Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Thursday, April 10, 2008

Kerajaan tidak minta maaf pada Salleh Abas

Kerajaan tidak akan meminta maaf kepada Tun Salleh Abas di atas pemecatan beliau sebagai Ketua Hakim Negara, 20 tahun lalu.

Bagaimanapun, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, satu kaedah akan difikirkan untuk memulihkan kedudukan bekas Ketua Hakim Negara itu.

Lim: Perisik MCA intai saya

donald limNaib presiden MCA Datuk Donald Lim Siang Chai menjadi sasaran kumpulan perisik parti itu yang memantau tokoh-tokoh yang dianggap bermusuh dengan presidennya Datuk Seri Ong Ka Ting.

Bekas ahli parlimen Petaling Jaya Selatan itu mengakui beliau diberitahu tentang kegiatan itu tetapi sehingga kini masih di peringkat pengesahan tentang kewujudannya, katanya kepada Malaysiakini.

"Saya dimaklumkan kewujudan kumpulan (seumpama) itu. Ia membuatkan saya mengambil lebih perhatian. Pastilah, saya akan cuba menjejaknya.

"Jika ia benar, mereka yang bertanggungjawab harus berdepan dengan ahli-ahli MCA kerana ia keji, khususnya jika anda menceroboh kehidupan peribadi orang lain," katanya di bilik gerakannya di Petaling Jaya.

"Saya dimaklumkan tidak lama dulu bahawa saya seorang daripada sasaran kumpulan pengintip ini," tambahnya.

Kenyataan Lim ini muncul sewaktu wujud rungutan minggu ini dalam kalangan beberapa tokoh parti itu tentang kewujudan pasukan pengintip tersebut.

Mereka mendakwa ia dibentuk tiga tahun lalu, dan mangsa pertamanya bekas menteri kesihatan dan naib presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek. - Malaysiakini

Tunjuk perasaan bantah projek ladang ternakan babi RM100 juta

Kira-kira 200 orang berkumpul di hadapan bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam yang menempatkan pejabat Menteri Besar pagi Rabu bagi membantah tindakan kerajaan Selangor yang meluluskan projek ladang ternakan babi secara moden bernilai RM100 juta.


Kesemua mereka yang berkumpul merupakan penduduk dari daerah Sepang dan Kuala Langat daripada Kampung Tumbuk Darat, Tanjung Sepat, Tanjung Laut, Kampung Layang, Kundang dan Kampung Indah iaitu kawasan berhampiran projek yang bakal dilaksanakan itu.

Penduduk terbabit mula berkumpul sejak pukul 10.30 pagi sambil membawa beberapa sepanduk melahirkan rasa marah dan tidak puas hati terhadap projek yang diluluskan kerajaan Selangor baru-baru ini.

Seorang wakil penduduk, Mohamad Tarmudi Tushiran berkata majoriti penduduk membantah projek itu kerana mencemarkan alam sekitar dan boleh membawa penyakit bawaan terutama Japanese Encephalitis (JE) seperti yang berlaku di Bukit Pelandok di Negeri Sembilan, tidak lama dulu.

Beliau mendakwa kawasan itu sudah menjadi pusat ternakan babi secara kecil-kecilan sejak berpuluh tahun lepas dan mendatangkan masalah pencemaran alam sekitar.

"Kami pastinya risau apabila projek ini dimajukan sudah tentu jumlah ternakan babi bertambah dan alam sekitar lebih teruk tercemar dengan bau najis yang menganggu penduduk," katanya yang juga merupakan Ketua Kampung Tumbuk Darat.

Mohamad Tarmudi berkata industri pelancongan di kawasan Pantai Morib dan Kelanang juga akan terjejas kerana pengunjung akan berasa jijik dengan persekitaran yang menjadi pusat ternakan babi terbesar di Selangor itu.

Beliau turut mewakili penduduk menyerahkan memorandum bantahan kepada kerajaan negeri yang diberikan kepada Setiasaha Politik Menteri Besar, Nik Nazmi Nik Ahmad di perkarangan SUK.

Antara kandungan memorandum itu, penduduk mendesak kerajaan negeri membatalkan atau

memindahkan projek ternakan babi secara moden itu ke tempat lain seperti di Pulau Ketam yang majoritinya bukan Islam.

Semalam, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata projek ternakan babi berpusat secara moden di Ladang Tumbuk, Kuala Langat di Selangor akan diteruskan dengan memantapkan lagi proses pelaksanaannya.

Beliau berkata kawasan projek ternakan babi itu sudah menjadi ladang haiwan babi utama di negeri ini dan ia memenuhi keperluan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani,Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dan kerajaan negeri.

Projek itu diluluskan oleh mesyuarat EXCO kerajaan negeri yang ketika itu dipengerusikan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo pada 30 Jan lepas, katanya.

Nanum Isnin dalam reaksinya bekas Menteri Besar itu menjelaskan kerajaan negeri pimpinannya hanya baru membuat perbincangan awal tetapi tidak ada kata muktamad.

Lagipun menurutnya apa yang dipersetujui ialah projek itu untuk skala kecil sahaja, tidak sampai RM100 jutakerana Selangor tidak perlu projek penternakan babi bernilai sebanyak itu.

Beliau meminta kerajaan negeri sekarang mengkaji semula untuk membatalkan projek ternakan babi moden bernilai RM100 juta di Ladang Tumbuk, Kuala Langat, jika benar-benar mahu berbuat demikian.

Beliau berharap kerajaan negeri pimpinan PKR itu tidak mengaitkan keputusan melulus kan projek itu pada 2 April lalu, dengan apa yang diluluskan oleh pentadbirannya pada 30 Januari lepas.

Aktiviti Pelancongan Diteruskan Guna Mekanisme Diamalkan Di Kelantan

Kementerian Pelancongan akan mengguna pakai mekanisme seperti yang diamalkan dengan negeri Kelantan dalam usaha menjalankan segala aktiviti pelancongan di negeri-negeri yang dikuasai pembangkang.

Ketua Unit Perhubungan Awam dan Khidmat Pelanggan Kementerian Pelancongan Ahmad Zaharuddin Salim berkata mekanisme itu akan menggunakan jentera pentadbiran kerajaan dengan pembentukan sebuah jawatankuasa yang diketuai Ketua Setiausaha kementerian atau mana-mana wakil yang dilantik Menterinya Datuk Seri Azalina Othman Said.

"Sejak Kelantan ditadbir oleh kerajaan PAS pada tahun 1990, mekanisme ini telah menunjukkan kejayaan besar dalam usaha menarik dan melaksanakan aktiviti pelancongan.

"Ini boleh dilihat dari segi kehadiran pelancong di Kelantan yang berada di kemuncaknya pada tahun lepas sehingga mencatatkan 5.9 juta pengunjung dalam dan luar negeri dan menjana pendapatan RM1.8 bilion," katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, beliau berkata kementerian itu tidak bersetuju dengan pendapat bahawa dasar itu akan menjejaskan industri pelancongan dan juga pendapatan negara.

Baru-baru ini, Azalina mengumumkan mengenai semua Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani dengan kontraktor dan pengusaha pelancongan berkaitan pelaksanaan aktiviti pelancongan di lima negeri yang dikuasai pembangkang ditamatkan.

Pengumuman itu mendapat tentangan dan kritikan daripada Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang menyifatkan tindakan itu bertentangan dengan langkah Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mahu semua program yang dirancang kerajaan pusat bagi negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat, diteruskan.

Ahmad Zaharuddin berkata perjanjian yang ditamatkan itu hanya melibatkan perubahan prosedur teknikal bagi memudahkan pengurusan pentadbiran kerana pentadbiran kerajaan negeri berada di landasan yang berbeza dengan kerajaan pusat.

Katanya kementerian akan terus menyalurkan dana melalui mekanisme yang diwujudkan memandangkan semua aktiviti yang dirancang akan dilaksanakan.

"Kementerian sedar akan kepentingan industri pelancongan kepada negeri dan negara dan tidak akan sekali-kali melaksanakan dasar yang tidak menguntungkan semua pihak," katanya.

Perubahan Drastik Dalam Struktur MIC, Pemuda Dan Wanita Cawangan Berasingan

KUALA LUMPUR - MIC, dalam usaha menstruktur parti, telah memutuskan untuk membuat perubahan drastik dalam strukturnya, dengan membenarkan sayap Pemuda dan Wanita menubuhkan cawangan sendiri jikia mereka mempunyai bilangan 50 atau lebih anggota parti.

Presiden parti Datuk Seri S. Samy Vellu, ketika mengumumkan hari ini berkata mana-mana cawangan MIC di negara ini yang mempunyai bilangan anggota seperti yang disyaratkan itu boleh menubuhkan cawangannya sendiri dan ia akan beroperasi sebagai satu entiti daripada cawangan asal.

"Kita telah terima pelbagai aduan daripada pemimpin akar umbi Pemuda dan Wanita bahawa pemimpin cawangan menjejaskan kerjanya. Sesetengah telah memutuskan untuk menyerahkannya kepada parti dan untuk mengelakkan ini, kita telah memutuskan untuk membenarkan Pemuda dan Wanita menubuhkan cawangan sendiri dengan mempunyai anggota seramai 50 orang atau lebih.

"Tetapi mereka masih diawasi oleh sayap Pemuda dan Wanita, sungguhpun mempunyai status cawangan. Kita tidak memerlukan satu pindaan perlembagaan untuk ini. Pemuda dan Wanita masih lagi mengadakan perhimpunan agung tahunan. Perubahan ini membenarkan mereka beroperasi bersendirian," kata Samy Vellu kepada pemberita selepas merasmikan ibu pejabat parti itu yang baru diperbaharui di sini hari ini.

MIC kini mempunyai 3,700 cawangan dan dengan langkah terbaru ini, parti berkenaan dijangka mempunyai banyak cawangan untuk meliputi semua segmen masyarakat.

Bagaimanapun, presiden parti itu berkata sungguhpun MIC melakukan perubahan, bilangan bahagian masih kekal 150 bahagian di seluruh negara.

Bercakap mengenai isu lain, Samy Vellu juga mengesahkan bahawa pengarah eksekutif Yayasan Strategik Sosial, Datuk Dr Denison Jayasooria, yang juga Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia Malaysia, telah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada pucuk pimpinan parti.

"Setiap orang mencari pekerjaan yang lebih baik. Katanya beliau mahu melakukan perkara baru dan menumpukan perhatian dalam kerja-kerja gerejanya. Ya, beliau telah menyerahkan surat peletakan tetapi kita belum memutuskan jika kita menerima surat peletakannya," kata Samy Vellu.

Menjawab satu soalan, persiden MIC berkata Jayasooria tidak pernah menjadi anggota parti atau pun anggota politik tetapi hanya seorang kakitangan MIC kerana parti ini tidak mahu beliau aktif dalam politik disebabkan beliau berkerja untuk melakukan penyelidikan dan membantu parti dalam membuat keputusan dasar.

Samy Vellu berkata calon MIC yang tewas dalam kerusi masing-masing pada pilihan raya umum baru-baru ini, tidak mungkin memfailkan petitisyen pilihan raya untuk memohon membatalkan keputusan pilihan raya, kawasan pilihan raya masing-masing.

Pada pilihan raya itu, MIC bertanding dalam sembilan kerusi Parlimen dan 19 kerusi negeri dan menang hanya tiga kawasan Parlimen dan tujuh kerusi negeri.

Parti itu tewas satu kerusi Parlimen dan dua kerusi negeri dengan perbezaan sedikit. Ia kalah pada kerusi Parlimen Hulu Selangor, setelah timbalan presiden MIC Datuk G. Palanivel tewas teruk di tangan Datuk Zainal Abidin Ahmad daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan majoriti kecil 198 undi.

Calon parti itu bagi Bukit Melawati kerusi negeri di Selangor, K. Partiban tewas kepada M. Mutiah juga daripada PKR dengan majoriti 297 undi, sementara kerusi negeri Port Dickson di Negeri Sembilan, Datuk T. Rajagopalu kalah kepada M.Ravi daripada PKR dengan perbezaan 733 undi.

"Kecuali Hulu Selangor, saya fikir kita tidak boleh pertikaikan. Semua mereka yang menang boleh meraikan kemenangan mereka. Saya tidak fikir kita akan fail petisyen pilihan raya," kata Samy Vellu. - Bernama

Kempen 'curi-curi' dah tak boleh pakai…


Kontroversi yang timbul setiap kali pemilihan jawatan UMNO tentang isu cara berkempen sudah cukup untuk mengambarkan ada yang tak beres.


Sebenarnya banyak yang boleh diceritakan oleh mereka yang pernah mengikuti secara dekat atau terlibat secara langsung dalam kempen pemilihan jawatan parti itu khususnya jawatan-jawatan utama seperti Naib Presiden dan ahli Majlis Tertinggi.

Ada yang calon-calon sembunyi-sembunyi mengadakan pertemuan dengan para perwakilan di sana sini. Ada yang angkut perwakilan melancong dan ada yang pasang kaki merata tempat.

Malah segala macam silap mata politik muncul dalam usaha mendapat pencalonan dan meraih sokongan.

Ini belum masuk bab politik wang yang juga menjadi isu pada setiap kali pemilihan.

Kesimpulannya tidak ramai para pemerhati politik yang melihat pemilihan dijalankan secara intelektual yang membolehkan para perwakilan menilai seseorang calon dari segenap sudut misalnya kemampuan berucap,berdebat,berdailog,wawasannya dan sebagainya sebelum mereka memangkah.

Sejak sekian lama kempen pemilihan UMNO dibayangi sentimen,rangkaian politik, ‘orang siapa’,taktik dan strategi serta faktor-faktor yang tidak sangat berasaskan ciri-ciri kepimpinan dalam ertikata sebenar.

Soalnya mampukah UMNO masih kekal dengan ‘perangai lama’ dalam memilih pemimpin setelah ia melalui tsunami politik dalam pilihanraya umum 8 Mac?

Tentunya ramai di luar sana yang ada kuasa memangkah sewaktu pilihanraya termasuk yang tidak tahu langsung sistem politik dalaman sesebuah parti akan meneropong pemilihan UMNO pada hujung tahun ini.

Kenapa UMNO tidak boleh mengatur cara kempen pemilihan parti yang kata orang sedap mata memandang dan telinga mendengar baik bagi kalangan ahli parti maupun orang kebanyakan sebagai salah satu langkah memulihkan imej parti itu yang tercalar ?

Kebetulan Khamis akhbar Utusan Malaysia melaporkan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan UMNO yang bermesyuarat Rabu telah membenarkan semula kempen semasa pemilihan setelah ia diharamkan pada dua pemilihan lalu iaitu tahun 2000 dan 2004.

Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jawatankuasa itu bersetuju memberi kelonggaran kerana berpendapat ahli di peringkat akar umbi seharusnya mengenali perwatakan dan kewibawaan calon bertanding agar mereka dapat memilih pemimpin terbaik.

Katanya, urusan kempen calon-calon bertanding tersebut akan diuruskan oleh badan perhubungan negeri masing-masing yang antara lain akan mempertemukan mereka dengan ahli dan para perwakilan.

‘‘Dahulu UMNO tidak membenarkan calon yang bertanding berkempen bagi mengekang politik wang tetapi kali ini sedikit kelonggaran diberikan tetapi secara terurus.

‘‘Mungkin badan perhubungan negeri akan menganjurkan masa tertentu... misalnya sehari untuk memperkenalkan mereka kepada ahli dan perwakilan. Di situ, calon akan dibenarkan berucap memperkenalkan diri... kita boleh tengok petah tak dia, baguskah dia."

Keputusan ini pasti melegakan mereka yang sudah memasang niat hendak bertanding kerana calon-calon tidak lagi perlu ‘curi-curi’ hendak berkempen.

Kalau diselak balik senario semasa kempen diharamkan dulu didapati ramai calon-calon yang merungut .

Ada yang berkata, “ kalau tak boleh berkempen..itu bukan politik namanya”.

Sebab utama larangan berkempen ialah untuk menyekat politik wang.

Namun ia terus didapati bocor di sana sini.Antara kes terbesar yang dihukum ialah bekas Naib Presiden UMNO Tan Sri Isa Samad.

Antara cakap-cakap yang terus bergema ialah kenapa Isa seorang saja yang kena sedangkan ramai lagi yang main duit.

Petang Selasa lalu sewaktu pertemuan Agendadaily dengan Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo kebetulan beliau bercakap panjang mengenai cara pemilihan jawatan parti itu.

Sebagai salah seorang yang sudah umum hasrat nak bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia bekas Menteri Besar Selangor sendiri berpendapat cara berkempen harus diubah.

Katanya cara ‘terbang sana terbang sini’ dan ‘ jumpa sana jumpa sini ‘ ikut pandai-pandai sendiri sudah tak boleh pakai lagi.

Beliau mempersoalkan bagaimana para perwakilan dapat menilai dengan baik antara seorang calon dengan calon lain dalam keadaan begitu.

“Penentuan untuk memilih seseorang pemimpin adalah satu hal yang amat serius…ia melibatkan negara dan rakyat …maka peluang harus diberikan secara yang cukup teratur untuk membolehkan para perwakilan yang akan mengundi semasa pemilihan nanti menilai dengan sempurna ketokohan dan ciri kepimpinan seseorang calon,”kata Dr Khir yang menyifatkan dirinya seorang ‘calon bebas’ yang tidak ada mana-mana godfather dibelakang.

Beliau bersetuju dengan pandangan sesetengah pihak salah satu cara kempen yang terbaik ialah ala-debat Presiden Amerika yang membariskan semua calon menawarkan diri atas pentas untuk berdebat dan berdailog depan para perwakilan.

“Jangan salah faham…saya tidaklah kata diri saya hebat boleh berdepan dengan para perwakilan begitu..tetapi itulah cara terbaik dan paling adil bagi para calon tunjuk bakat kepimpinan mereka memperkenalkan diri ,berucap,memberitahu wawasan dan menjawab apa saja soalan dari para perwakilan,”katanya.

Menurut Dr Khir roadshow debat dan dialog calon-calon ini harus diadakan disetiap negeri mengikut jadual yang ditetapkan.

Sementara itu menjawab soalan lain katanya beliau tidak berhajat untuk menyertai mana-mana ‘pasukan’ dalam pertandingan jawatan Ketua Pemuda UMNO.

“Saya turun sebagai individu….dan saya boleh berkerja dengan sesiapa saja,”katanya.

“Reform” …akan menjadi cogankatanya dalam pemilihan itu kelak.

“Saya ingin bawa pembaharuan dalam corak gerak kerja Pemuda,membawa idea pembaharuan dalam pentabiran yang mesra ahli parti dan rakyat dan berbagai langkah pembaharuan lain.

“Pemuda harus menjadi kumpulan pendesak dan pembawa suara rakyat bawahan keatas dan bukan sebaliknya,”katanya.

Bagaimana pula ada yang melihat beliau sebagai ‘ ahli politik yang kalah’ kerana tewasnya Selangor kepada pembangkang dalam pilihanraya umum baru ini.

“Tidak…tidak…saya tidak kalah,saya menang di kawasan Dewan Undangan Negeri saya di Pasir Panjang dengan majoriti yang lebih dari pilihanraya 2004,”katanya.

Menurut Dr Khir kejatuhan Selangor haruslah dilihat dalam kontek tsunami politik yang menelan tiga buah negeri lain iaitu Kedah,Pulau Pinang dan Perak.

Beliau berharap hal ini diletak dalam prespektif yang betul.

Kepada soalan lain Dr Khir juga tidak mahu beliau tidak dlihat sebagai calon yang nothing to loose dalam cubaan menawar diri untuk jawatan Ketua Pemuda UMNO.

Beliau mengakui sejak jadi Menteri Besar lagi sebelum pilihanraya umum beliau sudah berkira-kira nak bertanding antara jawatan ketua Pemuda atau Naib Presiden UMNO.

“Jawatan Ketua Pemuda bukan tiba-tiba muncul setelah Selangor tewas,”katanya.

Mengulas lanjut Dr Khir berkata beliau hendak menawarkan diri bersandarkan pengalamannya pernah jadi Exco Pemuda UMNO Malaysia,ahli Majlis Tertinggi UMNO,wakil rakyat biasa dan seterusnya Menteri Besar.

“Saya menapak dari dari peringkat yang paling bawah sebelum naik keatas,”katanya.


Beliau bagaimanapun tidak dapat menilik peluangnnya.

“Yang penting kena dapat dekat 40 pencalonan yang perlu untuk melayakan diri bertanding dulu.Kalau tidak cakap pun tak guna,”katanya tentang kuota 20 peratus pencalonan dari 191 bahagian bagi jawatan Ketua Pemuda UMNO.

“Mengarutlah….mana ada”


Ketua UMNO Bahagian Seri Gading, Datuk Mohamad Aziz kata,” mengarutlah…mana ada”, Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Dr Fuad Zarkashi sendiri hairan mendengarnya manakala Ketua UMNO Bahagian Johor Bharu, Datuk Shahrir Samad berkata perkara itu tidak timbul langsung.

Ketiga-tiga Ketua UMNO Bahagian dari Johor itu secara berasingan mengulas laporan sebuah akhbar Singapura dan sebuah laman web berita tempatan yang mendakwa 20 dari 26 Ketua UMNO Bahagian dari negeri Johor sepakat mahu Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah bercuti dan menyerahkan pentabiran kepada timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kata sepakat itu didakwa dicapai dalam satu pertemuan antara mereka beberapa hari lalu.

Mohamad Aziz dan Dr Fuad menafikannya ketika dihubungi Agendadaily petang Rabu manakala Shahrir yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna memberitahu demikian kepada para wartawan di pejabatnya di Putrajaya.

Mereka sekata bahawa satu-satunya pertemuan yang dihadiri oleh semua Ketua UMNO Bahagian yang terbaru ialah semasa mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Johor Sabtu lalu dimana tidak ada perkara seumpama itu timbul atau dibincangkan.

Sebaliknya, menurut Mohamad Aziz dan Dr. Fuad, UMNO Johor hanya akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Jumaat ini.

Idris tolak jadi Exco Kerajaan Terengganu, kata Ahmad

Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata beliau menawarkan bekas Menteri Besar Datuk Seri Idris Jusoh untuk menganggotai barisan exco baru kerajaan Terengganu tetapi beliau menolak kerana mahu memberikan tumpuan terhadap kawasannya.

"Saya buat tawaran kepada beliau (menjadi exco)...(tetapi) dia (Idris) tak nak kerana nak berehat selain hendak tumpu pada kawasan," katanya ketika ditanya sama ada beliau menawarkan jawatan itu kepada Idris yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Jertih.

Ahmad berkata demikian kepada pemberita selepas mengumumkan senarai portfolio 10 anggota exco kerajaan negeri, yang mengangkat sumpah jawatan di Istana Maziah di Kuala Terengganu, pagi Rabu dan portfolio yang dipegangnya.

Sebelum itu, beliau mempengerusikan mesyuarat pertama exco kerajaan negeri di Wisma Darul Iman.

Bernama melaporkan ketika ditanya mengenai kedudukan bekas exco pada penggal lepas yang kini dilantik sebagai timbalan pengerusi exco, Ahmad berkata perkara itu adalah biasa dalam politik.

"Biasalah, ada menteri jadi timbalan menteri...ada Ketua Menteri, bila pergi ke (kerajaan) Pusat jadi Setiausaha Parlimen. Dalam politik ini ada naik dan turun...itu biasa," katanya.

Dua bekas exco yang kini dilantik sebagai timbalan pengerusi exco ialah Adun Ajil, Datuk Rosol Wahid dan Datuk Din Adam (Adun Bukit Besi).

Rosol dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi manakala Din sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri.

Pada penggal lepas, Rosol merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam Hadhari dan Kebajikan sementara Din memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri.