selepas mendapati sebanyak 98 peratus projek di bawah biayaan kerajaan negeri Selangor ketika pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini, diperoleh dan dilaksanakan oleh kumpulan tertentu.

"Saya menganalisa semua dan ada projek di negeri ini tertumpu kepada kumpulan tertentu. Walaupun nama syarikat berbeza tapi pemegang saham dalam syarikat itu tetap sama," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-22 Gabungan Ikhtisas dan Usahawan Bumiputera Anak Selangor (GIBS) hari ini.

Katanya senarai nama kontraktor yang telah diberikan projek kerajaan negeri itu akan dihebahkan tetapi memerlukan masa kerana perlu mendapat izin daripada pihak tertentu terlebih dahulu yang didakwa mempunyai kaitan dengan pemberian tender itu.

Beliau turut memberi jaminan syarikat kontraktor yang banyak mendapat kontrak kerajaan negeri menerusi kaedah rundingan terus itu tidak akan disenaraihitamkan kecuali jika kontraktor terbabit gagal melaksanakan projek dalam tempoh yang telah ditetapkan.

"Kita hanya akan senarai hitamkan mereka sekiranya tidak menunjukkan prestasi yang baik. Kita kena ada alasan yang rasional untuk bertindak demikian. Kita juga akan lihat dan kaji nilai projek yang telah diberikan kepada kontraktor terbabit," katanya.

Ketika berucap, Abdul Khalid berkata beliau tidak akan menggunakan 'pena sakti' yang dikatakan menjadi milik Menteri Besar untuk memberi kebenaran dan kelulusan kepada mana-mana kontraktor mendapatkan projek.

"Saya tidak ada lagi 'pena sakti' kerana saya sudah buang. Tidak boleh lagi (kontraktor datang) ke pejabat Menteri Besar untuk dapatkan 'pena sakti' ini," katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri tetap memberi bantuan kepada kontraktor Bumiputera untuk mendapatkan projek tetapi berdasarkan kepada kemampuan, keupayaan dan pengalaman yang ada pada syarikat kontraktor terbabit.

Katanya segala urusan pentadbiran kerajaan negeri akan diputuskan bersama oleh semua anggota Exco dan pegawai yang terlibat, bukannya bergantung kepada 'pena sakti' Menteri Besar.

"Saya mahu mereka bersama-sama saya menyediakan segala bentuk keputusan. Saya tidak mahu hanya Menteri Besar menjadi pembuat keputusan tapi mahu semua Exco dan pegawai kerajaan juga terlibat sebagai pembuat keputusan," katanya. - Bernama

Tahanan ISA alami masalah jantung

P Uthayakumar, pesakit kencing manis yang didakwa dinafikan hak mendapat rawatan di kem tahanan ISA, mengalami masalah jantung, kata abangnya dan pengerusi Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf) P Waythamoorthy.

uthayakumar new look taiping hospital 090408"Doktor yang membuat pemeriksaan terhadapnya di hospital Taiping mengesyaki dia mengalami kerosakan otot jantung dan sedang menderitai serangan jantung secara senyap-senyap akibat dinafikan rawatan kencing selama lebih sebulan,” katanya hari ini.

“Keluarga saya mengesahkan dia mengadu pandangannya yang makin kabur, pening-pening, rasa tidak bermaya dan tidak selesa di bahagian jantung."

Dalam kenyataan dari London, tempat beliau tinggal kini selepas siri tangkapan terhadap lima pemimpin Hindraf termasuk adiknya itu, Waythamoorthy berkata masalah kesihatan yang semakin buruk itu akibat keengganan pihak berkuasa kem tahanan Kamunting di Taiping memberi ubat kencing manis yang dimintanya.

Tunangnya S Indradevi telah menyerahkan ubat-ubatan kepada pusat tahanan dengan harapan ia akan diserahkan Uthayakumar.

"Tetapi tidak diserahkan (kepada pesakit)," kata Aliran Kesedaran Negara (Aliran) dalam kenyataan semalam.

"Tunangnya itu dilaporkan berkata Uthayakumar telah menulis enam pucuk surat kepada pengarah kem itu tetapi tidak pernah dijawab. Ubat-ubatan itu disyorkan oleh doktor untuk rawatan pada Januari."

bm lima tahanan hindrafUthayakumar, yang dimasukkan ke hospital daerah itu selama tiga hari, telah dibebaskan 10 April.

Waythamoorthy menggesa penyokong-penyokong Hindraf membuat laporan polis terhadap pengarah kem tahanan itu dan juga Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar atas dakwaan "secara cuai dan tergesa-gesa membawa keluar Uthayakumar (dari hospital) dan oleh itu merosakkan tahap kesihatannya."

MIC akhir bulan lalu - menyertai gesaan bertubi-tubi pembangkang dan badan bukan kerajaan - mendesak lima pemimpin Hindraf itu dibebaskan dengan alasan, antaranya, beberapa daripada mereka mengalami masalah kesihatan.

Presidennya Datuk Seri S Samy Vellu menyarankan dua daripada mereka dibebaskan lebih awal atas alasan R. Kenghadaran mengalami sakit teruk dan M. Manoharan menang sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor.

Bekas menteri itu juga berkata dua lagi ketua Hindraf wajar dibebaskan - V. Ganabatirau dan K. Vasantha Kumar - kerana "pembabitan mereka tidak begitu mendalam" dalam demonstrasi besar di Kuala Lumpur 25 Nov lepas.

Kelima-lima pemimpin Hindraf itu kini merengkuk di kem tahanan Kamunting sejak 13 Disember lalu.

Pada 3 April, pertemuan Samy Vellu dengan menteri berkenaan Datuk Seri Syed Hamid Albar gagal membuahkan hasil. - Malaysiakini

EGM: 26 AJK Muar ancam letak jawatan

Seramai 26 ahli jawatankuasa (AJK) Umno bahagian Muar akan meletak jawatan beramai-ramai jika kepemimpinan bahagian itu gagal mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) untuk membincangkan krisis yang melanda Umno sekarang ekoran kekalahan teruk parti itu dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu.

Salah seorang anggota jawatankuasa berkenaan, Hassan Sulaiman Ninam Shah berkata, majoriti AJK bahagian telah mendesak supaya EGM diadakan dan surat mengenainya telah dihantar kepada setiausaha Umno bahagian pada 1 April.

Menurutnya, Umno bahagian mempunyai masa 14 hari untuk memanggil EGM tersebut tetapi sehingga hari ini, tiada surat dikeluarkan untuk mengadakanya.

umno assemblyEkoran itu, kata beliau, pihaknya akan menunggu sehingga berakhir tempoh 14 hari tersebut (Isnin), sebelum membawa perkara itu kepada Majlis Tertinggi (MT) Umno.

"Sekiranya MT juga gagal mengarahkan EGM diadakan, kami 26 AJK Umno bahagian Muar bersetuju akan meletakkan jawatan secara beramai-ramai," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Hassan yang juga anak kepada bekas pengerusi tetap Umno, Tan Sri Sulaiman Ninam Shah berkata, Perkara 14.6 perlembagaan parti menyebut, sekiranya lebih dua pertiga AJK bahagian menyokong EGM diadakan, maka setiausaha bahagian mesti mengeluarkan notis untuk mengadakannya.

"Tetapi hingga sekarang tiada notis yang dikeluarkan. Kita akan tunggu hingga tamat tempoh 14 hari. Apabila setiausaha bahagian tidak hantar notis, MT kena ambil alih.

"Kita nak tengok sama ada MT berani atau tidak mengarahkan EGM diadakan. Jika gagal berbuat demikian, kami akan meletak jawatan secara beramai-ramai," tambahnya.

Hassan juga mendakwa bahawa ketua bahagian berkenaan telah menghantar mesej SMS kepada kalangan 26 ahli AJK meminta mereka menarik balik desakan untuk mengadakan EGM tersebut.

Dalam pilihanraya umum lalu, Barisan Nasional (BN) menang 140 kerusi parlimen tetapi gagal mempertahankan penguasaan dua pertiga di Dewan Rakyat.

BN juga kehilangan empat negeri - Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor - kepada barisan pembangkang yang terdiri daripada PKR, PAS dan DAP.

Manakala PAS berjaya mengekalkan Kelantan dengan tambahan kerusi. - Malaysiakini

Gerakan cabar PM 'khabar angin'

Datuk Seri Mohd Najib Razak meminta orang ramai supaya tidak melayan "khabar angin" kononnya terdapat gerakan dalam kalangan Umno Kedah dan Pulau Pinang yang mendesak supaya Abdullah berundur.

Menurut laman web Utusan Malaysia hari ini, Najib berkata, laporan itu "tidak benar" kerana segala perasaan tidak puas hati di kalangan ahli Umno akan ditangani secara dalaman.

najib abdullah umno 100408Malaysiakini melaporkan tekanan terhadap perdana menteri semakin meningkat - dengan pemimpin-pemimpin Umno Kedah pula mengkritik kepemimpinan beliau selepas Johor.

Dalam satu pertemuan tertutup 15 bahagian dengan jawatankuasa pengurusan parti yang diketuai Najib, mereka menyalahkan Abdullah atas ketewasan teruk parti itu, termasuk kehilangan Kedah kepada Pakatan Rakyat.

Difahamkan, ada beberapa pemimpin mendorong Najib mengambil langkah mencabar Abdullah dalam pemilihan Umno pada 16-20 Disember.

Menurut sumber-sumber Umno negeri, mesyuarat antara dua hingga tiga jam di sebuah kelab di Sungai Petani menyaksikan perdebatan panas, termasuk nada menyalahkan presiden Umno itu, sehingga memaksa Najib mententeramkan keadaan.

Melaporkan perkembangan pertemuan Najib dengan ketua-ketua bahagian di negeri itu dan Pulau Pinang, akhbar The Star hari ini menyebut, pemimpin-pemimpin akar umbi Umno memaklumkan kepada jawatankuasa pengurusan bahawa parti itu memerlukan barisan kepemimpin baru untuk menyelamatkan parti.

Di Kedah, kira-kira 250 ketua Wanita, Pemuda dan Puteri bahagian dilaporkan "pergi lebih jauh dengan mencadangkan siapa yang harus dipilih untuk jawatan presiden dan timbalan presiden." - Malaysiakini

UMNO Johor minta PM sedia pelan peralihan kuasa...Pak Lah ulangi hanya akan undur lepas semua masalah parti selesai


Badan Perhubungan UMNO Johor secara konsesus meminta Perdana Menteri memikirkan pelan peralihan kuasa dalam usaha memulihkan semula UMNO.


Perkara itu disampaikan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semasa pertemuan UMNO Johor dengannya di Johor Bharu petang Jumaat.

Menurut sumber yang hadir pada pertemuan itu, cadangan Badan Perhubungan UMNO negeri itu adalah merupakan keputusan sebulat suara yang dicapai oleh UMNO Johor pada mesyuaratnya Sabtu lalu.

Di samping itu, UMNO Johor turut melahirkan sokongan kepada usaha-usaha Abdullah untuk memulihkan semula UMNO ekoran prestasi buruk Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum yang lalu.

Salah satu usaha yang dicadangkan oleh UMNO Johor ialah mengenai pelan peralihan kuasa berkenaan.

Beberapa Ketua UMNO Bahagian yang hadir pada mesyuarat berkenaan menjelaskan,Abdullah perlu menyediakan pelan peralihan kuasa tersebut sebagai usaha untuk memulihkan keyakinan ahli-ahli parti dan rakyat kepada UMNO dan kerajaan.

Selain itu, mereka menjelaskan, dengan adanya pelan peralihan kuasa tersebut ia akan mengembalikan ketenangan dalam parti dan negara.

Mereka juga memaklumkan kepada Perdana Menteri, sekarang apa yang diperlukan bukanlah alasan terhadap prestasi buruk parti pada pilihan raya umum yang lalu sebaliknya apa yang diperlukan ialah jalan penyelesaian.

“Membangkitkan soal tindakan sabotaj yang menyebabkan kekalahan parti adalah merupakan penjelasan tetapi yang diperlukan sekarang adalah jalan penyelesaian dan salah satu daripada penyelesaian ialah dengan memberikan pelan peralihan kuasa,” demikian pandangan yang disampaikan kepada Abdullah pada pertemuan berkenaan.

Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yasin yang ditemui para wartawan selepas pertemuan itu menjelaskan Perdana Menteri akan berbincang dengan Datuk Seri Mohd Najib Razak mengenai pelan peralihan kuasa kepada timbalannya itu.


Beliau berkata Abdullah memberitahu Badan Perhubungan UMNO Johor dalam pertemuan itu bahawa beliau akan berbincang secara terperinci mengenai pelan tersebut dengan Najib yang juga Timbalan Presiden UMNO.

"Tempoh peralihan dan sebagainya tidak disebut secara terperinci... hal-hal berkaitan dengan bila masa dan sebagainya beliau akan bincang dengan Datuk Seri Najib," katanya

Sementara itu, Ketua Puteri UMNO Johor, Nor Aslina Zainal Abidin pula berkata Badan Perhubungan UMNO Johor telah bertanyakan kepada Abdullah sama ada beliau mempunyai pelan peralihan kuasa.

"Kita tidak minta Pak Lah berundur tetapi ada bunyi-bunyi bahawa contohnya pada zaman (Perdana Menteri pertama Allahyarham) Tunku Abdul Rahman di mana proses peralihan kuasa berjalan dengan lancar kepada (Allahyarham) Tun Abdul Razak Hussein, begitu juga di zaman Tun Dr Mahathir Mohamad proses peralihan kuasa berjalan lancar kepada Pak Lah."

Ketua Penerangan UMNO Johor, Dr Mohd Puad Zarkashi yang juga Ketua UMNO Batu Pahat berkata pelan peralihan kuasa tersebut akan menjawab persoalan-persoalan yang timbul di kalangan rakyat dan meningkatkan sokongan mereka terhadap kerajaan.

.

Sementara itu bercakap kepada para wartawan selepas pertemuan selama dua jam dengan Badan Perhubungan UMNO Johor itu, Perdana Menteri mengakui beliau merupakan di antara faktor yang telah menyebabkan BN kehilangan undi pada pilihan raya umum ke-12 bulan lepas.


Abdullah berkata, disebabkan perkara tersebut beliau merasakan bertanggungjawab untuk berbuat sebaik-baiknya bagi memulihkan BN dan UMNO.

"Saya merasakan saya adalah penyebab kepada `pembuangan undi' (undi tidak diberikan) kepada Barisan Nasional. Dan saya merasakan bertanggungjawab untuk membuat sebaiknya-baiknya untuk memulihkan BN dan UMNO," katanya.

Abdullah juga mengakui beliau menerima desakan daripada beberapa Badan Perhubungan UMNO Negeri supaya beliau melepaskan jawatan sebagai Presiden Umno ekoran prestasi buruk parti itu dalam pilihan raya umum lepas.

"Ada (terima desakan), bukan semua kata begitu. Saya juga dapat laporan... Takpelah mereka nak cakap... tentang undur apa semua... saya pun bukan orang yang nak kekal selama-lamanya dalam kepimpinan," katanya.

Abdullah mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa beliau hanya akan mengundur diri apabila masalah-masalah yang timbul dalam parti dan amanahnya dalam kerajaan diselesaikan serta keyakinan rakyat dikembalikan.

"Saya nak pimpin parti bukanlah soal saya nak pimpin parti lama tapi yang penting saya mendapat mandat daripada rakyat dalam pilihan raya dan saya masih berkedudukan sebagai presiden.

"Saya perlu laksanakan tugas-tugas saya (sebagai Perdana Menteri dan presiden parti) dan saya rasa bertanggungjawab untuk pastikan selesaikan masalah masalah yang timbul. Itu yang menjadi perkara utama," kata Abdullah


Selain Muhyiddin hadir sama di pertemuan itu ialah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shahrir Abdul Samad.

Ketua Pemuda UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein tidak hadir kerana Menteri Pelajaran itu kini berada di Paris atas urusan rasmi kerajaan.

Perdana Menteri berkata, beliau memahami banyak perkara dan antaranya ialah perubahan-perubahan yang telah dijanjikan kepada rakyat sebelum ini tetapi masih belum ditunaikan oleh kerajaan sehingga kini.

Perubahan yang dijanjikan kepada rakyat itu, katanya meliputi pelbagai perkara seperti sistem kehakiman, pembanterasan rasuah, menurunkan kadar jenayah serta hubungan di antara kaum di negara ini.

Bagaimanapun, katanya ada di antara perubahan yang dilaksanakan oleh kerajaan itu perlu mengambil masa sebelum ianya menunjukkan hasil yang positif.

"Oleh kerana itu, saya akan terus memberikan perhatian untuk membawa perubahan-perubahan yang telah dijanjikan kepada rakyat. Malah ia telah pun dimasukkan di dalam janji-janji kerajaan BN di dalam manifesto (BN) pada (pilihan raya umum) 2004," katanya.

Dalam sidang akhbar berkenaan Ghani telah menyuarakan sokongan UMNO Johor kepada Abdullah untuk pemilihan UMNO hujung tahun ini dan untuk menghadapi pilihanraya umum akan datang.

Beliau berkata pernyataan sokongan terhadap Perdana Menteri hari ini adalah sama sebagaimana yang diputuskan oleh Badan Perhubungan UMNO Johor pada mesyuaratnya 5 April lepas.

"Kami ingin nyatakan pendirian UMNO Johor untuk bersama-sama Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di dalam usahanya untuk memperkuatkan semula Barisan Nasional dan UMNO".

"Pendirian UMNO Johor adalah untuk memberi sokongan kepada beliau sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO," katanya.

Pada sebelah pagi Abdulllah menghadiri mesyuarat Lembaga Pengarah Pihak Berkuasa Pembangunan Iskandar (IRPA).

Pemuda Turun Padang Bertemu Pemuda Kedah, Pulau Pinang 17 April Ini

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan barisan kepimpinan Pemuda UMNO pusat akan turun padang bertemu dengan Badan-badan Perhubungan Pemuda UMNO Negeri bermula di Kedah dan Pulau Pinang pada 17 April ini.

Setiausahanya, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata ini selaras dengan langkah Jawatankuasa Pengurusan UMNO Pusat yang kini melaksanakan pertemuan dengan Badan-badan Perhubungan UMNO Negeri seluruh negara

Jelas beliau program ini akan bermula di Kedah dan Pulau Pinang pada Khamis, 17 April manakala perjumpaan dengan badan-badan perhubungan Pemuda UMNO negeri-negeri lain akan menyusul dari semasa ke semasa selepas itu.

"Sesi pertemuan dengan Badan-badan Perhubungan Pemuda UMNO itu adalah perjumpaan dari hati ke hati untuk mendengar dan mendapatkan maklumbalas langsung daripada mereka mengenai isu-isu semasa", katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menerusi sesi itu juga tambah beliau Pemuda UMNO berharap ikatan persaudaraan, semangat perjuangan dan kekuatan Parti juga akan dapat diperkukuhkan untuk melaksanakan langkah-langkah seterusnya di dalam memulihkan keyakinan ramai kepada UMNO.